Bab 9

SEBAIK sampai di hadapan bangunan IOI City Mall, Aida menarik-narik tangan Isya. Isya merengus. Dia nak bayar tambang teksi pun susah.

Tergesa-gesa Aida melangkah keluar dari perut teksi, selanjutnya dia mengheret pula Isya. Tak reti menyempat bila nak jumpa teman lelaki. Isya pasrah, mengekori ke mana sahaja dia pergi.

Tampang wajah pemandu teksi tadi pun berkerut-kerut melihat  tingkah mereka berdua.

Isya dan Aida memasuki bangunan yang berjejal-jejal oleh orang ramai. Misi pertama, tandas perempuan. Dua figura itu melingas.

Aida memimpin tangan sahabatnya menuju ke tandas. Isya berterusan membuntuti langkah Aida. Mereka berdua meredahi kesesakan tempat umum.

“Aku kena nampak cantik hari ni,” kata Aida sambil menggagau isi tas tangan. Alat solek asas dikeluarkan. Dia bergincu di depan cermin.

Isya menatap biasan imej wajah dari dalam pantulan cermin. Belum pernah dia melihat wajahnya yang ayu itu menjadi sepucat kini. Perpisahan tersebut telah membuat jiwanya merana.

Mengapa dia harus bersedih? Bukankah sebelum ini dia juga yang meminta kata putus? Kerana mulut, badan binasa. Dan kerana hati, hidup sengsara.

Aida berjeda setagal. Dandanan ditangguhkan.

“Isya, kau okey tak?” Dia menyentuh perlahan sebelah bahu Isya.

“Aku ... okey,” respons Isya.

“Kau nampak tak okey .... Nah, pakai sikit lipstick ni.”

Gerakan kepala Isya bergoyang ke kiri dan ke kanan. Sedaya upaya mulutnya berkata bahawasanya dia baik-baik sahaja. Tetapi dalam hati?

Ada kesedihan yang menggunung.

“Isya ... bibir kau pucat sangat tu,” suara Aida. Lantas dia mengenakan inci pada dua ulas bibir yang tidak merekah dan tiada warna itu.

“Ha ... kan cantik,” sambung Aida usai menutup gincu.

Isya kemam bibir beberapa kali. Mengelih cermin. Gincu kod Lyla keluaran daripada Obsess Cosmetics ini mempunyai tekstur yang lembut serta menarik.

Done. Now, let's go.” Aida kembali meraih lima jari Isya.

“Eh, nak pergi mana?”

“Tujuan kita datang sini untuk apa? Untuk teman aku datinglah ...”

Tangan Isya pantas diraih dan ditarik.  Bersama-sama mereka berdua keluar dari tandas perempuan. Isya lagi terpinga-pinga.




AZAD melurut rambut supaya terlihat rapi. Dah naik juling biji mata Farhad menyaksikan gerak laku rakannya. Sisir rambut tak selesai-selesai dari tadi.

Dia menghirup secawan kopi Starbucks. Sedap. Mata Farhad mengitari sekeliling. Masih tak muncul lagi gerangan yang disebut oleh Azad.

Farhad duduk berteleku. Berapa lama lagi dia perlu menunggu? Ada banyak lagi tugasan yang dia perlu buat. Si Azad ini pun satu, kenapa perlu mengajaknya keluar ketika anginnya sedang tidak baik?

Terasa malas metah hari ini. Kalau Farhad berada di rumah sekarang, mesti dia sudah merebahkan badan di atas katil. Biarpun tak empuk, asalkan selesa.

“Zad, dah cukup 30 minit. Aku cabut dulu,” kata Farhad sejurus melirik jam tangan. Sebelum bangun dari duduk, dia menghabiskan minuman.

“Eh ... janganlah pergi dulu. Tunggulah kejap,” halang Azad serentak memaut tangan Farhad.

Farhad memutarkan bebola mata. Langkahnya dihalang. Sedang giat menarik tangan dari pegangan Azad, secara tidak sengaja matanya menangkap ke arah seseorang.

“Tengku Puteri Qalisya.” Nama tersebut automatik meniti perlahan dari mulut Farhad.

Gadis itu memasuki kafe Starbucks. Farhad mula menggeresah. Kembali menghenyakkan punggung.

Selingar Azad dibuatnya. Tadi bersungguh-sungguh nak balik. Syak wasangka menerjah benak fikiran. Farhad kelihatan seperti tidak keruan dan juga seperti menyembunyikan wajah dari seseorang.

“Assalamualaikum,” ucap satu suara.

“Waalaikumussalam,” sahut Azad lalu menoleh. Lekas Azad bangkit dari duduk. Meleret dia senyum sampai ke telinganya yang capang.

“Hai, Azad,” sapa Aida dengan suara yang lemah gemalai.

Isya yang berdiri di rusuk kirinya agak terkedu. Bukan main lemah lembut nada suara Aida. Jarang sungguh Aida bersifat demikian.

“Hai, Aida. Ini pula siapa?” Azad menanyakan tentang kewujudan Isya.

“Oh, ini? Ini kawan baik saya, Isya.”

