Home Cerpen Cinta Kau Ayam Giler
Kau Ayam Giler
SRI WAHYUNI
7/6/2016 23:16:53
2,629
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

Telefon bimbit Esma berbunyi. Cepat-cepat di ambilnya. Dalam hati berbunga riang dengan harapan Dean yang menghantar pesanan ringkas di awal pagi. Hari ini dia sudah berjanji dengan abangnya untuk membawakan kuih balung ayam yang sedang di idamkan oleh kakak iparnya. Kalau dia tidak dapat kali ini, bermakna dia kena akur dengan permintaan keluarga untuk menerima lamaran dari kawan baik abangnya yang beriya-iya mahu sehidup semati dengannya. Tiga bulan tempoh yang abangnya berikan sudah hampir ke penghujung. Setelah sekian lama dia cuba mencari, akhirnya dia bertemu juga dengan orang yang tahu membuatnya. Jadi, dia tidak perlu risau dengan lamaran dari Ikmal. Dia yakin abangnya akan kalah dengannya kali ini.


🐔🐔🐔

‘Aik! Ni siapa pula hantar whatsapp ikon ayam aje?,’ desis hati kecilnya. Nombor si penghantar langsung tiada dalam simpanannya.


Esma campak telefon bimbitnya. Punah harapan bila whatsapp yang di hantar bukanlah dari orang yang di harapkan. Sehingga jam sembilan pagi Dean masih belum kelihatan. Malahan sms, whatsapp dan panggilan telefon juga tidak dijawab oleh Dean. Ke mana pula Dean menghilang?. Setiap saat dan masa dia asyik membelek telefon bimbitnya. Manalah tahu kalau ada panggilan mahupun balasan sms dari Dean.

“Esma, Dean minta aku sampaikan pada kau dia cuti kecemasan.” Yati datang ke meja Esma menyampaikan pesanan.

“Dia telefon kau ke Yati?.” Yati angguk. Kemudian dia berlalu. Geramnya pada Dean. Apa tidaknya, sekurang-kurangnya balas sahajalah sms atau panggilan yang dibuat. Sudahlah kuih itu jenis edisi terhad. Tak semua orang tahu kuih balung ayam itu bagaimana rupa bentuknya.

“Esma… Macam bad mood aje pagi ni. Kenapa?. Ni mesti gaduh dengan Dean ni,” usik Suri yang duduk bertentangan dengannya. Dua tiga hari lepas dia ada perasan Esma bertemu Dean untuk menempah kuih tradisi katanya. Hampir setiap hari Esma mengingatkan Dean dan kali terakhir dia mendengarnya adalah petang semalam sebelum pulang dari kerja. Jadi, tidak mustahillah kalau pagi ini tengok dari segi muncung dan muka masam mencuka Esma kerana Dean. Muncung tu tak usah cakaplah. Boleh sangkut hanger baju.

“Eiii… Kau tak payahlah nak sebut nama Dean pagi-pagi ni. Aku ni dah puas call, whatsapps… message… Semualah. Tapi satu pun tak ada jawapan. Masuk aje ofis aku tengok tempat dia kosong. Tup-tup Yati beritahu Dean cuti kecemasan.”


Hah! Itulah Esma. Pantang di cuit sedikit, habis semua isinya terkeluar. Tak boleh nak simpan rahsia langsung. Kalau ikutkan hati Esma yang sudah hampir rentung itu, ada lagi yang hendak diluahkannya. Ini bukan hanya soal kakak iparnya mengidam, tapi lebih kepada soal jodohnya juga. Esma sudah tidak senang hati. Wajah Ikmal terbayang di mata. Lelaki yang selalu mengikut abangnya datang bertandang ke rumah dan cukup disenangi oleh ahli keluarganya itu mula menyuarakan hasrat hati untuk melamarnya. Esma tepuk dahi. Apa tidaknya. Kalau di pandang dari sudut rupa, memang cukup handsome bergaya. Berkulit cerah dan mempunyai ketinggian lebih kurang 163cm. Tapi apa yang dia tidak suka adalah rambutnya. Rambut Ikmal yang serupa macam mee meggi itu membuatkan dia rasa mahu muntah. Entahlah… Elergik kut!.

“Redha ajelah Esma. Kalau dah memang jodoh kau dengan Ikmal apa kau panggil?. Ikmal si rambut meggi?,” Suri sudah mengekeh ketawa. Dia masih ingat lagi bagaimana Esma memberitahunya tentang lamaran itu. Tapi lamaran itu masih dalam status KIV (Keep In View) katanya. Tapi lamaran itu akan terbatal jika Esma dapat membawakan kuih balung ayam untuk kakak iparnya dan juga dapat membawa seseorang untuk diperkenalkan kepada keluarganya. Itu yang Suri tahu.

Esma rasa tidak senang hati. Apatah lagi setiap kali terbayangkan wajah Ikmal dengan rambut megginya itu. Telefon bimbit mula di angkat. Beberapa kali nombor Dean di dail. Tiada jawapan.

“Mana boleh aku nak menyerah kalah macamtu aje.” Nada suaranya sedikit tinggi.

“Apa yang kecoh sangat ni?. Esma, report yang saya minta dah siap belum?. Saya tak nampak atas meja saya pun,” tegur Encik Wazir yang tiba-tiba muncul. Telefon bimbit cepat-cepat disorokkan. Esma terdiam. Encik Wazir yang rendang kalau bersuara selalunya tinggi. Berkulit hitam manis dan ada iras-iras pelakon Korea, Lee Min Hoo. Pandang tak jemu. Tapi jarang mahu tersenyum. Ada emas jatuh barangkali kalau senyum.

“Sekejap lagi saya hantar.” Suara direndahkan. Malu dengan bos yang baru lapan bulan berkhidmat di situ. Tak pasal-pasal nanti dia di label sebagai pekerja yang biadap pula. Suri hanya tersengih dari jauh. Esma ketap bibir. Tak sampai seminit Encik Wazir berlalu, kelam kabut Esma menyiapkan apa yang dikehendaki oleh bosnya. Dalam pada dia ralit dengan tugasnya, telefon bimbitnya berbunyi lagi.


🐔🐔🐔

‘Ayam lagi?.’ Esma tolak ke tepi telefon bimbitnya. Entah siapalah yang menghantar pesanan ikon ayam.


**********


Pintu bilik yang tertulis nama Wazir Danial tertutup rapat. Esma mencuri pandang melalui celahan tabir yang terselak. Sah! Bosnya tiada. Jadi, dia perlu segera meletakkan fail di dalam bilik itu. Fail warna hijau yang diminta pada Rashidah beberapa bulan yang lalu. Dia cukup geram bila setiap kali di tanya tentang laporan. Akhirnya dia menukarkan fail kepada warna hijau sebagai kelainan dan menandakan dokumen itu datang dari dia. Esma seorang sahaja menggunakan fail warna hijau sedangkan orang lain semuanya menggunakan warna hitam.

Esma berjalan terhendap-hendap masuk ke dalam bilik Encik Wazir. Bau wangian di dalam bilik itu menerjah lubang hidungnya. Memang sah bosnya ini kategori lelaki yang sukakan ketenangan. Lihat susun atur dalam biliknya sudah cukup menggambarkan dia lelaki seumpama itu. Ditambah pula dengan jenis wangian yang di pilih. ‘Tak padan dengan rendang.’ Esma tersenyum sendiri. Sempat lagi mengutuk bos sendiri.

Jari-jemari beralih pada gambar yang ada di atas meja. Gambar keluarga barangkali. Esma ralit memandang.

“Ehem! Ehem!. Awak baut apa dalam bilik saya?.” Bunyi deheman kuat membuatkan Esma terkejut. Tercampak fail bersama isinya. Beterbangan kertas-kertas di udara bagaikan bulu ayam bertaburan. Mujur fail hijau tidak tercampak pada Encik Wazir tetapi sebaliknya tercampak pada satu tempat kosong di sebelah meja.

“Maaf Encik Wazir.” Taburan kertas cepat-cepat dikutip. Terkejutnya tidak terkata. Pucat lesi wajah Esma. Nafasnya sudah tidak tentu arah. Fail terus diserah pada tangan Encik Wazir setelah isinya dimasukkan. Esma berlalu pergi dengan pelbagai perasaan yang ada. Terperanjat sudah pasti. Malu pun ada juga. Encik Wazir masih tercegat di tempat yang sama. Memerhati Esma berlalu pergi.

Ting! Ting! Ting!

Berluma-lumba whatsapp masuk. Berdebar rasa hati Esma. Kaki baru sahaja melangkah keluar dari bilik Encik Wazir. Terus di raba poket seluar yang dipakainya. Telefon bimbit dikeluarkan. Sekali lagi pesanan dari nombor yang tidak dikenali.

🐔🐔🐔

Ayam lagi!.


**********


Wajah abang Hairi tersenyum menyambut kepulangan Esma. Adik bongsunya yang sudah masuk dua puluh lima tahun itu dipandangnya. Entah bilalah dia mahu mendapat adik ipar paling bongsu agaknya.

“Mana kuih balung ayam yang Esma janjikan tu?.” Soalan yang menambah tekanan Esma. Esma diam. Malas mahu melayan abangnya. Helmet hijau diletakkan di atas meja. Masuk sahaja ke dalam rumah, wajah Kak Lin pula kelihatan. Kandungannya baru mencecah dua bulan.

“Ada tak kuih untuk akak?.” Wajah penuh mengharap. Esma jatuh kasihan melihat.

“Maaf kak. Kawan Esma cuti seminggu. Ada hal kecemasan di Kelantan. Lepastu dia kena outstation lagi seminggu.” Kak Lin usap perut. Wajahnya yang sedikit ceria bertukar keruh.

“Oh. Tak apalah. Bukan rezeki Kak Lin barangkali.”

Esma menjadi serba-salah. Jika kakak iparnya tidak dapat kuih balung ayam itu bermakna secara automatiknya dia terpaksa menerima lamaran dari Ikmal. Aduh! Berat sungguh dugaan.

Esma pandang telefon bimbitnya lama. Siapa yang sudi berbual dengannya malam-malam begini?. Sudah ke angka sebelas malam. Mata masih tidak mampu lelap. Pesanan terakhir di terimanya tiga jam yang lalu. Itupun hanya ikon ayam. Sudah dua hari nombor tidak dikenali itu menjadi penghuni setia telefon bimbitnya selain dari nombor Ikmal, kawan abangnya.

Esma terus menghantar pesanan pada nombor tersebut. Nampaknya mendapat reaksi positif. Tetapi, si penghantar hanya menghantar balasan ikon ayam sahaja. Cakaplah apa sekalipun, hanya ikon ayam sahaja yang tertera sebagai balasan.

‘Seronok juga,’ desis hati kecilnya.


**********


“Cik Esma. Ada barang untuk cik.” Seorang gadis ayu datang bersama bekas makanan berwarna hijau dan juga kertas di tangan.

‘Siapa pula yang hantar?.’ Esma terdiam. Bekas makanan berwarna hijau beserta pelekat gambar ayam di pandang. Dia membuka bekas tersebut.

Mahu sahaja dia menjerit gembira. Syukurnya tidak terkira. Kuih balung ayam isinya. Sudah terbayang di ruang mata wajah Kak Lin yang sedang berbadan dua itu tersenyum meleret nanti. Tapi…

Esma rasa ragu-ragu. Pengirim tanpa nama. Hanya ayat ringkas di atas sekeping kad.

Salam kenal.

Jangan-jangan ada racun kut.

Ehh… Tak mungkinlah.

Pengirim tanpa nama. Bukannya boleh percaya. Manalah tahu ada ubat guna-guna ke?.


Perasaannya berperang sesama sendiri. Gembiranya hanya sekejap. Hatinya berbolak balik. Patutkah dia berikan pada Kak Lin kuih ini sedangkan dia sendiri tidak tahu siapa pengirimnya. Akhirnya kuih tersebut diberikan kepada kawan sekerja sahaja.


Masuk hari ini sudah hari ke lapan dia menerima bekas makanan yang sama dengan pesanan yang semakin mencuit hati dan setiap penghantaran pasti ada pelekat gambar ayam.

‘Untuk si cantik manis bermata besar.’

