Home Cerpen Keluarga Natijah Cinta
Natijah Cinta
Laila Qaisara
7/8/2015 10:59:04
2,060
Kategori: Cerpen
Genre: Keluarga

Alunan lagu Karma nyanyian Faizal Tahir diulang lagi dalam senarai lagu milik Farah Tahirah. Dia mengetuk-ngetuk stereng sambil mengangguk perlahan mengikut irama lagu. Dia senyum. Kalaulah Bonda Latifah ada ni, mahunya dahinya diketuk perlahan. "Anak dara tak elok buat begitu. Tak manis," katanya.

Kereta membelok ke satu kawasan sunyi. Dia pelik. Aplikasi Waze yang dipasang dibelek perlahan. "Kenapa kau bawa aku ke sini hah, robot?" Farah Tahirah bercakap sendiri. Selepas pertemuannya dengan anak buahnya di Selayang, dia mengambil keputusan untuk menggunakan aplikasi tersebut untuk tunjuk jalan ke rumah. Namun...

"Betullah kata Kak Jaja dulu. GPS, Gerenti Punya Sesat!" ujarnya sambil ketawa. "Bonda mesti risau aku lambat balik ni. Telefon la kejap."

Cepat talian bersambung sejurus Farah Tahirah menghubungi Bonda Latifah. "Assalamualaikum, Bonda."

"Waalaikumsalam. Farah, awak kat mana? Kata tadi terus balik lepas perbincangan!" Bonda Latifah sudah kerisauan di hujung talian. Seperti yang dijangkakan Farah Tahirah. Dia senyum.

"Maaf, Bonda. Perbincangan habis lambat tadi. Nak balik, Waze pula tunjuk jalan tak betul. Maaf ya, bonda," tulus Farah Tahirah memohon maaf. Terdengar dengusan halus di hujung talian. Spontan Farah Tahirah menutup mulut bagi menahan tawa. Kalaulah meletus tawanya sebentar tadi, mahu lebih panjang bebelan wanita itu.

"Balik cepat. Bonda risau," pesan Bonda Latifah.

"Insya Allah, Bonda. Saya akan balik secepat.....!"

"Argh!!!" perhatian Farah Tahirah teralih apabila mendengar suara jeritan wanita. Spontan, dia memandang ke hadapan. Seorang wanita berlari ke arah keretanya dengan keadaan tidak terurus. Dia tumbang di atas bonet hadapan keretanya.

"Bonda, saya telefon balik!" cepat talian dimatikan tanpa sempat Bonda Latifah berbuat apa-apa. Pantas Farah Tahirah keluar dari kereta setelah enjin kereta dimatikan. Terdengar suara gadis itu mengerang kesakitan. Belum sempat dia berbuat apa-apa, dua lelaki muncul entah dari mana. Memegang gadis itu dengan kasar.

"Berani betul kau, kan? Kau tahulah apa akan jadi pada kau nanti," gertak lelaki pertama itu separuh mengugut. Dia menarik tangan gadis itu membuatkan dia menjerit kesakitan.

Pandangan mata Farah Tahirah dan gadis itu bertaut. Tergamam dia. Mata gadis itu seolah-olah menghantar isyarat padanya. 'Tolong saya!'

"Hei," Farah Tahirah akhirnya bersuara. Menarik perhatian dua lelaki itu. "Kau nak bawa dia ke mana?"

Lelaki kedua itu bersuara, "Suka hati kamilah nak bawa dia ke mana pun! Kalau kami nak bunuh dia pun, apa kau kisah?"

"Aku tak kisah pun kalau kau nak panggang dia sekalipun tapi dia dah rosakkan kereta aku! Enjin dah tak boleh hidup lepas dia langgar kereta aku tadi. Sekarang ni siapa nak jawab?"

"Eh, kitorang boleh bayarlah! Ambil ni!" seketul gulungan wang kertas not RM100 dibaling kasar mengenai batang tubuhnya. Farah Tahirah senyum. Diambil gulungan wang itu dan dibaling kembali ke arah lelaki pertama.

"Aku dah cukup kaya la nak ganti kereta ni sekalipun! Tapi aku nak ganti rugi," jari telunjuk Farah Tahirah lurus dihalakan ke arah gadis itu. "Aku nak dia jadi orang gaji aku. Amacam?"

"Kau nak dia?" lelaki kedua tergelak sinis. "Boleh. Boleh blah!" pantas dia meluru ke arah Farah Tahirah dengan penumbuk tergenggam kemas di tangan. Farah Tahirah membuka kuda-kuda. Dia sudah bersedia.

Sekejapan, lelaki kedua itu tersembam di kereta Farah Tahirah. Perlahan-lahan terjelepuk ke tanah. Farah Tahirah menyapu debu di bahunya kemudian memeriksa keretanya. "Tengok! Kereta aku dah tercalar. Siapa nak jawab?"

"Kau...!" lelaki pertama tidak membuang masa. Gadis itu ditolak kasar ke tepi. Lelaki itu cuba untuk menyerang Farah Tahirah namun gadis itu lebih pantas mengelak. Tangan lelaki itu dicapai lalu dipulas ke belakang. Menjerit-jerit lelaki itu menahan sakit. Mengalahkan pondan!

"Kau nak tangan kau patah atau putus?" jerkahnya kuat. Lelaki itu menggeleng. Farah Tahirah senyum, lalu pulasan itu dikuatkan lagi. Lebih kuat lelaki itu menjerit.

"Jawab!"

"Putus, putus! Eh, patah! Eh...," kata-kata lelaki itu sudah tidak teratur akibat menahan kesakitan yang amat. "Lepaskan aku...."

Mata Farah Tahirah mencari mata gadis malang itu. "Masuk!"

Terkocoh-kocoh gadis itu masuk ke dalam keretanya. Farah Tahirah kembali memandang lelaki pertama. "Aku ambil dia. Kau masuk campur, kau mati!"

"Baik, baik...," tanpa banyak bicara lelaki pertama setuju. Lantas Farah Tahirah melepaskannya. Langkahnya sumbang, dia terjatuh di atas lelaki kedua. Masing-masing mengaduh kesakitan.

Farah Tahirah tidak mempedulikan mereka. Dia terus masuk ke dalam kereta. Dipandang gadis malang itu sekilas. Kelihatannya seperti dia menggigil ketakutan. Farah Tahirah senyum. Enjin kereta dihidupkan dan kereta itu menderum pergi dari situ.

"Awak kata tadi enjin kereta tak boleh hidup," ujar gadis itu memecah kesunyian. Suaranya bergetar hebat. Farah Tahirah senyum.

"Kau ingat kalau aku tak buat macam tu, kau boleh lepas?" pertanyaan dijawab dengan pertanyaan. Gadis itu mengangguk.

"Siapa nama kau?"

"Siti Mardhiyah."

*****

"Ayah, kita nak pergi mana ni?" tanya Siti Mardhiyah ketika motosikal yang mereka naiki berhenti di sebuah kedai kopi. Pak Ayub hanya diam. Dia memerhatikan keadaan sekeliling. Sesekali dia mengerling jam di tangan.

"Ayah, kita nak jumpa siapa ni? Penting ke sampai nak jumpa malam-malam?" tanya Siti Mardhiyah lagi. Dia risau sebenarnya. Dengan sikap ayahnya yang tahi judi, dia takut sesuatu yang buruk akan terjadi.

"Ayah...!"

"Kau diam, boleh tak? Aku ni nak tolong kau cari kerja. Nanti senang, tak la menyusahkan aku. Kau faham?" herdik Pak Ayub. Sudahlah kepalanya cukup serabut dengan hutang keliling pinggang, Siti Mardhiyah pula banyak tanya. Silap haribulan, habislah perancangannya nanti.

"Kerja apa tu, ayah? Hesh, tak nak la Dhiya. Siang nantilah Dhiya pergi cari kerja. Kerja kedai serbaneka ke, kerja kilang ke..."

"Berapa sen sangatlah gaji yang kau dapat dengan kerja kat kilang tu? Berapa sen sangat? Aku ni nak tolong kau hidup senang, nanti bolehlah kau tolong aku. Faham? Dah, jangan banyak tanya. Aku nak kau kerja dengan Tauke Wong."

Berderau darah Siti Mardhiyah mendengarnya. "Tak nak, ayah! Dhiya tak nak kerja haram tu! Tolonglah, ayah...!"

"Kau jangan melawan cakap aku! Aku ni ayah kau! Kau kena dengar cakap aku!"

"Tak nak, ayah...!"

"Kau pergi kerja dengan Tauke Wong tu!"

Prang!!

Terkejut Siti Mardhiyah dengan respon Farah Tahirah sejurus mendengar ceritanya. Tidak semena-mena, pasu bunga yang diletak cantik di atas meja ditepis laju. Pasu buatan China yang bernilai ribuan ringgit itu pecah berderai di atas lantai. Bonda Latifah diam tidak bereaksi.

"Ayah mana yang keji sangat sanggup jualkan anak dia kat bapa ayam semata-mata kerana judi? Ayah mana?? Kau jangan bagi aku jumpa dia, Mardhiyah, atau aku akan bunuh dia. Aku bunuh!!"

"Farah Tahirah," Bonda Latifah sengaja menyebut nama penuhnya. "Bonda rasa Bonda tak ajar Farah begini."

Selajur Farah Tahirah tersedar. "Maafkan saya, Bonda. Saya terlalu mengikut perasaan."

"Marah itu datangnya daripada syaitan dan syaitan dicipta daripada api. Farah faham kan, maksud Bonda?" tanya Bonda Latifah lagi. Farah Tahirah angguk. Dia terus menghilang ke dapur.

"Siti Mardhiyah..."

"Dhiya, makcik," potong Siti Mardhiyah perlahan. "Panggil saya Dhiya."

"Baiklah, Dhiya. Kalau begitu, Dhiya juga perlu ubah nama panggilan Dhiya terhadap saya," Bonda Latifah mengelus lembut bahu Siti Mardhiyah. "Bonda. Bonda Latifah."

"Baiklah... Bonda."

"Bagus," Bonda Latifah senyum."Mulai hari ini, kerja dengan Bonda. Jadi pembantu peribadi Bonda. Okey?"

"Habis, saya?" Farah Tahirah tiba-tiba muncul dari dapur.

"Awak tu pemandu Bonda, tetap dan berpencen. Jangan nak mengada nak tukar jawatan. Lesing nanti,"ujar Bonda Latifah separuh bergurau. Farah Tahirah menyambutnya dengan tawa besar.

"Dhiya," panggil Bonda Latifah, memancing perhatian gadis itu. "Mulai hari ini, awak tinggal dengan Bonda ya. Anggap rumah ni macam rumah sendiri. Anggap Bonda macam ibu Dhiya sendiri."

"Baik, Bonda," jawab Siti Mardhiyah. Air matanya bergenang.

*****

"Bila memandang wajahmu... Hatiku senang selalu... Eh, betul ke lirik lagu ni? Ah, hentam sajalah," Farah Tahirah bernyanyi riang sambil mengelap keretanya. Sesekali telefon pintar dikeluarkan dan dia mengambil gambar secara selfie. Macam-macam gaya yang dicubanya.

"Macam ratu cantik pulak. Ratu cantik ke, ratu selfie?" Farah Tahirah berbicara sendiri. Kemudian dia tertawa sendiri. :-)

"Ratu cantik ke ratu selfie...."

"Hantu selfie."

"Oh, hantu selfie cantik kau meletup! Eh...!" pantas Farah Tahirah menoleh ke arah Siti Mardhiyah yang sudah terkikih ketawa. "Dhiya! Gugur jantung mak ni tau!"

"Sudahlah kau," Siti Mardhiyah menghabiskan sisa tawanya. "Ada hati nak jadi ratu selfie. Hantu selfie bolehlah...."

"Emma Maembong je yang boleh jadi hantu selfie. Aku malas nak potong jalan," Farah Tahirah buat gaya mak nyah. Mengundang tawa Siti Mardhiyah.

"Ehem."

