Home Cerpen Cinta Aku Suka Dia
Aku Suka Dia
Laila Qaisara
20/12/2013 08:17:07
3,519
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

“Yasmin, mana Dayang?” tanya Zura. Yasmin yang sedang menyusun kerusi menoleh.

“Kat luar rasanya,” jawab Yasmin. Matanya kembali menatap kerusi yang disusun. Ia perlu rapi sebelum program motivasi itu bermula sebentar lagi.

Zura menepuk tangan untuk menarik perhatian mereka yang lain. “Okey semua! Kita taklimat sikit. Program dah nak mula ni,”

Semua sukarelawan segera menhampiri Zura dan membuat satu bulatan besar supaya semua arahan dapat didengari semua orang. Zura pandang Yasmin. “Tolong panggil Dayang. Kita perlu taklimat sikit. Ini penting,”

Yasmin mengangguk patuh. Cepat-cepat dia keluar mencari Dayang. Laju dia menuju ke meja pendaftaran.

“Dayang!”

Dayang menjengah dari bawah meja.

“Buat apa kat bawah tu?”

“Cari pen. Untuk kegunaan peserta,”

“Kak Zura panggil. Taklimat. Program dah nak mula,” Dayang angguk. Dia bangun dan membawa dua kotak pen bersamanya. Dihulur sekotak pada Yasmin. Belum sempat dia menyambut huluran itu….

“Assalamualaikum,”

Yasmin menoleh. “Waalaikumussalam,”

Tiada balasan.

“Awak?”

“Eh?” lelaki yang menegurnya tadi seakan baru tersedar dari mimpi.

Yasmin mengukir senyuman manis “Selamat pagi. Boleh saya bantu?”

“Oh, erm…. Taklimat dah mula?’

Soalan dijawab soalan? Yasmin angkat kening. Dipandang lelaki itu atas dan bawah. Kemudian baru dia tersedar sesuatu.

“Sukarelawan jugak?”

Lelaki itu angguk.

“Masuk dewan cepat. Taklimat dah nak mula,”

“Oh, terima kasih. Nama awak?”

“Yasmin,”

”Oh, okey. Saya masuk dulu, Yasmin,” lelaki itu terus berlalu masuk ke dalam dewan. Dan Yasmin hanya melihat.

Eh? Dia tak bagitahu nama dia!

“Yasmin,” pecah lamunannya. Dia menoleh. Dayang di sebelahnya hanya tersenyum.

“Mana pen yang aku bagi kau tadi?”

“Eh?” Yasmin baru tersedar. Melilau dia ke kiri ke kanan mencari kotak pen yang dihulurkan Dayang tadi.

“Tak payah la. Kau tak ambil pun tadi,” Dayang bersuara selamba lalu menonong masuk ke dewan. Yasmin menjeling tajam. Nak kena budak ni!

*****

“Yasmin,” Yasmin yang sedang menyusun kasut, mengangkat kepalanya apabila mendengar namanya dipanggil.

“Eh, awak! Nama…..”

“Awak, petugas medik mana?” potong lelaki itu sebelum Yasmin dapat menghabiskan pertanyaannya. Wajahnya cemas.

“Kenapa?”

“Ada peserta pening kepala,”

“Dia ke tandas rasanya. Teruk ke peningnya?”

“Tak tau la. Dia minta ubat je tadi,”

Yasmin menyeluk poket seluarnya. Sepapan Panadol dikeluarkan lalu dihulurkan kepada lelaki tadi.

“Banyaknya?”

“Awak ambil. Bakinya awak simpan dulu,”

“Nanti kalau petugas medik tu tanya macam mana?”

“Dia takkan tanya. Ubat tu, saya punya,”

Lelaki itu mengerutkan dahinya.

“Pergilah cepat. Nanti bertambah pening peserta tu,”

“Oh, okey,” cepat-cepat lelaki itu masuk semula ke dalam dewan. Sebelum dia masuk, dia sempat menjeling ke arah Yasmin yang kembali leka menyusun kasut. Lelaki itu tersenyum.