Bagaimana si penghantar boleh tahu dia memiliki sepasang mata yang agak besar?. Takut pun ada juga. Dah macam ada stalker pula rasanya.

“Esma, bawak bekal ke?.” Encik Wazir yang lalu di hadapan Esma menyoal.

“Errr… Errr… Kuih. Encik nak?. Bolehlah ambil satu,” ujar Esma seraya menghulurkan bekas berwarna hijau beserta isinya. Encik Wazir mencapai sekeping dan disua ke mulutnya. Kad kecik di angkat Encik Wazir. Dia membacanya kemudian memandang Esma.

Encik Wazir tersenyum sambil membacakan isi kad tersebut. “Untuk si cantik manis bermata besar.”

Mata Esma memandang Encik Wazir yang rendang. Buat pertama kalinya Lee Min Hoo versi melayu ini tersenyum. Walaupun kurang ketinggian tetapi cukup menarik.

Kalau dia mati macamana?. Kau kena bertanggungjawab ni Esma.

Suara nakal itu muncul lagi. Esma jadi serba salah. Cepat-cepat bekas di tutupnya.

“Kenapa?.” Encik Wazir baru berhasrat mahu mengambil lagi sekeping.

“Err… satu cukuplah encik. Yang lain pun nak merasa juga.” Esma mengutuk dirinya sendiri. Dia tidak sepatutnya berlaku seperti orang kedekut. Tapi dia sendiri tidak tahu siapa pengirimnya.

“Ok.” Encik Wazir berlalu.

Tidak sampai satu jam, Esma mencuri pandang bilik Encik Wazir. Risau juga dia kalau tiba-tiba Encik Wazir pengsan dengan mulut berbuih disebabkan kuih yang di beri. Manalah tahu kan. Dia melihat Encik Wazir masih segar bugar lagi. Sepanjang hari ini matanya sentiasa mengawasi Encik Wazir. Semuanya gara-gara kuih balung ayam.

Bagus juga eksperimen ni.


**********


🐔🐔🐔

‘Ayam lagi!.’ Esma sudah tidak tahu mahu cakap apa. Setiap hari dia menerima ikon yang sama. Kalau dia menghantar pesanan dengan bertayakan khabar atau bercerita apa sahaja, tiada balasan lain. Hanya ikon ayam sahaja. Setiap hari Abang Hairi mengingatkan dia tentang Ikmal. Setiap hari jugalah Ikmal menghubunginya. Rimas dibuatnya. Banyak kerja dia tidak dapat fokus kerana hal yang sedemikian. Kalau dia punyai kuasa sakti, sudah tentu semuanya mudah sahaja.

“Cik Esma. Barang untuk cik.” Si penghantar kuih datang lagi. Esma melihat pelekat yang ditampal. Sudah ada sepuluh semuanya. Ini bermaksud sudah sepuluh hari berturut-turut si penghantar misteri menghantar kuih. Selama sepuluh hari jugalah Esma membuat eksperimen. Tidak ada siapa pun yang sakit perut, muntah-muntah, cirit-birit mahupun pengsan. Sah! Kuih ini selamat untuk di makan.

“Cik, kad untuk cik.” Kad kecil di hulur berasingan. Esma hanya ambil dan buka.

‘Senyum kamu bisa buat jantung berdebar’.

Esma toleh kiri dan kanan. Bagaikan ada mata yang memerhatikannya. Iskhhh… Esma semakin keliru.

“Esma, harini ada kuih untuk saya tak?.” Encik Wazir muncul lagi. Setelah beberapa hari dia disuakan dengan kuih balung ayam, dia pula menjadi peminat setia meja Esma.

“Ada. Encik nak ke?.” Esma tidak ragu-ragu lagi. Dia tahu si penghantar memang budiman. Tidak ada racun mahupun barang-barang terlarang. Semalam dia sendiri mencuba untuk makan. Sehingga hari ini fikirannya waras lagi. Tidak pula teringat kepada mana-mana lelaki kecuali Abang Hairi. Ya, Abang Hairi yang setiap hari mengingatkan dia tentang kuih balung ayam.

