Home Cerpen Seram/Misteri SIHIR BADI
SIHIR BADI
Fazrin Fauzi
19/11/2016 01:56:22
3,575
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

Amzar tersenyum sendiri di meja tugasnya. Terdetik rasa bangga yang amat di dalam hati setelah diberi kata-kata semangat yang memberangsangkan oleh pihak atasan. Tugasan yang diamanahkan kepadanya kelmarin telah disudahkan dengan baik sekali. Keringat gemuruh yang gugur membasahi segenap seragam hitamnya hanya dibayar dengan pujian. Itu yang dimahukan Amzar.

“Mesti naik pangkat ni,” ujar Amzar sekadar berbisik sendirian.

Amzar yang memegang jawatan sebagai Cif Inspektor di dalam Polis Diraja Malaysia diberi kepercayaan oleh pihak atasan untuk mengemudi pasukan polis bagi mencegah kemasukan pengganas ke dalam negara Malaysia. Hal ini disebabkan prestasi yang ditunjukkan beliau begitu cemerlang semasa sesi latihan sehingga dianugerahkan pangkat Cif Inspektor itu.

“Senyum panjang kau, Am.”

Lamunan Amzar terhenti serta-merta sebaik pintu biliknya dikuak oleh seseorang. Seseorang yang sangat dikenalinya sejak sesi latihan lagi.

“Hisy... terkejut aku. Kau dari mana ni, Epul?” soal Amzar kepada rakan sejawatnya, Saiful.

Saiful yang memegang jawatan sebagai Sarjan merupakan rakan sejawat Amzar di dalam Polis Diraja Malaysia ini. Mereka sudah saling mengenali sejak pertama kali melangkah masuk ke dunia kepolisan. Jadi, Saiful benar-benar sudah masak dengan perangai Amzar yang suka mendabik dada.

“Aku ada aje kat luar tu. Pegawai atasan cakap apa kat kau dalam bilik mesyuarat tadi?” soal Epul dengan nada mendatar.

“Ha ha. Aku dah agak mesti kau nak tanya soalan ni. Macam biasa. Dia orang puji aku ajelah,” ucap Amzar dengan sedikit riak. Bibirnya masih tidak lekang dengan senyuman meleret.

Saiful memandang wajah Amzar dengan reaksi yang sedikit rasa kecewa. Masakan tidak, Saiful yang juga menyumbang tenaga dan sanggup menggadai nyawa dalam kumpulan tentera tersebut langsung tidak diambil peduli oleh pihak atasan. Hanya kerana sebutir peluru daripada laras pistol yang digunanya menujah tepat ke dada ketua kumpulan pengganas itu, mereka seolah-olah mengagungkan Amzar sehingga terlupa bahawa ada lagi yang lebih baik daripada Cif Inspektor tersebut.

Amzar mengerling ke arah jam dinding biliknya. Waktu sudah hampir menjengah ke angka enam petang. Itu tandanya waktu bekerjanya sudah tamat. Segera Amzar mengemas mejanya yang sedikit bersepah dengan helaian kertas. Beg sandangnya yang memuatkan sebuah komputer riba digendong rapi.

“Epul. Aku nak balik dulu,” ujar Amzar sambil tersengih bagai kerang busuk.

“Okey.” Itu saja yang terpacul daripada bibir Saiful.

“Eh, sebelum terlupa. Malam ni jumpa kat tempat biasa. Ingat nak buat ‘open table’ sikit meraikan kejayaan aku membedil ketua pengganas tu semalam, ha ha,” kata Amzar.

“Insya-ALLAH.” Saiful terus melangkah keluar dari bilik itu. Wajahnya kusam tanpa segaris senyuman.

Jealouslah tu, monolog Amzar di dalam hati.

*

Usai tiba di rumah kuarters Polis Diraja Malaysia, Amzar segera memarkir kenderaan yang dipandunya sedikit jauh dari kebiasaan. Hal ini disebabkan kenderaannya sering dihalang oleh kenderaan lain pada waktu malam jika diparkir berdekatan dengan blok rumahnya. Mahu tidak mahu, dia terpaksa reda untuk berjalan jauh.

Amzar segera keluar dari perut kereta. Punat berwarna hijau pada alat kawalan jauh ditekan bagi memastikan keretanya dikunci.

Ruangan kaki lima di setiap blok terus dilewati Amzar satu per satu. Hanya lampu jalan menjadi peneman kala itu. Suasana pada malam itu dirasakan amat pelik. Sunyi sepi bagai bandar yang telah lama ditinggalkan. Tidak seperti malam-malam sebelum ini. Riuh rendah seperti di tengah kota metropolitan. Amzar langsung tidak mempedulikan situasi pelik itu. Sebaliknya dia hanya meneruskan langkah kakinya seperti biasa.

Beberapa minit kemudian, tangan kanan Amzar lekas menyeluk kocek seluar. Sekotak rokok berjenama ditariknya keluar bersama pemetik api. Namun, kedua-duanya tidak semena-mena jatuh ke lantai. Amzar dapat merasakan ada sedikit tiupan angin yang mengena ke pergelangan tangannya.

Amzar tunduk ke lantai. Wajahnya juga turut dihala ke bawah. Lantas kotak rokok bersama pemetik api dicapai. Usai dicapai segala barang-barang itu, Amzar segera bangkit. Namun, sekali lagi dia tercengang. Sepertinya ada sesuatu yang melintasi di hadapan mata. Tiupan angin yang mengena ke pipinya sedikit kuat daripada kebiasaan.

Biarpun keadaan di persekitarannya semakin pelik, Amzar langsung tidak menghiraukannya. Sebaliknya, sebatang rokok terus dikemam di bibir. Pangkal rokok dicucuh menggunakan pemetik api. Lalu Amzar segera melangkah tanpa memandang sekeliling. Tanpa dia sedari, ada sesuatu yang sedang memerhatikannya dari celahan semak.

*

Cuaca pada malam itu sungguh sepi. Keriuhan cengkerik yang mengatur melodi indah langsung tidak didengari. Selang beberapa minit, Amzar telah tiba di depan blok Kemboja. Entah mengapa hatinya tidak seberapa tenteram. Dek kerana dia telah diberikan rumah di aras paling bawah, Amzar tidak perlu bersusah payah lagi untuk mendaki naik ke tingkat atas. Tidak seperti rakan sejawat yang lain seperti Saiful. Mereka awal-awal lagi telah diputuskan untuk tinggal di aras yang lebih tinggi. Hal ini disebabkan pihak pengurusan tidak mahu rumah-rumah yang berada di atas sana dibiarkan tiada penghuni.

Amzar segera menujah sebentuk kunci ke dalam ruang kecil yang terdapat di tengah-tengah tombol pintu. Lalu dia terus memutar kunci itu ke kanan dan pintu rumah terkuak dengan sendirinya. Seketika kemudian, bau busuk seakan bangkai terus menerpa ke arahnya. Ada juga yang menyelinap masuk ke ruang hidung hingga menyebabkan Amzar melangkah ke belakang dengan sendiri.

“Hisy... bau apa ni?” soal Amzar, perlahan.

Entah kenapa kedua belah matanya tertumpu ke arah dapur yang gelap tanpa segaris sinar cahaya. Hanya berbekalkan lampu kalimantang di ruangan kaki lima rumahnya, kelibat sesuatu dapat dilihat Amzar dengan jelas. Jantungnya mula berdegup laju. Dadanya bagai dipalu kuat.

Sepasang mata berwarna merah bersinar sedang memandang tepat ke arahnya. Amzar mula gentar. Pintu rumahnya ditarik kembali. Dia hanya mampu berdiri tegak memandang ke muka pintu. Entah mengapa perasaan berani dalam dirinya makin pudar. Fikirannya gelisah. Adakah dia sedang berilusi?

Selang beberapa minit, Amzar mula mententeramkan dirinya. Dia terus mengurut dadanya dari arah atas ke bawah. Nafasnya yang tersekat sejak tadi sudah beransur pulih. Semangatnya yang hilang telah beroleh kembali.

Tombol pintu disentuh semula. Sempat juga Amzar bertafakur buat seketika. Perasaan yakin bahawa dia hanya berilusi mula menebal dalam diri. Kewujudan makhluk halus hanya sekadar omongan kosong buat dirinya.

“Alah, mengarut aje. Aku yakin, khayalan aje semua tu...”

Lantas Amzar memulas tombol dan menolak daun pintu sekuatnya.

Amzar memasang penglihatan ke segenap ruang rumah. Sepertinya, kelibat bermata merah yang berada di dapur sebentar tadi sudah ghaib. Amzar terus melebarkan senyumannya. Memang sah, khayalan aku, Bisik Amzar di dalam hati. Bibirnya digerakkan hingga ternaik sedikit di hujungnya.

Namun, kebahagiaan Amzar tidak bertahan lama. Sekali lagi dia diuji dengan kemunculan kelibat itu. Kali ini tampak lebih menakutkan. Kelibat tersebut muncul dari dapur sambil menayangkan seluruh tubuhnya. Tubuhnya kelihatan seperti lelaki yang sudah separuh abad usianya. Wajah lelaki itu bengis bagai sedang perit menahan sakit. Peliknya lelaki itu hanya menggosok dadanya dengan kuat tanpa sebarang reaksi yang lain.

Amzar terdiam seribu bahasa. Kedua belah kakinya bagai tertanam di tanah. Tulang-temulangnya juga dirasakan mulai goyah. Sepertinya bisa tumbang bila-bila masa sahaja. Lelaki itu masih lagi menatap ke wajah Amzar. Sesekali dilihat matanya bersinar kemerah-merahan.

Seketika kemudian, pandangan Amzar mulai kabur. Kelibat lelaki itu dilihat semakin menghilang. Namun, wajah bengis menanggung amarah dapat dilihat begitu jelas. Apa yang telah dilakukan oleh Amzar? Apa kaitannya Amzar dengan lelaki itu?

Amzar mulai bingung. Lalu terus rebah di tengah ruang tamu rumahnya.

*Bersambung...

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.