Home Novel Cinta Getar Hatiku
Getar Hatiku
SRI WAHYUNI
4/9/2014 22:15:10
4,669
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
BAB 3

Hakim Nuqman mengambil telefon bimbit lantas mendail sekali lagi. Dia merengus kuat bila sahaja panggilan yang di buat tiada jawapan. Mengapa Sarah Adelina langsung tidak mahu menjawab panggilannya?. Dia tidak mampu untuk menjawabnya. Gambar kenangan sewaktu reunion dua minggu lalu di tatap buat sekian kalinya. Satu persatu matanya memandang pada bekas rakan sekelas. Semuanya nampak berbeza selepas enam tahun. Akhir sekali matanya jatuh pada seraut wajah ayu berhijab biru muda sedang tersenyum seolah-olah memandang ke arahnya.

Fikirannya jatuh kepada gadis bernama Sarah Adelina. Gadis yang menjadi dambaan hatinya buat sekian lama. Hakim Nuqman terus diulit kenangan.

“Sarah. Sarah Adelina kan?.” Dia bagaikan tidak percaya gadis bermata redup itu bertambah ayu. Lesung pipit di pipi kiri nampak jelas saat dia tersenyum. Wajah Hakim Nuqman nampak bercahaya. Bukan susah hendak mengenali Sarah Adelina, bisik hatinya.

“Ya. Sarah.”

Wajah Sarah terus berubah. Dia tidak nampak teruja sepertimana bertemu dengan rakan-rakan yang lain. Jasmin yang tadinya ada di sisi sudah hilang entah ke mana sebaik sahaja dua sahabat itu bertemu.

“Sarah. Awak apa khabar?.” Hakim Nuqman bertambah ceria.

“Sihat, alhamdulillah.” Suara Sarah kedengaran lemah, tidak seperti tadi.

“Lama kita tak jumpa kan,” Hakim Nuqman terus-terusan menyoal.

“Iya, empat tahun.”

Hakim masih berdiri tegak di hadapan Sarah. Masing-masing bagaikan terpaku dengan pertemuan hari itu. Ya, empat tahun selepas meninggalkan sekolah. Dua tahun mereka rapat dan mesra menjadikan usia perkenalan mereka menjadi enam tahun sebenarnya.

“Sarah… awak makin cantik.” Pujian ikhlas dari Hakim Nuqman membuatkan Sarah tertunduk. Tunduk bukan disebabkan perasaan malu dipuji sedemikian tetapi kerana seperti mahu sahaja dia memuntahkan segala isi perutnya yang ada.

“Sarah, awak datang seorang sahaja?.”

“Jasmin. Awak pula?.”

“Seorang sahaja. Masih belum ada yang sudi untuk temankan saya lagi.” Jawapan Hakim penuh dengan kiasan. Mata nakalnya sesekali melirik pada wajah Sarah. Rindunya dia pada gadis itu serasa tidak mampu untuk di ungkap lagi.

“Hakim. Hakim Nuqman kan?.” Hairi menepuk belakangnya. Mereka berpelukan mesra sebagai sahabat lama. Sarah menarik nafas lega. Jadi, dia tidaklah tersangkut berdua sahaja dengan lelaki itu.

“Eh, mana isteri kau?,” lancar sahaja soalan itu keluar dari mulut Hakim Nuqman. Dia sememangnya tahu kerana laman facebookHairi seringkali menunjukkan gambar dia bersama anak dan isterinya.

“Tu. Bawah pokok sana dengan anak-anak,” jawab Hairi jujur.

“Kau pulak?. Mana isteri kau?.”

“Ni, aku kenalkan bakal isteri aku. Sarah Adelina.” Hairi tersenyum memandang Sarah yang nampak kebingungan.

Berderau darah Sarah sebaik sahaja mendengarnya. Dia sedikitpun tidak menyangka Hakim Nuqman akan memperkenalkannya sebegitu pada Hairi.

Mata Hairi memandang mereka berdua silih berganti. Ada senyuman yang terukir di bibirnya.

“Wah! Kiranya perjumpaan kita hari ni memang kauorang bawa berita gembiralah ya?.”

“Ehhh… Jangan dengar cakap Hakim ni. Kau dengar dari Hakim saja Hairi. Bukan dari aku,” terus sahaja Sarah menyangkal kata-kata Hakim sebentar tadi.

“Marah betul kau ni Sarah. Kenapa?.”

“Haha… Aku bukannya apa Hairi. Kalau bakal suami aku dengar nanti, tentu dia marah.” Selamba sahaja jawapan yang meluncur keluar dari mulutnya. Dia cuba menyembunyikan getar di dada sebenarnya. Sarah terus meninggalkan mereka sejurus kemudian. Dia tidak mahu dengan kehadirannya di situ akan merungkai banyak lagi kisah silam mereka.

