Home Cerpen Seram/Misteri JANGAN SALAH JALAN
JANGAN SALAH JALAN
Liah Ismail
2/8/2016 05:38:51
2,171
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

BEG SEKOLAH terus dibuang ke atas katil kemudian dia menghumbankan pula dirinya ke situ dengan kepalanya menoleh ke arah beg sekolahnya tadi. Satu dengusan kasar keluar dari mulut. Asal balik sekolah saja, mesti dia dengar ibunya berceloteh panjang. Cakap dia itulah, inilah. Tak belajar, tapi kerja asyik buli pelajar di kelasnya atau pelajar yang lebih muda dari dia saja yang dia tahu.

Kemudian, tidak semena-mena pula dia tersenyum lebar. Macam orang sewel. Mengingatkan hal yang berlaku di sekolah tadi membuatkan dia sudah terlupa dengan omelan panjang ibunya tadi. Kes buli pelajar tingkatan 3. Bukan hal biasa buat gadis liar macam dia. Kalau ikutkan hati, mau saja hari-hari kerjanya datang ke sekolah buli pelajar. Asal saja tidak kena di mata, terus di bulukaw-kaw! Ada harapan jadi ketua gengster lepas sekolah ni nanti!

Hari ini untuk kesekian kalinya, ibunya terpaksa menebalkan muka lagi datang ke sekolah kerana masalah yang dia sengaja timbulkan. Nasib baik ibunya sudi datang, harapkan bapanya, terbelah dunia ni kot baru nak muncul ke sekolah. Lebih pentingkan hal kerja berbanding hal keluarga. Hendak kalahkan pendapatan sultan dalam sebulan agaknya baru dia puas hati. Sekali lagi dia mendengus kasar. Kali ini dia bangun dengan kerutan terbentuk di dahi. Mengingatkan hal bapanya, ada lebih elok dia tinggal di asrama sahaja. Sama ada bapanya ada atau tiada, sama saja baginya.

“Faza! Buat apa dalam bilik tu lama-lama! Mari turun makan!” jerit ibunya dari tingkat bawah. Meski ibunya marah-marah, hal anaknya dia tidak pernah lupa. Dia tau, ibunya memang sayangkannya, cuma~

Faza cebik bibir, dia tiada selera makan tengah hari, lebih-lebih lagi jika bapanya ada sekali. Pasti hal tadi jadi tajuk bualan utama meja makan.

*****

DIA pandang cermin meja solek sambil membetulkan atap tudung sekolahnya. Setelah pasti kemas, dia capai beg sekolah pula. Kemudian dia turun ke bawah. Di meja makan, bapanya sudah duduk di kepala meja sementara ibunya pula duduk di sebelah sambil senduk mee goreng ke pinggan encik suami kemudian anak dara tunggalnya.

Tajam saja pandangan Tuan Malik memandang wajah satu-satunya anak perempuannya itu. Tak habis-habis buat hal.

“Faza dah buat keputusan. Faza nak pindah sekolah berasrama penuh.” Laju kepala Tuan Malik dan Puan Fadzillah ke arah Faza kini. Kerutan di dahi juga terbentuk hodoh. Sebelum bapanya beri hukuman, lebih baik dia bertindak dulu.

“Kenapa? Dah puas buli budak-budak kat sekolah lama? Nak buli budak sekolah berasrama penuh pula?” sinis Tuan Malik bertanya. Terangkat terus kening Faza.

“Boleh. Tapi dengan syarat.” Berkerut dahi Faza kini. Puan Fadzillah pula hanya jadi pendengar setia sahaja.

“Papa sendiri yang buat keputusan Faza sekolah di mana nanti. Setuju?” syarat yang diberikan Tuan Malik ada maksud tersirat. Dia akan cari sekolah berasrama penuh yang paling ketat peraturannya dan punya prestasi yang baik dalam akademi. Biar anaknya itu tau bagaimana mahu jadi manusia nanti.

Faza cuma angkat kening dan bahu serentak. Tidak kisah asal hajatnya mahu pindah sekolah tercapai.

“Kalau papa letak syarat, Faza pun ada.” Tuan Malik pula ganti angkat kening.

“Faza nak pindah esok juga!”.

*****

KINI Faza berdiri tegak di hadapan pintu masuk sekolah berasrama penuh yang di pilih sendiri oleh bapanya. Rajuk punya pasal, dia tidak minta pun bapa dan ibunya hantar ke situ. Digagahkan sendiri dirinya mengangkat beg-beg miliknya naik bas dan teksi hingga sampai ke sekolah itu.

Kini dia perlu menunaikan syarat bapanya setelah bapanya menunaikan syarat untuk dia pindah sekolah hari ini juga. Akhirnya dia lepas nafas kasar.

Banyak-banyak sekolah, sekolah berasrama penuh agak jauh ke pedalaman ini pula yang jadi pilihan bapanya. Macamlah sekolah berasrama penuh di bandar selain ini tidak ada. Sudahlah jauh dari bandar, cat bangunan sekolah pun sudah pucat lesi warnanya. Sabar sajalah, nak.

Dia paksa juga kakinya melangkah masuk ke sekolah itu. Sebaik dia melalui pondok jaga, lelaki tua berkulit gelap yang pakai baju seragam jaga memandangnya dengan pandangan macam pelik saja ke arahnya. Faza menyengetkan bibirnya, konon tersenyum meski tidak ikhlas. Jaga itu pula hanya angguk sekali, kemudian dia tunduk hadap meja.

“Tak salah jalan ke, nak?” tidak semena-mena jaga itu bertanya tanpa menoleh ke arahnya langsung. Faza kerut dahi.

“Tak.” Balas gadis itu sepatah. Yakin. Kemudian dia berlalu apabila melihat pakcik jaga itu sudah tidak bersuara lagi.

Langkah Faza perlahan menuju ke arah asrama pula. Sebelum tiba di asrama perempuan, dia perlu lalui bangunan asrama lelaki dulu. Sempat dia melirik ke arah asrama lelaki yang kelihatan begitu sunyi dari luar. Apa pelik? Dah pun namanya sekolah berasrama penuh, pelajar-pelajarnya pun tentunya sedangstudy saja kerjanya.

Kemudian dia teruskan langkah sampai depan dewan makan asrama. Dia lalu ruang itu sambil-sambil tengok pekerja di kantin asrama. Masing-masing kelihatan sibuk buat hidangan makan malam agaknya.

Sampai saja di pintu pagar masuk asrama perempuan barulah dia nampak beberapa orang pelajar perempuan yang berpakaian baju kurung dan bertudung bawalstyle tudung saji warna putih susu sedang berjalan menuju ke arah hujung bangunan asrama perempuan. Mungkin menuju ke bilik belajar, mungkin.

“Sampai pun, ingatkan sesat sampai ke hujung jalan ni tadi.” Kedengaran seseorang bercakap. Bunyi ayatnya macam ditujukan pada dia saja. Faza pandang ke arah pemilik suara tersebut. Seorang wanita dewasa dengan bertudung bawal merah jambu dan berkurung dengan warna yang sama sedang berdiri di hadapan pintu masuk bilikwarden.

Faza cuba tersenyum. Dia menuju ke arah wanita dewasa itu dengan langkah sedikit ragu-ragu. Sampai di hadapan wanita itu, dia terus menghulurkan tangan ke arah Faza. Teragak-agak Faza sambut.

“Nama cikgu, cikgu Mawar.Wardenasrama perempuan ni. Nurfaza Malik, kan?” Sua cikgu Mawar mesra. Faza angguk kecil sahaja. Di belakang cikgu Mawar, muncul seorang gadis muda. Kelihatan mesra sahaja dengan senyuman kecil menghiasi wajah gadis itu.

“Dia satu dorm dengan Kemboja, kan cikgu?” pantas kening Faza terangkat. Kemboja? Pelik jer sekolah ni, macam nama selain bunga tak ada. Seorang nama Mawar, seorang lagi Kemboja. Unik sangatlah tu. Omel Faza dalam hati.

“Budak-budak dalam sekolah ni memang ramai yang guna nama bunga. Tak payah pelik sangatlah.” Faza terus telan liur. Kelat! Cikgu Mawar boleh baca isi hati orang ke? Kalau tadi dia senyum tidak ikhlas, sekarang macam kena paksa pula.

“Kemboja, tolong Faza bawa beg dia naik atas. Faza, ni kunci untukdorm dan loker kamu. Welcome to our world.” Ucap cikgu Mawar mesra tapi buat Faza sudah fikir macam-macam. World? Aku bukan dalam dunia bunian, kan?

Faza tuntun juga langkah Kemboja dari belakang. Meski hatinya berbisik tidak sedap, namun dia cuba berlagak biasa. Siapa yang tidak kenal Nurfaza Malik, pelajar paling digeruni kerana sikap berani dan suka membulinya. Mujur juga kepalanya tidak seteruk sikapnya itu, masih hebat dan mampu bersaing dengan pelajar-pelajar cemerlang di sekolah lamanya. Sebab itu, dengan mudah saja dia dapat masuk ke sekolah ini.

“Ni tilam Faza, tu loker Faza.” Kemboja mesra memberitahu. Beg beroda yang dia bawa tadi diletakkan di sebelah katil Faza kini. Sekolah itu, walau tidak cantik pemandangannya dari luar, tapi dalam boleh tahan mewah dan lengkapnya.Not bad, pilihan papa.

Kemboja kembali ke katilnya. Faza duduk di birai katil dan memandang sekitar bilik dorm tersebut. Ada 8 katil single semuanya dengan setiap satu di sediakan meja belajar sederhana besar dan loker yang bertentangan dengan katil masing-masing.

Pandangannya mati pada meja belajar paling hujung sekali. Kelihatan seorang gadis sedang duduk di situ sambil memandang buku atas mejanya. Tidak bergerak-gerak. Langsir yang terhayun dek angin petang pun langsung tidak dipedulikannya. Pelik.

Faza toleh ke sebelah kirinya pula. Di situ terbaring gadis sambil meletakkan lengan di atas mukanya. Tidurkah dia? Langsung tidak berganjak dari baringnya sejak dia masuk ke situ. Kedua orang pelik dalam dorm tersebut. Minggu exam ke? kenapa aku tengok semua pun struggles ni. Pelik. Baru bulan March kot.

Faza buat muka dan kembali menumpukan perhatian pada beg galas dan berodanya. Kemudian dia keluarkan telefon bimbitnya dari poket seluarjeansnya pula. Niat mahu call ibunya mahu beritahu dia sudah selamat sampai ke situ. Walaupun dia sedikit bengang dengan sikap ibunya, dia tetap hormat orang tua itu. Namun satu keluhan kecil pula yang terlepas sebaik dia memadang skrin telefonnya sendiri. Aish! Benda ni lah aku paling benci. Line tak ada!

Kemboja yang duduk di meja belajarnya dipandang. “Kemboja, asrama ni memang tak adaline,erk?” soal Faza. Kemboja angguk laju sambil mencapai telefonnya juga. Kening Faza pantas tercantum. Ingatkan dia saja yang berani bawa telefon masuk asrama.

*****

FAZA menggosok-gosok cuping telinga dan matanya. Sebentar tadi dia dengar riuh betul bilik itu dengan suara beberapa orang pelajar perempuan sedang berbual. Entah bualkan apa, Faza tidak pula ambil peduli. Ngantuknya masih menguasi diri namun digagahkan juga dirinya duduk di katil itu. Dia pandang sekeliling dorm tersebut namun pelik. Cuma ada dia dan Kemboja saja yang masih berbaring di katil sambil menghadap ke arah bertentangan dengannya di situ. Jadi suara siapa tadi yang dia dengar? Takkanlah suara Kemboja seorang pula yang buat riuh tadi. Faza cuba sedapkan hati. Dia pandang jam di skrin telefonnya. Sudah dekat jam 9 malam. Pelajar yang satu dorm dengannya mungkin di bilik belajar kala ini.