Petang itu Esma nekad. Dia mahu bawa pulang kuih balung ayam itu untuk di berikan kepada kakak iparnya, Kak Lin. Kepada penghatar whatsapps misteri diceritakan kisah itu. Sekurang-kurangnya dia ada tempat untuk bercerita walaupun dia tahu dia hanya menerima balasan ikon ayam sahaja.

Belum lagi waktu tengahari, Esma buka kembali bekas kuih. Terbeliak biji matanya. Kuihnya habis. Alahai… bagaimana mahu dia bawakan untuk kakak iparnya?. Encik Wazir baru berlalu dengan membawa sekeping lagi kuih tersebut.

‘Takkan nak minta balik?,’ desis hari kecilnya.

Siapa lagi tempat dia mengadu kalau bukan pada si penghantar whatsapps misteri dengan ikon ayam. Risau juga Esma kalau esok dia tidak menerima lagi kuih tersebut. Mana lagi mahu dia cari. Sedangkan masa sudah suntuk.


**********


Esma gigit jari. Sudah dua hari dia tidak menerima kuih di dalam bekas hijau. Apa sudah jadi?. Siapa punya angkara. Setelah dia menghitung, menimbal balik segala persoalan dan persamaan yang berlaku akhirnya hanya ada satu nama sahaja yang muncul dalam kepalanya. Ya, tentulah Ikmal. Ikmal sahaja yang tahu tentang kuih balung ayam. Petang itu dia merancang mahu bersua muka dengan Ikmal. Mahu buat perhitungan akhir kononnya. Siapa lagi kalau bukan Abang Hairi memberitahu Ikmal apa yang sedang berlaku. Ini tidak boleh jadi!.

Mereka berdua membuat satu temujanji. Masing-masing bersetuju untuk berjumpa. Kuih balung ayam punya pasal, Esma terpaksa akur dengan permintaan Ikmal untuk makan malam. Dari jauh Ikmal sudah sedia menunggu. Sebuah meja yang dihiasi dengan lilin merah jambu, di situlah Ikmal sedang menanti. Senyum meleret di bibir Ikmal sedikitpun tidak menghairankan Esma. Rambutnya yang kerinting disisir kemas. Itu pun tidak menjadi perhatian Esma.

“Lama tunggu?.” Esma bersahaja. Dia sengaja datang lewat 30 minit untuk temujanji itu.

“Lama juga.” Ikmal memuji kecantikan Esma. Adik kepada kawan baiknya itu memang menjadi pujaan hatinya sejak setahun yang lalu. Cuma dia tidak berani menyuarakan hasrat di hati.

“So?. Sekarang ni cuba beritahu apa alasan U hantar kuih pada I setiap hari dengan satu nota?.” Esma terus sahaja menyuarakan apa yang hendak dibincangkannya.

Dahi Ikmal berkerut. Esma mencebik. ‘Kura-kura dalam perahu. Pura-pura tak tahulah tu.’

“Kuih?. Nota?. Apa ni?. I tak faham.” Ikmal sudah tidak senang dengan apa yang dikatakan oleh Esma. Kalau dia yang menghantar semua barang itu tentulah dia boleh mengaku. Tapi dia langsung tidak tahu menahu akan hal itu.


Esma berjalan mundar-mandir dalam biliknya. Kepalanya ligat memikirkan siapa gerangan si penghantar kuih. Mujur Ikmal bukan orangnya. Kalau Ikmal mengaku dialah yang menghantar, bermaksud dia terpaksa meminta Ikmal menghantar kuih itu lagi esok hari. Tapi, jika difikirkan sekali lagi, takkanlah Ikmal mahu mengaku. Pasti Abang Hairi sudah memaklumkan tentang pertaruhan itu. Pening Esma dibuatnya.

**********


Semenjak Esma selalu memberikan Encik Wazir kuih balung ayam, lelaki itu rajin bertandang di meja Esma. Wajahnya tidak tegang seperti selalu. Sebaliknya senyuman sentiasa terukir di bibir.

“Esma, muka awak nampak macam ada yang tak kena aje. Kenapa?,” soal Encik Wazir bila melihat Esma asyik merenung telefon bimbit. Bagaikan ada sesuatu yang sedang bersarang di fikirannya.

“Tak ada apalah encik.”

