Home Cerpen Komedi/Romantik Komedi PENGANTIN AIDILFITRI
PENGANTIN AIDILFITRI
19/7/2016 14:31:14
4,900
Kategori: Cerpen
Genre: Komedi/Romantik Komedi

“Milah bungkus semua rendang ketupat tu. Siap sekarang… kita beraya kat kampung menantu kita!” Arahan tegas Tuan Haji Mukmin membuatkan Mak Milah terpinga-pinga.

Suamiku tersayang rendang belum kering lagi. Ketupat belum masak. Kuah kacang je dah siap. Apa kena ni tiba-tiba nak beraya kat kampung menantu. Monilog Mak Milah dengan mata terkebil-kebil. Pak Misai ni kalau dah bagi arahan memang lupa dia dah lama pencen.

Suami dah bagi arahan harus dia ikut. Segarang-garang Pak Misai tapi kalau dah merajuk kalah anak dara. Pak Misai memang tak suka cakapnya di bantah. Kalau di bantah bukannya marah tapi merajuk. Biasalah kata orang bila usia dah meningkat perangai pun kembali ke asal jadi macam budak-budak. Maka terkial-kiallah Mak Milah membungkus semua juadah yang dia masak. Nasib baik tak banyak. Hanya sekadar dua orang makan.

*****

Allaahu akbar… Allaahu akbar… Allaahu akbar …..
Laa – ilaaha – illallaahu wallaahu akbar.
Allaahu akbar walillaahil – hamd.

Takbir raya sudah mula disiarkan di kaca televisyen. Besok hari raya aidilfitri. Setelah sebulan menahan lapar dan dahaga di bulan Ramadhan ganjaran istimewa buat umat islam adalah datangnya bulan Syawal. Semua sedang sibuk membuat persiapan untuk meyambut kedatangan Syawal.

“Akal tu letak kat mana… lutut ke!”

Hafiz diam menunduk. Tak berani angkat muka. Kalau Kak Ida marah memang dia tak berani angkat muka. Memandangkan jawatan anak sulung milik Kak Ida garangnya memang mengalahkan bapak Simba. Masa kecik-kecik kalau Kak Ida mengamuk macam halilintar membelah bumi. Seorang pun tak berani pandang. Mujur juga ada orang nak kat Kak Ida yang garang ni. Kalau tak sampai ke tua dia dengar halilintar sebelah telinga.

“Kutuk oranglah tu bukan tak tau…” Kak Ida duduk selepas penat berdiri.

Hafiz angkat muka. Tak boleh langsung terniat nak kutuk. Tau saja ada tiga orang lagi yang tengah berdiri. Hadoilah nasib badan jadi anak bongsu ni. Dia ada empat orang kakak. Dalam keluarga dia anak lelaki tunggal dan juga bongsu. Sesi mengadap macam ni boleh buat dia menangis.

“Kenapa buat keputusan tak fikir dulu… Hafiz tak tau ke besok Hari Raya.” Kak Yati, kakaknya yang kedua. Agak garang tapi tak segarang Kak Ida. Kak Yati garang bila perlu saja. Kak Yati pun duduk setelah penat berdiri. Apa tidaknya lebih setengah jam acara merenung tanpa bicara.

“Ingat kita bukan keturunan koboi yang nak buat apa-apa main sergah je…” Kak Ipah, kakak nombor tiga. Tak garang tapi mulut boleh tahan melaser. Tak kiralah adik sendiri ke apa kalau dah buat silap sila tadah telinga tiga hari tiga malam.

“Hafiz dah besar kan pandai-pandailah.” Kak Yunie paling sempoi. Tak kisah buatlah apa saja asalkan bahagia. Tapi jangan sampai memalukan mak bapak. Kak Yunie paling lembut dan paling bertolak ansur tapi jangan buat dia marah. Kalau Kak Yunie marah dia akan lebih menakutkan dari Kak Ida.

Hafiz pandang muka kakak-kakaknya satu persatu. Muka-muka insan yang paling dia sayang. Kalau tak kerana jagaan ketat ala-ala anak dara di rumah dia mungkin dah hanyut. Wajah-wajah ini yang banyak menyokong dia untuk menulis sehingga punya nama besar hari ini. Bukan setakat sokongan moral siap dengan sokongan zahir sekali. Kalau tak siap ikut deadline ada yang tukang piat telinga. Tapi itu cerita sepuluh tahun dulu semasa dia mula-mula menulis.

“Hafiz!”

“Oh My Mom!” Hafiz melompat terkejut. Kak Yunie sudah tergelak.

