Home Cerpen Umum Pesanan Teragung
Pesanan Teragung
Laila Qaisara
1/9/2016 10:09:46
1,703
Kategori: Cerpen
Genre: Umum

Kereta yang dipandu Dhamirah berhenti betul-betul di hadapan pintu masuk masjid. Dia membetulkan tudungnya seketika, dan terus melangkah keluar dari kereta. Dala, masa yang sama, sepasang pengantin yang baru selesai akad nikah, melangkah keluar diiringi beberapa ahli keluarga mereka.

"Johan!"panggil Dhamirah. Langkah rombongan itu terhenti. Suasana hening seketika, sehinggalah salah seorang ahli keluarga bersuara. "Awak ni Dhamirah kan? Bekas kekasih Johan yang tinggalkan dia sebab harta?"

"What?" buntang mata Dhamirah mendengarnya. "Johan, awak tahu saya bukan orang macam tu. Cakap dengan diorang, Johan. Cakap!"

"Sudahlah," pengantin lelaki pula bersuara. "Mak saya dah bagitahu segalanya. Saya betul-betul tak sangka, awak sanggup gadaikan cinta kita semata-mata kerana duit!"

Dhamirah menggeleng perlahan. "Itu semua dusta, Johan. Saya tak buat macam tu. Ini semua fitnah!"

"Habis awak nak kata yang mak saya pembohong? Sebar cerita tak betul pasal awak? Fitnah awak?" pancung Johan laju. "Awak siapa nak cakap mak saya macam tu?"

Wanita yang berdiri di sisi Johan mengeratkan rangkulannya. Dia senyum sinis. Dhamirah hanya menjeling sekilas pada wanita itu, sebelum perhatiannya kembali tertumpu pad Johan.

"Awak tak percayakan saya?"

"Saya lebih percayakan mak saya," jawab Johan sedikit angkuh. Dia mendengus kuat. "Sudhlah. Saya dah pun berkahwin. Dan tak mungkin saya akan kembali pad orang yang pentingkan diri macam awak."

"Apa bising-bising ni, Johan? Sampai dalam masjid pun boleh dengar," terdengar suara seorang wanita dari belakang Johan. Dia menjeling tajam pada Dhamirah. "Oh, kau rupanya."

Dhamirah tarik nafas dalam-dalam. Dia pandang Johan dan ibunya silih berganti. "Datin Ruby, terima kasih. Saya sangat menghargai segala apa yang Datin dah bagi kat saya. Cerita buruk tentang saya, fintah tentang saya...!"

"Itu semua bohong!" potong Datin Ruby cepat. "Johan, jangan dengar cakap dia. Apa yang dia cakap semuanya tak betul! Hei perempuan! Lebih baik kau pergi dari sini sebelum...!"

"Datin jangan risau," potong Dhamirah. "Saya belum cukup gila lagi nak meroyan kat sini. Nanti tak pasal-pasal viral kat internet. Saya masih ada maruah, masih ada harga diri."

Sempat dia menjeling kepada salah seorang ahli keluarga Johan yang merakam kejadian tersebut menerusi telefon pintarnya. Sampai malu-malu lelaki itu dibuatnya. Langkah diatur kembali ke alam kereta. Kemudian dia memandu keluar meninggalkan perkarangan masjid.

Dalam kereta, air matanya tumpah. Mengenangkan segala kenangan manis antara dia dan Johan. Juga, janji-janji Johan untuk mengahwininya.

"Nanti, bila kita kahwin, majlis tu nanti kita buat kat taman. Kita lalu bawah pedang, lepas tu ada flower girl taburkan bunga untuk kita. Mesti best kan?"

"Banyak berangan la Joe ni. Macam confirm je yang Dee akan kahwin dengan Joe. Buatnya Joe kahwin dengan orang lain, macam mana?"

"Orang lain tu pun Dee la," Johan berseloroh. Spontan Dhamirah memukul bahunya. Johan ketawa. "Dee, Joe nak kahwin dengan Dee. Dengan Dee sorang je. Tak ada orang lain dah."

"Kau tipu! Kau mungkir janji! Kau kahwin dengan orang lain! Bukan dengan aku!" Bentak Dhamirah sekuat hati. Tergeleng-geleng kepalanya. Air matanya masih laju menuruni pipi. Pertemuan dengan Datin Ruby kembali singgah di sudut minda.

"Aku tak suka kau berkawan dengan anak aku," kata Datin Ruby memulakan bicara. "Aku tak suka kau, yang tak tahu asal-usul ni berkawan dengan anak aku. Kau kena sedar sikit. Keturunan kami ni keturunan baik-baik. Bukan macam kau!"

Tersentak Dhamirah mendengar kata-katanya. Namun crpat dia menyusun bicara. "Saya berkawan dengan Johan dah lama. Dan saya cintakan dia, Datin. Bukan sebab keturunan dia, bukan sebab kedudukan dia. Kita semua sama je di sisiNya."

"Kau tak payahlah nak tazkirah aku kat sini," laju Datin Ruby membalas. "Aku tahu sebenarnya kau bukan nak sangat dengan anak aku. Kau nak duit dia je kan?"

"Duit? Datin dah salah faham ni. Saya boleh cari sendiri. Saya boleh kumpul sendiri duit kalau saya nak. Saya tak pandang pun harta Johan."

"Maam la aku percaya sangat dengan kau kan?" Datin Ruby senyum sinis. "Ini, cek kosong. Aku dah tandatangan. Kau boleh isi berapa banyak yang kau nak. Yang penting, aku nak kau berambus dari hidup anak aku."

"Masih wujud rupanya orang macam Datin pada zaman-zaman begini," Dhamirah menggeleng perlahan. "Cinta saya terhadap Johan terlalu berharga untuk dinilai dengam wang ringgit."

"We'll see," Datin Ruby seolah mencabar. Dhamirah memandang cek kosong dihadapannya. Perlahan dia mengambil cek itu. Senyuman Datin Ruby bertambah lebar. "See?"

Dhamirah membalas senyuman itu. Perlahan dia mengoyakkan cek itu di hadapan Datin Ruby. Mati senyum wanita itu tiba-tiba. "Kau...!"

"Macam yang saya cakap tadi," Dhamirah meletakkan crbisan cek tersebut di atas meja. "Saya masih boleh cari duit sendiri. Tak perlu saya bergantung harap dengan lelaki kaya untuk saya tumpang senang. Saya bukan macam Datin."

Dhamirah menjerit nyaring. Stereng kereta diketuk kuat. Bayangan Datin Ruby cuba untuk dihalau dari dalam fikirannya. Dia tunduk dalam keadaan keretamasih bergerak laju. Sebaik dia menegakkan kepalanya...

"Argh!!!"

Dum!!!

*****

"Tahniah, Puan Saffiyah. Kandungan awak sudah masuk dua bulan sebenarnya," ucap Doktor Nordiana ceria. "May I see your husband?"

"Mengandung?" tanya Saffiyah seakan tidak percaya. Perlahan tangannya menyentuh lembut perutnya yang masih kempis. Aku mengandung?

