Home Novel Thriller/Aksi IMPLISIT
IMPLISIT
#mystrill
21/11/2019 14:07:07
25,314
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 7

Johor,

Bandar Muar, Hotel D99


Sudah dua hari Ratna tinggal di situ, bekalan duit memang tidak cukup. Itu pun sempat diambil dari bosnya sebelum lari. Di sebabkan tiada sijil dan kepandaian lain, dia sekadar bekerja mencuci pinggan mangkuk di belakang kedai makan, memang dia tidak mahu dikenali pun. Dia memilih kerja yang boleh menyembunyikan dirinya. Rumah sewanya pun rumah usang yang agak buruk. Jadilah, asalkan ada tempat berteduh dan tidak diketahui sesiapa. Dia berdiri berjalan ke arah cermin, melihat wajahnya yang sedikit suram. Dia cuba tertawa, namun senyuman itu seolah tidak bercahaya. Terpadam tidak berseri.

Kepalanya menunduk, jari jemarinya memegang baju kurung berwarna merah jambu yang dipakai. Tempoh hari berbunga, hari ini gambar rama-rama. Sekali lagi dia mendongak, melihat wajahnya di dalam cermin.

“Cantik...”ujarnya sendiri. Dia menari-nari di depan cermin itu kemudian berbaring di katil sambil mendepa tangan.

Bebas!!

Dia suka. Bosan sudah hidup di rumah sewanya. Tidak ada apa-apa, bersendirian, namun dia tidak menafikan yang dia terlalu rindukan adik beradik yang lain. Sudah terlalu lama dia meninggalkan mereka semua.

“Ah!! Pedulikan mereka.” Ratna terus menari di dalam bilik tersebut sambil dia menyanyi lagu dan irama balada dari Siti Nurhaliza. Ratna mengeluarkan beberapa anak patung dan teddy bear kepunyaannya yang telah tersimpan lama di stor. Dia tidak lupa untuk bawa sewaktu melarikan diri dulu.

Dia memeluk patung kecil itu. Pemberian dari arwah ibunya. Sekarang semuanya telah berubah. Dia tidak suka dengan keadaan sekarang. Dia benci dengan perkara yang perlu ditempuh.

Anak patung itu diletak kembali. Dia menyelak langsir tingkap. Kenderaan di bawah semakin sesak. Di tengah bandar, terdapat logo mahkota yang menunjukkan lambang kemegahan negeri bersultan.

“Cantik tempat ni. Aku suka.” Ratna mengangguk, memberi jawapan pada soalan mindanya. Tapi dia tidak boleh terdedah. Dia perlu sembunyi. Buat masa sekarang ini dan entah sampai bila, dia tidak mahu orang tahu tentang dirinya.

Di sebelah bawah beg, terdapat gambar keluarganya. Ibu, ayah dan adik beradik lain lagi. Kelihatan abangnya agak gemuk ketika itu. Ratna mencium gambar itu beberapa kali..

“Aku perlu cari seorang suami. Aku perlukan zuriat sebagai penyambungketurunan aku.” Ratna bercakap sendiri, nadanya meninggi kerana marah. Dia tidak mahu melempiaskan rasa itu sekarang. Belum masanya. Dia punyai perancangan sendiri.

Perancangan yang diaturkan untuk masa depannya, rancangan yang akan mengubah segalanya. Ya! Rancangan yang akan mengubah dunia.

Ratna ketawa sendiri, dia berbaring di lantai bilik. Melayan perasaannya. Apa yang dia lalui dan apa yang dia alami, mengubah terus watak dirinya sebelum ini. Dia bukanlah seperti sekarang, bukan!

Tawanya bergema di seluruh bilik. Tidak berhenti dan menyeramkan. Sesekali Ratna menarik-narik rambutnya yang sudah diikat kemas, sehingga wanita itu kelihatan berserabut seperti mana galau hatinya ketika ini.


Kampung Parit Jawa,


“Ayah tak setuju!!” Hj Redan tetap dengan keputusannya. Dia tidak mahu langsung Kartina rapat atau menjalinkan sebarang hubungan dengan Arif.

“Kita pun bukan orang senang bang,” tegur Siah, tidak suka dengan cara suaminya menolak keputusan Kartina

“Tina! Kalau kau balik sekadar untuk berbual pasal Arif, lebih baik kau keluar dari sini.” Hj Redan tidak dapat menahan marah. Kartina pula menangis. Dia berlari masuk ke dalam bilik.

“Ayah...lebih baik kita pergi rumah Arif dan beritahu perkara sebenar,” ujar Danial yang dari tadi diam tidak bercakap. Danial adalah abang sulung Kartina.

“Kau ingat budak Arif tu nak faham? Dia bodoh! Tahu tak bodoh!?”

“Abang...sudahlah tu! Tak usah lah nak menghina keluarga Rosnah tu. Kalau pun awak marahkan suaminya, jangan pula lepaskan pada Arif tu.” Siah terus bangun dan beredar. Memang dia tidak bersetuju dengan cara suaminya mengendalikan masalah yang berlaku. Dan dia memang kecil hati setiap kali Hj Redan menunjukkan rasa bencinya terhadap keluarga Rosnah dan Junid.

Danial menoleh sehinggalah ibunya masuk ke ruang dalam. Nafasnya dihela kasar. Dia tidak suka dengan apa yang berlaku sebenarnya.

“Ayah...sudahlah yah. Saya tidak mahu perkara ni dipanjangkan, lagipun Kartina tu baru je balik kan? Janganlah berkeras sangat,” pujuk Danial.

“Aku tak nak Arif tu ada hubungan dengan adik kau, Danial.”

“Ye..saya akan nasihatkan nanti.”

.

ARIF masih duduk termenung di tangga depan rumah. Habis rumput-rumput yang dicabut bersepah dibaling. Terngiang-ngiang lagi Hj Redan menengkingnya malam semalam sebaik membawa Kartina pulang. Memang salahnya juga sebab lewat. Mana tidaknya, kalau sudah sekumpulan lelaki yang mengejar. Dia sudahlah tidak pandai sebarang ilmu persilatan. Kalau dipukul nanti? Tidakkah naya?

“Tulah...mak dah cakap, Arif tak nak dengar.” Rosnah duduk di atas tangga rumah sambil ketawa kecil. “Mak dah cakap, Kartina tu emas, Arif tu kaca...” Lembut tutur wanita itu, agar kata-katanya tidak melukakan perasaan Arif.

“Mak...orang dah kawan dengan dia dari dulu tau.”

“Arif kan muda dari dia.”

“Tina tak kisah... halaa bapak dia yang melebih-lebih. Jahat!”

“Ishhh...tak baik cakap macam tu. Tak baik melawan orang tua...” nasihat Rosnah lagi. Dia tahu bagaimana berkecamuknya perasaan Arif sekarang. Malam semalam juga dia terpaksa pergi ke rumah Siah di hujung kampung. Nasib baik dia cepat, kalau tidak sudah tentu Hj Redan naik tangan.

“Jadi...apa Arif nak buat sekarang?”

“Arif nak kawin dengan Tina.”

“Arifff...selain dari Tina tak boleh ke?”

Kali ini Arif duduk bersila. Muncungnya sudah sedepa kedepan. Memang dia tidak mengenali pun mana-mana gadis lain. Dia suka pada Tina. Dia mahu mengahwininya.

“Orang dah bawa, Tina jalan-jalan dah mak. Pergi fun fair,belanja aiskrim. Dia suka orang... orang suka dia.”

Rosnah menuruni anak tangga. Mahu juga dia tergelak, tapi ditahankan dahulu, nanti tentu Arif akan berkecil hati. Dia tahu tentang mereka sudah lama, cumanya dia tidak tahu pula jika Arif benar-benar serius. Sampailah bulan lepas keluarga Hj Redan datang apabila Kartina berterus terang. Betul-betul lelaki itu mengamuk.

“Kalau ada orang lain yang cantik dan lebih baik dari Tina, Arif nak tak?”

Anak lelaki itu menggeleng perlahan.

“Arif...cinta ni lebih dari tu. Cinta ni luas. Perkahwinan tidak terbatas dalam skop yang kecil. Banyak perkara yang perlu Arif tahu.”

“Orang boleh belajar mak.”

“Mak tahu... tapi soalnya sekarang, ini realiti Arif... ini bukan cerita wayang atau novel yang selalunya, kita dapat apa yang kita nak. Dalam hidup ni, menyintai tak semestinya memiliki.”

“Orang pernah baca tu dulu. Dalam buku yang arwah ayah beli.” Arif mengangkat jari telunjuknya.

“Arif faham maksudnya?”

Anak lelakinya mengangguk. “Tapi orang nak kahwin dengan Kartina, boleh mak?”

“Arif kata faham tadi....”

Sekali lagi anaknya mengangguk faham. Dan Rosnah tidak tahu apa yang anak lelakinya faham mahupun tidak faham. Penat juga dia menerangkan, tapi Arif tidak fokus langsung. Fikirannya entah ke mana. Hanya Kartina sahaja yang dia mahu.

“Arif dah, Jom! Sekejap lagi Zohor ni.” Pelawa Rosnah selajur bangun. Arif bersiap-siap kali ini. Baju melayu dan songkok telah siap disediakan oleh ibunya. Hanya tidak lama selepas itu, bunyi azan zohor kedengaran dilaungkan.

.

"INGATLAH kata-kata Imam Syafie sebagai panduan untuk kita semasa memberikan nasihat kepada sesiapa sahaja. Berikanlah nasihat kepada aku di kalaaku sedang bersendirian dan janganlah menasihati aku di kala aku ditengah kerumunan orang. Memberi nasihat di tengah keramaian orang samalah dengan kehinaan dan aku tidak sudi untuk mendengarnya. Apabila engkau tidak bersependapat dengan aku dan aku tidak mahu mematuhi nasihat kamu, maka janganlah kamu marah." Imam Ruhaidi memberikan sedikit tazkirah sebaik sahaja selesai solat zohor berjemaah. Dalam ramai-ramai anak kampung, Arif adalah antara yang tidak pernah meninggalkan masjid. Malah selepas habis solat, dia lahyang pertama akan duduk di barisan hadapan untuk mendengar ceramah.

"Kehidupan kita di dunia ini tidak menjanjikan satu jaminan yang berkekalan. Apa yang ada hanyalah percubaan, cabaran dan pelbagai peluang. Jaminan yang kekal abadi hanya dapat ditemui apabila kita kembali semula kepada Ilahi."

Arif tidak langsung berkelip mata semasa mendengar, segar otaknya dihujani dengan ayat-ayat yang menenangkan jiwa. Bagi Arif dia suka! Biar pun tak pandai, tapi agamanya terjaga.

Rasulullah s.a.w bersabda bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah memberi wahyu kepada Aku yang memerintahkan supaya kamu semua bersifat tawadduk sehingga tidak ada seseorang pun merasa dirinya megah (lebih bangga diri) dari orang lain dan tidak boleh seseorang itu menzalimi dan melampaui batas terhadap orang lain.”

“Betul...betul...” sampuk Arif. Geram pula bila mengingatkan cara Hj Redan menengking dan memakinya semalam. Tidak patut!

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah suatu kaum menghina kaum yang lain, sebab mungkin sekali mereka yang dihina itu lebih baik dari yang menghina. Dan jangan pula kaum perempuan menghina perempuan yang lain, barangkali mereka yang dihina itu lebih baik dari mereka yang menghina.”(al-Hujurat: 11)

Imam Ruhaidi diam sebentar, meneguk air kosong di sebelahnya. Tersenyum dia melihat Arif yang masih lagi memberi sepenuh perhatian. Barulah dia menyambung.

“Yang dimaksudkan dengan penghinaan, ialah memandang rendah atau menjatuhkan taraf orang lain, ataupun mendedahkan segala keaiban-keaiban dan kekurangan-kekurangan mereka dengan tujuan menjadikannya sebagai bahan ketawa. Ini boleh berlaku dengan menceritakan perihal orang dalam tutur katanya, dalam perilakunya ataupun dengan cara-cara lain yang boleh menunjukkan maksud dan tujuan yang sama. Punca utamanya ialah merendahkan diri orang lain,atau menjadikannya sebagai bahan ketawa di mata orang ramai, menghinadan memperkecilkan kedudukannya.”

“Jadi dalam hal ini, Allah telah mengingatkan kita seperti dalam firmanNya:Mungkin sekali yang dihina itu lebih baik dari yang menghina, yakni jangan kamu merendahkan atau memperkecilkannya, sebab mana tahu barangkali orang itu lebih mulia dan baik dari kamu.” Imam itu melirik mata ke arah anak muda yang paling hadapan.

“Arif, tutup mulut jangan menganga sangat, masuk lalat.”

Kesemua jemaah ketawa kecil. Siapa yang tidak kenal dengan lelaki itu. Arif, dia seorang pemuda yang baik dan paling rajin menghuni surau di Kampung Parit Jawa.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.