“Kalau ada masalah di rumah jangan bawa ke pejabat. Saya bukan bayar gaji pekerja untuk bersedih. Senyum sikit.” Esma paksa diri untuk tersenyum.

Fail merah di letakkan atas meja Esma. Sedikit tersentak Esma. Jarang sekali Encik Wazir mengembalikan fail itu sendiri.

“Jawab segera.” Encik Wazir terus berlalu. Esma membuka fail dengan lemah. Mood untuk bekerja sudah menipis. Apa tidaknya, hari ini merupakan hari terakhir peluang yang abangnya berikan. Di rumah seluruh ahli keluarga sibuk bercerita tentang lamaran yang bakal datang. Masing-masing sudah tidak sabar. Sebelum jam dua belas tengah malam nanti jika Esma tidak dapat membawakan kuih balung ayam sepertimana dijanjikan, secara automatiknya lamaran dari Ikmal akan diterima oleh keluarga Esma. Esma pening kepala. Pandang rambut meggi si Ikmal sekejap pun dia sudah rasa mual, inikan pula mahu pandang wajah lelaki itu seumur hidup.


Eeiii… Choiii!!!


Fail merah di buka. Dia mahu memeriksa surat yang perlu dijawab. Encik Wazir pesan segera. Maknanya dia perlu beri mengembalikan fail dengan kadar segera.


🐔 🐔 🐔

Hah???. Apakah???

Buntang mata Esma bila fail dibuka. Matanya yang sedia besar bertambah besar seraya memandang helaian di hadapan mata. Degup jantung bagaikan sudah tiada iramanya. Kembang kempis hidungnya mencari oksigen. Bagaikan hamparan karpet merah menuju terus ke dasar hatinya. Terlalu dalam. Esma tersenyum bahagia. Terus helaian ke dua di selak. Kesemua pelekat gambar ayam selama sepuluh hari terlekat di situ. Bertambah-tambahlah geram Esma. Pandai sungguh lelaki itu berpura-pura selama ini.


‘Kau memang ayam giler!’.


“Encik Wazir… Apa yang perlu saya jawab?.” Esma memberanikan diri membawa kembali fail yang di letak atas mejanya. Helaian ikon ayam itu diletakkan paling atas.

Lelaki itu tersenyum untuk sekian kalinya. Laci paling atas di tarik.

“Saya perlukan jawapan untuk ini.” Sebentuk cincin dikeluarkan. Bekas makanan berwarna hijau penuh pelekat gambar ayam juga di letak atas meja. Esma jadi tidak keruan. Dia ketap bibir. Wajah mula merona merah. Lelaki kurang ketinggian di hadapan mata ini serius benarkah dengannya?. Dia tidak mampu berfikir. Tiada jawapan dapat diberikan. Buntu!.


‘Benarkah?. Benarkah?,’ soalan itu yang menerjah benaknya sejak dari siang tadi. Esma jalan mundar-mandir di dalam biliknya. Dia tidak tahu adakah apa yang dilakukannya ini betul atau tidak.

Baru sebentar tadi whatsapps ikon ayam diterimanya.

Pantas Esma balas.


‘Kau Ayam Giler!’

Tak sampai seminit, balasan ikon ayam lagi diterima. Wajah Esma menguntum senyum.


“Esma… .” Wajah Kak Lin di muncul di hadapan pintu bilik. Kak Lin tersenyum bahagia. Dia membawa bersama bekas kuih berwarna hijau.

“Terima kasih.” Adik iparnya di peluk erat.

“Untuk akak… apa aje Esma akan tunaikan.”

“Ikhlas ni?.”

Esma angguk.

“Jom turun. Wazir Danial dan keluarganya dah sampai.”

Esam pejam mata. Bahagia. Tak sangka, jodohnya dengan si pemilik ikon ayam. Malam itu juga sebelum jam dua belas tengah malam mereka menerima rombongan dari pihak lelaki.

Wazir Danial dan Esma saling berbalas senyuman. Dalam hati terasa putik cinta sedang mahu mekar.

Satu kenyitan dihadiahkan untuk Esma. Esma senyum lagi. Dalam hati berdoa agar hubungan mereka kekal hingga ke jannah.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.