Gembira bukan kepalang Ezmir bila dia ditawarkan bekerja di sebuah syarikat multi nasional di ibu negara. Hari pertama bekerja dia sudah di bawa ke tingkat 13 di mana dia ditempatkan di sebuah bilik khas bersesuaian dengan jawatan yang disandangnya.
Sudah dua minggu dia berkhidmat di situ dan bermulalah dia dengan bebanan kerja yang banyak hingga menyebabkan dia terpaksa pulang lewat.
"Bos, jangan balik lewat sangat," ujar Wina setiausahanya. Dia sudah mahu melangkah pulang petang itu.
"Biasalah Wina. Saya kena semak fail-fail ni. Dah siap barulah boleh balik."
"Oklah bos. Tapi jangan lewat sangat."
Wina terkocoh-kocoh berlalu. Jam menghampiri enam petang. Ezmir tetap meneruskan tugas yang dirasakan penting. Tanpa disedarinya, azan maghrib sudah berkumandang. Ezmir baru tersedar yang dia sudah lewat untuk pulang. Bergegas dia mematikan komputer dan mengambil beg untuk pulang. Pintu lif sudah terbuka. Dia terus melangkah masuk.
Kedengaran rentak lagu jelas kedengaran. Sayup-sayup dan mendayu-dayu bunyinya. 'Tak pernah pulak dalam lif ni ada lagu yang terpasang.'
Semakin lama semakin jelas bunyi suara seorang perempuan mengalunkan lagu mengikut iramanya. Sungguh merdu. Bak buluh perindu. Tapi Ezmir tak dapat meneka lagu apakah yang dipasang. Semakin lama semakin asyik pula dirasakan. Dia dapat membayangkan ada seorang gadis yang sedang tersenyum ke arahnya. Lif berhenti di tingkat 5. Bulu tengkuknya meremang dengan tiba-tiba. Seorang gadis dengan rambut yang dibiarkan lepas melangkah masuk. Ezmir terpesona sebentar dengan kecantikan gadis itu. Mereka berbalas senyum. Alunan lagu semakin mendayu-dayu. Gadis itu berhenti di tingkat 3 meninggalkan Ezmir kembali keseorangan. Selang beberapa hari, dia bertemu lagi dengan gadis itu. Kali ini dia cuba untuk beramah mesra. Bertanyakan nama dan juga tugas yang disandangnya.
"Saya Nur. Bekerja di tingkat 5,"ujar gadis yang memperkenalkan dirinya sebagai Nur itu tadi.
"Kerja di tingkat 5. Tapi selalu berhenti di tingkat 3. Ada apa kat situ?."
Gadis itu tersenyum. Ezmir tetap ingin tahu.
'Ting.'
Lif yang membawa mereka berhenti di tingkat 3. Gadis itu terus keluar tanpa menjawab soalan Ezmir. Ezmir terasa hampa.
Keesokan harinya, Ezmir berdoa agar dia dipertemukan lagi dengan gadis itu. Dia sengaja pulang awal hari itu. Manalah tahu, untung nasibnya dia akan bertemu dengan Nur di lobi dan bolehlah dia menumpangkan Nur untuk pulang. Tapi malangnya apa yang ditunggu tidak kunjung tiba. Lif yang membawanya terus sahaja turun tanpa berhenti di aras 5. Alunan muzik seperti selalu juga tidak kedengaran.
"Bos, kenapa bos tanya saya tentang staff yang ada di tingkat 5 ni bos?." Soalan Ezmir kepada Wina hari itu kedengaran agak janggal. Pelik juga Wina bila dia disoal sebegitu. Setahunya di tingkat 5 hanya bilik penyimpanan fail dan pekerjanya hanya lima orang dan semuanya lelaki. Tidak ada pula yang bernama Nur. Akal nakal Wina mula berlegar-legar.
"Jangan-jangan bos jumpa aww.. Aww kot." Dia membalas sambil menggayakan seorang lelaki yang berperwatakan lembut seraya tertawa.
"Hish awak ni Wina. Ini betul-betul original perempuan lah." Masakan pandangan matanya salah.
"Itulah bos. Saya dah pesan banyak kali jangan balik lewat tapi bos degil. Nak balik lewat jugak." Wina teringatkan pesanan dari beberapa orang pekerja di situ agar pulang awal dan jangan menegur apa-apa jika sudah lewat.
"Lagi satu saya nak tanya awak ni Wina. Siapa kat sini yang selalu balik lewat?."
"Mana ada yang balik lewat bos. Paling lewat pun pukul 6. Kenapa bos?." Ini pelik. Tadi bosnya bertanya tentang pekerja di aras 5, sekarang siapa balik lewat pula. Apa sebenarnya?.
"Memang semua staff balik awal ke?. Dalam satu bangunan ni tak ada siapa yang balik malam?." Dia masih tidak puas hati.
"Ada bos. Pak guard," jawab Wina dalam nada lucu.
Ezmir tidak puas hati. Kali ini dia nekad mahu tahu siapa gadis yang memperkenalkan dirinya sebagai Nur itu. Hampir semua yang ditanya tidak seorang pun mengenali Nur. Semalam, walaupun jawapan Wina itu seakan kelakar tetapi dia tidak teragak-agak bertemu dengan Pak Musa selaku pengawal keselamatan di situ. Boleh pakai juga jawapan Wina.
Wajah tua itu kelihatan terkejut bila Ezmir bertanya tentang Nur. Lambat-lambat dia menjawab. Seperti menyimpan sesuatu. Menurut Pak Musa memang ada pekerja bernama Nur yang bekerja di situ tetapi sudah lama tidak kelihatan. Dia hilang begitu sahaja hinggakan ahli keluarga mereka pun tidak tahu ke mana anak mereka pergi. Tapi ianya sudah terlalu lama. Kes itu akhirnya senyap begitu sahaja.
"Bos, jangan lewat. Dah pukul 6 ni. Mendung kat luar tu. Lambat nanti hujan," pesan Wina sambil bibir dimuncungkan ke luar. Jelas awan hitam sedang berarak perlahan.
"Awak dah nak balik ke Wina?."
"Yalah bos. Nak ujan ni. Nak tunggu teksi susah kalau hujan," jawabnya jujur. Bila teringatkan Fendi tunangnya yang sedang marahkan dia kerana cemburu, mahu sahaja dia terus berlari pulang rasanya. Namanya yang di panggil membuatkan langkahnya terhenti.
"Ada apa lagi bos?. Lambat dah ni." Terbayang wajah Fendi yang menyinga semalam.
"Saya hantar awak balik lah Wina."
"Hah?."
"Tapi awak kena tunggu saya sampai saya siap ni."
Biar betul Encik Ezmir mahu menghantarnya pulang. Lagipun tak elok kalau orang nampak hanya tinggal mereka berdua sahaja di situ. Tambahan pula hubungan dia dan Fendi agak tidak elok sehari dua ini.
"Errr... Bos. Tak apa. Saya senang naik teksi aje. Lagipun dah lewat ni." Wina melihat jam di tangan. Resah dan risau bercampur baur.
"Awak takut?." Ezmir senyum sumbing. Sengaja mahu mengenakan setiausahanya yang selalu nampak ceria.
"Errr.. Eh tak!. Taklah. Saya tak takutlah bos. Saya okey." Dalam kepala Wina asyik berlegar-legar dengan cerita yang menakutkan sebagaimana rakan-rakan lain pernah ceritakan. Apatah lagi cerita tentang gadis berbaju putih yang selalu diceritakan oleh tunangnya di tingkat 3. Kalau dia pula yang berjumpa bagaimana?. 'Ah! Bos kan ada,' bisik hatinya sekadar untuk menyedapkan rasa yang kurang enak timbul.
Azan maghrib berkumandang. Ezmir memanggil Wina dan mengajaknya pulang. Elok sahaja punat lif ditekan , lif nombor 2 yang terbuka. Mereka melangkah masuk. Wajah Wina sudah berubah sebaik sahaja dia melangkah masuk ke dalam lif. Apa tidaknya, lif di situ tidak pernah langsung dipasang dengan muzik tetapi kali ini dia sendiri mendengarnya. Mahu sahaja dia menekup telinga bila terdengar suara perempuan meminta tolong. Lif terhenti di aras 5. Yang peliknya, bosnya seakan pekak dan tidak mendengar apa-apa. Ezmir tersenyum sambil memandang Wina. Tercapailah nampaknya hasrat dia untuk memperkenalkan Nur pada Wina. Wajah Wina sudah pucat lesi bila pintu lif terbuka. Dia nampak seorang gadis sedang berdiri dengan wajah yang penuh dengan kesan luka dan berdarah di keseluruhan wajah kirinya tetapi wajah di sebelah kanan pula kelihatan cantik. Gadis itu memandang tepat pada Wina. Bagaikan marah!
"Nur. Ini saya kenalkan setiausaha saya, Wina. Awak tentu kenal dia kan." Wina sudah mengerekot di belakang Ezmir. Entah apalah yang bosnya nampak agaknya.
Pintu lif tertutup. Terasa bahang dan bau yang busuk di segenap ruang dalam lif tetapi Wina melihat Ezmir seakan tiada perasaan itu. Bersahaja berbual dengan makhluk yang memperkenalkan dirinya sebagai Nur. Lif berhenti di tingkat 3. Seperti biasa, Nur akan keluar di situ. Wina sudah tidak sedap hati. Nadinya bagaikan terhenti. Dia melihat Makhluk itu menghilang dari pandangan mata. Serta merta muzik yang berkumandang terhenti sebaik sahaja Nur hilang.
"Ohhh tidakkk!!!! ."Jeritan Wina kuat dan sejurus itu dia terjelepuk jatuh ke atas lantai lif.
"Wina! Wina!." Beberapa kali Ezmir memanggil nama Wina. Lif berhenti di lobi. Ezmir menjerit memanggil Pak Musa berulang kali. Bergegas lelaki itu ke hadapan pintu lif.
"Pak Musa tolong saya. Wina ni tiba-tiba pengsan." Ezmir bersuara cemas. Pak Musa menggeleng-gelengkan kepala sambil beristighfar. Dia membantu Ezmir membawa Wina keluar dari lif.
"Kawan awak tu kenapa semalam?," soal Nur sebaik sahaja dia masuk ke dalam lif.
"Entahlah. Dia mc seminggu ni. Demam teruk." Pening pula Ezmir memikirkan Wina yang jatuh tiba-tiba sebaik sahaja Nur keluar dari pintu lif.
"Dia ada cakap apa-apa tak tentang saya?. Dia tentu cakap tak kenal saya kan. Tapi saya cukup kenal dengan dia." Nur bagaikan mahu memberitahu sesuatu pada Ezmir.
"Tak sempat nak tanya dia apa pun. Dia sedar terus meracau-racau semalam. Itupun tunang dia, Fendi beritahu. Awak kenal tunang dia kan?. Kerja di aras yang sama dengan awak."
Nur senyum dan angguk. Kelihatan air matanya menitis. Lif sudahpun berhenti di tingkat 3. Nur sudah bersedia untuk keluar.
"Selamatkan Wina."
Pintu lif tertutup rapat. Lampu di dalam lif terpadam. Terasa lif itu bergoncang hebat. Ezmir mendengar suara perempuan seakan menjerit meminta tolong di segenap lif tetapi dia tidak tahu apa yang perlu dia lakukan.
Ezmir sudah tidak keruan. Setiap kali dia menaiki lif, Nur sudah tidak kelihatan tetapi hanyalah suara perempuan menjerit-jerit meminta tolong dan lif bagaikan bergoncang dengan lampu yang terpadam dan berkelip-kelip.
"Kau nak apa??!! Jangan ganggu aku!!." Laung Ezmir sekuat hati. Hanya hilai tawa serta suara meminta tolong di sana sini sahaja yang kedengaran.
"Selamatkan Wina." Berulang kali gema suara itu kedengaran membuatkan Ezmir menekup telinganya.
Ezmir nekad tidak mahu menggunakan lif hari itu. Dia sanggup menapak hingga ke tingkat 13. Biarlah dia berpeluh-peluh. Biarlah dia kepenatan. Tapi dia tidak mahu menjejakkan kaki ke dalam lif. Bisikan 'selamatkan Wina' sentiasa bermain di telinganya. Semakin lama semakin kuat. Akhirnya dia kalah. Dia berdiri di hadapan lif dan menekan lif untuk ke atas. Selagi dia tidak mendapat jawapannya, suara halus itu selalu menghantuinya.
"Wina! Petang ni saya hantar awak balik." Ini adalah arahan.
"Bos. Err.. Takpelah. Saya nak balik cepat."
"Claim overtime!." Wina terkesima. Tak pernah bosnya tegas sebegitu. Akhirnya dia akur juga.
Sebaik sahaja azan maghrib berkumandang, Ezmir memanggil Wina untuk pulang. Kali ini dia telah bersedia dengan apa yang bakal terjadi. Kaki melangkah masuk ke dalam lif. Alunan muzik yang sama jelas kedengaran. Tetapi ianya seakan lebih keras. Wina sudah melompat di belakang Ezmir sebaik sahaja pintu lif terbuka di tingkat 5. Nur masuk ke dalam lif dan bagaikan dentuman kuat kedengaran.
"Kau nak aku buat apa?!!!." Ezmir bertempik kuat. Dia perlu menyelesaikannya hari ini juga. Wina sudah menangis ketakutan. Suara perempuan menjerit meminta tolong kedengaran di sana sini. Pintu lif terbuka di tingkat 3. Bagaikan ada yang mengheret mereka berdua keluar dari situ terus dibawa ke bilik kecil. Ya, itu pantry. Serta merta bau busuk menusuk hidung. Kelihatan darah memancut keluar dari dinding diruang kecil itu. Semuanya nampak meloyakan. Gegaran di situ juga membuatkan dinding merekah dan perlahan-lahan sekujur tubuh terkeluar di celah rekahan. Wajah itu mirip wajah Nur. Tak sanggup mereka melihat apa yang terjadi pada sekujur tubuh itu.
"Allahuakbar!!!!." Ezmir sedaya upaya melaungkan azan. Suara perempuan meminta tolong yang kuat tadi semakin menghilang. Bisikan 'selamatkan Wina' juga semakin lama semakin menjauh. Ezmir dan Wina terus berlari meninggalkan tempat itu.
*******
Bahu Ezmir ditepuk lembut. Pak Musa berdiri di sebelahnya menghulurkan tangan.
"Terima kasih Mir," ucapnya sayu. Wajah tua itu kelihatan tenang. Majlis pengebumian arwah anak perempuannya baru sahaja berakhir. Nuraida yang telah bertahun menghilang rupanya telah dibunuh oleh Fendi dan jasadnya di letakkan di belakang dinding pantry di tingkat 3. Fendi marah kerana Nur tidak mahu mengikut kemahuannya. Dia telah dibunuh di dalam lif dan diheret ke tingkat 3. Sebab itulah Ezmir selalu menemui Nur di dalam lif di tingkat 5 kemudian hilang di tingkat 3. Rupanya dia bertikam lidah dengan Fendi dari tingkat 5 dan insiden pembunuhan itu berlaku di dalam lif juga dan akibat takut, Fendi meletakkan mayat Nur di bilik pantry yang ketika itu sedang dalam proses pengubahsuaian. Pak Musa pula adalah ayah kepada Nuraida dan dia tidak ada bukti atas kehilangan anak perempuannya.
Sejak itu, tidak ada lagi bisikan 'selamatkan Wina' setiap kali Ezmir melangkah masuk ke dalam lif. Tidak ada lagi alunan muzik mahupun suara perempuan meminta tolong di dalam lif.
Fendi juga sudah di tangkap oleh pihak polis dan dia sedang menjalani hukuman. Menurut pihak polis, mereka juga mempunyai bukti dimana Fendi sedang merancang untuk membunuh Wina akibat cemburu. Akhirnya, misteri kehilangan Nur terungkai.