“Semua sudah ada di sini?” Tanya Tuan Mansor sebaik sahaja
dia memasuki bilik mesyuarat itu. Matanya menangkap wajah seorang pekerjanya
yang kelihatan lesu. Dia mengeluh kecil lalu memandang setiausahanya. “Ada lagi
yang belum sampai?”
“Tak ada, tuan. Semuanya sudah ada di sini,” jawab
setiausahanya, sopan. Tuan Mansor angguk lalu melabuhkan duduknya di kerusi
empuk yang telah disediakan. “Kita mulakan mesyuarat sekarang.”
Seorang demi seorang pekerjanya membentangkan laporan
bulanan untuk jabatan masing-masing. Sebaik sahaja wakil bahagian operasi
selesai dengan laporannya, pekerja di sebelahnya tiba-tiba menguap. Spontan,
ahli mesyuarat yang lain memandang tepat ke arahnya. Lelaki itu tunduk, malu.
Tuan Mansor menghempaskan keluhan kasar. “Saya sangat kecewa
dengan awak, Encik Zikri. Baru tadi saya nampak muka awak lesu. Sekarang ini
pula. Awak macam tak peduli dengan mesyuarat ni. Awak tahu tak, jika seseorang
itu menguap seperti itu dalam mesyuarat, bermakna orang itu tidak bersemangat!”
ujarnya. Tegas dank eras.
“Maaf, tuan. Saya…!”
“Awak sokong pasukan mana malam tadi?” tebak Tuan Mansor
lagi tanpa sempat Zikri menghabiskan kata-katanya. “Awak ingat saya tak tahu
ada perlawanan bolasepak pagi tadi?”
“Tuan,” setiausahanya angkat tangan sedikit. “Saya minta
maaf sebab menyampuk. Tapi setahu saya, Zikri bukan peminat bola sepak.”
Tersentak Tuan Mansor mendengarnya. Ini kali pertama dia
berjumpa seorang lelaki yang tidak meminati sukan bola sepak. Dia kembali
memandang Zikri. Nada suaranya mulai direndahkan. “Habis tu?”
“Maaf, saya ingin menyatakan bahawa sepatutnya saya tidak
dapat menghadiri mesyuarat ini. Tapi saya cuba juga untuk menghadirinya kerana
mesyuarat ini sangat penting.”
“Kenapa?”
“Anak saya… anak saya diserang asma malam tadi, tuan.
Semalaman saya menjaganya di hospital. Jadi malam tadi saya benar-benar tidak
dapat tidur.”
Mereka yang berada di dalam bilik mesyuarat itu terkejut
mendengar kata-kata Zikri. Namun Tuan Mansor masih bersahaja. Dia bangun dari
duduknya. “Mesyuarat ditangguhkan kepada dua hari lagi. Zikri, ikut saya
sekarang.”
Tuan Mansor terus melangkah menuju ke biliknya tanpa
bersuara sepatah kata pun. Zikri terus mengekori dari belakang meskipun
jantungnya berdegup kencang.
Sebaik sahaja Tuan Mansor membuka pintu biliknya, dia
terlihat seorang gadis sedang duduk di atas sofa. Senyuman nipis terukir di
bibir lelaki itu. “Dah lama sampai?”
“Baru je,” gadis itu bangun dari duduknya. “Kalau papa ada
kerja, saya boleh tunggu di luar. Siapkanlah kerja papa dulu…!”
“Tak apa, Farhana. Tunggu saja di situ,” tegah Tuan Mansor
tanpa memandang ke arahnya. “Tak lama pun urusan kali ni. Sekejap je.”
Farhana hanya melihat dari jauh segala tindak tanduk Tuan
Mansor. Lelaki itu mengeluarkan buku cek dari laci meja. Ditulis sesuatu di
atas cek tersebut lalu diserahkan kepada Zikri yang masih berdiri tegak. “Ambil
ni. Balik rumah, jaga anak awak sampai sembuh.”
Terketar-ketar Zikri menyambut cek bernilai seribu ringgit
itu. “Tuan… tuan pecat saya ke ni?”
“Pecat?” tanya Tuan Mansor. “Saya bagi awak cuti untuk awak
jaga anak awak sampai sembuh. Bukan pecat pun. Cek tu, sumbangan dari saya
untuk ringankan beban awak. Jaga anak awak sampai sembuh, ya?”
Air mata Zikri menitis laju. “Alhamdulilah… terima kasih
tuan! Terima kasih… hanya Allah yang dapat membalas jasa baik tuan. Terima
kasih!”
Tuan Mansor senyum. “Duit boleh dicari. Kerja boleh tunggu.
Tapi keluarga, tak ada galang ganti. Baliklah. Kirim salam pada keluarga ya!”
“Baik, tuan! Terima kasih, tuan!” kelam kabut Zikri keluar
dari bilik itu. Terlopong Farhana melihatnya. “Wow, papa! You look impressive!”
Tuan Mansor tidak mempedulikan kata-kata Farhana itu. Usai
menyimpan semula buku cek ke dalam laci, dia memandang tepat ke arah anak
perempuannya itu. “Bila Farhana nak mula kerja ni? Dah empat bulan Farhana
habis belajar. Tak kesian ke dengan papa, sorang-sorang je uruskan syarikat ni?
Tak nak tolong papa?”
“Papa, belum cukup enam bulan lagi. Masih ada dua bulan
lagi,” Farhana tegakkan dua jarinya sambil senyum manis. “Lepas dua bulan, baru
saya akan kerja dengan papa, okey?”
“Ye la tu,” Tuan Mansor senyum senget. Dia geleng kepala
perlahan. “Lagi satu, papa nak tanya…!”
“Pasal kahwin la tu. Papa…,” rengek Farhana perlahan. “Saya
belum pun mula kerja lagi. Papa dah sibuk-sibuk pasal benda tu. Nantilah…”
“Bukan. Papa bukan nak tanya pasal tu.”
“Habis tu?”
“Siapa Khalil?”
*****
Usai solat Isya’, Khalil mengambil keputusan untuk
bermalas-malasan di atas katil. Kesibukan kerja yang menghimpit membuatkan
tubuhnya berasa sangat letih. Dia mahu berehat.