"Ya, puan mengandung," jawab Doktor Nordiana. "Muntah-muntah di awal pagi merupakan simptom biasa untuk awal kehamilan. Namun jika ia tidak dikawal, ia boleh menyebabkan masalah kesihatan lain. Saya akan bagi beberapa ubat dan vitamin. Banyakkan berehat. Jangan letakkan diri puan dalam satu-satu situasi yang boleh menyebabkan puan tertekan. Ini tidak bagus untuk kandungan."

"Baiklah. Terima kasih, doktor," Saffiyah bangkit dan melangkah keluar dari bilik itu. Tangannya masih melekat pada perut. Tidak lama lagi, perut itu akan membesar. Apa yang dia akan buat?

"Awak, saya nak cakap sikit," Saffiyah mengeluh berat apabila melihat Hariz masih leka dengan telefon pintarnya. "Awak dengar tak ni?"

"Dengar," Perhatian Hariz masih pada telefonnya. "Awak cakap je la. Bukannya saya dengar dengan mata pun. Saya dengar dengan telinga."

"Awak ni....!"

"Awak nak cakap ke tidak ni?" potong Hariz laju. "Tadi beria-ia benar ajak jumpa. Lepas tu buat perangai macam ni. Awak ingat saya tak ada kerja lain?"

"Siapa Natasya?" tanya Saffiyah, terus pada tujuan sebenar. "Ada orang nampak awak dan dia bersama di bandar hujung minggu lepas. Kat kelab malam. Apa yang awak buat kat sana?"

"Dah pandai pasang spy dah sekarang ni...," Hariz ketawa sinis. "Apa uang aku buat, ke mana aku pergi, dengan siapa aku jumpa... taknada kena mengena dengan kau. Faham?"

"Tapi saya ni kekasih awak. Bakal tunang awak. Bakal isteri awak. Saya berhak untuk tahu sema tu," jawab Saffiyah. "Awak kena ingat semua tu."

"Bakal. Belum tentu jadi," Hariz senget bibir. "Dalam hidup ini, kita boleh buat pilihan, Saffiyah. Ya atau tidak. Betul atau salah. Buat atau jangan. Simple, kan?"

"Awak betul, Hariz," jawab Saffiyah perlahan. Hariz angkat bahu tanda kemenangan. Namun seketika kemudian dia menyambung, "Kita semua bebas untuk buat pilihan dalam hidup. Tapi kita kena ingat, kita akan dipertanggungjawabkan atas pilihan kita."

"Betul."

"Dan apa yang saya nampak, awak pilih saya sebagai bakal isteri, tapi awak tak bertanggungkawab atas pilihan yang awak sendiri buat. Awak berfoya-foya dengan perempuan lain. Agaknya awak terlupa, yang saya juga manusia. Saya juga bebas untuk buat pilihan dalam hidup saya."

"Pilihan apa yang awak ada?" Hariz angkat kening.

"Pilihan tentang kita," jawab Saffiyah tenang. "Sebelum ni, saya pilih awak daripada keluarga saya, sehinggakan ayah saya tak mengaku saya anaknya. Namun ternyata, pilihan saya salah bila tengok awak macam ni. Jadi sekarang saya memilih..... untuk tinggalkan awak."

Sebaik kata-kata itu diucapkan, Saffiyah terus bangun dari duduknya dan melangkah ke kereta yang diparkir agak jauh dari restoran itu. Dia langsung tidak sedar ada orang mengekorinya. Sebaik sahaja dia meloloskan diri ke dalam kereta....

"Argh!" Saffiyah menjerit kuat. "Apa ni, Hariz? Apa yang awak buat ni? Sakitlah! Lepaskan saya!"

"Kau jangan ingat kau boleh lepas dri aku macam tu je. Tiada siapa yang boleh lepas dari aku!" Hariz bersuara geram. Tidak dipedulikan Saffiyah yang meronta. "Aku dah bertaruh RM 8 juta untuk dapatkan tubuh kau. Aku tak boleh kalah sekarang!"

Terkejut Saffiyah dengan pengakuan Hariz. "Awak ingat saya ni barang judi? Lepaskan saya skarang!" semakin kuat rontaan Saffiyah.

Buk!

Tanpa disangka, Hariz menumbuk kuat muka Saffiyah membuatkan gadis itu tidak sedarkan diri. Hariz ketawa menang. Satu persatu pakaian Saffiyah ditanggalkan.

Saffiyah tersandr di tiang apabila mengenangkan peristiwa itu. Dengan tangan yang menggigil dia mendail nombor telefon Hariz. Tiada jawapan. Dia cuba sekali lagi. Masih tiada jawapan. Saffiyah menaip pesanan ringkas.

'Hariz, awak kena bertanggungjawab atas apa yang awak dah buat. Saya mengandung. Kahwini saya segera.' Klik! Mesrj dihantar. Langkah kakinya terus dihayun tanpa arah tuju. Tidak lama kemudian, dia menerima pesanan ringkas. Dari Hariz.

'Padan muka kau. Aku memilih untuk tidak bertanggungjawab. Kau nak mati dengan anak tu pun, aku tak kisah.'

Mati langkahnya. Sesak nafasnya. Sampai hati Hariz perlakukan aku begini. Dia ingat aku apa? Boneka, yang boleh dia perlakukan sesuka hati? Air matanya mengalir laju. Terasa kakinya tidak mampu melangkah lagi.

Pon!!!!!!

Bunyi hon kereta mengejutkan Saffiyah. Namun segalanya sudah terlambat....

*****

Dhamirah segera keluar dari kereta sebaik itu berlaku. Bunyi hon dari belakang keretanya langsung tidak dipedulikan. Dia segera menapak ke arah Saffiyah yang sudah terdampar di atas jalan raya, tidak sedarkan diri. Darah banyak keluar dari hidungnya, dari kepalanya. bahkan dari celah seluarnya.

Dhamirah telan liur. “Apa yang patut aku buat ni?” tanya sendiri sambil garu kepala yang tidak gatal.

“Cik tak apa-apa?” tanya seorang lelaki yang menghampiri Dhamirah. Kemudian dia menyedari kehadiran Saffiyah. “Cik langgar dia ke tadi?”

“Maafkan saya, encik. Saya tak sengaja!” Dhamirah sudah takut. Bimbang sesuatu yang buruk akan terjadi pada gadis itu.

“Macam ni je la,” lelaki itu Tarik nafas dalam. “Kita bawa dia ke klinik saya. Tak jauh pun dari sini. Kat situ kita tengok macam mana keadaan dia. Kalau parah, kita ke hospital.”

Dhamirah angguk, setuju sahaja dengan cadangan lelaki itu. Saffiyah dicempung ke dalam keretanya. Dhamirah memarkir keretanya tidak jauh dari situ. Setelah mengambil segala barang berharga, dia ke kereta lelaki itu. Saffiyah masih belum sedarkan diri.

“Maaf. Saya susahkan awak,” merendah suaranya. Ubun-ubun Saffiyah dielus lembut. Berharap sangat agar gadis itu tidak apa-apa.

“Tak apa, awak. Kalau orang lain pun tadi saya tolong juga,” lelaki itu memusatkan perhatiannya pada jalan raya. Dalam masa 20 minit, mereka tiba di klinik lelaki itu. Sekali lagi Saffiyah dicempung terus ke bilik rawatan. Tidak ramai pesakit yang menerima rawatan pada ketika itu.

“Doktor Nizam, kenapa ni?” tegur seorang staf di klinik itu. Cepat-cepat dia memberi ruang untuk Nizam membaringkan Saffiyah.

Nizam tidak menjawab pertanyaan stafnya. Dia pandang Dhamirah. “Awak tunggu kat luar, boleh? Sementara tu, cuba hubungi ahli keluarganya,” pinta lelaki itu. Dhamirah mengangguk.

Sementara Nizam cuba untuk merawat Saffiyah di dalam, Dhamirah cuba untuk mencari nombor telefon keluarga gadis itu. Apabila pencariannya berhasil, Dhamirah cuba untuk terus menghubungi ayah Saffiyah.

“Tak angkat? Cuba lagi la. Tak angkat lagi? Cuba mak dia pula. Tak dapat? Kakak dia? Pun tak dapat juga? Abang dia? Tak ada? Adik? Pun tak ada juga?”

Usahanya sedikit terganggu apabila pesakit yang menunggu untuk dirawat menunjukkan reaksi kurang senang terhadapnya. Namun Dhamirah tidak boleh berbuat apa-apa. Dia hanya mampu tunduk sambil senyum nipis tanda minta maaf.

“Cik…,” panggil Nizam. Sejurus, Dhamirah bangkit dari duduknya dan mendapatkan lelaki itu. “Apapun, apa nama cik ya?”

“Oh, nama saya Dhamirah,” dia senyum nipis. Namun senyumnya mati tatkala melihat sekujur tubuh Saffiyah kaku di atas katil. “Macam mana dengan dia? Teruk ke? Dia perlu dibawa ke hospital ke?”

“Kecederaan pada kepalanya tidak terlalu serius. Dia hanya terhantuk di jalan dan itu yang membuatkan kepalanya berdarah. Tapi….”

“Tapi apa?” tanya Dhamirah tidak sabar.

“Dia keguguran, Dhamirah. Kandungannya tidak dapat diselamatkan,” ujar Nizam perlahan. Dhamirah terkedu. Seketika kemudian dia telan liur.

Keguguran?

*****

Kereta yang dipandu Dhamirah meluncur laju merentasi lebuhraya. Suasana dalam kereta itu hanya ditemani alunan lagu-lagu yang disiarkan melalui corong radio. Baik Dhamirah mahupun Saffiyah, masing-masing tidak bersuara sepatah pun.

“Saya rasa ada sesuatu yang berlaku pada dia. Bila saya tanya mana suami dia, mana keluarga dia, sepatah pun dia tak cakap apa-apa. Saya rasa dia simpan sesuatu daripada kita.”

“Maksud doktor?”

“Saya boleh saja buat pemeriksaan lanjutan untuk lihat sama ada dia dirogol atau tidak. Tapi itu melanggar etika saya sebagai seorang doktor memandangkan tak ada sebarang laporan pasal tu.”

“Doktor syak dia dirogol? Begitu?”

“Eh, jangan la panggil saya doktor. Malu pula saya,” Nizam garu pipi. “Tapi begitulah andaian saya. Tapi kita tak boleh buat sebarang andaian tanpa bukti.”

“Habis tu apa yang saya perlu buat, dok… Maaf, Nizam?”

“Saya cuba bercakap dengan dia, cuba untuk korek rahsia daripada dia. Sebab kalau betul semua sangkaan saya, kita kena buat laporan polis. Tapi dia tak bercakap dengan saya langsung sejak dia sedarkan diri.”

“Jadi?”

“Kalau awak boleh buat la…. Awak tanya apa sebenarnya yang jadi pada dia. Dan kalau sepatah… sepatah pun cukuplah kata-kata yang keluar dari mulut dia, saya bersedia untuk bantu dia.”

“Masalahnya dengan saya pun dia tak bercakap. Saya nak buat macam mana lagi?” tanya Dhamirah.

“Buat apa yang awak mampu. Saya akan bantu awak mana yang awak mahu,” Nizam cuba untuk pegang tangan Dhamirah namun cepat-cepat dia tersedar. “Kita sama-sama akan bantu dia.”

“Er…” Dhamirah terkejut. Dia pandang Saffiyah yang memandang lesu ke hadapan. “Awak cakap sesuatu ke tadi?”

“Kita nak ke mana?” tanya Saffiyah. Dhamirah mengucap syukur dalam hati. “Tak tahu lagi. Cuma sekarang ni saya lapar. Kita pergi makan dulu lepas tu kita fikir nak pergi mana. Boleh?”

“Kita pergi rumah ayah saya, boleh?” tanya Saffiyah perlahan. “Saya dah lama tak jumpa ayah saya.”

“Okey. Tak ada masalah. Sebelum makan atau selepas makan?” tanya Dhamirah, inginkan cadangan. Lebih dari itu, dia ingin Saffiyah terus berbual dengannya. Tidaklah canggung perjalanan mereka nanti.

“Lepas makan. Tempatnya, awak tentukan,” cadang Saffiyah. Dhamirah pandang sekilas padanya, sebelum menjawab. “Baik.”

Selepas menikmati makan tengah hari, mereka meneruskan perjalanan ke rumah keluarga Saffiyah yang kebetulan, sudah tidak jauh lagi.

Debaran di hati Saffiyah semakin menggila apabila mereka semakin menghampiri rumah itu. Spontan, dia pegang tangan Dhamirah dan menggenggamnya erat. Dhamirah sedikit tersentak dengan tindakan itu, namun kemudian dia membalas genggaman itu.

Dia pandang Saffiyah sambal tersenyum. “It’s gonna be okay,” Saffiyah angguk perlahan sebagai jawapan terhadap kata-kata Dhamirah.

Saffiyah terus keluar sebaik sahaja kereta Dhamirah berhenti tidak jauh dari rumah ayahnya. Dia angkat tangan seketika, memberi isyarat kepada Dhamirah supaya tidak mengikutinya. Dhamirah yang memahami, memilih untuk duduk di dalam kereta.

“Ayah,” panggil Saffiyah apabila melihat kelibat lelaki itu sedang berkebun. Tangan lelaki yang lincah menggembur tanah tiba-tiba terhenti. Dia menoleh, memandang Saffiyah yang berdiri tidak tidak jauh daripadanya.

“Kau buat apa kat sini?” melengking suara ayahnya. “Aku tak kenal kau. Lebih baik kau balik sebelum aku panggil polis. Balik!”

“Ayah,” air mata Saffiyah sudah mula turun ke pipi. “Saya datang nak minta maaf. Saya dah sedar kesilapan saya. Maafkanlah saya, ayah.”

“Aku tak kenal kau la!” jerkah lelaki itu. “Kau nak minta maaf dengan aku buat apa? Lebih baik kau balik sekarang. Balik!”

“Ayah…!”

“Aku tak ada anak macam kau. Balik!” makin tinggi suaranya. Ketika itu Saffiyah merasakan tangannya dipegang seseorang. Dia menoleh, ternyata Dhamirah yang datang.

“Kau balik sekarang!”

Saffiyah tidak mampu bertahan lagi. Air matanya tumpah di bahu Dhamirah.

*****

“Saya tak tahu apa yang patut saya buat, Bonda,” ujar Dhamirah, mengakhiri ceritanya. Dia pandang Saffiyah yang memandang lesu tasik di hadapannya.

Bonda Latiffah membetulkan duduknya. “Jadi awak datang sini sebab nak minta khidmat nasihat saya tentang perkara ni?”

“Bonda ialah orang yang saya anggap sebagai ibu sendiri sejak mak saya meninggal dunia. Jadi tak salah kan kalau saya minta nasihat Bonda?”

“Betul tu. Tapi terpulang pada Bonda juga kan kalau Bonda nak bagi nasihat atau tidak?” tanya Bonda Latiffah menduga.

“Bonda yang saya kenal, tak lokek memberi nasihat. Betul tak?” tanya Dhamirah kembali sambal angkat kening. Bonda Latiffah ketawa.

“Dhamirah masih macam dulu, walaupun kita dah lama tak jumpa. Masih suka menyakat macam dulu,” Bonda Latiffah mengelus lembut bahu Dhamirah. “Kenapa tak bawa dia ke rumah Dhamirah?”

“Dah bawa dah. Lepas tu kawan serumah macam tak selesa dia ada di rumah. Sebab dia kan tak kerja. Kawan saya ingat Saffiyah ni nak mencuri barang dia agaknya.”

Bonda Latiffah mengeluh halus. “Tapi tak boleh nak salahkan kawan Dhamirah tu juga. Dia tak tahu cerita sebenar.”

“Sudah saya ceritakan segalanya pada dia, Bonda. Tapi dia macam tak nak tahu apa-apa. Dia juga semacam tak suka bila saya beri perhatian lebih pada Saffiyah.”

“Cara penerimaan orang, cara pemahaman orang tak sama, Dhamirah,” Bonda Latiffah alih pandang pada Saffiyah sebelum dia menyedari sesuatu. “Atau mungkin dia cemburu?”

“Apa Bonda ni….”

“Mana la tahu, kan?” Bonda Latiffah angkat kening. Dhamirah ketawa kecil. Menarik perhatian Saffiyah untuk menoleh ke arah mereka. Kemudian dia kembali memandang tasik.

“Jangan tinggalkan dia keseorangan, Dhamirah,” nasihat pertama diberikan Bonda Latiffah. “Saat-saat sebegini, dia perlukan seseorang di sisinya. Dan dalam situasi ini, dia ada Dhamirah. Jangan tinggalkan dia.”

“Tapi berada dengannya sekarang ni,” Dhamirah silang kaki. “Membuatkan saya berada dalam satu situasi yang tidak selesa. Dengan orang itu, dengan orang ini. Belum masuk cerita kawan serumah lagi. Berat betul ujian ni, Bonda.”

“Ujian,” Bonda Latiffah pandang Dhamirah tepat. “Saban hari kita diuji. Sama ada sedar atau tidak. Ujian itu boleh jadi didatangkan terus kepada kita. Mungkin juga kita diuji melalui ujian yang diturunkan Allah kepada orang lain. Dalam kes ini, mungkin Dhamirah diuji melalui ujian yang Allah turunkan pada Saffiyah.”

Dhamirah tekun mendengar.

“Amatlah sayang apabila kita menganggap kita tidak akan diuji, sedangkan seorang mukmin itu diangkat darjatnya melalui ujian yang diterima. Masih ingat maksud surah Al Mukminun ayat 2?”

“Ingat,” Dhamirah membacakan semula maksud ayat Al Quran tersebut. “Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan menyatakan ‘Kami telah beriman’ dan mereka tidak diuji?”

“Betul,” Bonda Latiffah pandang seketika Saffiyah sebelum meneruskan bicaranya. “Bonda yakin, kalian diuji sebegini kerana Allah tahu kekuatan dan kemampuan kalian tanpa kalian sendiri sedari, seperti yang tercatat dalam Surah Al Baqarah ayat 286.”

“Allah tidak membebankan seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya…,” tanpa dipinta, Dhamirah membacakan maksud daripada ayat tersebut.

Bonda Latiffah senyum. “Kasih sayang dan peringatan Allah datang dalam pelbagai cara. Melalui ujian terhadap diri, orang lain, keadaan sekeliling…. Tinggal kita ini untuk mengambil hikmah di sebalik apa yang berlaku.”

Dhamirah diam. Dia memandang Saffiyah. Kemudian dia pandang Bonda Latiffah kembali. Bayangan Johan dan Datin Ruby tiba-tiba muncul di ruang matanya.

“Bonda….”

“Ujian yang kita hadapi sehari-hari,” sambung Bonda Latiffah lagi. “Tidak lain hanyalah pesanan teragung dari Dia untuk kita. Allah tidak akan berhenti menguji, kerana Dia tidak pernah berhenti menyayangi.”

Dhamirah simpul senyum. “Terima kasih, Bonda. Saya sudah tahu apa yang nak dibuat sekarang.” Dhamirah bangkit lalu menggamit Saffiyah datang kepadanya.

“Mulai hari ni,awak tinggal dengan saya. Boleh kan?”

“Tapi, kawan awak…?”

“Tak apa. Biarkan dia tinggal sendirian di rumah tu. Kita cari rumah lain,” Dhamirah bersuara yakin. Bonda Latiffah sembunyi senyum. Diam-diam, dia bangga dengan anak angkatnya itu.

*****

"Saffiyah, dah siap ke belum?" tanya Dhamirah ketika sibuk membetulkan tudungnya di ruang tamu. "Barang yang ini pun kau nak poskan ke?"

"Biar dulu barang tu kat situ. Nanti aku bawakan," sahut Saffiyah dari dalam bilik. "Kau nak tunggu dalam kereta ke? Pergilah. Nanti aku kuncikan pintu rumah."

"Bawa barang banyak ni lepas tu kata nak kunci pintu rumah. Dia lupa agaknya yang dia aa dua tangan je," Dhamirah mengomel sendirian. Kotak besar yang diletak di tepi sofa diangkatnya perlahan lalu dibawa ke kereta. Kemudian kotak-kotak tersebut disusun rapi di dalam bonet. Setelah berpuas hati, barulah Dhamirah menghidupkan enjin kereta.

"La, kan aku suruh tinggalkan je kotak ni tadi. Biar aku yang bawa," Saffiyah mengeluh kecil melihatkan kedegilan Dhamirah. Gadis itu tersengih sebaik Saffiyah meloloskan diri ke dalam kereta. "Pintu pagar dah kunci?"

"Sudah, buk," sengaja Saffiyah menjawab dengan slanga Indonesia. "Maaflah susahkan kau. Kereta aku masih di bengkel. Aku rancang nak ambil teksi tadi tapi...!"

"Apa guna aku jadi kawan serumah, kalau tak boleh tolong?" potong Dhamirah cepat. "Bukan susah mana pun. Hantar kau ke pejabat pos. Kebetulan pula sama jalan ke pejabat aku. Bolehlah aku hantarkan sekejap. Tapi memang hari-hari kau macam ni ke? Hantar barang jualan untuk dipos. Banyak pula tu."

"Alhamdulilah rezeki aku," Saffiyah merendah diri. "Walaupun dulu aku dropship je, tapi rezeki tak putus-putus. Itu yang aku boleh upgrade jadi stokis tu."

"Aku bangga dengan kau, Saffiyah. Kau boleh bangkit dari kisah silam. Tak silap aku, dah enam bulan kan sejak kita kenal?"

"Enam bulan," sebut Saffiyah pendek. "Orang lain akan menganggap enam bulan tu singkat. Tapi tidak pada aku. Enam bulan aku rasakan bagai enam tahun."

Suasana sepi seketika. Dhamirah tidak tahu bagaimana untuk membalas kata-kata Saffiyah itu. Namun tiba-tiba Saffiyah menyambung, "Tapi kalau tanpa kau, aku rasa sampai sekarang ni aku masih macam dulu. Terima kasih."

"Hesh, kau ni," pipi Dhamirah sudah merona merah. "Kita sama-sama memperbaiki diri kita. Kau betulkan aku, begitu juga sebaliknya."

"Betul juga tu," Saffiyah tersedar sesuatu. "Yang kau bawa aku sampai depan pintu masuk ni apahal? Aduhai, malulah aku. Mesti orang kat dalam ingat ada VIP sampai."

"Eh, kau tak tahu ke?" sengaja Dhamirah menjegilkan matanya ketika Saffiyah mengeluarkan barang-barangnya dari dalam bonet kereta. "Kau la VIP aku. Sweet tak? Ciaa ciaa ciaa..."

"Ada-ada aje la kau ni," Saffiyah geleng kepala. Lucu dirasakan Dhamirah pagi ini. "Terima kasih tolong aku. Nanti bila kereta aku dah siap, kita pergi makan Nasi Lemak Bumbung kat Petaling Jaya tu."

"Nanti aku tuntut, kau jangan mengelat pula," Dhamirah ketawa kecil. "Kau betul ni tak nak aku tunggu sampai kau selesai?"

"Tak apalah. Nanti kau lambat pula ke pejabat," Saffiyah ukir senyum manis. "Bukan ke kau kata tadi yang kau ada mesyuarat penting? Nak jumpa klien baru? Entah."

"Eh, ye la. Aku lupa," Dhamirah cepat-cepat masuk ke dalam kereta. "Hati-hati di jalanan ya! Kalau jatuh, bangun sendiri!"

"Semoga berjaya!" sempat Saffiyah memberi kata semangat sebelum kereta yang dipandu Dhamirah hilang dari pandangan. Kemudian dia masuk ke pejabat pos dengan barang-barang jualannya.

Selesai segala urusan di pejabat pos, dia melangkah keluar dengan hati yang senang. Sempat dia membeli beberapa cucuk nuget dan sosej goreng serta air minuman dalam perjalanannya menuju ke perhentian bas. Rancangannya, dia ingin membeli sedikit barang sebelum pulang ke rumah.

Langkahnya terhenti apabila melihat susuk tubuh yang sangat dikenalinya. Cepat-cepat dia memusingkan tubuhnya. Nafasnya tidak teratur, tangannya menggigil. Hampir terjatuh air minuman dalam pegangannya.

"Hariz!" apa yang dia buat di sini? Saffiyah mengurut dada perlahan, cuba menahan hati yang sedang bergelojak. Kebetulan pula sebuah teksi kosong lalu di kawasan itu. Cepat-cepat dia menahannya lalu terus masuk ke dalam teksi tersebut.

Ketika teksi itu mula bergerak meninggalkan perhentian bas itu, tanpa sengaja Saffiyah dan Hariz bertentang mata. Riak wajah lelaki itu jelas terkejut dengan apa yang dilihatnya. Cepat-cepat Saffiyah memandang ke hadapan.

"Kita nak ke mana ni, dik?" tersentak Saffiyah dengan pertanyaan pemandu teksi yang secara tiba-tiba itu. Dia berfikir sejenak. "Balik rumah!"

*****

“Jadi kau buat apa?” tanya Dhamirah. Bimbang lelaki itu melakukan sesuatu di luar batasannya. Bimbang juga Saffiyah bertindak di luar kawalan.

“Aku terus balik. Aku tak ke mana-mana lagi,” jawapan Saffiyah benar-benar melegakannya. “Aku takut la, Dhamirah. Kalau dia datang sini macam mana?”

“Jangan risau. Kau juga yang cakap, tiada tanda-tanda yang dia ikut kau,” Dhamirah cuba menenangkan Saffiyah. “Tapi kalau kau risau sangat, jangan keluar rumah. Aku ada bawa kunci rumah, jadi balik nanti pandai-pandailah aku.”

“Baik,” terdengar dengusa halus Saffiyah di hujung talian. “Terima kasih. Aku tak tahu macam mana nak balas jasa kau ni.”

“Tak payah susah-susah. Kau masakkan lauk kegemaran aku, sudah,” sempat lagi Dhamirah bergurau. Terkekek Saffiyah ketawa di hujung talian. Selepas saling berbalas salam, Dhamirah menamatkan panggilan. Kemudian dia masuk kembali ke bilik mesyuarat.

“Maaf,” Dhamirah tunduk sedikit. “Klien kita masih belum sampai?”

“Kesesakan jalan raya agaknya,” Puan Anita membelek jam di tangan. “Tidak jauh pejabat mereka dari sini. Sepatutnya sudah sampai.”

Dhamirah angguk. Dia kemudian duduk kembali di tempatnya. Leka dia membelek diari di hadapan ketika Puan Anita tiba-tiba bangkit. “Ha, itu pun mereka dah sampai.”

“Apa khabar?” sapa Encik Tahir, klien tersebut. “Kami mohon maaf atas kelewatan kami. Kereta tiba-tiba rosak di tengah jalan. Salah seorang daripada kami terpaksa berpatah balik untuk mengambil keretanya pula.”

“Tak apa. Yang penting pihak tuan dah sampai dengan selamat. Itu sudah cukup melegakan saya,” balas Puan Anita. Dhamirah hanya mendengar setiap butir perbualan Puan Anita dan wakil syarikat itu sebelum matanya menangkap wajah seorang lelaki dalam kumpulan klien itu.

Johan.

Dhamirah telan liur. Namun dia cuba berlagak selamba. Sedaya upaya dia cuba menunjukkan profesionalisme meskipun mata Johan tidak lepas dari memandangnya.

“Saya tak sangka semua ni selesai lebih awal dari yang kita jangkakan,” ujar Puan Anita, sebaik sahaja perbincangan mereka ditamatkan. “Untuk meraikannya, apa kata kita pergi makan tengah hari. Saya belanja. Amacam?”

“Pucuk dicita ulam mendatang,” sahut Encik Tahir. Senyum lebar dia sambal memandang stafnya yang lain. “Mari. Memandangkan awak yang belanja, awak tetapkan tempat. Boleh?”

