“Pelangi, ke mana
nak bawa Memot tu sayang. Mari sini sayang, kakak nak peluk awak!”.
Pelangi tetap
tidak melepaskan Memot yang digigitnya. Di bawa ke sana ke mari patung teddy
itu. Memot dibeli Karmila semasa membeli-belah di Jusco Tebrau City beberapa
bulan selepas kematian Buyung. Karmila perhatikan Pelangi banyak mendiamkan
diri setelah kejadian itu. Tidak seperti Itam. Memot menemani Pelangi setiap
masa. Tanpa Memot, Pelangi seperti kekurangan sesuatu. Berlainan pula dengan si
Itam, kini ia menjadi kucing paling garang. Semua ini akibat daripada situasi
yang dialaminya ketika menjadi kucing terbiar dahulu. Si itam suka memencilkan
diri. Memot masih lagi dimulut Pelangi. Digigit, dihayun dan ditendang-tendang
tanda kegeraman. Matanya melihat tubuh Karmila yang sedang berusaha
mendekatinya. Tidak berganjak dari tempat duduknya sambil memeluk Memot.
Ekornya digerak-gerak perlahan. Nafasnya turun naik kepenatan.
Karmila merapatkan
diri menuju Pelangi. Diensot badannya perlahan-lahan sambil mendekati Pelangi.
Pelangi melihat sahaja kelakuan Karmila. Pejam celik mata Pelangi menanti
kedatangan Karmila. Dia tahu yang Karmila terlalu sayangkannya. Karmila
melambai-lambai ke arahnya namun Pelangi tetap membatukan diri. Kemudian suara
manjanya kedengaran seperti memanggil-manggil Karmila supaya segera datang
kepadanya. Kepalanya diletak ke lantai sambil mejilat-jilat bibirnya. Memot
masih lagi dipelukkannya.“Nyau” panggil
Pelangi kepada Karmila. Matanya dipejam rapat seketika.
“Tepilah! Kau ni
sibukla duduk suka hati mana kau nak ye!” Shidah menghalau Pelangi yang sedang
berehat di bawah kerusi menantikan kedatangan Karmila. Mencecet lari setelah di
halau dengan batang penyapu sambil membawa bersama-sama Memot kesayangannya itu.
“Orang nak sapu
kat situla sibuk nak duduklah, baringlah, apalah” bebel Shidah lagi. Sambil
menjeling kepada Pelangi. Geram pada Pelangi masih lagi berbuku.
“Mentang-mentang
kau kucing kesayangan orang di rumah ni kau naik lemak pulak ea!” Shidah
membebel lagi sambil membersihkan sampah dan habuk di bawah kerusi.
“Siap kau!
Berani datanglah!” dihala penyapu ke muka Pelangi. Pelangi yang tahu akan sikap
Shidah tidak berbuat apa-apa hanya melihat sahaja kelakuannya. Dia tahu jika
ganggu pekerjaan Shidah maka bebelan dan hambatan akan diterima. Pernah suatu
ketika di mana Shidah sedang mengangkat dulang berisi air untuk diberikan
kepada tetamu Dr Kamarul yang bertandang berderai jatuh akibat dilanggarnya.
Terkebil-kebil
mata Pelangi. Ditoleh kebelakang melihatkan Karmila masih lagi mengesot untuk
mendekatinya.
“Alah, Kak
Shidah…janganlah halau Pelangi. Mila baru je nak bermain dengannya”. Karmila
tersentap dengan tindakan orang gaji dirumahnya itu. Bertambah laju Karmila
mengensot. Mila tidak mahu Pelangi disakiti oleh orang. Baginya Pelangi adalah
teman dan sahabatnya dirumah.
“Karmila…Karmila…..”
laung Sofea. Kelibat anak kesayangan tidak kelihatan. Panggilan kali kedua juga
tidak berjawab.
Di satu sudut
tepi di ruang tamu kelihatan Karmila sedang berbual-bual dengan Pelangi. Riang
dan gembira telatahnya sambil membelai-belai badan Pelangi. Kucing kecil yang
suatu ketika dulu amat comot keadaannya. Kini Pelangi bertambah gemuk, bulunya
lebat dan lebih membuatkan Karmila suka dengan Pelangi adalah jari kakinya yang
lebih banyak daripada kucing biasa sehinggakan dia mengelarkan Pelangi “Peanut”.
Karmila suka sangat bermain-main dan memegang “peanut” Pelangi. Sambil mengira
biji-biji di kaki Pelangi di geleteknya pula. Namun Pelangi membiarkan sahaja
kerana ia tahu Karmila memerlukan sahabat ketika ini.
“Nyau”
“Kenapa Pelangi?”
Karmila bangun daripada duduknya dan mengangkat Pelangi membawanya ke ruang
luar halaman rumahnya. Keadaan petang yang nyaman dengan tiupan angin
sepoi-sepoi bahasa itu sangat sejuk dirasakan. Anak pokok ru yang sedang
membesar di penjuru pagar rumah meliuk lentok, daun-daun kering berguguran
daripada pokok di luar rumah jatuh di atas kubur ibu Pelangi, Buyung. Karmila
membawa Pelangi ke kubur Buyung sambil membersihkan dan membuang daun-daun
kering yang berada disekitar kawasan sekeliling kubur itu. Karmila berada di
dunianya sendiri apabila bersama Pelangi. Tidak menghiraukan keadaan sekeliling.
Kanak-kanak kecil itu lebih suka bersendirian bersama kucing kesayangannya.
Shidah yang baru
sahaja habis menyapu sampah di dalam rumah, keluar ke beranda untuk menyambung
kerjanya sambil melihat kelakuan Karmila.
“Dasar budak
takde kerja, kucing itu sahaja di kelek sini sana.” Bebelnya sendirian.
“Mana Karmila,
Shidah” suatu suara memecah khayalan Shidah.
“Itu dia, Kak, duduk
di depan pokok anak ru,” tunjuk Shidah kepada majikannya, Puan Sofea.
“Mila sayang…. Buat
apa dekat sini sorang-sorang?” tanya Puan Sofea kepada anak tunggalnya itu.
“Takde apa mak,
saja Mila bersihkan kawasan sekeliling kubur ibu kucing ini.” Jawabnya sambil
memandang wajah maknya. Tangan Puan Sofea membelai rambut anaknya itu.
“Baiknya anak
mak yang seorang ini” balasnya.
Senyum terpancar
di wajah Karmila. Pada ketika itu Pelangi sedang bergolek-golek di atas rumput.
Karmila memerhati sahaja kelakuan Pelangi. Seakan memahami yang Pelangi juga
sedang berasa gembira.
“Dr. Kamarul…Dr
Kamarul…” laung salah seorang pelanggannya yang berlari masuk menangis sambil
mendukung seekor kucing.
“Ye Kak, Kenapa
ni kak?” tanya Dr Kamarul kepada Zaitun. Dia amat kenali perempuan yang bernama
Zaitun tersebut. Zaitun merupakan seorang penyelamat haiwan terutamanya kucing.
Kegiatannya dia dalam kerja amal seperti itu amat membanggakan Dr Kamarul.
Sungguh pun dia seorang ibu tunggal dan hidup tidak mewah mana namun hatinya
tetap sayang dan kasihan kepada haiwan-hawian terbiar.
“Eh! Kenapa
dengan Bubu?” tanya Dr Kamarul lagi. Kehairanan melihat keadaan kucing
tersebut. Keadaan kucing itu yang seperti meminta-minta nyawa. Nafasnya
turun-naik tersekat-sekat dengan aoir liur keluar meleleh. Matanya buntang. Rasanya
baru sahaja minggu lepas dia merawat kucing itu kerana rawatan rutin berjadual.
“Dia kena racun
Dr.” jawabnya ringkas.