Home Novel Cinta AKU BERIKAN SAYANG
AKU BERIKAN SAYANG
Ai Alani
14/7/2019 11:52:48
43,935
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 15

Ceh!

Hari tu bukan main cakap dengan ayah yang dia serahkan saja pada takdir. Biar takdir yang menentukan konon.

Tapi sebenarnya…

Berdendam!

Taknak kalah dengan ex dia. Tapi, jangan mimpilah nak kambing hitamkan aku. Ini Seri Melati. Setakat mengorat ala-ala islamik rusuk kirilah, rusuk kananlah aku tak hairan langsung. Aku nak tengok sejauh mana dia boleh pergi. Ingat aku senang-senang makan umpan? 

Tapi…

Itu teori aku saja. Macam mana kalau tak betul?

Kalau betul?

Boleh jadi betul.

Memang dia terdesak sangat-sangat nak cari pengganti.

Sebab dia tiba-tiba macam nak rapat dengan ayah.

Bak kata orang, kalau nak pikat anak, kena pikat ayah dulu kan. 

Jadi sekarang ni aku kena berjaga-jagalah. Jangan sampai termasuk dalam plan jahat dia tu. Kena terus jadi penyiasat tak bertauliahlah ni.

“Cikgu..cikgu Seri..”

Suara comel memanggil aku dari bawah rumah. Aku kenal tuan punya suara. Aku senyum nakal.

“Cikgu Seri tak ada,” aku ketawa perlahan menutup mulut sambil terbongkok-bongkok pergi ke beranda rumah.

“Aik, itu bukan suara cikgu ke?”

“Bukanlah. Cikgu tak ada.”

“Alah, Umar tahu itu cikgu. Sinilah cikgu, Umar nak cakap sesuatu ni. Tadi Uncle Raeez telefon Umar, dia suruh datang sini kirim salam sayang pada cikgu.”

Tersentak aku mendengar kata-kata Umar. Bingkas aku bangun dan turun ke bawah sambil memberi isyarat supaya Umar tidak lagi bercakap apa-apa.

Buat hal betullah mat salih celup kicap ni!

Umar ni pun satu, tak reti langsung nak cover line. Buatnya emak aku dengar apa yang dia cakap tadi, habislah.

Dengan Umar sekali habis kena sekeh dengan aku.

“Umar, kenapa cakap kuat-kuat?”

Aku berkata separuh berbisik sambil menarik lengan Umar menuju ke bawah rumah. Mataku melilau memandang sekeliling.

Fuh!

Line clear.

“Tu lah, tadi Umar panggil cikgu taknak datang sini. Umar cakaplah kuat-kuat.”

“Cikgu berguraulah tadi. Umar cakap apa tadi? Uncle Raeez kirim salam?”

“Iyalah. Kirim salam sayang.”

“Umar tak salah dengar ke? Kot-kot ke dia bukan cakap kirim salam, tapi kuih talam. Kot dia teringin makan kuih talam mak cikgu jual,” aku menduga Umar.

Boleh jadi, kuih talam dengan kirim salam tak jauh beza.

Umar menggeleng. 

“Betullah kirim salam. Umar dengar betul-betul tadi. Umar tak pekak tau cikgu.”

Aku senyum sinis. Pandai betul dia gunakan Umar untuk menjayakan plan dia tu. Jangan terpedaya Seri, ini cubaan bukan betul-betul.

“Kenapa cikgu senyum macam tu? Dah jawab ke belum salam daripada Uncle Raeez tu? Ustaz cakap berdosa kalau kita tak jawab salam.”

Aku menepuk dahi. 

Ustaz Umar dah mula dah…

“Dah, cikgu jawab dalam hati. Adui Umar ni. Lagi apa yang uncle kesayangan Umar tu cakap?”

“Itu je. Tak ada apa-apa dah cikgu.”

Hai melampau betul. Dia suruh Umar datang sini semata-mata nak sampaikan salam sahaja. Kalau dia anak murid aku, dah lama aku denda lari 100 pusingan padang sekolah. Geram betul. Yang Umar ni pun menurut saja apa yang Raeez tu suruh buat. Apa agaknya dah dia gula-gulakan budak ni? Rasuah tu. Umar ni bukan main suka tazkirahkan aku, yg dia makan rasuah si Raeez tu apa?

“Uncle ada cakap nak bagi apa-apa ke lepas Umar sampaikan salam dia pada cikgu?”

“Mana ada. Itukan rasuah. Tak baik tau, berdosa. Umar ikhlas.”

Heh!

Rasa bersalah pula tuduh-tuduh tadi.

“Laa, Umar rupanya. Mak ingatkan dengan siapalah Seri bersembang dekat bawah rumah ni tadi,”

Emak menjenguk dari tangga.

“Umar datang nak sampaikan salam sayang dari Uncle Raeez pada cik…”

Aku laju menekup mulut Umar. Kenapalah hidup aku sekarang ni asyik berdepan dengan situasi yang mendebarkan macam ini? Semuanya selepas si Raeez muncul. Tak syak lagi.

“Hah, salam sayang?”

Terkejut emak.

“Raeez nak sampaikan salam sayang pada ayah mak.”

Aku cuba selamatkan situasi. Umar pandang aku dengan muka tidak puas hati.

“Iya ke, tak apalah nanti mak bagitahu ayah lepas dia balik dari kebun nanti.”

Emak pun terus menghilang ke dalam rumah. Lega aku. Mujur emak tak banyak tanya.

“Tak baik cikgu tipu. Berdosa.”

Ya ampunn.

Umar, cukuplah uncle kesayangan kau tu saja yang buat aku rasa nak pukul orang, janganlah kau pun sama macam tu. Payah. Asyik nak ditazkirahnya aku. Memanglah betul apa yang dia cakap tu, tapi dalam keadaan genting macam ni, mana sempat nak fikir apa.

Sama je dua-dua ni.

Manalah tumpahnya kuah kalau tak ke nasi juga.

Eh…

Macam tak kena saja 

Ah belasahlah!

Geng sangat Umar ni dengan si Raeez.

“Umar, kalau diluar waktu sekolah panggil Kak Seri sajalah. Macam tak biasa pula. Tadi cikgu bukannya sengaja nak tipu, nak selamatkan diri je, ”

“Alah, tak apalah. Umar nak biasakan sebab asyik tersasul panggil Kak Seri je waktu dekat sekolah. Lagipun sama saja kan. Cikgu nak selamatkan diri kenapa?”

“Umar budak-budak lagi. Tak payah tahulah. Dah pergi balik nanti mak Umar cari pula.”

“Umar dah bagitahu mak tadi yang Umar nak datang sini untuk sampaikan salam sayang Uncle Raeez pada cikgu.”

“Hah? Ya Allah budak ni, jadi mak Umar pun tahulah hal ni?”

Umar angguk. 

Aku pula rasa macam nak tazkirah si Umar ni. 

Sabar Seri sabar.

Umar tu kan budak-budak lagi. Si Evan Raeez itu yang patut ditazkirahkan. Nama saja geng surau. Entah-entah dekat sini saja konon rajin berjemaah, tapi bila dekat rumah sendiri, Subuh pun kelaut.

“Umar balik dululah cikgu,” kata Umar dengan muka yang tidak bersalah.

Aku hanya mengangguk.

Terus Umar mencapai basikal yang disandarkannya pada tiang rumah dan terus pergi.

Aku memang rasa nak menyumpah si Raeez ni. Tak boleh nak salahkan Umar, dia budak-budak lagi. Raeez tu, kalau suka datanglah terus masuk meminang. Kan senang, tak payah Umar tu nak jadi orang tengah lagi.

Meminang?

Tak ada maknanya. 

Meminang tak ada. Meminatangkan aku ada.

Teori aku tetap jadi kambing hitam. Tanpa rela pula tu.

Kau siap Raeez!


Aku naik ke atas rumah dan duduk di beranda rumah sambil membelek handphone. Apa lagi nak dibuat. Aku buka aplikasi Whatsapp. Satu-persatu group yang ada kubuka. Daripada group sekolah rendah sampailah ke universiti. Dalam kampung ni aku ramai kawan tapi kebanyakannya sudah bekerja di bandar dan ada juga yang menyambung pelajaran. 

Aku?

Aku cikgu gantilah.

Aku tahu ayah suruh aku mohon sebab kekosongan sebagai cikgu ganti itu disekolah tidak jauh dari rumah. Ayah tu memang kalau boleh nak aku selalu depan mata dia. Waktu aku menyambung pelajaran dulu, tiap minggu ayah suruh balik. Hai ayah…ayah…papadom betul.

Beep!

Masuk satu Whatsapp. Tertera nama Abang Hadi. Cepat-cepat kubuka.


Abang Hadi- Assalamualaikum Seri.

Aku- Waalaikumussalam. Seri ingat abang dah taknak mesej Seri. Hari tu Seri whatsapp abang tak reply pun.

Abang Hadi- Maaf Seri. Abang ada kursus. Ni baru habis. 

Aku- Abang masih marah?


Lama tak berbalas.


Abang Hadi- Tak.

Aku- Sepatah je?

Abang Hadi- Iyalah. Seri nak abang reply berpatah-patah macam hati abang yang dah dipatah seribu ni ke?

Aku- Maksudnya masih marahlah kan? 

Abang Hadi- Tak Seri. Abang tak boleh nak marah Seri lama-lama. Seri kan qsebahagian daripada hidup abang.


Dan sekali lagi perkataan itu Abang Hadi luahkan. Tapi kali ini aku dah faham maksudnya.


Aku- Abang please… 

Abang Hadi - Betullah. Seri je yang tak anggap abang macam tu. Tapi bagi abang, Seri segala-galanya. Abang tunggu Seri.

Aku- Sampai bila? Seri ingatkan abang dah boleh terima hakikat yang Seri tak anggap abang lebih daripada abang sendiri.

Abang Hadi- Sampai Seri bersedia untuk terima abang sebagai suami. Anggap je sekarang ni abang bagi Seri masa untuk betul-betul bersedia. Kita buat macam biasa je lepas ni okay?


Aku menarik nafas sedalam-dalamnya dan aku hembus sekuat hati.


Aku- Tak okay. Seri dah bagi jawapan sebelum ni kan? Seri dah jelaskan semuanya.

Abang Hadi- Habis tu, buat apa cari abang lagi?

Aku- Sebab abang sepupu Seri. Abang nak putuskan persaudaraan semata-mata sebab Seri tolak pinangan abang ke?

Abang Hadi - Hal berkaitan hati dan perasaan, segala kemungkinan boleh terjadi.


Abang Hadi ni betul-betul buat aku jadi bersalah. Ditelan pahit, diluah sayang. Habis tu kemam je?

Aku meletakkan handphone diatas meja. Tak mampu nak berbalas mesej dengan Abang Hadi lagi. Menyesal pula aku berhubung dengan dia lagi. Ingatkan dia dah boleh terima hakikat, rupanya tidak. Tapi patutkah aku jauhkan diri daripada dia? Hal berkaitan hati dan perasaan boleh merosakkan hubungan persaudaraan ke? 

Betul kata orang… 

Sebab cinta, saudara jadi musuh.

Kawan jadi lawan.

Orang celik jadi buta.

Orang petah jadi bisu.

Orang baik jadi jahat.

Tapi...

Nilai sebuah persaudaraan itu sangat besar. Tak wajar dirosakkan hanya sebab perasaan cinta yang tidak berbalas. Banyak cara untuk kita tunjukkan sayang. Mungkin dengan hanya ikatan persaudaraan buat kita lagi bahagia dan gembira berbanding dengan ikatan pernikahan.

Abang Hadi tak terfikirkah semua itu?






Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.