Home Novel Komedi/Romantik Komedi Tuk! Tuk! Tuk! Housekeeping!
Tuk! Tuk! Tuk! Housekeeping!
Eina Afrina
8/10/2013 12:46:36
43,248
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 11

BAB 11

TERKEJUT monyet tatkala kaki melangkah masuk ke Hotel Green Oriental. Rupanya hotel ini bukan calang-calang hotel. Bertaraf lima bintang dan antara hotel mewah di sekitar Kuala Lumpur. Memang sungguh cantik berbanding hotel-hotel lain yang pernah Azwa jejaki sebelum ini.

Terpegun Azwa dan Zaliah dibuatnya, namun masih mampu menyembunyikan tahap kejakunannya itu dari pandangan orang sekeliling. Azwa memandang ke bawah. Lantainya berkilat dan boleh dibuat cermin. Di bahagian silingnya pula dipenuhi lampu-lampu mewah warna kuning keemasan. Mempunyai ramai staf dengan pakaian seragam yang berbeza-beza mengikut tugas masing-masing. Mungkin sekarang waktu rehat mereka. Ada juga yang kelihatan seperti baru ingin memulakan kerja.

Ketika sampai tadi Azwa sempat melihat sekumpulan staf sedang duduk berehat di kawasan merokok di basement berhampiran parkir kereta. Azwa dan Zaliah terkejut melihat staf perempuan yang lebih kurang sebaya dengan mereka menghisap rokok dengan selamba bersama dengan staf-staf lelaki. Mengucap panjang Azwa dan Zaliah melihatnya. Maklumlah, selama ini dia fikirkan cuma orang lelaki saja yang menghisap rokok. Tak tahulah sama ada dia yang berfikiran kolot atau sememangnya dia yang tidak mengikuti perkembangan semasa.

“Kita nak pergi mana ni?” soal Zaliah bila sejak tadi mereka berdua hanya tercegat di situ tanpa arah tujuan.

“Manalah aku tahu. Kau tanyalah dengan budak-budak tu,” jawab Azwa sambil memuncungkan sedikit mulutnya ke arah anak-anak muda itu.

“Eh, aku pulak! Kaulah yang tanya, kau yang nak mintak kerja kan?” balas Zaliah pula sambil menyenggul lengan Azwa sebagai isyarat menyuruh Azwa pergi.

Azwa menarik nafas panjang. Dia melangkah dengan tenang ke arah anak-anak muda yang sedang sibuk menghisap rokok itu. Zaliah turut mengekori di belakang.

“Maaf, boleh saya tumpang tanya?” tegur Azwa pada seorang pemuda. Terpaksalah dia menebalkan muka bertanya. Berdiri tercegat di situ sampai esok pun bukan boleh dapat kerja.

“Ya, ada apa dik?” balas pemuda itu tersenyum.

Hah, dia panggil aku adik? Rasanya umur mereka lebih kurang sebaya saja.

Bunyi siul-siulan dari rakan-rakannya sudah kedengaran. Azwa dan Zaliah jadi tumpuan anak-anak muda itu sekarang ini. Semuanya nampak miang-miang belaka. Ada juga staf perempuan yang memandang sinis ke arah Azwa dan Zaliah. Cemburulah tu. Takut tergugat dengan kecantikan aku ke? Fikir Azwa.

“Macam mana kalau nak minta kerja kat sini?” tanya Azwa, buat-buat ramah.

Dalam hati bukan main gelabah, ditambah pula dengan renungan mata-mata nakal di sekelilingnya. Diorang ni macam tak pernah jumpa perempuan saja, bisik hati Azwa.

“Oh, nak minta kerja? Adik boleh pergi kat security tu. Nanti security tu beritahu adik nak buat apa?” beritahu pemuda itu.

“Okey, terima kasih ya.”

“Sama-sama kasih,” jawab pemuda itu tersengih-sengih.

Azwa dan Zaliah pun pergi ke arah pengawal keselamatan yang ditunjukkan pemuda itu. Tadi Azwa tak perasan pula ada pengawal keselamatan di situ. Jika dia tahu, awal-awal lagi dia akan bertanya pada pengawal keselamatan itu. Tak perlulah dia menyusahkan diri bertanya pada pemuda tak cukup umur itu.

Ada tiga orang pengawal keselamatan di situ. Segak-segak belaka. Memang hotel ini taraf bintang-bintang. Pengawal keselamatan pun cari yang segak bergaya dan bertubuh sasa. Azwa disuruh mengisi borang permohonan kerja. Peraturan biasa bagi sesiapa saja yang ingin memohon pekerjaan.

“Awak nak minta kerja apa di sini?” tanya salah seorang pengawal keselamatan yang bernama Razali. Kedengaran teman-temannya memanggilnya chief. Mungkin lelaki itu ketua pengawal keselamatan di sini.

Housekeeping,” jawab Azwa ringkas sambil tangannya ligat mengisi borang yang diberi.

“Kenapa tak minta front office? Orang muda macam awak ni memang sesuai kalau kerja front office,” kata Chief Razali.

“Saya ni tak biasa pakai skirt pendek. Seganlah,” jawab Azwa sejujurnya.

Azwa sedia maklum, jika dia bekerja di front office sudah pasti uniformnya skirt pendek dan blazer seperti yang biasa dia lihat di hotel-hotel lain. Tak pernah lagi dia melihat penyambut tetamu di hotel mewah memakai baju kurung. Dia memang tak sanggup nak menayang betisnya pada umum. Sudahlah banyak duit siling. Budak kampung katakan, kalau tak ada parut tak sah.

“Baik budak ni,” bisik Chief Razali pada teman di sebelahnya, namun masih boleh didengar Azwa. Bunyinya seperti hanya orang yang jahat-jahat sahaja yang layak bekerja di sini.

Selesai saja Azwa mengisi borang, Chief Razali terus menekan interkom di hadapannya. Seketika menunggu talian pun dijawab.

Roy speaking,” sahut suara di hujung talian.

Puan Roy, someone come for the interview. Can I send her in?” beritahu Chief Razali.

Yes, I’m free now. Bring her in. To my office. Wait, it’s a she, yes?

Yes.”

Good, I could use a girl in my office. Thank you, chief.”

Chief Razali mematikan interkom. Azwa sudah terkebil-kebil memandang Zaliah. Cakap orang putih berhabuk. Matilah aku. Mesti aku tak lulus interview ni. Macam mana aku nak jawab soalan Puan Roy tu nanti? Azwa sudah tidak keruan. Maklumlah bahasa Ingerisnya paras-paras hidung saja.

Chief Razali menyuruh Azwa naik ke tingkat dua kerana di situlah pejabat housekeeping. Azwa dan Zaliah pun segera menuju ke lif. Setibanya di tingkat dua, mereka terjengok-jengok ke dalam bilik Puan Roy. Bukan apa, takut tersalah bilik pula.

“You yang nak mintak kerja tu ya?” tegur Puan Roy.

Azwa mengangguk sambil tersenyum. Syukur, pandai rupanya Puan Roy cakap Melayu dan sememangnya Puan Roy berbangsa Melayu.

“Masuklah, saya Roy. Awak boleh panggil Puan Roy,” beritahunya sambil mempersilakan Azwa dan Zaliah duduk di kerusi di hadapannya.

Puan Roy tinggi lampai orangnya. Cantik dan berkulit cerah. Rambutnya pendek ala-ala tomboy tapi pergerakannya nampak lembut seperti wanita sejati. Memakai skirt hitam, kot hitam dan kemeja di dalamnya berwarna krim. Cantik uniform Puan Roy. Sesuai dengan jawatannya sebagai eksekutif. Umurnya sekitar 30-an mungkin.

“Oh, you bertudung?” Tiba-tiba Puan Roy bersuara pada Zaliah.

Zaliah mengangguk. Apa yang peliknya jika dia bertudung?

“Untuk pengetahuan you all, staf di sini tak dibenarkan bertudung,” ujar Puan Roy.

Azwa pandang Zaliah. Terkejut dengan kenyataan Puan Roy itu.

“I tak paksa you untuk tanggalkan tudung. Terpulang pada you sendiri. Tapi kalau you betul-betul nak bekerja di sini, you memang kena tanggalkan tudung tu. Kalau tidak, I terpaksa tolak permohonan you ni,” jelas Puan Roy lagi.

Apa punya syarat macam tu? Terasa macam duduk di Israel pulak!

“Sebenarnya cuma saya sorang aje yang nak minta kerja, Puan Roy. Dia ni cuma temankan saya aje,” beritahu Azwa. Bagi Azwa memang tak ada masalah kerana dia sememangnya tidak bertudung, walaupun merasakan syarat itu sangat tidak patut bagi sebuah negara Islam seperti Malaysia.

“Oh, sorry… I ingatkan dua-dua nak minta kerja,” kata Puan Roy tersenyum.

Azwa dan Zaliah juga tersenyum. Lain kali tanya dulu, jangan pakai terjah saja!

Puan Roy menerangkan serba sedikit syarat-syarat lain yang harus dipatuhi sebagai staf di hotel ini. Memang agak berat namun mengenangkan payahnya Azwa ingin mencari kerja di Kuala Lumpur ini, akhirnya dia bersetuju dengan semua syarat-syarat itu. Sememangnya dia tiada pilihan lain. Sia-sia saja dia mengambil kursus selama enam bulan jika sijil itu dipersiakan begitu sahaja.

“Baiklah Puan Roy, saya setuju dengan semua syarat-syarat tu.”

Puan Roy mengangguk-angguk kepala sambil meneliti resume milik Azwa.

“Oh, you ada sijil dalam bidang ni?”

“Ya.” Azwa mengangguk.

“Bermakna you dah tahulah macam mana nak buat kerja?”

“Insyaallah, Puan Roy. Tapi saya tetap perlukan tunjuk ajar dari orang lain.”

Puan Roy mengangguk-angguk kepalanya lagi.

Did you bring your extra vitae? For our account’s team record,” tanya Puan Roy lagi.

Ah, sudah! Apa ke jadahnya perkataan vitae tu? Azwa sudah telan air liur. Dia pandang Zaliah. Zaliah juga nampaknya mempamerkan wajah blur. Sama-sama sengal!

Puan Roy masih tenang menunggu jawapan dari Azwa yang tidak senang duduk.

“Maaf ya, Puan Roy, vitae tu apa?” tanya Azwa dengan wajah kemerahan menahan malu.

Nak atau tidak, terpaksa juga dia bertanya. Dah memang tak tahu, nak buat macam mana kan? Takkan nak tunjuk terror pulak. Kalau dia tersalah jawab tentu lagi malu nanti.

Puan Roy tersenyum dan menggeleng-geleng kepala.

Vitae tu maksudnya butir-butir peribadi ataupun resume. Itu pun you tak tahu, macam mana I nak bagi jawatan supervisor macam yang you apply ni?”

Dass!! Azwa rasa bagaikan ada sebutir peluru menembusi kepalanya. Malu betul dengan sindiran Puan Roy itu. Rasa macam nak sorokkan muka di bawah meja saja.

“Sebagai supervisor, you memang kena pandai berbahasa Inggeris, sebab guest kita terdiri daripada seluruh dunia. Ada pelancong asing, kerabat diraja, VVIP dan macam-macam lagi,” sambung Puan Roy.

Azwa hanya mengangguk bagaikan burung belatuk. Tiada kata yang mampu keluar dari mulutnya buat masa ini. Nampaknya hasratnya mahu menjadi supervisor semakin tipis dan tak mungkin kesampaian. Dia akui, bahasa Inggerisnya memang paras-paras hidung saja atau dengan perkataan lain lulus cukup-cukup makan, tapi ada hati nak jadi supervisor.

“Saya bawa satu salinan saja, tapi saya boleh copy livita ni, puan,” jawab Azwa.

Vitae.” Puan Roy membetulkan sebutan Azwa.

Aduh! Malunya aku! Azwa hanya mampu tersengih-sengih menayangkan giginya. Zaliah sejak tadi hanya tertunduk memandang lantai, menahan ketawa. Padahal, dia dan Azwa 2 x 5 saja.

“Macam nilah, apa kata kalau I letak you di bahagian room attendant? You boleh mula dari bawah sebelum naik ke tahap yang lebih tinggi. Jika prestasi kerja you baik, pihak pengurusan akan naikkan pangkat you,” kata Puan Roy sambil menutup fail di tangannya menandakan itu keputusan muktamat darinya.

Azwa mengangguk saja. Memang dia tiada pilihan lain buat masa ini. Daripada dia ke hulu ke hilir mencari kerja yang belum tentu dapat, baiklah dia terima saja jawatan room attendant itu. Lupakan saja hasrat ingin menjadi supervisor.

“Okey, kalau you setuju, you boleh start esok? Lagi cepat lagi bagus sebab kami memang tengah kekurangan staf sekarang ni,” pinta Puan Roy.

Azwa terus saja mengangguk. Cepat dia bekerja bermakna cepatlah dia dapat gaji. Tak perlu nak memeningkan kepala lagi. Maka hari ini merupakan hari terakhir Azwa bergelar penganggur. Esok dia akan memulakan episod baru dalam hidupnya sebagai room attendant di Hotel Green Oriental.

Previous: BAB 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.