Bab 10

MAKANAN ikan dicampakkan sebutir demi sebutir. Sekawan ikan koi saling berkejaran di dalam kolam. Semua ikan itu berusaha keras untuk mendapatkan makanan.

Dia terus mencampak setiap pelet ke dalam kolam sambil mengelamun. Itu sajalah kerjanya bila bersendirian.

Gadis yang masih lengkap berpakaian tidur itu, leka mengimbas kisah lampau. Seperti apa khabar Zafran sekarang? Adakah dia baik-baik sahaja?

Isya lebih banyak memikirkan keadaan orang lain berbanding dirinya sendiri. Lihatlah, rambut sendiri pun kusut-masai, ada hati nak menghiraukan keadaan orang lain.

Perbuatannya lantas terhenti sejurus bunyi hon bergema beberapa kali. Hon kereta siapa pula yang berbunyi? Bunyi tersebut berjaya menarik minat Isya.

Palet ikan ditinggalkan. Segera dia membawa langkah menuju ke beranda. Hon kereta masih berbunyi.

Surprise!

Kaget. Sebuah kereta baharu terparkir kemas di hadapan pintu utama. Che Puan Medina, Tengku Aariz dan Pak Ali bersorak keriangan.

Isya terpaku. Mercedes Benz? Kereta impiannya sejak dulu! Kesedihannya dilupakan untuk seketika.

“Untuk Isya ke ayah?” Spontan soalan itu meluncur dari mulut Isya.

Tengku Aariz mengangguk sambil tersenyum.

Pantas Isya melangkah masuk ke perut kereta yang dari tadi terpelahang. Seolah-olah mengalu-alukan dirinya untuk masuk. Tangan mulai merayap menyentuh sana dan sini. Bagaikan mimpi, ayahandanya sudi membelikan kereta idamannya.

Tengku Aariz dan Che Puan Medina sama-sama tertawa kecil bilamana menengok telatah puteri tunggal mereka.

“Lepas ni ... Isya dah boleh drive sendiri pergi kampus. Ingat, hati-hati. Pandu dengan cermat,” ujar Tengku Aariz kepada Isya.

Isya menganggukkan sahaja kepala. Memandangkan enjin kereta masih belum dihidupkan, dia sengaja memainkan stereng kereta.

Bila kali terakhir Isya memandu kereta?

Sebulan yang lalu, bersama Zafran.

“Lega ayah bila tengok kamu dah ceria .... Itu maknanya, kamu dah lupakan Zaflah kan?”

Pantang mendengar nama Zafran, serta-merta air mukanya mendung. Tegal nama Zafran, suasana sekelip mata berubah bening.

Che Puan Medina mengetil lengan Tengku Aariz.

Teraduh suara Tengku Aariz. Berkedut dahi lelaki tua itu. Mata sang isteri mula menunjuk ke arah Isya.

“Isya naik ke bilik dulu. Ayah ... bonda,” pamit Isya belan-belan menekur. Nadanya kedengaran sayu.

“Isya tak nak cuba ronda-ronda dulu ke dengan kereta baru ni?”

Pertanyaan Tengku Aariz dibiarkan sepi. Tetap meneruskan langkah ke ruang bilik.

“Kandalah ni,” marah Che Puan Medina.

Berpusing bebola mata Tengku Aariz.


MANIK-MANIK keringat di leher dan dahi dilap dengan kain berwarna biru. Sebaik sahaja dia pulang dari gim, hostel terlihat seperti tidak berorang.

Kebiasaannya, Azad akan memasang lagu ketika mengulang kaji. Ini tidak, senyap. Barangkali, Azad keluar dengan teman wanitanya.

Sejurus masuk ke dalam kamar, Farhad mendapati ada sehelai nota kecil tertampal di atas meja belajarnya. Terjungkit sebelah tubir bibirnya.

“Aku dah agak yang kau keluar dating.  Aiseymen ... zaman gajet macam ni pun masih nak tinggalkan nota bagai. WhatsApp kan ada?”

Bergeleng-geleng kepala Farhad sambil membaca isi nota tersebut. Dia menempelkan semula nota itu ke tempat asal.

