Home Cerpen Seram/Misteri Kisah Seram Malam Jumaat - Khianat
Kisah Seram Malam Jumaat - Khianat
Akma Saidon
25/8/2016 21:59:40
10,178
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

Kamelia melangkah lesu masuk ke bilik. Sejak kebelakangan ini, batang tubuhnya dirasakan letih lain macam. Hendak dikata dia melakukan kerja-kerja yang memenatkan, serasanya tidak. Rutin hariannya masih lagi seperti hari-hari sebelumnya.

Perlahan langkah disusun mendapatkan katilnya lalu dia merebahkan badan yang kelelahan. Sempat dikerling persekitaran bilik kediaman yang dihuni empat pelajar dari dua jurusan yang berbeza. Dan malangnya, di dalam keempat-empat penghuni bilik itu, hanya dia seorang sahaja yang berlainan jurusan dengan yang lainnya.

Mata terus memerhati sekeliling. Didapati tiada siapa di situ melainkan Shazwani yang sedang berkeruh di atas katil selang sebuah dari miliknya. Sahabat-sahabat yang lain mungkin masih punya kelas yang perlu dihadiri, hatinya berkata sendiri.

“Aliz dan Amoi mana? Pergi tandas ke?” ujar Kamelia perlahan.

Seperti tadi bola matanya diliarkan ke sekeliling bilik kediaman itu. Bilik itu masih seperti tadi, sunyi sepi dan sedikit kelam kurang bercahaya. Kemudian dia memerhatikan kembali Shazwani yang berdengkur kecil. Kamelia terkebil-kebil seketika, sebelum perlahan-lahan memejamkan mata.

Kepala yang memberat agak sukar dilegakan. Bermacam-macam perkara berlegar-legar di ruangan minda. Segalanya berselirat, itu dan ini. Sesekali Kamelia menggeleng-gelengkan kepala, seakan menidakkan apa yang sedang difikirkannya.

Ya…segalanya serba tak kena, fikir Kamelia. Mana nak dicari bahan-bahan yang ingin dimuatkan di dalam tugasan terbarunya lagi. Dengan pasangan berkumpulannya tidak ada lagi. Macam-macam.

Tambahan pula dia seakan disisihkan di dalam kelas. Seakan dipulau dan dipinggirkan. Silapnya hanya satu. Dia antara pelajar cemerlang dengan pointer melebihi 3.8 CGPA dan hanya dialah satu-satunya pelajar yang mendapat senarai dekan setiap semester di dalam kelas itu.

“K...”

Kamelia tersentak apabila ada suara yang menegurnya tiba-tiba. Sayup kedengaran suara Shazwani menjengah ruang pendengaran. Segera dia bangkit lalu menoleh ke arah katil gadis tinggi lampai tersebut. Terlihat sahabatnya itu masih lena diulit mimpi petang. Dengan susuk tubuh yang menelungkup, wajah yang ditutupi rambut panjangnya, Kamelia tidak dapat mengenal pasti keadaan Shazwani sepenuhnya. Apa yang dia tahu, sahabatnya itu masih lagi ketiduran.

Berkerut kening Kamelia melihatkan keadaan itu. Dia terpinga-pinga. Semerta reromanya tegak merinding. Terkebil-kebil dia memerhatikan tubuh Shazwani yang tidak bergerak-gerak. Ahh! Perasaan aku ke? Hatinya bertanya lagi.

“Suara siapa?” bisiknya perlahan.

Malas mahu mengambil pusing, Kamelia kembali merebahkan badan. Mata dipejam rapat. Semerta kepenatan badan melega perlahan-lahan. Badan yang sememangnya letih begitu mudah menjemput lena. Hanya beberapa ketika, Kamelia sudah jauh meninggalkan segala keperitan dunia dan hanyut di alam mimpi.

Bam! Bam! Bam!