Selepas solat Asar….

“Yasmin,” Yasmin yang baru hendak melipat sejadah, menoleh dan melihat Dayang mendatanginya dengan riak wajah yang serius.

“Ni apa ni?” Dayang menunjukkan sepapan Panadol di tangannya. Dahi Yasmin berkerut. Ini bukan ke….

“Azhar bagi ni tadi. Dia kata Yasmin yang bagi. Explain please!” Dayang mendesak.

Yasmin telan liur.

“Nak explain apa?”

“Explain yang kau dengan Azhar tak ada apa-apa,” Dayang tersenyum. Dia bergurau rupanya! Yasmin menghela nafas lega, lantas bahu sahabatnya itu ditepuk perlahan.

“Kau ni, buat suspen je la. Anyway, Azhar tu siapa?”

“Kau tak kenal Azhar tu?”

Yasmin menggeleng.

“Kau bagi Panadol ni tadi kat siapa?”

“Kat……,” Yasmin mati kata. Dia tidak tahu nama lelaki tadi!

“Yasmin, Yasmin….. itulah Azhar. Lelaki paling comel dalam dewan ni. Pujaan Malaya tu,”

“Siapa pujaan Malaya?”

Dayang menoleh. “Eh, abang!” disalam tangan Fikri yang muncul tiba-tiba.

“Siapa pujaan Malaya?” Fikri mengulang soalan tadi.

“Azhar tu,”

“Oh…..,” suara Fikri berbaur cemburu. “Kalau Azhar tu pujaan Malaya, abang ni?”

“Abang pujaan hati saya,” Dayang menjawab dengan senyuman manis. Cair Fikri apabila melihat senyuman isterinya itu.

“Kenapa dengan Azhar, sayang?”

“Dia tanyakan Yasmin,”

“Hah?” Yasmin terkejut mendengar kata-kata Dayang. “Kau biar betul?”

“Iya, dia tanyakan kau tadi. Dia minta nombor telefon kau. Aku hanya mampu bagi nama kau dalam Facebook je,”

“Kau ni kan, buatnya dia dah ada kekasih, tak ke malu aku nanti?”

“Kawan je kan? Lagipun, setahu aku dia tak ada kekasih,”

Yasmin terdiam.

“Buka pintu hati kau, Yasmin. Mana tahu ini jodoh kau,” kata FIkri, lembut. Dayang mengangguk. Yasmin terdiam.

“Biar masa yang tentukan,” akhirnya Yasmin bersuara.

*****

Selang beberapa bulan

“Yasmin, laporan yang saya minta tu dah siap?” tanya Puan Zana apabila melewati meja Yasmin. Dilihat Yasmin begitu tekun membuat kerjanya. Sedikit sebanyak dia berasa bertuah kerana memiliki pekerja yang berdedikasi seperti Yasmin.

“Ada sikit lagi yang saya perlu buat, puan. Insya Allah, saya akan serahkan pada puan petang nanti,” balas Yasmin yakin. Dia bukan cakap kosong. Laporan yang diminta Puan Zana memang sedang disiapkannya sekarang ini.

“Awak tak nak makan? Dah pukul 1 dah ni,” Puan Zana mengerling jam di pergelangan tangannya.

“Tak apa, puan. Saya puasa hari ini. Hari ini kan hari Isnin,”

“Oh, okey. Saya pergi dulu. Nanti bila awak nak ke surau, tunggu saya. Saya tak bawa kunci,”

Yasmin menganggukkan kepala. Dia menghantar langkah kaki majikannya itu dengan pandangan mata. Sebentar kemudian dia kembali memandang komputer. Ikon Internet dicari. Sebentar kemudian dia sudah berada di alam maya. Dia menyemak mesej dalam Facebook.

Ada satu! Yasmin tersenyum. Tahu sangat dia daripada siapa.

‘Awak, dah 5 bulan kita kenal dalam FB ni. Awak tak nak jumpa saya secara realiti ke? Rasanya cuma sekali kita berjumpa haritu kan – Azhar’

Yasmin mengeluh perlahan. Masuk ini, sudah lapan kali Azhar mengajaknya keluar. Namun sebelum ini, ajakannya ditolak dengan baik.

Untuk kali ini…….

‘Awak lapang hari ini? Boleh kita buka puasa sama-sama. Ini nombor telefon saya – Yasmin’

Hantar! Yasmin tersenyum.

Apa salahnya bagi peluang kan?

*****

“Saya tak sangka awak sudi keluar dengan saya,” tutur Azhar sambil tersenyum.

“Segan la saya asyik tolak je ajakan awak. Lagipun dah lama tak jumpa kan?”

“Saya harapkan pertemuan ni bukan yang terakhir,”

Yasmin mengerutkan dahi. “Kenapa awak cakap macam tu?”

“Saya harap kita akan keluar macam ni selalu,” Azhar tersengih.

“Awak, kita tak boleh keluar macam ni selalu. Saya ni anak dara tau. Tak manis kalau asyik keluar dengan lelaki bukan muhrim,”

“Tak boleh ek?”

“Tak boleh,” apa kena dengan Azhar ni…….

“Kalau macam tu, saya masuk meminang je la terus. Boleh?”

“Hah?” terkejut beruk Yasmin mendengarnya. Namun hatinya berbunga suka.

*****

“Habis kau cakap apa?” tanya Dayang teruja.

Yasmin tidak menjawb. Dia angkat bahu. Buat muka pelik. Dayang geram. Dia cubit Yasmin sekuat hati sehingga gadis itu menjerit kesakitan.

“Sakitlah!”

“Buat la muka macam tu lagi. Memang lebam lengan tu aku kerjakan,” Dayang bersuara geram.

“Ye la, ye la. Aku tak buat lagi. Esok lusa Insya Allah,” terkekek Yasmin mentertawakan Dayang. Muncung ditarik panjang.

“Eleh, nak merajuk pula dengan aku. Suami kau tak ada kat sini, pergi tengok bola kat kedai mamak. Kalau tak, boleh juga aku suruh dia pujuk kau,”

“Aku bukan merajuk dengan dia. Aku merajuk dengan kau,”

“Jadi aku la yang kena pujuk?”

“Ye la! Kau ingat siapa lagi?”

“Pulak….,” Yasmin menepuk dahi. Dayang sudah tersenyum. Namun disembunyikan senyuman itu apabila Yasmin memandang wajahnya. Wajah masam kembali dipamerkan.

“Kalau kau tak jawab soalan aku, sampai minggu depan aku merajuk!”

“Ala…..,”

“Jawab cepat!”

“Ye la, ye la,”

“Kau jawab apa dengan Azhar?”

Yasmin diam. Kemudian dia menggeleng perlahan.

“Kau tolak dia?” tanya Dayang tidak percaya.

“Bukan la. Aku tak bagi jawapan dengan dia lagi,”

“Kenapa pulak?”

Yasmin mengeluh. “Kau fikir, dia nak ke dengan aku kalau dia tahu siapa aku yang sebenarnya dulu?”

Dayang terdiam. Ada benarnya kata-kata Yasmin itu.

“Aku takut,” luah Yasmin. “Aku takut nanti bila dapat tahu kisah silam aku, jangankan pandang, dengar suara pun dia tak mahu nanti,”

“Yasmin,” Dayang paut erat bahu gadis itu. “Bukan semua orang akan pandang kisah silam kita. Aku sendiri pun, dulu liar jugak. Bergaul dengan mat rempit sampai nyaris kena kenduri,” Dayang diam seketika. Dia teringatkan kenangan dia bersama Iskandar dulu.

