Home Novel Cinta Janji Setia
Janji Setia
Miss Honey
12/11/2020 17:31:22
1,240
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 13

ISYA bangun awal pagi seperti yang dijanjikan. Dia menggeliat sebelum menapak ke bilik air. Sesudah dari itu, dia terus mengenakan pakaian yang sesuai untuk beriadah.

Rutin pada hujung minggu, berjoging dengan Aida. Kadangkala jikalau Aida malas, Isya akan pergi dengan 'si bedebah'.

Siapa 'si bedebah' itu?

Setentunya Zafran.

Minyak raksi disemburkan ke badan. Semerbak harumannya. Pakaian joging yang terlekap pada badan Isya, cukup melambangkan ciri-ciri seorang wanita muslimah.

Dia segera berangkat, takut andai Aida tertunggu-tunggu.

“Isya ... sayang! Turun makan!”

Bergaung namanya dari tingkat bawah. Dengan seketika Isya bergerak turun ke aras bawah. Sebelum bondanya bertukar singa, ada bagusnya dia cepat.

Semua orang sudah duduk di meja makan untuk menyekang perut. Kecuali Isya, dia terlewat sedikit. Kerusi ditarik kemudian dia duduk perlahan.

Tengku Aariz ralit membaca surat khabar, manakala Che Puan Medina sibuk menyendukkan nasi lemak. Muka bonda dan ayahnya tampak serius hari ini. Isya menghirup  secawan teh hangat.

Che Puan Medina menghulurkan pinggan kaca berisi nasi lemak ke hadapan Isya.

“Terima kasih, bonda,” ucapnya.

Che Puan Medina gagu. Wanita itu menghenyakkan punggung.

Isya berasa dura. Berdikit-dikit dia menyekang nasi lemak ke dalam mulut menggunakan sudu.

Suasana khali seketika.

“Kamu masih nak sambung belajar ke oversea?” cetus Tengku Aariz dengan nada yang datar. Helaian demi helaian akhbar diselak lalu dibetulkan sedikit.

Isya henti memamah nasi berbaur sambal ikan bilis. Kepala dianggukkan. Sudah tentu Isya menyesal lantaran menolak pelawaan sambung belajar ke New York kelmarin. Dia sanggup mengorbankan impian demi Zafran.

Seandainya dia pandai menelah, nescaya dia akan menerima tawaran tersebut. Tapi, Isya percaya ada hikmahnya.

Kalau dia berada di luar negara sekarang, pasti dia tidak akan mengenali Farhad.

“Surat tawaran sambung belajar ke New York. Ayah dah uruskan semuanya. Apa yang ayah nak ... kamu fokus untuk persiapan ke sana,” ujar Tengku Aariz sejurus menaruhkan sampul surat ke atas meja.

Tangan Isya cekatan menggapai sampul itu lalu membuka untuk melihat intinya.

“New York?” Pandangan Isya berkaca-kaca. Terharu.

Tengku Aariz mengangguk, mengeyakan pertanyaan si puteri.

Roman muka Che Puan Medina sayu, namun masih mampu menguntum senyum. Berat untuk dia melepaskan puterinya pergi belajar jauh nun di tempat orang.

Isya masih tidak percaya. Perancangan Allah SWT memang tersusun cantik! Dia membaca sekali lagi isi kandungan. Kali ini dengan lebih teliti.

Masih bersisa delapan hari untuk dia berangkat ke New York. 




“ENGKAU dapat sambung belajar kat New York? Really?

Lekas-lekas Isya respons dengan anggukan. Takkan pisang berbuah dua kali. Kali ini, Isya wajib mempergunakan peluang yang ada dengan sebaik mungkin.

Sengaja Isya melambat-lambatkan pembukaan perkara ini. Sengaja bikin Aida saspens.

“Tahniah, beb ... akhirnya tercapai juga impian kau untuk timba ilmu di negara orang.” Aida mengutarakan rasa riang tatkala mendengar khabar  ini.

“Terima kasih, Aida. Berkat doa kau juga,” tutur Isya seraya tersenyum manis.

“Ada hikmahnya kan kau putus dengan Zaf?”

Isya malar tersenyum tapi tidak semanis tadi.

Dua orang gadis itu berlari dengan langkah yang tidak kencang. Suria matahari tidak terlalu terik, masa yang paling sesuai untuk mereka berjoging. Biarpun berlari anak, perbuatan itu telah berjaya membakar lemak dan mengeluarkan peluh dari badan.

Nasib baik dah kenyang makan nasi lemak bonda tadi, getus hati Isya.

Langkah mereka terencat. Nafas Isya dan Aida cungap-cangip. Mengah. Aida mengambil keputusan untuk beristirahat sebentar. Isya akur, dia juga ingin melepaskan lelah.

Sebaik duduk di atas bangku, Isya menenggak sebotol air galian dengan laju.

Aida di sisinya terkulat-kulat. Seperti ingin mengatakan sesuatu.

“Kau dah tahu ke ... cerita pasal Zaf?”

Kedua-dua pipi Isya mengembung dipenuhi air. Dia menggelengkan kepala.

“Semalam, Zaf kena tangkap basah dengan anak Tan Sri.”

Bersahaja air itu tersembur melepasi dalam mulut. Mujur tidak tersembur ke wajah Aida.

“Berita sahih ke?” tanya Isya. Mana tahu ini semua sekadar khabar angin.

“Berita sahihlah .... Dekat dalam Instagram dan Facebook pun Zaf dah bagi penjelasan. Dia dah mengaku. Kau ni Isya, nama je anak orang kaya. Tapi buta IT.”

Buta IT? Mana ada, sanggah Isya dalam hati. Akaun Instagram, Facebook, bahkan WhatsApp pun Zafran telah menyekatnya. Memang sukarlah jadinya untuk dia mengetahui segmen semasa pria itu.

Kendatipun terasa jengkel akan sikap Zafran yang tidak pernah belajar dari kesilapan, terasa kasihan juga terhadap Datin Wati.

“Assalamualaikum.”

Suara garau hadir menyapa.

“Waalaikumussalam,” sahut mereka berdua yang sedang duduk.

Farhad dan Azad?

Apa mereka buat di sini?

“Aku yang ajak diaorang,” suara Aida sejurus terlihat kerutan menghiasi wajah Isya. Dia dapat menyelami isi hati Isya.

“Sayang, jom jalan-jalan,” ajak Aida kepada Azad. Ia mengorak langkah dan terus beredar dari tempat itu bersama Azad.

“Aida! Aida!” jerit Isya, mangsa yang ditinggalkan.

Aida dan Azad berlari anak tanpa mempedulikan suara laungan. Pandai-pandailah Farhad uruskan Isya, gumam Aida. Dia lepas tangan, asalkan dapat bersiar-siar dengan Azad.

“Takpelah. Saya temankan awak,” suara Farhad tenang. Dari posisi berdiri, jejaka itu berubah kepada posisi duduk.

Isya menjauhkan diri, Farhad pula semakin mendekatkan diri.

“Apa awak ni? Jauhlah sikit duduk tu!” Suara Isya meninggi. Mendegam-degam nadanya.

Perbuatan Farhad berhenti. Dia mempamerkan sengihan.

Puputan angin semilir membuatkan selendang yang tersarung di kepala Isya sedikit berterbangan. Sedikit mencuri hati Farhad.

Biarpun Isya bersikap endah tak endah, Farhad masih tak nak beralah.

Kalau betul, hatinya telah berubah daripada sayang kepada cinta. Tidak salah kut untuk dia luahkan?

“Isya ...”

“Awak tahu kan?”

Tidak sempat dia hendak memulakan luahan, Isya sudah memotong bicara.

“Tahu? Tahu apa?” Farhad bertanya.

“Saya dapat tawaran sambung belajar ke oversea,” balas Isya sambil menguntum senyum.

Farhad tidak bersuara. Sebaliknya melepaskan keluhan panjang.

“Kenapa awak mengeluh pula? Bukan ke awak sepatutnya happy bila kawan awak dapat sambung belajar?”

Farhad merenung tunak wajah gadis berjilbab itu. Hanya segaris senyuman yang dia kirimkan.

Terjungkit sebelah kening Isya. Farhad bungkam sebaik sahaja dia khabarkan berita gembira tersebut. Lidahnya ada tersalah cakapkah?

“Bila awak bertolak?” Lemah suara Farhad menanyakan tarikh penerbangan.

“Masih berbaki 8 hari lagi.”

“8 hari lagi? Hmm...” Jejaka itu mengeluh lagi. Berfikir panjang dia dibuatnya. Adakah ini petanda bahawa cintanya tidak layak untuk Isya? Atau ini adalah dugaan?

Situasi sunyi senyap beberapa detik.

“Seandainya ada seorang lelaki yang mencintai awak, awak akan terima tak lelaki tu? Atau masih nak terus setia dengan bekas tunang awak tu?”

Bertaut kening Isya. Tidak semena-mena pertanyaan bertalu-talu terpacul dari mulut Farhad.

“Saya masih dalam belajar untuk lupakan Zaf. Saya tak bencikan dia, walaupun dia dah curang banyak kali di belakang saya dulu. Saya tak boleh nak benci orang lama-lama. Hehehe ...” Kedengaran gelak kecil di hujung ayatnya.

“Awak memang takut dicurangi eh?”

“Ya ... lelaki semua sama je. Tambah lagi bila muka handsome. Saya yakin, mesti awak pun pernah curang. Kan? Kan? Kan?” Isya semakin melalut. Macam nak lari dari pokok pertanyaan Farhad.

“Saya, curang? Perempuan curang kat belakang saya adalah,” ujar Farhad sinis.

Lantas Isya mengelih ke arah Farhad.

Really?

Really-really,” jawab Farhad seraya meniru gaya percakapan Isya.

“Siapa perempuan malang tu? Awak ni dah cukup pakej tahu tak? Muka dahlah kacak, beradab dan berilmu!”

“Tapi saya tak berharta,” celah Farhad lalu mengukirkan senyuman.

“Sebab itu je? Ya Allah ... perempuan tu memang tolak rezeki,” kata Isya dengan menggeleng-gelengkan kepala.

“Apa kata ... awak je yang jadi perempuan bertuah tu?”

Isya yang sedang meneguk air mineral terus tersedak. Tangannya mengurut dada.

“Kenapa ... awak tanya macam tu?” soal Isya apakala batuknya mulai reda.

“Kenapa? Awak sudi ke jadi isteri kepada seorang pelayan dan anak kepada penoreh getah?”

Soalan dibalas soalan.

“Hati saya masih belum terbuka untuk mana-mana lelaki. Saya harap ... awak faham, Far?”

Farhad mengorak senyum tawar. Baiklah, dia faham. 




HABIS makan malam, Tengku Aariz terus berlalu ke ruang tamu. Buletin Utama sedang ke udara. Tidak pernah sekalipun lelaki itu terlepas dari mengikuti berita semasa.

Isya menuruni tangga. Kaki melangkah setapak demi setapak menuju ke pintu utama. Jangan fikir dia terhendap-hendap, Tengku Aariz tidak dapat melihat.

“Nak pergi mana tu?”

Dia mengetap bibir. Pasti Tengku Aariz ada dua mata juga di belakang.

“Isya, nak ambil barang kat kereta jap.” Gesit Isya menyorokkan plastik ke belakang badan.

Tengku Aariz diam dan mata menghala lurus ke kaca TV. Sebelum kantoi, lekas-lekas Isya berlari keluar dari rumah banglo. Kelihatan susuk tubuh lelaki sedang sibuk mencuci kereta.

Tangkas Isya menapak ke arah orang itu.

“Pak Ali,” panggil Isya berbisik.

“Ya, tengku,” respons Pak Ali agak kencang.

Isya meletakkan satu jari ke bibir sendiri. Dia meminta agar Pak Ali memperlahankan nada suara.

“Tolong hantarkan barang ni kepada Zafran. Tolong saya, Pak Ali,” pinta Isya seraya menghulurkan bungkusan plastik.

Pak Ali kaku. Nak ambil atau tidak? Ini kalau Tengku Aariz tahu, mesti dia akan terkena tempias amukan majikannya itu.

“Pak Ali ... tolong bagi barang ni kepada Zafran. Pak Ali masih ingat lagi kan alamat rumah Zafran? Saya ... merayu sangat kat Pak Ali,” rayu Isya dan berterusan mendesak.

Dengan hati yang berbolak-balik, Pak Ali sambut akan huluran itu.

“Terima kasih, Pak Ali.”

Lanjang Isya berlari masuk ke dalam rumah banglo itu semula. Terlihat Tengku Aariz sedang ralit menengok televisyen. Syukurlah.

Langkah diayun menuju ke bilik tidurnya yang berada di aras atas.

Sebaik-baik masuk ke bilik, kad sim Hotlink yang baru dibeli petang tadi dikeluarkan dari dalam laci. Laju kad sim tersebut dimasukkan ke dalam telefon pintar. Tanpa melengahkan waktu, nombor telefon seseorang didail.

Hanya dengan satu panggilan, akhirnya panggilan itu diangkat.

“Helo, siapa ni?”

Satu suara yang sangat Isya rindukan sedang bercakap di hujung talian.

“Zaf.”

Hujung talian sepi seketika.

“Ada apa Isya call, Zaf? Rindu?” Cara percakapan Zafran seolah-olah tengah menyindir.

“Ini nombor baru Isya. Zaf save ya number ni?”

“Hmm,” balas Zafran acuh tak acuh.

“Isya ada minta tolong Pak Ali untuk hantarkan barang kat rumah Zaf. Jaket kulit kesukaan Zaf, nanti Zaf pakailah jaket tu ya?”

Senyap.

“Isya akan sambung belajar kat New York tak lama lagi ... Zaf jaga diri tau kat sini. Jaga mommy elok-elok, jangan susahkan hati dia.”

Zafran terkedu. Maknanya, jadilah Isya sambung belajar ke luar negara?

“Zaf ... tolong janji dengan Isya yang Zaf takkan minum dan mabuk lagi? Zaf tahu kan ... arak tu boleh merosakkan hati, Isya tak nak Zaf sakit,” monolog Isya dengan rasa sebak di dada. Empangan air matanya pecah. Sudah tak dapat ditahan untuk air jernih itu tidak tumpah.

“Isya jaga diri ya kat sana. Zaf janji tak akan mabuk lagi dan ... Zaf akan jaga mommy dengan sebaik mungkin,” ujar Zafran turut sebak. Dia tidak ingin Isya bertolak punggung ke sana dengan perasaan khuatir.

Esakan mereka bersipongang dalam talian. Isya tersedu-sedan, sementara Zafran menekup wajah sekali gus mengawal tangis.

“Kita ... akan terus berkawan kan?” Isya mengharapkan jawapan daripada Zafran.

“Ya, kita akan terus berkawan.”

Bibir Isya mengelopakkan senyuman. Ngongoiannya makin reda.

“Tengku Puteri Qalisya!”

Laungan namanya bergema. Sekonyong-konyong Tengku Aariz menyerbu kamar itu dengan rona wajah merah padam.

Isya terpempan.

Di kesempatan itu, Tengku Aariz merampas telefonnya kemudian membanting telefon itu ke lantai.

Isya mengorak sila sebaik sahaja telefon kepunyaannya dihempaskan.

Tengku Aariz tidak akan berlapang dada kali ini.

“Dah beribu-ribu kali ayah cakap ... tinggalkan Zafran. Tinggalkan Zafran!”

Pukulan tapak tangan dikenakan ke pipi Isya. Isya rebah di atas ranjang. Tangisannya bertukar lebat umpama air hujan.

“Apa istimewanya si pemabuk tu? Aku suruh kau tinggalkan dia! Susah sangat ke? Jawablah! Aku tanya ni!”

Mulut lelaki itu mula beraku-kau.

Isya tidak menunjukkan sebarang respons melainkan menangis.

“Astaghfirullahaladzim ... kanda, sudahlah. Kawal emosi kanda tu,” sela Che Puan Medina untuk memberhentikan pertelagahan dua beranak itu.

“Nah! Ambil jaket ni balik! Lupakan Zafran!” herdik Tengku Aariz lalu membalingkan sehelai jaket ke wajah Isya. Dia berlalu pergi dari situ bersama perasaan mendongkol yang meluap-luap.

Che Puan Medina mengejar langkah sang suami.

Manakala Isya berterusan mencucurkan air mata di atas tempat tidur. Suaranya tersedu-sedu. Telefon pintarnya juga telah jahanam oleh sebab amarah Tengku Aariz.

Salahkah untuk dia menghubungi Zafran untuk kali terakhir? Barangkali juga, ini adalah kesempatan paling akhir untuk dia mendengar suara Zafran.

Nubari Isya bagai disiat-siat. Sakit amat. Jaket kulit berwarna hitam yang sepatutnya sudah menjadi milik Zafran itu, dia peluk erat.


P/S: Terima kasih kepada semua yang setia menanti kesinambungan 'Janji Setia'. JS, memang akan slow update. Honey masih sibuk dengan pelajaran, InsyaAllah ada rezeki nanti Honey update new chapter ya. Love you all. ^.^













































Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miss Honey