Home Cerpen Keluarga Terlalu Istimewa
Terlalu Istimewa
Laila Qaisara
7/4/2015 21:40:31
2,935
Kategori: Cerpen
Genre: Keluarga

Perjalanan pulang ke kampung biasanya mengambil masa yang agak lama. Namun kali ini, afina tidak terasa perjalanannya. Fikirannya menerawang, mencari kembali kenangan silam yang menghiburkan.

Bas yang dinaiki berhenti sebentar di hentian rehat dan rawat. Semua orang turun dari bas untuk menyegarkan diri termasuklah Afina. Usai menggunakan tandas, dia mengambil kesempatan berjalan-jalan di kedai-kedai yang ada di situ. Setibanya di kedai serbaneka, matanya tertancap pada satu bungkusan Ding Dang yang amat digemari kanak-kanak suatu ketika dahulu. Bagai terdengar-dengar suara Akmal yang merengek menginginkan makanan segera tersebut.

“Kak Long, belikan Akmal Ding Dang satu. Ada mainan dalam tu,” pujuk Akmal apabila mereka berjalan melintasi Kedai Runcit Pak Mail. Afina meraba perlahan poket seluarnya. Duit belanja sekolah masih belum digunakan hari ini. Afina tersenyum, lalu mengangguk.

“Yeay! Dapat beli Ding Dang!” Akmal bersorak keriangan sambil masuk ke kedai. Dapat sahaja apa yang diingini, dia terus ke kaunter. Anis, anak Pak Mat menantinya dengan senyuman manis.

“Kak Long tak nak beli sekali ke?” tanya Akmal. Afina menggeleng. “Kak Long puasa hari ni.”

“La, kenapa tak cakap? Akmal tak nak beli la macam tu,” Akmal sudah mahu meletakkan kembali Ding Dang ke tempat asalnya.

“Eh, janganlah macam tu. Tadi kan Akmal yang nak beli sangat? Sekarang tak nak pula?”

“Nanti siapa yang nak makan coklat Ding Dang dengan Akmal? Kak Long kan puasa?”

“Abang Ngah dan Kak Chik kan ada? Lagipun Kak Long puasa. Tak boleh makan.”

Akmal menunjukkan riak wajah tidak puas hati. “Tapi Kak Long yang belikan Ding Dang untuk Akmal. Takkan Akmal nak kongsi dengan diorang pula? Mana adil macam tu!”

“Okay, macam ni,” Afina cuba menenangkan keadaan “Kita beli Ding Dang ni. Nanti coklatnya kita makan masa Kak Long buka puasa nanti. Boleh?”

“Yeah!” Akmal bersorak kegembiraan. “Tapi nanti Mak marah kalau makan coklat masa buka puasa…”

“Alah, kita makan lepas makan nasi. Mak tak marah punya.”

“Betul ni?”

“Betul.”

“Kak,” panggilan pembantu kedai serbaneka itu mematikan lamunan Afina. Cepat-cepat dia membayar harga air mineral yang terletak berhampiran dan melangkah keluar dari kedai itu. Namun belum pun sepuluh langkah, dia menoleh kembali ke arah kotak Ding Dang itu.

“Seronoknya makan Ding Dang dengan Kak Long!” suara Akmal bergema lagi. Air mata Afina menitis tanpa sedar. Akmal…

*****

“Mak mengandung?” terkejut Afina mendengar berita yang disampaikan oleh ayahnya. “Betul ke, ayah?”

“Betul. Dah lapan bulan,” lancar ayah menjawab. “Tak sangka, kan? Doktor kata, mungkin sebab badan mak besar, jadi mak tak perasan.”

“Tapi takkan mak tak perasan langsung? Masa mak tak datang bulan?”

“Erm…,” giliran mak pula memberi penjelasan. “Kitaran haid mak memang tak teratur dua tiga tahun kebelakangan ni. Jadi bila dah lama tak datang bulan, mak ingat ia perkara biasa.”

“Tak mungkin,” Abang Ngah bersuara tidak puas hati. “Boleh pulak macam tu?”

“Haid tu apa?” tanya Kak Chik, tidak mengerti.

“Itu semua kuasa Allah, Abang Ngah,” ujar ayah. “Kita harus bersyukur.”

Dan si situlah segalanya bermula. Ayah mulai sibuk membuat persiapan menyambut kelahiran anak barunya. Semuanya serba baru. Semenjak Kak Chik lahir dan membesar, banyak kelengkapan bayi yang disedekahkan kepada saudara mara. Ada juga yang dijual kembali.

Mak juga tidak kurang semangatnya. Selepas mendapat berita menggembirakan itu, dia lebih berhati-hati dalam setiap pergerakannya. Apatah lagi doktor sudah menasihatkannya lantaran kandungannya kali berisiko tinggi.

Kak Chik antara yang paling teruja. Semua orang di sekolah telah diberitahu tentang adik barunya. Malah dia memasang angan-angan untuk mendapat adik perempuan. Bolehlah dia bermain anak patung dengan adiknya nanti.

Abang Ngah? Dia berlagak biasa. Seperti tiada apa-apa yang menarik yang akan berlaku. Namun sesekali dia menjeling juga bila ayah membeli kelengkapan bayi.

