a
PROLOG
Mustakem
Dia memandang bangunan-bangunan tinggi itu untuk
kali terakhir. Bercahaya cantik tika malam belum tentu memberikan kecerahan
untuknya. Mustakem melihat jam di tangannya. Pukul 8:45 malam. Masih terlalu
awal untuk tiket perjalanannya yang tercatit pukul 11:30 malam.
Sejurus
usai makan, Mustakem bergelandangan. Ke sana-ke sini dia mengikut arah kaki.
Tiada tujuan. Dia menggunakan masa tersebut melihat kembali kota yang dahulunya
dipuja-puja. Kota yang diberitahu oleh Sulaiman dan Masrid sebagai tempat
gelanggang rezeki. Dahulu, saat dia terpegun dan teruja dengan kata dan
gambaran dua sahabat karibnya itu, Mustakem menjadi teruja benar.
Mustakem
mahu mengubah nasib. Dia tidak mahu selama-lamanya menjadi nelayan. Dia tidak
mahu lagi bertekak dengan Haji Lukman, peraih yang selalu membayar hasil
tangkapan ikannya dengan begitu murah.
Kedatangannya
juga mahu mengubah tanggapan ayah Salmah. Pak Noh yang sering menyindirnya saat
terdengar khabar angin percintaannya dengan Salmah.
“Kerja
nelayan. Kais pagi belum tentu dapat makan petangnya. Apa! dia ingat anak aku
makan pasir,”
Terngiang-ngiang
kata itu di gegendang telinganya. Dia jadi rendah diri dan malu saat Pak Noh
menyindirnya ketika dia singgah di kedai kopi Wak. Hatinya tersiat-siat. Malah
lebih tersiat-siat kala Salmah memutuskan percintaan mereka. Dengan hanya
sepucuk surat yang diterimanya. Salmah patuh pada arahan ayahnya.
Cinta
benar-benar mengecewakannya.
Dia
lari ke kota besar ini untuk mengubah nasib. Namun bukan nasib yang terubah.
Akan tetapi pendirian dan prinsipnya kian terubah.
Kota
ini tidak menjanjikan apa-apa. Dia menjadi terlalu sibuk sehingga dia lupa
kepada Pencipta. Dia kepingin menjadi kaya sehingga dia menghalalkan yang
haram. Satu perbuatan yang tidak pernah dibuatnya kala dia menjadi nelayan yang
berpanas berpeluh di laut.
Kota
ini mengubahnya menjadi Mustakem yang bukan lagi wataknya dahulu.
Mustakem
terhenti langkahnya. Dia melihat bangunan yag berkelip-kelip lampunya. Satu
daripada kelipan lampu itu tidak bernyala. Rosak barangkali.
Mustakem
merenung dirinya. Barangkali dia seperti lampu yang rosak itu. Kelam dan gelap
dikelilingi lampu-lampu yang bernyala hebat.
Black
Sebentar tadi laju benar dia berlari.
Kelibat orang-orang Tauke membuatkan mangsa yang sudah diperhatinya sejak sekian
lama ditinggalkan begitu sahaja.
“Celaka,”
Kaki Black menendang tong sampah. Berteraburan isi perut daripada tong
tersebut. Black melepaskan kegeramannya.
Nasibnya
hari ini memang baik. Orang-orang Tauke tidak perasankannya. Entah esok atau
lusa dia tidak tahu lagi. Jika ketemu mereka pastinya dia akan dibelasah.
Duitnya akan dirampas.
Black
mengeluarkan sebatang rokok daripada beg pinggangnya. Dia menyalakannya.
Menghembus perlahan-lahan sambil menikmati kenikmatan sebatang rokok tersebut.
Bukan
dia tidak mahu bayar hutangnya dengan Tauke. Dia tahu adat berhutang mestilah
membayar. Namun rezekinya sekarang semakin berkurangan. Polis ada dimana-mana
sahaja. Sejak berita tentang kes penyeluk saku disiarkan di akhbar-akhbar,
Black rasa periuk nasinya terancam.
