Home Cerpen Keluarga Sambal Belacan Epal Hijau
Sambal Belacan Epal Hijau
SRI WAHYUNI
1/7/2016 00:28:02
2,071
Kategori: Cerpen
Genre: Keluarga

SAMBAL BELACAN EPAL HIJAU

Diilhamkan oleh : Sri Wahyuni


Lain benar masakan Mak Eton malam ini. Sudah dua kali dia menambah nasi ke dalam pinggan. Seingatnya, tidak pernah lagi Mak Ton buat sambal belacan epal seumpama ini.

“Raif suka ya sambal ni?.” Tersenyum Mak Ton melihat Raif. Raif sudah di anggap seperti anak sendiri. Pada awalnya dahulu Raif malu dengan pelawaan Mak Ton tetapi lama-kelamaan mereka bagaikan satu keluarga.

“Dah lama saya tak makan sambal belacan epal hijau. Sedap.” Terbayang wajah Puan Raina yang membuat sambal sesedap ini. Rasanya saling tak tumpah.

“Kalau sedap makan ajelah,” sampuk Pak Luqman suami Mak Ton seraya menambah nasi ke dalam pinggan juga.

“Sambal ni Mak Ton yang buat ke?.” Sambal yang dikategorikan cukup rasa manis, pedas dan masam itu benar-benar memikat selera.

“Tidaklah. Tasya yang buat. Dia memang pandai buat sambal epal ni. Ramai yang puji. Semua cakap sedap.” Kembang rasa Mak Ton bila anak saudaranya mendapat pujian lagi.

Raif rasa mahu tersedak bila nama Tasya disebut. Cepat-cepat gelas berisi air di sisipkan ke bibir. Sudah hampir dua tahun dia menyulam kasih bersama Tasya. Gadis yang serba sempurna pada pandangan mata. Bukan sahaja sempurna pada pandangan mata rupanya, pandai memasak juga.

“Sebut pasal Tasya, bila Raif nak masuk meminang anak saudara Mak Eton tu?. Dah lama kamu berkawan dengan dia.” Jujur sungguh ayat Mak Eton malam itu. Raif hanya mampu tersenyum. Jika sebentar tadi dia rasa mahu tersedak, sekarang rasa mahu tercekik pula.

“Tahun ni kamu balik kampung?.” Kerlingan Pak Luqman bagaikan dapat membaca isi hati Raif. Raif tersentak. Selera makannya mati tiba-tiba.

“Beginilah Raif, Mak Eton rasa elok Raif bincang dengan keluarga. Hantar rombongan meminang Tasya. Jangan lambat-lambat, bulan depan dah masuk Ramadhan.”


**********


Raif memandang kalendar yang berada di sudut meja. Mulai esok umat Islam akan menjalani ibadah puasa. Banyak meja mulai kosong kerana ramai yang sudah mula bercuti. Nafas dihela berat. Panggilan telefon dari Puan Raina pagi tadi benar-benar menambah rindu terhadap orang tuanya. Sudah tiga tahun dia tidak pernah menjejakkan kaki ke kampung halaman. Entah mengapa hari ini hati di buai resah. Gundah gelana. Kali ini perasaan itu datang lagi.

“Yang sudah tu sudahlah Raif. Tak perlu diingatkan lagi. Tak kesiankan mak dengan ayah ke?.”

“Selagi Abang Azad ada kat sana, Raif tak boleh baliklah mak. Apa kata tahun ni mak pulak beraya kat bandar dengan Raif?.” Wajah Abang Azad terlayar di minda. Betapa bencinya dia pada lelaki itu. Sakit hati masih terasa sehingga kini. Kerana lelaki itulah dia menderita dan membawa diri. Terasing dari kasih sayang orang tua.

“Kalau mak dengan ayah pergi rumah kamu, siapa nak tengok-tengokkan ayam itik?. Hah! Choky ni macamana pulak?. Tak kisahlah siapa salah dan siapa yang betul. Dua-dua anak mak. Jangan kisahkan Abang Azad. Dia dah bahagia dengan hidup dia. Jangan simpan dendam. Raif tu… .”

Cepat-cepat cakap Puan Raina di potong. “Mak… macamana Raif nak cakap lagi. Raif ni tak boleh jumpa Abang Azad. Setiap kali Raif jumpa dia, Raif rasa macam tumbuk aje muka dia. Mak nak tengok ke anak mak bergaduh depan mak?. Depan ayah?.”

Terdengar Puan Raina beristighfar di hujung talian. Tak tahu apa lagi yang boleh memujuk anaknya untuk pulang.

“Jangan sesekali menyimpan dendam Raif. Yang sudah tu sudahlah. Esok dah masuk Ramadhan. Raif tak teringin ke nak berbuka puasa sama-sama macam dulu?. Mak ni bukan apa, teringin sangat tengok anak-anak mak berkumpul masa bulan puasa ni. Duduk semeja makan sama-sama. Eratkan silaturrahim di bulan mulia ni. Kan elok macam tu.”

Alahai… Bila Puan Raina sudah mula mengulit kenangan mulalah air mata mula nak bertakung. Tidak tertahan rasanya dengan rindu yang bertandang.

“Mak. Kawan Raif dah panggil Raif tu mak. Harini Raif tumpang dia pergi kerja. Mak jaga diri, kirim salam ayah dengan adik-adik ya mak. Sampaikan salam assalamualaikum Raif pada mereka. Lagi satu mak, tolong jagakan Choky Raif ya mak. Assalamualaikum mak,” kata-kata klise di tuturkan sekali lagi. Sebak sungguh bila bercakap dengan Puan Raina. Suara Puan Raina yang memanggil nama Raif berulang kali di talian tidak dihiraukan.

Ampunkan Raif mak. Raif belum bersedia maafkan Abang Azad. Telefon bimbit di bawa dalam dakapan. Moga-moga terlerai kerinduan. Mata mulai berkaca.


Usai solat tarawikh di masjid berhampiran, telefon bimbit Raif berbunyi berkali-kali. Gambar-gambar lama sewaktu mereka kecil dan gambar mereka sekeluarga berkumpul untuk berbuka puasa memenuhi ruang telefon bimbit. Satu persatu gambar yang dihantar dibelek. Gambar mereka semua berbuka puasa di kampung. Penuh meja dengan juadah masakan Puan Raina. Hati bertambah sayu bila melihat gambar mereka empat beradik. Masing-masing tersenyum nakal sambil membuat gaya yang tersendiri. Gambar yang sudah kekuningan dek kerana merentasi masa cukup menggamit jiwa. Skrin telefon di usap perlahan. Puan Raina sudah main perang psycology. Cepat-cepat di balas pesanan emaknya.

‘Siapa tu sebelah Hanez?.’ Gambar yang hanya nampak sebahagian sahaja menjadi tanda tanya.

‘Anak sedara Pak Mael. Dia selalu datang belajar masak dengan mak.’

‘Choky mana mak?. Makin nakal tak dia?.’

‘Nah Choky kamu 🐈🐈🐈. Dari dulu Choky ni nakal. Kamu aje yang tak percaya.’

Raif tersenyum. Nampaknya Puan Raina sudah pandai menggunakan ikon pula pada aplikasi whatssapps. Semalam menggunakan pesanan suara. Sejak dua tiga menjak ni laju sahaja menghantar pesanan. Ada kemajuan nampaknya. Tak sia-sia dia mengirimkan wang pada Hanez untuk membelikan emak dan ayahnya telefon bimbit.

‘Kerusi sebelah mak tu kosong. Untuk siapa?.’

‘Sengaja mak kosongkan. Tak beri sesiapapun usik. Untuk Raif.’

Jari-jemari terhenti dari terus menaip. Bagaikan ada litar pintas berlaku di minda. Terkedu seketika. Tanpa salam, terus sahaja menyepikan diri.


‘Raif balik ya, kita sambut Ramadhan macam dulu. Mak dengan ayah tunggu Raif tau.’


Pesanan suara itu diulang berkali-kali. Suara emak tetap macam dulu. Wajah mereka sekeluarga menjadi penghias dinding telefon bimbit dikucup perlahan. Air mata menitis laju. Mindanya sarat dengan kenangan. Kenangan yang tidak mampu di ubah sampai bila-bila.

‘Raif rindu mak! Raif rindu ayah! Raif rindu semua. Ampunkan Raif mak! Ayah!.’ Hati meronta-ronta mahu bersama mereka semua. Andai dia punya mesin masa, ingin sekali dia terbang kembali ke zaman lalu. Zaman yang membawa seribu kebahagiaan.