Afina? Dia masih tidak percaya. Dalam usia 14 tahun, saat kawan-kawannya yang lain seronok menerima kehadiran anak saudara, dia pula bakal menerima seorang adik kecil. Namun seperti kata ayah, itu semua kuasa Allah.

*****

“Betul ke kau nak dapat adik, Afina?” tanya Syuhada semasa mereka dalam perjalanan pulang dari sekolah.

Afina mengangguk. “Mak aku tengah tunggu hari je, Syu.”

“Seronoknya kau, Afina! Dah nak dapat adik baru dah. Masuk yang ini, tiga orang la adik kau kan?” Syuhada kelihatan teruja. “Kau nak adik lelaki ke adik perempuan?”

“Mana-mana pun tak kisah, Syu. Aku dah ada adik lelaki dan adik perempuan. Jadi kali ni, aku tak kisah,” Afina mengukir senyuman manis.

“Untungnya ada adik ramai macam kau, Afina. Aku ni, anak tunggal. Mana ada adik, mana ada abang,” Syuhada sudah berubah kendur. Dia teringatkan ibunya, yang meninggal dunia semasa melahirkannya.

“Ala, janganlah risau. Kalau kau bosan, kau datanglah rumah, main-main dengan adik aku nanti. Kau nak belajar dengan aku pun boleh,” ujar Afina sambil menggosok lembut bahu Syuhada. Gadis itu hanya tersenyum tawar.

“Eh, Afina. Kenapa pintu rumah kau terbuka luas tu?” tanya Syuhada sambil jarinya dituding ke arah rumah Afina, tidak jauh dari tempat mereka berdiri. Afina tidak tunggu lama, dia terus berlari balik ke rumah.

“Mak!”

Kaku langkahnya. Kelu lidahnya melihatkan mak terbaring, mengerang kesakitan di atas katil.

“Afina!”

Cepat dia tersedar. “Mak!” segera dia meluru ke arah mak.

“Kak Long pergi panggil Mak Som yea,” Afina sudah kalut.

“Ayah dah panggil ambulans. Temankan mak kat sini, Kak Long.”

Afina akur. Dia duduk di sisi mak. Dalam masa yang sama Syuhada tiba bersama neneknya, Mak Som. Buntang mata Mak Som melihat keadaan mak.

“Yaa Allah, Nora! Kepala budak dah nak keluar ni!” Mak Som terus duduk di hadapan mak lantas kaki mak dibuka perlahan. “Syu!”

Faham dengan panggilan itu, Syuhada terus berlari ke dapur, menjalankan tugasnya sebagai pembantu Mak Som. Afina terus setia di sisi mak, menggenggam erat tangan wanita itu.

“Mana ayah kamu tak sampai lagi ni?” tanya mak dalam kesakitan. Afina tidak menjawab. Pegangannya dieratkan.

“Nora, teran sikit! Kepala budak dah nak keluar dah ni!” Mak Som mula memberi arahan.

“Saya nak tunggu suami saya, Mak Som,” mak bersuara lemah.

“Dalam keadaan macam ni pun kau masih nak tunggu suami kau? Nyawa kau lebih penting! Budak ni perlu diselamatkan!” suara Mak Som sudah mula naik. Syuhada sudah kecut perut. Afina apatah lagi.

“Mak, ayah dalam perjalanan balik agaknya. Mak tak payahlah tunggu. Adik ni…!”

“Ayah kamu keluar panggil ambulans, Kak Long…”

“Budak ni dah nak keluar sangat dah, Nora! Tak boleh tunggu ambunlans dah!” potong Mak Som, bersuara keras. “Kamu nak anak ni ke tidak ni? Lemas dia nanti!”

Mak tidak menjawab, namun dia terus meneran dan meneran sehingga tangisan bayi kedengaran di telinga.

“Alhamdulilah…,” dalam keletihan, mak masih mampu tersenyum. Afina mencium tangan mak. Lama. Setitis air mata tumpah di tangan mak. Afina terharu dengan pengorbanan mak melahirkannya ke dunia ini.

“Alhamdulilah, kau dapat anak lelaki, Nora,” Mak Som segera membalut tubuh anak kecil itu. “Pegang anak ni kejap.”

Mak segera menyambut anak kecil itu lalu dilekapkan ke dada. Kebiasaan yang dibuat apabila anak baru lahir. Biar si kecil mengecam bau badan ibunya sendiri. Afina membelai perlahan ubun-ubun adiknya.

“Akmal…”

Mak pandang Afina tidak berkelip. Faham dengan erti pandangan itu, Afina segera menyambung, “Nama adik, Muhammad Akmal Habri. Boleh tak, mak?”

Minggu lepas, mak dan ayah memberi peluang kepada Afina, Abang Ngah dan Kak Chik untuk memberi nama kepada adik baru mereka. Kak Chik yang sememangnya menginginkan adik perempuan, bersedia dengan pilihan nama panjang berjela. Manakala untuk adik lelaki, Afina diberi kuasa memilih nama memandangkan Abang Ngah enggan masuk campur.

“Mak?” pertanyaan Afina mengembalikan mak ke dunia realiti. Dalam keletihan, mak tersenyum dan mengangguk. Afina gembira, dia mencium tangan mak sekali lagi.

“Terima kasih mak.”

Mak senyum. Tapi sebentar kemudian dia teringat sesuatu. “Ayah kamu tak sampai-sampai lagi.”

“Er…,” belum sempat Afina membalas kata-kata mak, tiba-tiba Abang Ngah muncul sambil termengah-mengah dan darah membasahi tubuhnya. Darah?

“Mak, ayah kemalangan!”

*****

“Kak Long…,” terdengar suara sayu Akmal dari luar bilik. Mendengarkan itu, Afina yang sedang mengulangkaji pelajaran, bingkas bangun dan membuka pintu. Diihatnya Akmal berdiri di muka pintu. Matanya sedikit sembab, seperti sedang menangis.

“Kenapa, Akmal? Siapa buat Akmal sampai menangis ni?”

“Abang Ngah,” jawabnya sepatah. Afina tanpa membuang masa, terus ke luar rumah mencari Abang Ngah yang khusyuk melukis.

“Abang Ngah!” terhenti tarian jemari di atas kanvas. Abang Ngah menoleh ke arah Afina. “Kenapa?”

“Abang Ngah buat apa dengan Akmal sampai dia menangis?”

“Mengadu la tu. Menyampah,” gumam Abang Ngah namun masih dapat didengari Afina.

“Jawab soalan Kak Long, Abang Ngah. Apa yang Abang Ngah dah buat?”

“Dia kacau Abang Ngah, Kak Long. Apa yang Abang Ngah boleh buat? Abang Ngah pukul je la dia.”

“Abang Ngah!” terkejut Afina dengan pengakuan Abang Ngah. “Tak boleh ke cakap elok-elok dengan dia?”

“Kak Long tahu apa yang dia buat?” Berus lukisan diletakkan di tepi. “Dia campurkan warna air yang Abang Ngah dah bancuh! Warna air ni bukannya murah! Abang Ngah ikat perut tau nak kumpul duit beli warna air ni!”

“Budak tu kecil lagi, mana la dia tahu apa-apa! Cuba la beralah sikit dengan adik tu. Cuba la faham dia sikit!”

“Oh, sekarang ni Abang Ngah la yang kena faham dia? Apa, dia tak payah nak faham Abang Ngah, gitu?”

“Abang Ngah ni…!”

“Apa yang kecoh-kecoh ni?” suara mak sedikit sebanyak mengendurkan ketegangan yang berlaku. Abang Ngah cepat-cepat mengemas peralatan melukisnya, lalu masuk ke bilik. Sebentar kemudian, terdengar pintu dihem[as kuat. Terkejut mak dan Afina dibuatnya.

“Maaf, mak. Tadi…!”

“Mak tahu. Pasal Akmal, kan?” potong mak cepat. “Mak tahu dia masih tak dapat terima hakikat yang ayah dah tak ada, meninggal pada hari Akmal dilahirkan.”

“Mak, Kak Long…!”

“Pergilah tengok Akmal tu. Entah apalah yang dibuatnya dalam bilik tu. Mak nak tengok apa yang boleh dimasak kat dapur tu,” mak tepuk perlahan bahu Afina lalu melangkah ke dapur. Telinga Afina dapat menangkap kata-kata terakhir mak sebelum mak menghilang ke dapur.

“Dah tengah bulan ni, banyak barang dapur dah habis….”

Terkebil-kebil Afina menahan air mata. Cepat-cepat dia masuk ke dalam biliknya. Sejuk hatinya melihat kelibat Akmal tertidur lena di atas katil, meski air mata masih tersisa di tubir matanya. Afina senyum. Ubun-ubun anak kecil itu diusap perlahan.

“Tidurlah arjuna beta, mimpikan yang indah saja. Nanti bila kau buka mata, semua tak serupa.”

Di balik pintu, Kak Chik memerhatikan Afina yang lunak suaranya menyanyikan lagu Arjuna Beta nyanyian asal Fynn Jamal sambil mengusap bantal kesukaan Akmal. Air matanya menitis laju.

*****

“Kak Long!” terngiang-ngiang suara manja Akmal meminta pertolongan sebaik sahaja Nasir, rakan Afina mengejarnya semasa berlari di sekitar taman permainan itu.

“Cepat lari Akmal! Cepat!”

“Kak Long, tolong! Abang Nasir jahat!”

“Aku mahu makan budak itu. Hehehe…,” sengaja Nasir menggayakan dirinya seperti hantu bagi menakutkan Akmal. Tambahan pula dia memakai telekung putih yang labuh. Makin laju larian anak kecil itu.

“Kak Long, Abang Nasir… Aah!” Akmal menjerit kegelian apabila Nasir menangkap dan menggeleteknya. Afina dan Syuhada hanya memerhatikan mereka berdua.

“Telekung siapa Nasir pakai tu?” tanya Afina.

“Siapa punya lagi? Aku punya la. Patutlah dia beria-ia nak bawakan beg aku tadi. Ada udang di sebalik batu rupanya,” jawab Syuhada selamba. “Balik nanti siaplah aku kena marah dengan nenek aku tu. Kau bukan tak tahu tahap bebelannya macam mana.”

Afina ketawa.

“Dah besar dah Akmal tu yea. Rasa macam baru semalam dia lahir. Tangan ni…,” Syuhada mengangkat kedua tangannya. “Tangan ni masih menggigil setiap kali aku teringatkannya.”

“Masa cepat berlalu, beb,” Afina tersenyum saat melihat Akmal bergelak ketawa dengan Nasir tidak jauh dari tempat mereka duduk. Yang lucu, Nasir masih memakai telekung kepunyaan Syuhada.

“Abang Ngah dan Kak Chik masih tak dapat terima Akmal?”

“Macam tu la,” Afina mengeluh. “Kau bukan tak tahu. Abang Ngah anggap Akmal penyebab kematian ayah aku. Kak Chik pula, kecewa sebab tak dapat adik perempuan.”

“Diorang tu dah kenapa? Jodoh, rezeki, ajal maut semuanya di tangan Allah,” komen Syuhada. Geram pula dia dengan dua beradik itu.

“Iye. Tapi mana la diorang faham semua tu. Kak Chik kan kecil lagi,” bela Afina.

“Kecil apanya. Tahun depan dah masuk sekolah menengah. Abang Ngah tu pun satu. Dah besar pun masih berperangai macam tu lagi. Macam budak-budak!”

“Dah la, Syu. Kau marah-marah pun bukannya dia dengar. Kalau dia dengar pun, aku rasa masuk telinga kanan, keluar telinga kiri,” nasihat Afina sambil memegang lembut bahu Syuhada.

“Nasib baik la dia tak jadi bercinta dengan aku,” ngomel Syuhada.

“Amboi, sempat lagi tu!” laju Afina menampar bahu Syuhada sehingga gadis itu menjerit kesakitan. “Dah ada Nasir tu cukuplah. Jangan tamak sangat.”

Syuhada ketawa sehingga menarik perhatian Akmal dan Nasir yang galak bermain. Mereka kemudian mendekati Afina dan Syuhada yang masih ketawa.

“Apa yang lucu sangat tu?” tanya Nasir.

“Tak ada apa-apa,” jawab Syuhada dalam sisa tawanya. Nasir nampak tidak berpuas hati, namun apabila Akmal menarik tangannya, dia teringat sesuatu.

“Afina, aku nak bawa Akmal pergi beli aiskrim sekejap. Boleh ya?” tanya Nasir, meminta izin.

“Jangan jauh sangat. Dan tolong tengok-tengokkan adik aku tu,” pesan Afina.

“Macam aku tak biasa buat je,” Nasir kenyit mata sebelum mengelek Akmal ke peniaga aiskrim yang baru tiba di taman permainan itu.

“Kenyit mata tu untuk aku ke, untuk kau?” tanya Syuhada, berbaur cemburu. Mendengarkan itu, Afina ketawa lagi.

“Dah tentulah untuk kau! Untuk aku, buat apa?” mereka ketawa lagi.

“Kesian Akmal. Nakkan sangat kasih sayang abang, tapi abang sendiri tak peduli,” Syuhada senget bibir.

“Tak apalah. Sekurang-kurangnya Nasir boleh berlatih jadi seorang ayah. Senanglah kau nanti,” usik Afina sambal ketawa. Bulat mata Syuhada mendengarnya. “Aku pulak!”

Afina hanya senyum memikirkan kenangan lalu. Air matanya bergenang. Dia rindukan kenangan itu. Terlalu rindu…

*****

“Sunyi je rumah ni, mak. Mana yang lain?” tanya Afina apabila senja sudah berlabuh.

“Abang Ngah? Dia telefon mak tad. Katanya dia balik lambat sikit. Hujan lebat tadi, banjir sikit kat kawasan rumah kawannya tu. Nanti kawannya tu yang akan hantar balik nanti,” balas mak sambal mengacau kari ayam yang dimasaknya. “Harap dia balik la, Kak Long. Mak masak lauk kegemaran dia malam ni.”

“Mak baru dapat gaji ke?”

“Ya. Sebab tu la mak masak sedap-sedap malam ni. jarang dapat makan sedap-sedap macam ni,” Mak ukir senyum tawar. Afina mengerti. Sejak ayah meninggal, mak yang mengambil alih tugas sebagai ketua keluarga. Namun kerja mak sebagai tukang sapu manalah cukup untuk mereka sekeluarga bermewah-mewah.

“Kak Chik mana pula, mak?”

“Sejak balik dari sekolah tadi asyik terperap dalam bilik je. Bila ditanya, dia jawab nak belajar untuk UPSR,” jawab mak perlahan. Namun Afina tahu. Bukan itu niat Kak Chik mengurung diri dalam biliknya. Dia enggan rapat dengan Akmal. Afina tahu.

“Akmal?”

“Tadi dia ada kat dapur ni. dah bersiap nak ikut Kak Long ke masjid katanya. Tapi bila mak cakap yang Kak Long tak boleh ke masjid, dia macam tak puas hati. Lepas tu dia lari masuk dalam bilik Kak Long sambal nangis. Merajuk agaknya.”