Namun, belum sempat kepalanya mencecah bantal, matanya
tiba-tiba terbuka luas. Mulutnya terkumat-kamit. Sebentar kemudian dia senyum.
Dia bangkit, menuju ke meja tulis. Ilham yang datang sebentar tadi diterjemah
dalam bentuk tulisan. Selesai, dia menamakan puisinya itu, ‘Lara Hati’.
Sebaik sahaja dia menyimpan kembali buku notanya, matanya
tertancap pada rantai kunci yang terletak elok di atas meja. Spontan Khalil tersenyum,
mengenang cerita di sebalik rantai kunci itu.
“Kau kat mana, Tam? Dah lama aku tunggu ni. Kau nak kucing
bertanduk baru kau nak sampai ke?” sempat Khalil menyindir dalam kata-katanya.
Hilai tawa Tam di hujung talian hanya membuatkan hatinya tambah membara. “Aku
tanya ni!”
“Maaf, bro,” ucap Tam di hujung tawanya. “Kat sini hujan
tadi. Jadi aku naik kereta. Kau faham-faham sajalah, petang-petang macam ni.
Sesaknya jalan raya macam mana.”
Khalil mendengus. Dia faham keadaan di kotaraya bagaimana
apabila hujan mula membasahi bumi. “Habis tu…!”
“Three!”
“Kau!” bentak Khalil. Tawa Tam pecah lagi di hujung talian.
“Aku dah nak sampai. Cuma lambat sikit. Aku sendiri tak boleh jangka berapa
lama lagi. Kau tunggu sajalah.”
“Nak buat macam mana,” Khalil mengeluh lagi. “Agak-agaknya
kan, sementara tunggu kau sampai ni, aku boleh buat apa?”
“Banyak,” jawab Tam. “Kau boleh kira runmput, kira awan,
kira kereta, kira motor, kira orang lalu lalang….”
“Okey…,” balas Khalil. “Aku boleh mengorat tak barang
seorang dua?”
“Cadangan yang bagus!” suara Tam sedikit melonjak di hujung
talian. “Simpankan satu dua nombor telefon perempuan cantik untuk aku ye! Nanti
aku belanja kau pizza.”
“Aku masih mampu beli pizza sendiri la,” jawab Khalil cepat.
“Anak dah dua kat rumah pun masih nak menggatal. Tampar karang baru tahu.”
Gelak tawa Tam yang semakin kuat di hujung talian tidak
dipedulikan Khalil apabila matanya menangkap satu pemandangan yang
mencurigakan. Dua orang lelaki yang berada di atas motorsikal merenung tajam ke
arah seorang gadis yang sedang berjalan di tempat letak kereta. Bagaikan dapat
menghidu sesuatu yang tidak baik akan berlaku, Khalil mulakan langkah dengan berhati-hati.
“Aku telefon kau balik!”
Lelaki-lelaki itu yang tidak menyedari kehadiran Khalil,
terus menunggang motosikal laju ke arah gadis tersebut. Menyedari hal itu,
Khalil mempercepatkan langkahnya.
“Cik! Bahaya!”
Segalanya berlaku dengan begitu pantas. Belum sempat gadis
itu menoleh, Khalil sudah menerpa ke arahnya. Kedua-duanya tergolek di atas
jalan raya, beberapa ketika sebelum lelaki bermotosikal melintasi mereka.
Khalil dapat mendengar lelaki-lelaki itu menyumpahnya. Apa dia peduli? Janji gadis
ini selamat daripada menjadi mangsa mereka.
“Awak taka pa-apa?”
“Tak. Saya okey,” jawab gadis itu sambil menggosok
lengannya. “Tapi, tadi tu kenapa?”
“Diorang nak ragut awak tadi.”
“Apa?” buntang mata gadis itu mendengarnya. Dia pandang
kembali ke jalanraya. Lelaki bermotosikal itu sudah hilang entah ke mana.
“Kalau awak tak muncul tadi, entah apa yang akan jadi pada saya. Terima kasih,
awak.”
“Sama-sama,” jawab Khalil. “Lain kali, berhati-hati. Jangan
terlalu leka. Jenayah dah berleluasa di kota sekarang. Saya bukan Superman,
dapat selamatkan awak selalu.”
Meletus tawa gadis itu mendengar kata-kata Khalil. Namun
tawanya reda apabila bunyi hon kedengaran. Dari dalam kereta, Tam menjenguk
penuh rasa ingin tahu. “Apa dah jadi?”
Khalil menggeleng perlahan. Dia bangun dari duduknya dan
turut membantu gadis itu berdiri. “Awak tak apa-apa, kan?”
“Awak dah tanya soalan ni kat saya tadi. Saya okey. Tapi
awak…,” gadis itu pandang Khalil dari hujung rambut ke hujung kaki
berulangkali. Kemudian matanya menangkap sesuatu. “Tangan awak luka.”
Spontan Khalil melihat tangannya yang berdarah. Baru terasa
kesakitan luka akibat tindakan drastiknya sebentar tadi. Namun dia tidak mahu
menunjukkan kesakitan itu di hadapan gadis itu. “Sikit je ni.”
“Bersihkanlah dulu darah tu. Ambil ni,” gadis itu
menghulurkan sebungkus tisu. Khalil tergamam apabila mendapati ada rantai kunci
terselit di dalam bungkusan itu itu.
“Oh, anggap saja itu hadiah tanda terima kasih daripada
saya,” jawab gadis itu sambil tersenyum. “Nama saya Farhana. Nama awak?”
Deringan telefon yang kuat mematikan lamunan Khalil. Lebar
senyumannya apabila memerhatikan nama yang terpapar di skrin.
“Assalamualaikum, Farhana.”
“Waalaikumsalam. Khalil, papa saya nak jumpa awak.”
“Hah?”
*****
Farhana meletakkan Ipadnya dengan cermat sebaik azan Maghrib
kedengaran. Dia bangkit, menyahut seruan menuju kejayaan itu dengan menunaikan
solat fardu tiga rakaat.