“Hai, Cik Isya. Anyway, perkenalkan ... yang ini pula housemate saya, Farhad.”

Farhad masih berpaling hala ke tempat lain. Azad mencuit lengannya, meminta Farhad agar bangun. Secara lambat dia bangun, wajah diangkat.

Renungan mata Farhad dan Isya bertentang.

“Tengku,” suara Farhad gugup.

“Awak? Awak yang pulangkan diari saya hari tu kan?” Isya membahaskan isu kali terakhir perjumpaan mereka.

“Ya, tengku. Sayalah tu,” balas Farhad kemudian menunduk hormat.

Isya tersenyum simpul. Macam terasa diri ini duduk di negara Jepun.

“Tengku?” Azad tercengang-cengang. Dia turut menunduk hormat. 

Ketawa Isya pecah. Terkekek-kekek dia ketawa setelah seharian bersedih. Dia menekup mulut, cuba mengawal perasaan geli hati.

“Panggil saya, Isya sahaja,” ujar Isya mesra. Lara di hati lenyap begitu saja. Betapa ampuhnya sifat merendah diri yang ada pada dua orang pemuda itu.

“Jemput duduk,” sila Azad.

Mereka berempat serempak melabuhkan punggung di meja yang sama. Isya duduk bersetentang dengan Farhad.

Farhad mengangkat muka, memandang rona muka Isya. Pucat dan pipinya kelihatan cengkung. Terlihat seperti orang sedang makan hati?

“Tengku, okey?” Farhad bertanya dan masih memanggil gelaran 'tengku'.

She's not fine. Baru lepas putus tunang,” sela Aida selamba.

Hati Isya terguris mendengarkan kata-kata Aida. Lantas ia menjegilkan mata ke arah Aida.

“Putus tunang dengan Zafran?”

Jelingan matanya beralih kepada Farhad. Bagaikan jelingan maut!

Farhad kemab. Sejurus kemudian dia berpura-pura menghirup secawan kopi yang telah kosong.

“Saya nak pergi tandas sekejap,” tutur Isya untuk meminta diri. Dia bingkas bangun dan beredar meninggalkan kafe.

Farhad dihurungi perasaan serba-salah. Dia khali. Hanya Azad dan Aida yang rancak berborak. 

60 saat dia mengerling jam dinding.

“Zad, aku nak jalan-jalan jap. Kau dua orang berboraklah dulu,” tutur Farhad seraya mengorak sila. Dia dipulaukan. Gigi diketap, bengang.

Bukan main nyaring lagi si Azad dan Aida tergelak. Tahu sajalah, orang tengah hangat berasmara.

Langkah demi langkah, Farhad bertegun di luar kafe Starbucks. Tercari-cari kelibat Isya. Sebelum berjalan, dia berfikir-fikir ke mana arah yang hendak dia tuju.

Ke kanan?

Atau ke kiri?

Ikut kata hati, Farhad membelok ke kanan. Terus berjalan sembari melihat pakaian-pakaian berjenama. Lihat dari jauh sahaja. Nak beli tak mampu.

Dia lanjang berjalan. Orang kiri, kanan, depan dan belakang Farhad masing-masing berjalan sambil berkepit tangan. Hanya dia yang berjalan seorang diri.

Tiba-tiba dia berasa ribang terhadap Sally. Tangan menyeluk ke dalam kocek seluar. Kaki Farhad berjeda.

“Tengku?”

Isya memusingkan badan, sekali gus berhenti menilik jaket kulit berwarna hitam itu. Farhad mendekati Isya.

“Nak beli untuk siapa tu?” tanya Farhad mengenai jaket tadi.

“Saja je tengok,” jawab Isya serius.

“Iya ke? Tak percayalah saya,” usik Farhad.

“Betullah.” Isya serius memanjang.

Farhad menikus.

Tangan Isya mencapai jaket kulit yang tergantung. Hanya tinggal satu, lebih baik dia cepat. Jaket itu dibawa ke kaunter. Dibayar dengan menggunakan kad kredit.

Farhad tercegat di luar Brands Outlet. Isya sudah selesai membayar, Farhad kirimkan senyuman. 

“Banyak beli barang,” tegur Farhad.

Isya menjeling. Beg yang sudah diterakan Brands Outlet ditunjukkan ke arah Farhad.

“Banyak? Saya beli sehelai jaket. Itu awak kata banyak?”

Farhad membungkam. Boleh tahan galak perempuan di hadapannya ini.

Isya maju setapak, laluannya dihalang.

“Tengku, tolong maafkan saya? Saya tahu yang saya salah. Saya tak patut baca diari tengku.”

“Betul. Tepat sekali. Awak memang tak patut pun baca privasi orang lain. Awak takde hak!” jerit Isya di khalayak ramai. Riak wajahnya bengis. Tidak lama selepas itu, dia langkahkan kaki meninggalkan jejaka itu.

Farhad melepaskan keluhan panjang. Perempuan memang gemar merumitkan keadaan. Apabila dia bergurau pun salah, apabila dia serius lagilah salah.

Bergeleng-geleng kepala Farhad. Wanita sangat rumit untuk difahami.
 










Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh