Home Cerpen Seram/Misteri KISAH SERAM MALAM JUMAAT - JERAT
KISAH SERAM MALAM JUMAAT - JERAT
8/9/2016 06:17:47
4,359
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

Kereta yang dipandunya meluncur laju membelah kegelapan malam yang dingin. Cahayanya menyorot jalanraya yang sunyi dan sepi. Dilangit tidak ada sebutir bintang pun kelihatan. Rembulan pula bersembunyi disebalik kepulan awan yang tebal dan berat. Daun-daun pohon ditepi jalan bergetar ditampar angin yang menderu keras.

“ Jauh lagi ke?” Maziah yang duduk disebelah bahagian pemandu bertanya. Tidak pula dia menoleh kearah Rafik yang kelihatan tekun memusatkan perhatiannya pada jalanraya.

“ Kejap lagi sampailah,” sahut lelaki itu juga tanpa menoleh. Seakan-akan mereka bukan lagi pasanngan kekasih seperti yang dikenali dulu. Hati masing-masing memberontak didalam. Maziah cemas dan takut manakala Rafik pula tertekan. Kejap jari-jemarinya menggengam stereng kereta.

Lelaki muda berusia sekitar pertengahan 20an itu menoleh tatkala terdengar dengusan halus dari Maziah.

“ Kenapa?” wajah gadis ayu yang kelihatan berbalam-balam itu direnung sekilas.

Maziah gugup untuk menjawap. Yang dia tahu dadanya makin berdebar-debar. Sejak dari bertolak lagi rasa debaran itu tidak mampu dikikisnya. Mukanya juga mulai pucat. Hanya ianya tersembunyi disebalik kesamaran malam. Tidak jelas dimata Rafik.

“ Takut?” Rafik cuba meneka.

Maziah mengigit bibirnya. Tangannya diramas-ramas. Begitulah perlakuannya andai dia diseranng dengan rasa cemas atau pun takut.

“ Mahunya I tak takut,” ulas Maziah pendek tidak lama kemudian. Jalan sunyi didepan matanya ditenung lagi. Perasaannya berbelah bagi. Bolehkah dalam saat dan ketika ini dia mengubah keputusannya? Bolehkah dia berpatah semula?

“ Rilek,” ucap Rafik tanpa menghiraukan perasaan kekasihnya itu. “ Tak ada apa yang nak dibimbangkan,” sambung pria itu lagi. Berharap agar kata-kata itu mampu menambahkan kekuatan pada Maziah.

Seperti ada yang lucu Maziah menghamburkan ketawanya. Kedengaran sinis dan menyakitkan telinga Rafik. Sekali lagi pemuda itu menjeling kearahnya.

“ You boleh suruh I rilek dalam keadaan macam ni?” nadanya kedengaran sarkastik.

“ Habis tu you nak buat macam mana lagi? Ini aje jalan yang terbaik,” sanggah Rafik dengan suara yang dikeraskan.

“ Bukan ke kahwin jalan yang paling baik dan mudah?” Maziah menoleh.

Rafik terdiam. Nafasnya dihela dengan panjang. Sudah berkali-kali dia membangkitkan masalah ini dan ternyata Maziah seolah-olah enggan untuk memahaminya. Atau barangkali sengaja buat tidak faham. Dagunya dilurut lembut dengan jari.

“ Kita tetap akan kahwin sayang. Tapi masalahnya bukan sekarang. Ada perkara lain yang perlu I buat dulu. Lagi pun ekonomi I belum betul-betul kukuh lagi. Kenapa you tak nak faham,” balas Rafik mendatar.

“ Kita tetap akan kahwin tapi bukan sekarang. I harap you faham. Beri I masa lagi,” lelaki itu memujuk.

“ Bila Fik? Jangan buat I tertunggu-tunggu.”

“ I promise. Kita akan kahwin dan buat masa ni masalah yang kita tengah hadapi ini elok kita settlekan dulu,” ujar Rafik lagi.

Langsung Maziah menundukkan kepalanya. Tangannya mengusap lembut perutnya sendiri. Ada rasa hiba merantai perasaannya. Ada rasa kecewa datang menjengah. Diwaktu yang sama dia merasa kejam dan zalim. Masih mampukah dia berpatah semula? Lagi-lagi itu yang terlintas direlung fikirannya.

Kerana pesona cinta yang tidak terkawal akhirnya dia terlanjur. Dan hasilnya ada benih yang sedang berkembang didalam perutnya. Lambang cinta terlarang dari mereka berdua. Namun saat yang sudah berlalu tidak mungkin dapat ditarik kembali. Waktu yang terus bergerak tidak ada daya untuk dia menahannya. Seiring dengan waktu itu juga anak didalam kandungannya makin membesar.

Rafik yang hanya bekerja sebagai seorang kerani meminta agar ditangguhkan perkahwinan mereka bila diaju soalan itu. Memang awalnya dia terkejut dengan pemintaan teman lelakinya. Sangkanya Rafik akan mengorbankan dirinya semata-mata untuk membuktikan cinta mereka. Namun sangkaannya ternyata meleset. Rafik keliru dan takut. Minta tempoh. Dan yang paling dashyat lelaki itu meminta agar dia mengugurkan saja kandungan didalam rahimnya itu.

Maziah menentang dan tidak ingin lagi bergelumang didalam perut dosa. Namun kelicikan Rafik memujuk akhirnya membuatkan dia cair dan akur dengan permintaan lelaki itu. Ya....jika ditanya dia memang mencintai lelaki itu. Masih lagi.

“ You jangan takut Zie. Lepas ni masalah kita akan selesai,” seakan-akan tahu apa yang bersarang dalam kepala Maziah, Rafik berkata lagi.

“ Ada kawan I yang bagi alamat rumah nenek ni pada I. Katanya nenek ni bagus dan pandai buat kerja ni. You jangan takut okay,” Rafik memujuk lagi. Andai disaat-saat akhir Maziah mematikan niatnya, parah juga dia nanti.

“ Semua yang buang dengan nenek ni selamat. Tak jadi apa-apa pun,” tambah lelaki itu lagi.

Maziah mematikan dirinya. Hanya menadahkan telinganya mendengar setiap butir bicara Rafik. Dia sudah tidak berdaya lagi untuk menolak, hanya berserah pada takdir.

Rafik memperlahankan keretanya dan kemudian membelok masuk melewati sebatang lorong yang gelap. Maziah ikut menoleh.

“ Rumah dia kat dalam ke?” ditemani dengan rasa cuak gadis itu bertanya. Kegalauan makin terserlah diwajahnya. Membayangkan saat-saat yang tidak boleh dia gambarkan memang menakutkan. Ngeri. Bulu roma disetiap inci tubuhnya mula meremang.

“ Ha ah.....dah tak jauh lagi. Masuk dalam sikit,” pedal minyak ditekan lagi. Kereta meluncur melalui jalan tanah merah. Bergoyang-goyang apabila merempuh segala lubang dan lekuk.

Akhirnya mereka tiba disebuah rumah kayu lama. Nampak usang seperti tidak berbela. Pokok-pokok besar mengelilingi sekitar kawasan rumah tersebut. Menambahkan lagi keseramannya. Lalang yang bergetar ditepi parit berbisik bila disapa angin malam. Rafik mengarahkan Maziah keluar.

“ Marilah tak kan nak tunggu sini lama-lama,” pintu dibuka dan dia sendiri keluar tanpa menunggu Maziah.

Rafik terus menghampiri pintu dan memberi salam. Tidak ada kedengaran suara yang menyahutnya dari dalam.

“ Dia tak ada kat rumah tak,” Maziah yang baru berdiri disebelah Rafik bersuara perlahan. Lebih pada berbisik. Rafik buat tidak endah. Terus memberi salam dengan suara yang sengaja dikuatkan.

Keriut dimuka tingkap memancing perhatian mereka berdua. Terjonggol kepala wanita tua yang sudah beruban. Kusut masai. Kulit mukanya juga sudah berkedut. Mencerunkan pandangannya pada Rafik dan Maziah. Mulutnya kelihatan terkumat-kamit.

“ Ini rumah nek Peah ke?” Rafik bertanya. Wajahnya dimaniskan.

“ Kamu ni sapa?” terketar-ketar suara nenek Peah.

“ Nenek tak kenal kami tapi kami datang ni ada hajat,” resah juga dia kalau perempuan tua itu banyak sangat bertanya. Apa yang dia mahu ialah urusannya membuang kandungan Maziah selesai dengan cepat. Tidak perlu lagi dia runsing-runsing memikirkannya.

Nenek Peah hilang dimuka tingkap. Terdengar bunyi tapak kakinya menginjak lantai kayu. Tidak lama kemudian pintu dibuka. Kini terserlah batang tubuh nenek Peah. Kecil saja orangnya. Sedikit bongkok namun masih kuat berdiri.

“ Naiklah,” pelawa perempuan itu sambil berlalu. Pantas Rafik menanggalkan kasut dan menarik Maziah naik keatas rumah.

Tidak ada apa-apa yang menariknya didalam rumah kayu lama itu. Perabut yang ada pun ala kadar. Kerusi rotan lama. Langsir sudah lusuh tanda sudah lama tidak berganti. Meskipun begitu hawa diruang tamu itu terasa sejuk. Rumah kampung memang begini, rumus Rafik didalam hati.

Cahaya dari mentol diruang tamu pula malap. Ada angin menerobos masuk melalui celahan kayu didinding. Seketika Maziah berpaling padanya. Rafik sekadar tersenyum dan memberi isyarat agar teman wanitanya itu tenteram.

“ Kamu duduk sini dulu,” arah nek Peah dan sejurus kemudian dia mengilang kedalam.

Segera Maziah memaut lengan Rafik. Wajahnya memucat kesan dari rasa takut.

“ Dah.....,” Rafik memujuk. “ Tak ada apa yang nak ditakutkan. Rilek.”

Maziah mengulum bibirnya. Tidak percaya dengan cakap-cakap Rafik. Bagaimana perasaannya boleh aman jika semua ini terpaksa dia hadapi sendiri. Dia yang akan menunggung semuanya, bukan Rafik.

“ Zee jangan takut. Lepas ni abang janji kita kahwin. Kalau problem ni selesai lega sikit kita,” bisik Rafik lagi. Maziah tidak jadi menyahut kerana derap tapak kaki nek Peah kedengaran semula.

“ Kamu ni dari mana? Macam mana kamu boleh sampai kesini,” soal nek Peah.Tajam matanya merenung kearah Rafik dan Maziah silih berganti.

Mahu tidak mahu terpaksa juga Rafik membuka mulutnya bercerita. Namun tidak semua diberitahu pada perempuan tua itu. Cukup sekadar maklumat ringkas saja. Nek Peah mengangguk.

“ Datang sini sebab dah ada isi?” soal wanita itu yang sememangnya sudah menduga dari awal lagi. Rafik tersengih serba-salah. Lalu dia menganggukkan kepalanya. Maziah terus erat menggengam tangan teman lelakinya itu.

Nek Peah menunduk dan tidak lama kemudian kepalanya terangguk-angguk lagi. Seakan-akan seperti sedang mendengar seseorang berbisik dicuping telinganya.

“ Hmmm.....hmm....,” itu saja yang keluar dari bibirnya yang kering.

“ Emmm.....aku tau,” akhirnya dia mendongak semula. Maziah makin seriau dengan tingkah laku perempuan tua itu. Mahu saja dia bangun dan pergi dari situ. Tanpa disedarinya tangannya meraba perutnya sendiri. Timbul pula rasa kasihan pada benih yang sedang membesar itu.

“ Tak apa. Aku boleh tolong kamu berdua. Tak ada masalah. Aku tau apa aku nak buat,” nek Peah meyeringai sebentar.Jelas giginya hanya tinggal tunggul-tunggul hitam saja. Tulang pipinya menonjol.

“ Dah ramai orang yang aku tolong. Tak ada masalah pun. Semuanya selamat,” akhirnya dia mengekeh ketawa. Kedengaran menyeramkan pada pendengaran Maziah. Terasa seperti satu ancaman pula.

“ Kenapa?” tiba-tiba dia menjegilkan biji matanya kearah Maziah. Makin kecut perut perempuan itu dibuatnya. “ Aku tak paksa. Kamu fikir masak-masak. Kalau kamu datang sini sebab nak mintak pertolongan. Ya.....aku bagi. Tapi kalau kamu rasa nak pergi aku jugak tak menghalang.”

Deras Rafik berkalih pada Maziah. “ You ni dah kenapa? Penat kita datang dari jauh. Alih-alih sampai ni you tak mahu,” keras lelaki itu berbisik. Kalau Maziah menolak dan ingin pergi, dia juga yang akan kalut nanti. Perut Maziah pula membesar dari hari ke hari. Mana boleh sorok-sorok? Orang lain akan tahu. Kalau itulah yang terjadi dia juga yang bakal mendapat balanya. Rafik mendesah.

“ I....I....”

“ Dah.....you tak payah nak susah-susah. I ada jaga you. Kali ini aje,” seperti biasa Rafik memujuk dengan janji-janji manisnya.

Maziah berpaling kearah nek Peah. Seperti tadi perempuan yang sudah beruban dikepala itu menunggu jawapan darinya. Maziah masih lagi merasa serba-salah dan serba tidak kena.

“ Dah....I ada sini. You jangan takut. Lagi pun nek Peah tau apa yang dia buat.”

“ Emmm.....kau jangan takutlah. Dah lama dah aku buat kerja ni. Aku taulah nak buat macam mana?” wanita itu seperti berang.

Rafik terus memujuk. Akhirnya Maziah akur juga. Nek Peah tersenyum simpul. Kemudian dia bangkit dari kerusi.

“ Dah.....ikut aku masuk bilik. Biar aku tengok dulu budak tu macam mana,” arahnya dengan suara keras. Lebih pada memerintah. Sejenak Maziah berkalih pada Rafik. Rafik angguk mengesa, menyuruh Maziah ikutkan saja segala arahan perempuan tua itu.

Maziah dibawa masuk kedalam sebuah bilik. Pintu ditutup rapat dan sebentar kemudian tiada apa-apa bunyi yang kedengaran. Rafik mengambil kesempatan untuk duduk sambil cuba menenangkan dirinya. Bohong sangat kalau dia sendiri tidak merasa cemas. Tidak terjangkau akan nasib yang bakal diterima oleh Maziah.

Nek Peah keluar dari kamar dan selang beberapa minit kemudian dia kembali dengan segelas air ditangan. Sempat dia menjeling kearah Rafik yang masih lagi tersandar dikerusi. Setelah bayangnya hilang pintu ditutup lagi.

Rafik memanjangkan kakinya yang tiba-tiba dirayap rasa lenguh. Matanya tepat dihalakan kearah siling rumah yang jelas berhabuk. Menurut perkiraannya rumah itu sudah lama tidak dibersihkan.

Dari jauh kedengaran lolongan anjing bersahut-sahutan. Bisikan lalang diluar juga kedengaran jelas. Mungkin diluar angin bertiup keras. Rafik mengigil kesejukan. Tiba-tiba hawa dingin menerpa ketubuhnya.

Rafik tersenntak apabila tiba-tiba lampu diruang tamu berkelip-kelip sendiri. Apa hal pulak ni, desis hati kecilnya. Lama dia mendongak. Mentol nak terbakar ke apa? Langsung dia menjadi tidak selesa dengan keadaan ruang tamu yang kejap terang dan kejap gelap itu. Terpingga-pingga jadinya.

Dalam keadaan mamai begitu Rafik sekali lagi terkejut. Matanya diarahkan pada salah satu sudut ruang tamu disitu. Serasanya dia seperti ternampak sesosok tubuh duduk diam membeku. Rafik membesarkan matanya. Ketika gelap sosok itu kelihatan samar-samar tetapi bila terang tiada apa-apa yang dilihat. Mimpi ke aku? Dia menyoal dirinya sendiri. Mujur keadaan itu tidak lama. Lampu menyala semula seperti tadi. Rafik menarik nafas lega.

Rafik berkalih pula pada bilik nek Peah. Masih seperti tadi.Tidak ada sebarang bunyi yang muncul. Sepi dan kaku. Apa yang dibuat lama-lama tu? Terlintas pula soalan itu didalam benaknya. Tak kan nak periksa perut pun ambil masa sebegini lama? Rafik mula rasa tidak puashati.

Dia bangun perlahan-lahan. Namun baru saja kakinya hendak melangkah tiba-tiba dimatikan. Ada hilai ketawa halus melintas dicuping telinga. Kepalanya dipusingkan kekiri dan kekanan. Mencari dari mana datang bunyi hilaian halus itu. Diamatinya dengan cermat. Ya! Memang tidak salah lagi.

Rafik berputar-putar lagi cuba mencari arah mana suara hilaian itu muncul. Pun begitu ada kejanggalan pada pendengarannya. Bunyi hilaian itu bukan milik perempuan melainkan milik seperti....Rafik membuntangkan sepasang matanya. Benarkah apa yang dia dengan? Suara ketawa halus itu tidak ubah seperti suara kanak-kanak. Tidak pula dia pasti jantina kanak-kanak yang empunya suara itu.

Anak siapa yang ketawa begitu rupa? Anak nek Peah? Cepat-cepat dia menepis andaian yang wujud dalam kepalanya. Tidak mungkin anak nek Peah. Wanita itu sudah terlalu tua itu memiliki anak. Paling tidak pun mungkin cucunya? Ya.....itu barangkali memang tepat. Rafik memanjangkan lehernya. Mungkin suara itu datang dari arah bilik atau pun bahagian dapur?

Tidak mungkin. Suara itu kedengaran terlalu hampir. Seolah-olah berada disekitarnya saja.

“ Siapa tu?” dia menegur takut-takut.

Tidak ada jawapan melainkan ketawa itu terus bergema.

“ Adik?” nadanya kedengaran memanggil memujuk. Tidak ada balasan. Ketawa itu sepi tidak lama kemudian. Rafik menghela nafasnya dengan panjang.

Matanya diarahkan pada kamar yang dimasuki oleh Maziah dan nek Peah tadi. Bilik yang bertutup itu masih lagi sepi. Rafik resah sendiri. Lalu dia menapak perlahan-lahan. Berhati-hati kerana tidak mahu bunyi keriut dilantai papan menarik perhatian kedua wanita didalam bilik tersebut.

Sejenak dia berdiri kaku didepan pintu. Telinganya dipicingkan dengan teliti. Beberapa detik kemudian dia terdengar sesuatu. Suara seperti orang merungut. Terlalu perlahan. Rafik diusap curiga. Dadanya tiba-tiba berdebar-debar.

“ Makanlah.....makanlah puas-puas,” disusuli dengan suara nek Peah ketawa.

Apa yang dibuatnya? Rafik terdiam lagi. Makan apa? Maziah diberi makan apa? Jamu barangkali? Untuk menghilangkan kesakitan yang bakal dirasai?

Namun ketawa yang muncul dari balik dinding membuatkan Rafik diancam dengan perasaannya sendiri. Pemuda itu mula diasak dengan rasa tidak sedap hati.

“ Makanlah puas-puas. Bukan selalu kau orang dapat makan macam ni,” ketawa dari nek Peah membuatkan bulu roma Rafik meremang dengan tiba-tiba.

Rafik mula merayap didinding cuba mencari lubang jika ada. Berhajat benar dia mahu mengintai apa yang berlaku didalam sana.

Ada celahan dinding agak renggang kedudukannya. Ini peluang, fikir anak muda itu. Lalu dia melekatkan sebelah matanya pada celahan dinding tersebut.

Alangkah terkejutnya dia apabila melihat Maziah terbaring diatas lantai dalam keadaan tidak sedarkan diri. Bukan setakat itu saja malahan kelihataan perutnya terburai dan segala isinya terhambur keluar. Lebih mengejutkan lagi dia melihat nek Peah duduk bersila tidak jauh dari jasad Maziah. Rafik tidak mampu bersuara apabila turut melihat sekumpulan kanak-kanak berusia lingkungan dua hingga empat tahun mengerumuni mayat Maziah. Tangan masing-masing menyeluk rakus kedalam celahan luka diperut gadis malang itu. Kemudian segala organ dan isi perut dimamah dan dikunyah sebelum ditelan. Darah pekat membasahi sekitar mayat gadis itu.

Bila diamati lagi dia sedar yang kumpulan kanak-kanak itu bukanlah seperti kanak-kanak biasa. Masing-masing berwajah pucat. Matanya juga terpersuk agak kedalam. Taring menjulur keluar tatkala membuka mulut. Bunyi isi perut diratah beramai-ramai jelas ditelinganya. Berdecit-decit. Rafik ngeri untuk terus menatapnya.

Namun belum pun sempat dia bertindak sedar-sedar salah seorang dari kanak-kanak puaka itu mendongak dan memerhatikan tepat kearahnya. Rafik kaget. Nek Peah juga perlahan-lahan menoleh dan kemudian membuahkan senyum sinisnya.

“ Kau dah tau?” sela nek Peah dengan rambutnya yang mengerbang. Biji matanya seakan-akan ingin terjojol keluar.

Rafik duduk tersandar dilantai. Mukanya pucat lesi. Takutnya bukan kepalang lagi. Rafik bangun dengan serta-merta. Dia mahu meninggalkan rumah puaka ini sebelum nyawanya sendiri terkorban.

Pintu diterpa dan cuba dibuka. Namun seperti ada tangan ghaib yang menghalang, pintu kayu buruk itu tidak mampu dibukanya. Berkali-kali Rafik mencuba namun hasilnya tetap sama. Kemudian dia berkalih ketingkap pula. Kejadian yang sama turut sama berlaku. Haram sedikit pun daun tingkap tidak mampu direnggangkan apatahlagi untuk dibuka. Rafik yang cemas mula menghentak tingkap dengan tangannya. Kuat dan bertalu-talu.

“ Tolong wei! Tolong aku!” dia berharap agar jeritannya dapat didengari walau siapa pun yang ada diluar sana.

“ Tolong aku wei!!” Rafik sudah berpeluh sendiri. Tidak lagi menghiraukan akan kesakitan ditangan akibat menghentak tingkap terlalu kuat.

Rafik terhenti apabila suara hilai ketawa kedengaran dari arah belakangnya. Dia menoleh perlahan-lahan dan mendapati nek Peah sudah pun berdiri diruang tamu. Disekelilingnya kelihatan kanak-kanak berwajah pucat turut sama merenung tajam kearahnya. Ada kesan sisa darah meleleh dibibir dan taring mereka.

Nek Peah ketawa halus “ Ada jamuan besar untuk kau orang malam ni.Makanlah. makanlah sepuas-puasnya,” dan serentak dengan itu sejumlah kanak-kanak tadi berlari menerpa kearah Rafik. Pemuda malang yang tidak bersedia itu tidak lagi mampu mengelak.

Kanak-kanak terus menerkam kearah kaki, tangan dan tubuh Rafik lalu dikokangnya dengan lahap. Ketika malam makin larut kedengaran jeritan lantang Rafik hingga kepuncak suara sebelum menghilang bersama embun jantan yang turun ketanah.

TAMAT

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.