Home Cerpen Seram/Misteri KISAH SERAM MALAM JUMAAT SIRI 2: PUAKA ST QUEEN
KISAH SERAM MALAM JUMAAT SIRI 2: PUAKA ST QUEEN
Fazrin Fauzi
15/9/2016 01:43:02
4,650
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

Kereta kancil warna merah hati itu mula membelok ke arah sebuah bangunan yang agak tinggi di tengah kota Pulau Pinang. Lalu terus diparkir di ruangan yang masih kosong. Azzam mencengkam erat setereng kereta sambil matanya meliar-liar memerhati di segenap bangunan itu. Brek tangan masih tidak ditarik. Hanya pedal brek dipijak untuk memastikan keretanya tidak bergerak.

Betul ke kat sini? Azzam bercakap sendirian di dalam hati. Pandangan matanya masih meliar-liar ke luar tingkap. Namun, segera terhenti sebaik terlihat orang ramai yang lengkap berpakaian kemas sedang berjalan ke suatu arah. Lekas-lekas Azzam mendapatkan beg galasnya yang berada di tempat duduk belakang lalu terus menapak keluar dari perut kereta.

Azzam baru saja pulang ke Malaysia setelah bertahun-tahun lamanya dia berada di luar negara. Pemuda lulusan kursus kejuruteraan ini telah membuat keputusan untuk mencari kerja sementara menunggu permohonannya sebagai jurutera tempatan diterima. Sudah hampir dua bulan Azzam menunggu jawapan tentang permohonannya.

Cuaca pada petang itu sungguh mendamaikan. Kepulan awan yang sedikit kelabu warnanya dilihat sedang berarak perlahan. Sepertinya bumi akan dilimpahi dengan air jernih yang terhasil daripada tangisan sang awan. Azzam terus mengekori orang ramai menuju ke kaunter pertanyaan bangunan itu. Sebelum melangkah masuk, sempat juga dia mengerling ke arah papan tanda yang terletak di luar bangunan tersebut. Papan tanda itu kelihatan masih baru walaupun dinding bangunan dilihat usang. Sepertinya cat di dinding itu sudah lama tidak ditukar ganti.

Ship & Travel, Pantas bibirnya menyebut nama syarikat itu.

“Encik, nak temuduga, ya? Ambil nombor giliran ni kemudian jalan terus ke bilik sana,” ujar seorang gadis kecil molek yang bertugas di kaunter itu sambil menghalakan jari telunjuknya ke arah bilik yang tidak terlalu jauh dari situ.

Azzam hanya mengukirkan senyuman sejurus mendapatkan nombor giliran itu. Segera dia menatap nombor giliran itu. Namun, ada sesuatu yang menarik perhatiannya. Sekali lagi Azzam meneliti kertas yang tertera nombor 005 itu, sepertinya ada sesuatu yang begitu menarik perhatiannya.

“Terima kasih,” ucap Azzam kepada gadis kecil molek itu.

Azzam hanya tersenyum-senyum malu sambil mengatur langkah ke bilik temuduga. Sempat juga dia menoleh ke belakang. Anak matanya dapat menangkap reaksi gadis tersebut yang sedang tersenyum malu memandang Azzam. Sepertinya ada sesuatu yang dia mahukan daripada pemuda bertubuh lampai itu.

Pintu bilik yang diperbuat daripada kayu jati itu dikuaknya hemah. Azzam terus menapak masuk dengan wajah yang ceria. Di mulutnya juga tidak lekang dengan menyebut nama ALLAH dan kalimah suci daripada kitab al-Quran. Hatinya juga berasa sedikit gelisah. Bagaimana jika dia tidak diterima bekerja? Namun, lekas-lekas Azzam menenangkan diri. Udara nyaman dihirup sedalamnya sebaik wajah gadis yang baru dikenalinya itu muncul di benaknya.

*****

Beberapa jam telah berlalu, Azzam segera menyelinap keluar dari bilik temuduga. Kumalan renyuk di belakang bajunya segera diusap-usap hingga hilang garisnya. Tali leher bercorak garis serong dibetulkan Azzam hingga dia berpuas hati akan kekemasan penampilannya. Rambut potongan uppercut yang kelihatan lembap disisir rapi.

Azzam segera mengatur langkah ke arah gadis kecil molek itu. Nasibnya begitu baik kerana gadis itu berada di bangku berdekatan dengan kaunter pertanyaan. Mungkin sedang berehat agaknya. Disebelahnya pula masih kosong tidak berpenghuni. Derap kasut yang kedengaran lantang mengejutkan gadis itu yang sedang leka bermain telefon bimbit. Mujur saja pegangan tangannya erat. Reaksi terkejut secara spontan dapat dilihat dengan jelas oleh Azzam. Azzam tersenyum kecil.

“Saya minta maaf kerana mengejutkan awak,” ujar Azzam yang tersenyum manis.

Gadis itu hanya tersenyum malu. Ketara dilihat pipinya berona merah.

“Boleh saya duduk?” soal Azzam.

“Duduklah,” jawab gadis kecil molek itu ringkas.

Tanpa berlengah lagi, Azzam terus menghenyakkan punggungnya di sebelah gadis itu. Gadis kecil molek itu segera memasukkan telefon bimbitnya ke dalam kocek seluar. Lalu merenung wajah Azzam dalam-dalam.

“Macam mana interview?” Gadis itu memulakan perbualan.

“Alhamdulillah,” jawab Azzam, yakin.

“Ya ke? awak mohon jawatan apa?” soal gadis itu lagi.

Housekeepingaje,” Azzam menjawab sambil tersengih.

“Ooo. Boleh saya tengok fail awak?”

“Boleh, kejap,”

Azzam mencapai beg galasnya yang masih berada di belakang tubuhnya. Zip di bahagian tengah ditarik pantas, sebuah fail berwarna biru dicapai keluar lalu dihulur kepada gadis itu tanpa bicara.

Cepat-cepat gadis itu meneliti setiap helaian fail tersebut. Dia hanya tersenyum sambil mengangguk. Lantas fail itu dihulurkan semula kepada Azzam. Gadis itu menatap wajah Azzam sambil tersenyum.

“Dah habis?” tanya Azzam, tersengih.

“Kenapa awak mohon jawatan housekeeping? Sedangkan awak lulusan dari luar negara.” Gadis itu menyoal dengan nada yang serius.

“Sebab saya suka bekerja dari bawah. Awak faham kan apa yang saya maksudkan?” soal Azzam lagi.

“Ya saya faham. Tapi, kerja housekeeping ni bahaya sikit tau. Selalunya pekerja dapat bertahan selama dua minggu aje. Kemudian terus letak jawatan. Saya harap awak dapat bertahan lama. Nanti tak ada pulak orang yang boleh saya berborak,” ucap gadis itu sambil tersenyum sipu.

“Bahaya? Apa maksud awak?” Azzam mula mengajukan pertanyaan. Dahinya tampak sedikit berkerut.

“Kapal St. Queen tu selalu berlayar ke seluruh dunia. Banyak penumpang yang akan naik kapal mewah tu. Setiap kali kapal transit, berbagai-bagai manusia yang akan kita jumpa. Ada yang berkulit putih, hitam dan ada juga yang kacak macam awak. Dahlah, saya nak kemas barang kejap. Awak baliklah dulu, nanti kita jumpa lagi,” ujar gadis itu dengan panjang lebar sebelum bingkas bangkit dari bangku.

“Oh itu aje ke? Saya ingatkan kapal tu berhantu.” Azzam membalas sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal itu.

Gadis itu tersenyum hambar.

“Borak punya borak, awak belum perkenalkan diri lagi,” ujar Azzam.

“Saya, Qistina. Boleh panggil, Qis.” Gadis itu memperkenalkan namanya sebelum mengatur langkah ke kaunter pertanyaan.

Azzam hanya melihat gerak kaki Qistina yang diatur ke kaunter pertanyaan. Sesekali dia tersenyum sendiri. Masakan tidak, belum pernah lagi ada gadis yang memuji tentang rupa parasnya. Jam ditangan ditatap buat seketika. Azzam harus segera pulang dek kerana jarum jam hampir menjengah ke angka tujuh malam.

Azzam mula mengorak langkah ke pintu keluar. Sesekali dia diserang seram sejuk ketika melewati ruangan yang sedikit kelam. Azzam mengusap di sekeliling lehernya. Tidak semena-mena, bulu romanya merinding seram.

Sejuk sangat malam ni, desis Azzam di dalam hati. Dia terus berjalan mendekati kereta kancil miliknya yang diparkir tidak terlalu jauh dari situ. Ruangan parkir itu kelihatan lengang. Hanya satu dua sahaja kereta yang masih berbaki. Sesekali Azzam merasakan seolah-olah diperhatikan. Dia melihat sekeliling sebelum melangkah masuk ke perut kereta.

“Hoi...!”

Tiba-tiba bahunya ditepuk seseorang. Azzam segera berkalih dengan hati yang berdebar-debar.

“Qis...! Terkejut saya,” getus Azzam sambil mengusap-usap dadanya. Nafasnya turun naik.

“He he... maaflah. Awak kenapa berpeluh sangat ni? Nampak hantu, ya?” sakat Qistina sambil ketawa kecil.

“Mana adalah. Awak kenapa belum balik ni?” Azzam menjawab sambil mengesat peluh di dahinya.

“Saya tengah tunggu member saya. Kejap lagi dia datanglah tu,” ujar Qistina.

Tiba-tiba satu bunyi deraman yang kuat mengejutkan Azzam dan Qistina. Lekas Qistina memaling wajahnya ke sesuatu tempat yang tidak jauh dari situ.

“Awak, kawan saya dah datang tu. Nanti kita jumpa lagi, ya.” Qistina terus melangkah laju ke arah kereta tersebut. Kereta Wira kelabu yang dipandu teman Qistina tampak sedikit lusuh.

Azzam segera masuk ke perut kereta. Enjin dihidupkan dan gear ditukar sebelum kereta kancil itu bergerak ke belakang dengan perlahan. Lantas Azzam menukar semula gear sebelum keretanya bergerak laju ke depan dan terus membelah jalan yang licin.

****

Hari Pertama

Azzam kelihatan kemas dengan seragam krew kapal St. Queen. Baju berkolar putih yang dikenakan bersama seluar slackhitam dilihat sempurna di tubuh Azzam. Hari ini merupakan hari yang pertama dia bekerja di bahagian housekeeping. Sesudah subuh lagi dia telah berada di Pengkalan Weld Quay. Sementara menunggu kapal mewah St. Queen tiba, dia sempat menjengah-jengah mencari kelibat Qistina.

Namun, dia hampa. Kelibat Qistina langsung tidak dilihat disitu. Hanya beberapa orang gadis sahaja yang berada di sekitarnya. Penglihatan Azzam mula berarah kepada gadis-gadis tersebut. Ada yang sibuk dengan telefon bimbit dan ada juga yang tidak habis-habis mengenakan make-up di wajah. Azzam tersenyum meleret tatkala melihat kerenah mereka.

Azzam mula mengatur langkah ke tepi laut. Air laut mula pasang. Kelihatan juga beberapa ekor ketam sedang berlari membawa diri. Risau jika dibadai ombak gamaknya. Sesekali Azzam terketawa kecil melihat gelagat sang penyepit itu.

“Kau pun tengah tunggu kapal datang ke?” soal satu suara misteri dari belakang Azzam.

Azzam segera berkalih ke belakang. Kelihatan seorang pemuda sedang berdiri sambil mengulum rokok di mulutnya. Pakaiannya mirip seperti Azzam. Hal itu membuatkan Azzam tersenyum manis. Persepsi demi persepsi mula hadir di benaknya.

“Ya. Kau kerja bahagian mana?” soal Azzam sambil menghulurkan tangan kanannya.

“Aku housekeeping. Kau?” jawab pemuda bertubuh tegap itu. Tangan kanan yang dihulur Azzam segera disambutnya. Lalu dijabat seperti biasa.

“Samalah.” Azzam segera mengukirkan senyuman yang meleret.

“Baguslah. Ada jugak geng. Aku, Farid,” ujar pemuda itu yang memperkenalkan dirinya sebagai Farid.

“Aku, Azzam.”

Mereka berdua saling tersenyum. Batang rokok yang dikulum Farid sejak tadi sudah dilempar ke tanah. Beberapa minit kemudian, satu bunyi yang bingit mula menusuk masuk ke gegendang telinga mereka. Kelihatan sebuah kapal mewah yang tertera tulisan ‘St.Queen’ di badannya muncul membelah kabus pagi. Masing-masing yang berada di pengkalan itu tersenyum panjang.

Kapal St. Queen yang berwarna perak bersinar itu sungguh indah dilihat. Saiznya yang amat besar dipercayai mampu memuatkan lebih daripada 10 000 penumpang dalam satu masa. Lampu cerah yang terpasang membangkitkan lagi kemewahan kapal tersebut. Azzam dilihat sedang tersenyum gembira. Angan-angan yang dibina selama ini untuk menjejakkan kaki di dalam kapal mewah sudah hampir tercapai.

“Hoi...! Kau tunggu apa lagi tu? Jom masuk,” ajak Farid yang sudah menggalas sebuah beg yang terpapar lambang ‘Deuter’.

Azzam segera mendapatkan beg galasnya. Lalu terus mengekori Farid dari belakang. Tumpuannya masih berarah kepada badan kapal tersebut. Sebaik tiba di pintu masuk, Farid dan Azzam diarahkan untuk ke ruangan krew kapal. Mereka hanya menuruti permintaan krew kapal yang telah sedia bertugas di kapal itu.

“Mewahnya kapal ni. Sumpah baru pertama kali aku naik,” ujar Azzam kepada Farid.

Azzam memerhati di setiap inci ruangan dalaman Kapal St. Queen. Dinding kapal tersebut tampak berkilau dengan warna emas. Azzam terlalu ghairah melihat kemewahan kapal tersebut. Beg galasnya diletakkan di sebelah Farid yang awal-awal lagi telah membuat keputusan untuk berehat di atas sofa.

Azzam segera mengatur langkah ke bahagian penumpang. Ruangan itu telah dipenuhi dengan lautan manusia. Bercampur jantina lelaki dan perempuan. Masing-masing menggayakan pakaian yang tampak mewah. Seolah-olah ada majlis besar-besaran yang akan dilakukan seketika nanti.

“Azzam,” sapa Farid dari belakang tubuhnya.

“Ya, bro. Ada apa?” soal Azzam semula.

“Jom, dia orang nak kasi briefing sikit.” Farid terus berjalan kembali semula ke ruangan krew kapal.

Azzam hanya mengangguk.

****

Setelah beberapa jam dibawa melawat ke ruangan di dalam Kapal St.Queen, kini Azzam dan Farid tiba di ruangan yang menempatkan sejumlah besar bilik penginapan penumpang. Satu per satu nombor bilik perlu diingati mereka. Seketika kemudian, seorang lelaki yang lengkap berpakaian pejabat berserta kot hitam dilihat sedang memasuki sebuah bilik yang bernombor 119. Azzam hanya merenungi wajah lelaki tersebut.

“Farid, kau perasan tak mamat tu?” soal Azzam dengan nada berbisik. Mulutnya dimuncungkan ke arah bilik itu.

“Takpun, kenapa?” tanya Farid semula sambil matanya berarah ke arah lain. Langsung tidak memandang ke arah yang dituju Azzam.

“Muka dia merah. Macam tengah menangis,” ujar Azzam, bersungguh-sungguh.

“Ada masalah kut. Biarlah...” ucap Farid, selamba.

“Kalah judilah tu.” Tiba-tiba ada seseorang di belakang mereka yang menyampuk perbualan Farid dan Azzam.

Azzam mula tidak sedap hati. Dia memandang nombor di pintu bilik itu. Nombor 119. Azzam mula merencanakan sesuatu. Sebaik kesemua penumpang dan krew kapal merehatkan diri, dia perlu bertemu dengan lelaki tersebut. Jika benar lelaki itu kalah dalam perjudian, Azzam perlu segera menemuinya.

