Home Novel Komedi/Romantik Komedi Tuk! Tuk! Tuk! Housekeeping!
Tuk! Tuk! Tuk! Housekeeping!
Eina Afrina
8/10/2013 12:46:36
75,008
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 9

BAB 9

SETELAH menghabiskan dua hari dalam kebosanan, Azwa dan Zaliah akhirnya meninggalkan Cherating dengan hati yang ceria. Buat pertama kali mereka berasa sungguh lega meninggalkan percutian itu. Apa tidaknya, percutian itu bagaikan tidak memberi apa-apa makna sejak Qallif meninggalkan mereka dan pulang ke Penang dengan tergesa-gesa.

Azwa teringatkan Qallif lagi. Wajah lelaki itu membayangi fikiran dan perasaan Azwa ketika ini. Kenapa harus bayangannya muncul di saat-saat begini sedangkan aku tidak kenal diri Qallif secara peribadi? Bisik hati Azwa untuk sekian kalinya.

Sampainya hati Qallif meninggalkan mereka begitu saja. Padahal chalet mereka hanya selang beberapa buah sahaja. Rasa terkilan dengan sikap Qallif masih terasa hingga kini. Dan kerana rasa terkilan itu juga menyebabkan Azwa nekad tidak menghubungi Qallif hingga ke hari ini, walaupun dia tahu nombor telefon lelaki itu.

Qallif tiada kena mengena dengan diri Azwa. Dia datang bagai menyinggah sebentar. Tiada kepentingan sama sekali. Dia hanya sekadar kawan seperti teman-teman Azwa yang lain. Namun, kenapa harus ada sekelumit perasaan kesal di sudut hati Azwa terhadap Qallif? Perasaan Azwa seolah-olah tidak membenarkan dia melupakan lelaki itu begitu sahaja.

Jika Qallif sekadar seorang kawan, kenapa Azwa harus merasa kehilangannya? Seandainya mereka sudah bertahun mengenali diri masing-masing, kekesalan yang sedang Azwa tanggung ini pasti tidak menjadi satu tanda tanya buatnya. Tapi mereka baru berkenalan beberapa hari yang lepas. Apa yang ada dalam hubungan mereka kalau setakat empat hari itu? Kalaupun kawan biasa, mungkinkah biasa yang ditafsirkan lebih jauh dari erti kata yang sebenar?

“Hai kakak kusayang, macam mana holiday? Seronok tak?” sapa Zaqwan, adik Azwa yang bungsu. Dia masuk ke bilik dan duduk di atas katil Azwa sambil tersengih-sengih.

“Bolehlah.” Ringkas jawapan Azwa sambil membuka beg pakaiannya.

Zaqwan memerhati kakaknya yang kelihatan cukup keletihan. Mungkin perjalanan jauh membuatkan Azwa nampak tidak bermaya.

“Bolehlah aje? Tak best ke?”

“Mestilah best.”

“Tak ada gambar?”

“Akak mana ada bawak kamera,” kata Azwa bagaikan tiada mood ingin melayani adiknya yang banyak tanya itu. Sudah diberikan buah tangan pun masih banyak soal.

“Tangkap gambar guna handphone pun tak ada?” soal Zaqwan lagi.

Dia cuba mencapai telefon bimbit Azwa yang diletakkan di atas lantai bersebelahan tempat Azwa sedang duduk.

Namun belum sempat Zaqwan menyentuhnya, Azwa lebih dulu menyambarnya.

“Tak ada. Kau tahu kan akak ni memang tak suka bergambar. Akak pergi sana pun sebab temankan Kak Zaliah aje. Dia yang beria-ia sangat nak pergi ke Cherating tu,” jelas Azwa sambil menyembunyikan telefon bimbitnya ke belakang.

Dan yang paling penting sekali, dalam telefon bimbitnya itu ada gambar Qallif. Malulah Azwa jika Zaqwan terlihat gambar itu nanti. Pasti Zaqwan yang busybody tahap dewa itu akan bertanya bermacam-macam soalan.

Azwa patut mengucapkan terima kasih pada Zaliah. Zaliah yang mengambil gambar itu ketika di tepi pantai beberapa hari yang lalu. Bolehlah gambar itu menjadi kenang-kenangannya bersama Qallif. Aduhai, parah kau ni, Azwa!

“Kedekut!” getus Zaqwan.

“Nanti bila akak dah kerja kat KL, akak duduk dengan Abang Hanif ya?” sambung Zaqwan pula.

Azwa berhenti memunggah pakaiannya keluar. Pandangannya kini difokus pada Zaqwan yang masih setia melangut di atas katilnya.

“Hmm… Mana Wan tahu?”

“Abah yang cakap. Abah tak percaya kalau akak duduk sendiri.”

“Kenapa pulak?”

“Akak kan perempuan, bahaya duduk sendiri di KL tu. Lagipun, akak bukan biasa sangat dengan KL tu,” jelas Zaqwan.

Azwa mencebik. Dia baru saja berangan-angan ingin meminta tolong Zaliah mencarikan rumah sewa di Kuala Lumpur nanti. Sebenarnya rancangan abah itu sudah lama Azwa tahu, cuma dia masih menaruh harapan abah akan mengubah pendirian yang satu itu. Tidak betah rasanya tinggal di rumah Abang Hanif. Bukan abah tak tahu rumah Abang Hanif itu sempit. Sebolehnya Azwa tidak mahu menyusahkan Abang Hanif. Dia mahu berdikari sendiri.

Azwa meneruskan kerjanya mengeluarkan pakaian dari beg besarnya. Ada sesetengahnya baju kotor yang tidak sempat dicuci. Dia perlu mengasingkannya supaya tidak bercampur aduk.

“Kata abah, anak dara zaman sekarang ni bukan boleh percaya sangat. Takut kejutan budaya. Sampai KL nanti terus lupa diri. Nampak aje bertudung liput tapi perangai nauzubillah, mengalahkan dot dot dot. Sebab tu abah tak percaya pada akak. Takut-takut kalau nanti akak pun termasuk dalam golongan lupa diri tu.”

Azwa terdiam sebentar. Naik meremang bulu romanya mendengar kata-kata Zaqwan yang sudah mula buka ceramah bina negara. Zaqwan ni memang suka jadi penyampai radio tak bertauliah. Takkanlah abah langsung tak percaya pada aku? Bisik hati Azwa.

“Abah cakap macam tu ke, kau yang cakap?”

Pantas Zaqwan mengangguk.

“Abahlah yang cakap.”

“Akak tahu kau saja menambah-nambah cerita kan? Dahlah, malas akak nak layan kau.”

Azwa keluar dari bilik bersama baju kotornya menuju ke dapur. Dia memasukkan baju kotor itu ke dalam mesin basuh. Setelah menghidupkan mesin basuh, dia melangkah ke peti sejuk. Mencari minuman untuk menghilangkan dahaga. Sebotol Vitagen berperisa anggur diambil. Entah siapa punya, Azwa rembat saja. Apa yang ada di dalam peti sejuk itu sudah dikira harta bersama.

Azwa duduk di meja makan. Menimbang-nimbang apa yang harus dia lakukan. Haruskah dia menghubungi Zaliah untuk memaklumkan keberangkatannya ke Kuala Lumpur beberapa hari lagi? Duduk di kampung lama-lama pun bukan ada faedah, buat mengabiskan boras aje!

Pasti Zaliah manusia paling teruja mendengarnya. Aduh! Lecehnya kena duduk di rumah Abang Hanif pulak. Azwa mula membayangkan betapa sesaknya rumah itu. Betapa kecilnya rumah itu untuk memuatkan semua penghuninya.

“Termenung?” tegur Che Midah yang baru masuk ke dapur.

Azwa hanya tersengih. Malu kerana gelagatnya diperhatikan tanpa sedar. Mungkin sejak tadi lagi emaknya memerhatikan sikapnya yang boleh dianggap seperti ayam berak kapur sejak balik dari Cherating ini.

“Dah puas bercuti patutnya muka tu ceria. Ini tidak. Muka macam belacan.”

“Apalah mak ni, samakan muka orang yang cun ni dengan belacan.”

Che Midah ketawa. Dia mengambil penyapu dan mula menyapu di ruangan dapur yang sederhana besar itu. Azwa hanya memerhati dengan pandangan kosong. Mak ni memang tak pernah duduk diam. Ada saja kerja yang nak dibuatnya. Tak cukup di dalam rumah, Che Midah akan berkebun pula di belakang rumah. Rajin sangat-sangat.

“Abah mana, mak?” soal Azwa.

“Keluar ke kedai sekejap,” jawab Che Midah tanpa memandang Azwa.

Azwa tersenyum. Mungkin inilah masa yang sesuai untuk dia bertanya. Jika dengan abah, Azwa tak berani nak banyak songeh. Abah agak tegas dalam membuat keputusan.

“Mak, confirm ke orang kena duduk dengan Abang Hanif nanti?”

Confirm la… apa tak comfirm pulak?”

“Orang bukan apa mak, rumah Abang Hanif tu sempit sangat. Dia satu keluarga pun dah macam tin sardin, ini nak tambah sorang lagi.”

Che Midah diam sebentar. Dia duduk di hadapan Azwa setelah selesai menyapu sampah di dapur.

“Habis tu Az nak duduk mana pulak? Rumah Abang Hanif aje yang dekat KL. Abang Kamarul duduk di Bangi. Kak Fida pulak di Shah Alam. Semuanya jauh-jauh. Lainlah kalau Az nak kerja di Shah Alam, bolehlah duduk di rumah Kak Fida,” jelas Che Midah dengan tenang.

“Orang cadang nak duduk rumah sewa aje. Senang. Tak adalah susahkan Abang Hanif.”

Dahi Che Midah sudah berkerut memandang Azwa. Alamak! Satu petanda kurang baik.

“Rumah sewa? Bagi sangatlah abah Az tu.”

“Apa salahnya duduk rumah sewa? Mak takut kalau Az buat benda bukan-bukan ke? Mak ni macam tak percaya dengan anak mak ni. Az pandailah nak jaga diri, mak. Takkanlah Az nak buat benda bukan-bukan pulak. Az cuma nak kerja aje,” pujuk Azwa.

“Kalau nak duduk sendiri, mak tak kisah tapi untuk permulaan ni Az duduklah rumah Abang Hanif dulu. Nanti bila Az dah biasa dengan KL tu, barulah Az pindah rumah sewa. Lagipun abah tak izinkan Az duduk sendiri. Bahaya. Az tu kan perempuan, kalau lelaki mak tak risau sangat,” nasihat Che Midah dengan sabar.

Akhirnya gadis itu melepaskan keluhan panjang. Dia memutuskan untuk mendiamkan diri sahaja. Pasrah.

Previous: BAB 8
Next: BAB 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.