Afina senyum “Kak Long pergi jenguk dia kejap ye, mak,” melihat anggukan mak, Afina terus melangkah masuk ke biliknya. Buka sahaja pintu, dia melihat Akmal menyembamkan muks sambal menangis. Perlahan Afina menghampiri Akmal.

“Kenapa Akmal menangis ni?” tanya Afina kembut sambal mengusap perlahan belakang badan Akmal.

“Nak pergi masjid. Kak Long tak pergi,” jawab Akmal sepatah-sepatah.

“Maaflah, Akmal. Bukan Kak Long tak nak pergi, tapi tak boleh.”

“Kenapa?”

“Kak Long… Kak Long…,” alamak, ayat apa yang sesuai untuk diucapkan ye? Budak kecil ni mana la tahu apa itu datang bulan, bisik hatinya.

“Kak Long tak sihat ke?”

“Kak Long… cuti.”

“Cuti? Pergi masjid pun ada cuti ke?” tanya Akmal bagaikan tidak percaya. Afina angguk.

“Habis tu, siap nak temanlan Akmal pergi masjid? Takkan nak pergi sorang? Mak mesti tak bagi,” Akmal kembali menyembamkan mukanya ke bantal sambal menangis. Afina sudah cuak.

“Akmal nak pergi masjid?” tanya Afina lembut. Akmal tidak menjawab, dia hanya menganggukkan kepala.

“Kalau macam tu, Akmal pergi dengan Abang Nasir, nak?” usul Afina. Tegak kepala Akmal mendengar cadangan Afina. “Betul ke?”

Afina angguk. “Betul. Dah, jangan nangis lagi,” katanya sambal mengusap perlahan pipi Akmal yang basah dengan air mata. “Pergi basuh muka. Ambil wuduk. Kak Long telefon Abang Nasir kejap.”

Afina bangun menuju ke telefon yang ada di salah satu sudt di ruang tamu. Nombor telefon Nasir didail.

“Helo, Nasir. Afina ni. nanti sebelum kau pergi masjid, kau singgah dulu ambil Akmal, boleh? Kesian dia. Nak sangat pergi masjid tapi aku cuti.”

“Afina,” terdengar suara seorang wanita di hujung talian. Afina tergamam.

“Siapa ni?”

“Ini ibu Nasir, nak,” jawab wanita itu. Afina terdiam. Suasans sepi seketika.

“Afina?”

“Ah, ya. Makcik sihat?”

“Sihat, Alhamdulilah. Afina, redhalah,” pesan ibu Nasir, lembut. “Assalamualaikum.”

“Waalaikumsalam,” perlahan Afina meletakkan gagang telefon. Airmatanya menitis perlahan.

*****

“Banyak lagi barang yang perlu dikemas, Kak Long?” tanya Mak sambil membelek beg baju di hadapannya.

“Tak banyak, mak. Sikit je. Almari kat kolej kediaman tu bukannya besar sangat pun,” jawab Afina sambil memasukkan baju ke dalam beg. “Dah siap pun.”

“Betul banyak ni je?” tanya mak seakan tidak percaya. Sikit sangat, fikirnya.

“Cukup la ni, mak. Nanti Kak Long boleh masuh baju ni bila kotor nanti,” Afina ukir senyum manis.

“Kak Long…,” mak genggam tangan Afina erat. “Nanti kalau ada rezeki mak belikan baju baru untuk Kak Long yea.”

“Mak…,” Afina balas pula genggaman tangan mak. “Kak Long tak kisah pun. Kita hidup takat mana kita mampu. Kak Long janji, Kak Long akan belajar rajin-rajin, untuk ubah nasib keluarga kita. Kak Long janji yea.”

Mak mengusap perlahan ubun-ubun Afina. “Janji bukan dengan mak je tau. Dengan ‘boyfirend’ pun kena berjanji juga,” mak kenyit mata. Afina kerut dahi, tidak mengerti.

“Kak Long…,” suara Akmal merengek manrik perhatian mereka. Wajah Akmal yang sedikit mendung membuatkan mak dan Afina memandang sesama sendiri.

“Tu, ‘boyfriend’ dah mula nak berdrama. Kak Long selesaikan la,” mak kenyit mata lagi lalu bangun dan melangkah keluar dari bilik. Afina senyum memandang Akmal.

“Kenapa, sayang?”

“Kak Long nak tinggalkan Akmal?” suara hiba kedengaran. Afina senyum lagi, lalu menarik tubuh Akmal mendekatinya. Dahi Akmal dicium perlahan.

“Kak Long bukan nak pergi terus. Nanti bila cuti, Kak Long balik la ke sini, jumpa Akmal. Okey?”

“Nanti siapa nak temankan Akmal main? Nanti siapa nak makan coklat Ding Dang dengan Akmal? Nanti siapa nak bawa Akmal pergi masjid?” Akmal sudah teresak-esak menangis. Afina mengusap kepala adiknya itu perlahan.

“Abang Ngah, Kak Chik kan ada. Abang Nasir dan Kak Syu pun ada. Akmal takkan sunyi…!” kata-kata Afina terhenti apabila Akmal memeluknya erat.