“Tapi Yasmin, semalam adalah kenangan. Hari ini adalah kenyataan. Esok adalah harapan. Kita jangan sentiasa berada di hari semalam untuk mengejar hari esok. Kau nak berubah kan?”

Yasmin mengangguk.

“Azhar bukan jenis macam tu. Aku kenal dia. Fikri pun kenal dia,”

Yasmin pandang wajah Dayang.

“Percaya cakap aku, Yasmin,” ujar Dayang yakin. Yasmin tersenyum.

*****

‘Awak tunggu saya sekejap ye, saya nak letak kereta dulu – Azhar’

Yasmin tersenyum. Dia kembali melihat barang-barang yang dipamerkan di pusat membeli belah itu. Leka dia membelek, dia tidak sedar ada yang memerhatikannya dari belakang.

“Hai, sayang,”

Yasmin tersentak. Suara itu seakan dikenalinya. Pantas dia menoleh.

“Roy!”

“Aku rindukan kau, sayang,” pantas Roy memaut pinggang Yasmin.

“Lepaslah! Apa ni, Roy? Ramai orang tengok ni!”

“Biarkan mereka tengok. Biar mereka tahu yang aku sangat merindui kau,”

“Eeeeee!” Yasmin menolak Roy sekuat hati. Pelukan mereka terlerai.

“Sudahlah Roy! Aku dah tak nak terbabit dengan cinta songsang kau lagi! Pergi la kau dari sini! Jangan kacau aku lagi!”

“Aku rindukan kau, Yasmin. Dan aku tahu, kau juga rindukan aku,” Roy mendekati Yasmin.

“Pergi!”

“Takkan kau tak rindukan aku walau sekali pun?”

“Aku kata pergi!”

“Aku takkan lepaskan kau kali ni,”

Buk!

Spontan Roy meraba pipinya. Mukanya merah menahan marah. Siapa yang tumbuk aku ni?

Azhar mara ke hadapan, mendepangkan tangan melindungi Yasmin yang pantas berlindung di belakangnya.

“Kau usik dia sekali lagi, lebih dari ini yang kau akan dapat. Ingat!” Azhar segera berlalu dari situ. Yasmin segera mengikutnya.

“Kau nak lagi ke ‘bekas’ aku tu?” Roy bersuara sinis. Langkah Azhar terhenti. Yasmin terkejut dengan kata-kata Roy.

“Kau nak lagi ke ‘bekas’ aku tu, hah? Ambillah, aku tak hairan pun. Sebab semuanya aku dah rasa, hahahaaaa…..,” Roy ketawa mengejek lalu pergi dari situ. Air mata Yasmin mengalir. Azhar masih kaku di tempatnya.

“Awak….,”

“Saya tak sihat. Saya balik dulu,” ujar Azhar tanpa melihat wajah Yasmin walau sedikit pun.

“Awak!” panggil Yasmin. Namun Azhar tidak peduli.

*****

“Semuanya salah aku!” luah Yasmin lagi. Dia mengesat air matanya dengan tisu. “Tisu habis!”

Dayang menghulurkan kotak tisu yang ketiga. “Kau ada telefon Azhar?”

“Aku takut nak telefon dia. Aku takut aku tak kuat hadapi sumpah seranah dia,”

“Eh, apa pulak dia nak sumpah seranah kau pulak? Dia bukan macam tu la,” bela Dayang. Dia tahu, Azhar bukan lelaki seperti itu.

“Tapi aku tetap takut, Dayang….,”

Dayang memeluknya erat. Saat ini, dia merasakan perlunya Kak Yaya di sisi.

“Kita panggil Kak Yaya ye,”

“Tak payah la, Kak Yaya kan sarat mengandung” tegah Yasmin. Namun Dayang sudah mencapai telfon bimbit untuk menghubungi kakak angkatnya itu. Setelah beberapa jeda, Dayang menghulurkan telefon bimbitnya pada Yasmin.