Usai menunaikan solat, dan berdoa, Farhana duduk seketika
sambil bibirnya melafazkan zikir dengan nada yang perlahan. Perbualan dengan
Tuan Mansor tempoh hari kembali terngiang di cuping telinga. Farhana senyum.
“Siapa Khalil?”
“Eh?” Farhana nyata terkejut mendengar nama itu disebut Tuan
Mansor. “Khalil tu kawan saya. Kenapa dengan dia?”
“Sebab dia ke, Farhana berubah begini?”
“Apa? Papa cakap apa ni? Sebab dia, saya berubah? Bila masa
pula saya berubah?” Farhana kerut dahi. “Saya masih anak papa, kan?”
“Farhana dah mula solat. Farhana dah mula berbaju longgar.
Farhana dah tak mesra dengan sepupu-sepupu Farhana…,” Tuan Mansor ambil nafas
seketika. “Papa dah siasat. Semua ni berubah sejak berjumpa dengan si Khalil
tu. Sebab dia, Farhana dah tak mesra dengan keluarga sendiri.”
“Papa…,” Farhana bersuara lembut. “Saya bukan dah tak mesra
dengan diorang. Saya masih bergelak ketawa, berkongsi cerita dengan diorang
macam biasa. Cuma, tak ada ‘skinship’ sebab diorang semua tu kan lelaki….”
“Ha, tengok,” potong Tuan Mansor cepat. “Itulah yang papa
maksudkan. Diorang mengadu pada papa, diorang dah tak dapat peluk Farhana macam
dulu. Bukan orang lain, ahli keluarga Farhana juga.”
“Memang, tapi diorang tu sepupu saya je. Diorang boleh
kahwin dengan saya, jadi haram bagi saya bersentuhan kulit dengan diorang. Papa
pun…!”
“Papa tak nak cakap pasal ni,” laju Tuan Mansor memotong
kata-katanya. “Papa nak tanya pasal Khalil. Siapa dia? Di mana dia tinggal?
Siapa ibu bapa dia? Setaraf ke dia dengan kita?”
“Perlu ke semua tu, papa? Perlu ke?”
“Farhana…,” Tuan Mansor bersuara lembut. “Papa cuma tak nak
Farhana hidup susah. Selama ni pun, hanya kesenangan yang papa berikan. Papa
tak nak Farhana tersalah buat pilihan.”
Farhana hanya diam. Suasana yang hening itu mengundang resah
di hati Tuan Mansor. Dia membetulkan duduknya. “Macam ni la. Biar papa jumpa
dia, okey?”
Lambat-lambat Farhana mengukir senyuman. Dan senyuman itu
segar sehingga ke hari ini.
“Papa nak jumpa Khalil,” bisiknya perlahan. “Walaupun aku
dan Khalil hanya kawan biasa, tapi bila papa beria-ia nak jumpa dia, aku mula
rasa sesuatu. Adakah ini cinta?”
Bunyi keriuhan di luar bilik mematikan lamunan Farhana.
Dahinya berkerut, cuba untuk mendengar butir bicara dari luar namun gagal. Dia
menghela nafas halus.
Hasratnya untuk menunggu sehingga waktu Isya’ tiba
dibatalkan. Setelah melipat cermat telekungnya dan diletakkan di atas katil,
dia keluar ke ruang tamu.
“Eh, mak lang!” bila sampai dari Busan?” Farhan terkejut
melihat ibu saudaranya di ruang tamu. Wajahnya berseri-seri. Wanita itu bangun
dari duduknya dan mendekati Farhana. “Dah besar dah anak kak long ni. Dah boleh
kahwin dah.”
“Eh eh, mak lang ni,” Farhana tersipu-sipu malu. “Saya ni
masih muda. Kerja pun belum mula lagi. Nanti-nantilah dulu, mak lang.”
“Masa muda la elok kahwin. Nanti bila anak dah besar, kita
masih belum tua. Macam mak lang. habis belajar je, terus kahwin. Tengok
sekarang, kadang-kadang orang salah anggap, kata anak mak lang tu adik.”
Farhana ketawa kecil mendengar kata-kata mak lang. wanita it
uterus mengusap rambutnya lebut. “Jadi ya, Farhana?”
“Jadi? Apa yang jadi, mak lang?”
“Jadi ya, Farhana kahwin dengan Remy, anak mak lang?”
“Apa?”
*****
Tuan Mansor meneliti kembali fail yang diserahkan
setiausahanya sebentar tadi. Fikirannya berasa sedikti lapang, setelah segala
urusannya selesai beberapa hari ini. Terutamanya urusan dengan Khalil.
“Assalamualaikum. Tuan Mansor, kan?” seorang lelaki datang
menegurnya ketika dia menunggu pesanan makanannya tiba. “Nama saya Khalil. Kita
berjanji untuk berjumpa hari ni. Ingat?”
“Saya tak lupa,” jawab Tuan Mansor sambil tersenyum.
“Duduklah. Lama saya tunggu.”
“Maafkan saya. Motor saya rosak tadi,” Khalil tunduk sedikit
tanda hormat dan maaf, namun tidak dipedulikan Tuan Mansor. Menyedari hal itu,
Khalil terus duduk berhadapan dengan lelaki itu.
“Nama kamu, Khalil?”
“Ya.”
“Nama penuh?”
“Khalil bin Tamrin.”
“Asal mana?”
“Beranang.”
“Tak jauh la dari sini.”
“Ya.”
“Mak ayah ada lagi?”
“Mereka berdua dah meninggal dunia. Masa tu umur saya 10
tahun.”
“Oh,” hanya itu yang mampu diucapkan Tuan Mansor. Kemudian
suasana hening beberapa ketika. Masing-masing menikmati hidangan yang telah
dipesan. Sebaik selesai makan, Tuan Mansor terus bertanya, “Mak kamu kerja apa
dulu?”
“Arwah mak tak bekerja. Dia suri rumah.”
“Ayah?”
“Arwah ayah… dia kerja biasa saja.”
“Kamu pula kerja apa?”
“Saya… despatch saja, tuan.”
“Despatch saja?” sinis nada suara Tuan Mansor pada
pendengaran Khalil. “Dan awak berani mendekati anak saya?”
