Home Novel Komedi/Romantik Komedi Tuk! Tuk! Tuk! Housekeeping!
Tuk! Tuk! Tuk! Housekeeping!
Eina Afrina
8/10/2013 12:46:36
41,242
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 12

BAB  12

MALAM itu Azwa mahu tidur awal. Pukul 9.30 malam dia sudah tarik selimut. Esok pagi dia perlu bangun awal. Jam loceng sudah dikunci pukul 5.00 pagi. Hari pertama bekerja mestilah excited kan? Sayangnya mata pula tak mahu terlelap. Bukan kerana bunyi riuh rendah suara anak-anak saudaranya. Suara riuh rendah anak-anak saudaranya itu sudah lali di cuping telinga Azwa. Tiada apa yang hendak dihairankan. Kalau mata dah mengantuk, gajah lalu depan muka pun dia dah tak sedar. Azwa tetap tidur juga dengan lenanya.

Tapi malam ini amat berbeza sekali. Matanya asyik terkebil-kebil mengenangkan hari pertama bekerja esok. Hati rasa berdebar-debar sehingga mata pun tak mahu tertutup. Risau sungguh Azwa jika dia terlewat bangun pagi esok. Sudahlah jarak perjalanan dari rumah Abang Hanif ke Hotel Green Oriental agak jauh. Tak campur lagi jalan menuju ke pusat bandar yang sentiasa sesak.

Azwa memaksa matanya untuk tidur. Sesekali kedengaran suara Kak Wati memarahi anak sulungnya, Adif. Nakalnya hanya ALLAH yang tahu. Entah perangai siapa yang diikut? Abang Hanif pendiam orangnya. Rasanya tidaklah senakal Adif semasa Abang Hanif kecil dahulu. Dah sah-sahlah ikut perangai Kak Wati, kakak ipar Azwa yang tak mesra alam itu. Azwa memang jarang berbual-bual dengan Kak Wati. Mereka macam tak ada keserasian. Jika di rumah mereka selalu buat hal masing-masing.

Jika diikutkan hati, Azwa pun tak ingin tinggal di sini. Kak Wati bagaikan tidak menyenangi keberadaan Azwa di rumah ini. Tetapi mengenangkan tiada tempat untuk dia berteduh buat masa ini, terpaksa jugalah buat muka tak malu menumpang di rumah Abang Hanif. Abang Hanif pula terpaksa bersetuju kerana ini permintaan abah di kampung. Azwa tahu, Abang Hanif tersepit dengan keadaan.

Jam loceng berbunyi tepat pukul 5.00 pagi. Entah pukul berapa Azwa terlena malam tadi, dia sendiri tidak sedar. Tiba-tiba saja jam loceng sudah menjerit-jerit di sisinya menandakan hari sudah subuh dan dia perlu bangun bersiap-siap untuk ke tempat kerja. Sebelum bangun, Azwa mengalihkan kaki Adif yang landing cantik di atas kepalanya. Kurang asam betul! Budak ni tidur sangat ganas. Bukan sekali dua Azwa dapat tendangan penalti.

Hari masih gelap tapi Azwa sudah tercangak di bus stop menunggu bas untuk ke Lebuh Ampang. Dia menyerling jam di tangan. Baru pukul 5.30 pagi. Patut pun masih gelap. Dia harus sampai ke hotel sebelum pukul 7.00 pagi. Kuala Lumpur kan selalu jame, jadi kenalah keluar awal untuk mengelakkan kesesakkan. Timbul pula satu masalah pada Azwa. Dia tidak tahu nak naik bas apa? Maklumlah, semalam dia pergi ke hotel itu bersama Saiful Izzat dengan menaiki motor RXZnya. Balik memang naik bas tapi dia hanya mengikut saja langkah kaki Zaliah. Menyesal betul tak bertanya pada Zaliah secara terperinci. Sekarang dia juga yang susah.

Akhirnya Azwa memutuskan untuk menahan teksi. Rasanya naik teksi lebih terjamin keselamatannya. Pemandu teksi itu akan terus menghantarnya ke destinasi yang dituju tanpa perlu Azwa memeningkan kepala. Biarlah dia korbankan sedikit duitnya untuk hari pertama ini. Yang penting, dia selamat sampai ke destinasi tepat pada masanya.

Ya ALLAH! Rupa-rupanya memandu teksi yang berbangsa Cina itu gatalnya bukan main. Tersengih-sengih memandang Azwa seperti tak pernah jumpa perempuan. Azwa pun satu sengal, yang dia cerdik sangat duduk di depan tu, buat apa? Tangan apek tu sudah mula nak merayap-rayap ke paha Azwa. Cepat-cepat Azwa menepis tangan apek itu.

Uncle, kenapa uncle buat macam ni? Uncle ingat saya ni perempuan tak baik ke?” tegur Azwa.

“Aiya… jangan malu-malulah amoi. Saya dah biasa jumpa perempuan macam amoi. Saya tak caj punya. Saya hantar amoi free saja. Macam mana, ada suka?” kata apek itu dengan yakinnya.

Sah-sah apek ni fikir aku ni perempuan jalang. Apek ni tak nampak ke aku pakai baju kurung ni? Takkan perempuan jalang nak pakai baju kurung? Patut-patutlah kalau nak menggatal pun! Maki Azwa di dalam hati. Dia pakai baju kurung pun sebab dah tak ada baju yang nak dipakai lagi. Kebanyakan koleksi bajunya adalah baju t-shirt bodoh sahaja.

“Saya bukan perempuan macam tu. Saya boleh report polis dengan perbuatan uncle ni. Nanti uncle jugak yang susah. Kalau uncle nak cari duit, carilah duit betul-betul. Jangan buat ini macam sama customer, tak baik. Mentang-mentanglah saya ni perempuan, sendiri pulak tu, uncle ingat senang-senang saja uncle boleh ambil kesempatan?” Azwa menambah dengan lebih tegas lagi. Suaranya kedengaran bersahaja walaupun hati di dalam sedang menyumpah seranah.

Lelaki tua yang Azwa gelar apek itu tergamam. Dia sudah tidak menunjukkan wajah miangnya lagi. Mungkin takut jika Azwa benar-benar melaporkan perbuatannya itu ke balai polis. Mujurlah pemandu teksi itu berbangsa Cina, jika orang Melayu sudah pasti Azwa akan buat taskirah subuh. Biar pemandu teksi tu sedar diri sikit dan cepat-cepat bertaubat.

Sorry, sorry la amoi, saya tak buat lagi. Saya gurau-gurau saja ma,” ucap apek itu.

Maka sampailah Azwa ke Hotel Green Oriental dengan jayanya. Dia terus naik ke tingkat dua. Ada seorang kerani dan seorang supervisor di dalam pejabat itu. Setelah melaporkan diri pada supervisor yang berwajah kerek itu, Azwa diminta pula mengikut kerani yang bernama Zakiah ke bilik uniform.

Azwa memakai uniform yang diberi. Seluar panjang warna unggu dan baju seakan cheongsam yang berlengan pendek. Agak seksi juga pada pandangan mata Azwa, tapi dia diamkan saja. Dia mengikut saja apa yang diarahkan oleh Zakiah tanpa sebarang komplain. Pukul 7.45 pagi waktu untuk briefing. Puan Roy memperkenalkan Azwa kepada semua staf housekeeping.

Di housekeeping ini ada tiga shif tetapi bagi pekerja baru seperti Azwa, dia hanya perlu menjalani satu shif sahaja iaitu shif pagi. Mula bekerja pukul 8.00 pagi hingga 4.00 petang. Dalam masa 8 jam itu dia perlu membersihkan 14 bilik.

“Pagi-pagi naik floor lepas briefing kena check troli. Periksa barangan dan peralatan cukup atau tidak. Kalau tak cukup kena top up apa yang patut. Setiap room attendant akan bawa report dan floor master key yang boleh buka semua pintu. Kunci ni sangat penting dan jangan sekali-kali beri pinjam pada orang lain,” beritahu Fauziah, kakak senior yang akan mengajar Azwa melakukan tugas-tugas sebagai room attendant.

Azwa mengangguk faham dengan penerangan Fauziah. Semasa training dahulu dia juga sudah diajar semua itu. Jadi tidak susah untuk Azwa memahaminya. Di mana-mana hotel pun lebih kurang sama saja peraturannya.

“Sebelum masuk bilik guest, kena ketuk pintu dulu. Tunggu 10 saat. Announce housekeeping sebanyak tiga kali. Kemudian baru boleh masuk. Satu bilik kena kemas dalam masa 20 minit, itu paling cepat. Kalau lambat siap, lambatlah kamu dapat balik. Tak boleh balik selagi kerja tak selesai. Satu lagi, rehat tengah hari 45 minit saja. Antara pukul 12.00 hingga 2.00 petang,” jelas Fauziah lagi.

Macam-macam lagi penerangan yang Fauziah berikan pada Azwa. Azwa angguk saja kepalanya. Dia menghabiskan satu hari itu dengan penuh kesabaran.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.