Mendengarkan itu, cepat-cepat Farah Tahirah sambung mengelap kereta. Siti Mardhiyah pula cepat-cepat membetulkan pakaiannya. Sejurus, Bonda Latifah keluar.

"Bonda," panggil Siti Mardhiyah sopan.

"Sejak bila pula Farah pandai melatah ni?" tanya Bonda Latifah pelik. Dia pandang Farah Tahirah dan Siti Mardhiyah silih berganti. Selamba Siti Mardhiyah mencucuk pinggang Farah Tahirah.

"Sejak azali lagi, nak...!" Farah Tahirah pantas mencari kelibat Siti Mardhiyah yang sudah masuk ke dalam kereta. Gelagatnya benar-benar menghiburkan Bonda Latifah.

"Sudahlah," ujar Bonda Latifah. "Bonda akan nasihatkan Dhiya supaya tak cucuk awak masa awak sedang memandu, Farah."

"Terima kasih, Bonda."

"Masa lain, Bonda tak janji," Bonda Latifah gelak kecil sebelum masuk ke dalam kereta. Buntang mata Farah Tahirah mendengarnya.

"Bonda!"

*****

"Kau tak pergi ikut Bonda pergi mesyuarat tu, Dhiya?" tanya Farah Tahirah apabila Siti Mardhiyah kembali ke kereta tidak lama selepas mengikuti Bonda Latifah ke Menara Tan & Tan.

"Mesyuarat tu mesyuarat 'top management'. Aku tak terbabit," jawabnya selamba. Dia mengeluarkan buku nota dari beg tangan dan mencatatkan sesuatu.

"So, how's your life? Dah tiga bulan tinggal dengan kami, dah dapat sesuaikan diri?" tanya Farah Tahirah. Dia senyum apabila melihat Siti Mardhiyah leka dengan kerjanya. Mendengarkan itu, Siti Mardhiyah berhenti menulis.

"Alhamdulilah, Dhiya rasa seronok sangat. Rasa dihargai. Terima kasih sebab sudi terima Dhiya dalam hidup korang," ucap Siti Mardhiyah sungguh-sungguh. Farah Tahirah senyum manis.

"Sama-sama. Aku pun dulu macam kau juga. Kekok pada mula-mula tinggal dengan Bonda."

"Eh, kau bukan tinggal dengan Bonda dari kecil, ke?"

Farah Tahirah senyum. "Tak. Aku dulu macam kau juga. Dikutip di tepi jalan oleh Bonda. Cuma, jalan ceritanya lain sikit."

"Menarik. Care to share?" mata Siti Mardhiyah bercahaya. Berharap sangat yang Farah Tahirah akan menceritakan kisahnya.

"Tak payahlah. Cerita aku boring."

"Tapi tak sebosan aku, kan?" Siti Mardhiyah buat muka comel. Farah Tahirah mencebik.

"Ingat laku la buat muka macam tu?" Siti Mardhiyah tergelak.

"Setiap orang punya cerita tersendiri...," dan Farah Tahirah mula bercerita. “Aku tinggal dengan mak aku sejak kecil. Ayah aku dah meninggal dunia masa aku kecil. Kalau tak silap aku, masa aku umur tiga tahun. Tapi seingat aku, sejak aku kecil aku tak rasa kasih sayang mak aku sendiri.

“Aku diabaikan… tak dipedulikan. Semuanya aku buat sendiri. Kadang aku cemburu dengan kawan-kawan sekolah aku yang punya ibu, yang ambil anak dia masa balik sekolah. Yang dapat ciuman kasih sayang setiap kali dapat anugerah cemerlang di sekolah. Satu hari, aku tak tahan dengan layanan dingin mak aku, jadi aku tanya dia…”

*****

"Apa yang mak tak puas hati sangat pasal saya? Dari saya kecil lagi, mak memang tak pedulikan saya. Semuanya saya lakukan sendiri. Seolah-olah saya ni tiada mak. Seolah-olah saya ni anak yatim piatu," luah Farah Tahirah. Dia sudah tidak tahan lagi dengan apa yang berlaku. Hendak dikatakan dia bukan anak Jamilah, terpampang jelas dalam sijil kelahirannya nama wanita itu sebagai ibunya.

Jamilah masih diam. Membisu seribu bahasa.

"Saya ada buat salah ke, mak?"

"Memang kau ada buat salah!" Suara Jamilah tiba-tiba melantun tinggi. "Salah kau sebab muka kau sebiji macam muka ayah kau. Salah kau sebab perangai kau tak ubah macam ayah kau. Salah kau yang paling besar sebab nama kau sama macam nama perempuan simpanan ayah kau!"

Farah Tahirah terkejut. "Betul ke, mak?"

"Apa pula tak betulnya?" jerkah Jamilah lagi. "Ayah kau dulu beria-ia nak letakkan nama kau masa kau lahir dulu. Ingatkan apalah yang istimewa sangat. Rupa-rupanya ada cerita busuk di sebaliknya!"

"Jadi... saya ni bukan anak mak? Begitu?"

Jamilah tidak menjawab. Dia bangun, menuju ke bilik Farah Tahirah. Sedikitpun dia tidak mempedulikan Farah Tahirah yang sudah bergenang air mata di ruang tamu. Seketika kemudian Jamilah kembali dengan beg besar di tangan.

"Nah! Ambil ni!" Pantas beg itu dicampakkan kepada Farah Tahirah. "Keluar dari rumah ni! Aku dah tak nak tengok muka kau lagi!"

"Jadi betullah saya bukan anak mak?"

"Keluar!" Jamilah menolak kasar Farah Tahirah sehingga ke luar. Pintu dihempas kuat. Merobek hati Farah Tahirah yang sudah remuk.

*****

Langkahnya lemah berjalan mengharungi kesibukan kota. Fikirannya buntu, bercelaru sejak dihalau keluar dari rumah itu. Dia tiada hala tuju. Hendak tidur di mana malam ini pun, dia tidak tahu.