“Saya dan Farhana… hanya kawan biasa saja, tuan.”
“Kawan biasa?” tanya Tuan Mansor, sinis. “Kawan biasa boleh
member pengaruh yang sangat besar pada Farhana? Kawan biasa boleh buat Farhana
berubah sekelip mata? Kawan biasa boleh buat Farhana lupa kehidupannya? Kawan
biasa boleh buat semua tu ke?”
Khalil diam. Memberi ruang untuk Tuan Mansor terus bersuara.
“Kamu ingat kamu yang hanya bekerja sebagai despatch, yang hanya berkawan biasa
dengan Farhana, mampu ubah Farhana jadi orang lain? Macam tu?”
“Saya ikhlas berkawan dengan Farhana, Tuan.”
“Ikhlas kau tu tak mampu bagi anak aku makan,” balas Tuan
Mansor cepat. “Aku jaga anak aku tu dari kecil. Tak pernah sekalipun aku biarkan
dia hidup susah walaupun sikit. Kau fikir kau mampu bagi kemewahan pada dia
dengan hanya kerja despatch kau tu?”
Khalil telan liur. Tuan Mansor membetulkan duduknya. “Macam
ni sajalah. Aku ada perancangan yang lebih baik untuk anak aku tu. Dan pastinya,
kau tak ada dalam perancangan aku.”
“Saya faham,” ujar Khalil lemah. “Saya tak akan jadi
penghalang dalam perancangan tuan. Saya… akan pergi dari sini.”
“Bagus,” Tuan Mansor mengeluarkan sepucuk sampul dari dalam
poketnya. “Aku harap ini cukup…!”
“Simpan saja duit tuan,” potong Khalil cepat. “Macam yang
saya cakap tadi, saya ikhlas berkawan dengan Farhana. Jadi saya tak perlukan
duit tuan.”
Kata-kata Khalil buat Tuan Mansor rasa terpukul. Cepat-cepat
dia berdehem bagi mengurangkan canggungnya. “Kau menolak rezeki.”
“Rezeki bukan hanya datang dalam bentuk duit,” jawab Khalil
perlahan. “Tuan jangan risau. Saya tetap akan kotakan janji saya.”
Deringan telefon yang kuat memecahkan lamunan Tuan Mansor.
Tanpa melihat pada skrin telefon, dia menjawab panggilan tersebut. “Hello.”
“Abang! Apa yang abang dah cakap dengan Farhana, sampai dia
lari dari rumah?” suara Puan Rania, isterinya kedengaran risau di hujung
talian. Hamper terlepas telefon dari pegangan tangan Tuan Mansor. “Apa?”
*****
“Hati umpama tanah untuk bercucuk tanam, manakala makanan
adalah idea, visi atau gagasan. Apabila tanah tercemar atau rosak, maka tanaman
yang disemai akan rosak atau terus mati. Apabila ditanam di dalam fikiran yang
kotor, maka tunas-tunas yang akan tumbuh adalah yang berpenyakit dan tidak
dapat bertahan lama.”
Khalil menutup perlahan buku yang sedang dibacanya apabila
terdengar keriuhan dari dapur. Dia senyum, lalu bangkit menuju ke sana. Seorang
wanita tua dilihat sedang mengupas bawang di meja makan.
“Nenek,” panggil Khalil lembut. “Dah larut malam ni. Nenek
masih nak buat nasi lemak untuk jualan esok?”
“Nenek siapkan bahan-bahannya saja untuk malam ni. Nanti
esok senang, cepat sikit nasi lemak siap,” balas Che Yah perlahan. Khalil
membelek kembali bawang yang telah dikupas Che Yah. “Macam banyak je ni?”
“Nenek tambahkan sikit jumlah nasi lemak kali ni, sebab ada
yang tempah untuk rakan sepejabat,” jelas Che Yah apabila melihat kerutan di
dahi Khalil. “Tak apalah, cu. Rezeki kita. Sepatutnya kita bersyukur.”
Khalil mengeluh kecil. Namun tidak didengari Che Yah. Dia
ambil pisau dan terus mengupas bawang. “Khalil tolong ya.”
“Eh, Khalil pergilah tidur. Esok kan Khalil kerja. Tak elok
buat perangai kat tempat kerja baru tu.”
“Tak apalah, nenek. Khalil temankan nenek. Macam selalu. Dah
lama tak buat macam ni.”
Che Yah senyum senget. “Tak pernah berubah la cucu nenek ni.
Dari kecil macam ni juga. Suka temankan nenek buat kerja.”
“Apa boleh buat, nenek? Khalil cuma ada nenek di dunia ni.
Dengan siapa lagi Khalil nak bermanja kalau bukan dengan nenek?”
Mati senyum Che Yah tiba-tiba. Wajah Khalil dipandang dalam.
Sebuah keluhan lahir tanpa sengaja, mengundang perhatian Khalil. “Kenapa,
nenek?”
“Tak ada apa-apa. Nenek teringatkan ibu Khalil,” luah Che
Yah perlahan. “Kalau ibu Khalil masih hidup….”
“Nenek,” panggil Khalil lembut, sekaligus memotong kata-kata
Che Yah. “Sudah sampai ajal ibu pergi macam tu. Kita kena redha.”
“Sampai mati pun, nenek takkan maafkan ayah Khalil!” Che Yah
tidak pedulikan kata-kata cucunya itu. “Sampai mati pun aku takkan lupa
perbuatan dia. Tergamak dia jual adik Khalil yang baru lahir pada orang lain
hanya sebab dadah!”
Khalil hanya diam. Dia tahu, apabila Che Yah sudah mula
membuka cerita silam, dia tidak patut mencelah. Dia sendiri pun, masih tidak
dapat melupakan peristiwa itu walaupun dia masih kanak-kanak pada ketika itu.
Masih jelas di ruang matanya peristiwa yang berlaku itu.
“Abang nak bawa anak kita ke mana tu?” tanya Jamilah apabila
melihat suaminya mengendong bayi yang baru dilahirkan tiga hari lalu sambil
menggalas beg di belakangnya. Dia mula berasa tidak sedap hati.