“Ni apa cerita ni. Kenapa tiba-tiba. Tak ada pun cerita Hafiz ada makwe tiba-tiba mak call adikmu dah gatal nak kahwin. Cuba terang satu persatu mcm mana niat ni boleh muncul.” ton suara Kak Ida sudah menurun. Dah habis marah agaknya.

“Siapa perempuan tu cantik ke?” soal Kak Yunie.

“Ceritalah kenapa diam aje.” Kak Yati tak ketinggalan nak mencelah. Macam mana dia nak cerita kalau semua dah bersuara.

“Orang nak bina masjid aje pun… takkan nak marah kot. Takkan nak simpan orang jadi ‘anterjang’ kat sini. tak patut tau…” Hafiz membela diri.

“Apa tu ‘anterjang’. Istilah baru ambik dari mana. Cuba serius sikit.” Kak Yunie macam dah naik angin. Hafiz kena bersiap-siaga jangan sampai Kak Yunie marah.

“Anak Terlajak Bujang…” Kak Ipah tolong jawab. mesti Kak Ipah dah baca novel baru dia. Hafiz sengih. Ada juga orang faham.

“Adik, kau nak bina masjid pun kena ikut langkah dan prosedur. Kena cari arkitek segala bagai. Beli barang lagi cari pekerja. Ingat masjid tu boleh keluar on the spot dari acuan. Kita nak pergi merisik pun tak ada cincin tanda ni…”

Persidangan ruang tamu dah semakin rancak. Hafiz jeling dapur mak dan ketiga-tiga abang iparnya sedang makan lemang dan rendang. Tuan punya badan yang sibuk bakar lemang tadi pun belum sempat makan. Orang lain dah berpesta dulu. Cuma abang Naim yang sedang sibuk dengan tabletnya. Bisnesman memang susah nak cuti ada saja urusan.

“Pinjam cincin… takkan akak empat orang ni tak ada cincin yang boleh pinjam.” Hafiz buat muka simpati. Meminta belas kasihan.

“Bukan anak jantan namanya nak merisik pinjam cincin orang.” Sempat pula abang Naimnya bersuara. Kak Ipah sudah bantai gelak. Tahulah sokong suami sendiri. Takkan tak ada belas kasihan kat adik kot.

“Mok pinjam cincin…” Hafiz jerit anak saudaranya yang sibuk tengok tv.

“Cincin gegula je ade… nak tak.” Mok tunjuk cincin dari gula-gula batang yang baru beli petang tadi.

Huh kenapa susah sangat nak bina masjid ni. Kata janji dah dimetrai dengan Cik Aina. Bunga-bunga cinta memang dah mekar mewangi harum semerbak. Tapi jalan nak memiliki Cik Aina macam sukar sangat. kenapa dia tak trfikir langsung pasal cincin. Kalau tak siang tadi lepas bakar lemang dia dah lari ke bandar cari cincin.

“Assalamualaikum…” Amirul muncul di pintu. semua mata bertumpu pada Amirul. Tiba-tiba muncul dari pintu depan. Biasanya amirul redah masuk ikut pintu belakang.

“Tuan Haji Mukmin nak jumpa abang Hafiz.”

“Pak Misai ke?” Hafiz mula berpeluh-peluh. Dia tak tau pulak Pak Misai akan datang ke sini.

“Siapa Pak Misai?” tanya Kak Yati.

“Bakal Pak Mertua…” jawab Amirul sambil tersengih. Gara-gara Hafiz dan Aina tiga keluarga dalam keadaan tegang sekarang. Tadi dirumahnya sesi soal jawab Pak Misai dengan Kak Aina. Sekarang dia nampak persidangan ruang tamu.

“Kak apa nak buat ni… mak tolong!” jerit Hafiz. Mengahadap Pak Misai bukan salah satu agendanya di malam raya ni. ingat besok atau lusa nak bawak rombongan ke rumah Cik Aina.

“Hah kenapa ni.” Puan Semah buru-buru ke ruang tamu lepas mendengar jeritan Hafiz.

“Pak Misai nak jumpa dia mak.” Kak Ida dah angkat kening. Hafiz tau semua tengah sedia nak gelakkan dia. Nampak Kak Yunie dengan Kak Yatie sembunyikan gelak. Apa pulak dia perlu buat sekarang. Takkan nak lari kot. Dia dah janji dengan Cik Aina akan mengadap Pak Misai demi hasrat suci murni mereka.

