Home Cerpen Seram/Misteri kisah seram malam jumaat- mangsa
kisah seram malam jumaat- mangsa
21/7/2016 09:55:55
3,473
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

Kluck!

Kunci dibuka dan serentak dengan itu tangannya memulas tombol pintu. Sempat dia mengibas wajahnya yang terasa membahang. Panasnya sejak kebelakangan ini menjadi-jadi.

“ Huh! Ada lagi engkau kat sini!”

Anis menoleh kearah suara yang muncul. Matanya disepetkan dan wajahnya yang lesu tadi bertukar menjadi geram. Bibirnya terherot menahan marah.

“ Ingatkan kau dan keluar dari sini,” telinganya mendengar akan cecehan itu biar pun sipenutur itu menutur kata-katanya dengan perlahan. Aku belum pekak lagilah! Seranahnya didalam hati.

Anis masuk kedalam tanpa mengendahkan akan jirannya yang seorang itu. Pun begitu hatinya mula terbakar dek rasa tidak puashati.

Apa kena dengan perempuan tua sebelah rumah ni? Sejak aku duduk menyewa disini macam-macam kelaku yang dia buatnya. Memang dia tak suka aku menumpang disini ke? Sambil menonong berjalan kebilik dia bermonolog.

Beg pakaiannya diletakkan diatas katil dengan kasar. Lantas dia memetik suis dan menghidupkan kipas angin. Kolar bajunya dikibas-kibas dengan tangan. Angin dari kipas mampu menyejukkan tubuhnya tapi tidak hatinya. Masih mendidih seperti tadi. Apa malang nasibnya hari ini. Sampai-sampai saja dirumah sudah tersua dengan jiran sebelahnya itu.

Dia memanggilnya dengan panggilan nek Esah. Semua tetangga disitu memanggilnya dengan nama itu. Pelik dengan tetangga yang lain nek Esah tidak buat fiil. Hanya dengan dia seorang saja. Memang dari mula lagi dia menyewa disitu dia sudah dapat menangkap yang nek Esah tidak gemar dengan kehadirannya disitu. Kenapa?

Usia nek Esah pun bukannya muda lagi. Hampir mencecah 70 tahun. Tapi perangai mengalahkan setan. Pandangannya tajam dan mencurigakan. Yang dia tidak faham kenapa nek Esah seolah-olah berhajat sangat hendak memusuhi dia? Apa dosa dia pada perempuan tua itu? Tidak pula dia merasakan yang dia ada buat sesuatu yang boleh menyinggung perasaan dan hati nek Esah. Bukannya dia ada bawa jantan balik rumah? Dia sendiri pun masih belum berpunya. Hendak kata dia gadis liar pun tidak. Apa salah aku sampai semua yang aku buat serba tak kena pada pandangan mata dia? Runsing juga Anis memikirkannya. Sudahlan dia penat kerana baru balik dari out station, ini ditambah lagi dengan ragam nek Esah. Boleh kena darah tinggi aku kalau duduk lama-lama dirumah pangsa ini, rumus Anis didalam hatinya.

Bukan sekali dua kata-kata nek Esah bagaikan menghalau dia keluar dari rumah sewanya itu. Pendek kata setiap kali mereka terserempak. Gila agaknya perempuan tua itu? Aku bayar sewa apa hak kau nak halau aku? Hatinya membantah. Mukanya makin mencuka. Bukannya aku ada pakai duit kau satu sen pun! Bibirnya diketap lagi.

Sebentar kemudian Anis bangkit dan keluar dari kamar. Menuju ke dapur. Terus dia membuka peti sejuk. Matanya melilau sebentar. Barang-barang untuk dimasak sudah habis. Petang nanti biar aku keluar beli barang basah sikit, cadang hatinya. Botol air putih dicapai lalu dituang kedalam gelas. Dalam sekelip mata saja habis diteguknya dengan tidak bersisa.

*****

Petang itu apabila dia mahu keluar untuk membeli keperluan sekali lagi dia terserempak dengan nek Esah. Eh! Tak ada orang lain lagi ke dalam dunia ni, balik-balik muka dia,balik-balik muka dia sumpah Anis.

Nek Esah yang sedang mengangkat jemuran diluar menoleh dengan muka masam. “ Elok kau keluar aje dari sini. Aku tak suka,” omelnya dengan wajah tegang. Anis terhenti melangkah. Lama dia merenung perempuan yang sudah berkedut itu dengan hati yang membuak. Tangannya sudah dicekak kepinggang.

“ Apa masalah nenek ni?” mencerlang matanya menatap nek Esah.

“ Kau jangan banyak tanya. Keluar. Aku tak suka,” nek Esah tetap berdegil. Matanya tidak mahu memandang Anis.

“ Apa pasal nenek benci sangat dengan saya ni?” Anis makin tidak puashati. Kesabarannya menipis. “ Saya ada sakitkan hati nenek ke? Ada susahkan nenek ke? Ada mintak makan dengan nenek ke? Saya pedajal apa kat nenek?” serang Anis lagi. Nek Esah pula menunduk seolah cemas. Cepat-cepat dia mengangkat baki jemurannya.

“ Kau keluar! Aku tak suka kau duduk sini!” biar pun nek Esah berkata perlahan namun bunyinya tegas. Anis turut melihat mulut wanita tua itu terkumat-kamit seperti berkata sesuatu sebelum dia masuk kedalam rumah. Pintu dihempas dengan kuat. Sah perempuan kerepot ni dah gila maki Anis didalam hatinya.

Ketika Anis beredar nek Esah mengintai disebalik tingkap hingga bayang gadis itu hilang dimatanya. Perasaannya berkocak didada. Jauh dilubuk hatinya dia mesti melakukan sesuatu. Dia tidak boleh tahan lagi. Kehadiran Anis perlu diberekan secepat mungkin. Waktu yang ada dirasakan semakin pendek dan suntuk.

*****

Setibanya dia dipasaraya Anis bergegas menuju kearah barang-barang basah. Sebuah troli dicapai dan disorongnya. Melilau matanya melihat akan barang-barang yang ada dijual disitu. Daging, ikan dan segala keperluan lain mula memenuhi troli. Sesekali sempat juga dia memandang kearah pelanggan lain yang turut berada disitu.

Tidak semena-mena matanya tertumpu pada kelibat seseorang yang dia kenali. Ada sesuatu menganjal dilubuk hatinya. Lalu dia segera menolak troli yang sudah sarat dengan kearah wanita yang berada dihujung pasaraya. Wanita itu kelihatan leka membelek sesuatu.

Anis menghulurkan salam membuatkan wanita berbaju kurung biru tadi tersentak. Kemudian cepat-cepat wanita itu tersenyum. Wajahnya yang tercenggang tadi bertukar menjadi ramah dalam sekelip mata.

“ Anis? Apa buat kat sini?” tegur wanita itu. Sebuah bakul terkepit ditangannya.

“ Beli barang dapur sikit Kak Tijah. Kak Tijah beli apa ni?” soal Anis dengan senyum yang merekah dibibirnya.

“ Beli barang dapur sikit. Cadangnya nak masak untuk esok,” wanita yang dipanggil Kak Tijah membalas, mesra.

Anis terdiam untuk seketika. Romannya juga tampak berubah. Dadanya berombak kencang dengan tiba-tiba. Wajah dan susuk tubuh nek Esah melintasi ruang fikirannya.

“ Kak Tijah,” lembut Anis menyeru. Kak Tijah yang leka membelek kembali menantap wajahnya.

“ Ada apa Anis? Ada yang tak kena ke dengan rumah sewa Kak Tijah tu? Kalau ada yang kurang, bocor ke atau pintu tanggal ke, bagitau dengan akak. Nanti akak boleh hantarkan orang untuk repair,” tergesa-gesa kak Tijah selaku tuan rumah menawarkan bantuannya. Mana mungkin dia lepas tangan. Hati penyewa hendak juga dijaga. Setiap orang yang menyewa rumahnya akan dijaga sebaik mungkin.

Anis menggeleng ligat. “ Bukan pasal rumah tu kak Tijah. Rumah tu okay. Saya pun selesa tinggal situ. Untunglah sewa pun tak mahal,” dihujung kata-katanya dia menghamburkan ketawa halus.

“ Habis tu?” terjungkit kening kak Tijah.

“ Errr.....kalau Anis tanya kak Tijah jangan marah ye. Bukan pasal kak Tijah tapi......pasal jiran sebelah rumah tu.”

Kak Tijah terpancing dengan kata-kata Anis.

“ Maksud Anis.....nek Esah?” lambat-lambat kak Tijah menyebut nama perempuan tua itu.

Laju Anis mengangguk. Macam tahu-tahu pula kak Tijah apa yang dirunsingkan saat itu.

Kak Tijah mengeluh dan menundukkan kepalanya. “ Kali ni apa yang dia buat pada Anis?”

Anis terpempan. Dari bunyi kata-kata kak Tijah dia merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan nek Esah. ‘Kali ini’. Apa maksudnya? Mungkin sebelum ini ada orang lain yang turut sama terkena seperti dirinya?

“ Apa maksud kak Tijah?” Anis mahu tahu.

Kak Tijah berjalan meninggalkan ruangan sayur-sayuran. Anis mengekori dengan setia. Dia perlu tahu tentang nek Esah. Mesti! Pada jangkaannya memang ada yang tidak kena dengan perempuan kerepot itu. Apatahlagi setelah mendengar kata-kata kak Tijah tadi.

“ Apa dia dah buat dengan Anis, cuba bagitau kakak,” soal Kak Tijah menoleh sekilas.

“ Dia macam tak suka bila Anis duduk rumah tu. Dari cakapnya dia macam menghalau Anis keluar. Tak tahu apa puncanya. Ani tak rasa Anis ada buat salah atau kelaku dengan dia. Pelik jugak bila dia marah-marah. Sejak dari pertama kali berjumpa dulu. Lepas tu tenung orang macam nak makan. Peliklah perangai dia,” adu Anis panjang lebar.

Terdengar kak Tijah mengeluh. “ Bukan Anis sorang je yang kena macam tu. Boleh dikatakan hampir semua penyewa dirumah akak tu pernah kena benda yang sama.”

Anis terkejut. Dadanya berdebar-debar.

“ Dia memang tak suka dengan semua orang. Kalau boleh dia nak halau semua orang yang duduk menyewa disitu. Kalau boleh dia tak nak.....,” Kak Tijah tidak jadi hendak menyambung kata-katanya. Ada sesuatu yang menganggu mindanya.

“ Dia tak nak apa kak?” Anis cuba mencungkil rahsia.

“ Serba salah akak nak cakap dengan Anis tapi.....,” kalimat itu menjadikan Anis semakin terdera perasaannya. “ Kalau akak tak bagitau macam akak bersubahat pulak,” sambung wanita itu dengan air muka kesal.

Spontan Anis memegang lengan kak Tijah. “ Akak cakap apa ni? Subahat apa pulak ni?” terkam Anis cuak. Kak Tijah berhenti melangkah dan berpaling kearah Anis. “ Nek Esah ada simpan rahsia ke kak Tijah?” dengan tidak bertangguh Anis bertanya. Rasa tidak sedap hati menguasai dirinya. Dengan air muka kesal kak Tijah akhirnya menganggukkan kepalanya. Anis tergamam.

“ Rahsia apa?” bulat matanya menikam wajah kak Tijah.

“ Dia ada ‘membela’.”

Anis kaku. Seluruh tubuhnya dirasakan lumpuh.

“ Anis kena hati-hati dengan perempuan tua tu. Dia boleh buat apa aje yang dia suka. Belaan dia tu katanya ganas dan menakutkan,” tambah kak Tijah perlahan. Anak matanya liar mengitari kawasan sekitar. Bimbang jika ada telinga lain yang turut mendengar ucapannya. “ Ramai jugak yang dah jumpa dengan belaannya tu,” kak Tijah terus mengingatkan Anis.

“ Habis tu.....apa Anis nak buat ni kak?” muka gadis itu sudah separuh pucat. Serasanya dia tidak sanggup hendak berhadapan dengan nek Esah lagi selepas ini.

“ Anis tak payah risau. Yang penting Anis jangan layan perempuan gila tu. Buat tak tau aje. Jangan layan cakap dia. Kalau Anis tak layan dia tak akan ganggu Anis,” pesan kak Tijah yang merasa simpati dengan Anis.

“ Hish.....rasa macam nak cari rumah sewa lain aje kak,” keluh Anis muram.

“ Anis nak pindah mana lagi? Sekarang bukan senang nak dapat rumah murah macam rumah akak tu. Tak apa......ikut cakap akak. Jangan dilayan nek Esah tu. Buat bodoh aje.”

Anis akhirnya akur. Apa pilihan yang dia ada?

Usai berbelanja Anis pulang dengan rasa tidak sedap hati.Tidak henti-henti wajah nek Esah menganggu fikirannya. Toleh kiri nampak muka perempuan itu. Toleh kekanan wajah itu tetap mengejarnya.

Ketika membuka pintu rumah sewanya nek Esah muncul mahu keluar. Sempat mereka berbalas pandangan. Cepat-cepat Anis meloloskan dirinnya masuk kedalam. Sempat dia melihat mulut nek Esah terkumat-kamit seperti membaca sesuatu. Bulu romanya mendadak berdiri. Seriau. Pintu ditutup lalu dikunci dari dalam. Tidak pernah dia merasa secemas ini. Ingatan dari kak Tijah terngiang-ngiang ditelinganya. Nek Esah itu ada membela. Jangan layan. Tengkuknya diraba dengan tangan. Berbelit-belit mindanya mencari jalan untuk menghindarkan diri dari terus bertentang mata dengan perempuan tua tersebut.

Malam itu Anis tidak dapat melelapkan matanya. Biar pun tubuhnya lesu kerana siang tadi baru pulang dari out station namun keletihan yang dirasainya tidak mampu membuat dia lena lebih awal dari biasa.

Anis berpusing kekiri mengadap dinding. Cuba memejamkan matanya. Namun telinganya awas mendengar setiap bunyi yang muncul. Selimut dilurutkan hingga kepinggang. Tangannya diletakkan dikepala. Cuba memancing mimpi indah. Meskipun begitu sesekali wajah nek Esah muncul menghantuinya. Anis mendesah. Tubuhnya mula terasa hangat biar pun angin dari kipas kecil diatas meja dibuka dengan kelajuan maksima.

Bilik tidurnya hanya diterangi dengan cahaya malap dari lampu tidur. Pintu sudah ditutup rapat. Kebiasaannya dia hanya membuka lampu diruang tamu saja sepanjang malam.

Anis berkalih pula kekanan. Merenung kearah suasana kamarnya yang nampak suram. Dengung bunyi kipas berputar mencuit hujung telinganya.

Sedang dia ralit terdengar bunyi sesuatu diseret. Mulanya perlahan namun lama-kelamaan ianya menjadi jelas. Anis membuka matanya dengan lebar. Liar mencari dari mana bunyi itu muncul. Pendengarannya ditajamkan lagi.

Tidak lama kemudian dia mendengar seperti ada kaki memijak konkrit simen. Anis memanggungkan kepalanya. Merenung pintu kamar. Macam ada bunyi orang berjalan tapi siapa? Ada penceroboh masuk kedalam rumah ke? Dadanya mula berdebar.

Bingkas dia bangun dan menerpa kearah pintu. Dikuncinya dari dalam. Biar siapa pun yang ada didalam rumah itu dia hanya mahu berkurung didalam bilik. Kau nak ambil apa, ambillah. Jangan ganggu aku, hatinya meraung sendiri.

Anis kembali dan berselubung dibalik selimutnya. Mengintai dari dalam selimut kearah pintu kamar. Kembali keadaan menjadi sepi semula. Lama dia menunggu tidak ada lagi bunyi lain yang menyusul. Lalu matanya kembali menjadi berat.

Tanpa disedarinya sesusuk tubuh melekat disiling kamar sambil memerhatikan kearah Anis. Biji matanya merah bagaikan saga. Mulutnya yang berlendir dibuka dan ditutup beberapakali. Menampakkan barisan giginya yang tajam dan runcing. Perlahan-lahan ia merangkak hingga betul-betul bersetentangan dengan Anis. Mulutnya menyeringai tersenyum.

Rambutnya yang panjang terjuntai kebawah. Menyembunyikan separuh dari wajahnya yang mengerikan itu. Beberapa saat kemudian terdengar bunyi ketawa halus lewat memenuhi ruang kamar. Susuk tubuh tadi masih melekat tidak bergerak. Rambutnya yang hitam berkilat itu kelihatan makin panjang dan turun kebawah. Ianya seolah-olah hidup! Rambut itu terus bergerak seperti jari-jemari yang sedang mencari sesuatu.

Juntaian rambut tadi mula menghampiri kepala Anis.Gadis itu masih lagi lena. Helaian rambut itu mula menyusup kecelah belakang tengkuk Anis dan kemudian muncul dan mula membelit leher jinjang gadis itu.

Anis yang merasa sesuatu mula membuka mata. Lehernya dirasakan dirayap sesuatu. Pantas dia menepis. Terkejut apa bila tangan merasai ada helaian rambut lebat dilehernya. Dia segera bangun dan cuba melepaskan jerutan rambut tersebut. Bagaikan ular sawa semakin dia cuba melepaskan diri semakin kuat pula rambut itu menjerut. Mukanya bertukar menjadi pucat. Anis berusaha menarik rambut dilehernya. Dalam keadaan seperti itu sukar untuk dia bernafas. Apatahlagi untuk menjerit.

“ Arggh.....arggh....argghh......”

Kepala dan badan Anis mula teranngkat sedikit demi sedikit.Juntaian rambut yang sudah kuat melilit lehernya mula menarik gadis itu keatas. Anis kian kuat rontaannya. Mukanya dari pucat sudah mula bertukar menjadi biru. Nafasnya kedengaran tersangkut-sangkut. Tenaganya juga kian lemah. Yang mampu dilakukan hanyalah memegang rambut yang sudah menjadi tali gantung dilehernya. Serentak itu dia terdengar bunyi hilaian halus.

Tubuh Anis terangkat makin tinggi dan akhirnya sepasang kakinya tidak lekat langsung diatas tilam. Rambut hitam itu terus menarik Anis keatas. Dengan sisa tenaga yang ada Anis tetap meronta biarpun ianya semakin lemah. Pandangan matanya mula berpinar-pinar.

“Argghh....argggh....argggh......” jerutan dilehernya makin kuat dan sekaligus menyekat dari gadis itu untuk bernafas. Anis sempat mendongak dan memerhatikan kearah wajah puaka disiling. Menyeringai kepuasan sambil lendir berbau busuk menitis kebawah. Dalam beberapa saat kemudian Anis terputus nafasnya. Dadanya tidak lagi berombak seperti tadi.

Tubuh yang tidak bernyawa itu diangkat lagi sehingga kepala Anis rapat pada kepala jembalang disiling. Perlahan-lahan mulut lembaga itu bertemu dengan mulut Anis yang sedia ternganga. Langsung pipi mahluk itu bergerak seolah-olah sedang menyedut sesuatu dengan kuat dan lahap.

*****

Seminggu kemudian mayat Anis yang mula membusuk ditemui didalam kamarnya. Nek Esah sudah menjangkakannya. Dengan bau busuk dari hari ke hari yang makin kuat wanita tua itu tahu ada sesuatu berlaku. Tidak ada kata-kata yang terucap dibibirnya. Semua itu ditelannya dan disembunyikan dari pengetahuan orang lain. Biar pun dari anak dan cucunya.

*****

Dua minggu kemudian kak Tijah muncul dirumah sewanya untuk meletakkan papan tanda kecil dipintu rumah. RUMAH UNTUK DISEWA. Nek Esah yang kebetulan sedang mengangkat jemuran menemuinya.

“ Jah,” serunya pendek. Berat dia memandang kak Tijah.

“ Ada apa Esah,” balas Kak Tijah selamba.

“ Elok kau hentikan semua ni Jah,” nek Esah membuka mulutnya. Kak Tijah menoleh dan merenung tajam kearah wanita yang sudah berkedut seribu itu.

“ Sampai bila kejadian macam ni akan berlaku lagi?” nek Esah resah.

Kak Tijah mengeluh.

“ Hey perempuan,” kak Tijah bergumam dengan suara yang keras. “ Kau jangan nak masuk campur dalam urusan aku. Selagi aku tak kacau kau dan keluarga engkau, baik engkau jauhkan diri,” mencerlang matanya memandang nek Esah.

“ Tapi aku dah tak tahan lagi. Berapa ramai lagi mangsa yang kau nak bunuh sebelum kau berhenti? Hentikanlah kerja terkutuk kau ni Jah kita.....”

Kak Tijah menoleh. “ Aku bagi amaran pada kau Esah,” serta-merta senyum dibibir kak Tijah mati. “ Kau jangan nak pandai-pandai masuk campur dalam urusan aku. Baik kau fikirkan nyawa engkau dan keluarga engkau. Itu pun kalau kau nak selamat. Lainlah kalau kau rasa kau dah puas hidup atas dunia ni,” kak Tijah sambung semula senyumannya.

“ Jangan macam ni Jah. Jangan bersekutu dengan syaitan. Berdosa Jah. Syirik semua tu. Sebelum terlambat elok kau.....”

“ Kau tutup mulut engkau Esah!” kak Tijah menekan suaranya kedalam. “ Kalau rahsia aku ni terbongkar, engkau aku cari dulu, faham!”

Nek Esah terkedu dan takut. Kepalanya ditundukkan kebawah. Dengan riak wajah sombong dan bongkak kak Tijah meninggalkan nek Esah. Dia hanya perlu menunggu penyewa baru untuk dijadikan mangsanya. Tidak lama.....dengan sewaan yang murah dia pasti akan mendapatkan mangsa barunya. Bibir kak Tijah mengorak senyum. Senyum yang amat menakutkan. Dia tahu nek Esah tidak akan berani membuka mulut untuk mengingatkan mangsanya.

TAMAT

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.