****

Seperti yang dirancangkan, senyap-senyap Azzam menyusur keluar dari ruang rehat krew kapal. Dia masih bertegas untuk menemui lelaki tersebut. Jam ditangan ditilik seketika. Jarum pendek betul-betul berada di angka satu pagi. Jarak dari ruang rehat ke ruangan penginapan penumpang agak jauh.

Beberapa minit telah berlalu, kini Azzam telah berada di ruangan tersebut. Dia segera mencari-cari nombor bilik 119. Namun, Azzam mula mengerutkan dahinya. Masakan tidak, di ruangan tersebut hanya menempatkan sehingga bilik yang ke 118 sahaja. Azzam mula runsing memikirkannya.

Takkan aku tersilap tengok kut...! Keluh Azzam di dalam hati.

Dengan tidak semena-mena, anak matanya terpandang sebuah bilik yang pintunya dipalang ketat. Pintu bilik tersebut juga tidak sama seperti pintu yang lain. Ianya merupakan daun pintu yang diperbuat daripada besi. Tombol pintu turut tidak kelihatan disitu.

“Ehem...”

Tiba-tiba, bunyi berdehem garau lantang kedengaran. Hati Azzam mula berdegup kencang. Risau jika kehadirannya disitu diketahui orang. Azzam mula bertindak ingin melarikan diri. Sempat juga fikirannya ligat berputar memikirkan cara untuk Azzam menyembunyikan diri.

“Tap... tap... tap...”

Kali ini bunyi seperti derapan tapak kaki yang kuat. Bunyi itu seakan-akan bergema di setiap ruang dalam Kapal St.Queen. Makin lama makin kedengaran kuat. Azzam mula hilang kawalan. Apapun yang terjadi, dia harus cepat menyembunyikan diri. Secara tidak langsung, dia terus merempuh pintu besi bilik yang dipalang itu. Serta-merta tubuhnya diserap masuk ke dalam bilik tersebut.

Usai berada di dalam bilik yang dipalang itu, Azzam yang sedang terbaring segera bangkit. Ruangan di dalam bilik itu gelap gelita. Tiada langsung sebarang garis cahaya. Hanya bunyi enjin kapal yang bingit menemaninya kala itu. Azzam segera memandang keseluruhan bilik itu dengan mata yang terkebil-kebil. Tiba-tiba, hidungnya menangkap satu bau yang aneh. Bau tanah yang masih berlumpur.

Azzam memekup hidungnya dengan tapak tangan kanan. Tangan kirinya terkapai-kapai mencari suis lampu bilik tersebut. Pelan-pelan dia berganjak ke dinding bilik. Tanpa sebarang bicara, dia segera meraba-raba di dinding bilik itu. Tiba-tiba, tangan kirinya tersentuh sesuatu. Teksturnya seakan-akan kain. Azzam terus meraba-raba kain itu. Alangkah terkejutnya dia apabila tersentuh sesuatu yang membunjut.

Azzam meneliti bunjut itu. Bunjut itu kelihatan seperti bungkusan guni yang diikat diatasnya. Dengan tidak semena-mena, bunyi berdehem sekali lagi kedengaran. Serta-merta nafas Azzam turun naik.

“Ehem...”

Azzam memaling wajahnya ke belakang. Tiada sesiapa yang berada disekitarnya. Lantas dia memalingkan wajahnya ke arah bunjut itu semula. Alangkah terperanjatnya Azzam sebaik terlihat sepasang mata yang berwarna merah menyala di hadapannya. Lidahnya terkelu bukan kepalang. Bebolanya mata juga terbuntang luas.

Makhluk bermata merah itu mula bergerak dari tempat asalnya. Dia melompat-lompat dari satu tempat ke tempat yang lain. Bunjutnya juga kelihatan seperti sedang melambai-lambai. Azzam masih terpaku disitu. Sepasang kakinya juga dirasakan seperti tertanam di lantai bilik tersebut.

Makhluk itu terus melompat-lompat kecil mendekati Azzam. Pandangan mata Azzam juga mula berbalam-balam. Namun, sempat juga dia memerhati ke sudut bilik. Terdapat sekeping papan tanda yang tertera tiga angka nombor. Nombor 119. Azzam terus terjelepok jatuh ke atas lantai. Makhluk yang dilihat sebagai pocong itu hanya tersenyum.

****

“Azzam, Azzam. Bangunlah...” Farid menampar-nampar lembut pipi Azzam.

Azzam mulai sedar. Dia bingkas memanggungkan kepalanya. Lantas dia memandang sekeliling. Begitu ramai orang yang memerhatinya kala itu. Ada yang masih lengkap berpakaian tidur. Ada juga yang berseluar pendek mahupun hanya bertuala.

What’s going on?” salah seorang pelancong asing mula bersuara.

Azzam meraup wajahnya berkali-kali. Kedua belah matanya juga digenyeh-genyeh. Dia memandang wajah Farid yang masih menanggung kantuk.

“Kau ni dah kenapa?” soal Farid sambil menggosok matanya.

“Kenapa? Kenapa apa?” Azzam masih lagi keliru.

“Yalah. Yang kau baring kat sini buat apa? Pastu kau meronta macam orang kena rasuk. Sampai satu kapal dengar kau jerit,” ujar Farid sambil membantu Azzam untuk bangkit.

Azzam masih keliru. Berkali-kali dia memandang ke arah bilik yang dipalang itu. Bagaimana dia boleh berada di luar sedangkan dia sudah berada di dalam bilik itu tadi? Siapakah yang mengeluarkan dia dari situ? Apa kaitan bilik itu dengan bilik yang bernombor 119? Pelbagai persoalan mulai membenih di benaknya.

“Sudahlah. Kau pergi rehat. Muka kau pucat semacam aje ni,” pinta Farid lalu segera memapah Azzam ke ruang rehat krew kapal.

Azzam hanya mendiamkan diri. Dia hanya menuruti permintaan Farid tanpa sebarang kekangan.

Sesudah tiba di ruang rehat, dia segera membaringkan tubuhnya di atas katil. Namun, matanya masih tidak boleh lelap. Ada saja yang serba tak kena. Segera dia mencapai telefon bimbitnya. Lalu Azzam terus mencari nombor telefon Qistina. Butang dail ditekan.

Azzam mula hampa. Nombor telefon Qistina tidak dapat dihubungi. Seperti yang dikatakan operator tersebut, nombor telefon Qistina tiada dalam perkhidmatan. Azzam mengeluh kasar. Telefon bimbitnya dicampak di tepi bantal. Namun dicapai semula tidak sampai beberapa saat.

Azzam terus menekan aplikasi pesanan mesej. Nombor telefon Qistina dimasukkan di ruangan penerima.

Qis, awak pergi mana? Saya call pun tak dapat. Saya ada sesuatu nak tanya awak. Awak ada maklumat tak tentang bilik penginapan penumpang yang bernombor 119? Saya rasa ada sesuatu yang tak kena. Lagi satu, bilik yang daun pintunya dipalang dengan rantai besi. Saya musykil kenapa bilik itu kunci? Saya harap awak balas mesej ini ya.

~Azzam~

Azzam terus menekan butang hantar. Selepas beberapa minit, telefonnya dicampak ke tepi bantal semula. Kain selimut yang menutupi kedua belah kakinya ditarik hingga paras bahu.

Siang tadi aku yakin memang bilik itu tak ada. Tapi, kenapa tadi bilik itu ada? Ke sebenarnya bilik tu dan bilik bernombor 119 adalah bilik yang sama? Kalau sama, kenapa siang tadi bilik tu tak dikunci? Malam dikunci dengan palang besi lagi. Azzam meneka-neka di dalam hati.

Seketika kemudian, dia terus memejamkan matanya. Risau jika kepenatan pada esok hari. Azzam perlu merehatkan diri untuk melaksanakan tugas pada hari seterusnya. Misteri tentang bilik 119 masih bermain-main di fikirannya.

~ TAMAT ~

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.