“Lepas ni, Akmal dah tak boleh peluk macam ni lagi…,” dan Akmal terus menangis. Meruntun jiwa Afina.

“Nati bila Kak Long balik, Akmal boleh peluk Kak Long puas-puas. Tak nak lepas pun tak apa.”

“Sekarang ni, Akmal tak nak lepaskan, boleh?” tanya Akmal sambil memamdang wajah kakaknya. Afina tersenyum hiba lalu mengangguk. Akmal mengeratkan pelukannya.

“Nanti, mesti Kak Long rindukan Akmal…!”

Afina terus diam membisu. Dia terus memeluk bantal yang selalu digunakan Akmal. Air matanya terus menangis mengenangkan peristiwa itu.

“Akmal, Kak Long rindu…!”

*****

“Afina, cuti semester nanti, kita pergi bercuti, nak?” tanya Maisara semasa mereka sedang mengulangkaji pelajaran di perpustakaan. Peperiksan menjelang tiba. Afina tidak mahu leka.

“Tak apalah. Aku nak balik kampung dah lama sangat aku tak jumpa keluarga aku. Rindu pula rasanya,” jawab Afina perlahan.

“Ala, sekejap aje. Lepas tu kau baliklah kampung,” pujuk Maisara lagi. “Jangan risau pasal perbelanjaan. Aku tanggung semuanya.”

“Tak bolehlah, Mai. Rindu aku tak tertanggung lagi,” jawab Afina cepat sambil menggelengkan kepala. “Aku bukan macam kau, boleh balik tiap-tiap minggu.”

Tapi Maisara tidak mendengarnya. “Seronoknya ada kampung macam kau, kan? Masih belum tercemar dengan pembangunan kota. Bukan macam aku, keluarga aku semuanya ada di Kuala Lumpur ni. Bosan juga tak ada kampung nak dituju setiap kali hari raya.”

“Tapi aku jauh dari keluarga aku, Mai. Bukan macam kau. Apa-apa jadi pun, keluarga kau masih ada di sini membantu. Aku ni…!”

“Afina,” potong Maisara. “Jangan nak mulakan drama Samarinda kat sini. Peperiksaan dah dekat. Kita tak boleh hilang fokus. Aku cepuk nanti.”

Afina mencebik. Namun lapang hatinya Afina melihat senyuman manis Maisara. Wajahnya tiba-tiba berubah kelat. Mati senyuman Maisara melihatnya.

“Kenapa, Afina?”

“Entahlah. Tiba-tiba rasa tak sedap hati, macam… ada sesuatu yang berlaku,” luah Afina.

“Aku tak tahu nak buat macam mana ni.”

“Kau ni kan, pelupa ke apa? Kau kan dah beli telefon bimbit terpakai petang semalam. Guna la untuk telefon mak kau kat kampung tu,” gerutu Maisara geram. “Belum tua lagi dah nyanyuk.”

“Eh eh, aku lupa,” Afina menggaru kepala yang tidak gatal. Cepat sahaja dia mencapai telefon bimbit di dalam beg. “Aku tak reti guna la. Kau boleh tolong aku?”

Maisara senyum. Dia kemudian bangun dan menghampiri Afina. Satu persatu cara menggunakan telefon bimbit diajar dengan lembut dan sabar. Mujer juga Afina cepat belajar.

Sekejap sahaja dia sudah mahir menggunakan telefon bimbit itu.

“Seronok la tu dapat telefon mak di kampung,” usik Maisara. Afina hanya tersenyum. Lalu mula mendail nombor telefon mak.

“Helo, Assalamualaikum, mak. Akmal sihat?”

“Kak Long…,” suara mak teresak-esak di hujung talian. Jantung Afina berdegup kencang. Apa yang berlaku? Kenapa mak menangis?

“Kenapa, mak?”

“Akmal kemalangan! Akmal dan Nasir kemalangan!”

“Apa?” terlepas telefon bimbit dari tangan Afina. Menggigil Afina mendengarnya.

*****

“Kata orang-orang masjid yang ada di situ, memang ada budak-budak kampung yang berlumba motor malam tu. Salah sebuah motor tu hilang kawalan, langgar Akmal dan Nasir yang masa tu baru keluar dari masjid, terang Tok Imam. “Semuanya berlaku terlalu pantas. Sedar-sedar, dua-dua dah terbaring di tepi jalan, berlumuran darah.”

Afina hanya diam membisu. Dia hanya mendengar kata-kata Tok Imam tanpa sedikitpun membalas. Hanya mak yang berbincang dengan Tok Imam.

“Maafkan aku, Nora. Aku tak dapat nak selamatkan anak kau.”

“Tak apalah, Imam. Benda dah jadi. Dah sampai masanya dia pergi. Saya redha,” mak mengesat airmatanya perlahan. Dia sudah terlalu penat untuk menangis.

“Mana adik-adik kau yang lain, Afina?” tanya Maisara yang menemani Afina pulang kali ini.

“Ada jiran yang pergi ambil Kak Chik kat asrama. Abang Ngah…,” Afina menghela nafas berat.

“Kenapa?”

“Aku tak tahu dia balik ke tidak. Aku tak tahu pun mana dia sekarang. Aku…!” kata-kata Afina terhenti setakat itu. Airmatanya menitis kembali. Maisara memeluknya erat.

“Kak Chik…,” panggil mak, menarik perhatian Afina. Lantas dia berdiri, menunggu Kak Chik yang meluru ke arahnya.

“Kak Long…!” Kak Chik sudah mengongi menangis. “Baru minggu lepas Kak Chik balik, masa tu Akmal bagi macam-macam barang dia kat Kak Chik. Bila Kak Chik tanya, dia jawab dia tak perlukan barang-barang tu lagi dah. Sekarang baru Kak Chik faham kenapa dia buat macam tu.”

Pantas Afina mengucup ubun-ubun Kak Chik untuk menenangkan gadis itu. Kemudian dipeluknya erat. Cuba meminjamkan semangatnya walaupun dia sendiri…

“Kak Chik menyesal abaikan Akmal dulu…!” Afina segera mengeratkan pelukan apabila merasakan tubuh Kak Chik semakin lemah. Namun…

“Kak Chik!!” mak menerpa ke arah Kak Chik yang sudah tidak sedarkan diri. Pelukan Afina terlerai. Dia sendiri terjelepuk di lantai. Sebentar kemudian pandangannya kelam.

“Afina!” sayup-sayup terdengar namanya dipanggil. Namun pandangannya terus hitam.

*****

Pada mulanya, majlis yang berlangsung pada malam selepas pengebumian Akmal dan Nasir diadakan di masjid. Namun atas permintaan keluarga Nasir, majlis itu diadakan di rumahnya. Afina sekeluarga turut dijemput menghadirinya.

“Terima kasi sudi jemput kami,” ujar mak ketika tetamu yang terdiri daripada jemaah masjid sudah beransur pulang. “Maafkan kami sebab kami tak dapat jemput kakak ke rumah. Kami tak dapat buat majlis tahlil macam ni sebab…!”

“Tak apalah,” potong ibu Nasir cepat. Faham benar dia dengan keluarga itu. “Tahlil ni bukan keperluan pun. Kami pun tak terfikir nak buat.Jemaah masjid yangnak buat sebab arwah Nasir rapat dengan mereka.”

Afina senyum. Perlahan dia meninggalkan mereka berborak dan menuju ke dapur. Dilihatnya Syuhada sedang membasuh pinggan mangkuk. Apabila didekati, cepat-cepat dia mengesat matanya. Fahamlah Afina, Syuhada sedang berduka.

“Biar aku tolong kau, Syu,” Afina menghulurkan tangan, cuba membantu. Syuhada memandang Afina sambil tersenyum kelat.

“Tolong lap pinggan yang aku dah basuh tu, boleh?” tanya Syuhada. Afina angguk, dia terus mencapai tuala bersih di atas meja dan mula mengelap pinggan. Suasana sepi seketika. Hanya bunyi pinggan berlaga menjadi halwa telinga.

“Kau okey?” serentak mereka berdua bertanya. Kemudian mereka senyum sendiri.

“Kau dulu,” pinta Afina. Namun Syuhada menolak. “Kau dulu.”

“Kau… okey tak? Kali terakhir kita berjumpa, kau begitu gembira bila kau bagitahu Nasir ajak kau kahwin.”

“Itulah…,” Syuhada menghela nafas halus. “Nasir pun dah hantar cincin tanda dan cincin tunang…” dia menunjukkan cincin yang tersarung di jari manisnya. “Kami rancang nak kahwin hujung tahun ni. Tapi…,” Syuhada tidak dapat meneruskan kata-katanya. Dia sebak.lama kemudian baru dia menyambung cerita.

“Tiga minggu sebelum dia hantar cincin, aku ada cakap dengan dia yang aku dah tak sabar nak jadi isteri dia. Kau tahu apa dia jawab?”

“Apa dia?”

“Dia jawab, jangan terlalu berharap. Mungkin ajal yang datang menjemput dulu sebelum jodoh datang menjenguk. Siapa tahu?” Syuhada mengesat matanya sekali lagi. “Hari ni baru aku faham maksud kata-katanya tu.”

“Nasir seorang yang baik. Sangat baik. Sebab tu Allah ambil dia dulu,” ujar Afina, sekadar untuk memujuk diri sendiri.

“Kau pula, macam mana, Afina? Nasir cuma tunang aku, tapi Akmal adik kau,” giliran Syuhada pula bertanya. Mata Afina berkaca.

“Akmal… bukan sekadar adik. Dia istimewa di mata aku, Syu. Terlalu istimewa.” Mata Afina berkaca. Tidak mampu lagi dia menahan sebak.

“Dia bukan sahaja istimewa di mata kau, Afina. Dia istimewa di mata kami. Sebab tu, pada saat-saat kematiannya, Nasir peluk Akmal dengan erat,” ujar Syuhada. Afina diam. Suasana sepi kembali.

Tidak lama kemudian, Afina sekeluarga pulang ke rumah. Perasaan Afina bercampur baur. Sampai di rumah, Abang Ngah sedang asyik menonton televisyen. Tergelak-gelak dia menonton rancangan komedi itu.

“Mak, kenapa mak tutup TV ni dengan kain putih tadi? Lepas tu, kenapa depan rumah kita ada bendera putih? Abang Ngah dah turunkan tadi,” ujar Abang Ngah sebaik sahaja kelibat mak kelihatan. “Eh, kenapa mata mak sembap?”

“Kau ke mana? Dari semalam tak balik? Orang kampung semuanya cari kau, tahu?” Afina mula menyinga. Sudah tidak dapat ditahan lagi sabarnya terhadap adiknya yang seorang ini. Kak Chik sudah memeluk mak erat.

“Kan Abang Ngah dah cakap dengan mak, Abang Ngah pergi belajar di rumah kawan. Belajar kat rumah ni, satu pun tak masuk kepala!” suara Abang Ngah sama naik dengan Afina. “Yang Kak Long nak marah sangat ni kenapa?”

“Kau tahu tak Akmal dah tak ada?”

“La, ke mana pulak dia pergi? Menyusahkan betullah dia tu. Akak dah cari kat kawasan mana?”

Pang! Penampar sulung Afina singgah di pipi Abang Ngah. Terjelepuk lelaki itu akibat tidak mampu menahan imbangan. Mak dan Kak Chik tergamam. Tidak pernah Afina bersikap sebegini.

“Akmal dah meninggal, kau tahu tak?” suara Afina sudah sampai tahap maksimum. Kemudian dia berlari masuk ke bilik. Di sana, dia menghambur tangis sepuas-puasnya. Kecewa dengan sikap dan layanan Abang Ngah terhadap Akmal walaupun si kecil itu sudah meninggal dunia.

“Akmal dah meninggal? Betul ke mak?” tanya Abang Ngah, seakan tidak percaya. Melihatkan mak yang kembali mengalirkan air mata dan Kak Chik yang sugul wajahnya, dia sudah mendapat jawapannya. Memang benar! Dia berjalan lemah menuju ke biliknya. Bilik yang dikongsi bersama Akmal, sebelum Afina melanjutkan pelajaran ke universiti.

“Abang Ngah, cantik tak lukisan ni?” tanya Akmal pada suatu hari. Ketika itu Abang Ngah sedang melukis di luar rumah. Abang Ngah hanya buat tidak tahu. Namun dijelingnya lukisan itu. Hurm, cantik!

“Cantik tak, Abang Ngah?” tanya Akmal.

“Hesh, kacau je la budak ni! Pergi main kat sana!” halau Abang Ngah. Akmal akur. Namun belum sempat dia bangkit, dia terlanggar bekas warna air yang berbeza warnanya. Sekaligus memancing amarah Abang Ngah.

“Kau tengok apa kau dah buat!” lantas dia mencengkam tangan Akmal dan menampar tangannya berulang kali sehingga budak itu menangis kesakitan. Barulah dilepaskan cengkaman tangannya itu. Cepat-cepat Akmal berlari masuk ke dalam rumah. Melihatkan air mata si kecil, timbul rasa sesal di hatinya. Namun ego mengatasi segalanya.

“Akmal, abang minta maaf, dik…!” dan Abang Ngah terus meraung menangisi pemergian adiknya. Ketika itu, Afina masuk ke biliknya. Mata Afina bengkak kerana terlalu lama menangis.

“Abang Ngah….”

“Kak Long….!” Abang Ngah terus memeluk Afina erat. “Abang Ngah minta maaf atas perbuatan Abang Ngah selama ni. Abang Ngah kejam terhadap adik sendiri…!”

“Akmal tak pernah berdendam dengan Abang Ngah. Dia selalu doakan yang baik-baik tentang abang dan kakak-kakaknya. Dia sayangkan abang dan kakak-kakaknya,” ujar Afina sambil mengusap lembut ubun-ubun lelaki itu.

“Abang Ngah menyesal, Kak Long…!”

“Tiba masanya Abang Ngah pula yang doakan dia,” sambung Afina. Abang Ngah angguk dalam tangisan.

*****

Bacaan Yasin sudah lama tamat. Bunga telah ditabur, air pun telah disiram. Namun Afina masih tidak berganjak dari kubur Akmal. Batu nisan diusapnya perlahan, seolah-olah dia sedang mengusap kepala anak kecil itu.

Dia rindu. Sumpah dia rindu.Walaupun peristiwa itu telah berlaku tiga tahun yang lalu, namun dia terasa seperti baru semalam ia berlaku. Masih terbayang keletah manjanya, rajuknya apabila dia tidak dapat ke masjid, kelincahannya apabila bersama arwah Nasir.

“Akmal, Kak Long nak balik KL harini. Nanti kalau Kak Long dapat cuti, Kak Long datang lagi yea. Insya Allah,” ujar Afina. Kemudian dia bangun. Perlahan dia meninggalkan kawasan perkuburan itu. Setibanya di basikal yang diparkir di tepi pagar, dia menoleh, merenung ke arah kubur arwah Akmal yang sudah dibersihkannya.

“Ingin ku lihatmu dewasa, apa daya, Tuhan lebih menyayangimu.”

Afina tersenyum tawar.

TAMAT.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.