Home Novel Cinta NOTA CINTA ORIGAMI (KUPU-KUPU ORIGAMI)
NOTA CINTA ORIGAMI (KUPU-KUPU ORIGAMI)
Ruby Hazri
21/6/2015 08:06:36
49,763
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 20
BAB 20

HARI ini Selasa, cuaca agak kelam. Tanda-tanda hujan bakal turun sudah kelihatan. Awan tebal meliputi sebahagian besar langit. Dia memulakan pagi di rumah mertua. Jam 8.10 pagi barulah dia keluar, memandu menuju ke arah ibu kota. Agak sedikit kelam-kabut kerana harus memandu dalam waktu-waktu begini. Zikri juga hairan waktu dia memberitahu akan tiba lambat di pejabat. Selalunya belum 8.30, dia sudah ada di dalam bilik pejabatnya. Itu semua gara-gara melayan kerenah si kecilnya; Mia Sara. Pagi semalam. dia merengek tidak mahu pulang ke sini. Entah apa puncanya, Faris sendiri kurang periksa. Tapi keanehan tingkah laku anaknya, Faris sedar.

     Selalunya Mia Sara tidak pernah menyebut perkataan ‘mama’. Secara tidak diduga pagi semalam panggilan ‘mama’ boleh keluar dari mulutnya. Biarpun Mia Sara pernah diberitahu di rumah itulah Mia Sara dilahirkan dan dibesarkan hingga usia satu tahun. Tetapi sejarah tentang ‘mamanya’ Faris tidak mampu beritahu. Usianya masih muda. Sekadar gambar-gambar lama sahaja yang sering Faris tunjukkan buat ingatan anaknya itu.

     Faris cuba mengembalikan semula peristiwa pagi semalam. Agak terkejut dia apabila Mia Sara menyebut perkataan ‘mama’. Ya, waktu dia mula-mula membawa pulang Mia Sara hari Jumaat lalu, Mia Sara melonjak-lonjak gembira sambil menyebut “... balik rumah mama, yeay!”

Honk! Honk! Honk!

     Bunyi hon kereta menyedarkannya daripada mainan fikiran. Lampu isyarat di hadapannya mula bertukar kuning. Hijau tadi tidak dimanfaatkan sebaiknya. Jadi terlepas lagi dia beberapa minit untuk sampai awal ke pejabat.


SEPERTI dijangka, Faris tiba ke pejabat agak lewat. Tergopoh-gapah dia membawa keluar kunci untuk membuka pintu biliknya. Pembantu peribadinya pula kembali tekun menjalankan tugas setelah memberikan sedikit maklumat tentang agenda kerja Faris sehari ini termasuk mesyuarat jam 10.30 pagi dan 3.00 petang nanti.

     “Faris!” Hampir terlucut kunci kereta di tangan Faris apabila mendapat tepukan dari belakang bahunya. Zikri tercungap-cungap mengawal nafas.

     Tombol pintu bilik dipulas. Belum sempat Faris meletakkan segala ‘khazanah’ barang-barang dibawanya termasuk beg Wenger komputer ribanya, beberapa folder dan sebotol air mineral yang tidak pernah ditinggalkan dalam kereta, Zikri telah duduk di kerusi menghadapnya.

     “Kau tak sihat ke Zikri?” tegur Faris.

     Faris meletakkan botol air mineral di meja paling tepi bersama-sama dua folder syarikat yang terpaksa dibawa pulang Jumaat lepas. Beg Wenger, berisi komputer ribanya dibuka zip. MacBook Pro dibawa keluar. Faris menyiapkan semuanya sebelum memulakan tugas. Jam di pergelangan tangan ditilik. Hampir sepuluh pagi. Banyak tugas tergendala disebabkan kelewatannya.

     “Aku sihat, Faris.” Ada ketawa mengiringi ucapan Zikri.

     Faris terhenti sekejap daripada melakukan kerjanya. Matanya menatap tepat bola mata Zikri. Zikri bersandar senang di kerusi. Malah ada senyuman menghiasi wajahnya.

     Apa tak kena dengannya? Bukankah malam tadi isterinya, Azlina berangkat ke Brunei untuk seminggu? Ditinggalkan isteri selalunya lelaki akan kurang senang hati. Berbeza pula dengan Zikri. Hati Faris curiga tentang tingkah laku Zikri.

     “Siapa nama dia, Faris?” aju Zikri kian menambahkan rasa pelik Faris.

     “Nama? Siapa?” usul Faris mula menekan butang ‘on’ di MacBook Pronya.

     “Budak yang kerja dengan kau tu?”

     Mata Faris melingas sekitar kamar pejabatnya. Mindanya belum berjaya hadam inti pati pertanyaan Zikri. Siapa budak yang bekerja dengannya yang belum dikenali Zikri? Di pejabat ini semuanya Zikri tahu seorang demi seorang. Faris menjongket bahu. Aneh!

     “Alah, budak... jururawat peribadi yang jaga ibu kau,” jelas Zikri dengan wajah semanis madu.

     Saera! seru hati Faris. Kening Faris terjongket sekali demi mendengarkan soalan Zikri. Telunjuk dan jari hantunya mula bergerak di trackpad menatal dari atas ke bawah e-mel yang diterima. Tiga hari dia tidak masuk ke pejabat.

     “Tak apalah kalau kau tak mahu beritahu. Bukan susah sangat pun. Bukannya aku tak simpan nombor telefon rumah kau tu.” Seolah-olah mengugut, Zikri merayu Faris. Zikri membawa keluar telefon bimbitnya.

     “Kau dah baca e-mel dari ARSM (Agensi Remote Sensing Malaysia) ini, Zikri?” Faris tidak mahu terjebak dengan luahan perasaan Zikri. Dia cuba mengalihkan perhatian Zikri.

     “Dah,” jawab Zikri seraya mengusap dahinya.

     Ada rasa kesal dengan sambutan Faris. Semasa majlis itu, spontan sahaja Zikri bertanya dengan Mami June. Hendak berusul lebih lanjut, khuatir disedari Azlina. Jadi tahulah dia salah seorang gadis yang sedang menolong Mak Jah dan Mami June hari tersebut bekerja di rumah Faris.

     Ingatkan bila masuk pejabat hari ini, bolehlah dia korek lebih banyak rahsia gadis misteri yang mula menambat perasaannya melalui Faris. Malangnya, respons daripada Faris mengecewakan Zikri.


“MELISSA?!”

     Mami June membuka ikatan apron waktu dia diberitahu tentang kedatangan seseorang oleh salah seorang pekerjanya. Hatinya berbunga senang. Belum pernah dia menerima kunjungan daripada gadis itu. Selalunya mereka bertemu di mana-mana tempat yang dijanjikan.

     Mami June terus menolak pintu ke hadapan. Gadis berkurung pesak dan berselendang ‘see through’ itu hampir tidak dikenali Mami June. Berkali-kali Mami June amati barulah dia mengenali Melissa. Perubahan ketara juga buat gadis yang sering mengenakan ‘shirtdress’ separas lutut atau baju T dan jean.

     Satu pelukan menyambut Mami June saat tubuhnya hampir dengan Melissa. Mami June sedikit terkesima. Itu juga sesuatu yang baharu dalam hidup Mami June sepanjang mengenali Melissa. Minda Mami June mula muncul pelbagai rasa pelik. Dua hari lepas ketika sambutan hari lahir Mia Sara, tingkah laku Melissa nampak normal. Bermimpikah budak ini? soal hati Mami June.

     “Melissa, apa khabar?” tanya Mami June saat melepaskan pelukan Melissa.

     “Sihat, mami...” Ada senyuman menghiasi bibir merah Melissa. Barangkali tersedar dengan keanehan raut wajah Mami June.

     “Jangan pandang saya lama-lama, mami. Malu saya!”

     Mami June menyambut dengan ketawa. Lengan Melissa ditarik mengikuti arah langkah Mami June ke sebuah meja kosong.

     “Duduk dulu,” pelawa Mami June sambil menggawangkan telunjuknya kepada salah seorang pekerja yang menjaga kaunter.

     “Lisa nak minum apa?” usul Mami June sebaik budak pelayannya tiba.

     “Hmm... jus prun.”

     “Makan?” tanya Mami June lagi.

     “Taklah, mami...” tolak Melissa.

     “Okey... dua jus prun,” arah Mami June kepada budak pelayan kedainya.

     Ada segaris senyuman bersambung di bibir Mami June sebaik memberikan arahan. Tentulah Mami June mempunyai banyak soalan mahu diajukan kepada Melissa. Melissa yang mengesani sejak awal mengetap bibir sambil menundukkan pandangan ke lantai meja.

     “Cantik pula Lisa pakai macam ni,” puji Mami June demi melihatkan rasa malu-malu Melissa.

     “Tukar fesyen sekarang, mami,” balas Melissa.

     “Ada apa-apa ke?” selidik Mami June.

     “Entah... mungkin ini perubahan yang sedang mummy cuba di butik.”

     Mami June kian ganjil. Anak gadis pemilik butik ini sejak bila mula ambil tahu hal ehwal butik ibunya? Selalunya, dia lebih suka bekerja sendiri dengan segala macam MLM termasuk perniagaan korset. Sedikit masa lalu, Melissa pernah menghadiahkan set korsetnya. Malangnya Melissa tidak tahu, bahawa Mami June seorang yang selalu kesuntukan masa. Manalah sempat hendak mengenakan korset yang cerewet itu. Kemudian, Melissa perkenalkan pula produk steam cell untuk kesihatan dan kecantikan diri. Produk itu masih tersimpan elok dalam kotak suplemen.

     “Mummy Lisa buat apa sekarang?” soal Mami June mengalihkan salah satu gelas jus prun yang baru diletakkan.

     “Mummy buka satu lagi cawangan butik kat KL. Inilah sekarang sedang belajar-belajar,” cerita Melissa menyambut salah satu gelas jus dari tangan Mami June.

     “Sebelum itu mummy sudah tambah koleksi. Sebab sekarang trend fesyen bertudung dan berjubah makin dapat permintaan. Jadi, mummy perkenalkan koleksi tudung ala-ala tudung Hana Tajima.”

     “Oh...” Mami June tersenyum.

     Jadi kalau berniaga jubah, maknanya penjualnya harus memakai jubah dululah ya? Begitu juga kalau hendak menjual tudung, mesti memakai tudung dulu? Mami June berfikir sendiri. Mungkin itulah kebanyakan selebriti Malaysia sekarang, segelintirnya kalau mula memakai tudung itu bukanlah dengan niat ‘hijrah’ seikhlasnya. Sebaliknya mahu memulakan perniagaan sendiri. Dan sekarang sudah timbul pelbagai nama tudung bersempena nama selebriti. Pelik fenomenanya! Mami June berfikir sendiri.

     “Cuma, sekarang Lisa ada sedikit masalahlah, mami,” akui Melissa sambil mengacau kiub-kiub ais di dalam gelas dengan straw.

     “Masalah? Masalah apa?” tanya Mami June berminat ingin tahu.

     “Mummy minta Lisa mulakan promosi.” Melissa menyedut sedikit jus prun.

     “Hmm... bagus tu,” sokong Mami June.

     “Tak ada modellah, mami,” terang Melissa tersenyum cuba menutup rasa kecewa.

     Mami June mengambil sedikit masa berfikir. Mindanya mengolah pelbagai andaian mendengarkan keluhan Melissa. Takkan Melissa datang ke sini hendak menawarkan Mami June menjadi model di butiknya?

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ruby Hazri