“Tiada masalah,” jawab Puan Anita selamba. “Encik tinggalkan kereta di sini. Dhamirah, awak bawa kereta ya.”

“Baik, puan,” Dhamirah menerima arahan itu dalam keterpaksaan. Sekilas, dia melihat Johan mengukir senyuman. Dia mula berasa tidak sedap hati. Sangkaannya itu benar apabila Johan memilih untuk menaiki keretanya.

“Dah lama kita tak jumpa, kan?” ujar Johan memulakan perbualan dalam kereta. “Awak makin cantik sekarang.”

Dhamirah tidak menjawab soalan itu. Perhatiannya ditumpukan pada jalan raya yang sibuk. Sesekali dia memanjangkan leher mencari kelibat kereta Puan Anita.

“Makin sombong pun ya jugak,” sambung Johan lagi. “Atau, awak ada simpan emas dalam mulut tu? Nak sikit boleh?”

Dhamirah mendengus kecil. Johan senyum. “Awak tak rindukan saya ke? Saya ni, hai-hari rindukan awak tau. Sangat-sangat.”

“Sudahlah, Johan,” akhirnya Dhamirah bersuara. “Saya dengan awak hari ni pun atas urusan kerja. Antara kita ada batas yang perlu kita jaga. Jangan sesekali awak langgar batasan tu. Ingat!”

“Huish, garangnya!” Johan nampaknya tidak terkesan langsung dengan ketegasan yang ditunjukkan Dhamirah. “Awak, isteri saya tak ada kat rumah. Dia balik kampung seminggu. Apa kata awak datang ke rumah saya? Tak payah la ikut diorang ni.”

Sreeeeeettt!!!!!! Hampir terhumban Johan ke hadapan akibat tindakan Dhamirah yang membrek keretanya secara tiba-tiba. “Apa yang awak buat ni? Kalau saya terhantuk kat cermin ni, macam mana? Kurang kacaklah saya nanti!”

“Siapa suruh tak pakai tali pinggang keledar,” balas Dhamirah selamba. “Kita dah sampai di restoran kegemaran Puan Anita. Apa lagi, turunlah!”

“Awak tak nak makan dengan saya ke?” Johan buat lagi. “Saya masih ingat makanan kegemaran awak. Nasi putih, tomyam ayam dengan…!”

“Hilang selera saya tengok awak ni, Johan,” potong Dhamirah. “Lebih baik awak turun sekarang sebelum saya tendang awak.”

“Awak nak tendang saya?” Johan ketawa besar. “Mampu ke awak nak tendang orang yang awak sayang?”

“Turun!” suara Dhamirah naik satu oktaf. Johan terkejut. Lantas dia turun dari kereta. Sebaik pintu kereta ditutup, kereta yang dipandu berdesup meninggalkan perkarangan restoran itu. Sekaligus menarik perhatian Puan Anita. “Kenapa dengan Dhamirah? Tak sihat?”

“Agaknya,” jawab Johan. Kemudian dia menjeling ke arah jalan raya. Kereta Dhamirah sudah tidak kelihatan lagi.

“Kau ingat, kau boleh lari dari aku, Dhamirah? Kau kena ingat, aku sentiasa dapat apa yang aku nak!”

Sementara itu, di dalam kereta, Dhamirah mengesat matanya entah untuk kali ke berapa. Telefon pintar dicapai dan dia menghantar pesanan suara menerusi Whatsapp.

“Awak, Johan muncul lagi. Dia ganggu saya. Apa saya nak buat?”

Sedetik. Dua detik. Tiga detik. Dhamirah mula resah. Kemudian pesanan suara baru diterima. Cepat-cepat dia membukanya.

“Petang ni saya sampai dari Melbourne. Malam ni kita jumpa. Awak jaga diri ya. Jangan nangis. Saya ada. Saya sayang awak,” ringkas, namun cukup untuk membuat bibir Dhamirah tersenyum kembali.

******

“Lepas tu awak buat apa?” tanya Nizam sebaik sahaja Dhamirah menyudahkan ceritanya. Gadis itu menghirup minumannya yang baru tiba, lalu menjawab, “Saya telefon Puan Anita, saya tak sihat. Nak pergi klinik.”

“Tak baik menipu tau.”

“Saya tak tipu la,” tingkah Dhamirah. “Sampai je di rumah, kepala saya rasa berat sangat. Saya terlelap di sofa sampai pukul empat petang. Mujur Saffiyah kejutkan saya. Kalau tidak, terlepas la Zuhur saya.”

“Sekarang awak dah okey?” tanya Nizam, lembut. “Wajah awak pucat. Kalau awak masih tak sihat, kita balik saja.”

“Saya sihat la, Nizam,” balas Dhamirah lagi. “Muka pucat ni sebab saya tak mekap. Rasa malas je. Awak ni, tak penat ke? Baru petang tadi sampai dari Melbourne, malam ni dah jumpa saya?”

“Rindu,” jawabnya sepatah, membuatkan pipi Dhamirah merona kemerahan. “Lagipun saya risaukan awak. Dari cerita awak, saya takut Johan nak apa-apakan awak.”

“Sayang juga awak dengan saya yea,” usik Dhamirah tiba-tiba. “Ingatkan sejak buka klinik cawangan ni, dah kurang sayang awak dengan saya. Almaklumlah, klinik tu perlukan perhatian lebih. Saya ni siapa la….”

“Awak tunang saya,” balas Nizam cepat. “Bakal isteri saya. Mestilah saya sayang. Klinik tu tak lari ke mana punya. Tapi yang ini….,” dia tunjuk hidung Dhamirah. “Kalau lari, penat juga la nak kejar.”

“Amboi!” bulat mata Dhamirah mendengarnya. Nizam terkekeh ketawa. Mereka terus berbual sambil menikmati makan malam.

“Nota apa tu?” tanya Dhamirah apabila melihat sekeping kertas yang diselitkan di celah pengelap cermin kereta. Pantas Nizam mengambil kertas itu dan membuka lipatannya. “Tak ada apa-apa pun.”

Sekejapan, sebuah van berhenti betul-betul di belakang kereta Nizam. Tiga orang lelaki bertubuh sasa keluar dari van itu. Dua daripadanya pantas menarik Dhamirah ke dalam van. Nizam cuba menghalang, namun lelaki ketiga memukul kepalanya dengan kayu membuatkan dia pengsan.

“Eh, apa ni? Tolong!!!” jerit Dhamirah. Namun tiada siapa yang datang membantu.

“Tolong! Tolong!!” jeritnya lagi.

“Hai, sayang,” terdengar satu suara garau membuatkan dia pantas menoleh. “Johan! Apa yang kau buat ni? Lepaskan aku!”

“Saya rindukan awak….!” Johan cuba memeluk Dhamirah namun pantas gadis itu menolak. “Eh, geli la! Kalau kau nak mengawan sekalipun, cari isteri kau! Bukan aku!”

“Kau hina aku siang tadi, Dee,” suara Johan bertukar serius. “Kau ingat aku dapat terima penghinaan yang kau bagi?”

“Oh, kau fikir kau punya harga diri la ni? Habis tu, aku tak ada harga diri? Kau ingat aku ni apa? Sampah?”

“Kalau kau sampah sekalipun, kau sampah yang cantik,” Johan merapati Dhamirah. “Dan aku takkan lepaskan kau kali ni.”

Buk!

“Adoi!” Johan meraba mukanya laju. “Kau ingat muka aku ni punching bag?”

“Kalau kau punching bag, kau adalah punching bag yang kacak!” Dhamirah memulangkan paku buah keras. “Lebih dari penumbuk aku boleh bagi kalau kau rapat dengan aku.”

“Bukan ke kau sayangkan aku? Inilah masanya untuk kau buktikan rasa tu,” Johan sudah tidak peduli lagi. “Apa pun yang terjadi, aku akan bayar semuanya.”

Buk!

“Setan! Puih!” Dhamirah meludah. “Kau ingat kau boleh beli semuanya dengan duit? Kau dengar sini, Johan. Cinta aku pada kau dah mati saat kau kahwin dengan isteri kau!”

Tanpa berlengah, Dhamirah membuka pintu van. Dia menarik nafas dalam sebelum melompat keluar dari van yang sedang bergerak itu. Terguling-guling dia di atas jalanraya. Baru sahaja dia bangkit ingin membetulkan imbangannya…

Pon!!!!!!

Dhamirah menoleh pantas. Namun segalanya sudah terlambat. Sejurus, dia terlambung dan terlentang di atas jalan raya. Kepala dan hidungnya berdarah, efek akibat kemalangan tersebut.

“Allah…. Allah….”

Berulang kali dia menyebut nama itu sebelum matanya tertutup rapat.

*****

Saffiyah melangkah laju menuju ke ruang menunggu sebaik sahaja melihat kelibat Nizam sedang duduk di situ. Rasa takut yang dialaminya terus hilang sebaik sahaja mendapat berita tentang kemalangan yang menimpa Dhamirah.

“Nizam!” lelaki itu cepat menoleh apabila mendengar namanya dipanggil. Segera dia berdiri, namun dia gagal mengawal imbangannya. Dia terduduk kembali.

“Awak tu luka juga. Jangan nak berlagak gentleman sangat kalau sakit,” tegur Saffiyah. “Mana Dhamirah?”

“Dia masih di dalam, sedang dirawat,” Nizam meraup wajahnya perlahan. “Kenapa la semua ni terjadi pada dia? Kenapa Johan berdendam dengan dia sedangkan Johan yang sakitkan hati dia dulu?”

“Sudahlah, Nizam. Ini semua ujian. Bukan untuk dia tapi untuk kita juga,” Nizam dongak kepala, pandang Saffiyah. “Saya tak faham.”

“Ujian, bahasanya bisu. Hadirnya tidak terduga. Ada kala ujian itu bertandang untuk membersihkan dosa. Ada kala untuk mengajak kita bertanya, apakah diri sudah terlupa. Siapa yang berkuasa, kita ataupun Dia?”

“Semakin pandai awak bermadah,” puji Nizam. “Tapi kata-kata awak tu betul. Mungkin ada hikmah yang berlaku di sebalik semua ni.”

“Macam mana dengan Johan?”

“Dia…,” Nizam mengepal tangannya. “Dia ditahan bersama anak-anak buahnya dalam setengah jam yang lalu. Sekarang ni sedang disoal siasat di balai polis.”

“Tapi Johan tu banyak duit,” Saffiyah membetulkan duduknya. “Pasti keluarganya akan buat sesuatu untuk bebaskan dia.”

“Mungkin,” Nizam mengeluh. Tapi sebentar kemudian dia tersedar sesuatu. “Tak juga. Ada ramai saksi yang nampak mereka serang kami. Pemandu yang langgar Dhamirah juga sudah beri keterangan di balai polis.”

Saffiyah diam, tidak membalas kata-kata Nizam. Namun kemudian lelaki itu menyambung, “Lelaki yang langgar Dhamirah juga ditahan polis. Rupanya, dia dibawa pengaruh alkohol masa langgar Dhamirah.”

“Awak tahu siapa?” tanya Saffiyah, sekadar ingin memanjangkan perbualan. Nizam senget bibir. “Kalau tak silap, namanya Hariz. Nama penuh, tak ingat pula.”

Berderau darah Saffiyah mendengarnya. Dia berdehem seketika. “Lamanya nak tunggu doktor keluar ni. Harap Dhamirah tak apa-apa.”

Baru sahaja Nizam ingin membalas kata-kata Saffiyah, seorang petugas hospital keluar dari wad kecemasan. “Siapa waris Dhamirah Hassan?”

“Kami,” sahut Saffiyah pantas. Petugas hospital itu menghampirinya. “Dhamirah dah sedarkan diri. Dia cari seseorang yang bernama Saffiyah.”

“Saya.”

“Baik, sila ikut saya,” ujar petugas hospital itu. Saffiyah sempat berpesan kepada Nizam. “Nanti saya datang balik.” Kemudian dia mengikut petugas hospital itu ke dalam wad kecemasan, di mana Dhamirah ditempatkan. Tersenyum nipis gadis itu menyambut kedatangan Saffiyah.

“Dah terbalik pula,” Dhamirah memulakan perbualan. “Enam bulan aku, aku melanggar seseorang. Hari ini, aku dilanggar pula.”

“Masih sempat nak bergurau?” Saffiyah angkat kening. Dhamirah ketawa kecil. Saffiyah geleng kepala melihat telatah rakannya itu.

“Jangan banyak fikir. Hal kat luar tu biar aku selesaikan. Kau cuma perlu berehat untuk sembuh.” Ujar Saffiyah. Dia genggam erat tangan Dhamirah.

“Baiknya dia,” Dhamirah senyum. “Siapa nama awak yea? Nanti saya carikan jodoh untuk awak okey?”

“Main-main!” Saffiyah ketap gigi. Dhamirah ketawa. Setelah berbual berbasa-basi, Saffiyah meminta diri. “Nizam tunggu kau.” Dhamirah angguk.

Setelah bertukar giliran dengan Nizam untuk menjenguk Dhamirah, Saffiyah duduk di ruang menunggu. Telefon pintarnya dibelek seketika. Langsung dia tidak menyedari kehadiran seorang wanita ke sisinya.

“Ehem.”

Deheman wanita itu membuatkan Saffiyah tersedar. Cepat-cepat dia bangkit. “Puan, nak duduk di sini?”

“Datin,” ujar wanita itu, membetulkan panggilan Saffiyah terhadapnya. “Panggil saya Datin Ruby.”

“Oh, maaf Datin,” Saffiyah tertunduk sedikit tanda hormat. Datin Ruby jeling tajam ke arahnya. “Saya datang ni ada hajat.”

Datin Ruby mengeluarkan sepucuk sampul dari dalam beg dan diberikan kepada Saffiyah. “Ini adalah wang pendahuluan. Saya akan bayar selebihnya bila semuanya selesai.”

Saffiyah kerut dahi. “Saya tak faham. Apa maksud pu…. Datin?”

