Home Novelet Seram/Misteri PROJEK SERAM: RESTROOM (DENDAM SABRINA)
PROJEK SERAM: RESTROOM (DENDAM SABRINA)
Fazrin Fauzi
1/7/2016 08:11:55
4,029
Kategori: Novelet
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
BAB 4

SUASANA hingar di seluruh asrama bertukar sepi ketika semua penghuninya telah bersiap sedia di dalam surau sambil menunggu masuk waktu Maghrib. Melati pula masih berada di luar surau. Kerusi batu marmar yang nampak menarik menjadi tempat persinggahannya. Kicauan burung yang sedang terbang pulang ke sarang langsung tidak diendahkan.

Fikiran Melati melayang jauh. Dia merindui mama dan papanya. Sedar tidak sedar, sudah beberapa hari dia tinggal di asrama SMK Mayang Sari.

Apa kata aku call mama sekarang. Kejap lagi mesti dah tak sempat, bisik Melati dalam hati. Dia memandang ke arah surau. Masing-masing tengah asyik bersembang tanpa menghiraukannya.

Lantas Melati mengeluarkan dompet merah jambunya dari kocek seluar. Dia meraba-raba di celah ruang yang sempit. Alangkah girangnya Melati ketika kepingan syiling yang besar jumlahnya ditemui terselit di celah wang kertas. Lantas dia segera mengatur langkah menuju ke telefon awam yang terletak di bawah anak tangga tanpa pengetahuan sesiapa.

“Helo,mama. Melati rindu sangat kat mama. Mama sihat?” soal Melati setelah panggilannya diangkat.

Suaranya sengaja diperlahankan agar tiada sesiapa yang mengetahui keberadaannya di situ.

“Mama pun rindu sangat kat anak mama ni. Alhamdulillah, mama dan papa sihat,” jawab Puan Mawar di hujung talian.

Belum sempat Melati meneruskan perbualan, telinganya menangkap bunyi tapak kaki sedang menuruni anak tangga. Lantas dia segera meletakkan gagang dan bersembunyi di kawasan yang sedikit kelam. Dadanya berdebar-debar kencang. Degupan jantungnya kian laju sehingga pernafasannya sedikit terganggu.

Dengan tidak semena-mena, bunyi tapak kaki itu sudah tidak kedengaran lagi. Melati menghembus nafas lega. Degupan jantungnya mulai perlahan. Dia menjenguk keluar dari kawasan kelam itu. Tiada apa-apa yang kelihatan. Lantas dia mengatur langkah perlahan menuju ke surau. Tetapi, sekali lagi kakinya terkaku. Rongga hidungnya mula menangkap bau yang tidak enak seperti bau bangkai. Hatinya sekali lagi berdebar kencang.

Kini, bulu romanya merinding seram apabila dia merasakan ada susuk tubuh yang sedang berdiri di belakangnya. Lantas Melati memalingkan wajah. Dia tergamam. Lidahnya kelu. Susuk tubuh manusia tidak berkepala sedang berdiri di hadapan matanya. Darah merah memancut keluar daripada bahagian urat leher yang terputus. Tidak semena-mena, tubuh Melati rebah di atas lantai. Dia pengsan. Kepalanya terhantuk di bucu tangga.

SAYA rasa macam tak cukup seorang aje. Cuba kamu semua pandang sekeliling. Cukup tak kawan-kawan kamu?” soal Cikgu Seroja sambil mengira bilangan penghuni asrama.

Melati, bisik Ros dalam hati. Kemudian, dia bingkas bangun.

“Melati tak ada, cikgu,” ujar Ros dengan nada lantang.

Beberapa saat kemudian, Cikgu Seroja segera mengarahkan Ros dan Syasya mencari Melati di seluruh kawasan asrama. Lantas mereka berdua menapak keluar dari surau dan mengatur langkah dengan laju untuk mencari Melati. Setibanya mereka di tangga, Ros dan Syasya terkejut melihat Melati sedang terbaring pegun di atas lantai. Lantas mereka segera mengangkat dan memapah Melati ke dalam surau.

“Argh!” jerit Melati sebaik sahaja terjaga daripada pengsan. Jeritannya kedengaran begitu lantang sekali.

“Melati, kamu okey tak ni?” soal Cikgu Seroja sambil menyapu sedikit air pada wajah Melati.

Melati hanya mendiamkan diri. Bebola matanya meliar tanpa henti. Seluruh tubuhnya menggeletar. Ros hanya terdiam melihat kelakuan Melati. Penghuni lain segera beredar dari surau. Hanya Cikgu Seroja, Syasya dan Ros yang berada di sisi Melati.

“Pandang saya, Melati!” arah Cikgu Seroja ketika melihat keadaan Melati yang semakin tidak tentu arah.

“Cikgu, saya takut!” ujar Melati.

“Kamu jangan takut, Melati. Akak dengan Ros ada kat sini,” pujuk Syasya, bersungguh-sungguh.

Melati bingkas bangun dan terus memeluk tubuh Cikgu Seroja. Butiran peluh pada wajahnya mulai menitis hingga membasahi baju. Wajah Melati yang pucat-lesi membuatkan Cikgu Seroja berasa bimbang.

“Cikgu, saya nak balik!” pinta Melati dengan suara bergetar.

Air matanya mengalir deras.

“Baiklah. Ros, Syasya, kamu tolong bawa Melati naik atas dan kemaskan beg dia. Saya nak bawa Melati balik ke rumah saya malam ni,” arah Cikgu Seroja sambil mengesat air mata Melati dengan tapak tangan.

SETIBANYA di rumah Cikgu Seroja yang terletak tidak jauh dari asrama, Melati kelihatan agak tenang. Wajahnya yang tadinya pucat kini kian pulih seperti sediakala. Sofa antik di ruang tamu menjadi tempat Melati berehat. Tetapi, dia masih trauma. Bayangan makhluk tidak berkepala itu masih bermain dalam benaknya. Melati merenung jam dinding berwarna merah yang tergantung kemas. Jarum jam menunjukkan pukul 11.05 malam.

“Malam ni kamu tidur dengan cikgu, ya,” ujar Cikgu Seroja.

Melati hanya mengangguk. Lantas Cikgu Seroja meminta diri untuk menyiapkan tempat tidur. Tilam kekabu dihamparkan di tengah-tengah ruang tamu. Melati terus berbaring tanpa banyak bicara. Fikirannya kembali terbayang susuk tubuh makhluk tidak berkepala itu. Setiap kali teringat kejadian yang dialaminya itu, bulu roma Melati merinding. Mujurlah Cikgu Seroja segera datang kepadanya.

“Kenapa, Melati? Masih teringatkan kejadian tadi ke?” soal Cikgu Seroja.

“Saya takut, cikgu,” jawab Melati.

Pandangannya segera dialihkan kepada Cikgu Seroja.

“Apa yang kamu nampak tadi? Beritahu saya,” soal Cikgu Seroja lagi.

Melati membisu. Dipaksa pejam kedua-dua belah matanya, namun tidak berjaya.

“Err... makhluk tu tak ada kepala, cikgu,” jawab Melati, perlahan.

Air matanya mula mengalir perlahan.

“Dahlah, jangan fikirkan sangat. Melati tidur ya,” pujuk Cikgu Seroja sambil mengusap ubun-ubun Melati.

Melati memaksa kedua-dua belah matanya supaya pejam. Dia tidak mahu memikirkan lagi kejadian yang telah berlaku itu. Namun, tidurnya tidak tenang. Peluh kecil mula membenih di dahinya. Bebola matanya dilihat sedang meliar-liar walaupun dalam keadaan mata yang tertutup.

Melihat keadaan Melati begitu, Cikgu Seroja bingkas bangun dan menapak ke penjuru ruang tamu. Dia memasang bacaan ayat suci al-Quran di komputer riba. Cikgu Seroja tidak dapat melelapkan mata walaupun jarum jam sudah menghampiri pukul 12.30 tengah malam. Fikirannya berkecamuk.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.