Bab 5

MEJA yang berselerak segera dibersihkan. Semua pinggan dan gelas yang kotor dikutip untuk dicuci. Lalu dia membawa langkah ke bahagian dapur restoran. Kebersihan di restoran ini dijamin 'A'.

Ditambah pula wujudnya Farhad sebagai pelayan paling tampan. Jadinya, berlipat kali ganda laku Restoran Ikan Bakar itu.

Daya penarik yang ada pada pelayan itu berjaya menarik minat pelanggan untuk merasai hidangan ikan bakar yang tersedia. Sambil menjamu selera, boleh pelanggan cuci mata.

Budi bicara dan roman wajahnya yang tenang, sentiasa mendamaikan hati para gadis. Sejurus kemudian, Farhad mengambil pesanan. Buku nota kecil dan juga pen dikeluarkan dari saku.

“Ya cik? Nak makan dan minum apa?” Farhad menyoal tanpa memandang muka pelanggan. Dia lebih fokus kepada mencatat pesanan.

“Ikan tilapia ada?”

Catatan Farhad terhenti. Dia mengangkat kepala. Anak mata mereka bertembung.

“Sally?” Bibir Farhad mengelopakkan senyuman. Tidak disangka yang mereka akan bertemu di sini. Ini merupakan kali pertama Farhad dan Sally berjumpa ketika waktu tengah bekerja.

Sally tak senang duduk. Muka surat menu makanan ditutup. Terus patah seleranya.

Lengannya disiku orang sebelah. Serentak membuatkan Sally tersentak.

You kenal dia ke?” tanya Lina, rakan sekelas Sally. Bercantum habis kening Lina tatkala Farhad tidak lekang tersenyum.

“Saya teman ...” Farhad cuba menyampuk.

No ... I tak kenal dia. Memang taklah I nak berkawan dengan waiter,” komen Sally sinis.

Hati Farhad terguris. Lelaki segak itu terkedu. Sedikit demi sedikit dia lakarkan senyum tawar. Tangan kidal kembali mencatit pesanan. 

“Bagi I ikan tilapia. Minuman pula, fresh orange dua. Thanks,” ucap Sally acuh tak acuh. Perbualan dia bersama rakannya diteruskan. Kehadiran Farhad di sisi seolah-olah tidak wujud.

Farhad melangkah pergi dengan hati yang lara. Tanda tanya berlegar-legar di benak fikiran. Ada sebarang kesalahan yang dia lakukan? Mengapa Sally tiba-tiba memulaukan dirinya?

Dia tolehkan kepala sedikit ke belakang sejurus menekan loceng di kaunter. Buat kali kedua mata mereka bersabung, sekalipun dari jarak yang jauh.

Farhad mengorak lingkar, dia tak nak dirinya disebut sebagai makan gaji buta.

Sally keserbasalahan. Sekiranya dia tahu di sini adalah tempat Farhad bekerja separuh masa, semestinya dia tidak akan singgah di restoran ini. Dia bukan apa, cuma malu jika ketahuan yang teman lelakinya bekerja sebagai pelayan.

Bebhandsome kan guy tu? Tengah lap meja pun sweet,” bahas Lina tentang pelayan tadi. Disenggol lengan Sally meminta agar berhenti melamun.

Sally mengerling sekilas ke arah susuk tubuh yang dikatakan Lina. Diketap giginya sekuat mungkin. Teman lelaki aku juga yang kau minat, desis hati Sally.

Bengang.

Salah dia juga, siapa suruh tak mengaku yang dia mengenali Farhad?



KAKI langit kelam dan luas terbentang. Gugusan bintang menerangi keluasan langit. Maha suci ciptaan Allah. Tiada rembulan yang bersinar kini.

Dia mengira gugusan bintang yang membentuk corak atau lebih dikenali sebagai 'buruj'. Isya sendiri kurang pasti apa nama buruj tersebut. Sudah bertahun dia meninggalkan alam persekolahan.

Telekung masih tersarung menyelubungi seluruh anggota tubuh. Lagi 2 minit sahaja azan Isyak ingin berkumandang. Dia tercenung bertemankan bintang-bintang. Detik ini, dia hanya bersandarkan kesetiaan.

Isya bimbang seandainya, dia akan kehilangan lelaki yang sangat dia cintai. Zafran, cinta pertama yang bertakhta di hati Isya sehingga saat ini.

Terlepas keluhan dari dua ulas bibir yang mongel itu.

“Isya? Tak solat Isyak lagi? Azan dah berkumandang tadi,” tegur satu suara.

Kepala yang terlentok ke dinding lantaran menghayati keindahan malam, pantas diangkat. Badan berpusing mengarah suara yang menegur. Asyik metah dia termenung, sehinggakan azan telah berkumandang pun dia tidak sedar.

“Ya, ayah. Isya nak solatlah ni,” balas Isya belan-belan tersengih.

“Tak nak ikut ayah dan bonda solat berjemaah?” Tengku Aariz bertanya sambil sebelah tangan memegang tombol pintu.

“Ayah ... hari ini Isya nak solat sendiri. Boleh kan ayah?” pinta Isya.

Tengku Aariz mengangguk. Raut muka anak perempuannya terlihat mendung. Daun pintu dirapatkan.

Naluri seorang ayah mulai terasa tidak tenang. Bilik anak dara kembali diterjah.

Terbantut bacaan niat. Isya mengerutkan kening. Dia melihat ke arah pintu yang terkuak.

“Ada apa, ayah?”

“Kamu masih teruskan hubungan dengan Zafran?” Tengku Aariz bertanya dengan tercungap-cungap.

Isya senyap sebelum menganggukkan kepala. Dia mengeyakan. Cinta dia kepada Zafran umpama api. Kadang-kadang menyala, kadang-kadang padam.

Perhubungan mereka berdua senantiasa ada bahangnya. Acap kali mereka berdua bermain dengan api, mampukah mereka bertahan?

“Mudah sangat kamu berdua berbaik,” seloroh Tengku Aariz sebelum meninggalkan kamar itu.

Pintu dihempas. Terenjut bahu Isya. Intuisinya berasa bahawa dia telah membuatkan hati Tengku Aariz tersinggung.

“Maafkan Isya, ayah .... Hati Isya hanya untuk Zaf buat masa sekarang,” suaranya sendirian.

Mindanya dikosongkan. Dia harus fokus. Mata menghala lurus menghadap tempat sujud.

“Allahu akbar.”



SEMBARI menapak menuju ke motosikal, dia mengeluarkan kunci motosikal dari kocek seluar. Dia melangkah ke tempat duduk penunggang.

Sudah tiba waktu untuk balik ke rumah. Masa bekerja pun telah habis. Sangat melelahkan walaupun tidak terlalu ramai pelanggan. Mungkin dia berasa penat oleh sebab tugasan kuliah.

Anak kunci disumbatkan untuk menghidupkan enjin.

Vroom! Vroom!

Deruman enjin bergaung. Bar pemegang dipusingkan berulang kali. Rahangnya diketap. Tingkah laku Sally beberapa jam yang lalu menggelodakkan atmanya.

Nak kata perempuan itu bukan Sally, wajahnya memang sebiji macam Sally. Kalau benar orang itu adalah Sally, mengapa dia bilang tidak mengenali Farhad?

Sifat gugup dan tidak keruan perempuan itu membuatkan Farhad bertambah yakin. Bertambah yakin bahawa itu adalah Sally.

Baby.

Tidak semena-mena sepasang matanya mencerlung. Automatik dia berpaling ke arah belakang.

I datang sini ...”

“Nak minta maaf?” selar Farhad. Dia berdecit.

Sally kekal diam. Berterusan menundukkan kepala. Dia tidak kisah jika Farhad nak sumpah seranah dirinya sekalipun. Kerana dia sedar akan kesalahannya.

Farhad tidak berganjak dari tempat duduk penunggang. Warna wajahnya berubah menjadi merah padam. Jarang-jarang Farhad hendak marahkan seseorang.

I cuma ... malu. I tak nak orang lain tahu, yang boyfriend I bekerja sebagai waiter. Itu je.”

“Habis tu? You nak I kerja sambilan sebagai apa? Pencuri? Penyamun? Penyagak?” Segala perkataan bersinonim dengan 'penjahat' dia sebutkan.

Baby ... bukan itu maksud IYou, I ni merupakan anak 'Tan Sri'. Hancurlah reputasi I kalau kawan-kawan I tahu ...”

Farhad mencebik. Hancur reputasi? Apa benda semua ini?

Genap dua bulan Farhad dan Sally menaruh rasa cinta, tapi perhubungan mereka masih menjadi rahsia. Meskipun, boleh dikatakan setiap minggu mereka berdua selalu berkepit di pusat membeli-belah.

I ni orang susah. I kena bekerja sambil belajar. I tak boleh harapkan kakak I seratus persen. Kalau you nak putus, it's okay. Kita putus.”

Selamba bicara Farhad. Topi keledar disarungkan ke kepala.

Sally gigit bibir. Mencari gagasan untuk hilangkan rajuk buah hatinya itu. Petik jari. Dia segera merebahkan punggung ke atas tempat duduk penumpang.

Farhad terkesiap.

“Eh, apa you ni? Turunlah. I nak balik,” omel Farhad memaksa. Seboleh mungkin dia mendesak.

No! Selagi you tak maafkan I, selagi tulah I akan hantui hidup you! I tak nak putus!”

Perempuan berambut panjang paras dada itu bertegang urat. Farhad mendengus. Susah betul bila bercinta dengan orang kepala batu!

“Argh! Okey fine!

Sally tersenyum lebar. Dia turun dari tempat penumpang.

Really? You maafkan I?

“Hmm,” jawab Farhad endah tak endah.

“Yey! Thank you baby! Esok jom dating.

“Tak boleh. I sibuk. Lain kali jelah,” balas Farhad serius.

“Ha ... you ada perempuan lain eh? I nak ikut!” Jari telunjuk digoyangkan ke arah Farhad.

“Ya Allah .... Taklah, tak. I nak balik kampung,” terang Farhad tangkas. Dia kenal perangai Sally. Seorang yang lekas bersangka buruk.

What? I nak ikut! I nak ikut!”

Sifat manja tak bertempat itu cukup menjengkelkan Farhad. Sederap Sally menghentakkan kasut tumit tingginya itu bersilih ganti.

Farhad melepaskan keluhan. Kedengaran panjang keluhan tersebut. Tiada sebarang jawapan. 

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh