TERIMA KASIH
“NI kunci bilik kamu. Setiap satu bilik, ada dua orang pelajar. Seorang lagi belum sampai. Kamu boleh masuk, kemas dan berehat.” Kakak yang bertugas di bahagian pendaftaran pelajar baru baru hostel hari ini menerangkan dengan panjang lebar. Huda angguk sahaja seraya mengambil kunci bilik tersebut.
Kemudian dengan kudrat yang ada, dia heret beg berodanya melintasi satu-persatu lorong menuju ke bilik hostelnya itu. Sempat melirik pada bilik-bilik hostel yang lain. Ada yang terbuka luas sampai menampakkan isi di dalamnya dan ada juga masih tertutup rapat. Entah sudah berpenghuni atau belum.
Terus saja Nurhuda menuju ke nombor bilik yang telah ditetapkan oleh pihak hostel. Tiba di bilik itu, Nurhuda terus buka pintu. Maka terbentanglah kini di hadapan matanya bagaimana isinya bilik hostel itu. Di mana, dia dan seorang lagi pelajar yang tinggal di situ akan menghabiskan masa belajar sehingga tamat pengajian di institusi tinggi swasta tersebut.
Sekali lagi diheret beg berodanya tadi sehingga sampai pada satu katil sebelah kanan bersebelahan dengan dinding. Satu lagi sebelah kiri, juga bersebelahan dengan dinding. Cat bilik itu macam hostel-hostel di institusi yang lain juga, putih bersih tanpa ada satu pun contengan di dinding tersebut.
Masing-masing disediakan meja belajar yang menghadap jendela dan juga almari pakaian yang berdekatan di hujung katil. Sementara ada ruang sedikit luas di antara katilnya dan juga satu lagi. Senang sikit solat, fikirnya.
Usai meneliti keluasan bilik tersebut, barulah Nurhuda mengemas pakaiannya ke dalam almari. Buku-buku nota dan rujukan pula dia letak pada meja sebelah kanan juga. Laptop jenama Acer Aspire E 11 warna merah jambunya juga diletakkan di situ.
Belum selesai dia mengemas barangan miliknya, tiba-tiba pintu hostel itu terbuka dari luar. Laju kepala Nurhuda menoleh ke situ. Lantas keningnya bercantum. Seorang gadis dengan rambut terikat satu masuk ke dalam. Sama macam dia, bawa beg beroda agar besar tapi warna merah hati.
Melihat Nurhuda sudah pilih katil sebelah kanan, dia terus menuju ke arah katil yang sebelah kiri. Langsung tidak menyapa pada gadis yang terlebih dahulu sudah ada di situ. Nurhuda mencebik dalam hati. Sombong, macam kau habis modal kalau tegur aku masa masuk tadi kan. Huh!
“Aku Watie, kau?” tidak semena-mena gadis dengan rambut berikat satu tadi bersuara. Terhenti serta-merta pergerakan Nurhuda kembali. Teragak-agak pula dia toleh belakang.
“Tak ada nama ke?” kasar saja gadis yang bernama Watie itu menyoal semula. Naik cemberut muka Nurhuda mendengarnya.
“Nurhuda. Panggil Huda saja,” dengan terpaksa Nurhuda jawab juga. Cuba bersikap seramah yang boleh. Kelat saja senyuman yang terbentuk di wajahnya saat ini.
“Tak payah sebut full name kalau kau nak aku panggil kau Huda saja. Buat panjang ayat saja.” Bidas Watie tidak semena-mena, buat mata Nurhuda terus membulat besar. Kurang asam. Bukankah adat orang berkenalan memang selalu begitu. Sebut nama penuh dulu sebelum nama panggilan?
Watie kini duduk di birai katil sambil memandang ke arah Nurhuda tanpa berkelip. Lain macam saja pandangan gadis itu. Macam mahu cari gaduh saja dengannya.
“Kau pernah dengar cerita pasal hostel ni?” sekali lagi tugas mengemas Nurhuda terganggu. Malah tajuk perbualan yang baru saja dibuka oleh gadis itu buat Nurhuda berminat mahu tahu. Dia menoleh ke arah Watie.
“Duduk dulu. Nanti boleh sambung kemas kemudian. Itupun, kalau kau nak tau kisah hostel ni.” Tambah Watie apabila melihat Nurhuda sudah menumpukan perhatian padanya. Lalu Nurhuda duduk di birai katilnya pula. Menghadap gadis yang baru dia kenali itu.
“Dulu, orang pernah cakap ada pelajar yang bunuh diri dalam satu bilik hostel ni. Gantung diri. Tiga hari mayat dia baru jumpa, itupun sebab ramai pelajar yang lalu bilik dia terhidu bau busuk.” Watie mula bercerita. Naik tegak bulu roma Nurhuda tiba-tiba. Perkataan bunuh diri memang amat menyeramkannya, kerana orang yang melakukan perkara tu memang tidak aman rohnya. Terus bergentanyangan mengganggu orang ramai.
“Kau tak tanya pasal apa dia bunuh diri?” Watie pula soal dia. Terangkat kening Nurhuda jadinya, kemudian dengan perlahan-lahan Nurhuda angguk kepala saja dengan soalan Watie tadi.
“Dia stress belajar. Apa yang aku dengar, itu merupakan semester terakhir dia untuk mengulang. Kalau gagal juga, dia akan kena buang oleh pihak dekan.” Beritahu Watie penuh emosi. Nurhuda angguk-angguk lagi.
“Itu kisah pertama. Yang kedua, melalui apa yang aku baca kat internet kes bunuh diri itu tidak berakhir di situ saja. Selang dua tahun dari kejadian yang pertama, seorang lagi ditemui mati dengan cara yang sama dan di bilik yang sama.” Nurhuda sudah telan air liur. Makin menjadi-jadi kisah seram pasal hostel itu yang dia dengar. Sesekali dia toleh sekeliling bilik tersebut, keadaan di luar masih terang-benderang lagi meski jam sudah melewati ke angka 5.
“Stress juga ke?” Nurhuda memberanikan diri untuk bertanya. Watie menggeleng perlahan, wajah tegangnya tadi sama saja macam permulaan dia masuk ke bilik itu.
“Pregnant.” Jawab Watie ringkas. Panjang istighfar Nurhuda sebaik mendengar sebab kedua tersebut. Kenapalah cetek betul pemikiran anak-anak perempuan zaman sekarang. Belajar tinggi-tinggi tapi kenapa juga masih mudah juga terjebak dengan perkara mungkar tersebut. NAUZUBILLAH MIN-ZALIK.
“Ada lagi ke?” Kali ini Nurhuda pula bertanya. Walaupun dia sudah naik seram, bulu roma sudah merinding di kedua-dua belah lengannya namun dia makin berminat mahu tahu kisah seterusnya jika ada.
Tidak semena-mena Watie tersenyum sinis. Senyuman sinis yang buat Nurhuda jadi tidak selesa, macam menyeringai saja senyuman Watie di matanya.
“Ada.” Balas Watie sepatah. Nurhuda menanti dengan sabar. Dua tiga kali juga dia telan air liurnya.
“Bunuh diri?” teka Nurhuda, namun gelengan Watie menidakkan tekaannya itu. Pantas dahi Nurhuda bercantum lagi.
“Dibunuh.” Macam tadi, sepatah juga Watie jawab. Seram Nurhuda pula sudah menjadi-jadi.
“Kerana dengki dengan anugerah dekan yang dia dapat setiap semester buat ada yang mula berdendam. Mungkin cara dia mati tidak kelihatan kejam, namun dia tetap terseksa.” Beritahu Watie. Kali ini wajahnya kelihatan sugul sekali seolah-olah kisah ketiga itu ada kaitan dengan dirinya pula.
Tiba-tiba Watie berdiri tegak dari katilnya. Wajah Nurhuda dipandangnya lama. Seribu satu rasa mula bermain di minda gadis itu kini. Renungan mata Watie seperti dalam kesedihan yang terlalu dalam. Menusuk terus ke lubuk hati Nurhuda. Dia turut merasa sedih tiba-tiba.
“Ingat Huda, perasaan dengki tak akan bawa apa-apa kejayaan pada kita.” Tutur Watie perlahan. Kemudian dia menuju ke muka pintu bilik. Tidak lepas mata Nurhuda memandang kelibat gadis itu yang sudahpun buka pintu.
Sebelum pintu itu tertutup semula, Watie kembali memadang ke arah Nurhuda.
“Terima kasih sebab sudi jadi pendengar. Jumpa lagi.” Ucap Watie bersama senyuman kecil kemudian pintu itu ditutup dengan perlahan. Berkerut serta-merta dahi Nurhuda. Jumpa lagi? Apa maksud Watie? Kan dia memang penghuni bilik ini bersamanya nanti.
Pintu bilik diketuk perlahan dari arah luar. Tidak lama kemudian daun pintu itu dibuka oleh seseorang. Muncul seorang gadis baru pula di situ. Kali ini, wataknya berbeza dengan Watie tadi. Macam sedikit malu-malu saja mahu masuk ke situ. Nurhuda berdiri dari katilnya lalu menuju ke pintu itu. Mungkin gadis yang baru muncul ini tersalah bilik.
“Iya?” sua Nurhuda perlahan.
“Er… Nurhuda kan? Saya Evon, rakan sebilik awak.” Balas Evon dengan senyuman lebar. Terus saja mata Nurhuda membesar. Segera dia berpaling semula ke arah katil di mana Watie duduk tadi. Beg beroda warna merah hati yang diusung gadis itu ketika masuk ke situ sudah tiada.
Jadi, dengan siapa dia bersembang tadi?
TAMAT.
*semua watak dalam kisah ini tidak kena-mengena dengan yang masih hidup atau sudah tiada. Ia hanyalah rekaan semata-mata. TERIMA KASIH sebab sudi baca! :)