“Sendiri cari masalah sendiri selesaikan… kacau mak makan je” jawapan yang sangat tak membantu dari Puan Semah. Puan Semah kembali ke dapur. Hafiz rasa geram. Mak ni suka sangat lepas tangan. Tak boleh ke bagi buah cadangan.

“Pergi ajelah. Lelaki sejati hanya perlu air lir untuk meyakinkan bakal Pak Mertua yang kita betul-betul nak anak diorang. Bincang elok-elok. Kalau setuju lepas ni kita masuk meminang secara beradat.” Naim memberi cadangan selepas Hafiz kelihatan buntu.

“Abang ni suka sangat bagi ajaran sesat kat Hafiz…” Ipah mencubit lengan suaminya. Suka sangat enterframe dengan idea yang bernas tapi agak kurang sesuai.

“Pergi je… Kalau niat baik Insya Allah semuanya berjalan lancar. Kami semua doakan yang terbaik untuk Hafiz.”

Suara Kak Ida yang lembut menusuk kalbu membuatkan dia sebak dan terharu. Bila Kak Ida dah bagi lampu hijau secara automatic yang lain juga akan bagi lampu hijau. Mereka semua bukan marah dia nak nikah. Tapi marah sebab dia gelojoh sangat nak nikah. Tok Kadi pun nak beraya jugak. Hafiz kuatkan azam dalam hati. Pak Misai harus dia takluki demi cinta sejatinya.

Hafiz bangun dan masuk ke bilik. Agak lama dia dibilik kemudian dia keluar dengan seikat novel. Semua orang tahu novel-novel tu semua hasil karya Hafiz selama sepuluh tahun. Eh takkan nak meminang pakai novel kot. Semua yang ada melopong. Koleksi lengkap karya Dhiya Dzulkarnain bernilai ribuan ringgit. Macam ni memang sah diterima.

*****

“Good Luck bro…”Azlie menepuk bahu Hafiz. Tak membantu sangat tapi bolehlah. Azlie sedang menemankan isterinya makan buah mangga. Perempuan mengandung tak dapat lari dari buah mangga. Nasib baik mak dah tanam tiga batang pokok mangga kat depan rumah. Kalau Cik Aina pregnant nanti dia tinggal gait je. Huish kata izin belum dapat dah angan-angan tinggi.

“Assalamualaikum pakcik…” dengan suara selembut mungkin dia memberi salam. Pakcik Misai sedang duduk sambil silang kaki di sofa ruang tamu. Nampak sangat aura negative. Mungkin sedang marah.

“Waalaikumsalam… duduk.”

Hafiz duduk di sofa bertentangan. Buku diletakkan dahulu di lantai.Buku tu jaminan dia serius. Sekarang ni nilai semua novel-novelnya jadi sandaran betapa seriusnya dia. Nak beli cincin kedai dah tutup.

“Kenapa kamu nak kahwin dengan Aina. Kata Aina kamu baru nak berkenalan?” soal Pak Cik Misai. Hafiz diam memikirkan jawapan.

“Mungkin dah jodoh pakcik.” Jawab Hafiz kurang yakin. Kenapa dia nak kahwin sebab dia nak kahwin.

“Kenapa kamu pilih anak pakcik?”

“Mungkin dah jodoh pakcik.” Jawapan yang sama Hafiz beri. Dia tak tahu jawapan lain. tak sempat bersedia dengan jawapan. Mana tak seram tengok misai lentik Pak Cik Misai ni.

“Tak ada jawapan lain ke…”

Hafiz telan air liur. Apa nak jawab ni.

“Tak ada pakcik… jujur saya cakap saya pun tak tau kenapa saya nak kahwin dengan anak pakcik. Tapia pa yang saya tau saya dah jadi wajib kahwin sejak jumpa anak pakcik. Tiap masa tiap detik saya nampak muka dia. tengah kait buah mangga pun nampak muka dia. jadi sebelum saya melakukan dosa yang lain lebih baik saya ajak dia kahwin. Dia pun kata kat saya nak buah hati yang halal… saya rasa itu dinamakan jodoh tu.” Panjang lebar Hafiz jawab. Dia harap jawapan tu betul. Kalau tak diterima memang kena ucap selamat tinggal kat Cik Aina.

“Apa jaminan kamu boleh jaga anak saya dengan baik?”

“Selagi nikmat cinta saya pada Aina masih ada selagi itu saya akan jadikan Aina permaisuri hati saya. Dia akan jadi perempuan kedua terpenting dalam hidup saya selepas mak saya. Saya tak mampu nak berjanji untuk bahagiakan dia sehingga akhir hayat kerana kita tak tahu perancangan Allah. Namun selagi ada jodoh saya dengan Aina saya akan jaga dia sebaik-baiknya.”

Giliran Pak Cik Misai diam. Dia memintal hujung misainya seperti berfikir sesuatu. Bukan dia tak suka Aina berkahwin tapi sangat mendadak sampai dia sendiri tak sempat nak bertenang. Baru seminggu lalu Aina solo taka da kekasih. Tiba-tiba sekarang nak kahwin. Siapalah dia untuk menghalang rencana Allah. Kalau betul pemuda di hadapannya bakal menjadi suami Aina dia tak mungkin tolak.

“Kamu kerja apa? Gaji berapa?”

“Saya tulis novel je pakcik… gaji tu adalah sikit. Cukuplah setakat nak beli barang keperluan.” Dah tanya pasal kerja kira enam puluh peratus jadi. Takkan nak bagi tau royaliti dia dapat berapa kot. Biarlah bakal pak mertuanya tahu sendiri nanti.

“Ini novel tulisan saya…” Hafiz mengambil novel yang diletakkan di sebelah sofa. Dia serahkan koleksi novelnya kepada Pak Cik Misai. Hafiz hampir tergelak tengok reaksi Pak Cik Misai. Kata Aina dia peminat Dhiya Dzulkarnain. Peminat tegar dapat koleksi penuh dah tentu speechless. Memang Pak Cik Misai tak terkata apa-apa hanya merenung koleksi buku yang berikat tadi.

“Dhiya Dzulkarnain ke… pakcik ingatkan perempuan rupanya lelaki. Ni semua hasil karya kamu ni.”

Hafiz dah agak ramai yang sangka dia perempuan. Mentang-mentanglah dia penulis misteri. Rasa nak gelak pun ada. Tapi kena control sikit depan bakal bapa mertua.

“Kalau macam ni kira jadi!”

Hafiz terkejut dengan suara Pak Cik Misai. Dia urut dada. Dia dua orang kat ruang tamu ni tak perlu kot jerit macam tu sekali.

“Jadi ke bapaknye…” sayup-sayup kedengaran suara dari bilik Azlie. Cik Aina keluar dari bilik bersama seorang perempuan yang agak berumur. Mak dia barangkali. Cik Aina senyum malu-malu.

“Confirm jadi menantu… kita uruskan secepat mungkin.”

Hafiz nak melompat meraikan kegembiraan dia tapi segan pulak. Pak Cik Misai belum jadi bapak mertua lagi baru bakal aje.

“Koleksi ni bapak punya ye…” Pak Cik Misai bahasakan diri sebagai bapak. Hafiz suka hafiz suka. Jerit hafiz dalam hati.

“Memang untuk bapak tapi dengan syarat jangan jual…”

****

“Sah…”

Hafiz senyum lebar. Akhirnya pada empat belas Syawal Cik Aina sah bergelar Puan Aina. Majlis diadakan dalam sederhana tapi cukup meriah. Mujur juga keempat-empat kakaknya sudi jadi perancang perkahwinan. Orang perempuan ni janji duit ada semua kerja siap dan tip top. Majlis diadakan serentak kedua-dua belah pihak untuk menjimatkan kos.

Selepas ini janjinya untuk membawa seluruh ahli keluarganya untuk bercuti sebagai tanda terima kasih kerana sudi menjayakan majlis pernikahan ekspress dia. Dia jeling Kak Ipah dan Kak Yunie di sebelah sudah tersengih-sengih membayangkan koleksi pinggan mangkuk baru yang bakal di beli di Langkawi nanti. Kak Ida dengan Kak Yati, cukuplah second honeymoon beserta duit beli coklat. Mak apa saja mak nak dia akan beli.

Untuk Puan Aina, rumah sedang di bina di belakang rumah mak. Bila siap je mereka berdua akan terus pindah. Mak pun awal-awal dah halau. Kalau duduk dengan mak nanti dia dengan Aina tak dapat main kejar-kejar kata mak. Mak memang tak sabar nak dia keluar senang nak bersantai-santai dengan BFF baru dia. Siap plan nak beli sauna taruk kat rumah. Apa saja untuk mu mak.

“Tahniah Puan Aina… terima kasih kerana sudi jadi isteri saya…”

Niat mereka untuk menjadi pengantin aidilfitri tercapai. Kedua-dua mempelai saling bertukar senyuman. Kalau dah jodoh jumpa seminggu pun boleh jadi isteri. Kalau bukan jodoh tunang sepuluh tahun pun tak akan kahwin. Semua ketentuan Allah. Cepat atau lambat jodoh sampai itu urusan Allah.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.