Bakal suami?. Hakim tergamam seketika. Maksudnya Sarah sudah berpunya?. Atau lebih tepat lagi Sarah sudah bertunang?. Jika betul, siapa tunang Sarah?.

“Lama tak jumpa kau Kim. Aku dengar bos besar kau sekarang.”

Soalan Hairi menyentak lamunan Hakim yang menyoroti langkah Sarah meninggalkan mereka.

“Taklah besar mana kalau dibandingkan dengan kawan-kawan lain.” Dia cuba merendah diri.

“Hakim, kau bila nak kahwin ni?.”

“Kenapa?.” Memang itu antara soalan yang paling digemari jika semua bertemu.

“Siapalah yang nak kan aku ni Ri.”

Demi mendengar sahaja jawapan dari Hakim Nuqman, Hairi tertawa besar. Terasa sahabatnya itu cuba untuk menipu.

“Kau ni Kim, tipulah kalau tak ada siapa yang nak kan kau. Kau jangan cakap tak ada siapa yang hendakkan kau, tapi hakikatnya Sarah yang ada dalam hati kau tu.”

Hakim Nuqman bagaikan terpukul dengan kata-kata Hairi. Wajahnya sedikit berubah. Bagaimanalah dia mahu mengiyakan sedangkan baru seminit dua tadi Sarah sudah menjelaskan yang dia sudah berpunya.

“Eh, relaxlah Kim. Kau ni nampak semacam aje bila aku sebut nama Sarah. Kenapa?. Betul kan apa yang aku cakap?. Ala Kim, aku tahu sangat apa yang ada dalam hati kau tu. Kim… Sarah tu baru bertunang, belum berkahwin lagi. Kau masih ada peluang.”

Hakim diam. Sedikit sebanyak kata-kata Hairi termakan olehnya. Dia menarik nafas sedalam-dalamnya.

“Eh, isteri dan anak aku dah datang tu. Aku gerak dulu lah. Lagipun sekejap lagi majlis nak mula ni.” Hairi menepuk bahu Hakim sebelum beredar.

“Hakim… Tempat jatuh lagikan dikenang.”

Hakim Nuqman berpaling memandang Hairi. Hairi tersenyum penuh makna, bagaikan tahu ada gunung berapi yang kembali aktif dalam hati Hakim yang perlahan-lahan sudah mula mengeluarkan laharnya.

PUKUL LIMA PETANG. Hakim Nuqman bergegas mahu pulang. Dalam kepalanya ligat merancang sesuatu. Jika boleh dia mahu segera keluar dari pejabatnya tanpa dikesan sesiapa terutamanya oleh Dato’ Zubir.

“Man.”

Demi mendengar sahaja namanya di panggil, Hakim Nuqman segera berpaling. Jika tadi niatnya mahu terus sahaja keluar dari pejabat tetapi kini dia hanya mempunyai 90% sahaja harapan.

“Man. Jumpa saya sekejap.”

Antara hendak dengan tidak, Hakim Nuqman terpaksa akur. Langkah yang tadinya agak deras kini menjadi longlai. Dia sedikit kecewa bila sahaja wajah Dato’ Zubir yang tersembul di muka pintu memanggilnya.

“Man, ada masalah tak dengan projek kita di Klebang?.”

Hakim Nuqman menarik nafas panjang sebelum menjawab persolan Dato’ Zubir.

“Masalah tentang pembekal yang membekalkan simen palsu sahaja Dato’.”

Itu adalah isu lama dan pihak syarikat dikatakan dalam proses untuk melantik peguam bagi kes tersebut untuk menyaman syarikat pembekal.

Helaian kertas di tangan Dato’ Zubir diselak satu persatu. Dia sebenarnya baru sahaja mendapat laporan daripada pekerja yang berada di sana tentang terdapat retakan pada bangunan yang hampir separuh dibina.

“Kamu dah semak pelan bangunan?.”

Hakim Nuqman hanya mengangguk. Dia sudah memastikan semua berkaitan projek berkenaan adalah kesilapan daripada pihak pembekal dan bukan dari pihak syarikat.

“Esok saya mahu kamu ke alamat ini untuk berbincang dengan panel lawyeryang syarikat kita baru lantik untuk failkan saman.”

Kad kecil bertukar tangan. Ada sinar gembira di wajah Hakim Nuqman sebaik sahaja dia melihat alamat yang tertera.

“Esok pukul berapa Dato’?.”

Dia seakan teruja menerima perkhabaran itu. Terasa tidak mampu untuk menanti hari esok lagi.

“Kalau boleh sebelah pagi. Man boleh dapatkan dokumen daripada Syila. Saya mahu awak teliti terlebih dahulu sebelum jumpa lawyer esok.”

Hakim Nuqman tersenyum sebaik sahaja diberikan arahan itu. Tiba-tiba sahaja perasaan tidak sabarnya menerpa.


Previous: BAB 2
Next: BAB 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.