"Tolong!" Suara nyaring seorang perempuan memancung lamunan Farah Tahirah. Lantas dia menoleh. Pandangannya menangkap bayang seorang wanita jatuh tersungkur dan seorang lelaki cuba melarikan diri dengan beg tangan dalam genggaman.

Kurang ajar! Kau meragut!

Pantas dia membuka langkah mengejar lelaki itu.

"Jangan lari!" Namun larian lelaki itu semakin kencang. Farah Tahirah berang, dia mula membuka langkah. Tatkala lelaki itu mula memperlahankan langkahnya, cepat Farah Tahirah mengambil peluang. Dia melompat tinggi dan kakinya hinggap di kepala lelaki itu, menyebabkan lelaki itu hilang imbangan dan terjatuh.

Cepat Farah Tahirah mengambil beg tangan yang diragut lelaki itu dan melangkah pergi. Namun selepas beberapa langkah, dia berhenti dan berpusing menghadap lelaki itu. Spontan dia mengelak apabila kayu panjang melayang ke arahnya. Dia tersenyum saat melihat lelaki itu yang sudah berdiri menghadapnya.

"Aku tak ada mood. Jangan kacau aku," ujar Farah Tahirah perlahan. Namun lelaki itu tidak peduli malah dia meluru ke arah Farah Tahirah.

Farah Tahirah sedikitpun tidak gentar. Selamba dia menghadang kaki lelaki itu dengan kakinya, menyebabkan lelaki itu tersadung lalu terjatuh. Dia tertiarap tidak sedarkan diri.

"Aku dah cakap," ujar Farah Tahirah lagi lalu melangkah pergi dari situ. Wanita yang menjadi mangsa ragut tadi dihampiri dan beg tadi dihulurkan perlahan.

Wanita itu kelihatan terkejut. "Awak yang....!"

Farah Tahirah senyum. Lalu angguk.

*****

"Terima kasih kerana tolong saya," berulangkali wanita itu mengucapkan terima kasih. Sehinggakan Farah Tahirah naik lenguh menganggukkan kepala.


"Ambillah ni," wanita itu menghulurkan beberapa keping not ungu kepadanya. Namun Farah Tahirah cepat menolak.


"Tak apalah, makcik. Saya ikhlas tolong makcik."


"Tak apalah kalau macam tu," wanita itu memasukkan kembali wang itu ke dalam beg. "Adik nak ke mana? Makcik hantarkan.


Pertanyaan wanita itu membuatkan Farah Tahirah terdiam. Spontan dia tertunduk.


"Adik?" Tanya wanita itu lagi.


"Sebenarnya... saya..."


"Tak apalah. Makcik faham," potong wanita itu. "Ikut makcik balik, mahu? Makcik pun tak ada teman kat rumah."


Bulat mata Farah Tahirah mendengarnya. "Makcik tak takut ke kalau-kalau saya ni orang jahat?"


Wanita itu senyum. "Kalau awak orang jahat, awak takkan tolong makcik tadi."


Farah Tahirah pandang wanita itu lama. Kemudian dia senyum lalu angguk.

*****

"Dan aku tinggal dengan Bonda sampai sekarang," Farah Tahirah menoktahkan ceritanya. Siti Mardhiyah terkedu. Tidak disangka kisah silam Farah Tahirah sebegitu rupa.

"Aku... Aku bersimpati," rendah suara Siti Mardhiyah menggambarkan rasa yang tersimpan.

"Tak apa. Aku sebenarnya belum bersedia nak jumpa mak aku sekarang ni. Biarlah masa tentukan segalanya." ujar Farah Tahirah. Dia kini sudah lali dengan itu semua. Sudah tuli. Sudah tidak berbekas lagi di telinganya.

"Hidup aku di dunia ni hanya ada Bonda. Dan kau, bila kau datang dalam hidup kami. Hanya kamu berdua. Aku tak ada siapa-siapa lagi," suara Farah Tahirah berubah serak. Ternyata, dia terlalu sayangkan keluarga ini. Siti Mardhiyah menggenggam tangannya perlahan.

"Kita bertiga akan tetap menjadi satu keluarga. Sampai mati. Sampai syurga," ujarnya penuh yakin. Farah Tahirah angguk sambil senyum.

*****

Suasana di Baitul Rahmah begitu meriah sekali dengan kedatangan Bonda Latifah sekeluarga. Sudah menjadi kebiasaan wanita itu untuk mengunjungi rumah perlindungan khas untuk remaja bermasalah itu. Selain menjadi penyumbang dana terbesar, Bonda Latifah merasakan anak-anak ini begitu dekat dengannya. Justeru, beliau akan meluangkan masa bertemu dengan penghuni Baitul Rahmah sekurang-kurangnya sebulan sekali. Farah Tahirah dan Siti Mardhiyah tidak ketinggalan mengikutinya.

"Seronok?" tanya Puan Suraya pengetua Baitul Rahmah. "Saya tengok, wajah kamu berdua bercahaya setiap kali datang ke sini."

"Ya, puan. Saya cukup seronok dapat jumpa dengan diorang. Hari-hari tengok muka Dhiya ni, bosan juga kadang-kadang," ujar Farah Tahirah selamba.

"Aku pula yang kena!" buntang mata Siti Mardhiyah mendengarnya. Puan Suraya tertawa.

"Pasti Bonda kamu tidak kering gusi tengok telatah kamu di rumah, kan?" tanyanya. Siti Mardhiyah tersipu-sipu malu. Farah Tahirah pula garu kepala yang tidak gatal.

"Beruntung Bonda Latifah dapat orang kanan macam dia tu."

"Saya orang kanan, sebab saya pemandu. Di Malaysia, pemandu kereta memandu di sebelah kanan," Farah Tahirah buat gaya seperti sedang memandu kereta. "Dhiya orang kiri sebab dia selalu berdiri di sebelah kiri Bonda. Lagipun, dia kidal."

Spontan Puan Suraya ketawa besar.

"Tapi sebenarnya," kata-kata Siti Mardhiyah memancung tawa Puan Suraya. "Kami yang beruntung dapat dia sebagai majikan kami. Dia layan kami lebih dari seorang majikan melayan pekerjanya. Macam...."

"Macam seorang ibu melayan anaknya," potong Farah Tahirah. "Begitulah cara dia melayan kami."

Puan Suraya senyum. “Latifah, Latifah… Awak masih tak dapat lupakan Natasha rupanya.”

“Siapa Natasha?” tanya Siti Mardhiyah tidak mengerti.

“Natasha, anak kandung Bonda. Meninggal dunia beberapa tahun sebelum aku jumpa dengan Bonda,” jawab Farah Tahirah. “Tapi Bonda tak bagitahu sebab dia meninggal dunia. Bila ditanya, Bonda hanya diam je.”

“Sebab punca kematian Natasha begitu meruntun hati dia sebagai seorang ibu,” jawab Puan Suraya. “Dia mati bukan sebab sakit atau kemalangan. Dia mati sebab bunuh diri.”

“Apa?” buntang mata Siti Mardhiyah dan Farah Tahirah mendengarnya. “Biar betul?”

“Ya, bunuh diri,” Puan Suraya mengesat air mata yang mulai menitis. “Natasha dahulu anak yang manja. Terutamanya dengan ayahnya. Sangat manja sehinggakan dia tak dapat terima kenyataan ayahnya yang meninggal dunia akibat serangan jantung. Dia terlalu ikutkan perasaan. Dia mula keluar malam, dengan kawan-kawannya. Balik jauh pagi. Nasihat Latifah langsung tidak diendahkan.”

“Satu hari, Natasha jatuh sakit. Dia demam, muntah-muntah. Bila dibawa ke klinik, doktor sahkan dia mengandung dua bulan. Latifah terkejut bukan kepalang. Bila didesak, barulah dia mengaku. Dia lepak dengan kawan-kawannya bukan lepak saja-saja. Kawan-kawannya mat rempit dan dia selalu ikut kawan-kawannya tu balik rumah.”

Siti Mardhiyah telan liur. Farah Tahirah pandang tempat lain. Tidak dapat dibayangkan perasaan Bonda Latifah ketika itu.

“Bila ditanya siapa yang bertanggungjawab, sorang pun tak mahu mengaku. Ini buatkan Natasha tertekan. Latifah cuba hantar ke sini tapi dah terlambat. Dua minggu lepas dihantar ke sini, dia dijumpai mati gantung diri di dalam bilik air.”

Sekali lagi Puan Suraya mengesat air matanya. “Saya mohon, jangan ditanya lagi pada Latifah tentang perkara ni. Jangan disentuh lagi. Tolong ye.” Siti Mardhiyah angguk. Namun Farah Tahirah tidak memberikan sebarang respon.

“Farah, tolong ye?” Puan Suraya terlalu berharap.

“Puan tengah cerita pasal apa tadi? Drama Samarinda ke?” Farah Tahirah cuba buat lawak. Sungguhpun hambar, namun ternyata ia membuatkan Puan Suraya tersenyum nipis.

“Terima kasih, nak.”

*****

Selesai perbincangan di Selayang, sengaja Farah Tahirah menyimpang seketika untuk melihat-lihat jalan gelap di sekitar kota raya. Selain menjadi pemandu Bonda Latifah, Farah Tahirah juga ke kawasan-kawasan sedemikian. Tujuannya adalah untuk mengenalpasti kawasan yang menjadi tumpuan gelandangan. Setelah dikenalpasti, Farah Tahirah dan beberapa orang rakan yang lain akan turun padang memberi makanan dan keperluan lain kepada mereka. Dana, sudah pasti daripada Bonda Latifah. Beliau juga yang mengusulkan idea ini.

Setelah lama berjalan, tekaknya terasa haus pula. Dia masuk ke kedai serbaneka yang berdekatan dengannya. Sebentar kemudian, dia keluar dengan senyuman yang tersungging di bibir dan aiskrim di tangan.

"Cometto Blackforest! Idaman kalbu!" belum sempat dia membuka bungkusan aiskrim itu, telefonnya bernyanyi nyaring. Mendengarkan nada dering tersebut, Farah Tahirah sudah tahu siapa yang menghubunginya.

"Assalamualaikum Dhiya comel."

"Waalaikumsalam. Kat mana ni?" suara Siti Mardhiyah kedengaran risau. Farah Tahirah senyum. PA dengan bos sama saja. Risau tidak bertempat. Timbul akal jahatnya mengenakan Siti Mardhiyah.

"Aku tengah makan aiskrim ni. Cornetto Blackforest lagi. Nyam nyam, sedapnya.....," Farah Tahirah ketawa mendengar jeritan manja Siti Mardhiyah di hujung talian.

"Sampai hati kau tak belikan untuk aku!"

"Siapa suruh kau tak ikut? Nasiblah....," Farah Tahirah ketawa lagi. Siti Mardhiyah mendengus, geram dengan ulah sahabatnya yang seorang ini. Suka sangat mengusik.

"Kau tahu tak aiskrim apa yang sedap?" tanya Siti Mardhiyah.

"Apa dia?"

"Aiskrim percuma yang orang belanja. Lagi-lagi orang tu namanya Farah Tahirah," terkekeh Siti Mardhiyah ketawa di hujung talian.

"Ingat kelakar?"

"Jangan lupa belikan untuk aku ya! Dan, balik awal. Bonda risau," pesan Siti Mardhiyah. Farah Tahirah senyum. Memang itu tujuan Siti Mardhiyah menghubunginya.

Klik! Talian dimatikan. Farah Tahirah berjalan sambil menikmati aiskrim apabila dia terdengar sesuatu. Suara orang menjerit meminta tolong! Pantas dia berlari ke arah suara itu. Aiskrim dicampak ke tepi.

"Hoi!" jeritnya apabila melihat dua orang lelaki sedang mengasari seorang wanita. Tanpa berlengah dia terus membuka langkah. Pertempuran itu nyata berat sebelah, namun itu bukan halangan buat Farah Tahirah. Sekejapan, mereka berdua sudah tumbang di tangannya.

"Pergi!"

Kelam kabut dua lelaki itu lari mendengar sergahan Farah Tahirah. Dia berdiri membelakangi wanita malang itu, mengatur pernafasan setelah bergelut dengan mereka.