“Apa kau peduli?” aku nak bagi anak kita senang. Kita pun
senang. Tak payah nak merempat lagi dah macam sekarang ni. Orang tu kaya.
Banyak duit!”
“Abang nak jual anak kita?” Jamilah pantas bangkit. “Abang
dah gila ke? Ini anak kita, bang! Saya tak benarkan!”
“Eh, kau ni! Tak faham-faham lagi ke? Kau tak tahu ke yang
anak ni bawa rezeki? Ini rezeki anak kita, takkan kita nak tolak?”
“Ini bukan rezeki, bang! Ini bala! Saya tak kira! Serahkan
anak tu kat saya balik! Serahkan!” Jamilah menghalang langkah Tamrin daripada
keluar dari rumah itu. Bagaikan dirasuk hantu, Tamrin menolak wanita itu
sehingga terjelepuk di atas lantai.
“Ibu!”
Tok! Tok!
Bunyi ketuka yang kuat di pintu mematikan lamunan Khalil.
Che Yah yang tekun mengupas bawang juga memasang telinga.
“Siapa tu, Khalil?” tanya Che Yah. Khalil tidak menjawab,
namun langkahnya mula diatur ke muka pintu dengan berhati-hati. Daun pintu
dibuka perlahan. Sebentar kemudian mata Khalil membulat. Tanda terkejut yang
amat.
“Khalil…”
“Farhana?”
*****
“Mana Khalil ni? Telefon tak berjawab. Mesej pula, tak
dibaca pun. Dia ni mengelak dari bercakap dengan aku ke apa ni?”
Farhana bengang. Sudahlah bahang pertengkaran antara dia dan
Tuan Mansor masih belum hilang, tindakan Khalil yang seolah-olah cuba menjauhkan
diri daripadanya menambahkan bara di jiwa.
Namun dia tidak lekas melatah. Dengan senyuman kelat di
bibir, dia cuba menghubungi seseorang. “Helo.”
“Helo. Siapa ni? Kenapa awak telefon suami saya?”
Farhana telan liur. “Ini nombor telefon Tam, kan? Saya
Farhana, kawan Khalil dan Tam. Saya nak tanya sikit pasal Khalil pada Tam ni.”
“Tanya sajalah. Aku dengar ni,” terdengar suara Tam
sayup-sayup di hujung talian. Farhana ketap bibir. Tidak disangka sama sekali,
lelaki ini memasang tetapan pembesar suara pada telefonnya.
“Aku telefon Khali, tak dapat. Kau tahu kenapa?”
“Dia balik kampung la, jenguk neneknya. Kau ada hal penting
ke nak cakap dengan dia?”
“Sebelum ni aku masih dapat hubungi dia bila dia balik
kampung. Kenapa sekarang ni tak boleh pula?”
Diam. Tiada sebarang balasan oleh Tam di hujung talian.
Sebaliknya terdengar suara isterinya bertanya, “Macam mana ni, bang?”
“Kau sembunyikan sesuatu daripada aku ke, Tam?”
“Farhana…,” panggil Tam setelah keluhan berat dilepaskan.
“Khalil balik kampung terus. Dah tak balik sini lagi. Dia dah dapat kerja kat
tempat lain, yang dekat dengan neneknya.”
“Apa?” terkejut Farhana mendengarnya. “Kenapa dia buat
keputusan tiba-tiba ni?”
“Aku rasa soalan tu lebih baik kau tanyakan pada dia
sendiri, Farhana.”
“Macam mana aku nak tanya kalau…,” kata-kata Farhana
tiba-tiba terhenti. Dia terfikir sesuatu. “Aku rasa dia dah sekat aku la.”
“Ah, sudah…,” terdengar Tam mengeluh lagi di hujung talian.
“Aku tak tahu dia senekad ini.”
“Kau ada alamat dia di kampung?”
“Aku dah janji dengan dia, takkan bagitahu sesiapa pun di
mana kampungnya.”
“Walaupun pada aku? Walaupun pada aku yang tengah cari dia?
Yang inginkan jawapan dan kepastian daripadanya?”
“Dia akan bunuh aku, Farhana!”
“Jadi betullah, Tam yang bagi alamat rumah ni,” suara garau
Khalil mematikan lamunan Farhana. Dia bingung seketika. Tidak lama kemudian
baru dia menyedari bahawa dia kini di rumah nenek Khalil.
“Memang nak kena Tam ni.”
“Jangan marah dia. Saya yang paksa,” Farhana bersuara akhirnya.
“Kalau saya tak buat macam tu, macam mana saya nak cari awak?”
“Buat apa awak nak cari saya?”
“Nak tanya awak sesuatu la.”
“Kenapa awak tak mesej je saya?”
“Awak bukan dah sekat saya ke?” pertanyaan Farhana buat
Khalil terdiam. Saya lupa. Maafkan saya, bisik hatinya.
“Awak buat semua ni seolah-olah awak nak lari daripada saya.
Nak jauhkan diri daripada saya. Nak tinggalkan saya. Kenapa?”
“Saya tak layak berkawan dengan awak.”
“Siapa kata? Papa saya?” pertanyaan Farhana tidak dijawab
Khalil. Lalu gadis itu menyambung, “Papa saya bukan Tuhan nak tentukan siapa
yang layak berkawan dengan saya.”
“Tapi dia berhak untuk mencari kebahagiaan untuk awak,
Farhana. Dia ayah awak. Bukan orang lain.”
Farhana mendengus. “Khalil, Tuan Mansor…!”
“Khalil,” panggil Che Yah, memancung perbualan mereka
berdua. “Nenek dah habis kupas bawang. Nenek tidur dulu ya. Kamu tu, tidur
awal. Jangan berbual lama sangat. Tak elok.”
“Baik, nek,” jawab Khalil sambil senyuman manis terukir di
bibir. Tanpa sengaja, Che Yah dan Farhana bertentang mata. Air muka wanita tua
itu berubah.
“Kenapa, nenek?”
“Jamilah!”
*****
"Mana budak tu?"
"Ni," jawab Jaafar sambil mengendong cermat anak
kecil itu. Tuan Mansor memandangnya penuh minat. "Berapa umur anak
ni?"