“Kak Yaya nak cakap dengan kau,” kata Dayang. Tanpa suara, Yasmin menyambut huluran itu.

“Assalamualaikum sayang,” suara Kak Yaya buat air mata Yasmin tumpah lagi. Teresak-esak dia menangis sambil bercerita dengan Kak Yaya.

“Adik kakak jangan risau ye, Allah sentiasa bersama kita. Kenangan semalam jadikan panduan dan teladan supaya kita tidak kembali tersasar. Tetapkan iman adik. Solat jangan tinggal. Tahajjud ye sayang. Baca Quran supaya bila kita ingat DIA, kita akan jadi lebih tenang. Pasal Azhar, adik jangan risau. Dia seorang yang bersikap rasional. Dia takkan buat sesuatu yang di luar fikiran kita,” nasihat Kak Yaya panjang lebar.

“Saya takut dia pandang rendah pada saya, kak,”

“Kalau dia nak tinggalkan awak, biarkan aje. Kalau dia pandang rendah pada awak, tak apa. Kita cari redha Ilahi, bukan redha manusia,” nasihat Kak Yaya lagi.

Air mata Yasmin mulai reda. Dia mula mencerna kata-kata Kak Yaya itu.

“Terima kasih, kak,”

“Sama-sama. Nanti kalau ada masa, kita jumpa yea. Rindu dia,”

“Rindu akak juga. Okey la. Assalamualaikum,”

“Waalaikumsalam,”

Klik! Talian dimatikan.

“Dah lega?” tanya Dayang. Yasmin bangun.

“Kau nak pergi mana tu?”

“Aku nak ambil wuduk,” jawab Yasmin. Dayang tersenyum.

*****

“Jadi kau bencikan Yasmin?”

Azhar menggeleng. “Aku tak bencikan dia. Aku cuma terkejut bila lelaki tu cakap macam tu,”

Fikri ketawa kecil. “Kau pasti ke si Roy tu lelaki?”

Azhar terkejut. “Mana kau tahu nama dia Roy? Dan, mana kau tahu dia tu lelaki ke perempuan?”

“Sebenarnya…..,” Fikri menarik nafas, dan giliran dia pula bercerita.

******

“Tolong aku, Dayang,” rayu Yasmin. Dayang mengurut dagu.

“Kita dah laporkan kegiatan dia pada polis kan? Apa yang dia tak puas hati tu?”

“Sebab kita dah buat laporan la dia marah sangat tu! Lagipun, kau dianggap musuhnya sebab kau dianggap menghasut kekasih dia,”

“Eeeeee tolonglah! Berhenti guna perkataan ‘kekasih’ tu depan aku boleh tak? Kau dengan Roy tu sama je jantina tu! Roy konon! Cakap je nama Rokiah!” bentak Dayang marah.

Yasmin mengeluh. Kesal dengan apa yang berlaku. Tiga tahun lalu, ya mereka memang pasangan kekasih. Yasmin sendiri pun tidak tahu bagaimana dia boleh terjermus dengan cinta songsang dengan Roy si pengkid itu. Namun apabila diketahui yang Roy bukan sahaja ‘pusher’ yang dikehendaki polis, malah juga ketua gangster, dia bertindak nekad meninggalkan Roy.

Tapi, tak semudah itu meninggalkan Roy. Langkahnya sentiasa dihidu di mana-mana. Sehinggalah dia bertemu Dayang, yang bertindak nekad melaporkan semua kegiatannya pada polis.

“Roy dan budak-budaknya cari kau,” ujar Yasmin.

“Peduli apa aku. Bukannya dia malaikat maut pun,” Dayang bersuarau serius. Yasmin pula yang naik takut.

“Yasmin jangan risau. Dia cari kita kan? Dia akan dapat kita. Tapi, sebelum dia bunuh kita, dia yang kena lauk dulu,”

“Macam mana kau boleh yakin sangat, Dayang?”

“Sebab….!” Belum sempat Dayang menghabiskan kata-katanya, pintu bilik ditendang kuat. Dayang terkejut. Yasmin apa lagi.

Roy di muka pintu.

“Kat sini rupanya kau sorokkan buah hati aku ye perempuan!”

Dayang mendepangkan tangannya. Melindungi Yasmin.

“Kau nak ke ‘bekas’ aku ni?” Roy ketawa mengejek.

“Kau tu, tak nak ke kembali ke pangkal jalan?” sengaja Dayang elakukan provokasi.

“Lepas aku bunuh kau!” Roy mengeluarkan sebilah pisau Rambo. Dia meluru untuk membunuh Dayang.

“Dayang!”

“Ergh!”

Darah tersembur di mana-mana.

*****

“Siapa yang kena tikam, Fikri?”

“Yasmin,” lambat-lambat Fikri menjawab. Azhar terkejut besar.

“Ma… macam mana….!”

“Yasmin tolak Dayang ke tepi. Dia terkena tikaman tu. Roy pun terkejut dengan tikamannya. Dia cuba lari tapi masa tu, polis dah kepung rumah tu,” cerita Fikri lagi.

“Habis, Yasmin?”

“Seperti yang kau lihat sekarang. Alhamdulilah, tikaman itu tidak mengenai organ dalamannya. Dan dia sihat sehingga hari ini,” Fikri menamatkan ceritanya.

“Aku pelik. Kalau betul kata kau yang Roy dah ditangkap, macam mana pula dia boleh muncul kembali?”

Fikri terdiam. Ada benarnya kata-kata Azhar itu.

*****

“Assalamualaikum Warahmatullah…..,” salam kedua diucapkan. Yasmin tunduk smbil berzikir mengingati Yang Maha Esa. Sebentar tadi, Dayang sudah pulang. Sebelum itu, dia sempat berpesan agar sentiasa berserah pada-Nya.

Tok! Tok!

Ketukan di pintu mematikan lafaz zikirnya. Dia diam seketika. Mengamati bunyi itu. Manalah tahu, ia hanya khayalan semata-mata. Mungkin ketukan pintu di bilik sebelah.

Tok! Tok!

Ketuka di pintu berbunyi lagi. Kali ini pasti. Dia bangun lalu menuju ke pintu. Tapi, debaran di hati tiba-tiba menggila. Dia tidak tahu kenapa.

Tombol pintu dipulas dan…..

“Hai, sayang,”

Langkah Yasmin terundur. Roy!

“Apa kau buat kat sini?”

“Aku rindukan kau, sayang,”

“Pergi dari sini!”

“Kau ingat begitu mudah kau nak larikan diri daripada aku?” Roy sudah melangkah masuk ke bilik Yasmin.

“Keluar dari sini!”

“Aku minta maaf sayang sebab tikam kau hari tu,”

“Aku cuma mahu kau pergi dari sini. Pergi!!!!”

Roy tidak berganjak. Menambah resah di hati Yasmin.

“Apa yang boleh aku buat agar kau pergi dari sini, Roy?” Yasmin bersuara lirih.

Roy mengeluarkan pisau. Debaran di hati Yasmin semakin kuat. Seakan mengerti, butir bicara Roy yang seterusnya.

“Cuma satu cara untuk aku pergi dari sini. Lepas aku bunuh kau!”

“Roy! Jangan!”

“Tiada siapa boleh tinggalkan aku, melinkan dalam bentuk mayat!”

“Jangan!”

“Yasmin, aku tertinggal telefon….!”

Roy terkejut. Dia tertikam Dayang.

“Tidakkkkk!!!!!!!”

Dayang tumbang berlumuran darah. Roy sudah lari entah ke mana.

*****

Fikri mundar-mandir di ruang menunggu. Resah gelisah dia apabila Yasmin memberitahu tentang kemalangan yang menimpa isteri kesayangannya. Yasmin tunduk. Mukanya tidak mahu diangkat langsung.

“Dah buat laporan polis?” tanya Azhar yang duduk di sebelahnya. Yasmin hanya angguk.

“Polis kata apa?”

“Polis kata, dia dah buat sekatan jalan raya untuk buru dia. Rupa-rupanya, dia lari dari penjara,”

“Bertambah-tambahlah kesalahan dia nanti,”

“Tu la. Kesian juga dengan dia. Entah bila dia akan berubah,” Yasmin bersuara perlahan.

“Masih sayang dengan dia ke?” tanya Azhar

“Sayang sesame umat Islam. Kesian bila tengok cara hidup dia yang begitu,” balas Yasmin perlahan. Kemudian tersedar sesuatu.

“Awak cemburu ya?”

Wajah Azhar merah. “Ya, saya cemburu. Sebab saya suka awak,”

Wajah Yasmin pula yang merah.

“Setiap dari kita ada kisah silam masing-masing. Yang penting, kita dah sedar dari kesilapan lalu. Jadikan ia sebagai panduan supaya kita tak kembali tersasar,”

Yasmin tunduk kembali.

“Doktor!” Fikri meluru ke arah doktor yang baru keluar dari wad kecemasan. Azhar dan Yasmin segera mengikut.

“Doktor, macam mana dengan keadaan isteri saya?”

“Dia selamat….,”

“Alhamdulilah,” Fikri meraup wajahnya. Mengucap syukur.

“Tapi…. Kandungannya tidak dapat diselamatkan,”

“Allahu Akbar,” Yasmin tidak dapat menahan sebak. Azhar tunduk seketika.

“Alhamdulilah, belum rezeki kami agaknya. Terima kasih doktor,” ucap Fikri dan bersalam dengan doktor itu. Kemudian dia melangkah pergi.

“Fikri…!”

“Biarkan dia. Dia perlukan masa bersendirian,” kata Azhar. Yasmin tidak jadi mengejar Fikri.

*****

“Seorang pengedar dadah yang lebih dikenali sebagai Roy ditembak mati dalam satu kejadian tembak-menembak antara dia dengan pasukan polis. Ketika mayatnya ditemui, terdapat sejumlah dadah yang ada bersamanya, wang tunai dan senjata api. Dia dikehendaki polis atas pelbagai kesalahan antaranya pengedaran dadah, cubaan membunuh dan melarikan diri dari penjara.”

Yasmin menutup televisyen yang dipasangnya. Dia termenung. Memikirkan Roy yang akhirnya mati dalam keadaan sia-sia. Milo di tangan dihirup perlahan.

“Azhar nak pinang Yasmin jadi isteri Azhar yang sah,” kata-kata Azhar beberapa hari lalu terngiang-ngiang di telinganya.

“Tapi kan, awak dah tahu siapa saya yang dulu. Awak tak menyesal ke kawan dengan saya?”

“Saya bukan nak kahwin dengan awak yang dulu, Yasmin. Saya nak kahwin dengan Yasmin yang sekarang ni. Yang sentiasa ingat Allah. Yang sentiasa rindu Rasulullah,” Yasmin seakan-akan ternampak wajah Azhar yang tersenyum memandangnya.

Istikharahnya selama beberapa malam ini sudah terlihat hasilnya. Namun dia masih beum yakin. Telefon bimbitnya dicapai. Nombor Dayang dicari. Tapi kemudian dia membatalkan niatnya. Dayang masih berpantang, kerana peristiwa ditikam hingga keguguran itu. Nombor Kak Yaya pula dicari.

‘Kak, macam mana ni?’

Selang seminit mesejnya dibalas.

‘Lelaki yang baik untuk perempuan yang baik. Alhamdulilah, Allah kurniakan jodoh yang baik buat adik kakak yang sorang ni. Cakap saja ya, kalau betul kamu suka dia’ – Kak Yaya.

Yasmin tersenyum. Ya, aku suka dia.

TAMAT

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.