"Tolong...."

Perlahan Farah Tahirah menoleh. Sebentar kemudian dia tergamam.

Mak?

*****

“Farah!” pantas dia menoleh apabila namanya dipanggil. Cepat-cepat dia menyapu air matanya dan mengukir senyuman apabila melihat kelibat Bonda Latifah dan Siti Mardhiyah.

“Macam mana dengan mak awak, Farah?” tanya Bonda Latifah. Terkejut dia dengan panggilan Farah Tahirah sebentar tadi, yang mengatakan ibunya dimasukkan ke hospital.

“Doktor tak keluar lagi,” jawab Farah Tahirah perlahan. Dia tunduk. Bonda Latifah mengelus lembut bahunya.

“Sabarlah Farah. Ada hikmah di sebalik semua ni,” ujar Bonda Latifah lembut. Farah Tahirah senyum lalu angguk. Siti Mardhiyah hanya melihat tanpa suara.

Perhatian mereka teralih apabila melihat kelibat seorang lelaki berpakaian serba putih keluar dari bilik rawatan. “Siapa waris Jamilah Sulaiman?”

“Saya,” jawab Farah Tahirah. “Saya anaknya.”

“Begini,” Doktor lelaki itu membuka bicara. “Keadaannya sudah stabil. Dia pun dah sedar. Tapi…”

“Tapi apa, doktor?” tanya Farah Tahirah.

“Tapi bila dia sedar, dia meracau-racau. Bercakap perkara yang kurang jelas,” kata doktor itu lagi. Membuatkan Farah Tahirah diam, berfikir.

“Tak ada cara ke untuk sembuhkan dia?” tanya Siti Mardhiyah. Belum sempat doktor itu memberi jawapan, Farah Tahirah mencelah, “Saya nak jumpa dia, boleh tak?”

“Boleh. Silakan,” pelawa doktor itu. Farah Tahirah memandang Siti Mardhiyah dan Bonda Latifah. Bagai memahami isyarat mata itu, Bonda Latifah mengangguk, memberi izin. Farah Tahirah kemudian mengikuti doktor itu masuk ke dalam bilik rawatan.

Tiba di katil Jamilah, Farah Tahirah berhenti. Perlahan dia menghampiri wanita itu.

“Mak,” panggil Farah Tahirah. “Farah datang ni.”

Jamilah pandang Farah Tahirah tidak berkelip. “Apa kau mahu?”

“Farah datang nak jenguk mak…”

“Kau buat apa datang sini? Pergi! Aku tak perlu orang macam kau lagi! Aku tak ada anak macam kau! Pergi!”

“Mak…!”

“Pergi! Aku kata pergi!” Jamilah menolak-nolak badan Farah Tahirah agar pergi dari situ. Namun gadis itu enggan.

“Aku kata pergi!!!” jeritan Jamilah bergema di bilik rawatan itu. Menarik perhatian pesakit dan jururawat yang ada di situ.

“Cik Farah, rasanya lebih baik cik keluar dulu. Nanti saya jumpa awak kat luar,” nasihat doktor itu. Farah Tahirah keluar dari bilik rawatan itu dengan berat hati.

“Farah….!” Siti Mardhiyah peluk Farah Tahirah erat. Setitis air matanya tumpah juga. Sejurus, doktor yang merawat Jamilah keluar dari bilik rawatan.

“Maaf, Cik Farah. Saya tak sangka…!”

“Tak apa,” potong Farah Tahirah. “Apa juga kosnya, saya akan tanggung.”

“Bukan sebab itu,” kata doktor itu. “Kami mendapati Puan Jamilah mengalami kecelaruan mental dan perlu dirawat.”

“Mak saya… dia dah gila ke?”

“Kita akan cuba sedaya upaya untuk merawatnya. Selebihnya kita berserah sahaja kepada Allah,” nasihat doktor itu. Farah Tahirah mengangguk, namun Siti Mardhiyah berasa tubuh sahabatnya semakin berat. Sebentar kemudian…

“Farah!”

Suasana di lobi itu menjadi gempar apabila Farah Tahirah jatuh pengsan.

*****

Sejak Farah Tahirah pengsan di hospital tempoh hari, Bonda Latifah memberikannya cuti selama beberapa hari. Sementara itu, Siti Mardhiyah yang mengambil alih tugas-tugasnya. Ia agak sukar pada mulanya, namun Siti Mardhiyah cepat menyesuaikan diri.

Selepas menemani Bonda Latifah menghadiri mesyuarat di Bukit Tunku, mereka bergegas pula ke Ampang untuk program bersama ibu tunggal di sana. Sejak akhir-akhir ini, Bonda Latifah semakin aktif dengan aktiviti kemasyarakatan. Itu tidak menjadi masalah dengan kehadiran Siti Mardhiyah dan Farah Tahirah. Cuma ia agak kelam kabut bila Farah Tahirah bercuti.

“Dhiya, awak okey?” tanya Bonda Latifah apabila melihat wajah Siti Mardhiyah yang pucat. Gadis itu tersenyum.

“Tak ada apa, Bonda. Letih sangat agaknya,” jawab Siti Mardhiyah perlahan.

“Kalau penat sangat, Dhiya pergi rehat kat dalam kereta,” Bonda Latifah senyum. Siti Madhiyah angguk lalu menuju ke kereta. Tiba di dalam kereta, dia mengeluh kecil sambil memicit kepalanya perlahan. Lama-kelamaan dia terlelap.

Apabila tersedar, Siti Mardhiyah melihat seorang wanita tersungkur di tepi jalan. Pantas dia keluar kereta untuk membantunya. Sangkanya, wanita itu adalah Bonda Latifah.

“Bonda! Bonda tak apa-apa?” tanya Siti Mardhiyah. Wanita itu yang membelakanginya, menggeleng perlahan.

“Kita ke klinik ya, Bonda?” tanya Siti Mardhiyah lagi. Dia begitu risau. Wanita itu menggeleng lagi.

“Kita ke klinik la Bonda. Mana tahu ada mana-mana tempat yang luka,” pujuk Siti Mardhiyah lagi.

“Tak payah,” wanita itu bersuara. Siti Mardhiyah terkejut. Suara garau! Ini bukan Bonda! Spontan Siti Mardhiyah melepaskan tangannya. Namun terlambat.

“Nak ke mana?” terasa bahunya ditepuk dari belakang. Siti Mardhiyah menoleh. Seketika kemudian dia tergamam. Bahaya!

Namun dia sudah terlambat. Sejurus mulutnya ditekup dengan kain. Tidak lama kemudian dia pengsan.

*****

Sebuah teksi berhenti betul-betul di hadapan balai polis, namun ia sedikitpun tidak mengalih perhatian orang sekeliling. Farah Tahirah cepat-cepat membayar tambang teksi tersebut dan terus meluru masuk ke dalam balai tanpa mempedulikan orang ramai. Matanya liar mencari kelibat seseorang.

"Bonda!" Farah Tahirah menerpa ke arah wanita itu. "Macam mana?"

"Polis dah tutup semua jalan utama. Mata-mata gelap dah dihantar ke kawasan-kawasan panas," terang Bonda Latifah. Riak wajah risau jelas tergambar di wajahnya.

"Macam mana boleh jadi macam ni, Bonda?" gusar sungguh Farah Tahirah. Sejak menerima panggilan telefon mengatakan Siti Mardhiyah hilang dipercayai diculik, hatinya tidak tenang. Hilang sudah demamnya saat menerima berita itu.

"Bonda tak tahu! Tadi dia nampak macam tak sihat, jadi Bonda suruh dia berehat dalam kereta. Bila Bonda keluar, Bonda nampak ada dua orang lelaki tengah angkat dia masuk ke dalam kereta. Bonda cuba jerit minta tolong, tapi diorang pecut kereta diorang lari," jelas Bonda. "Tapi ada saksi yang nampak kejadian tu. Sekarang tengah disoal siasat. Farah, Bonda risau. Dhiya tak kental macam Farah."

Farah Tahirah diam. Tidak membalas kata-kata Bonda Latifah. Sebentar kemudian seorang lelaki berpakaian uniform polis menghampiri mereka.

"Bonda Latifah?" pantas wanita itu bangun apabila namanya dipanggil. Farah Tahirah turut berdiri.

"Saya Inspektor Fauzi. Boleh saya tahu Siti Mardhiyah ada bermusuh dengan sesiapa?"

"Seingat saya, tak ada. Kenapa, tuan?" tanya Bonda Latifah. Farah Tahirah diam membisu. Dia sedang memikirkan sesuatu.

"Bagaimana dengan Bonda? Atau mungkin Farah?" Bonda Latifah pantas menggeleng. Farah Tahirah masih diam membisu. Menarik perhatian Inspektor Fauzi.

"Farah?" tanyanya.

"Kenapa tuan tanya soalan macam ni? Apa kena mengena?" tanya Farah Tahirah tanpa menjawab soalan Inspektor Fauzi.

Lelaki itu tidak cepat melatah dengan Farah Tahirah. "Begini. Kami sedang meneliti sebarang kemungkinan Siti Mardhiyah diculik. Mungkin ada di kalangan kalian yang ada musuh tanpa kalian sedari. Siapa tahu, kan?"

"Tuan, lakaran dah siap," panggil seorang anggota polis di sebalik kaunter. Inspektor Fauzi menghulurkan tangannya bagi menyambut beberapa helai kertas daripada anggota tersebut.

"Saksi yang melihat kejadian tu ada berikan gambaran wajah suspek. Ini yang dapat dilakarkan oleh jurulukis kami," Inspektor Fauzi menunjukkan lakaran itu kepada Bonda Latifah dan Farah Tahirah. "Macam mana? Kenal?"

"Saya tak kenal...!"

"Bonda," potong Farah Tahirah. "Saya rasa saya kenal lelaki ni."

"Awak kenal?" wajah Inspektor Fauzi sedikit bercahaya. Farah Tahirah menutup mata, cuba mengingat-ingat. Sejurus, memori pertemuan pertama dengan Siti Mardhiyah kembali bertandang. Pantas dia membuka mata. Kurang ajar! Kalian nak balas dendam!

"Saya rasa saya tahu diorang kat mana," ujar Farah Tahirah serius. Bonda Latifah telan liur. Inspektor Fauzi senyum nipis.

*****

“Cepatlah!” lelaki itu menolak kuat bahu Siti Mardhiyah yang kemudian tersungkur ke hadapan. Pantas dia menyapu kakinya.

“Sakitlah! Tak reti nak lembut sikit ke?” rungut Siti Mardhiyah.

“Hei!” lelaki itu menarik rambutnya membuatkan dia menjerit kesakitan. “Kitorang ni orang jahat. Nak lembut-lembut, bukan kat sini tempatnya!”

“Kalau kau nak kitorang lembut-lembut dengan kau…!” lelaki kedua sudah membelai rambut Siti Mardhiyah dan memeluknya erat. Siti Mardhiyah bergelut untuk menyelamatkan diri.

“Joe, Bob,” panggilan itu membuatkan lelaki itu menghentikan tingkahnya. Cepat-cepat mereka bangun apabila seorang lelaki Cina menghampiri mereka.

“Bos,” panggil lelaki pertama yang dipanggil Joe. Dia tunduk. Bob turut tunduk di sebelah Joe. Siti Mardhiyah termangu. Bahunya terhinjut-hinjut menahan tangis.

“Jadi… korang dah dapatkan dia balik,” lelaki Cina itu duduk di hadapan Siti Mardhiyah. Dagu gadis itu dipaut kasar membuatkan dia menjerit kesakitan.

“Kau kenal siapa aku?” tanya lelaki Cina itu.

“Tauke… Wong,” jawab Siti Mardhiyah, lambat-lambat. Dia takut. Terlalu takut. Setelah sekian lama… kenapa mereka datang balik?

“Tau pun!” Tauke Wong melepaskan pegangannya. “Kau tahu tak, malam tu ada pelanggan dari Jepun datang. Dia nak anak dara! Dan aku dah ambil deposit untuk kau bersama dengan dia malam tu! Tapi apa yang kau buat? Kau buat aku rugi! Kau buat aku rugi besar!”

Siti Mardhiyah diam lagi. Dalam hati dia berdoa semoga ada sesiapa yang mengetahui kehadirannya. Sebentar kemudian dia terkedu. Perlahan dia meraba poket seluarnya. Dia telan liur.

“Sekarang ni!” suara Tauke Wong mengejutkan Siti Mardhiyah. “Sekarang ni aku nak ganti rugi. Kau ingat sikit duit yang aku dah bagi kat Pak Ayub tu? Duit aku dah lebur! Aku dah rugi! Sekarang aku nak kau ganti balik semua duit tu!”

“Gg.. ganti macam mana? Saya bukan ada duit banyak tu..,” Siti Mardhiyah semakin takut. Air matanya sudah mengalir tanpa henti.

“Kau kerja dengan aku!”

“Tak nak!” balas Siti Mardhiyah cepat. Dia tidak mahu kembali ke dunia itu lagi. Dia tidak mahu!

“Kau tak ada pilihan lain! Kau kerja dengan aku sampai semua hutang kau langsai!”

“Tak nak!” suara Siti Mardhiyah sudah naik satu oktaf. “Yang berhutang dengan awak, ayah saya. Kenapa saya pula yang kena bayar semua hutang tu?”

“Sebab ayah kau dah jual kau kat aku! Kau dah lupa?” Tauke Wong menarik rambut Siti Mardhiyah sekuat hati. “Kau suka ke tak suka ke, kau tetap kena kerja dengan aku! Dan kerja kau bermula sekarang!”

Tauke Wong bangun, tangannya masih menggenggam rambut Siti Mardhiyah, membuatkan gadis itu terdorong berdiri. Jeritan gadis itu langsung tidak dipedulikan oleh Tauke Wong.

“Aku tak kira, kau tetap kena kerja dengan aku!” tegas Tauke Wong. Namun apabila tiba di luar pintu, dia terkejut apabila melihat beberapa kereta putih biru sudah mengepung kawasan rumah terbiar itu.

“Polis!”

*****

"Alhamdulilah, semuanya sudah selesai," Bonda Latifah memeluk erat Siti Mardhiyah yang masih menangis. "Dah la tu, Dhiya. Awak pun dah selamat dah."

"Kalau Farah tak terfikir pasal dua orang lelaki tu, rasanya sekarang ni tengah melayan nafsu Negro mana entah," ujar Siti Mardhiyah. Suaranya serak kerana terlalu banyak menangis.

"Sudah la tu. Yang penting, semuanya sudah selamat. Kalau tak, Bonda tak peluk Dhiya sekarang ni," Bonda Latifah mengeratkan pelukannya. Siti Mardhiyah hanya tersenyum. Dia hanya memerhatikan Farah Tahirah yang menghampiri mereka.

"Bonda," panggil Farah Tahirah.

"Oh, Farah. Macam mana? Apa Inspektor Fauzi kata?" tanya Bonda Latifah.

"Diorang akan dihadapkan ke mahkamah atas pelbagai kesalahan. Pelacuran...," sempat Farah Tahirah memandang Siti Mardhiyah yang tunduk mendengar setiap butir bicaranya. "Penculikan, pemerdagangan orang, dan macam-macam lagi."

"Alhamdulilah. Baguslah. Moga mereka belajar dari kesilapan," ucap Bonda Latifah penuh mengharap.

"Kot iye! Buatnya diorang jadi lebih teruk bila keluar penjara, siapa nak jawab? Mereka dan keluarga mereka juga," ujar Farah Tahirah selamba sambil melabuhkan duduknya di sebelah Bonda Latifah.

"Kita doakan yang baik-baik sajalah," nasihat Bonda Latifah. "Bukan ke itu yang terbaik?"

"Baik, Bonda," Farah Tahirah mengangguk perlahan. "Kau okey, Dhiya? Dari tadi aku tengok kau macam nak masuk dalam perut Bonda je."

"Farah," tegur Bonda. Dia kemudian menggeleng apabila melihat Farah Tahirah sudah terkekeh ketawa. Fahamlah dia, anak gadis itu hanya bergurau.

"Farah," panggil Siti Mardhiyah. "Terima kasih ya, tolong aku tadi. Kau dengan demamnya, sanggup ikut polis serbu tempat tu tadi. Kalaulah kau tak ada...!"

"Aku dah sihat dah," potong Farah Tahirah. "Dengar berita kau diculik, aku terus jadi baik. Tu la, orang terkejut aku jatuh sakit, tu diorang tak percaya tu."

"Dah mula dah riak dia tu," sampuk Bonda Latifah selamba. Ketiga-tiganya ketawa.

"Macam mana kau dapat cari aku?" tanya Siti Mardhiyah. Seingatnya, dia tidak sempat mengeluarkan telefon pintarnya yang terselit dalam poket seluar.

"Telefon kau tu ha. Aku cari pakai aplikasi internet. Sekarang kan semuanya di hujung jari," jawab Farah Tahirah selamba. "Mujur juga bateri telefon kau tak mati. Kalau tak, kau tak ada kat sini sekarang ni."

"Terima kasih, Farah," Siti Mardhiyah bersuara terharu. "Terima kasih korang ada dengan aku di saat ayah aku sendiri...!"

"Kau jangan nak buat drama Samarinda kau kat sini boleh tak?" potong Farah Tahirah selamba. "Kitakan keluarga. Mana boleh aku biarkan keluarga aku dalam kesusahan? Aku mestilah tolong! Ini Farah Tahirah la."

"Terima kasih," bisik Siti Mardhiyah perlahan. Bonda Latifah senyum lalu memeluk Farah Tahirah sekali.

"Kita akan hadapi semua rintangan lepas ini bersama-sama, sebab kita kan keluarga," kata Bonda Latifah. Farah Tahirah dan Siti Mardhiyah senyum lalu angguk.

TAMAT

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.