Home Cerpen Seram/Misteri TEKSI TERAKHIR
TEKSI TERAKHIR
27/7/2016 07:15:54
3,919
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

Sam memandang kearah beg sandangnya diatas katil. Matanya terkebil-kebil sambil otaknya terus berfikir. Hujung ibu jari diletakkan dibibirnya. Dahinya juga berkerut seribu. Ada lagi ke barang yang tinggal? Tidak henti-henti benaknya diasak dengan soalan yang sama. Baju, seluar, peralatan mandian semua itu berputar-putar memenuhi tempurung kepalanya. Takut ada yang tertinggal.

Cuti semesta ini dia akan berkunjung ke rumah salah seorang sahabatnya dikolej. Sudah lama dia merancangan percutian ini. Lebih-lebih setelah habis menduduki peperiksaan dia memerlukan sesuatu yang tenang dan damai.

Sam adalah anak muda yang dibesarkan ditengah-tengah hiruk-pikuk kota sejak dari kecil lagi. Hutan batu ini sudah muak dipandang. Bosan. Baginya tidak ada yang menarik perhatiannya dikota besar seperti Kuala Lumpur. Biar pun orang lain mungkin berlumba-lumba mahu menjadi penguni kota, namun tidak padanya. Dalam erti kata yang lain dia sudah jelak. Hari-hari terpaksa menghadam benda yang sama. Sibuk sepanjang masa. Telinganya sudah pekak dengan segala bunyi yang ada dikota ini. Dia ingin lari.

Dia mahu sesuatu yang baru dan segar. Sesuatu yang jarang dia kecapi. Tentu saja keindahan kampung menjadi impiannya. Sejak kebelakangan ini suasana tenang kampung sering mengamit hati dan perasaannya. Dia sendiri tidak tahu bagaimana merasa hidup ditengah-tengah kampung. Dia terlalu ingin merasainya.

Lantas hasratnya itu diluahkan pada teman sebiliknya, Nizam. “ Cuti ni aku nak ikut kau balik kampung.”

Nizam terkejut. Berkerut dahinya menatap wajah bujur sirih Sam. Anak muda berambut panjang mencecah bahu itu sekadar tersengih dibirai katil.

“ Habis exam aku nak kesana,” sambung Sam lagi.

“ Kenapa kau nak balik kampung aku? Family kau tak makan angin ke, ke luar negeri,” setahu Nizam, Sam lahir dari keluarga yang berada. Setiap kali hendak bercuti pasti mencari destinasi luar negara. Bukan seperti keluarganya yang kais pagi makam pagi dan kais petang makan petang. Hendak menghantarnya dulu belajar ke kolej pun sampai bergolok bergadai.

“ Alah aku saja nak tengok kampung. Nak rasa jadi orang kampung,” Sam tersengih lagi sambil menyandarkan badannya kekepala katil. Bantal dicapai menjadi alas kepala.

Sekilas Nizam yang sedang menyangkut baju dialmari menoleh. “ Lain macam pulak kau kali ni Sam. Selalu ikut family kau makan angin. Ni apa hal pulak kau sampai buang tabiat nak duduk kampung. Kampung aku tu apa yang ada?” sela Nizam dengan suara yang mendatar.

“ Aku tak pernah duduk dekat kampung. Aku sejak dari kecik lagi memang dibesarkan di KL ni. Atuk dan nenek aku pun asal orang KL. Aku dah jemulah asyik duduk kat sini.”

“ Family kau tak bawak kau pergi bercuti ke kali ni?” Nizam bertanya. Punggungnya dilabuhkan dibirai katil Sam.

“ Dia orang ada cadangan nak ke europe tapi aku saja malas nak ikut. Dah jelak,” balas Sam seperti tidak berminat. Nizam tersengih. Kalau dialah yang diberi peluang memang dia tidak akan melepaskannya. Bila lagi hendak melihat negeri orang? Tapi dia sedar dia bukan anak orang kaya. Ayahnya pun hanya kerja kampung saja. Bukan kata hendak makan angin, hendak makan nasi hari-hari pun belum tentu mewah.

“ Pelik pulak aku tengok fiil kau Sam,” ujar Nizam. Sesaat telaga mata mereka bertemu. Sam menguncikan mulutnya.

“ Apa yang menariknya kampung aku tu.”

“ Aku cuma nak rasa macam mana jadi orang kampung. Salah ke?” soal Sam. Masih dengan pendiriannya.

Nizam tersengih seraya menggelengkan kepalanya. “ Salah tu tidak la tapi.....iyelah kalau kau dah cakap macam tu. Nanti jangan kau bosan pulak sudahlah. Terus-terang aku cakap yang kampung aku tu memang tak ada apa-apa,” awal-awal lagi Nizam sudah memberi ingatan pada teman sebiliknya itu.

“ Tu kau jangan khuatirlah Zam. Aku tak kan nak komplen apa-apa pulak,” sahut Sam dengan senang hati.

“ Tapi aku kena balik rumah dulu nak uruskan hal lain sebelum bertolak,” ucap Sam tidak lama kemudian.

Nizam deras berpaling. “ Maksud engkau?”

“ Aku mungkin lewat dalam dua tiga hari. Nanti kau kasilah alamat kampung engkau. Biar aku pergi sendiri. Adventure sikit,” Sam ketawa halus.

Nizam kemudiannya menganggukkan kepalanya. “ Sukahati engkaulah Sam. Nanti aku bagi alamat engkau. Kalau engkau sesat nasib engkaulah.”

“ Susah sangat ke nak cari kampung engkau Zam?” perli Sam. Macamlah dia boleh sesat.

“ Susah tu taklah tapi memang jauh sikit dari bandar.”

Sam termenung sebentar. Kemudian dia memandang lagi kearah Nizam. “ Apa? Kampung kau ni dalam hutan ke?”

“ Mana ada,” bantah Nizam. Sam ketawa makin kuat.

“ Satu lagi sebelum aku terlupa. Kalau boleh jangan lewat sangat sampai kampung aku,” ucap Nizam sambil menepuk kepala lutut sahabatnya itu.

“ Yelah aku tak kan lewat.”

“ Ingat pesan aku tu,” pesan Nizam sekali lagi.

Sam hanya mengangguk. Bosan pula diingatkan begitu. Macamlah dia budak kecil yang perlu diawasi selalu.

Seperti ditampar sesuatu Sam tersedar dari lamunannya. Bergegas dia memeriksa segala keperluannya dikampung Nizam nanti. Tidak mahu ada yang tertinggal. Memikirkan mungkin antara rumah Nizam jauh dengan kedai membuatkan dia lebih berhati-hati. Tidak mahu percutiannya nanti menjadi sulit hanya kerana perkara-perkara kecil dan remeh.

Setelah memastikan semuanya ada dan lengkap Sam mencapai beg galasnya dan keluar dari dalam bilik.

Ditangga dia ditegur oleh ibunya yang kebetulan baru keluar dari dalam kamarnya tidurnya.

“ Dah siap dah?”

Sam angguk sambil menyeringai mengalas beg besar itu dibahunya.

“ Betul ke kali ni tak mahu ikut mama pergi holiday,” soal ibunya lagi. Sengaja dia mahu mematahkan niat anaknya itu untuk bercuti dikampung. Entah apa yang menariknya tentang kampung dia tidak pasti. Sudah ada kemudahan dan kesenangan kenapa mesti menyusahkan diri untuk kesana pula. Dengan nyamuknya, pacat dan agas malam. Rimas dan risau.

“ Betul ma. Sam nak holiday dikampung pulak. Lagi pun sejak dari kecil duduk terperap di KL ni. Elok jugak kalau Sam beralih angin. Kalau tak sekarang bila lagi? Kalau dah kerja tentu dah susah nak berjalan,” itu alasan yang terbit dari bibirnya. Kali ini ibunya tidak mampu membantah lagi. Pilihan sudah dibuat dan Sam nyata tekad dengan keputusannya. Tidak guna lagi andai dia memujuk. Membazir air liur saja, bisik hati datin Fiza.

“ Nanti mak panggilkan pak Abu. Suruh dia hantar Sam ke bus station. Naik dari mana ni TBS ke atau Pudu?” datin Fiza menoleh kearah anak bujangnya.

