Home Novel Seram/Misteri PARUT
PARUT
Dannie Sofea
29/9/2014 00:29:56
21,679
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
BAB 1

BAB 1

Kepalanya berdenyut-denyut. Sakit! Macam baru kena baling dengan batu. Haifa cuba mengangkat, mahu memicit kepalanya yang berdenyut-denyut itu. Ternyata dia tidak berdaya hendak mengangkat tangan. Ada balutan putih di pergelangan tangan kanannya. Tangan kirinya pula dicucuk dengan jarum dan ada wayar bersambung dengan botol air yang tergantung di tepi katil.

Di mana aku? Haifa cemas lantas memandang sekeliling. Sejurus kemudian barulah Haifa sedar. Dia berada di dalam wad. Pantas matanya menerawang. Katil di sebelahnya kosong tak berpenghuni. Dinding konkrit berwarna putih itu serta tabir biru menghalang pandangannya.

Haifa cuba sekali lagi untuk bangun. Tak berjaya. Dia cuba lagi. Pun tak berdaya. Terasa sakit pada semua sendi. Tak ada daya dan kekuatan untuk dia menggerakkan tangan dan kaki. Terasa berat, sakit dan pedih.

Kenapa aku boleh terlantar di sini? Haifa segera mengerahkan otaknya supaya berfikir untuk mencari jawapan kenapa dia boleh terdampar di sebuah hospital tanpa ada sesiapa yang menemaninya.

Dia pejam mata, menarik kembali segala memori. Berat. Hendak berfikir pun terasa lemah. Memorinya terasa ditinggalkan jauh ke belakang. Sukar hendak mengutip semula.

Haifa dapat rasa, dia telah tertidur dalam satu jangka masa yang agak panjang tanpa disulami mimpi. Dan apabila tersedar, dia berada di sebuah wad. Aneh! Apa sebenarnya yang sudah berlaku? Kenapa memoriku lambat benar untuk kembali? Dahinya berkerut-kerut mencari jawapan sambil menahan sakit.

Kaki, tangan dan seluruh badan sakit-sakit. Dia memandang seluruh anggota badannya. Melihat keadaannya itu, dia menduga penyebab dia berada di situ tak lain dan tak bukan tentu kerana kemalangan.

Tentu aku terlibat dalam kemalangan, sebab itu badan aku habis berbalut. Kemalangan apa yang telah menimpa aku? Ya ALLAH, tolonglah hambaMu ini mengingati kembali apa yang telah menimpa aku. Dia hanya mampu menggerakkan bibir dan jari-jemari.

Astaghfirullahhalazim. Haifa beristighfar banyak-banyak. Dia membaca al Fatihah berulang kali. Perlahan-lahan dia mula mengingati apa yang telah menimpanya sehingga menyebabkan dia terlantar di hospital.

Lewat senja itu, dia sedang memandu sebuah Proton Wira berwarna biru gelap. Sebuah Perodua Kancil berwarna merah tiba-tiba muncul laju dari simpang kanan ketika lampu isyarat sudah bertukar mewah. Haifa mahu menekan pedal brek, namun tertekan pedal minyak. Wira milik ayahnya terus merempuh Kancil.

Hiafa menghela nafas panjang. Itulah penyebab dia berada di situ. Dia memanjatkan syukur kepada ILAHI kerana masih dipanjangkan umur.

Ayah! Haifa teringat sesuatu. Dia tidak bersendirian di dalam kereta ketika kemalangan. Ayah juga ada di sebelahnya. Hasrul, adik bongsu berada di belakang. Ayah! Hasrul! Di mana mereka?

Dia cuba bangun dari katil. Tapi... dia tidak berdaya untuk bergerak. Dia yakin ayah dan Hasrul juga terlantar di wad. Dia mahu berjumpa dengan mereka berdua untuk memastikan keadaan mereka.

Seorang lelaki yang tidak dikenalinya tiba-tiba melangkah masuk.

“Doktor, mana ayah saya?” Haifa terus mengajukan pertanyaan. Suaranya lemah.

Lelaki berbaju biru itu menghampiri katil. Soalan Haifa dibiarkan tanpa jawapan. Dia bukan doktor.

“Syukurlah, awak dah sedar.” Dia berharap agar Haifa sudah mengecam wajahnya.

“Ayah dan adik saya di wad berapa doktor?” Haifa cuba menarik tangan lelaki yang disangkanya doktor itu.

“Saya bukan doktor... awak dah tak cam saya?” berkerut keningnya memandang Haifa yang masih tidak mengenalinya.

“Siapa awak?” Haifa memandang lelaki yang disangkanya doktor itu atas bawah penuh curiga.

Mikhail mengerutkan dahi. Dia merenung gadis yang terbaring di atas katil itu bagaikan tidak percaya. Gadis itu yang merayu pertolongan darinya. Dan sekarang gadis itu pura-pura tidak mengenalinya???

“Awak dah tak ingat? Kita dah berkenalan sebelum ni. Kedai makan... Betong... ingat?” Mikhail cuba mengingatkan Haifa dengan perkenalan singkat mereka.

Haifa terkebil-kebil memandang lelaki yang tidak dikenalinya itu. Bila masa pulak aku berkenalan dengan dia? Kenapa aku tak ngat? Kedai makan? Betong? Haifa tidak faham apa yang cuba disampaikan lelaki itu.

“Haifa kemalangan. Saya yang hantar Haifa ke sini.”

Jadi, dialah insan yang baik hati yang telah menghantar aku ke sini. Aku ingatkan siapa tadi. Tapi... pelik jugak. Macam mana dia tahu nama aku? Rasanya lepas kereta aku menghentam Kancil, aku dah tak ingat apa-apa.

“Ayah dan adik saya di wad berapa?” Haifa ketepikan soal bagaimana lelaki itu tahu namanya. Dia mengandaikan lelaki itu mungkin telah melihat Kad Pengenalannya. Perkara utama sekarang adalah mengetahui keadaan ayah dan adiknya yang turut berada di dalam kereta ketika kemalangan berlaku.

Ayah? Adik? Mikhail sekali lagi bingung. Kenapa Haifa tiba-tiba mengajukan pertanyaan yang tak berkaitan?

“Ayah?”

“Masa kemalangan tu ayah di sebelah saya. Adik saya pulak duduk di belakang.”

“Tak adalah. Haifa mangsa langgar lari. Masa saya jumpa Haifa, tak ada orang lain kat tempat kemalangan tu.” Mikhail menerangkan kedudukan yang sebenar. Dia yakin tidak ada lelaki lain di tempat kejadian. Hanya Haifa seorang. Tubuhnya terhumban dalam semak.

“Eh, Mustahil! Kereta yang saya pandu bertembung dengan kereta Kancil yang tiba-tiba muncul dari simpang. Saya bukan mangsa langgar lari yang awak dakwa. Saya rasa... awak dah salah orang.” Dahinya berkerut-kerut.

“Awak... awak rehat dulu. Saya panggil doktor.” Mikhail segera meninggalkan bilik 107.

Pelik! Kenapa dia dakwa aku mangsa langgar lari? Takkan Perodua Kancil tak mengalami sebarang kerosakan semasa bertembung dengan Proton Wira? Takkan aku seorang yang tercampak keluar dari kereta semasa kemalangan? Mana ayah? Mana Hasrul? Mana pemandu Perodua Kancil?

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.