Tiba-tiba pula dia rasa mahu ke tandas. Cepat-cepat dia berdiri dan mahu keluar dari situ. Baru saja dia sampai di pintu, suara riuh pelajar perempuan kedengaran. Sudah habis belajar agaknya. Faza tunggu sampai mereka muncul depan pintu.

Pada mulanya dia tidak rasa apa-apa, namun sebaik kelibat tujuh orang pelajar yang sedang berdiri dihadapannya itu termasuk Kemboja berdiri di hadapan matanya membuatkan Faza telan air liur. Habis, siapa yang baring di katil Kemboja tadi. Laju kepalanya teralih ke arah katil itu semula. Tidak ada bayang-bayang Kemboja pun berbaring di situ. Kosong.

“Faza, pergi mana? Dah makan?” soal Kemboja mesra. Faza tidak tahu mahu jawab dengan geleng atau angguk saat ini. Terasa kelat air liur yang melalui kerongkong gadis itu kini. Dilihatnya enam orang pelajar yang baru bertentang mata dengannya itu memandangnya dengan pandangan kosong, macam tiada perasaan. Sekali lagi dia telan air liur, bulu romanya pula tiba-tiba merinding.

“Faza pergi toilet dulu.” Laju Faza jawab. Lain yang kena tanya lain yang dia jawab.Kalau boleh mahu cepat keluar dari situ.

“Tau ke arah tandas mana? Jangan salah jalan sudah!” pesan Kemboja. Kedengaran suara gadis itu sayup-sayup dari arah belakang. Faza angguk laju tanpa toleh belakang lagi. Kini bulu tengkuknya pula yang naik menegak. Entah, kenapa dia rasa lain macam tiba-tiba. Betul ke sekolah ni?

Oleh kerana tidak sedap hati, dia mahu jumpa dengan cikgu Mawar di bilik warden. Mana tau, dia boleh tenang lepas berbual dengan cikgu itu nanti. Sampai di bilik warden, Faza memanjangkan lehernya dari luar pintu masuk. Mencari-cari kelibat cikgu Mawar jika ada duduk di situ. Namun kosong. Mana pula cikgu Mawar ni?

“Cari cikgu ke?” satu suara muncul dari arah belakang. Terkejut bukan kepalang Faza. Hampir saja dia terlompat masuk terus ke dalam bilik warden itu.

“Masuklah.” Sua cikgu Mawar kemudian, raut wajah cikgu itu bukan macam pertama kali dia jumpa petang tadi. Sedikit suram dan pucat.

Perlahan Faza ikut langkah cikgu Mawar masuk ke situ. Dia duduk di kerusi panjang yang bersebelahan dengan pintu masuk. Cikgu Mawar pula sudah hilang di sebalik pintu yang satu lagi. Mungkin biliknya.

Akibat bosan, Faza berdiri dan melihat-lihat sekeliling bilik tersebut. Jadual organisasi asrama itu menarik perhatiannya. Lantas di baca satu-persatu nama yang ada di situ. Pantas keningnya bercantum. Seram tidak semena-mena. Semua nama yang ada di jadual organisasi tersebut menggunakan nama-nama segala jenis bunga-bungaan. Makin bertambah rasa resah di hati Faza saat ini. Ingatkan kalau jumpa cikgu Mawar boleh hilang rasa seram sejuknya masa di dorm tadi. Tapi nampaknya, kian menjadi-jadi. Sekali lagi Faza mahu terlompat dari tempatnya berdiri.

Cikgu Mawar muncul secara tiba-tiba dari arah bilik yang ada dalam bilik itu sambil bawa dua cawan minuman.

“Faza minum air milo panas, kan?” sua cikgu Mawar. Meski kedengaran mesra, namun hati Faza sudah berdengup laju, macam sedang berlari berbatu-batu jauhnya.

Teragak-agak Faza memandang minuman yang sedang dipegang oleh cikgu tersebut. Bukan darah? Faza telan air liur lagi. Peluh di dahi sudah terbentuk.

“Faz-Faza naik dulu.” Dia main jawab saja sedang hatinya sudah merusuh macam dipacu enjin motor berkuasa kuda tahap maksima.

