Home Cerpen Cinta TRANSIT CINTA
TRANSIT CINTA
SRI WAHYUNI
26/8/2016 14:58:23
2,730
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

TRANSIT CINTA

Oleh : Sri Wahyuni


Sudah puas jari-jemari mendail nombor pemilik kereta sewa. Hampir kesemuanya sudah tiada kenderaan yang hendak disewakan lagi. Darissa memandang nombor terakhir yang dia ada. Itupun Nita yang berikan padanya petang semalam.

“Itulah kau. Kenapa lambat sangat cari kereta sewa. Dah tau nak raya kan,” bebel Nita. Secebis kertas putih tertulis nama dan nombor pemilik kereta sewa dilayangkan. Darissa sengih. Macam inilah kawan!


H.U.S.S.I.N


Sempat lagi Darissa mengeja abjad itu satu persatu dalam hatinya. Nama itu bagaikan sudah sebati dengan telinganya sejak akhir-akhir ini. Tapi dia tidak dapat meneka dengan tepat siapa yang selalu menyebut nama itu. Tak kisahlah apa sekalipun nama pemiliknya, yang penting dia boleh pulang beraya dengan keluarga. Tapi sebenarnya ada perkara yang jauh lebih penting dari itu. Nombor di dail pantas. Seorang wanita menjawab panggilan. Lembutnya suara. Darissa cepat memberitahu tujuan dia menelefon. Senyum sampai ke telinga bila wanita di hujung talian menjawab “ada”. Nampaknya tercapailah hasratnya untuk pulang ke kampung. Dia menjeling beg yang sudah siap di isi dengan pakaian dan segala persiapan untuk menyambut Syawal. Esok terlaksanalah misinya untuk pulang ke kampung.


“Cik Darissa ya?”

Mahu sahaja dia melompat sebaik sahaja lelaki itu menegurnya dari arah sisi. Apa tidaknya, wajah Encik Azman, pensyarah tempat dia belajar pula yang muncul. Darissa hanya angguk. Sempat lagi dia menjeling lesung pipit di pipi kanan lelaki itu bila tersenyum. Wajah itulah yang selalu dia curi pandang kalau di kolej.

“Tunggu Encik Hussin ke?” Dalam keadaan kalut, Darissa angguk juga lambat-lambat. Gugup bila berdepan dengan pujaan hati.

Ok. Good. Saya Azman.”

‘Macamlah aku tak kenal,’ gerutu Darissa. Siapa yang tidak kenal dengan pensyarah yang super duper hot di kolej mereka. Ramai pelajar yang tergila-gilakan Azman. Tapi dia jarang melayan mereka semua.

“Encik Azman tunggu siapa?” Sempat lagi Darissa menjeling beg yang di galas.

“Tunggu Encik Hussin.”

Mereka sama-sama menunggu. Sesekali Darissa mencuri pandang kepada Azman. Hati rasa terusik bila melihat lelaki itu menghulurkan sejumlah wang kepada kanak-kanak peminta sedekah yang berbaju lusuh menghulurkan tangan. Macam inilah baru kena dengan rupa, bisik hati kecil Darissa.


**********

Rasa tak puas hati dengan Encik Hussin pun ada. Apa tidaknya, Darissa yang menghubungi pemilik kereta itu terlebih dahulu tapi kenapa pula dia perlu berkongsi kereta dengan Encik Azman ni? Mulut ni pun satu, laju aje setuju dengan permintaan lelaki itu tadi.

“Nah. Ini kuncinya.” Encik Hussin sudah menghulurkan kunci kereta.

Darissa terus menyambar. “Ini depositnya.” Kunci dan sejumlah wang bertukar tangan.

“Cik Darissa bincanglah ye dengan Azman ni. Jangan lupa, seminggu lepas raya nanti saya ambil semula kereta ni.”

Encik Hussin terus berlalu setelah mendapat duit deposit. Maka tinggallah Darissa bersama lelaki asing bernama Azman.

“Darissa, beri saya kunci tu. Biar saya drive.”

Azman menadah tangan meminta kunci dari tangan Darissa. Satu jelingan tajam di hadiahkan untuk Azman. ‘Entah-entah dia ni penculik ke, perogol ke,’ desis hati kecilnya. Mata Darissa memandang Azman dari atas hingga ke bawah. Cuakjuga dia. Kalau tengok penampilan tak adalah macam orang jahat. Muka pun nampak macam muka lindungan Kaabah. Tapi, dalam zaman serba moden dan canggih ni apa sahaja boleh berlaku. Tiba-tiba sahaja cerita tentang kes sedemikian laju masuk ke dalam kepalanya. Dia jadi takut. Ramai juga manusia berwajah tampan dan berpenampilan menarik tidak boleh dipercayai. Tapi… Masalahnya Azman ni pensyarah tempat dia belajar. Haruskah dia mempercayai Azman walaupun lelaki ini adalah idolanya?

