Home Novel Cinta NOTA CINTA ORIGAMI (KUPU-KUPU ORIGAMI)
NOTA CINTA ORIGAMI (KUPU-KUPU ORIGAMI)
Ruby Hazri
21/6/2015 08:06:36
49,762
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 7
BAB 7

Mummy’s Bakery.

     Mami June menekuni satu halaman kandungan resume latar belakang gadis di depannya. Melihatkan kepada peribadi dan tingkah laku gadis ini, Mami June pasti pilihannya tepat. Agaknya dua tiga hari ini Tuhan memberikannya petunjuk. Apabila dua hari berturut-turut ada dua calon yang sanggup datang untuk sesi temu duga.

     “Pernah mengajar sebelum ni?” tanya Mami June.

     “Iye... pernah,” jawab gadis itu.

     “Dua tahun?” usulnya lagi. Gadis itu mengangguk.

     “Di Tadika Cahaya Hati, mengajar apa?”

     “Bahasa Melayu kepada pelajar lima tahun.”

     “Ooo!”

     “Sanggup ke nak buat kerja-kerja yang saya beritahu tadi? Tengok kan pengalaman awak ini, tidak ada pun tugas-tugas mencabar pernah awak lakukan. Sebelum mengajar,.. bekerja di kedai 24 jam.” Mami June terus beralih ke halaman seterusnya. Kaca matanya di rapatkan ke batang hidung. Matanya serius menekuni halaman itu pula.

     “Mengajar kanak-kanak lima atau enam tahun, bukan seperti mengajar pelajar sekolah rendah atau sekolah menengah, Puan. Kadangkala ia menuntut kesabaran tidak sedikit. Tidak sekadar mengajar membaca ABC atau mengira satu dua tiga. Selebihnya banyak diletakkan tanggungjawab sebagai orang tua mereka. Kerana mereka kadangkala memerlukan bantuan seorang ibu seperti di rumah juga apabila dengan tidak sengaja tidak dapat tahan untuk ke bilik air. Tugas guru juga waktu itu mencuci dan menukar pakaian mereka.”

     Mami June sedikit tersenyum mendengarkan penjelasan panjang gadis di depan. Dia terasa tercuit bila mengenangkan situasi seperti ini. Mujurlah dia tidak menjadi guru dulu. Kecuali guru kelas memasak.

     “Ada ketika, kadangkala guru juga perlu menjadi seorang pemujuk seperti mana seorang ibu. Memujuk pelajar yang tiba-tiba menangis setiba di sekolah. Meraung-raung seorang diri di luar kelas,” tambah gadis itu. Senyum Mami June terus bersambung. Dia kembali menutup halaman pengalaman di dalam resume gadis ini.

     “Baiklah... rasanya cukup dulu untuk kali ini. Cuma satu saya nak tanya Saera sekarang. Bila boleh mula?” Senyuman gadis itu melebar.

     “Opps... sebelum itu ada syarat-syarat yang perlu dipatuhi. Nanti saya beritahu tentang itu kemudian,” tegas Mami June bagaikan tahu jawapan yang bakal didengarinya dari Saera hanya melalui senyumannya. Lagi satu yang menarik hati Mami June dia terpikat dengan senyuman Saera. Sekali dia tersenyum, senyumannya membuatkan dia tidak ubah seperti Lynda Roslan.

Hasil carian imej untuk lynda roslan

     “Bila-bila pun boleh, Puan.” Hati Saera tidak boleh digambarkan lagi dengan rasa gembiranya.

     “Okey, kalau esok pagi?” usul Mami June.

     “Terima kasih, Puan... terima kasih.”

     Mami June berdiri. Dia tidak mahu mempamerkan kemesraan terlalu awal. Kemesraan terlalu awal ada kalanya boleh menjebakkan dirinya dengan kekecewaan seperti sebelum-sebelum ini. Tangannya dihulur. Mereka berdua bersalaman sebelum berpisah.

+++++

     “Insya-Allah, kak... saya bayar bulan depan!” Saera menagih janji.

     “Akak bukan apa Saera, tahu ajalah akak ni. Anak di asrama, tiap-tiap bulan kena kirim. Kesian mereka tak ada duit nanti. Orang tua kat kampung pula, terlupa hantar belanja satu bulan, mereka dah bising... itulah inilah. Macam-macamlah mereka ungkit. Tak sedap hati pula kita kan?” Rogayah menerangkan sedikit lebar duduk letak perkara sebenar situasi dirinya.

     Saera mengangguk memahami keadaan tuan rumahnya. Masuk bulan ini, telah dua kali Kak Rogayah datang bertamu ke biliknya. Niat asalnya tadi hanya singgah membawakan oleh-oleh berupa sepaket kudapan yang dibawa balik dari Kedah. Katanya baru balik bercuti bersama keluarga di Langkawi. Tapi terlajak berbual pula hal-hal kewangan semasa pula. Itu pun bukan Saera yang mulakan, sebaliknya Kak Rogayahlah memulakan cerita.

     “Dalam ramai adik-adik akak, kalau Saera nak tahu, akak ajalah yang tiap-tiap bulan hulur seratus dua kat orang tua. Itu pun mereka tak pernah nampak. Adik kedua akak, walaupun cikgu... tak pernah satu sen pun nak bagi kat mak atau ayah akak. Kononnya takut bini kompelin. Kena queen control lah tu. Adik nombor tiga akak... tak kisah lah sebab tak bekerja. Suri rumah tangga. Tapi sekali-sekala satu tahun sekali balik jenguk orang tua, apalah salahnya hulur kat mak ayah seratus dua? Manakala yang keempat, kerja makan gaji... bos lagi. Gaji beribu-ribu. Tapi kedekut macam Haji Bakhil. Sampai mak ayah nak guna duit, kena pinjam ajalah dengannya baru boleh. Dan yang lain-lain tu, masih menganggur dan belajar. Mereka bertiga itu akak tak kisah sangat. Sebab kita tahu kedudukan kewangan mereka macam mana.” Cerita Kak Rogayah bersungguh-sungguh.

     Saera sabar mendengar. Terkadang terasa pula biasnya terkena diri sendiri. Masalah demi masalah yang tiba-tiba dibangkitkan Kak Rogayah cukup menggambarkan betapa perlunya dia melunaskan bayaran sewa biliknya dengan seberapa segera. Mujurlah esok dia akan mula bekerja. Lantaran itulah agaknya Kak Rogayah tak semena-mena datang ke kamarnya. Saera dapat mengagak dengan pasti, matlamatnya tentulah mahu meminta Saera membayar sewa dua bulan tertunggak serentak nanti. Dalam hati Saera berdoa, semoga dia akan dapat melakukan kerja lebih masa untuk hujung minggu di rumah itu buat menanggung makan minumnya untuk bulan berikutnya.

+++++

      Rogayah menyarungkan sepatu tinggi merah garangnya. Penggera kereta MyVi berwarna Mystical Purplenya ditekan dari jauh. Dia mengatur langkah dengan bergaya. Sesekali rambut mengurai dikuakkan ke belakang. Kaca mata hitamnya dibawa keluar dari tas tangan. Panas petang, menyebabkan dia memerlukan kaca mata hitam untuk menepis pancaran sinar cahaya matahari. Masuk ke kereta, telefon bimbit berjenama HTCnya berbunyi. Dia menyambutnya terlebih dahulu sebaik menghidupkan enjin kereta.

     “Helo!” mulanya ramah.

     “I semalam baru balik dari Langkawi.”

     “Oh, You datang rumah I? Kenapa tak calldulu.”

     “Eh... dah dapat ke pakej murah tu?”

     “Bila?”

     “Hujung bulan Julai ni?”

     “Berapa?”

    “Tiga ribu lima ratus? Eh, okey dah tu. You reserve untuk I dan husband tau.”

     “Iyelah... iyelah, I tahu. Nanti I bank-in kan deposit enam ratus tu.”

     Rogayah menamatkan panggilan dari temannya. Wajahnya ditabiri senyuman puas. Hujung bulan Julai ini, tercapai jualah impiannya untuk makan angin ke luar negara bersama keluarga. Ke Korea Selatan lagi tu.

Previous: BAB 6
Next: BAB 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ruby Hazri