Home Cerpen Komedi/Romantik Komedi QAIS DAN LAILA
QAIS DAN LAILA
2/6/2016 17:42:54
2,518
Kategori: Cerpen
Genre: Komedi/Romantik Komedi
QAIS DAN LAILA

Lautan adalah kumpulan air masin yang sangat banyak dan luas di permukaan bumi yang memisahkan atau menghubungkan suatu benua dengan benua lainnya dan suatu pulau dengan pulau lainnya. Itu pengertian lautan mengikut Encik Google. Bagi aku lautan menyimpan seribu satu rahsia alam yang sukar dimengertikan. Lautan yang tenang sangat cantik dan mendamaikan. Namun lautan ganas bisa menerbitkan tsunami yang mampu menjadi pembunuh ribuan nyawa manusia.

Hidup aku ibarat lautan ada ketikanya tenang tanpa sebarang masalah. Dan ada ketikanya ibarat badai melanda tepian pantai bertubi-tubi. Masalah hadir tanpa sebarang amaran dan tanpa sempat aku siaga. Dan kini aku di tepi pantai menghadap lautan luas atau lebih tepat lagi Selat Melaka, menangisi masalah yang hadir dalam hidupku.

Deruan ombak yang memecah pantai mencuit hatiku yang kosong. Aku tak mampu menipu diriku sendiri. Aku bersedih kerana seorang lelaki. Buat kali pertama air mata aku hadir kerana seorang lelaki. Dia yang bernama kekasih. Sungguh aku gila. Menangisi lelaki tak guna yang menyakiti hatiku.

“Aku benci kau Zikri… aku benci kau.” Aku tunduk kesedihan di pinggir pantai. Membiarkan ombak memukul lembut kakiku. Sungguh aku sukar untuk melupakan dia. Aku rindukan dia. Aku bencikan dia. Aku campakkan anak patung beruang kecil pemberian Zikri padaku. Patung kunci sebenarnya. Hanya itu sahaja pemberian Zikri padaku. Biar anak patung itu pergi di bawa ombak.

“Tindakan saudari membuang patung tu ke lautan ibarat membunuh lautan itu sendiri. Jika berpuluh-puluh atau beratus-ratus manusia seperti saudari alamtnya keindahan pantai dan lautan akan hilang dek sifat manusia yang suka membuang sampah merata-rata. Bukankah elok saudari buang saja patung tu dalam tong sampah. Atau sedekahkan saja pada kanak-kanak yang sedang bermain di sana…”

Aku terkesima. Pemuda itukah yang berkata-kata padaku sebentar tadi. Aku kesat air mataku. Aku jadi malu. Bukan kerana aku terkesan atau terasa hati dengan kata-kata dia. Dia sangat seiras dengan wajah pelakon Twilight yang aku minati, Edward Cullen atau nama sebenarnya Robert Pattinson. Kenapa mesti aku melihat seraut wajah itu saat aku terluka. Biar aku simpan wajahnya baik-baik di ingatan. Buat bekal untuk aku lupakan Zikri yang paling aku benci.

“Terima kasih saudara… harap kita tak berjumpa lagi.” Aku menundukkan kepala sedikit tanda hormat. Hormat pada dia yang teramat peka dengan alam sekitar. Aku kutip patung kecil yang aku campak tadi. Aku harap aku tak berjumpa dia lagi. Bukan kerana aku segan atau malu. Aku takut bermimpi indah jika aku bertemunya lagi. Siapalah aku untuk bermimpi indah. Aku campakkan patung kecil tadi ke dalam tong sampah. Jagalah kebersihan pantai.

*****
 ‘Seorang bakal isteri seharusnya lemah lembut dan sopan bicaranya bukan kasar atau ganas’ kata-kata Zikri tak dapat aku buang dari ingatanku. Hampir setiap saat aku tenggelam dalam lautan kesedihan. Kenapa dia menabur janji dan memungkiri. Kenapa tak dari awal lagi dia fikirkan aku yang serba kekurangan. Kenapa setelah bertemu dia isu ini timbul. Aku tiada rupa dan juga harta.

“Pekerja yang sering berkhayal atau memikirkan masalahnya semasa bekerja ibarat makan gaji buta. Adakah rezeki yang di dapati itu halal atau…”

Aku angkat kepala. Kenapa mesti dia lagi. Dan kenapa mesti dia hadir dengan kata-kata yang sangat menusuk hati. Aku sedar silapku. Bukankah molek kalau sekadar mengetuk meja atau berdehem sekurang-kurangnya. Namun aku akui itu semua salahku. Benar kata dia rezeki itu jadi kurang berkat jika aku kerja tak bersungguh-sungguh.

“Maafkan saya encik…” hanya sekadar kata maaf mampu aku lontarkan.

“Jangan berkhayal di tempat kerja. Kalau penjahat yang masuk tadi habis hilang semua barang-barang dalam kedai ni dicuri…”

Aku menangis dalam hati. Wahai pemilik wajah yang tampan kenapa tuturmu ibarat jarum menusuk ke hati. Tahukah kau pemilik wajah tampan hatiku sedang sakit tak terubati. Tak salah kau berikan senyuman manismu sebagai penawar. Biar aku bermimpi indah asal hatiku bisa sembuh.

“Tangisan dan perempuan tak dapat dipisahkan. Cengeng "

Aku harap kita tak berjumpa lagi wahai pemilik wajah tampan. Tuturmu berbisa mampu membunuh sekeping hati milik aku.

***** 
“Lain kali ada mata tu guna elok-elok. Jangan jadi celik tapi buta. Kurang ajar betul!” Aku gagal mengawal amarahku bila motorsikal kesayanganku tergesel dengan sebuah motorsikal lain. Tanpa sebarang kata maaf terus sahaja penunggang motorsikal itu berlalu pergi.

“Kan molek kalau bibir indah milik saudari mengucap kata-kata yang indah. Kata-kata yang indah menunjukkan peribadi kita yang mulia…”

Kenapa mesti dia lagi. Adakah Allah tak memperkenankan permintaanku untuk tidak ditemukan dengan dia lagi. Atau ada yang tersirat di sebalik semua ini. Kenapa mesti terjadi pertemuan demi pertemuan. Dia tersenyum dari dalam keretanya. Aku pasti dia anak orang kaya. Kereta BMW merah. Kereta yang pernah singgah dalam mimpiku. Semuanya hanya dalam mimpi kerana aku hanyalah anak seorang ibu tunggal. Ayahku meninggal sebelum aku dilahirkan lagi.

Aku hanya mampu tersenyum. Ya Allah perkenankan doaku. Jadikanlah pertemuan ini yang terakhir buat kami. Hati aku sembuh dah robek pada masa yang sama. Sembuh melihat senyuman dia robek mendengar kata-kata dia.

*****

 “Aku rasa nak potong pendek rambut aku ni.” aku membelek rambut ku di cermin.

“Kenapa nak potong. Takkan kecewa sebab putus cinta kot?” Soal Liyana. Jawapan aku mungkin ya.

“Taklah… dah rimas rambut panjang.” Bohong aku. Rasa bersalah menguasai diri kerana berbohong pada sahabat baikku sendiri. Mungkin aku perlu berubah angin atau bertukar imej untuk melupakan Zikri. Alang-alang dia kata aku ganas biar aku berubah watak.

“Aku nak pergi tandas kejap…”

Aku pandang kelibat Liyana yang sudahpun keluar dari kedai. Suasana sunyi di kawasan pam minyak. Aku sempat melirik jam di dinding pukul sebelas pagi. Sebentar lagi suasana sunyi ini akan hilang.

“Rambut adalah mahkota seorang wanita… dalam islam rambut adalah aurat. Kenapa mesti memotong pendek dan menyerupai lelaki. Bukankah molek kalau saudari menutupi rambut saudari dengan hijab.”

Kenapa dia mesti hadir dengan wajah tampan tapi mulut berbisanya. Apa rencana Allah untuk aku dengan dia. Adakah hobi terbaru dia untuk menyakiti hati aku.

“Rambut saya milik saya suka hati saya…” jawabku. Rasanya sabarku sudah hilang. Pemilik wajah tampan ini betul-betul membuatkan aku marah.

“Saudari milik Allah seharusnya patuh pada suruhan Allah untuk melindungi aurat saudari. Saya tak suka perempuan berambut pendek. Saya suka perempuan yang melindungi auratnya dari pandangan lelaki bukan muhrimnya…”

Aku pandang dia atas bawah. Pemilik wajah yang tampan. Bolehkah aku bertukar watak menjadi makhluk ganas untuk menzahirkan marahku. Mungkin kau juga sama seperti lelaki-lelaki lain yang hanya sukakan keindahan. Wanita seperti aku hanya layak untuk disakiti.

Aku coretkan sesuatu atas kertas. Biar aku buat sesuatu yang gila demi untuk mengusir lelaki ini. Wajahnya cukup tampan dan memikat hati tapi kata-katanya cukup tajam dan menikam. Dia fikir aku siapa untuk dia sakitkan hatiku. Aku perlu lancarkan serang balas. Bukan Laila namanya kalau tak melawan.

Aku sengaja mendekati dia. Memandang wajahnya sedekat yang boleh. Kulitnya putih bersih dan licin. Kalah aku seorang perempuan. Kulitku kasar dan berminyak. Matanya berwarna coklat dan cantik. Memang aku pasti pemilik wajah tampan ini pujaan ramai wanita. Termasuk aku kalau ikutkan mimpi-mimpi indah ku. Aku hanya mampu memiliki wajah ini dalam mimpiku.

“Kalau saudara tak suka saya berambut pendek, jadilah suami saya. Saya akan simpan rambut saya sepanjang mana yang saudara mahu.” Dari mana datang keberanian itu. Kenapa aku ucapkan kata-kata berbaur lamaran itu. Kemana hilang maluku.

Dia tersenyum. Bukan, dia tersengih sedikit. Menampakkan barisan giginya yang putih bersih. Bibirnya merah dan sangat menarik. Betapa kedilnya aku di sisi dia. Seharusnya aku tampar pipiku sendiri. Kenapa aku melamar dia. Lelaki yang serba sempurna. Aku ibarat sampah tak berharga.

“Adakah ini satu lamaran…” dia tesenyum lagi. Nama Zikri mula hilang bila dia senyum.

“Bukan lamaran tapi amaran. Rambut saya hak milik saya. Tapi rambut saya juga boleh jadi hakmilik suami saya. Ini alamat rumah saya dan kalau rasa sayang nak tengok rambut saya pendek silalah nikahi saya.” Aku menyelitkan sekeping kertas di kocek jaketnya.

Aku berikan senyumku yang paling manis. Aku pasti dia tak akan muncul lagi di sini. Pasti dia akan ingat aku seorang perempuan yang tak malu melamar dia dan mencabar dia untuk jadi suami. Kalau aku seorang wanita cantik miliki harta mungkin sepadan dengan dia. Tapi aku hanya perempuan biasa yang berkulit kusam dan langsung tak miliki apa-apa.
Dia jeling aku. Hatiku mula goyah. Kenapa pemilik wajah tampan ini sentiasa mengujiku. 

Jelingan dia seakan menggodaku. Kenapa mesti dia lemparkan jelingan yang mampu melumpuhkan seluruh urat saraf wanita yang lemah seperti aku. Tutur bicaraku mungkin kurang sopan. Tapi aku tetap wanita yang boleh lumpuh hanya dengan pandangan menggoda seorang lelaki.

“Liyana aku nak pergi tandas…” lebih baik aku aku lari sebelum aku tewas.

***** 
Petang itu aku pulang seperti biasa dengan motor peninggalan arwah ayah. Hari-hariku juga seperti biasa. Habis kerja di stesen minyak sambung kerja sambilan di restoren sebagai pencuci pinggan.

Zikri aku kenali sebagai anak saudara tuan punya restoren sebelah tempat aku kerja. Aku segan untuk berkawan dengan dia kerana aku sedar aku siapa. Tapi dia yang bersungguh mahu berkawan dengan aku. Mahu bercinta dengan aku. Dia tak pandang rupa dan harta katanya.

Tapi itu semua dusta. Datang Kamelia yang cantik menawan perlbagai tohmahan dia lemparkan. Zikri dan Kamelia sudah mengikat tali pertunangan dan bakal menikah hujung bulan ni. Biarkan Zikri hidup sebagai seorang pendusta. Aku tetap harus kuat untuk ibu.
Aku lihat berderet kereta mewah di hadapan rumah ku. Aku kira ada lima buah semuanya. Rumah papan yang sudah uzur peninggalan arwah ayah di penuhi dengan insan-insan yang aku tak kenali. Ada orang nak beli tanah arwah ayah ke. Kenapa pula banyak BMW dan Mercedes beratur.

Aku lihat lelaki-lelaki berbadan tegap dan berkacamata hitam berdiri ibarat tugu di hadapan rumah ku. Ah Long ke. Tapi Ah Long tak akan sebaik ni. Kalau Ah Long hanya pandai guna keganasan. Aku melangkah perlahan masuk ke dalam rumah. Ada lagi lelaki berbadan tegap sedang berdiri menghadap ibu.

Aku berlari mendapatkan ibu. Aku risau jika ibu di apa-apakan. Aku lihat wajah ibu kebingungan. Ibu memandangku seakan meminta jawapan. Aku turut bingung. Jawapan apa yang ibu minta sedangkan tiada soalan yang timbul.

“Saya terima lamaran saudari. Dan mulai dari hari ini tolong simpan rambut saudari hanya untuk pandangan saya seorang.”

Dia tenang sahaja duduk bersila. Aku terduduk. Benarkah apa yang aku lihat dan dengar. Menyesal aku memberikan alamat rumahku pada dia.

“Kenapa seorang yang kaya mahu mempermainkan hidup yang miskin.” Kenapa dia datang ke sini. Apakah aku silap percaturan. Aku sangka dia akan lari sejauhnya. Seorang lelaki perlukan wanita yang sepadan dengannya. Aku dengan dia ibarat langit ketujuh dengan bumi. Jauh sungguh jaraknya.

“Saudari yang melamar saya tadi dan saya menerimanya… kenapa saya dituduh mempermainkan hidup orang yang miskin. Bukankah saudari yang sepatutnya dituduh mempermainkan perasaan seorang lelaki yang baik seperti saya.” Dia tetap tenang. Aku pula yang bergelora. Salah aku kerana mencabar dia. Aku patut minta maaf kerana mengajak dia menari tarian yang tak sama rentak denganku.

“Tapi saya…kita tak layak…”

Aku hanya pandai berzapin sedangkan dia pandai bertanggo barangkali. Sungguh aku rasa kami adalah pasangan yang sangat aneh jika bersama.

“Mulai dari hari ini rambut ini akan jadi milik saya. Hanya untuk tatapan saya…”

Dia mendekat dan melilitkan sehelai selendang di kepalaku. Ya Allah adakah dia betul-betul menerima lamaranku. Apa niatnya. Aku pandang anak matanya. Mencari sebuah erti kejujuran. Namun sinar matanya sangat redup. Sukar untuk aku tafsirkan. Sama seperti Edward Cullen dalam Twilight sentiasa dingin dan beku. 

*****
 Aku berdiri menghadap laut. Bukan lautan yang sama tempat aku menghamburkan kesedihan dahulu. Sekarang bayang-bayang kesedihan sudahpun lenyap. Bunga-bunga bahagia sedang terhampar dalam hidupku. Aku biarkan kakiku basah dipukul ombak yang semakin lemah. Angin senja menampar lembut pipiku. Senyuman aku lemparkan buat sang laut yang banyak berjasa padaku. Laut manapun asalnya tetap satu laut. Bersambung menjadi satu.

Sepasang tangan tiba-tiba melingkari pinggangku. Aku tersenyum sendiri. Pasti si dia. Dapat kurasa desahan nafasnya ditelingaku. Aku ditarik ke belakang rapat dengannya. Sebuah pelukan erat dihadiahkan oleh suami tersayang. Aku bahagia. Aku bahagia jadi isterinya.

“Seorang Qais tak pernah boleh hidup tanpa seorang Laila…I Love you.” Manisnya bicara seorang Qais. Tutur yang dulu ibarat jarum menusuk hati bertukar semanis gula-gula kapas. Seorang Qais yang tampak dingin dan beku menjadi suami yang paling memahami dan romantic.

Aku senyum. Memang benar sangkaku. Pasti Allah punya rencana lain dengan menghadirkan wajah tampan milik Qais saat aku sedang terluka. Saat seorang lelaki menghancurkan sekeping hati milik aku Dia hadirkan Qais untuk menyembuhkan lukaku. Langit tak selamanya mendung. Cuaca cerah pasti akan muncul akhirnya.

“Takkan hanya kerana nama Laila seorang Qais melamar saya.” Aku tak tau berapa kali aku tanyakan soalan itu.

“Seorang Laila hadir ketika seorang Qais berdoa agar Allah menganugerahkan jodoh terbaik buat dia. Seorang Qais yang kecewa di kecewakan seorang wanita bernama kekasih. Hadir seorang Laila sedang menangis juga sedang kecewa dikecewakan. Laila yang sedang menangis tampak cantik di bawah lembayung senja.”

Sebuah ciuman singgah di pipiku. Kisah kami sama. Sama-sama kecewa dalam bercinta. Bezanya dia berdoa memohon jodoh terbaik dari Allah. Manakala aku mencampakkan patung kecil yang pernah di hadiahkan bekas kekasih. Di hadapan laut kami sama-sama mahu melupakan kenangan lalu.

“Tapi…”

“Kecantikan bagi mata lelaki berbeza-beza. Laila yang cengeng, Laila yang garang dan Laila yang berani adalah Laila yang paling sempurna buat seorang Qais. Takkan seorang Qais akan tolak lamaran Laila yang jadi impian dia. Laila yang berjaya buatkan dia jatuh cinta kali kedua.”

Aku cukup bahagia bila terkenangkan jalan hadirnya jodoh kami. Lautan menjadi saksi kecewa dua insan. Lautan juga jadi saksi jodoh pertemuan aturan tuhan. Kini lautan menjadi saksi cinta Qais dan Laila. Saksi cinta kami berdua. 

Aku pusingkan badan mengahadap dia. Menilik sepuasnya wajah tampan milik Ahmad Qais. Aku tak perlu bermimpi lagi. Pemilik wajah tampan itu suamiku sendiri. Terima kasih Ya Allah kerana menganugerahkan seorang Qais buat Laila. Anugerah sebuah cinta dari Allah yang maha esa. Semoga jodoh kami kekal hingga ke syurga Jannah.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.