“Pudu aje mak. Arah utara memang naik ikut situ,” sahut Sam sambil tersengih. Menyerlahkan lagi lesung pipit dikedua pipinya.

“ Hati-hati bila disana nanti Sam. Jangan buat kelaku yang tak senonoh. Itu kampung, bukannya bandar besar macam tempat kita ni. Lain sikit budaya orang sana,” pesan datin Fiza dengan hati yang dipaut bimbang.

Pertama kali melepaskan anak bujang bercuti dikampung. Ada sesuatu menganjal dilubuk hati. Tidak pula dia tahu kenapa. Kurang enak. Kalu boleh memang dia tidak mahu melepaskan anaknya pergi sendiri.

“ Alah mama ni. Macamlah Sam nak berkampung kat kampung afrika sana. Orang kampung dah moden mama. Bukan macam zaman mama dan papa,” bantah Sam.Tersengih lagi. Datin Fiza mempamerkan wajah cemberut. “ Bukannya jauh mana pun. Masih dalam Malaysia lagi,” Sam berseloroh.

Bertemankan pak Abu selaku pemandu keluarga mereka, Sam bertolak ke Puduraya. Tergesa-gesa dia mengalas beg besarnya sambil matanya mencari kaunter tiket. Beberapa orang ulat tiket menghampiri dan bertanyakan destinasinya. Sengaja dia tidak mahu melayan. Beberapa kaunter yang menghala ketempat yang sama diperhatikan. Kemudian dia membuat keputusan untuk mengambil tiket disalah satu kaunter.

Sementara menanti basnya bertolak Sam mengambil keputusan untuk makan dahulu kerana kebetulan waktu sudah merangkak ke tengahari.

Ketika bas ingin bergerak dia tergesa-gesa turun ke platform. Selesai memeriksa tiket dia bergerak masuk kedalam perut bas. Tercangak-cangak dia memilih kerusi. Mujur kerana penumpang tidak penuh membuatkan dia boleh pilih mana-mana kerusi yang dirasakan selesa. Sedapatnya dia mahu bersendirian sepanjang perjalanan.

Perlahan-lahan bas bergerak meninggalkan kepesatan ibu kota yang terus hangat. Meninggalkan kesibukan dan kerancakan yang ada.

Dia mahu menyedut udara segar kampung. Mendengar kokokan ayam tatkala subuh menjelma. Mahu mendengar suara kambing dan lembu kalau ada. Kampung Nizam masih lagi menjadi misteri. Itulah yang ingin dia teroka sepanjang musim cuti kali ini. Jauh dilubuk hatinya dia berharap biarlah ada kenangan indah dan manis yang akan dibawa pulang ke Kuala Lumpur sebagai buah tangan.

Perjalanan yang disangkanya mudah ternyata meleset sama sekali. Entah apa nasibnya ketika melewati lebuhraya menuju utara, perjalanannya tersekat. Ada kemalangan yang membabitkan beberapa kenderaan didepan membuatkan perjalanan bas terhalang. Sam yang duduk terperuk dikerusi mula gelisah tatkala bas bergerak terlalu perlahan. Adakalanya berhenti lama. Kalau macam ni bila masa pulak aku nak sampai? hatinya bersungut. Beberapakali lehernya dipanjangkan meninjau kearah depan. Yang mampu dia lihat cumalah deretan kenderaan yang berbaris panjang. Kawasan kemalangan mungkin masih berada jauh didepan. Sam menyandarkan tubuhnya dengan perasaan sebal. Jam dipergelangan tangannya acapkali juga dikerling dengan rasa tidak puashati. Jangan lambat aku sampai sudah, desisnya lagi didalam hati.

Hampir tiga jam kemudian bas mampu bergerak lancar semula. Sam yang sudah diasak dengan rasa bosan akhirnya mengeluh lega. Jam ditangannya dikerling lagi. Mungkin dia terlewat sampai dibandar sebelum bertolak ke kampung Nizam.

Menghampiri satu jam berikutnya sekali lagi bala menimpa. Kali ini bas mengalami gangguan enjin. Sam yang hampir terlelap dikerusi terjaga apabila tubuhnya tersentak seperti disentap oleh seseorang. Dengan rasa mamai dan letih dia membuka mata. Memerhatikan kearah pinggir jalan. Penumpanng dikerusi belakang dan depannya mula menceceh. Tidak pula dia dengar butir percakapan mereka.

“ Apa hal ni?’ dia bersuara. Meminta jawapan dari yang lain.

“ Tak tahu.....engin tersenggut-senggut pulak. Bas rosak kot,” dia mendengar tetapi tidak pasti siapakah yang bercakap.

Sam mengeluh kecewa lagi tatkala bas mudik dibahu jalan dan akhirnya berhenti. Pemandu bas segera terjun keluar untuk memeriksa enjin. Sekali lagi Sam terperuk kerusinya. Rambutnya yang agak lebat disisirnya dengan tangan. Apa lagi ni? Dia tidak pasti selepas ini apa yang akan berlaku.

Sah, bas mengalami kerosakan yang agak serius. Memaksa mereka menunggu sebuah lagi bas lain muncul untuk menjemput. Hari sudah mula menginjak ke malam. Sam dibadai risau. Pukul berapa nanti aku nak sampai rumah Nizam? Hatinya berteka-teki.

Dek kerana masalah yang tidak dijangkan akhirnya dia tiba juga dibandar yang dituju. Ketika itu hari sudah lewat. Malam sudah melabuhkan tirai. Jari-jemari jam menunjukkan ke angka sebelas malam baru dia berjaya menginjakkan kaki diperhentian bas.

Perkara pertama yang dia harus lakukan ialah menghubungi Nizam untuk menyatakan kelewatannya. Amarahnya meluap-luap apabila menyedari yang telefon bimbitnya kehabisan bateri. Malang apa pulak yang datang lagi ni, dia bersungut didalam hati. Seperti rusa masuk kampung dia tidak tahu apa yang harus dia lakukan.

Paling tidak pun dia harus mencari telefon awam. Lalu dia menyusur kaki lima perhentian bas mencari. Pun begitu sekali lagi dia diterjah kecewa apabila telefon yang sepatutnya digunakan untuk waktu kecemasan, rosak. Sam tercegat lagi. Kalau diikutkan hatinya mahu saja dia menendang pondok telefon itu. Memikirkan dia berada ditempat awam, disabarkan juga hatinya yang sedang mendidih.

Sam akhinya membuat keputusan nekad. Apa cara sekalipun dia akan tetap pergi ke rumah Nizam. Kemudian dia mengambil keputusan untuk memenuhkan perutnya dahulu. Kebetulan sejak makan tengahari tadi dia langsung tidak menjamah apa-apa.

Sam masuk kedalam sebuah restoran yang masih lagi dibuka.Tidak ramai pengunjung. Menjadikan dia boleh memilih tempat yang selesa untuk menjamu selera.

Usai makan dia bergerak semula keperhentian bas. Tidak ada bas sangkut-sangkut disitu. Lapangan tempat letak bas juga kosong. Yang ada cuma dua buah bas ekspress yang tentunya menghala kedestinasi jauh. Beg sandangnya diletakkan dibahu jalan. Tertoleh kekiri dan kanan. Sam mula diburu resah apabila menyedari yang waktu makin menginjak ketengah malam. Apa cara aku nak ke rumah Nizam ni? Ligat otaknya berfikir.

Mungkin saja malam ini dia menyewa bilik hotel? Ketika sedang asyik menimbang akan tindakan yang bakal dibuat sedar-sedar ada sorotan lampu mengenai wajah dan tubuhnya. Sam menoleh dan mendapati sebiji kereta sewa bergerak perlahan menghampirinya. Langsung dia mengukir senyum. Ada jugak teksi malam-malam ni, hatinya melompat riang.

Sam menundukkan kepalanya sebaik saja teksi tersebut berhenti disisinya. “ Nak kemana ni dik?” tegur lelaki separuh umur didalamnya. Wajahnya tidak begitu jelas.

“ Nak ke kampung Teluk Dalam,” balas Sam dengan hati yang berdebar-debar. Manakan tidak andai lelaki itu tidak mahu menghantarnya terpaksa dia tercegat lagi disitu ditengah-tengah malam buta begini. Memikirkan dia berada ditempat asing membuatkan dia merasa tidak senang. Keselamatannya mudah terancam.

“ Naiklah,” ternyata ungkapan itu melegakan hatinya yang gundah-gulana tadi. Terus dia merentap pintu kereta dan masuk kedalam. Sebaik saja pintu ditutup kereta sewa itu bergerak pergi.

Sam tersandar kekenyangan dan keletihan. Kepalanya ditolehkan kekiri sambil melepaskan pandangannya kearah luar yang gelap. Cahaya neon semakin berkurangan apabila mereka bergerak semakin jauh meninggalkan kawasan bandar.

Sepanjang perjalanan dia hanya ditemani dengan kesunyian. Lelaki yang sedang menandu itu tidak bersuara walau sepatah pun. Mungkin dia jenis lelaki pendiam. Sam tidak mahu memikirkan lagi. Yang penting dia sampai ke rumah Nizam. Yang lain tolak tepi. Pada perkiraannya sampai saja dirumah Nizam nanti dia mahu berehat sepuasnya.

Sedar-sedar kereta bergerak melintasi kawasan kampung yang sunyi. Tidak banyak deret rumah yang dia lihat. Satu persatu ditinggalkan jauh kebelakang.

Sam terkejut apabila ada cahaya terang menyuluh dari kereta yang ditumpanginya. Serentak dengan itu dia merasakan yang pemandu tadi mula meningkatkan kelajuannya. Sam diasak rasa ragu-ragu. Mulanya dia hanya mendiamkan diri namun apabila merasa yang teksi itu bergerak semakin laju akhirnya dia bertanya “ Kenapa ni pak cik?”

Lelaki yang bertindak sebagai pemandu itu tidak menjawap.

“ Jangan toleh belakang!” Sam tersentak apabila dia ditegur. Seakan-akan lelaki itu tahu yang dia mahu melihat apa yang ada dibelakang teksi ketika itu. Cahayanya cukup terang. Siapa yang mengekori mereka? Dan kenapa pula pemandu itu kelihatan mengelabah dan takut-takut?

“ Kenapa ni pak cik. Pak cik bawak laju sangat ni,” giliran Sam pula menegur. “ Biarkan aje kereta kat belakang tu potong.”

Apa yang dia rasa mereka bagaikan berlumba. Kenderaan dibelakang bergerak laju untuk memotong manakala lelaki itu pula berterus memecut teksinya. Kau nak berlumba itu kau punya pasal. Masalahnya aku ada menumpanng dalam teksi engkau, tolong hargai nyawa aku! Seranah Sam didalam hati. Kecut juga perutnya bila berada didalam kereta yang bergerak terlalu laju.

“ Itu bukan kereta!”

Sam terkedu. “ Habis tu apa? Lori?”

“ Pun bukan. Tak ada kenderaan dibelakang tu!”

Sam tidak faham.

“ Bukan yang macam kau sangkakan. Apa yang ada dibelakang tu cuba kejar kita.”

Muka Sam mula pucat.

“ Itu jembalang! Saja nak kacau kita!”

Sam tidak bersuara lagi.

“ Yang penting jangan bagi dia potong. Kalau tak nahas lah kita,” terang lelaki itu dengan nada serius. Keadaan didalam teksi terang-benderang dengan limpahan cahaya dari belakang teksi. Macam spotlight stadium. Menjadikan Sam tersilau dan hampir tidak dapat melihat apa yang ada dihadapan.

Seperti mengerti dengan apa yang bermain direlung fikiran anak muda itu, pemandu tadi bersuara lagi “ Memang dia saja kasi silau supaya kita terbabas tepi jalan. Kalau tak dapat dia akan cuba potong kereta kita.” Dia melihat lelaki itu memaut stereng dengan kejap dan kuat. Pedal minyak terus ditekan.

“ Dah ramai yang kena macam ni. Ada yang mati pun sebab langgar pokok. Tak kurang jugak ada yang terhumban dalam gaung. Jalan ni memang tempat permainan dia,” sela lelaki itu lagi. Sam pula makin tidak senang duduk jadinya.

“ Kalau.....kalau dia potong.....apa jadi pak cik?” peluh sudah berjurai didahinya.

Seperti tadi lelaki itu langsung tidak menoleh ketika bercakap dengannya. “ Kalau dia potong ada benda yang menanti didepan. Dah banyak orang yang kena. Kadang-kadang nampak orang berdiri tengah jalan. Ada pulak nammpak perempuan melintas. Pernah juga ada orang nampak ada gaung didepan. Macam-macam.Orang kata tempat ni memang ada puaka. Dia nakkan darah!”

Sam tersandar dikerusinya. Nafasnya tersekat-sekat. Tanpa disedari tangannya mencengkam tempat kusyen kereta dengan kuat.

Yang jelas cahaya terang dibelakang tetap berusaha untuk memotong teksinya. Sam kaget. Pemandu lelaki itu terus menekan pedal minyak sekaligus menjadikan teksinya bergerak semakin laju.

Sam terkejut apabila menyedari ada bunyi hentakan kuat dibelakang teksi. Apa benda tu? Anak muda itu cuak. Hendak menoleh dia tidak berani. Mulutnya mula terkumat-kamit membaca surah lazim.

Ah.....diwaktu-waktu genting begini otaknya enggan untuk membantu. Entah kenapa langsung sepatah haram pun ayat-ayat lazim tidak mampu diucapkan. Pelik! Sedangkan sebelum ini bibirnya lancar menyurahkan ayat tersebut ketika dia bersolat. Benar kata orang bila berada didalam keadaan panik dan tegang perkara yang mudah pun tidak mampu dilakukan dengan baik.

Bunyi hentakan dibelakang kedengaran lagi. Kali ini bertalu-talu seperti ada tangan besar yang mengetuk bonet kereta dengan kuat. Serentak itu juga dia merasakan yang badan teksi itu bergegar.

Ya Allah! Hatinya menjerit ketakutan.

“ Pak cik,” dia menyeru.

“ Jangan layan!” sergah lelaki itu tanpa menoleh. Fokusnya lebih pada jalanraya yang gelap-gelita.

Sam dikejutkan lagi dengan bunyi sesuatu mencakar cermin belakang. Apa pulak kali ni, hatinya berbisik cemas. Perlahan-lahan dia menoleh kebelakang.

Terkejut apabila dia melihat ada tangan serta jari-jari runcing mencakar permukaan cermin. Tubuhnya tidak kelihatan. Bunyi ngilu menghambat perasaannya. Sam berpaling dan memejamkan matanya seketika. Ya Allah! Selamatkanlah aku!

Bunyi itu hilang untuk seketika sebelum ianya muncul ditingkap sisi dibahagian belakang. Sam segera menoleh dan kali ini dia melihat kepala seorang perempuan berwajah pucat dan rambutnya yang panjang, menyeringai memandang kearahnya. Lidahnya yang kehitaman menjilat permukaan cermin berkali-kali. Meninggalkan kesan darah.

“ Pak cik! Dia ada dibelakang ni!” pekik Sam sekuat hatinya. Tidak pernah dia merasa setakut ini. Inilah pengalaman pertamanya.

“ Pak cik! Tolong!” pekik Sam hingga ke puncak suaranya.

Pemandu tadi terpaksa menoleh kebelakang membuatkan dia hilang tumpuan pada jalanraya. Pandangan mata mereka bertembung dan kali ini Sam menjerit semakin nyaring. Apa yang dilihatnya lebih menakutkan.

Wajah lelaki tadi tidak ubah seperti wajah perempuan yang berada diluar tingkap tadi. Sepasang matanya merah.Wajahnya pucat. Bibirnya jelas kehitaman. Rambutnya yang panjang dan hitam pekat menerawang seperti ditiup angin kencang. Tersenyum ngeri kearah Sam. Bila dipandang kearah luar bayang perempuan berambut panjang disisi tingkapnya sudah lesap. Kini ia berada dibahagian pemandu. Mana pak cik tadi?

Belum pun sempat Sam melakukan apa-apa, tiba-tiba terdengar bunyi dentuman yang cukup kuat.

“ Arghhh.....!” Tubuhnya segera melayang dan terhumban kedepan sebelum suasana menjadi gelap. Terasa bagaikan nafasnya terputus.

*****

Kelopak matanya dibuka perlahan-lahan. Terus dia tersentak dan cuba menegakkkan badannya. Nizam segera memaut bahunya sambil tersenyum.

“ Rilek Sam.....bawak rehat dulu,” ucap anak muda itu dengan tenang.

Dengan wajah kelat Sam menelan air liurnya. Sempat dia berkalih dan memerhatikan kearah beberapa orang lelaki yang agak berusia duduk tidak jauh dari tempat perbaringannya. Tilam nipis yang mengalas badannya juga ditenung dengan hairan.

“ Nizam,” segera dia memaut lengan Nizam. “ Aku dimana ni?” jelas kulit mukanya masih pucat. Tidak bermaya.

“ Rilek. Kau ada di rumah aku sekarang ni,” dengan tidak menghiraukan Sam yang berada didalam keadaan terpinga-pinga itu Nizam tetap mengukirkan senyumnya.

“ Tapi.....tapi aku,” anak muda itu cuba mengimbas kembali apa yang dia lalui sebelum ini. Serta-merta bulu roma diseluruh tubuhnya merinding.

“ Aku tau apa yang dah jadi pada engkau,” tutur Nizam lagi. Cuba meredakan perasaan rakan baiknya itu.

“ Kau tau?”

Nizam angguk.

“ Kami jumpa kau dalam teksi rentung diselekoh tak jauh dari kampung ni. Bila kau tak sampai ke rumah aku, aku dah mula cemas. Aku takut kau lewat sampai. Kan aku dah pesan dengan engkau dulu. Jangan lewat sampai kekampung aku.”

Sam memutarkan mindanya dan seketika kemudian dia mula mengangguk.Masih dia ingat pada pesan rakan karibnya itu.

“ Aku rasa kau memang dah lewat sampai dibandar tu. Malam tadi kau naik teksi puaka tu. Ramai orang luar yang dah kena. Orang tempatan dah tau cerita tak akan naik kereta sewa terakhir tu. Sebab dia orang memang dah tau,” Nizam tersengih.

“ Ada cerita disebalik teksi terakhir yang kau tumpang tu,” sambung Nizam lagi. Sam menegakkan badannya. “ Cerita apa?”

“ Teksi kau naik tu dulu mengalami kecelakaan. Terbabas dan melanggar pokok serta meletup. Pemandu dan penumpangnya mati ditempat kejadian,” sejurus kemudian dia terdiam.

“ Menurut cerita ada cahaya terang mengejar teksi tu dalam perjalanan balik. Cahaya itu dikatakan adalah jembalang yang mendiami kawasan tersebut. Memang dah ramai yang kena. Cahaya itu akan cuba memotong kenderaan yang mereka naiki,” salah seorang dari lelaki berusia tadi mencelah cerita Nizam.

Nizam berpaling semula pada Sam dan menyambung kata-katanya “ Bila cahaya tu dapat memotong kenderaan seseorang, serta-merta cahaya itu terpadam. Keadaan akan gelap seperti sediakala. Ketika itulah ada sesuatu yang melintas didepan jalan. Ramai yang mendakwa ada perempuan atau orang tua melintas. Dek kerana hendak mengelak kenderaan mereka akan terbabas dan mengalami kecelakaan. Kalau nasib baik mereka selamat. Tapi apa yang berlaku pada pemilik teksi terakhirnya itu adalah sebaliknya. Dia maut ditempat kejadian. Dan malam tadi kau adalah mangsanya yang terbaru.”

Sam merasakan yang tekaknya tiba-tiba kering.

“ Mangsa akan ditemui didalam teksi rentung tu dibawah pokok mati diselekoh sebelum sampai kekampung ni,”tutur Nizam lagi. Bahu Sam ditepuknya mesra.

Sunguh, Sam kehilangan kata-katanya. Matanya bulat mengambarkan rasa tidak percaya. Memang dia mahu bercuti dikampung Nizam dan mengharapkan agar ada kenangan yang bakal dia perolehi. Tapi dia tidak menyangka bahawa kenangan yang bakal dia bawa pulang nanti adalah sesuatu yang amat menakutkan. Sam perlahan-lahan menatap wajah Nizam. Bibirnya terus kelu. Lepas ini entah apa lagi yang menantinya dikampung sahabatnya itu.

TAMAT

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.