“Errr… Saya tak percaya orang. Biar saya yang drive.” Azman jungkit bahu. Terima sahaja alasan Darissa. Lagi bagus… Bolehlah dia berehat sepanjang perjalanan. Bukannya selalu dia ada driver sebegini. Inipun disebabkan keretanya rosak. Hendak tak hendak terpaksalah dia mencari kereta sewa. Tiket bas awal-awal lagi sudah habis.


Perjalanan menuju ke Selatan tanah air pun bermula. Pada awalnya Darissa merasa was-was setiap kali Azman memegang telefon bimbitnya. Manalah tahu dia sedang berkomunikasi dengan kawan-kawannya yang lain untuk merompak dia.

“Bak sini telefon.” Telapak tangan di tadah sambil tangan kanan berada di stereng.

Wajah Encik Azman berubah.

“Ini telefon sayalah.” Berkerut dahi dibuatnya. Macam-macam hal pula gadis genit di sebelahnya.

“Saya tahulah encik. Tapi dari tadi saya tengok encik asyik pegang telefon. Entah-entah encik tengah berkomplot dengan perompak ke… pencuri ke… perogol ke… .” Azman tepuk dahi. Jauh sungguh tafsiran Darissa tentang dirinya. Bukan setakat itu, banyak lagi yang dibebelkan gadis itu. Dia sangkakan, Darissa akan melabelkan dia sebagai seorang pensyarah yang baik-baik sahaja. Untuk elak kejadian yang tidak diingini berlaku, Azman serahkan juga telefon pada Darissa. Apa tidaknya, kereta Myvi yang dipandu oleh Darissa sudah tidak tentu arah pemanduannya.

“Nah! Puas hati?”

Darissa cepat-cepat mengambil telefon yang diberi. Barulah dia boleh memandu dengan tenang.

Keadaan jalan yang agak sesak memang memerlukan kesabaran yang tinggi untuk memandu. Beberapa kali dia sudah menguap. Bila di pandang ke sebelah, elok sahaja Azman nyenyak tidur. Memang tak tahu malu betul!


‘Damm’

Bunyi pintu kereta ditutup menyedarkan Azman. Mata di tenyeh-tenyeh.

“Kita dah sampai mana ni?”

Soalan tidak di jawab. Bila dia menoleh ke tempat pemandu, Darissa sudah tiada. Dia mencari-cari papantanda yang ada. Sekitar hentian Seremban. Darissa ke tandas barangkali, dia membuat andaian. Azman mencari-cari telefon bimbit yang disorok. Akhirnya dia menjumpainya di bawah tempat duduk pemandu. Setelah mendapatkannya kembali, dia segera mematikan enjin kenderaan dan keluar dari situ.


“Encik ke mana?”

Soalan pertama setelah hampir setengah jam Darissa menunggu Azman. Rasa mahu sahaja dia pecahkan cermin kereta itu tadi. Sudahlah duduk di luar ni panas, bulan Ramadhan pula. Dia sudah mengomel dalam hati.

“Cakap orang. Dia tu hilang ke mana?”

Azman mencebik. Mata sengaja di jeling pada Darissa. Proteslah tu kononnya.

Darissa angkat beg telekung sebagai tanda dia keluar untuk solat. Hampir terkedu Azman. Rasa bersalah pula bila dia membuat telahan yang bukan-bukan terhadap Darissa.

“Cepatlah. Panas ni.” Melihatkan Azman yang terdiam, Darissa menggesa untuk mendapatkan kunci kenderaan. Jika tidak memikirkan perihal mereka sedang berkongsi kereta tadi, sudah tentu Darissa buat muka tak tahu malu untuk menumpang sesiapa sahaja yang di rasakannya selamat.

Azman tersentak dan terus masuk ke bahagian pemandu. “Biar saya drive. Awak tentu penat kan. Masih jauh lagi ni.”

‘Tau pun,’ desis hati Darissa. Apa tidaknya, sebaik sahaja dia dibenarkan pulang oleh majikannya tengahari tadi, dia terus bergegas ke tempat yang telah dimaksudkan oleh Encik Hussin. Apa yang lebih memeranjatkan adalah tentang Azman. Dia sendiri tidak tahu tentang penumpang tanpa diundang ini.