Malas rasanya hendak memanjat sigai semata-mata ke tempat tidurnya, Farhad menumpang tempat tidur Azad yang di tingkat bawah. 

Farhad menarik nafas sedalam-dalamnya lalu dihembus. Sudah lama dia tidak ke gim untuk angkat berat. Untuk meningkatkan stamina tubuh, dia perlulah rajin bersenam.

Jarum menunjukkan angka 11. Sudah masuk waktu tengah hari, enak juga kalau dapat merasa kopi. Farhad bergegas untuk mandi. Dia berlalu ke  bilik air sebelum menyalin pakaian.

Selesai menyikat rambut, dia menyarungkan jam tangan sambil menyanyi. Luarannya kelihatan riang, tapi dalam hatinya siapa yang tahu?

Jauh di lubuk hati Farhad, sebenarnya dia berasa cemburu dengan Azad. Untunglah dapat keluar dengan mata air. Dia?

Keluar seorang diri, hanya ditemani angin.

Pantas Farhad beristighfar. Bila syaitan mula berbisik ke kuping manusia, mudah sekali untuk iman mereka luntur.

Seperti firman Allah SWT, dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang buruk.

Farhad lebih rela membujang daripada dekati zina.


DIMULAKAN dengan basmalah. Tali pinggang keledar dipakai sebagai langkah berjaga-jaga. Ini adalah pertama kali dia memandu kereta seorang sendiri.

Tanpa ditemani sesiapa.

Menegak rongga bulu Isya. Peluh merembes keluar. Kereta meluncur di atas lebuh raya. Jalan raya agak lengang dari kebiasaan.

Isya menghela nafas. Barulah rasa selamat sedikit tatkala keadaan jalan tidak sibuk. Had pemanduannya amat perlahan.

Pak cik kayuh basikal pun lebih pantas.

Dia semakin dekat di pusat membeli-belah. Untuk menghilangkan perasaan gundah-gulana, Isya mengambil keputusan untuk menghirup secawan kopi hangat.

Isya menghentikan kereta di parkiran. Beg tangan di tempat duduk sebelah digapai sebelum mengorak langkah keluar. Pintu kereta dikunci sebelum meneruskan langkah.

Kunci dimasukkan ke dalam tas. Sejurus itu, Isya menuruni eskalator. Dia lanjar menuju ke kafe Starbucks. Sebelum ini, dia sering kali ditemani Aida.

Tapi asbab Aida melenyapkan diri hari ini, dia terpaksa memandu kereta baru ke sini seorang diri. Rasakan Aida, dah tak dapat nak rasmikan kereta baharu kepunyaan Isya.

Sibuk metah bercinta, sampai lupakan kawan.

Sebaik-baik sampai di kafe, dia menonong menuju ke kaunter. Sehingga menabrak badan seseorang. Mujur minuman di pegangan orang itu tidak jatuh ke lantai.

“Ya Allah, encik. Saya minta maaf,” ungkap Isya gelabah.

“Eh, takpe. Takpe.”

Pria itu masih mampu tersenyum. Namun terasa ada sesuatu yang tidak kena. Suara lunak itu masih berdenging-denging di telinga Isya.

“Awak? Awak lagi?” tanya Isya sekali gus menuding jari.

Senyuman Farhad pudar.

“Tengku.” Farhad menunduk hormat macam selalu.

Isya menjeling Farhad dari bawah ke atas. Jejaka itu terlihat sangat bersopan santun dan berbudi bahasa. Paras rupa pun elok. Sempurna!

Sungguhpun demikian, masih belum cukup pakej untuk meraih hati Isya.

“Tengku buat apa kat sini?” Farhad menyoal.

Isya tersentak. Menggelengkan kepala.

“Apa yang tengku gelengkan kepala tu?”

Isya terpinga-pinga. Berhenti menggeleng.

Farhad tergelak tanpa niat. Gelagat Isya comel. Mimik gadis itu spontan, tidak dibuat-buat.

“Tengku nak coffee? Saya boleh tolong orderkan?”

Geleng. Isya menonong keluar meninggalkan kafe. Kakinya berjalan laju.

“Tengku!” jerit Farhad dari arah belakang. Dia mengejar langkah Isya sambil membawa secawan kopi cappuccino.