Bunyi hentakkan di dinding pintu menyedarkan Kamelia. Berkerut keningnya dengan mata yang terpisat-pisat. Semerta kepalanya turut berdengung dan berdenyut-denyut. Pantang betul dia apabila dikejutkan dengan cara yang mendadak seperti itu.

“Pintu tak kunci!” jerit Kamelia agak keras dengan suara serak.

Bam! Bam! Bam!

Hentakkan di dinding pintu makin bingit. Kamelia cuba memekakkan telinga. Tak apa…Shaz ada, desis hati kecilnya. Dia cuba memejamkan mata serapatnya. Tidak lama, hentakkan demi hentakkan langsung tidak mahu berkompromi.

“Shaz…pergilah buka pintu,” ujar Kamelia separuh merungut sambil memicit perlahan kepalanya yang sudah mula berdenyut.

Shazwani tidak menyahut. Kamelia bingkas bangun lalu menoleh ke arah katil sahabatnya itu. Kosong. Tiada siapa di atas katil tersebut. Cadar dan selimut juga molek terletak kemas seakan tidak pernah diduduki sesiapa sebelum ini. Berkerut kening Kamelia memerhati.

Semakin lama, bunyi hentakan semakin kuat dan membingitkan. Mahu atau tidak, Kamelia terpaksa juga menggagahkan diri untuk melangkah dan mendapatkan pintu. Sempat dikerling tombol pintu tersebut. Berkunci.

“Rasa macam tak kunci tadi,” ujar Kamelia perlahan.

Laju tangannya memulas tombol dan pintu dikuak lebar. Berdetap bunyi ensel pintu yang terkunci dari dalam. Tersengih-sengih Shazwani di balik pintu. Arliza dan Wirdatul yang turut bersamanya hanya memandang kosong.

Terus segar biji mata Kamelia sebaik terpandangkan wajah Shazwani yang menyengih lebar. Menonong sahaja dua sahabatnya itu melangkah masuk ke dalam tanpa menghiraukan pandangan mata Kamelia.

“Bukan kau dah balik ke tadi, Shaz,” tegur Kamelia. Diikuti rapat langkah sahabatnya itu.

“Balik mana?” soal Shazwani tanpa memandang wajah Kamelia.

Tekun dia menyusun buku-buku yang sedari tadi dikepitnya. Arliza pula sudah mula menyalin pakaian manakala Wirdatul santai mengatur sila di lantai bilik. Ketiga mereka seakan tidak berminat dengan apa yang dikatakan Kamelia.

“Balik biliklah. Aku balik jam tiga tadi kau tengah berdengkur,” balas Kamelia.

Matanya masih menatap tajam sahabatnya itu yang sibuk menarik keluar seluar pendek separas lutut dari almari pakaian.

Shazwani tergelak besar mendengarkan kenyataan sahabatnya itu. Nak menyakatlah tu....desisnya di dalam hati. Sekilas dia mengerling ke arah Kamelia yang memandangnya serius. Meleret senyuman sinis di balik bibirnya. Shazwani tergeleng-geleng. Sengaja menidakkan apa yang dikata sang teman.

“Mana pulak baliknya K oii. Kelas aku sampai jam empat. Tak percaya tanya dia orang,” bidas Shazwani bersahaja sambil menyalin pakaiannya walau diperhati tiga sahabat.

Kamelia menoleh ke arah Arliza yang sudah duduk bersila di tengah-tengah bilik sebelum dia menoleh ke arah Wirdatul. Sahabatnya itu sekadar mengangguk, mengiyakan. Bertambah kerutan Kamelia. Segera dia merapati Arliza dan Wirdatul lalu duduk berlunjur berdekatan dua gadis itu.

“Perasaan kau je kot, K...” ujar Shazwani lagi.

Kamelia hanya berdiam diri. Segala kata-kata dua sahabatnya itu dicerna sebaiknya. Masakan sahabat-sahabatnya itu mahu menipu. Kalau bukan Shazwani, siapa? Siapa yang dilihatnya dan suara siapa yang memanggil dirinya? Hendak dikatakan salah lihat atau dengar, lagilah mustahil. Dia belum buta dan dia tidak pekak.

***

BATANG tubuh Kamelia semakin lama semakin tidak bermaya. Seakan ada bebanan yang dipikulnya. Semakin hari, dia semakin rasa tidak bersemangat dan tidak selesa. Wajahnya yang putih kemerah-merahan juga sudah tiada berganti pucat lesi.

Dengan langkah kaki yang longlai, dia menapak mendapatkan biliknya. Dia ingin segera tiba di biliknya. Sudah tidak berdaya rasanya untuk terus membiarkan rasa penat membebani jiwa. Dia perlu istirehat, fikirnya sendiri.

Bzzz…bzzzz…

Telefon bimbit di dalam poket bergetar menandakan ada pesanan baru yang diterima. Pantas Kamelia menyeluk poket seluarnya lalu mengeluarkan telefon bimbitnya itu. Laju dibuka aplikasi Whatsapp. Pesanan dari sahabat sebiliknya dibaca sekilas sebelum dibalas seringkasnya.

Kamelia segera menukar haluan sebaik membalas pesanan sahabat-sahabatnya itu.

Keadaan agak bising di luar Perpustakaan Hang Nadim sebaik dia tiba. Terlihat Wirdatul sedang menunggu di luar perpustakaan manakala Shazwani dan Arliza pula pergi memulangkan buku di kaunter peminjaman dan pemulangan Perpustakaan Hang Nadim.

“Lambatnya dia orang ni,” ujar Wirdatul separuh merungut.

“Ramai kot dekat dalam tu,” balas Kamelia perlahan.

“Huish! Bila sampai,” ujar Wirdatul terkejut. Spontan diurut dadanya yang berdebar.

Kamelia hanya menyengih memerhatikan tingkah Wirdatul. Sesekali dia menjengah ke laluan masuk Perpustakaan Hang Nadim. Kelibat Shazwani dan Arliza masih tidak kelihatan.

Hu Hu Hu.

Kamelia tersentak. Bunyi apa yang didengarnya tadi? Dadanya berdebar-debar. Meliar matanya memerhatikan lorongan jalan menuju ke Perpustakaan Hang Nadim yang mula suram. Tiada apa yang mampu dilihat pandangan matanya selain keadaan yang tidak semeriah tadi. Kini, segalanya bertukar kelam sebaik remang senja menjala dada langit.

Hu Hu Hu.

Suara itu datang lagi. Kamelia terus-terusan mencari. Kini dia melebarkan pandangan mata ke sekeliling kawasan Perpustakaan Hang Nadim. Sah! Memang tiada apa yang boleh dikaitkan dengan suara tersebut. Rasa tidak tenteram makin kuat menghentak tangkai hatinya. Sekali lagi dia mengawasi kawasan sekitar. Tiada apa yang aneh pada pandangan matanya.

“Kenapa K?” soal Wirdatul. Sedari tadi dia memerhatikan tingkah Kamelia. Sahabatnya itu seakan tidak selesa.

“Aku dengar macam ada suara orang menangis,” bisik Kamelia perlahan.

Wirdatul mengerutkan dahinya. Bunyi orang menangis? Semerta reroma tengkuknya merinding. Dia turut meliarkan pandangan matanya ke sekeliling. Deria pendengarannya turut ditajamkan. Hampa. Dia tidak mendengar suara tangisan seperti yang didakwa Kamelia.

“Aku tak dengar apa-apa pun,” ujar Wirdatul juga dalam nada berbisik.

“Betul Moi! Aku dengar tadi,” balas Kamelia agak tegas.

Wirdatul kembali meliarkan pandangan matanya. Hanya suasana senja yang menjadi panorama sekeliling Perpustakaan Hang Nadim. Langsung tiada sebarang bunyi yang mampu didengar.

“Sorry guys, lambat!”

Suara Shazwani mematikan tingkah Kamelia dan Wirdatul. Keduanya segera membuang pandang ke arah Shazwani dan Arliza yang sudah tersengih-sengih. Sesekali mereka membetulkan rambut yang mengerbang ditiup angin malam.

“Pulang yang tadi, pinjam yang ni pulak,” tambah Arliza.

“Jomlah balik,” ujar Kamelia.

Menonong dia berjalan dalam keadaan tergesa-gesa. Tingkahnya itu hanya diperhati pelik oleh Wirdatul sebelum dia turut mengatur langkah. Hatinya mula rasa tidak kena. Ya! Ada yang tidak kena dengan Kamelia.

***

WIRDATUL pantas mengambil tempat bersebelahan Shazwani dan Arliza sambil tangannya meletakkan segelas jus oren di atas meja. Diliarkan pandangan matanya ke sekeliling kafeteria sebelum ditatap kembali wajah dua teman silih berganti.

“K tak sampai lagi ke?” soal Wirdatul.

“Dia tak jadi jumpa kita dekat sini. Tak larat, tak sedap badan katanya,” balas Arliza tenang.

Wirdatul hanya mengangguk kecil sebelum disisipkan sedikit jus oren. Tidak lama, sebelum meja bersebelahan dengannya menarik perhatian untuk diperhati. Lama dipandang meja itu yang hingar-bingar dengan tawa beberapa pelajar.

“Aku tengok K lain macam je dua tiga hari ni.”

Suara Shazwani memecah pandangan mata Wirdatul. Dia kembali menoleh ke arah sahabat lalu ditatapnya wajah Shazwani lama-lama. Arliza di sisi juga bertingkah yang sama. Keduanya menantikan bicara lanjut dari Shazwani.

“Kau orang tak perasan ke?” soal Shazwani.

“Perasan, lagi satu muka dia macam pucat. Aku tengok dia macam tak bersemangat. Moi, kau tak nampak apa-apa ke?” balas Arliza.

“Nampak apa?” soal Wirdatul.

“I know you can saw thing. So, did you saw something?”

Suara Arliza kembali menerjah kolong telinga membuatkan Wirdatul menghempas keluhan berat. Lama dia mendiamkan diri. Berfikir-fikir ayat semacam apa yang perlu dilafazkan.

“Aku tak nampak apa-apa, tapi kelmarin K ada beritahu aku dia dengar suara orang menangis,” balas Wirdatul.

“Bila?” soal Shazwani laju dengan kening yang bertaut.

“Masa kita orang tunggu kau orang dekat luar library tu. Tapi, masalahnya cuma dia je yang dengar. Aku tak dengar apa-apa pun waktu tu,” balas Wirdatul seraya menerangkan semula kepada dua sahabatnya.

“Aku rasa dia ni kena ganggulah. Samada dihantar atau memang yang ada dekat sini,” ujar Shazwani dengan raut wajah yang tegang.

“Kenapa pulak?” soal Arliza.

“Bukan ke K selalu cerita yang budak kelas dia tak sukakan dia. Selalu pulaukan dia, dan anggap dia tak wujud dalam kelas tu,” balas Shazwani.

“Tapi takkanlah sampai nak membuat dia pulak. K tu bukan jenis yang kacau orang pun,” bidas Wirdatul.

“Kita mana nak tahu hati budi orang ni, Moi. Depan kita memang baik kalah malaikat, belakang kita entah-entah jahat mengalahkan iblis,” tujah Shazwani beria-ia.

“Habis tu kita nak buat macam mana lagi?” soal Arliza.

“Kita beritahu ustazah nak? Atau pun, kita beritahu imam ke? Manalah tahu kalau-kalau boleh membantu,” saran Shazwani.

“Aku rasa lagi eloklah kita beritahu ustazah. Kita tanya ustazah nak buat macam mana dulu, baru kita ikhtiarkan yang lain-lain,” balas Wirdatul.

“Kau orang, tu bukan K ke?” ujar Arliza tiba-tiba.

Dari jauh kelibat Kamelia datang menghampiri dengan wajah yang pucat lesi. Tempat diambil rakus sebelum disambar gelas jus oren milik Wirdatul lalu diteguk hingga habis. Tingkahnya itu hanya diperhati hairan tiga pasang mata.

“Kau cakap kau tak nak datang, K?” soal Shazwani kehairanan.

Kamelia hanya mendiamkan diri. Hanya pandangan matanya sahaja yang tajam menikam wajah sahabat-sahabatnya. Dengan mata yang berlingkar garisan merah, bawah mata yang lebam, Kamelia terus-terusan mencerlung garang.

“Kau okey tak ni, K?” soal Wirdatul.

“Kamu bertiga jangan mencampur urusan aku! Jangan pernah berkata apa-apa tentang aku. Atau, jangan cuba-cuba bertindak tidak sepatutnya yang melibatkan aku!” ujar Kamelia garang.

“Kau cakap apa ni, K?” soal Arliza laju.

Semerta meremang reroma di tengkuk dan pergelangan tangan. Dialihkan pandangan matanya memandang ke arah Wirdatul yang ralit memerhatikan wajah Kamelia yang memucat.

“Iyelah. Jomlah kita balik bilik,” balas Wirdatul.

Tenang Wirdatul bangkit dari duduknya. Namun, belum sempat dia mengatur langkah, pergelangan tangannya dicengkam kuat. Dikerling sekilas ke arah pergelangan tangan yang dipegang Kamelia. Batang tengkuknya semakin kembang dirasakan.

“Iye K, kita orang tak cakap apa-apa dah pasal kau. Baliklah jom,” ujar Wirdatul perlahan sambil cuba menenangkan dirinya.

“Ingat pesanku!” ujar Kamelia keras.

“Iye. Jomlah eh, kita balik bilik,” balas Wirdatul.

Perlahan Kamelia melepaskan pergelangan tangan Wirdatul yang dicengkam kuat sebelum bangkit dari duduknya. Dia hanya menundukkan kepala. Diekori langkah tiga sahabatnya itu.

Sepanjang perjalanan pulang dari kafeteria ke bilik mereka, tiada seorang pun yang melagukan bicara. Mereka hanya mendiamkan diri. Sepanjang perjalanan itu juga batang tengkuk dan kedua belah lengan mereka sentiasa kembang dan meremang.

Tombol dipulas, pintu dikuak lebar. Lama Wirdatul berdiri terpacak di muka pintu yang terbuka sambil matanya memandang tepat ke dalam bilik. Tingkahnya itu hanya ditatap hairan sahabat-sahabatnya.

“Kau tak payah masuklah, K,” ujar Wirdatul perlahan.

“Masuk mana?” soal Kamelia dengan raut wajah kehairanan.

Sedari tadi lagi diperhatikan tingkah pelik tiga sahabat sebiliknya. Mereka hanya berdiri terpacak di muka pintu tanpa ada niat untuk melangkah masuk. Lama, sebelum Wirdatul membuah kata yang menambahkan lagi kehairanan di hatinya.

Wirdatul, Shazwani dan Arliza segera berpaling ke belakang. Mencari susuk tubuh Kamelia yang menyertai mereka di kafeteria, yang mengekori langkah mereka hingga ke bilik. Tiada. Kamelia yang itu telah tiada.

***

“Cepatlah K, ustazah dah tunggu tu,” gesa Arliza.

Kamelia hanya diam. Kepalanya ditundukkan mengukur lantai bilik. Gesaan sahabatnya itu langsung tidak dihiraukannya membuatkan Arliza sedikit naik berang. Laju kakinya melangkah menghampiri Kamelia yang masih kekal menunduk.

“K!” jerkah Arliza kuat.

Bam! Tidak semena-mena pintu bilik mereka yang menganga dihempas kuat meninggalkan Kamelia dan Arliza di dalam bilik manakala Shazwani dan Wirdatul di luar bilik kediaman.

“Bukankah sudah ku bilang, jangan pernah kamu campur urusanku!” keras suara yang keluar dari mulut Kamelia.

“K?” ujar Arliza perlahan.

Matanya memandang ke arah Kamelia dan pintu silih berganti. Dia naik buntu mahu berbuat apa lagi. Apa yang dia tahu, debaran di dadanya berombak kencang seolah menghantar firasat ada yang tidak kena sedang berlaku di situ.

“Mengapa kalian tidak sudah-sudah mengganggu kerjaku?” soal Kamelia lagi.

“Kerja…kerja apa?” balas Arliza teragak-agak sambil berura-ura untuk melangkah mendapatkan daun pintu.

“Aku diutus untuk sentiasa bersama dengan dirinya! Mengapa kalian mahu mengusirku?!” bentak Kamelia garang.

Dia bangkit dari duduknya lalu berdiri membelakangkan Arliza. Kepalanya kekal ditundukkan ke bawah. Sesekali dia menyeringai garang. Arliza yang memerhati mula dihambat ketakutan.

Tidak lama, Kamelia berpaling lalu berdiri terpacak di hadapan Arliza yang sudah menggigil ketakutan. Mulutnya tidak henti-henti menggumam bahasa yang tidak difahami. Sesekali dia menyeringai keseorangan.

“K…” tegur Arliza perlahan.

“Kamu mahu apa dariku? Kamu mahu apa?” soal Kamelia sedikit membentak sebelum perlahan-lahan diatur langkah mengelilingi Arliza.

Arliza yang ketakutan hanya memerhati tingkah Kamelia. Setiap derap langkah sahabatnya itu diperhati cemas sebelum matanya tertumpu pada wajah sahabatnya itu yang jelas pucat lesi.

“Bukankah sudah aku bilang, jangan pernah kamu campur urusanku!” jerkah Kamelia garang.

Kamelia yang kerasukan bertindak menyerang Arliza membuatkan gadis itu terdorong ke belakang lalu tersembam menghentam lantai. Belum sempat berbuat apa-apa, rambut panjangnya ditarik rakus. Arliza meraung kesakitan.

“Jangan pernah kalian berani untuk pisahkan kami! Aku dan dia sudah menyatu!” bentak Kamelia lagi.

Diheret batang tubuh Arliza lalu dihumban keras. Belakang badan Arliza berbirat menghentam bingkai katil. Dia menyeringai menanggung kesakitan. Perlahan-lahan dia mengesotkan badannya menjauhi Kamelia yang semakin kesurupan.

“K…aku ni K, aku ni…” ujar Arliza di dalam payah.

Kamelia lantas duduk di lantai sambil memegang kedua belah lututnya. Mukanya disorokkan di antara dua lututnya lalu dia terus-terusan menggumam seorang diri. Melihatkan keadaan itu, perlahan-lahan Arliza cuba bangkit ingin merapati pintu.

“Kamu mahu pergi ke mana?” soal Kamelia sinis.

Arliza terpaku. Pergerakkannya semerta lumpuh. Dia terus berdiri terpacak. Hanya matanya sahaja yang meliar, mengerling ke belakang. Samar dari pandangan mata terlihat susuk tubuh Kamelia sedang berdiri pegun betul-betul di belakangnya.

“Kamu mahu pergi ke mana?” Kamelia mengulang tanya.

Sebaik suara Kamelia menjengah kolong telinga, tanpa menunggu lama pantas Arliza berlari mendapatkan pintu. Tombol dipulas kasar lalu dia menguak lebar daun pintu. Terlihat Wirdatul dan Shazwani sedang kalut di luar sana.

“Panggil ustazah!”

Hanya itu sahaja yang sempat dilaung Arliza sebelum batang tubuhnya dihempas satu tenaga. Dia kembali terdampar ke dalam bilik sebelum daun pintu itu menghempas bingkainya. Dia kembali terkurung di dalam bilik kediaman mereka bertemankan Kamelia yang kesurupan.

***

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.