“Saya tahu awak siapa,” Datin Ruby berjalan mengelilingi Saffiyah yang jelas tidak selesa. “Awak kawan Dhamirah. Awak tahu yang Johan tidak sepatutnya ke penjara.”

“Jadi?”

“Saya mahu awak gugurkan dakwaan ke atas Johan. Dan saya akan bayar berapa pun yang awak mahu. Setuju?”

Saffiyah senyum. “Datin Ruby, sebenarnya saya rasa saya tak layak pegang duit sebanyak ni. Datin tahu kenapa?”

“Awak nak cakap yang duit ni tak cukup?” Datin Ruby ketawa sinis. “Saya cukup kenal dengan orang-orang macam awak. Macam Dhamirah. Sanggup lakukan apa sahaja kerana duit.”

“Bukan semua orang macam tu, Datin. Kami mampu cari duit dengan kudrat kami sendiri. Cari rezeki yang halal. Bukan ambil rasuah macam ni!” Saffiyah mencampakkan sampul itu ke arah Datin Ruby.

“Lagipun Datin, lebih dari ini pun saya pernah terima. Tapi bukan hasil dari rasuah la. Hasil jualan yang saya buat. Jadi, duit Datin ni tak laku sangat pada saya,” Saffiyah sengih.

Datin Ruby kerut dahi. “Ini bukan rasuah. Ini upah.”

“Upah untuk membebaskan orang yang bersalah?” Saffiyah menggamit seseorang di belakang Datin Ruby tanpa pengetahuannya. “Saya lebih rela mati tak makan daripada terima duit ni. Inspektor Fauzi!”

“Ya, Cik Saffiyah,” Datin Ruby menoleh. Dia terkejut melihat dua orang lelaki berpakaian seragam polis di belakangnya. Dia pandang kembali Saffiyah yang tersenyum.

“Datin Ruby ni adalah ibu kepada Encik Johan. Dia cuba rasuah saya dengan wang ringgit,” ujar Saffiyah tenang.

“Tidak! Dia bohong!” jerit Datin Ruby, menarik perhatian beberapa orang pesakit dan ahli keluarga di ruang menunggu itu.

“Butir-butir perbualan kami telah direkodkan dalam telefon ni. Dan ia boleh dijadikan bahan bukti,” Saffiyah menghulurkan telefon pintarnya kepada Inspektor Fauzi. Rakaman itu dimainkan kembali. Wajah Datin Ruby pucat bagaikan mayat.

“Kau perangkap aku!”

“Datin yang terperangkap dalam jerat yang Datin sediakan,” balas Saffiyah selamba. “Tuan, boleh bawa dia ke balai?”

“Silakan, Datin,” Inspektor Fauzi beri ruang untuk wanita itu. Datin Ruby mendengus kasar, lalu melangkah pergi dari situ diiringi Inspektor Fauzi dan anak buahnya. Ketika itu juga, Nizam keluar dari wad kecemasan. “Kenapa?”

“Tak ada apa-apa,” jawab Saffiyah sambil senyum.

*****

“Aku terima nikahnya Dhamirah Binti Hassan dengan mas kahwin RM200 tunai,” ucap Nizam sekali lafaz. Tok kadi memandang kiri dan kanannya. “Saksi? Sah?”

“Sah!”

“Sah!”

“Alhamdulilah,” tok kadi mengangkat tangan untuk membaca doa, lalu mereka yang hadir menurut perlakuan lelaki itu. Saffiyah menjeling sekilas pada Dhamirah yang cantik berbusana putih.

Selesai upacara membatalkan air sembahyang, Saffiyah menghampiri Dhamirah. “Tahniah. Kau dah jadi isteri orang sekarang. Cepat betul masa berlalu, kan?”

“Ya,” jawab Dhamirah sambil tersenyum. “Sembilan bulan aku kenal Nizam, masa aku langgar kau haritu. Dan dia dah jadi suami aku. Siapa sangka, kan?”

“Itulah namanya jodoh,” Saffiyah genggam tangan Dhamirah erat. Wajahnya ceria. “Aku gembira bila tengok kau bahagia.”

“Aku pun gembira bila tengok kau bahagia,” jawab Dhamirah. “Jadi, bila kau akan ikut jejak aku pula? Kahwin?”

Mati senyuman Saffiyah ketika itu. Dhamirah baru menyedari dia sudah tersalah kata. “Maafkan aku, Saffiyah. Aku tak bermaksud…!”

“Tak apa,” potong Saffiyah laju. “Aku tak terfikir pun apa yang jadi pada aku. Cuma, aku teringat pada orang tua aku. Mak ayah aku…. Apa khabar mereka agaknya?”

“Alhamdulilah, diorang baik-baik je,” jawab Dhamirah selamba. Saffiyah memandangnya tepat. “Kau ni yakin sangat. Macam mana kau tahu diorang sihat, sedangkan kita dah lama tak jumpa diorang?”

“Sebab, kalau diorang tak sihat, diorang takkan datang ke majlis pernikahan aku,” Saffiyah terkejut dengan kata-kata Dhamirah. Bibir gadis itu memuncung ke satu arah, membuatkan Saffiyah menoleh. Sebentar kemudian dia tergamam.

“Saffiyah!”

“Mak! Ayah!” air mata Saffiyah mengalir. Dia pandang Dhamirah yang tersenyum lebar. “Apa semua ni?”

“Aku masih berhubung dengan ayah kau lepas dia halau kau hari tu. payah juga la nak yakinkan dia tentang apa yang berlaku dengan kau. Tapi lama-lama diorang dah boleh terima dan diorang menyesal dengan tindakan diorang.” Jelas Dhamirah. “Pergilah. Ayah kau rindu tu.”

“Saffiyah!” panggil ayahnya. Saffiyah sudah tidak mampu bertahan lagi. Dia berlari mendapatkan ibu dan ayahnya persis anak kecil. Dia menangis bahagia sebaik berada dalam dakapan mereka.

“Maafkan kami, nak. Kami sepatutnya terima kamu semula masa kamu ditimpa musibah dulu. Tapi…!”

“Tak apalah, mak, ayah. Saya tak pernah ambil hati,” Saffiyah mengeratkan pelukannya. “Maafkan saya juga sebab tak dengar cakap mak dan ayah.”

Ayah Saffiyah mengelus lembut ubun-ubun anaknya itu. “Balik ye sayang. Mak dah masakkan lauk kegemaran kamu.”

Saffiyah angguk perlahan. Matanya mencari mata Dhamirah yang berdiri tidak jauh daripadanya. Saffiyah berbisik perlahan. ‘Terima kasih.’

Dhamirah angguk. Matanya terkebil-kebil menahan tangis. Nizam yang baru dinikahi menggenggam erat tangan si isteri. Dhamirah pandang Nizam. Mereka saling berbalas senyuman.

“Semua akan indah pada akhirnya. Awak, dia, saya,” ucap Nizam. Dhamirah angguk, lalu dia melentokkan kepala di bahu Nizam. Air matanya tumpah jua. Dia bahagia.

TAMAT

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.