Home Novelet Thriller/Aksi BEBASKAN AKU DARI CINTAMU
BEBASKAN AKU DARI CINTAMU
11/3/2014 16:41:46
52,239
Kategori: Novelet
Genre: Thriller/Aksi
Senarai Bab
Bab 1
Fragmen 1

HUJAN malam baru teduh. Jalanraya kelihatan basah. Tidak banyak kereta berjejeran di jalan itu bukan seperti malam-malam kelmarin. Kebanyakan bangunan kedai di jalan itu juga sudah menutup perniagaanya kerana hujan lebat yang turun sejak senja melabuhkan tirai.

Dua tiga orang lelaki kelihatan bergegas menghala ke satu arah, tidak menoleh ke kiri dan ke kanan. Anisa memerhati mereka dengan pandangan kosong dan hampa. Orang yang dinanti masih belum jua muncul. Sesekali angin malam yang dingin membawa tiris hujan, membelai tubuhnya yang bersalut seluar jean dan blouse dari cotton Inggeris. Terasa dingin mencengkam hingga ke tulang hitam. Dia menggosok-gosok kedua telapak tangan kemudian membawanya ke mulut. Haba hangat dari dalam mulutnya cuba dilampias ke telapak tangan yang sejuk.

Kini fenomena angin dan cuaca dingin sedang melanda Malaysia. Suasana malam di Kuala Lumpur persis cuaca awal musim bunga di London. Anisa tidak pernah ke kota indah tersebut. Dia hanya mendengar cerita orang tentang kehebatan kota London. Tidak mungkin dia akan dapat mengunjungi tempat tersebut. Dia tidak memiliki duit yang banyak. Mempunyai kerja pun sudah satu kemujuran.

Sudah hampir setahun dia bekerja di Butik Cantek. Tugasnya hanya sebagai seorang pembantu butik. Untung masih tinggal dengan keluarga. Jikalau tidak tentu dia tidak cukup duit untuk membayar sewa rumah dan keperluan hidup yang semakin meningkat.

Tiba-tiba telefon bimbitnya bergetar dan berbunyi menandakan ada panggilan yang baru masuk. Pantas tangannya meraba telefon bimbit di dalam beg tangan. Panggilan segera dijawab.

“Is kat mana?”

Sorry, tak dapat jemput Nisa malam ni. Ada hal,” beritahu Iskandar di hujung talian.

Anisa mengeluh perlahan. Dalam hatinya sedikit kesal. Jika Iskandar tidak dapat menjemputnya pulang, mengapa hal tersebut tidak diberitahu awal. Dia boleh meminta pertolongan bapanya supaya datang menjemput. Rumahnya agak jauh di Kampung Sungai Choh.

“Kenapa tak beritahu awal-awal?”

“Tadi Is try call Nisa tapi tak dapat. Jangan bimbang kawan Is akan datang ambil Nisa.”

“Kawan Is? Siapa dia?”

“Nisa tak kenal dia. Nama dia Haizal. Dia on the way nak pergi ambil Nisa. Mungkin lambat sikit sebab kat sini masih hujan. Nisa tunggu je kat situ, jangan pergi mana-mana.”

“Nisa nak pergi mana lagi malam-malam buta ni. Kedai semua dah tutup.” Jawab Anisa melepaskan geram.

“Janganlah marah. Sorry okey. Nisa tunggu kat tempat terang ya... jangan duduk dalam gelap. Bahaya...” Iskandar menasihati.

Kedengaran ikhlas nasihatnya itu singgah di telinga Anisa. Gadis itu tersenyum sendiri.

“Okeylah. Nisa memang duduk kat tempat terang ni. Tapi sunyi sikit... tak ada oranglah! Kebanyakan kedai tutup awal.”

“Jaga diri. Tunggu sampai Haizal datang tau!” pesan Iskandar sebelum menutup panggilan.

Anisa memerhati sekeliling. Suasana memang semakin lengang dan sunyi. Dia tidak tahu berapa lama dia harus menunggu di hadapan bangunan kedai itu. Kawasan terang benderang. Terdapat tempat duduk tidak jauh dari situ. Anisa mengambil keputusan untuk duduk. Kelihatan seorang lelaki sedang bergegas bergerak ke arahnya. Anisa memerhati sambil berharap bahawa lelaki itu adalah Haizal.

Namun hampa. Lelaki itu bukan teman Iskandar. Kelihatan dia sedang menahan teksi yang baru tiba lalu terus masuk ke dalam teksi. Anisa memerhati sahaja. Jika diikutkan hati, dia ingin mengambil teksi sahaja untuk pulang ke rumah. Rumahnya agak jauh. Jika menaiki teksi pasti tambangnya mencecah dua puluh ringgit.

Huh! Membazir saja habiskan duit... bisik hati kecilnya. Lebih baik dia tunggu sahaja kedatangan Haizal.

Malang nasibnya malam ini bukan seperti malam-malam sebelumnya. Selalunya tempat itu meriah dan ramai orang. Kebanyakan orang menunggu bas dan teksi untuk pulang. Namun disebabkan hujan yang turun, kebanyakan orang pulang lebih awal dari biasa. Sekelumit rasa marah dan geram mengisi hati Anisa, lantaran Puan Maria tidak membenarkan butik ditutup awal.

“Dah tak ada orang lah puan. Saya tutup awal sikit malam ni ya?” Dia teringat kata-katanya sendiri, meminta butik ditutup lebih awal dari biasa.

Di butik itu hanya Anisa sahaja pekerja yang ada. Puan Maria terlalu berkira untuk mengambil lebih pekerja. Katanya butik itu tidak membawa banyak untung. Dia terpaksa mengambil kira semua perkara. Namun Anisa tahu, wanita itu seorang yang kedekut.

“Sejak senja tadi lagi dah tak ada orang. Sunyi je kat bawah tu.”

“Dah jadi polisi kita buka pukul sepuluh pagi dan tutup sepuluh malam,” tegas jawapan wanita itu membuat Anisa terus terdiam.

Memang skema gila la Puan Maria tu... rungut Anisa seorang diri.

Anisa cuba menghiburkan dirinya sendiri dengan memasang lagu dari telefon bimbit. Earphone disumbatkan ke dua-dua telinga. Matanya tidak lepas memerhati ke jalanraya yang semakin lama semakin lengang. Spontan matanya memerhati ke arah jam tangann yang sudah pun menunjuk ke angka sebelas malam.

“Alamak! Dah pukul sebelas? Manalah kawan Iskandar ni?” Anisa bercakap sendiri, sambil kepalanya terjenguk-jenguk ke arah jalan.

Sebuah teksi kelihatan berhenti di hadapannya. Anisa teragak-agak. Apakah dia akan terus menunggu teman Iskandar ataupun naik sahaja teksi itu? Malam kian larut. Udara bertambah dingin. Dia masih berfikir-fikir samada hendak menyambar teksi itu ataupun membiarkan sahaja ia berlalu.

Segaris kilat tiba-tiba menyambar di langit yang gelap. Anisa terkejut. Dia terus terlompat bangun. Teksi yang baru berhenti telah pun bergerak pergi. Anisa memerhati sahaja dengan pandangan kesal.

Sebuah kereta berhenti pula di hadapannya. Anisa melonjak. Sudah datangkah pemuda bernama Haizal, teman Iskandar?

Seorang lelaki keluar dari kereta, lalu bergerak mendekati Anisa.

Wajahnya tidak begitu jelas ditutupi bebayang. Lampu-lampu jalanan semakin suram ditegur gerimis yang baru datang tidak diundang. Anisa cuba menilik wajah lelaki yang berdiri di hadapannya itu. Agak kacak orangnya. Suaranya mersik dan lembut. Tubuh tinggi lampai dibalut jaket jeans. Cuaca sejuk sekarang membuat kebanyakan orang mengenakan baju sekurang-kurangnya dua lapis.

“Nak balik dah ke?”

“Ha’ah! Hai...zal ke?” tanya Anisa dengan suara gugup.

Dia amat berharap lelaki itu adalah Haizal. Dia tidak sanggup untuk menunggu walaupun seminit lagi. Dia ingin pulang berehat. Dia sudah terlalu penat.

Hujan mulai turun perlahan-lahan. Angin bertiup sedikit kencang, menerbangkan rambut Anisa yang terhurai di bahu. Lelaki itu tersenyum ramah ke arahnya.

“Dah lama kat sini? Teksi tak ada dah lewat macam ni,” Dia berkata lembut.

“Dekat sejam juga. Ada teksi tapi...”

“Jom cepat! Dah hujan.” Lelaki itu setengah menggesa, membukakan pintu kereta untuk Anisa.

Anisa terus masuk ke dalam perut kereta. Beberapa minit kemudian kereta itu mulai bergerak meninggalkan tempat itu, membelah hujan yang kian lebat.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.