"Baru tiga hari," jawab Jaafar. "Ayahnya bagi
yang kecil ni sebab dia masih belum ada surat beranak. Kalau dia bagi si
abang, susah sikit sebab dia dah masuk
sekolah."
"Aku memang nak anak kecil la. Kau lupa ke?"
bentak Tuan Mansor keras. "Budak ni akan jadi pengganti kepada anak aku
yang dah meninggal tu."
"Maafkan saya, tuan. Saya lupa," jawab Jaafar,
merendah diri. Tuan Mansor menghela nafas halus. "Siapa nama budak
ni?"
"Belum ada nama, tuan. Surat beranak pun belum ada
lagi," jawab Jaafar. Tuan Mansor mengambil anak kecil itu dari dukungan
Jaafar. Dia mengelus lembut si comel itu yang sedang lena.
"Anak ni... anak aku. Namanya Farhana," ujar Tuan
Mansor. "Hanya engkau dan aku yang tahu siapa sebenarnya anak ini. Kalau
ada orang lain yang tahu...!"
"Saya faham, tuan," jawab Jaafar, patuh pada
arahan Tuan Mansor. Dan kepatuhan itu berkekalan sehingga dia meninggal dunia
setahun lalu. Rahsia Farhana juga, kekal rahsia sehinggalah anak itu lari
daripadanya, hari ini.
"Sampai hati abang simpan perkara sebesar ini daripada
saya!" Puan Rania bersuara sedih. "Selama ni, anak yang saya
besarkan, anak yang saya jaga, anak yang saya sayang bagai minyak yang penuh,
bukan anak saya sendiri?"
"Sayang...," Tuan Mansor mendekati isterinya.
"Awak kena faham. Saya cuba lakukan yang terbaik untuk kita. Awak jatuh
sakit lepas bersalin masa tu. Saya takut apa-apa yang buruk terjadi pada awak
kalau awak dapat tahu anak kandung kita meninggal."
Puan Rania diam. Tidak membalas kata-kata Tuan Mansor. Ini
membuatkan lelaki itu meneruskan kata-katanya, "Saya buat semua tu demi
kebahagiaan kita, Rania."
"Dengan mengorbankan kebahagiaan orang lain?"
sampuk Puan Rania, marah. "Matlamat tak menghalalkan cara, bang. Tak
pernah terlintas ke dalam fikiran abang, apa akan jadi pada keluarga kandung
Farhana? Abang tak terfikir ke semua tu?"
"Abang tak rasa semua tu jadi isu, sebab abang bayar
ayahnya untuk dapatkan Farhana."
"Abang!" suara Puan Rania sedikit tinggi.
"Abang ingat abang berhak sepenuhnya pada Farhana bila abang bagi duit
pada ayahnya? Abang ingat duit abang tu laku sangat ke?"
Tuan Mansor diam. Dia sudah kehabisan kata-kata untuk
melawan hujah Puan Rania. "Maafkan abang, sayang."
"Bukan dengan saya, abang kena minta maaf. Drngan semua
orang yang abang dah buat salah dengannya. Terutama dengan Farhana. Abang dah
pisahkan dia dari ibunya," balas Puan Rania serius. "Minta maaf
dengan mereka, bukan dengan saya."
Puan Rania terus bangun meninggalkan Tuan Mansor termangu
sendirian di ruang tamu. Lelaki itu meraup wajahnya perlahan. Pertengkarannya
dengan Farhana siang tadi kembali terbayang di ruang matanya.
"Apa yang papa buat ni?"
"Apanya?"
"Apa rancangan papa dengan mak lang?"
"Oh, itu...," Tuan Mansor membetulkan duduknya.
" Mak lang ada suarakan hasratnya untuk bermenantukan Farhana. Papa tak
ada halangan."
"Tapi papa sepatutnya tanya saya dulu! Saya anggap Remy
tu macam abang saya je. Takkan saya nak kahwin dengan orang yang saya tak
cinta?"
"Farhana juga yang cakap, Remy tu sepupu Farhana je.
Boleh kahwin dengan dia. Apa salahnya? Atau Farhana dah ada orang lain dalam
hidup Farhana?"
Pertanyaan Tuan Mansor buat Farhana terdiam. Lelaki it terus
menebak. "Khalil, kan?!
"Kalau dia sekalipun, kenapa?"
"Papa tak izinkan!" bentak Tuan Mansor tiba-tiba.
"Sanggup ke Farhana hidup susah kalau pilih orang macam Khalil tu?"
"Papa...," suara Farhana mulai merendah.
"Bagilah saya peluang untuk kejar kebahagiaan saya sendiri."
"Tak boleh!" bentak Tuan Mansor lagi. "Kau
tahu tak, berapa banyak duit aku habis sebab nak beli kau daripada ayah kau
sendiri?"
"Apa?" Farhana terlopong. Tuan Mansor tergamam.
Dia sudah terlepas kata.
*****
“Saya benar-benar tak sangka papa saya sanggup buat benda
macam tu,” luah sebaik selesai bercerita mengenai pertengkarannya dengan Tuan
Mansor. “Macam-macam saya rasa sekarang ni. Tapi saya lebih rasa jijik pada
diri saya sendiri sebab saya boleh bertukar ibu bapa hanya dengan wang ringgi.”
“Bukan salah pun. Tak perlu rasa macam tu,” balas Khalil
lembut. “Awak cuma jadi mangsa keadaan.”
“Masa tu, saya tertanya-tanya juga, siapa ibu ayah saya.
Kenapa diorang sanggup buat macam ni kat saya. Teringin juga saya nak tanya
diorang. Tapi sekarang….”
“Awak yakin awak adik saya?” tanya Khalil, ingin tahu. Masih
terbayang di ruang matanya, bagaimana reaksi Che Yah apabila bertemu Farhana.
“Jamilah!” panggil Che Yah teruja. Dia terus menerpa ke arah
Farhana, membuatkan gadis itu terkejut. Khalil tergamam. “Nenek?”
“Jamilah, hidup lagi rupanya kamu, nak!” Che Yah mengelus
lembut rambut Farhana yang masih bingung. “Rindunya mak padamu, sayang.”
“Nenek, ni bukan ibu. Ini kawan Khalil. Namanya Farhana,”
dengan lembut Khalil menjelaskan pada Che Yah. Wanita tua itu nampak terkejut.
Namun tangannya masih belum dialihkan dari ubun-ubun Farhan. Wajah gadis itu
direnung kembali.
“Maafkan nenek, cu. Tapi, demi Allah, wajah Farhana sama
macam wajah anak perempuan nenek. Ibu kepada Khalil.”
Kata-kata Che Yah membuatkan Khalil dan Farhana berpandangan
sesama sendiri. “Biar betul, nenek?”
“Betul, Khali. Wajah Farhana ni saling tak tumpah macam
arwah ibu Khalil. Jangan-jangan, Farhana ni adik Khalil yang dijual ayahnya dulu,
tak?”
“Awak rasa saya ni adik awak ke?” pertanyaa Farhana
mengembalikan Khalil ke dunia reality. Dia memandang gadis itu lembut. Benar
kata Che Yah, Farhana bagaikan kelahiran semula ibunya. Kenapa dia tidak
perasan dulu?
“Khalil!”
“Hah?”
“Eh, salah la panggilan tu,” Farhana senyum senyum sendiri.
“Lepas ni saya kena biasakan panggil awak, abang.”
“Awak betul-betul yakin yang saya ni abang awak?” Khalil
kerut dahi. Dia pandang kembali tangannya yang telah diletakkan kapas di
atasnya.
“Seronok juga ada abang macam awak. Boleh la jadi abang yang
penyayang, macam Makhluk Macho tu.”
“Kalau keputusan ujian DNA ni menunjukkan kita ni
adik-beradik, macam mana?”
“Saya akan tinggal dengan abang dan nenek.”
“Kalau tak?”
“Mungkin saya akan tinggal kembali dengan papa dan mama,”
jawab Farhana perlahan lalu menghempaskan keluhan berat. “Mungkin juga saya
akan hidup sendiri.”
“Kalau betullah kita ni adik-beradik, awak akan tinggal
dengan kami. Macam mana dengan mama dan papa awak?”
Keluha berat dilepaskan lagi. “Sejujurnya, saya masih rasa
marah dengan apa yang berlaku. Saya tak tahu…!”
“Jangan buat keputusan ketika sedang gembira, dan jangan
menghukum ketika sedang marah, Farhana,” tegur Khalil. “Tak elok macam tu.”
Farhana hanya diam membisu sambil berpeluk tubuh. Khalil
memandang sekeliling sebelum memandang kembali padanya. “Keputusan ujian DNA
keluar sekarang ke?”
“Tak la. Dalam tempoh kurang dari 48 jam kenapa?”
“Takkan kita nak tunggu kat sini selama 48 jam? Jom la
balik. Nenek sorang-sorang kat rumah tu,” Khalil bangun dari duduknya lalu
melangkah keluar dari klinik itu.
“Abang! Tunggu saya!” kelam kabut Farhana bangun dan
mengejar langkah Khalil yang sudah jauh di hadapan. Bahkan sudah berada di
seberang jalan. Laju betul dia ni berjalan!
“Abang! Tunggu!”
Pon! Pon!
Bunyi hon yang kuat mengejutkan Khalil. Segera dia menoleh
dan mendapati Farhana sudah berada di jalan raya dan… sebuah lori sedang laju
meluru ke arahnya.
“Farhana! Bahaya!” segera dia berlari untuk menyelamatkan gadis
tiu. Farhana berjaya ditolak ke bahu jalan. Namun dia…
Bang!!!
Farhana segera bangun setelah terjatuh akibat ditolak kuat
Khalil. Matanya menangkap sekujur tubuh yang terbujur di atas jalan. Seluruh
badannya menggigil.
“Abang!”
*****
Farhana menyeka air matanya untuk kesekian kalinya. Che Yah
sudah lama ke surau, solat hajat dan berdoa untuk keselamatan cucunya. Sudah
hampir dua jam dia di wad kecemasan itu, namun seorang pun tidak datang
kepadanya berkenaan Khalil.
“Awak nak tahu sesuatu tak, Farhana?”
“Tahu apa?”
“JR Miller pernah berkata, terdapat pertemuan yang hanya
sesaat namun meninggalkan kesan seumur hidup. Tiada seorang pun yang dapat
memahami perkara misteri yang kita namakan pengaruh ini. Namun, setiap orang di
antara kita terus-menerus memberikan pengaruh, sama ada untuk memperbaikinya,
meninggalkan pengalaman manis atau menyakiti kehidupan.”
“Wa…,” ternganga Farhana mendengarnya. Khalil kerut dahi
sambil senyum. “Saya tengok, awak lebih suka mendengar daripada berbicara.
Kenapa?”
“You want to know something?” tanya Farhana sambil kenyit
mata. Tanpa menunggu balasan daripada Khalil, dia meneruskan kata-katanya.
“When you talk, you are only repeating what you already
know. But of you listen, you may learn something new.”
“Siapa cakap?”
“Dalai Lama.”
“Oh, dah pandai ye,” usik Khalil mesra. Tergelak Farhana
mendengarnya. Getaran telefon pintar yang disimpan di dalam poket seluar
mematikan lamunannya. Lambat-lambat dia menjawa panggila itu.
“Assalamualaikum, mama.”
“Waalaikumsalam. Farhana ada kat mana ni? Baliklah nak, mama
dan papa risau.”
Farhana menghela nafas halus. Tanpa soalan dan pamitan, dia
menamatkan panggilan. Kemudian tanpa berlengah, dia menghantar mesej kepada
Puan Rania tentang apa yang berlaku. Dia juga memohon supaya tidak
menghubunginya. Selesai, dia melelapkan mata seketika.
“Farhana. Farhana. Bangun, sayang.”
Satu suara lembut memanggil namanya. Farhana terasa
kepalanya diusap penuh kasih sayang. Dia membuka matanya perlahan dan memandangnya
dengan senyuman manis.
“Awak siapa?”
“Ini ibu, sayang.”