Langkah Isya terlalu pantas. Dia merempuh semua orang. Pada akhirnya, dia yang tersungkur.

“Hey! Kau ni bila berjalan, mata letak kat lutut ke?” sergap satu suara.

Isya masih jatuh terduduk. Bukannya hendak menolong, makin dia kena bebel adalah.

“Tengku, tengku okey?” tanya Farhad sebagai penyelamat. Dia menolong Isya untuk bangun.

“Far?”

Perbuatan Farhad terkunci. Sally?

“I ... Isya?”

Lidah Isya kelu. Zafran? Matanya berkalih kepada pimpinan tangan Zafran bersama perempuan yang masih belum Isya kenali.

Zafran dan Sally berpimpin tangan.

Manakala Farhad dan Isya?

Saling janggal.

You kenal ke perempuan ni?” soal Sally kepada Zafran. Dia menjeling wajah Isya yang sejak tadi tak berkedip memandang Zafran.

No.” Sepatah jawapannya. Zafran berlalu pergi. Sally membuntutinya.

Air mata menitis tanpa dipinta. Isya menghapus cecair jernih itu. Tapi ia semakin deras.

“Tengku, menangis?”

Isya menggeleng lalu buat-buat tersenyum.

Dusta. Sebut hati Farhad sebaik sahaja merenung tunak sepasang mata yang berkaca-kaca itu.

“Awak janganlah panggil saya, 'tengku' lagi .... Panggil saya, Isya.” Mauduk ditukar oleh Isya.

Farhad kenal wajah dan nama lelaki tadi.

Zafran.

Ya, foto lelaki itulah yang dia ternampak di dalam diari Isya. Lelaki yang sering menyakiti hati seorang gadis yang diberi nama Tengku Puteri Qalisya.

“Tengku, ops ... sorry. Isya, nah. Ambillah air kapucino ni. Saya boleh beli yang lain.”

Isya gelengkan kepala tanda tak nak.

“Ambil. Saya tahu yang awak memang nak beli coffee kan tadi? Bila nampak saya je awak terus lari. Kenapa? Muka saya yang kacak ni macam hantu ke?”

Farhad berseloroh untuk melipurkan hati Isya. Isya tergelak kecil. Farhad
mengorak senyum dan masih mengedangkan secawan kopi yang masih belum berusik.

Minuman itu akhirnya bertukar tangan.

“Terima kasih ... Farhad. Sebenarnya saya memang hantu kapucino.”

“Betul ke? Samalah kita,” balas Farhad tak menyangka. Dia memang hantu kopi. Semua jenis kopi dia telan.

Mereka ketawa serentak.

Farhad menyedari akan sesuatu. Ketawa-ketawa juga. Amanah sebagai manusia jangan dilupakan. Dia menjeling jam tangan.

“Azan Zohor dah masuk. Jom solat,” ajak Farhad.

Isya menggaru kepala. Serta menggigit bibir. Macam mana nak cakap ya?

“Saya ... saya tak boleh solat.”

“Tak boleh solat? Eh, kenapa pula?” Farhad mempertikaikan. Bila otaknya berfikir-fikir, dia sudah temui jawapan. Lantas Farhad menepuk dahi.

“Allah bagi cuti?” teka Farhad.

Angguk.

Farhad mengerti. Kakak dia juga selalu memberikan alasan yang sama. Alasan yang munasabah untuk wanita.

Jika lelaki yang meninggalkan solat, itu wajib dipertikaikan.

“Saya pergi solat dulu. Tengku tunggu ya? Ops, tersasul lagi ...”

Isya menahan tawa. Dia sekadar memandang ke arah sesusuk tubuh yang sedang mencari surau. Terpegun. Ini merupakan pertama kali lelaki yang mengajaknya untuk solat.

Berbeza dengan sebelum ini, dia yang mengajak lelaki itu untuk solat. Siapa lagi kalau bukan, Zafran.

Tetapi Farhad, lain. Mempunyai wajah yang kacak serta dihiasi nur, halus budi pekerti dan menjaga tiang agama. Ciri-ciri lelaki idaman Isya, sepenuhnya telah ada pada Farhad.

Namun, cinta tidak boleh dipaksa.


























Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh