Home Novel Cinta Sebenarnya Dia Milik Aku
Sebenarnya Dia Milik Aku
4/7/2013 11:04:07
81,998
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 14

Bab 14

LAURA Jane duduk di dalam kamarnya yang samar, lampu sengaja tidak dihidupkan. Dia sedang menghadapi tingkap, wajah langit malam yang ditaburi bintang indah bergemerlapan. Dihiasi pula bulan yang sedang mengambang penuh. Namun hati Laura Jane dilanda resah gelisah sejak MakTimah datang ke rumahnya tiga hari yang lalu.

Kata-kata Mak Timah masih terngiang-ngiang di telinga. Komunikasi antara mereka penuh dengan ketegangan.Yang berubah hanyalah masa, tetapi rasa benci tetap ada, melekap kuat di hati umpama gam yang sukar dikikis.

Apakah mungkin rasa kebencian itu dapat disingkirkan dari terus menghuni lubuk hatinya? Mengapa dia harus membenci wanita yang telah melahirkan Said? Bukankah dia pernah mencintai lelaki itu sehingga sanggup bernikah dengannya dalam usia yang masih muda.

Aku bodoh masa tu! Bodoh sebab kahwin dengan Said yang miskin tak ada apa-apa, bisik Laura Jane.Tapi dari perkahwinan itu aku memiliki zuriat. Baby! Selama-lamanyaaku takkan bertemu dengan dia, bisik Laura Jane.

Wahai bintang, wahai bulan...sampaikan salam rindu dan kasihku buat Baby. Biarpun aku sudah begitu lama tidak melihat dan merasai kehadirannya tapi aku tahu dia bahagia di sana. Kita tak perlu berjumpa Baby! Semoga kau bahagia walau di mana kau berada. Di sini aku juga ingin bahagia, melupakan masa lalu. Aku akan cipta keluarga bahagia tak lama lagi! Kata Laura Jane sambil mendongak lagi ke langit malam yang indah.

Ben!

Laura Jane teringat pada tunangnya. Laura Jane bingkas bangun membuka lampu.Dia mencarihandphone.HandphoneBlackberry ada di atas katil. Dia terus mencapainya lalu menghubungi Ben.

“Helo sayang! You kat mana?”

Suasana di sekeliling Ben kedengaran bising. Dia berada di luar rumah ketika itu. Telinga Laura Jane juga dapat menangkap suara lelaki bercakap-cakap dengan rancak.

Kedengaran suara Ben menarik nafas panjang. “Bisnes?”

“I harus ada bisnes sendiri demi masa depan kita sayang.”

Laura Jane senang hati mendengar jawapan Ben. “Okey, sayang.Tapi jangan balik lewat sangat ya.” “Okey,” jawab Ben sebelum talian diputuskan.

Sejak bertunang, Ben mula menunjukkan sifat bertanggung jawab dan ingin mencari duit lebih. Beberapa hari lalu Ben memberitahu, dia akan mendapatkan Laura Jane seorang PA kerana dia mungkin akan sibuk.

“Sebaik-baiknya PA tu perempuan. Nanti taklah I cemburu,” ujar Ben sempat bergurau.

Ben tetap akan jadi pengurusnya tapi secara part timesahaja. Kalau mereka sudah berkahwin kelak, dia berharap akan mempunyai perniagaan sendiri. Laura Jane bersetuju dengan hasrat Ben. Namun dia tidak tahu apakah jenis perniagaan yang akan diceburi oleh Ben. Ben masih merahsiakannya daripada pengetahuan Laura Jane.


“SETAKAT ni tanah paling mahal adalah kawasan Cemerlang Height, Gombak,” kata Ben sambil merenung wajah Encik Alex Tan.

Daerah Gombak paling dekat dengan pusat bandaraya. Dengan adanya lebuhraya MRR2 dan lebuh raya Duke, untuk ke pusat bandar hanya mengambil masa lima belas minit. Kawasan Gombak menjadi kegemaran orang-orangkaya menginap. Kawasan itu ramai orang Melayu.

Sebenarnya tanah terbahagi kepada beberapa bahagian. Ada tanah rezab Melayu yang memang langsung tidak boleh dijual.Tanah kerajaan memang hampir-hampirtiada langsung di Lembah Klang. Jika ada pun, kedudukannya agak jauh. Kebanyakan tanah-tanah di kota ini dimiliki oleh pelbagai bangsa. Suatu masa dahuluorang-orang Melayu keturunan Minang, Jawa dan Bugis meneroka tanah membuka kampung dan kebun di pinggir ibu kota. Contohnya Kampung Sungai Midah, Cheras.

Pada tahun 60-an kampung itu terpencil, jauh dari ibukota. Tapi sekarang sudah berada di tengah-tengah di antara Kajang dan Kuala Lumpur. Taman perumahan pesat membangun. Kinitanah-tanah itu melambung tinggi nilainya. Jika dahulu terasa amat jauh dengan bandaraya kini dengan pelbagai kemudahan prasarana, semuanya menjadi dekat.

“I akan tinjau tanah-tanah kampung di sepanjang Jalan Genting Klang. Di situ ada beberapa buah kampung macam Kampung Wirajaya dan Kampung Pasir.”

“Kampung Wirajaya tu I dengar ada ura-ura kerajaan nak ambil, tapi sampai sekarang belum ada apa-apa lagi,” kata Encik Alex Tan.

Ben mengangguk. Sejak menjadi broker tanah, dia banyak bergerak meninjau dan mencari peluang jika adatanah-tanah yang hendak dijual. Tetapi bukan mudah untuk mendapatkan tanah-tanah itu.Ada yang memiliki satu geran tetapi berkongsi nama sampai tiga keturunan.

Encik Alex Tan menawarkan dia jawatan sebagai Penilai Tanah.Namun Ben ingin cuba bekerja sendiri terlebih dahulu. Dia berasa lebih bebas begitu. Siapa tahu suatu hari nanti dia akan membuka syarikat hartanah. Syarikat Encik Alex Tan yang dikongsi bersama seorang rakannya.

Fly High adalah kumpulan syarikat yang menjalankan pelbagai perniagaan. Antaranya hartanah, entertainmentdan penerbitan drama dan filem.

“I tengah cari pelakon berkaliber untuk berlakon dengan syarikat I,” kata Encik Alex Tan.

“You masih jadi pengurus Laura Jane?” Ben mengangguk.

“Macam mana kalau dia ikat kontrak dengan syarikat I? Syarikat ni I kongsi dengan best friendI.Tapi sekarang dia tak ada kat Malaysia. Biasalah, dia selalu pergi luar negara. Enam bulan di sini, enam bulan kat US,” kata Alex Tan.

Ben teruja mendengar kata-kata Encik Alex Tan. Kaya betul rakan kongsi lelaki itu.

“Memang I masih pengurus Laura.Tapi dia ada kontrak dengan RKR, sekurang-kurang satu tahun lagi.”

“Tak boleh batalkan kontrak?”

“Boleh.Tapi dia kena bayar pada RKR.You bukan tak tahu Mr. Rawal tu. Dia tak mudah lepaskanpelakon-pelakonnya begitu saja. I rasa Laura pun takkan mahu bayar pada RKR. Lagipun sekarang dia tengah topdengan drama bersiri, terbitan RTM. Tak lama lagi dia akan mula penggambaran musim ketiga.”

Encik Alex Tan mengangguk.

“Tapi tawaran dari kami ni sangat bagus, Ben. Berapa pun dia mintak kami akan bagi. Kalau dia tinggalkan RKR kami akan bayarkan ganti rugi tu, macam mana? Sebenarnya partnerI kata dia sudah ada skrip bagus.”

Ben semakin teruja mendengar kata-kata Encik Alex Tan.

“Nanti I bincang dengan dia.”

Encik Alex Tan mengangguk. Dia bangun, menghulurkan tangannya pada Ben.

“Sudah lewat, I mintak diri dulu. Harap kita akan berurusan. Jangan lupa beritahu Miss Laura Jane pasalofferdaripada syarikat kami.”

“Okey!”

Ben menyambut tangan Encik Alex Tan dan tersenyum. Encik AlexTan bergerak laju menuju ke pintu keluar. Dia terus berjalan ke arah kereta yang ada di medan letak kereta. Dia masuk melalui pintu di sebelah belakang pemandu. Di dalam kereta itu ada dua orang lelaki lain. Seorang drebar kereta sementara seorang lagi lelaki duduk di kusyen belakang.

“Aku dah bincang dengan Ben. Aku yakin, Laura akan masuk perangkap kita,” kata Encik Alex Tan sambil tertawa.

Temannya yang lain ikut ketawa.



Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.