“Ibu?” Farhana teringat kata-kata Che Yah yang menyatakan
wajahnya mirip wajah ibunya. Dia merenung wajah wanita itu dalam-dalam.
“Betul ke, awak ibu saya?”
“Betul la.”
“Kalau macam tu, boleh awak bagitahu saya, di mana tanda
lahir saya?”
Wanita itu senyum. “Kat tengkuk Farhana,” jawapan itu
membuatkan Farhana terdiam. Benar, bisik hatinya.
“Ibu tak tahan menanggung rindu,” wanita itu bersuara lagi.
“Tapi ibu bersyukur, Farhana membesar dengan baik. Ibu minta maaf, ibu tak
sempat nak bagi nama pun pada Farhana.”
Kata-kata itu buat Farhana senyum pahit. Matanya berkaca.
Wanita itu bangkit. Farhana terkedu. “Ibu nak ke mana?”
Wanita itu senyum, lalu melangkah pergi meninggalkan Farhana
termangu keseorangan. Panggilan gadis itu langsung tidak dihiraukan.
“Ibu pergi dulu.”
“Ibu!”
“Farhana,” suara lembut Che Yah singgah di peluput telinga.
Cepat-cepat Farhana membuka matanya. “Nenek?”
“Cucu nenek ni mengigau agaknya. Dari tadi asyik panggil ibu
saja,”beritahu Che Yah. Farhana diam membisu.
“Abang Khalil macam mana, nenek?”
“Khalil… doktor belum keluar lagi…,” kata-kata Che Yah
terganggu apabila pintu wad kecemasan dibuka. Seorang lelaki berpakaian putih
keluar melaluinya. Farhana bingkas bangun mendapatkan lelaki itu diikuti Che
Yah.
“Macam mana dengan abang saya, doktor?”
Lelaki itu memandang Farhana dan Che Yah silih berganti.
Wajahnya serba salah.
“Doktor?”
*****
“Yang tertinggal hanya gambarmu di meja kamarku, ditemani
dua puisi tentang lara hati….”
“Ibu ....
Engkaulah wanita yang terindah yang pernah ku punya
Engkaulah jiwa dan ragaku
Engkaulah sosok wanita idola yang datang untuku
Kata-katamu sungguh lembut dibandingkan ayah
Tak pantas aku menyakiti hatimu yang begitu tulus
menyayangiku
Setiap hari kau selalu mendoakn anak-anakmu
Engkau tak pernah marah jika anakmu nakal
Engkau selalu sabar dalam mendidik kami
Kasih ibu sepanjang masa
Hanya memberi tak hanya kembali
Aku berjanji tak akan membuatmu menangis
Aku ingin membuatmu selalu Tersenyum
Terima kasih ibu atas segalanya
Aku sangat menyayangimu.”
Farhana membaca sekali lagi puisi karya Eka Octaviani S yang
ditulis semula oleh Khalil. Air matanya menitis tanpa henti. Pertemuannya
dengan Tuan Mansor di tanah perkuburan pagi tadi kembali singgah di ruang
matanya.
“Farhana,” panggil Tuan Mansor sebaik sahaja bacaan Yassin
selesai. Farhana menutup perlahan mushaf yang dibawanya, lalu menoleh memandang
lelaki itu. Dia kemudiannya menghela nafas halus.
“Papa buat apa kat sini?”
“Farhana…,” panggil Tuan Mansor lagi. “Papa nak minta maaf.
Papa tahu, papa bersalah. Maafkan papa ya.”
“Saya dah lama maafkan papa,” jawab Farhana lembut. Dia
berdiri, menghadap lelaki itu. “Nenek saya ajar saya supaya memaafkan, supaya
hidup lebih tenang.”
“Farhana, mari pulang, nak. Mama rindu,” ujar Tuan Mansor
lagi, separuh merayu. Farhana hela nafas halus lagi.
“Nenek lebih rindukan saya,” jawab Farhana, kali ini lebih
tegas. “Nanti bagitahu mama, saya akan pulang bila sampai masanya. Sekarang ni,
saya nak habiskan masa dengan nenek. Saya pasti, mama akan faham.”
“Sampai bila Farhana nak hukum papa?”
“Saya tak pernah hukum papa. Cuma, berilah saya peluang
untuk saya bersama keluarga saya. Keluarga yang saya tak pernah jumpa sejak
lahir.”
Tuan Mansor mengalah. “Baiklah. Nanti bila balik, bawalah
nenek bersama. Kita satu keluarga juga, kan?”
Farhana angguk perlahan sambil senyum nipis. “Saya balik
dulu. Kesian nenek sorang-sorang di rumah.”
“Farhana,” panggilan itu membuatkan lamunannnya terlerai.
Dia menoleh ke arah suara itu sambil mengukir senyuman manis. “Abang.”
“Kenapa adik abang menangis ni?” Khalil melabuhkan duduknya
di sebelah Farhana. “Teringatkan mimpi jumpa ibu tu ke?”
Farhana geleng kepala perlahan. “Kenapa abang masuk bilik
ni?”
“Eh, dia ni dah lupa agaknya. Ni bilik abang la. Adik salah
masuk bilik ni.”
“Eh, ye ke?” Farhana kerut dahi. Kemudian dia lihat wajah
abangnya yang tersengih macam kerang busuk. “Abang kenakan adik!”
Khalil ketawa besar. “Dah. Bersiap la cepat. Malam ni kita
nak ke rumah Tam, kan? Untuk majlis aqiqah anak dia.”
“Oh, okey. Adik bersiap sekarang.”
“Adik.”
“Ya?” Farhana pandang mata Khalil dalam-dalam. Lelaki itu
menghulurkan beg kertas padanya. “Apa ni, abang?”
“Adik, cuaca sekarang panas kan?”
“Ya, panas sangat. Kenapa?”
“Abang harap cuaca yang panas ni dapat mencairkan hati adik
untuk menutup aurat dengan sempurna,” ujar Khalil lembut sambil mengelus lembut
rambut Farhana. Gadis itu mengeluarkan sesuatu dari dalam beg kertas itu.
Sehelai tudung. Farhana pandang kembali Khalil sambil tersenyum.
“Terima kasih, abang.”
TAMAT