Home Novel Cinta NOTA CINTA ORIGAMI (KUPU-KUPU ORIGAMI)
NOTA CINTA ORIGAMI (KUPU-KUPU ORIGAMI)
Ruby Hazri
21/6/2015 08:06:36
49,769
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 10
BAB 10

     Saera melilau di sekitar kedai dua tingkat itu. Dia dilema untuk memasuki Robina Salon di hadapannya. Rambut separas dada ini mahu dipendekkan. Dia kena lakukan satu pengorbanan. Dia tidak mahu anak tuan rumah tempat dia bekerja itu mengesani dirinya. Lalu Saera telah nekad untuk menukar penampilan malahan identiti sendiri. Hari minggu begini sahajalah dia boleh lakukan. Kerana tiba hari bekerja Isnin ini belum tentu dia berkelapangan. Siapa tahu dia disuruh bekerja lebih masa. Atau siapa tahu, dia akan bertemu dengan lelaki itu walaupun semalam mereka ditakdirkan untuk tidak bersua muka.

     Sekejap nanti, dia hendak singgah di pasar malam berhampiran rumah sewanya. Dia ingin mencari kaca mata dari jenis zero power glasses buat menutup wajah sebenarnya. Boleh cari jenis bingkai tebal. Saera berkira-kira sendiri.

     Hesy... kenapalah boleh bekerja di situ? Rungut hati Saera. Jika tidak disebabkan satu-satunya kerja itulah yang datang, pasti Saera cabut lari juga. Dia memang tidak suka berdepan untuk kali kedua dengan individu itu. Dulu ketika dihamun, berhari-hari juga dia menghabiskan masa termenung sendiri. Mencari silap dan salahnya sehingga ada manusia yang tergamak menengkingnya di khalayak ramai.

     Jadi Saera harus berhati-hati jika tidak mahu pisang berbuah dua kali. Sekiranya dirinya dikenali anak tuan rumah itu, Saera pasti anak tuan rumah itu tidak akan menggaji seorang pencuri. Ye, Saera telah dituduh sebagai pencuri bukan?

     “Atau kau CURI?!” Ayat tersebut masih lekat dalam minda Saera.

     Jikalah ketika itu dia tahu, cek tersebut milik lelaki yang bakal menghamun dan menuduhnya pencuri, pasti dia tidak akan bersusah payah mencari pemiliknya hingga ke dalam bank. Sebaliknya, tengok apa yang berlaku? Lagi sekali dia harus berdepan dengan lelaki mulut tak ada insurans. Entahlah bagaimana nanti hari-hari yang bakal ditempuhi.

     Disebabkan alasan itulah, maka dengan payah hati Saera telah nekad untuk menukar dirinya agar tidak dikenali. Setelah jauh berfikir, dia berhasrat untuk memotong pendek rambutnya.

     Lama berdiri di situ, Saera belum dapat memberikan apa-apa kata putus kepada hatinya. Walhal kedai gunting rambut itu tidaklah ramai orang di dalamnya. Jika dia duduk menanti pun tak kan sampai satu jam, akan tiba gilirannya. Tetapi sanggup kah dia memotong rambutnya yang panjang ini? Bukan sehari dua malah bertahun juga dia hendak menyimpannya hingga sebegini panjang. Saera menarik hujung rambutnya ke depan. Jari jemarinya memintal-mintal rambut yang diikat ekor kuda itu. Matanya terpejam rapat.

     Potong! Tidak! Potong! Tidak! Potong! Tidak!

     Hatinya mula menghitung sendiri dengan diri yang masih statik di seberang jalan berhadapan kedai tadi. Akhirnya dengan kata putus, Saera berpatah balik ke belakang. Dia tidak jadi hendak melaksanakan hajat. Biarlah... nak jadi apa, jadilah! sebut hati Saera.

+++++

     Saera menilik rupa dirinya di cermin. Dia senyum sendiri. Kerudung warna hitam ini nampak sepadan pula dengan kurung kuning air berbunga hitam. Kemudian dia mengambil kaca mata zero power glasses gaya ‘nerdy’ berbingkai tebal. Wajahnya ternyata berubah. Bukan hanya lelaki yang ditemui dulu tidak akan mengenalinya, malah jika bersua dengan Rosni pun pasti temannya itu tidak cam.

     Dia bukan suka-suka hendak menjadi Ugly Betty ataupun Steve Urkel. Namun keadaan amat memaksanya untuk bertukar begini. Dia perlu meneruskan hidup. Walaupun dia terpaksa melakukan satu penipuan. Oh, bolehkah tindakannya ini dikatakan penipuan?

     Saera menyentuh tudung di atas kepalanya. Dalam hatinya berdoa moga-moga hatinya akan benar-benar terbuka untuk ikhlas dengan pemakaian tudung ini. Kerana semenjak dulu kecuali ketika di sekolah menengah (atas kewajipan peraturan sekolah), dia tidak pernah mengenakan tudung. Malahan dia tidak pernah mempunyai sehelai tudung pun.

     Saera mencapai beg di katil sebelum mengunci pintu bilik.

+++++

     Mami June muncul di muka pintu pagar apabila Saera menekan butang loceng dari luar pagar. Waktu pagi itu baru menunjukkan angka 7.25 pagi. Dengan senyum meleret Mami June membukanya pagar kecil buatnya. Saera jadi serba salah. Senyuman Mami June agak berlainan kali ini. Adakah wanita itu telah menyedari perubahan dirinya?

     “Awalnya Saera,” tegur Mami June. Saera lebih dulu menyalami tangan wanita itu.

     “Keluar awal, takut lambat sampai.” Saera menundukkan wajah melepasi tubuh Mami June. Telapak tangannya menyapu pipi sendiri.

     Dia jadi segan tiba-tiba apabila mata Mami June masih memberi perhatian kepada dirinya. Kemudian perhatian itu bersulam dengan ketawa halus. Saera membetulkan kaca matanya buat mengelakkan diri. Ceh! Sambil membuntuti langkah Mami June, Saera membetulkan bentuk tudung di kepalanya. Melintasi kereta Honda Stream milik Mami June yang terparkir paling belakang, tika itulah Saera mengambil peluang menilik wajah diri di cermin kereta. Dan lagi sekali dia menjadi perhatian Mami June bila dirinya yang tertinggal ke belakang disedari.

     “Saera tulis dalam buku ini, jam berapa Saera sampai dan tandatangan. Waktu balik pun begitu juga... jam berapa dan tandatangan.” Mami June menjelaskan tentang sebuah buku kedatangan tika Saera memasuki ruang tamu. Saera menulis waktu dia tiba ke sini selepas itu dia tandatangan di petak bersebelahan.

     Buku kedatangan ini memang telah disediakan Mami June semenjak dahulu lagi. Beginilah cara dia mengawasi setiap mereka yang datang bekerja di sini terutama yang bertugas dengan kakaknya. Dan bila petang atau malam, dia akan membuka buku ini untuk melihat apa kerja yang dilakukan jururawat tersebut setiap hari. Dan untuk mengesahkannya dia kadangkala akan bertanya kepada Mak Jah selaku ‘penyelia’.

     “Pagi boleh makan di sini... Mak Jah akan siapkan makan pagi,” sambung Mami June lagi. Saera mengangguk.

     “Tengah hari, minum pagi dan minum petang pun sama, Mak Jah akan siapkan.”

     “Umur berapa?” Seiringan dengan bunyi cangkir berlaga dengan teko, pertanyaan serentak menyusul. Saera menoleh terperanjat.

     Meja makan lapan kerusi di ruang makan, telah ada seseorang sedang berdiri sambil menuang teh O dari teko ke dalam cawan. Seorang lelaki yang bersungguh-sungguh Saera cuba elakkan diri untuk tidak dikenali. Sudah lengkap berkemeja gelap biru hitam dan dasinya sekadar di sangkut ke bahu.

     “Dua puluh satu, Encik,” jelas Saera. Wajah lelaki itu sedikit pun tidak memandang kepada Saera.

      Sebaliknya dia lebih menumpukan kepada isi cangkirnya yang hampir penuh. Sebaik cawannya telah terisi sempurna, dia berlalu ke sebuah cermin besar di dinding belakang. Dia mula mengenakan tali leher hitamnya. Lagak lelaki itu memberi sedikit kesan terhadap ekspresi wajah Saera.

     “Dua puluh satu apa? Hari? Bulan? Tahun?” Rupa-rupanya soalan Faris tidak tamat dengan sekali.

      Hampir ternganga Saera kala di tubi pertanyaan demikian. Wah, logik ke kalau usia aku ni dua puluh satu bulan? Dua puluh satu hari lagi tak masuk akal. Orang tak siuman pun kenal usia dua puluh satu hari, tara-tara mana. Sungut hati Saera cuak.

     Mami June sedikit tersenyum mendengarkan soalan Faris. Dia berlalu ke meja sama. Menarik sebuah kerusi. Melakukan sepertimana Faris menuang teh O ke dalam cawan berasingan di meja.

     “Jemput duduk Saera,” pelawa Mami June demi melihatkan resah Saera. Faris ini kadang-kadang tidak boleh agak percakapannya. Harapan Mami June moga-moga Saera akan kekal lebih lama daripada pekerja-pekerja sebelum ini. Mami June pun dah lupa mereka-mereka semua sebab selalu bertukar ganti.

     “Dua puluh satu tahun, Encik,” jawab Saera kedengaran sedikit menekan.

Responsnya Faris sekadar mengangguk. Matanya terus di cermin. Dia mula mengikat tali lehernya. Tetapi tidak diketatkan ke leher, sebaliknya dia menarik keluar semula dan berlalu ke meja. Kerusi ditarik, dasi yang telah siap diikat di letakkan ke sisi meja.

     “Inilah Saera, Faris.” Mami June mengenalkan Saera kerana sebelum ini dia hanya sempat mengenalkan Saera melalui telefon sahaja. Tiada apa-apa reaksi balas daripada Faris kecuali menyisipkan cermat teh O panas.

     “Saera, ini Faris. Anak sulung Aunty Rosnah.” Mami Junelah yang memainkan peranan perantaraan antara mereka bertiga.

     “Mami, esok saya tak ada... seminggu. Out-station.” Faris memotong percakapan Mami June tanpa apa-apa isyarat. Dia tidak suka hal-hal dirinya diceritakan kepada orang tiada kaitan dengan keluarga mereka.

     “Seminggu? Ke mana pula?” Akhirnya berjaya jua Faris menukar topik perbualan mereka. Faris hanya sekilas mengerling ke arah Saera. Saera masih patuh berdiri di hujung meja sekalipun ada pelawaan dari Mami June.

     “Manila,” terang Faris mula menolak kerusi ke belakang apabila secawan tehnya telah habis. Dasi di sisi meja dicapai.

Previous: BAB 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ruby Hazri