Azman menyanyi kecil sepanjang pemanduannya. Sesekali mata nakalnya melirik ke arah Darissa. Gadis kecil molek itu sudah tersandar kepenatan. Sudahlah begitu, duduk di bahagian belakang pula. Lagak seolah-olah seorang bos.


‘Jumpa dia dulu, kenal hati budi,’ kata-kata ayahnya beberapa bulan yang lalu terus bermain di minda. Azman senyum sendiri.


**********

Pak Hussin memandang Azman. Itulah satu-satunya anak harapan yang dia ada. Cuma dia tidak pasti samada rancangan dia dengan Fuad berjaya ataupun tidak. Apa tidaknya, kedua-duanya nampak jauh berbeza tidak kira dari segi apa sekalipun.

“Esok Man hantar Darissa balik kampung. Tapi Man jangan pula gatal-gatal nak sebut yang Man ni bakal tunang dia,” pesanan dari Pak Hussin untuk sekian kalinya. Mujur ayah dan emaknya bersetuju dengan syarat yang telah ditetapkan. Kalau tidak, rumit juga dia nanti. Pak Hussin dan Mak Misnah telah bersetuju dengan apa sahaja keputusan yang bakal disuarakan oleh anak lelakinya setelah dia bertemu dengan Darissa.

Azman memandang cermin pandang belakang yang ada. Memang benarlah cakap Pakcik Fuad. Darissa memiliki wajah iras arwah Makcik Ramlah. Siapa yang tidak kenal dengan Makcik Ramlah suatu ketika dahulu. Ratu Kebaya di kampungnya. Ramai yang tergila-gila akan dia termasuklah ayahnya. Tapi Makcik Ramlah punyai prinsip. Siapa yang masuk meminang terlebih dahulu itulah jodohnya. Ayahnya terlewat sedikit sahaja. Itulah yang telah diceritakan oleh ayahnya. Cuma, ajal menjemput Makcik Ramlah ketika pulang dari pasar. Dia dilanggar oleh sebuah kereta di mana pemandunya mabuk. Setelah dua tahun menjaga anak yang masih kecil, akhirnya Pakcik Fuad berkahwin dengan Puan Rohaya. Ingatan Azman terhadap keluarga itu terhenti setakat itu sahaja. Ketika itu dia dan keluarga berhijrah ke Kuala Lumpur. Cuma, tanpa dia sedar ayahnya sentiasa berhubung dengan Pakcik Fuad.

Darissa menggosok mata. Rasa enak pula dia tidur. Sedar-sedar perjalanan sudah memasuki sempadan Negeri Melaka. Keadaan jalan yang sedikit sesak membuatkan perjalanan mereka mengambil masa yang agak lama. Bingit pula telinga bila muzik yang berkumandang dipasang terlalu kuat.

“Boleh slowkan sikit tak radio tu?” Darissa mencelah di tengah pemandu. Azman sengaja buat tidak dengar. Langsung tidak menoleh. Bahkan dia turut menyanyikan lagu yang dipasang oleh dejay radio. Bertambah bingit telinga Darissa jadinya.

“Encik pekak ke?” Dia menyelit hingga ke sebelah pemandu. Tubuhnya yang kecil memang mudah untuk dia berbuat sedemikian. Jari jemari laju mematikan radio.

“Eh! Kenapa ni? Tak suka dengar lagu tu ke?,” soal Azman tanpa ada rasa bersalah.

“Nampak ni.” Darissa menunjukkan penumbuk. Kecil! Azman tertawa. Ada hati mahu tunjuk penumbuk konon. Lengan Darissa jika dibandingkan dengan lengan sasa Azman, dua kali ganda besarnya!

“Encik ni pekak ke?” Darissa mula memuncungkan muka. Bosan pula dia bila tiada teman untuk berbicara.

“Kita ni dalam perjalanan balik kampung. Tak ada istilah pensyarah dan pelajar dalam kereta ni yang awak nak berencik-encik dengan saya.” Darissa diam. Memang itulah yang sepatutnya. Tapi panggilan itu normal bagi mereka yang bergelar pelajar.

“Kita ni dah la di kolej bawah satu bumbung. Sekarang ni pun dalam kereta bawah satu bumbung yang sama juga. Selama ni saya tak tahu pun awak ni berasal dari Selatan tanahair. Awak pun tak pernah cakap dengan saya.” Azman berbasa-basi. Walhal dia telah tahu banyak perkara tentang gadis itu.

“Iyalah encik. Takkanlah saya nak gantung signboard kat leher saya ni untuk encik tahu saya berasal dari Selatan. Lagipun, bukannya penting pun.” Pelik betul Darissa dengan Azman.

“Awak nak balik Mersing sampai mana ya?,” soal Azman lagi. Dia mula merasakan Darissa bukanlah sombong sangat sebenarnya.

“Felda Nitar 1.”

Wajah emak, ayah dan adik beradiknya yang lain sudah menari-nari di ruang mata. Maklumlah, nak balik sambut rayalah katakan. Tapi ada seperkara yang buat dia rasa mahu sahaja lari sebenarnya. Kepulangannya nanti bukan sahaja bakal menyambut lebaran bersama. Apa yang lebih memeritkan, dia bakal di tunangkan dengan seseorang yang dia sendiri tidak kenal. Itu amanat arwah emaknya, Puan Ramlah.

Bila teringatkan soal pertunangan yang bakal berlangsung, riak wajah Darissa sudah berubah. Azman yang sedang memandu terus bersuara. “Kenapa? Macam tak seronok aje nak balik raya.”

Akal waras yang ada tiba-tiba sahaja mendapat satu idea yang cukup gila. Dia tenung wajah Azman di sebelah. Satu-satunya lelaki yang ada bersama dengannya waktu itu mungkin boleh membantu. Kalau tak boleh sekalipun, dia minta sebagai membalas jasa. Jasa kerana Darissa sudi menumpangkan dia dengan kereta sewa itu, kononnya.

“Encik dah kahwin?”

Azman tersedak. Soalan jenis apakah ini? Kalau dia sudah berkahwin, tidaklah dia bersusah payah menurut kehendak keluarganya sebegini.

“Kenapa?”

“Jawab ajelah.” Darissa memaksa.

Azman geleng.

“Tolong saya.” Darissa senyum meleret. Penuh makna.

Azman pandang gadis kecil molek di sebelahnya yang sedang senyum lebar. Nampak lesung pipit di pipi kiri. Cukup manis.


**********

Buka mata sahaja seawal subuh pada 3 Syawal, hati Darissa sudah tidak keruan. Telefon bimbit di bawah bantal segera di capai usai solat subuh. WhatsApp yang di hantar pada Azman langsung tidak berbalas.

Perasaan Darissa sudah tidak keruan bila jam sudah menginjak ke angka 1.30 petang. Di luar semua sedang sibuk dengan persiapan untuk menyambut tetamu yang sudah di dendang mahu datang. Perasaan Darissa jadi libang-libu.

“Hello. Azman, awak ke mana? Saya callawak banyak kali tautak?” Darissa menyorok sedikit di tepi almari pakaian. Suara turut direndahkan. Dia yang sudah siap di andam oleh makciknya kelihatan sungguh ayu.

“Assalamualaikum… .” Suara Azman berdehem beberapa kali di hujung talian. Darissa merasakan seakan diperli lantas terus menjawab salam. Azman tertawa kecil.

“Rindu juga awak pada saya ya,” usik Azman lagi.

“Ini bukan soal rindu. Tapi ini soal janji.” Sengaja perkataan ‘janji’ di tebalkan sebutannya. Dengan harapan Azman sedar dengan tindakannya.

Pintu bilik di kuak. Kelihatan wajah Laili dengan penuh berseri-seri menyapa.

“Kak Rissa, Pakcik Hussin dengan rombongan dia dah dekat. Akak duduk elok-elok nanti tau,” ujarnya seraya membetulkan sedikit sanggul di kepala Darissa. Kakaknya memang cantik.

Darissa terdiam. Aduh! Pening dibuatnya hinggakan terlupa tentang Azman yang berada di talian. Kalau rombongan Pakcik Hussin sudah hampir, macamana pula dengan rombongan Azman?

Nama Darissa di panggil berulang kali di talian. Barulah dia tersedar di alam nyata.

“Err… Azman, awak boleh cepat sikit tak?” Laili sudah keluar meninggalkannya semula.

Rasa nak menangis pun ada Darissa ketika itu.

“Dah paling cepatlah ni. Kenapa? Ada masalah ke?,” Azman perasaan seakan ada sesautu yang sedang menganggu fikiran Darissa.

“Rombongan meminang dari keluarga kawan ayah saya dah dekat. Saya takut…”

“Awak jangan risau. Saya pintas nanti rombongan diaorang tu.” Jawapan Azman penuh makna.


**********

Suara orang sedang bercakap-cakap di ruang tengah menjadikan hati Darissa bertambah gusar. Pelbagai soalan yang sedang bersarang di mindanya. Kalau benar itu rombongan dari pihak Azman, kenapa pula suara ayahnya seakan kenal lelaki itu lebih dari yang sepatutnya. Siap sebut nama arwah ibu lagi.

“Rissa, duduk elok-elok kat kerusi tu. Sekejap lagi emak pihak lelaki nak sarungkan cincin.” Puan Rohaya masuk melihat anaknya. Walaupun Darissa adalah anak tirinya tetapi dia tetap sayangkan anak itu seperti anaknya juga.

“Mak, tadi Laili kata rombongan Pakcik Hussin dah dekat kan. Tak jadi datang ke mereka tu?” Tangan Puan Rohaya digenggam. Terasa hangat meresap ke sanubari.

“Dah sedia ya. Wakil keluarga lelaki nak sarungkan cincin ni.” Ketika itu juga bilik sederhana besar itu dipenuhi dengan wakil keluarga lelaki dan juga jurugambar bertauliah dan tidak bertauliah. Dada Darissa berombak kencang.

“Lawanya bakal menantu kamu Misnah,” salah seorang dari mereka bersuara.

Misnah? Peluh dingin sudah membasahi dahi. Darissa merasakan nafasnya tersekat. Dia cuba mengawal perasaan.

“Sejuknya tangan bakal pengantin,” ujar Mak Misnah seraya menyarungkan cincin di jari manis Darissa.

“Err… Boleh saya tau, siapa nama bapa pihak lelaki?” Tanpa segan silu Darissa bertanya.

“Laa… Takkan kamu tak tau nama bakal bapa mertua kamu. Hussin la Rissa,” Puan Rohaya menyenggol Darissa dengan siku. Elok sahaja mendengar nama Hussin, pandangan Darissa menjadi gelap. Lidahnya menjadi kelu. Dia tidak tahu apa yang terjadi selepas itu.


Namanya dipanggil beberapa kali. Darissa membuka mata perlahan-lahan. Kelihatan Puan Rohaya dan Mak Misnah berwajah cemas di sisi. Pandangan mata menyorot pada jari manis yang telah tersarung cincin emas. Dia kenal cincin itu. Pandangan meliar mencari seseorang.

“Assalamualaikum… .” Azman muncul di celah ahli keluarga yang ada. Perlahan-lahan Darissa menjawab.

“Kenapa awak lambat datang?,” Darissa bersuara lemah. Tubir mata sudah digenangi air. Bila-bila masa sahaja boleh mengalir. Ada yang sedang mendengar perbualan mereka dan ada juga yang membuat hal masing-masing.

“Saya datang tepat pada masanya. Awak sahaja yang tak sedar.” Azman mengulum senyum.

“Kenapa awak biarkan rombongan keluarga Pakcik Hussin sampai dulu?”

Ada garis kekesalan terbit di wajah Darissa. Tapi dia sedikit pelik. Bagaimana cincin yang telah dipilihnya bersama Azman yang tersarung di jari manisnya dan Mak Misnah juga bagaikan merelakan pinangannya ditolak?

Mereka yang mendengar ada yang tersenyum-senyum. Ada yang menarik nafas lega dan pelbagai gelagat yang ditunjukkan.

“Sebab… Mereka semua keluarga saya.”

Membulat mata Darissa sebaik sahaja mendengar jawapan yang meluncur laju dari mulut Azman. Terus sahaja dia bangun dan membetulkan sanggulnya.

“Betul ni?” Darissa teruja mendengarnya.

“Awak ingat saya olok-olok ke?”

Darissa tersenyum bahagia. Ternyata ‘transit cintanya’ bukan omongan kosong. Kalau inilah bakal suaminya, seribu kali dia setuju.

“Kenapa ni Rissa? Azman?” Soalan dari Puan Rohaya tidak dapat dijawab oleh mereka berdua. Sebaliknya hanya senyuman manis yang terukir di bibir pasangan tersebut.

Biarlah penghujung Ramadhan menemukan mereka dan 3 Syawal mengabadikan 1001 kenangan manis antara keduanya. Semua yang ada penuh tanda tanya. Pada mereka berdua, semua itu biarlah menjadi rahsia.


Tamat

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.