“Celaka
wartawan-wartawan tu,” Black menyumpah seranah.
“Tauke
itu satu hal. Aku pinjam tak seberapa tapi bunganya melonjak-lonjak,” Black
merepek-repek sendirian di sebalik lorong gelap. Satu-satunya tempat yang dia
rasa selamat daripada polis. Namun daripada orang-orang Tauke dia belum tahu.
Mereka ada di mana-mana sahaja.
Polis!
Selain
daripada Tauke dia juga melarikan diri daripada pasukan beruniform itu. Dia
tahu tentu mereka sedang mencarinya. Peristiwa yang berlaku tidak lama dahulu
mustahil akan didiamkan sahaja oleh mereka. Black juga tahu dia pastinya akan
menerima hukuman atas apa yang dilakukannya.
“Hukuman,”
Black tersenyum sendiri. Baginya, apakah itu satu hukuman hanya kerana
melepaskan orang yang disayanginya daripada kezaliman?
“Tidak
itu bukan hukuman, aku berada di pihak yang benar,” jeritnya. Meluahkan apa
yang dirasa.
Perutnya
berbunyi.
Black
memegang perutnya. Rasa lapar menulari. Daripada pagi tadi dia belum makan.
Hanya air paip mengisi kekekosongan perutnya.
Rasa
amarahnya kembali. Kalau tidak disebabkan orang-orang Tauke pasti dompet duit
gadis yang berseluar jean itu sudah menjadi rezekinya. Barangkali saat ini dia
sedang menjamah nasi lemak di warung Indonesia tepi longkang besar itu.
“Sial,”
Black memaki-maki. Penuh perasaan tidak puas hati.
Ketika
Black memenuhkan perutnya dengan hisapan asap rokoknya dia terpandang seorang
lelaki yang sedang mundar-mandir. Lelaki itu hanya mengendong sebuah beg di
bahunya. Black mengamati. Dompet duit lelaki itu sedikit terkeluar.
Black
tersenyum. Kedudukan dompet tersebut memang menggembirakannya. Kerjanya akan
jadi mudah.
Cuma...
Black terfikir kembali apabila melihat susuk tubuh lelaki itu. Tegap. Dia takut
lelaki itu akan menyedari perbuatannya dan melawan.
Hisss!!!
Black
membuang jauh-jauh tanggapan itu. Selama dia mencopet, belum pernah mangsa
tersedar. Lebih payah daripada dompet itu pernah dilakukan. Ini pula dompet
yang sedikit terkeluar itu.
“Aku
perlu berbuat sesuatu untuk mengisi perutku,” Black berjalan perlahan-lahan
menuju ke arah mangsanya.
Dr Hamdan
Dr. Hamdan masih di pejabatnya. Walaupun
sudah lewat malam dia masih belum mahu pulang. Dia mesti menyiapkan kajiannya
segera. Perbentangan kertas kerja di Universiti Malaya tidak berapa lama lagi
menjengah.
Petang
tadi fikirannya berkecamuk. Dia menerima surat peguam bekas isterinya. Surat
yang menuntut sebahagian daripada hartanya. Soraya benar-benar membuatkan
fikirannya kacau. Perempuan itu memang berdendam dengannya.
Setelah
tidur setengah jam tadi. Dr Hamdan bangun dengan tekad yang kuat. Dia tidak
akan kalah dengan kehidupannya sekarang. Kalah dengan Soraya.
Biarlah
hidupnya kini tidak terurus sekurang-kurangnya dia mahu masyarakat berbangga
dengan penemuannya. Dia mahu membuka mata mereka yang selalu menyindirnya
sebagai aneh, gila dan bercita-cita fantasi.
“Aku akan buktikan tentang kebenaran kewujudan tamadun
Humra,” Dr Hamdan menjerit dalam hati.
Begitulah
kebiasaan yang dibuatnya dikala hatinya rawan. Di kala dia merasa lemah dengan
sindiran orang lain.
“Doktor
mahu kopi?” pertanyaan itu membuatkan dia yang ralit dengan pembacaannya,
terkejut.
Dr
Hamdan membuka cermin matanya. Meletakkan ke atas meja dan memandang gadis yang
berbaju t- shirt dan seluar jean hitam itu.
Dr
Hamdan mengangguk-angguk.
Gadis
itu mula melangkah keluar.
“Cristina,”
Dr Hamdan memanggil. Gadis itu berpaling.
“Ya.
Doktor nak apa-apa lagi,”
Dr
Hamdan menyandar badannya ke kerusi. Melihat gadis itu dengan pandangan penuh
bersalah.
“Saya
nak minta maaf kerana suruh awak bekerja malam-malam ini. Saya tahu awak juga
perlukan masa untuk kehidupan peribadi sendiri,”
Cristina
menguntumkan senyum. “Tak mengapa doktor... saya tahu ini sebahagian daripada
tugas saya,”
Dr
Hamdan menghela nafasnya apabila mendengar pengakuan daripada gadis berdarah
Iban itu.
“Boleh
saya ke pantry?”
“Boleh.
Err... lagi satu kopi itu jangan manis sangat,” pesan Dr Hamdan. Cristina
mengangguk.
Ekor
mata Dr Hamdan mengikut langkah Cristina. Dia begitu terpegun dengan kesopanan
dan keramahan gadis itu melayannya. Pada saat dia sedang bergolak dengan alam
rumah tangganya, gadis itu banyak membantu menguruskan makan minumnya.
Dia
merasakan terlalu menyusahkan Cristina. Cristina hanya bertugas sebagai
pembantu penyelidiknya. Bukannya bertugas sebagai pembantu peribadinya.
Nampaknya ruang lingkup tugas Cristina sudah semakin luas. Dr Hamdan merasa
terlalu bersalah.
“Oh...
alangkah baiknya jika aku punyai anak seperti dia,” tutur Dr Hamdan. Namun
kemudiannya dia mendengus. Perkahwinannya dengan Soraya tidak dikurniakan
zuriat.
Dr
Hamdan bangun. Mengarah ke arah akuarium yang hanya berisi seekor ikan emas.
Sebenarnya dahulu terdapat dua ekor, pasangannya mati seminggu yang lalu. Dr
Hamdan lihat ikan emas ini tidak aktif seperti berdua dahulu. Dia tidak lagi
galak berenang.
Dr
Hamdan menuangkan makanan. Ikan emas itu hanya diam. Dia tidak lagi merebut
makanan seperti ketika mereka berdua dahulu.
“Emm...
esok aku akan carikan engkau pasangan baru. Yang lebih cantik,” bisik hati Dr
Hamdan sambil menjentik-jentik air di permukaan akuarium.
Cristina
Sudah
setahun dia menjadi pembantu penyelidik kepada Dr Hamdan. Dahulu Dr Hamdan
merupakan pensyarahnya. Ketika usai menerima ijazah, kerja yang dicari-carinya
tidak kunjung tiba. Tiga bulan dia menganggur di ibu kota ini. Duit simpanannya
semakin sedikit.
Dia
sudah putus asa. Dia mahu pulang ke Sabah. Mungkin di sana dia akan mendapat
kerja. Namun duitnya belum cukup untuk berbuat demikian. Sekurang-kurangnya dia
perlukan simpanan. Dia tidak mahu menyusahkan neneknya.. Cukuplah dia
menyusahkan nenek sepanjang pengajiannya.
Fikirnya,
bekerja dengan Dr Hamdan hanya untuk seketika cuma. Buat mengumpul belanja
pulang. Namun kini sudah setahun dia menjadi penyelidik kepada pensyarah yang
berjanggut tebal tidak terurus itu. Dia semacam serasi dengan kerjaya sekarang
walaupun gajinya kecil.