Tiba-tiba sahaja nalurinya bersuara mengasak supaya kembali bertemu dengan keluarga.


**********

Tasya sudah tidak senang duduk. Dia perlu bertemu Raif segera. Kata-kata ayah bukan olok-olok. Kalau lambat bertindak, habislah dia. Dari jauh sudah kelihatan Raif datang dengan jaket birunya.

“Apa yang penting sangat sampaikan tak boleh tunggu sampai esok ni?.”

Wajah Tasya cemas.

“Ayah… .” Raif menanti dengan sabar walhal hatinya sudah merasakan sesuatu yang tidak enak.

“Ayah… Ayah Tasya… .”

“Iya. Raif tahulah ayah Tasya. Kenapa?.”

“Ayah Tasya beritahu kalau dalam tempoh sebulan ni Raif tak hantar rombongan meminang, ayah nak tunangkan Tasya dengan anak kawan dia.”

Terbeliak mata Raif. Masakan dia mahu melihat gadis impiannya senang-senang sahaja disambar orang lain.

“Esok Raif jumpa keluarga Tasyalah. Raif sendiri pergi meminang.” Boleh jadi sawan kalau Tasya kahwin dengan orang lain. Tasyalah banyak membimbing dia dalam banyak hal.

“Jangan buat gila!. Rombongan merisik mestilah dari keluarga.”

Kata-kata Tasya bagaikan mengejutkan dia dari lena yang panjang betapa pentingnya keluarga.

‘Ini tak boleh jadi!.’


Semalaman dia memikirkan perihal Tasya. Buntu!.

Perasaan berbolak-balik. Mahu beritahu keluarga di kampung untuk meminang, seeloknya dia berdepan dengan emak dan ayah untuk berbincang. Ini bermaksud, Raif perlu pulang. Kalau dia pulang ke kampung menemui emak dan ayah, pasti akan berhadapan dengan Abang Azad. Masalah lagi!.

Jika diwakilkan dengan kawan-kawan, seperti orang tidak punyai keluarga dan adab pula. Soal merisik dan meminang soal keluarga. Baik atau buruk, keluargalah orang yang paling berhak. Takkanlah dia sendiri mahu pergi untuk merisik Tasya?. Apa pula orang tua Tasya akan cakap?. Serabut kepala memikirkan soal Tasya. Tambahan pula baru beberapa hari dia mendapat satu lagi keistimewaan Tasya. Ya!. Sambal belacan epal hijau. Tak ramai yang tahu resepi itu.

Jika dibiarkan, bermaksud Tasya akan jadi milik orang lain. Tak sanggup dia kehilangan Tasya yang mempunyai sepasang mata bundar berwarna coklat. Semuanya serba tak kena. Akhirnya dia terlena dengan kecelaruan di kepala.


**********


Rumah limas yang tegap berdiri kini di hadapan mata. Raif sedang berdiri di hadapannya. Bagaikan mimpi menaiki mesin masa kembali ke zaman silam!.

Keadaan agak sepi. Semua tidak ada barangkali. Mata meliar memandang sekitar rumah. Masih nampak sama cuma ada taman orkid di satu sudut. Nampak cantik dengan warna-warna orkid yang berbunga. Pasti hobi baru emak. Raif tersenyum sendiri melihat perubahan yang ada. Beg galas yang di bawa di letakkan atas anak tangga.

“Assalamualaikum.”

Satu suara lunak memberi salam. Dia menoleh ke belakang. Seorang gadis sedang tersenyum memandang Raif. Siapa pula ni?. Setahu Raif, adik bungsunya perempuan. Tetapi rupa paras Hanez bukanlah seperti yang berada di hadapan mata sekarang ini.

“Cari siapa?.” Gadis itu bersuara setelah melihat Raif yang tidak berkutik langsung. Bagaikan terlihat hantu. Tapi di bulan Ramadhan bukankah semua hantu dan syaitan sudah diikat?.

“Err… cari… cari… .” Raif sudah menggelabah.

“Cari Makcik Ina ke?,” soal gadis itu lagi.

Raif angguk laju-laju. Tak ubah seperti robot yang di tekan punat untuk mengangguk.

“Ada tu kat belakang. Sekejap saya panggilkan.”