“Terima kasih sebab jenguk cikgu di sini. Lama cikgu tak ada pengunjung macam hari ni. Ingat, jangan salah jalan pula.” Faza terus memakukan langkahnya. Dia sudah kecut perut mahu menoleh ke belakang. Segala sikap berani membulinya terus hilang serta-merta malam ini. Dia terus berlari keluar. Lalu di dewan makan asrama yang masih terang benderang dan juga asrama lelaki yang kelihataan gelap-gelita. Sudah tidurkah mereka? Ah! Dia tiada masa mahu fikir semua itu. Baginya, semua orang yang jumpa hari ini pelik-pelik belaka. Entah manusia, entah jin mana yang tersesat sampai ke situ.

Dia tidak pasti mahu pergi mana saat ini. Hendak lari dari sekolah itu memang dia tidak mampu, memandangkan hari sudah gelap. Telefon bimbitnya juga tertinggal di dorm. Tidak berani dia naik semula ke atas setelah mendengar ayat cikgu Mawar yang lain saja bunyinya tadi.

Dari berjalan, kini dia melajukan langkahnya mahu cepat sampai ke pondok jaga di mana pakcik jaga yang dia jumpa petang tadi. Mana tahu pakcik itu boleh terangkan pada dia apa yang berlaku. Dia sendiri tidak mengerti dengan situasi yang sedang dia lalui kini. Aku bermimpikah?

“Pakcik! Pakcik!” laung Faza dari luar pondok jaga. Kelihatan pondok itu masih terang, maksudnya pakcik jaga itu masih ada di situ. Dia menanti penuh sabar panggilannya bersahut.

“Kenapa?” satu suara muncul dari arah belakang. Masuk yang ini, sudah tiga kali dia dikejutkan dengan sapaan yang tiba-tiba muncul. Dia lega melihat pakcik jaga itu masih ada di situ.

“Pakcik, boleh saya tanya sesuatu?” pakcik jaga itu mengerutkan dahinya buat Faza jadi keluh lidah mahu meneruskan bicara.

“Kamu tak perlu tanya apa-apa, jawapannya ada dihadapan mata kamu saja.” Ujar pakcik jaga seolah-olah tahu maksud arah soalannya tadi. Pakcik jaga itu kemudian masuk ke pondoknya. Menutup pintu dan langsung tidak menoleh kearahnya lagi.

Faza sentuh belakang tengkuknya, bulunya sudah tegak berdiri. Betul ke sekolah ni pilihan papa? Kenapa aku rasa aku salah masuk saja? Melihat pakcik jaga itu membelakangkannya, cepat-cepat Faza berlari keluar ke luar pintu pagar sekolah. Kemudian dia memandang semula ke arah hadapan. Kali ini matanya terbuka luas. Kalau petang tadi dia lihat sekolah itu sempurna saja bentuknya, kini sekolah yang berdiri gah di hadapannya itu ada yang sudah runtuh separuh dan runtuh sepenuhnya meski ada kerja-kerja kontraktor yang masih tertinggal di situ.

Faza terduduk ke tanah kerana rasa terkejut yang tidak terhingga. Jadi, petang tadi dia berbual dengan siapa? Cikgu Mawar? Kemboja? Siapa yang dia nampak dalam asrama tu semua? Wujudkah mereka?

Bagaimana dengan pakcik jaga yang baru saja dia ajak berbual tadi. Cepat saja kepala Faza menoleh ke arah pondok jaga itu semula. Pakcik jaga itu sedang berdiri di situ dengan wajah pucat lesi tanpa darah, memandangnya dengan pandangan sayu yang sukar dimengerti.

“Ingat, jangan salah jalan.” Ayat itu terus terngiang-ngiang di cuping telinganya sehinggalah dia jatuh pengsan di tempatnya terduduk tadi.

TAMAT.


*semua watak dan jalan cerita dalam cerpen ini adalah rekaan semata-mata. Tidak berkait antara hidup atau yg sudah tiada. Selamat membaca!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.