Dia
tahu ramai memandangnya serong kerana bekerja dengan doktor yang aneh itu.
Mereka cakap Dr Hamdan sudah gila. Mengkaji perkara yang tidak wujud.
Daripada
pengamatannya, dia tidak melihat begitu. Dr Hamdan seperti manusia lain juga.
Cuma mungkin kajiannya agak pelik sedikit.
Kadang-kadang
Cristina merasa kasihan dengan Dr Hamdan. Kehidupannya tidak terurus. Makan
minumnya tidak terjaga. Walaupun tidak pernah diberitahu sendiri oleh Dr
Hamdan, namun cakap-cakap orang mengatakan yang rumah tangga Dr Hamdan sedang
berantakan. Isterinya menuntut cerai. Kata orang lagi, isterinya tidak tahan
dengan sikap Dr Hamdan yang asyik bekerja.
“Ah...
itu semua kata-kata orang. Kenapa aku cepat terpengaruh,” Cristina lantas tidak
mahu memikirkan sesuatu yang buruk terjadi kepada Dr Hamdan yang telah dianggap
sebagai ayahnya itu. Sementalah pula dia hanyalah anak yatim piatu yang dibela
oleh nenek sahaj.
Cristina
menuangkan air ke dalam dua cawan. Satu untuknya satu untuk Dr Hamdan.
Dimasukkan kopi. Bagi bahagian Dr Hamdan gula dikurangkan. Baginya gula
dilebihkan kerana dia memang sukakan kopi manis.
Cristina
menatang dua gelas kopi yang berasap-asap itu.
MUSTAKEM DAN BLACK
“Sial...jaga
kau,” Mustakem lantas mengejar lelaki yang mencuri dompetnya. Namun lelaki itu
agak licik. Dia lari di celah-celah orang ramai. Nampaknya lelaki itu memang
sudah biasa dengan kawasan sekitar ini.
Mustakem
berhenti. Dia termengah-mengah. Matanya masih meliar melihat kiri dan kanan.
“Lajunya
dia lari. Aku mesti mendapatkan dompet aku, kalau tidak susahlah,” kata
Mustakem sendiri. Semua wangnya diletakkan di dalam dompet itu. Malah yang
lebih penting adalah dokumen pengenalannya. Kad pengenalan dan lesen semuanya
di dalam dompet.
“Alamak!
Tiket bas pun di dalam dompet,” berkerut dahi Mustakem apabila teringatkan
tiket bas yang baru dibelinya itu.
Kelibat
lelaki kurus dan hitam itu sudah lenyap. Walaupun agak laju Mustakem
mengejarnya namun lelaki itu berjaya melepaskan diri.
“Tak
mengapa. Aku akan cari dia. Wajahnya masih lagi aku cam,” Mustakem seolah-olah
memberi semangat kepada dirinya sendiri.
Mustakem
mundar-mandir. Dia melihat sekeliling. Di sebalik celahan orang ramai. Di
sebalik kesibukan kenderaan dan orang ramai yang lalu lalang.
Mustakem
mula putus asa. Dia mengambil keputusan untuk berehat di tepi jambatan yang
agak redup kawasannya. Air sungai yang dipenuhi sampah itu mengeluarkan sedikit
bau busuk. Namun kebusukan air sungai itu tidak memberi reaksi apa-apa kepada
Mustakem. Hatinya berasa gundah tentang kehilangan dompetnya. Kehilangan
tiketnya.
“Macam
mana aku nak balik kampung ini,” keluhnya.
Ketika dia asyik termenung memikirkan nasibnya,
Mustakem nampak kelibat seorang lelaki keluar daripada lorong bawah jambatan.
Lelaki itu berjalan selamba tanpa menyedari Mustakem yang memerhatinya.
“Eh...
itu lelaki yang mencuri dompet aku. Emmm... nampaknya kota ini tidaklah seluas
mana. Nantilah engkau,” Mustakem kegeraman.
Mustakem
perlahan-lahan mengikut lelaki tersebut. Dia berhati-hati agar kedatangannya
tidak disedari.
Ketika
dia menghampiri lelaki itu, Mustakem segera menyergah dari belakang. Dia
memeluk erat lelaki yang terkejut tiba-tiba itu.
“Oh...
kau ingat aku tak boleh cari engkau,” marah Mustakem.
Black
yang mencuri dompetnya tercengang-cengang. Dia meronta-ronta. Mustakem
mengeratkan pelukannya lagi. Kali ini dia memaut leher Black dengan lengannya. Tubuh Black yang kurus itu
senang sahaja dipautnya.
“Eh...
apa ini. Apa salah aku?” jerit Black.
“Oh...
kau dah curi dompet aku, kau cakap salah apa ya,” Mustakem bertambah marah.
Pautannya dikuatkan.
“Aduh...
abang, sakit... sakit,” Black meronta-ronta. Suaranya hampir tidak keluar.
“Mana
dompet aku,” marah Mustakem.
Lelaki
itu meronta-ronta lagi.
“Hoi...
mana dompet aku?” kali ini suara Mustakem semakin tinggi.
“Abang...
abang... lepaskan aku. Kalau abang nak duit, abang ambiklah dalam poket,”
Mustakem
menyeluk poket seluar Black. Beberapa keping duit kertas dikeluarkan.
“Tolonglah
abang...aku curi sebab aku lapar. Duit abangpun belum aku gunakan lagi. Lapar
abang,” rayu Black.
Namun
Mustakem tidak memperdulikan kata-kata itu. Duit dalam poket seluar Black
dikeluarkan. Sementara pautan leher diketatkan lagi. Mustakem tidak mahu Black
melepaskan diri.
“Mana
dompet aku?”
Black
tidak menjawab.
“Kau
nak aku humbankan dalam sungai itu. Cepat beritahu mana dompet aku, “
“Aku
dah buang,” jawab Black tergagap-gagap.
Mustakem
menjadi marah. Dompet yang berisi semua dokumen penting dibuang begitu sahaja.
Mustakem melepaskan satu tumbukan ke perut Black.
“Aduh!!!”
Black itu menjerit kesakitan sambil memegang perutnya.
“Oh...
tahu sakit. Senang-senang sahaja kau buang dompet aku,” satu lagi tumbukan
singgah di tempat yang sama. Black terduduk. Kesakitannya bertambah. Sudahlah
dia belum makan, kini perutnya menerima dua tumbukan padu pula.
Mustakem
mencekak leher Black. “Di mana kau buang? Cepat tunjukkan. Kalau tidak kau
bakal terima tumbukan lagi,”
Black
mengoyang-goyangkan tangannya. Dia sudah menyerah kalah. “Baiklah... aku
tunjukkan,”
Black
berjalan terhuyung-hayang. Tangannya masih memegang perutnya. Dia menuju ke bawah
jambatan. Mustakem mengekori Black dengan penuh berwaspada. Mustakem bimbang
Black akan melarika diri.
“Ingat
kalau kau tipu atau kau cuba lari. Aku akan buat kau merana,” Mustakem memberi
amaran.
Black
menggeleng-geleng kepalanya. Tanda tidak akan melakukan apa yang disebut
Mustakem.
Sampai
di suatu tempat, di bawah jambatan yang agak gelap, Black menunjukkan sebuah
lubang besar.
“Aku
buang dalam lubang ini,” kata Black.
Mustakem
menjenguk ke dalam lubang. “Apa lagi... kau masuk ke dalam lubang itu dan cari
dompet aku,”
Black
memandang Mustakem. Lubang tersebut agak gelap. Dia menjadi serba salah dengan
apa yang disuruh Mustakem.
“Kau
yang lempar, kaulah yang ambik,” Mustakem memberi amaran. Dia tahu yang Black
teragak-agak.
“Masuklah...,”.
Melihat Black yang masih mendiamkan diri, Mustakem mengambil keputusan untuk
menolak Black. Walaupun kelihatan agak zalim, namun orang seperti Black
selayaknya dilayan begitu.
Namun
Black sempat memegang tangan Mustakem. Dalam keadaan tidak boleh menyeimbangkan
diri, Mustakem terjatuh sama ke dalam lubang itu.
“Sial!
Kenapa engkau pegang aku,” marah Mustakem. Nasib baik dia terjatuh di atas
tanah dan tiada apa-apa benda yang merbahaya di dalam lubang itu.
“Abang
yang tolak aku,” selamba sahaja Black menjawab sambil tangannya menyapu
belakangnya.
“Kalau
ikutkan aku, mahu sekali lagi kau makan penumbuk aku. Tapi aku kasihan tengok
badan kau yang sekeping itu,” marah Mustakem sambil mengangkat penumbuknya.
Black
menunduk. Dia tidak mahu lagi menerima tumbukan untuk kali ketiga.
“Cepat
cari dompet aku,” arah Mustakem.
Black
segera meraba-raba. Ruang dalam lubang tersebut agak gelap. Mustakem juga
mencari di sekelilingnya namun tidak berjumpa.
“Eh,”
“Kenapa?
Kau dah jumpa,” tegur Mustakem apabila mendengar Black bersuara.
Black
memegang sesuatu. Sekeping papan yang sudah reput dipegangnya.
“Kau
ini memang nak kena. Kau jangan ingat aku main-main,” pada fikiran Mustakem,
Black mempermainkannya.
“Ada
nombor. Mungkin nombor ekor ini,” perlahan kata Black.
Mustakem
mengerling Black. Kemarahannya kali ini memang tidak boleh dikawal.
“797979,”
Black menyebut nombor yang tertera di papan itu satu persatu.
Sejurus
dia menyebut nombor tersebut, mereka berdua dapat merasakan kelainan di dalam
lubang itu. Suasana dalam lubang itu semakin gelap.
“Hei...
apa kau buat ini?”
Belum
sempat black menjawab, sekeliling mula dirasakan terlalu gelap. Seolah-olah
mereka sedang ditimbus sesuatu.
DR HAMDAN DAN CRISTINA
Selepas minum kopi yang dibuat
Cristina, mata Dr Hamdan kembali segar. Dia bangun dan menggeliat. Jam di
dinding menunjukkan pukul 12.30 malam. Sudah terlalu lewat.
Sebentar
tadi dia menyuruh Cristina pulang. Namun gadis itu degil. Cristina masih mahu
menghabiskan kerjanya. Dr Hamdan menuju ke tingkap biliknya. Pemandangan di
luar sunyi sepi. Hanya lampu-lampu jalan menghiasi ruang malam institusi
pendidikan termuka ini. Dr Hamdan membuka tingkap. Dia mahu merasa aroma angin
malam membuai-buai.
Terkadang
Dr Hamdan merasa bersalah terhadap Cristina. Gadis itu tekun bekerja. Ketika
orang lain asyik mempertikaikan kajiannya, sedikitpun gadis itu tidak menyoal
itu dan ini. Apa sahaja kerja penyelidikan yang disuruhnya, dilakukan tanpa
banyak soal.
Angin
berdesir-desir menyapa pipi.
Dr
Hamdan membuka cermin matanya. Menyapu matanya yang agak keletihan itu.
Kemudian memakai kembali cermin matanya.
Telefon
genggamnya berdering. Lekas-lekas Dr Hamdan berlari ke meja mahu menjawab
panggilan tersebut. Namun dia terhenti.
Matanya tertancap pada skrin telefonnya.
Soraya.
“Apa
lagi yang dia mahukan?”
Telefon
yang berdering dibiarkan. Malas dia mahu menjawab. Dr Hamdan tahu sekiranya dia
menjawab, mereka pastinya bergaduh. Sedikitpun Soraya tidak pernah memahami
perasaannya. Sekelumitpun Soraya tidak pernah mendengar pendapatnya. Memang
benar Soraya itu degil.
Telefon
sudah mula berhenti berbunyi. Tiga kali panggilan tidak dijawab tertulis di
atas skrin telefon.
“Rumah
tangga ini memang tidak boleh diselamatkan lagi. Kalau soraya merasakan
perpisahan itu menyenangkannya, aku biarkan sahaja. Tapi kenapa dia begitu
tamak sehingga mahu membolot hartaku,” Dr Hamdan membebel sendirian.
Seringkali
itulah yang dilakukan kala sendirian. Dia akan bercakap keseorangan. Mungkin
kerana itulah dia dikatakan tidak waras. Namun bagi Dr hamdan bercakap sendiri
itu adalah satu pengubatan psikologi yang dapat meredakan tekanan. Luahkan
semuanya walaupun tiada sesiapapun yang mendengarnya.
“Masa
untuk bekerja,” Dr Hamdan mengenggam tangannya. Dia tidak mahu kekucaran hidup
peribadinya menganggu tugas yang selama ini diusahakan. Yang mahu dibuktikan
kepada mata umum.
Dr
Hamdan kembali ke meja. Dia membelek-belek buku yang belum habis dirujuknya.
“Kenapa
pula dengan komputer ini?” Tiba-tiba sahaja komputernya semacam berlaku
masalah. Sekejap menyala. Sekejap terpadam.
Dr
Hamdan cuba memeriksa. Dia mengetuk-ngetuk komputernya. Skrin yang terpadam
tadi kembali bernyala. Namun skrin tersebut memaparkan jalur-jalur dan
digit-digit nombor yang tidak difahaminya.
“Kenapa
pula. Masuk viruskah?” Dr Hamdan mendengus kecewa.
“Nasib
baik Cristina masih ada. Mungkin dia boleh membetulkan komputer ini,”
“Cristina...
Cristina...,” Dr Hamdan memanggil. Tidak sampai beberapa minit Cristina muncul
di pintu biliknya.
“Kenapa
doktor?” tanya Cristina.
“Boleh
tengok-tengokkan komputer saya. Mungkin masuk virus,”
Cristina
melangkah. Mendekati Dr Hamdan.
“kenapa
boleh jadi begini?” tanya Cristina.
“Entahlah...
tadi saya berehat sebentar, bila nak
mula kerja terus jadi begini,”
Komputer
terus berjalur-jalur skrinnya. “Ini bukan virus. Pelik juga,”
Dr
Hamdan bangun. Dia menyuruh Cristina duduk dan melihat masalah komputernya.
“Awak
tengoklah. Mungkin ada wayar tercabut,”
“Baiklah
doktor pergilah berehat dulu,”
Dr
Hamdan mengangguk. Dia berlalu ke arah sofa.
Belum
sempat Dr Hamdan duduk, Cristina memanggil. “Doktor... lihat ini, kenapa skrin
ini jadi macam ini. Nombor-nombor penuh seluruh skrin.
797979....797979....797979,”
“Eh...
kenapa ini!” satu pancaran cahaya keluar daripada skrin komputer. Cristina mula
menjerit apabila cahaya itu mengenai tangannya.
“Doktor...
doktor....doktor,”
“Cristina...
apa yang berlaku,” bergegas Dr Hamdan mendapatkan Cristina. Dia memegang tangan
Cristina. Cahaya itu mula merebak ke tubuhnya. Cahaya itu umpama magnet. Menarik
tubuh Dr Hamdan dan Cristina.