Terkebil-kebil mata Raif sambil memerhatikan gadis itu berlalu ke bahagian belakang rumah.

Raif termanggu-manggu. Kenapa perlu guna khidmat orang lain sedangkan ini adalah rumahnya juga?. Telapak tangan di usap ke leher. Terasa lenguh setelah melalui satu perjalanan yang jauh. Hati rasa libang-libu. Berdetak hati menanti wajah ibu tercinta datang menyapa.


**********

Kedua belah tapak tangan di angkat separas bahu bila sahaja melihat Raif yang berdiri di hadapan mata. Air mata terus mengalir. ‘Syukur padaMu Ya Allah. Memakbulkan doa hambamu.’ Anak yang sentiasa di rindui sekian lama muncul dengan tiba-tiba.

“Ampunkan Raif mak.” Raif kalah dengan perasaan sendiri. Biarpun selama ini beribu alasan diberikan, tapi ternyata Puan Raina adalah kekuatan dia. Raif sudah terduduk di hadapan emaknya. Tiga tahun dia melarikan diri, membawa diri dan hati yang lara. Hari ini dia sudah tidak peduli itu semua. Biarkanlah….


“Abang… Abang… Abang… Bangunlah.”

Suara Hanez kedengaran sambil badan terasa digoyang-goyang. Baru sahaja mahu bermimpi mendapat puteri raja. Hanez sudah menganggu tidur pula.

“Dah nak buka ke?.” Kelat rasa mata. Perasaan mengantuk masih ada. Terpisat-pisat Raif.

“Belum. Mak pesan ni. Tak elok tidur lepas Asar. Abang dah solat ke belum?.”

“Dah.”

“Kita pergi memancing nak tak bang?. Lama dah tak mancing dengan abang ni.”

Raif garu kepala. Sejak bila agaknya adik bongsunya yang sudah menginjak remaja ini suka memancing?. Setahunya Naufal sahaja yang suka memancing dalam keluarga. Ayah jauh sekali.

“Bolehlah bang. Teman Hanez.”

Geleng tidak, angguk pun tidak. Raif sekadar memejam celikkan mata. Hanez semakin di layan semakin banyak pula karenahnya nanti.

“Abang!. Cepatlah!.”

Raif menguap lagi. Langsung tidak menghiraukan adiknya. Di tepuk-tepuk bantal dan terus melentokkan kepala sekali lagi. Sebiji lagi bantal di tekup ke teliga. Malas mahu melayan Hanez. Hanez merengus geram!. Baru nak bermanja dengan Raif. Abangnya buat endah tak endah sahaja. Hanez hilang dari bilik. Sayup-sayup kedengaran suara Naufal, adik lelakinya. Bantal di campak ke tepi. Dia mahu berjumpa Naufal.


Bau masakan Puan Raina membuatkan perut yang sedia lapar semakin berkeroncong. Raif sudah sedia dengan baju melayu dan kain pelikat. Sejak petang tadi dia masih belum bertemu dengan Abang Azad. Suara anak-anak Abang Azad sudah mengisi ruang dapur. Sesekali telinga dapat menangkap suara Abang Azad dan isterinya. Masing-masing sedang sibuk membantu Puan Raina menyediakan juadah untuk berbuka.


Raif berdiri di hadapan cermin. Memerhati susuk tubuhnya serta rambut yang telah di sikat rapi. Nampak elok sahaja. Tidak ada kurangnya. Berulang kali doa di utus agar dia diberikan kekuatan bertemu dengan orang-orang yang tersayang. Bukankah doa saat hampir waktu berbuka itu selalunya mustajab?. Dia perlu mengorak langkah.

“Assalamualaikum… .”

Sunyi. Puan Raina dan Haji Kamal saling berpandangan. Masing-masing menunggu reaksi anak-anak yang sudah mengambil tempat untuk berbuka.

Semua mata tertumpu pada Raif. Tidak tahu senyuman yang dilemparkan itu samada semanis gula, kelat ataupun tawar. Dada berdegup kencang. Gugup!

“Fawazz… Raini… Salam Pak Ngah.” Abang Azad mengarahkan anaknya. Anak kecil itu menurut tanpa banyak soal. Kemudian diikuti dengan Kak Fatin. Akhir sekali, mata bertentang dengan Abang Azad. Bebola mata tidak dapat lepas dari memandang susuk tubuh yang kelihatan sedikit berisi berbanding dahulu. Empangan di tubir mata boleh pecah bila-bila masa sahaja. Sayu!

“Abang… Ampunkan Raif bang. Raif banyak dosa dengan abang.” Tangan yang di hulur Abang Azad di rentap dan tubuh kurus Azad dirangkul erat. Air mata bercucuran. Pelukan erat dua beradik itu bagaikan sudah meleraikan segala kekusutan. Tidak ada jawapan siapa salah dan siapa betul.

“Abang pun nak minta maaf. Kalau abang ada di tempat Raif sekalipun abang akan berperasaan yang sama.

“Raif yang salah bang, Raif tak mahu dengar penjelasan mak. Raif yang ego.” Masa lalu tak mungkin dapat diundur. Hanya kerana surat tawaran bekerja di salah sebuah syarikat besar dengan jawatan tinggi membuatkan mereka bergaduh. Raif membuat keputusan terburu-buru dengan menuduh Azad cemburukan dia lantas menyorokkan surat tersebut. Mereka bergaduh besar bila surat ditemui setelah tarikh lapor diri tamat. Hakikatnya, baru siang tadi dia benar-benar mendengar penjelasan dari Puan Raina. Choky, kucing kesayangannya punya angkara. Membawa surat tawaran tersebut dan terselit di bawah sofa. Dendam yang tersimpan bertahun lama bagaikan hilang begitu sahaja.

Puan Raina dan Haji Kamal tersenyum gembira melihat anak-anak mereka. Tidak ada perkataan yang mampu terzahir lagi. Hanya airmata gembira mengiringi berserta ucapan syukur yang tidak terhingga. Ramadhan kali ini benar-benar bermakna buat mereka berdua.


“Assalamualaikum… .”

Gadis manis itu muncul lagi. Bersama bekas makanan di tangan. Semua mata beralih pandang. Wajah putih bersih kini merona merah. Malu bila semua mata tertumpu padanya. Apa yang sudah berlaku?. Suara azan berkumandang mengembalikan keriuhan di ruang dapur. Sesekali Raif mencuri pandang si gadis manis. Siapakah dia?.

“Ehemmm!!!.” Deheman kuat dari Naufal membawa Raif kembali dengan juadah berbuka puasa.


**********

Sudah dua hari Raif berada di kampung. Puan Raina bergegas ke ruang dapur sambil menyimpul rambut. Dia yang baru sahaja melipat telekung terus mendapatkan Raif yang menjerit seperti terlihatkan jembalang tanah.

“Kenapa ni Raif? Leysa?.”

Di hadapan dapur, Raif berdiri dan terketar memegang pinggan yang menutup separuh wajahnya. Carleysa pula memegang senduk. Wajahnya merah padam.

“Makkk… Kenapa dia ni ada kat sini?.”

‘Dah tak ada rumah agaknya,’ gerutu Raif. Perut yang terasa lapar membawa dia terus ke dapur setelah solat tarawikh tadi. Abang, adik dan ayahnya masih bersembang di masjid lagi.

Puan Raina tertawa. Ini pasti insiden terkejutlah ni. Lagipun Raif bukan kenal siapa Carleysa dan kenapa dia ada di situ.

“Apa yang kecoh ni Ina?. Sampai depan dengar kamu ketawa,” Haji Kamal menyapa. Muncung bibir Puan Raina ditujukan kepada dua insan laksana patung cendana. Molek sangatlah tu. Dah macam aksi dalam lawan pedang di medan perang. Haji Kamal tersengih.

“Yang kamu berdua ni kenapa pulak?. Tengah berlatih pedang ke?.” Carleysa menarik semula senduk yang hampir mengenai Raif.

“Tak ada apa pakcik. Tiba-tiba aje dia ni masuk dapur. Terkejutlah saya.”

“E’eh… Yang awak tu tercegat depan dapur rumah orang malam-malam buta ni buat apa pulak?. Suka hati kitalah nak buat apa kat dapur rumah kita.” Sengaja menjeling Carleysa. Gadis itu membalas. ‘Boleh tahan tajam jelingan dia.’

“Hishh… Tak eloklah macamtu. Orang-orang tua kata kalau bergaduh ni ada jodoh.” Puan Raina tersengih. Memerhati reaksi keduanya yang saling berbalah.

“Eh mak ni. Mana ada kitaorang gaduh kan… .” Serta-merta isyarat mata di hantar pada Carleysa. Mohon berdamai kononnya.

“Iyalah makcik, pakcik. Kitaorang okey aje. Lagipun Leysa dah ada pakwe. Takkan nak tersangkut pulak dengan Raif ni.”

Raif terkedu. Dah ada pakwe pulak. Melepaslah jawabnya. Kemudian dia kembali teringatkan Tasya. Inilah perkara yang perlu dibincangkan dengan keluarga sebenarnya.

“Dah sudah. Tak payah berbalah. Ayah pun nak makan ni. Raif! Ke mari kamu. Duduk sebelah ayah. Leysa, tolong ambilkan lauk yang kamu dah panaskan tu. Siapa nak makan, mari makan sama-sama.”

Sebal sahaja wajah Raif. Ada ke patut ayah menyebelahi Carleysa. Tak kasi can langsung pada anak. Hati yang menggerutu tidak puas hati tiba-tiba menjadi riang. Sambal belacan epal hijau ada di bawah tudung saji. Alahai… Hati semakin berbunga riang.


**********

Wajah Puan Raina dan Haji Kamal silih berganti dipandang. Tak mampu untuk Raif terjemahkan apa perasaan mereka berdua ketika itu. Yang pasti, terkejut.

“Kamu yakin keputusan kamu ni Raif?. Dah fikir masak-masak?. Wang hantaran yang diminta RM10,000.00. Dah cukup ke?,” akhirnya Haji Kamal bersuara. Mahukan kepastian.

“Ada ayah. Semua dah cukup.”

“Kalau semua dah cukup, tak perlu bertunanglah. Terus nikah aje.” Haji Kamal yang serius pada mulanya sudah mula mengukir senyum. Giliran Raif yang terkejut. Sebenarnya dia tidak tahu apa yang ayah dan emaknya bincangkan sewaktu mereka pergi merisik tadi.

“Kenapa?. Tak mahu?.” Puan Raina bersuara.

Raif angguk. Kemudian geleng. Bila pandang wajah ayah dan emaknya dia angguk semuala. Entahlah, dah tak betul kut.

“Raif… Emak baru tanya kamu dah menggelabah. Macamanalah nak salam tok kadi lepas raya nanti?.”

Sekali lagi Raif terkejut. Lepas raya?. Cepatnya. Tapi dalam hati melonjak gembira.

“Sebulan lepas raya, Raif akan menikah dengan Tasya dan Naufal akan bernikah dengan Carleysa. Tahun depan, mak dengan ayah nak tambah cucu. Ini keputusan ayah. Muktamad!.” Haji Kamal tersenyum lebar. Dalam pada terkejut dengan keputusan rombongan merisik Tasya, Raif mendapat jawapan siapa Carleysa sebenarnya. Patutlah Naufal selalu berikan jelingan tajam bila selalu menegur Carleysa.

Raif berdiri melihat kebesaran Ilahi. Burung-burung berkicau terbang berkawan kembali ke sarang. Mentari mula melabuhkan tirai. Hanya beberapa minit sahaja lagi azan Maghrib bakal berkumandang. Manisnya Ramadhan kali ini. Membawa banyak kebahagiaan dalam hidupnya.

Choky muncul sambil mengesel-geselkan kepala di kaki Raif. ‘Terima kasih Choky’, desis hati kecil Raif. Choky diangkat dan di dakap.

“Meow… Meow… .”

Jika tidak kerana Choky, pasti dendam itu masih belum terlerai dan dia pasti tidak bertemu Tasya. Tasya yang banyak menyedarkan dia tentang restu keluarga. Yang paling hebat, sambal belacan epal hijau Tasya yang sentiasa mengingatkan dia kepada Puan Raina.

Ramadhan membawa seribu keampunan. Dia yang sekian lama menyimpan dendam pada abang kandungnya, dengan mudah memaafkan. Mungkin itulah hikmah dari dia berpuasa, dapat mengawal nafsu amarahnya. Mahu sahaja dia menjerit bahawa dialah insan paling bahagia saat itu. Moga-moga kemanisan Ramadhan kali ini bertambah dengan bertemu malam Lailatul Qadr hendaknya.


~ TAMAT ~

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.