Home Cerpen Cinta Seperti Dia
Seperti Dia
Laila Qaisara
10/1/2014 10:28:48
2,789
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

Qila membelek-belek tudung yang telah dipakai itu. Dibetul-betulkan bahagian yang dirasakan tidak sesuai.Beberapa kali dia mengeluh kerana tidak berpuashati dengan fesyen tudungnya itu.

“Cepatlah, Qila. Kita nak keluar ni. Nanti hujan pula. Tak dapat pergi jalan-jalan,” rungut Julia. Dia memeluk erat patung Minion yang menjadi teman tidur Qila sejak setahun lalu.

“Tudung ni tak cantiklah kalau dipakai begini…,” luah Qila.

“Kalau macam tu, pakai cara lain,” cadang Julia.

“Tetap tak cantik juga. Atau memang aku yang tak cantik?”

“Kenapa cakap macam tu? Kau cantik la. Cuba kau tengok diri kau kat cermin,” Julia pegang bahu Qila lembut. Dia berdiri di belakang Qila.

“Aku rasa serabutlah pakai tudung ni. aku bukan macam kau. Pakai tudung apa pun boleh,”

“Kalau macam tu, pakailah tudung bawal.Kau selesa dengan tudung tu kan? Lebih senang, lebih mudah,”

“Buat rugi je aku beli tudung ni. kau ambillah,” hulur Qila sebaik sahaja dia menanggalkan tudungnya itu.

“Eh, tak apa ke aku ambil ni?” tanya Julia seakan tidak percaya. Namun tangannya sudah memegang tudung yang dihulurkan Qila itu.

“Tak apa la. Rasa rugi pula kita tak pakai tudung yang kita beli. Kau pakailah,” Qila mencapai tudung bawal hitam yang menjadi kegemarannya. “Aku pergi gosok tudung ni dulu. Kau tunggu tau,”

Sepantas kilat Qila menghilang di balik pintu. Julia diam. Namun dia mengukir senyum sinis. “Kau cantik? Aku lebih cantik daripada kau la, Qila,”

*****

"Bahan-bahan dalam ubat dan suplemen jika bersumberkan manusia seperti uri, kulit, darah dan tulang, ia adalah haram dimakan. Jika diambil daripada sumber haiwan, haiwan itu mestilah halal dimakan,"

Julia menguap entah untuk kali ke berapa. Namun Qila tidak menyedarinya. Dia terus menyambung, "Ubat-ubatan dan suplemen yang diambil dari tumbuh-tumbuhan, atau daripada sumber tanah dan air, ia boleh digunakan kecuali yang beracun dan berbahaya,"

Qila mendongak dan terlihat Julia tertunduk di hadapannya. Tertidur la tu. Selalu macam ni. “Julia,”

Terus Julia duduk tegak di kerusinya. Matanya dibeliakkan. Qila senyum nipis. “Jomlah kita pergi cari makanan ringan sekejap. Lepas tu kita sambung belajar lagi. Kau nampak mengantuk sangat ni,”

“Aku okey lagi,” balas Julia sambil menggosokkan mata. Dia tidak mahu meninggalkan perpustakaan itu. Bukan sekarang.Qila kerut dahi.

“Kau ni…!”

“Hai Qila! Hai Julia!” terdengar suara seorang lelaki dari belakang Julia. Gadis itu menoleh sambil senyum manis terukir di bibir.

“Hai Zamir! Lambatnya datang,” Julai buat suara manja. Bertembah kerut di dahi Qila melihat reaksi kawannya yang seorang itu.

“Ada hal sikit. Tu yang lambat. Awak tunggu saya ke?”

“Ya. Eh, tak!” Julia tepuk dahi. Malu dengan perbuatan sendiri. Qila yang mula mengerti sudah tersenyum-senyum. Tanpa disedari wajahnya diperhati seseorang.

“Saya selalu tengok awak belajar di sini tiap-tiap minggu. Itu yang saya pelik bila saya tak nampak awak tadi,”

Zamir hanya tersenyum.

“Kami nak pergi makan ni.Awak nak ikut tak?” tanya Julia teruja. Spontan Qila membulatkan matanya.

“Tak apalah. Awak pergilah makan dulu. Nanti perut masuk angin pula. Saya pergi dulu,” Zamir terus menghilang di balik rak buku. Julia pandang Qila. “Aku lapar. Jom pergi makan,”

Qila senyum lebar. Aku dah agak!

*****

“Zamir tu kacak, kan?” tanya Julia.Dia teruja. Ini kali pertama lelaki itu menegurnya.Tapi… “Eh, kejap! Macam mana dia tahu nama aku?”

Qila angkat bahu.Julia geram. “Kau ni! Semua benda kau tak tahu. Apa la,”

Qila menghirup jus tembikai di hadapannya. “Dah memang aku tak tahu. Nak buat macam mana,”

“Apa-apalah. Tapi Zamir tu kacak, kan? Matanya, hidungnya, mulutnya… aku suka dia!”

“Kot ye pun, makanlah dulu,” tegur Qila. Namun Julia tidak peduli.”Kau rasa dia sukakan aku tak?”

“Manalah aku tahu. Aku bukannya dia,” selamba Qila menjawab.

“Hesh, aku tahulah. Aku tanya je,” Julia sudah berada di awang-awangan.

“Cuba kau tanya kat dia. Mana tahu dia jawab nanti. Taklah kau angau macam ni,”

Terbeliak Julia mendengar kata-kata Qila. “Apa? Tanya?”

*****

“Cuba kau tanya kat dia,” kata-kata itu terngiang-ngiang di cuping telinganya, meskipun Qila sudah lama pulang ke rumah. Julia sendiri pun, sudah berguling-guling di atas katil.

“Kalau tanya pun apa salahnya kan? Sekurang-kurangnya aku tahu juga jawapan dia. Takut dikutuk ‘perigi cari timba’? Zaman sekarang ni tak adalah istilah-istilah kolot macam tu. Ditolak? Tak apalah. Sekurang-kurangnya aku tahu dia suka siapa,”

Julia mula bercakap seorang diri.Mujurlah dia keseorangan dalam bilik itu. Kalau tidak, pasti dia dicop gila atau kurang siuman.

“’Hai Zamir, awak suka saya tak?’Ergh, kedengaran gedik. ‘Zamir, saya suka awak. Awak macam mana?’ Tak sedap pula ayat tu. ‘Awak, saya sudah lama menyimpan perasaan pada awak…’ sastera sangat,” Julia garu kepala. Dia resah sendiri. Sejurus, dia ternampak diari hijau yang sudah lama tidak dipegangnya.Bling! Muncul sudah idea.

“Nak tanya tak semestinya guna mulut, kan?Sekarang ni nak tulis surat cinta ke nak tulis puisi?” Julia berfikir-fikir sendiri. Kemudian jari-jemarinya laju menari di atas kertas itu.

*****

“Fuh, semalaman aku siapkan puisi cinta untuk Zamir. Aku yakin dia akan sukakan aku lepas ni,” Julia bercakap seorang diri sambil berjalan menuju ke perpustakaan. Qila tidak bersamanya kali ini. Sengaja Julia tidak mahu mencarinya. Dia ada urusan yang lebih penting dan dia tidak mahu Qila turut serta.

Dari jauh dia sudah melihat Zamir seperti sedang berbincang dengan seseorang. Dia memperlahankan langkahnya. Senyumannya semakin lebar. Dia ingin memberi kejutan pada Zamir.

“Percayalah cakap saya. Hanya awak yang saya suka,” langkah Julia terhenti.Dia terkedu mendengar kata-kata lelaki itu. Zamir luahkan perasaannya pada gadis lain? Siapakah yang bertuah itu?

“Tapi kenapa saya?”Julia bagai tidak cukup nafas. Suara gadis itu bagai dikenalinya.

“Kerana awak adalah awak dan bukannya orang lain. Awak jadi diri awak sendiri, tak jadi orang lain. Sebab itu ramai orang senang dengan awak.Dan itu yang saya suka tentang awak. Kejujuran awak,”

“Tapi… Julia…,”

“Saya cuma anggap Julia sebagai kawan. Tapi saya anggap awak lebih daripada itu. Saya sayangkan awak, Qila. Sebab tu saya hantar rombongan meminang ke rumah awak,”

Julia terus berlari dari situ tanpa disedari oleh Zamir dan Qila. Matanya berkaca.

*****

“Zamir dah bertunang!”

“Bertunang? Dengan siapa?”

“Qila, pelajar cemerlang tu. Yang kawan dengan Julia tu,”

“Julia si hijabista tu?Wow, ini satu kejutan.Kenapa dia pilih Qila dan bukannya Julia ye?”

“Eh helo, kalau dah jodoh nak buat macam mana, kan?Lagipun Qila tu cantik apa. Tak perlu terlampau berfesyen macam kita ni, dia memang ada aura sendiri,”

Julia berjalan melintasi sekumpulan pelajar perempuan yang tidak putus-putus bercerita mengenai Qila. Sudah seminggu Julia tidak bercakap dengan sesiapa. Kuliah masih dihadirinya cuma dia agak pasif dalam perbincangan, tidak seperti selalu. Dia juga mengelak daripada bertemu Qila.

“Julia!”

Hah, panjang umur. Baru sahaja namanya disebut, dia sudah muncul. Julia mahu membuka langkah meninggalkan kawasan itu namun Qila menghalang dengan badannya.

“Kau marah aku ke?” Qila mendepangkan tangan bagi menghalang laluan Julia.

“Kenapa aku kena marah kau?”

“Sebab Zamir,”

“Aku marah kau sebab Zamir pilih kau dan bukannya aku? Apa yang kau cakap ni?” Julia kerut dahi.

“Ye la, manalah tahu kan. Kau kan sukakan Zamir,” balas Qila perlahan.

Julia menggeleng sambil tersenyum. “Qila, suka tak bermakna cinta.Ya, memang aku sukakan dia tapi tak semestinya aku cintakan dia,” Julia membetulkan beg sandangnya. Dia melihat raut wajah Qila yang risau berubah riak.

“Jadi kau tak kisah aku dan Zamir bertunang?” tanya Qila seakan tidak percaya. Julia mengangguk.

“Terima kasih, Julia. Kaulah kawan yang memahami aku,” Qila lantas memeluk Julia erat. Julia turut membalas pelukan itu. Namun tanpa Qila sedari, Julia menjelingnya tajam.

*****

“Ikut hati mati, ikut rasa binasa,”

Qila tekun mengulangkaji pelajaran bagi menghadapi peperiksaan tidak lama lagi.Sekilas dia melihat Fahrin, rakan sekelasnya bersama Silvia.Tergeleng dia melihat Silvia yang seakan ingin menggoda Fahrin yang jelas tidak selesa. Malas melihat situasi itu, dia berkemas dan keluar dari perpustakaan. Dia sedar ada beberapa mata memandangnya. Dia sudah biasa.

“Tak sangka aku, orang baik macam Qila tu sanggup buat apa saja demi lelaki. Nampak je alim,”

“Qila? Dia buat apa?”

“Kau tak tahu cerita ke?Dia guna ilmu hitam untuk tundukkan Zamir. Patutlah Zamir tak pandang perempuan lain. Entah-entah, dia jadi pelajar cemerlang pun guna sihir juga. Guna bomoh,”

Langkah Qila terhenti. Dia terkedu mendengar suara-suara itu. Tidak jadi dia ingin keluar dari perpustakaan itu.

“Betul ke apa yang kau cakap ni? Kau jangan cerita benda yang tak betul.Nanti jadi fitnah. Berdosa besar tau,”

“Apa pula fitnah? Betul la aku cakap. Julia yang cerita kat aku. Dia cakap dia temankan Qila pergi jumpa bomoh dua minggu sebelum dia dan Zamir bertunang. Apa maknanya tu?”

Qila rasa macam hendak tumbang!

*****

“Juia, betul ke kau cakap dengan Lara dan Jacinta yang Zamir dibomohkan oleh Qila?”

“Betul la tu,” Julia menjawab selamba.Dia senyum sinis memandang Boy dan Remy, kawan baik Zamir.

“Kau jangan tabur fitnah, Julia. Aku yakin Qila takkan buat macam tu. Dia nampak baik,” bela Boy.

“Kau pernah dengar kan peribahasa ‘tak kenal maka tak cinta’?Aku dah lama kenal dia, aku tahu la dia macam mana,”

“Makin lama aku dengan kau, makin aku tak kenal siapa kau sebenarnya,” spontan Julia menoleh. Dia terkejut melihat Qila di belakangnya. Perlahan dia bangun. Boy dan Remy sudah melarikan diri.

“Kenapa kau buat aku macam ni? Kau tahu kan, aku tak pernah buat benda-benda terkutuk macam ni. Kenapa kau nak sakitkan hati aku sedangkan aku tak pernah buat macam tu kat kau?” air mata Qila mula bergenang.

“Kau nak tahu kenapa aku buat macam ni?” suara Julia sudah bertukar nada. “Kau tengoklah diri kau tu! Pakaian kau, cara hidup kau, pergaulan kau… tapi kau masih menjadi perhatian! Aku kawan dengan kau pun, sebab populariti kau. Kau ingat aku kawan dengan kau sebab apa?”

Terdiam Qila mendengar kata-kata Julia.

“Aku cuba buat apa saja untuk jadikan diri aku popular.Tapi hanya kau yang dipandang! Hanya kau yang disebut! Hanya kau yang dipuja! Sampaikan Zamir yang aku suka pun kau yang dapat! Aku bosan!”

“Jadi selama ni kau tak jujur la berkawan dengan aku?Sampainya hati kau. Aku ikhlas berkawan dengan kau tapi kau mendekati aku sebab cemburu!”

“Pergi mati dengan ikhlas kau tu!” Julia sudah tidak terkawal lagi. Dia menolak Qila ke jalan raya.

“Qila, lori!”

Julia tergamam mendengar suara Zamir. Namun segalanya sudah terlambat.

*****

“Lepas tu?” tanya Jacinta tidak sabar.

“Zamir cuba selamatkan Qila daripada dilanggar lori tu tapi gagal. Kaki Zamir tergelincir lalu kedua-duanya terjatuh,” Remy mengesat airmatanya perlahan. Cepat-cepat Jacinta menghulur tisu.

“Saya nampak mereka berdua digilis lori tu. Mereka berdua meninggal dunia di tempat kejadian,” sambung Remy setelah airmatanya reda.

“Macam mana dengan Julia?”

“Julia…,” Remy mengambil nafas sebelum menyambung, “Julia pun nampak mereka berdua di bawah lori tu. Tapi dia diam je. Dia hanya melihat saya dan Boy menguruskan jenazah tu. Tapi bila ambulan yang bawa jenazah ke hospital untuk bedah siasat, tiba-tiba Julia ketawa dan merapu sendiri,”

“Merapu? Dia cakap apa?”

“Dia cakap, ‘Padan muka kau, Qila! Aku tak dapat Zamir, jangan harap kau pun dapat!’ begitulah lebih kurany ayatnya,”

Jacinta mengeluh sambil memandang Julia yang sibuk melilit kepala dengan selimut sambil berkata, “Aku hijabista! Semua orang kenal aku! Aku terkenal! Aku popular!”

“Sudah tiga tahun, Remy. Dia masih begitu. Entah bilalah dia akan sembuh seperti dahulu,” Jacinta sedih. Remy memegang lembut bahu isterinya itu.

“Kita berdoalah semoga Allah ampunkan dosanya,” pujuk Remy. Jacinta hanya mengangguk. Julia yang tidak menyedari kehadiran mereka terus berselubung dalam selimut sambil beraksi ala-ala model.

TAMAT

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.