Home Cerpen Seram/Misteri KISAH SERAM MALAM JUMAAT - PULANGKAN
KISAH SERAM MALAM JUMAAT - PULANGKAN
Illya Abdullah
16/6/2016 22:44:05
12,929
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

SELAMAT hari lahir! Selamat hari lahir! Lagu hari lahir dinyanyikan. Genap usianya 27 tahun. Teman-teman sepejabat bertepuk tangan sebaik lilin ditiupkan. Ligat tangannya memotong kek menjadi beberapa potongan.

Natasya tersenyum manis menerima hadiah dari pemberian teman-teman rapat. Tak sangka dia menerima kejutan dari mereka di pejabat.

“Terharunya saya.”

“Moga kau cepat-cepat coupledengan Andy Hakim.” Kak Sof Lin separuh berbisik.

Terjerit kecil Natasya.

Muka merah padam menahan malu. Satu pejabat tahu yang Natasya ada hati pada Andy Hakim, akauntan syarikat tempat mereka bekerja itu. Cuma Natasya tidak berani untuk meluah perasaan.

Sewaktu pulang dari kerja, Natasya tersangkut dalam kesesakan lalu-lintas akibat kemalangan yang berlaku. Natasya menarik nafas lega sebaik berjaya melepasi kawasan kemalangan itu. Namun, nasibnya tidak baik. Tayar keretanya pancit di persimpangan jalan. Hujan pula turun dengan lebatnya. Natasya keluar dari perut kereta memeriksa tayar kereta yang pancit. Dia hanya mampu melepaskan keluhan berat. Tubuhnya sudah lencun dibasahi hujan.

Sebuah kereta kelihatan berhenti di bahu jalan. Natasya mengecilkan matanya. Seorang lelaki keluar memakai payung menghala ke arahnya.

Bibir Natasya mengulum senyuman. Andy Hakim!

“Kenapa ni?” Lelaki itu bertanya.

“Tayar pancit.” Natasya membalas lembut.

“Kalau begitu, ikut sayalah. Hujan berhenti nanti saya betulkan tayar kereta awak.”

Natasya mengangguk setuju. Andy Hakim segera memayungkan Natasya. Mereka beriringan menuju ke kereta.


Andy Hakim membawa Natasya ke sebuah rumah papan yang cantik reka bentuknya. Katanya rumah itu peninggalan orang tuanya dulu tetapi tidak diduduki. Andy Hakim hanya melawatnya sekali sekala. Ada seorang perempuan tua yang menjaganya. Perempuan tua itu diperkenalkan dengan panggilan Mak Mah.

Sebuah potret tergantung di dinding. Potret tersebut menarik perhatian Natasya. Lama dia merenung potret itu.

“Potret ibu dengan ayah saya. Ayah sayaorang melayu. Ibu saya pula orang Inggeris. Ibu saya meninggal dunia ketika saya berusia 3 tahun dalam satu kemalangan langgar lari. Ketika tu ibu saya baru keluar dari kedai kek mengambil tempahan kek hari lahir saya. Sebuah lori merempuhnya. Kedua-dua belah kakinya putus. Kek hari lahir saya bertaburan atas jalan. Dia mengesot-ngesot di atas jalan sebelum menghembuskan nafas terakhir. Tak tahu apa yang dicarinya.” Andy Hakim bercerita.

“Maaf, saya tumpang simpati pada ibu awak. Ayah awak pula? Dia masih ada?”

Andy Hakim hanya tersenyum.

“Ayah saya pun dah tiada.”

“Oh, maaf…” Kepala Natasya sedikit menunduk.

“Ini tuala dan pakaian. Awak salinlah dalam bilik.” Andy menunjukkan sebuah bilik kepada Natasya. Bilik itu hanya mempunyai sebuah katil, almari dan meja solek. Natasya menukar ganti pakaiannya. Dia duduk di meja solek menyisir rambutnya yang sudah dikeringkan dengan tuala.

Natasya membuka laci meja solek itu. Ada satu loket berbentuk bujur di dalamnya. Luar loket tu berukiran. Natasya tertarik dengan loket tersebut. Hatinya meronta-ronta untuk mengambil loket tersebut. Natasya terpaksa mengalah pada kehendak hati. Segera loket itu dimasukkan ke dalam kocek seluar.

Natasya bingkas bangun. Apabila dia berpaling berpaling dia hampir menjerit kerana Mak Wan muncul mengejut di belakangnya. Perempuan itu memeranjatkan dia. Natasya cuba berlagak selamba. Moga-moga perempuan tua itu tidak nampak dia mengambil loket tersebut. Ala, loket lama saja pun bukannya intan berlian.

Natasya tidak senang dengan renungan Mak Mah. Hujan semakin reda. Mak Mah menjemput Natasya ke ruang tamu. Hidangan air panas sudah disediakan. Andy Hakim sudah menantinya dengan senyuman.

“Selamat hari lahir,” ucap lelaki itu.

Dia menyerahkan bungkusan kecil kepada Natasya. Hati Natasya berbunga-bunga. Tanpa Natasya menyedari ada mata yang memerhati.

“Terima kasih,” ucap Natasya setelah tayar keretanya diganti oleh Andy Hakim. Lega dapat pulang walau hari sudah gelap.


Lewat malam, Natasya sampai di rumah sewanya. Selesai membersihkan diri, duduk di birai katil. Natasya mengeluarkan loket dari kocek seluar yang dipakainya tadi. Hadiah dari Andy Hakim hanya diletakkan pada meja soleknya. Loket itu dibelek berkali-kali. Dia membuka loket tersebut. Di dalam tersimpan gambar orang tua Andy Hakim. Gambar yang sama dengan potret yang tergantung di rumah peninggalan orang tua lelaki itu. Keesokkan hari dia membawa loket itu ke kedai emas untuk dijadikan rantai. Loket tersebut disarungkan pada lehernya. Natasya memandang cermin. Cantik. Sesuai sekali dengan dia.

“Cantik loket kau. Mana kau beli?” Tanya salah seorang rakan serumahnya.

“Adalah…”

Boyfriend kasi ye.”

Natasya hanya tersengih seraya menggelengkan kepalanya. Hadiah yang diberikan Andy Hakim langsung tidak dipandang.

“Aku nak keluar ke CM kejap. Ada yang ikut tak?” Natasya menyandang beg tangannya.

“Malaslah. Aku nak lepak-lepak kat rumah.”

Natasya menyarung kasut.

Natasya merayau-rayau sendirian di Pasar Seni. Dia asyik membelek sehelai t-shirtberwarna putih. Tanpa sedari seorang lelaki tua berpakaian compang-camping mendekati Natasya. Lelaki itu membawa satu karung plastik hitam yang disandang pada bahunya. Bau lelaki itu busuk. Macam bau sampah. Meloyakan tekak!

“Kau ambil sesuatu yang bukan hak kau. Pulangkan semula.” Suara lelaki tua itu keras. Dia menjegilkan matanya pada Natasya.

Semua orang memandang ke arahnya.

“Orang tua gila!” Ambil apa? Dia ambil apa? Natasya bertanya pada dirinya sendiri. Natasya mengundurkan langkahnya lantas berpaling meninggalkan tempat itu.

“Pulangkan! Benda itu bukan milik kau!” Pekik lelaki tua itu.

Langkah Natasya semakin laju. Nafasnya turun naik. Dia segera melolos masuk ke dalam kereta.

Natasya menggelisah di atas katil. Suara seorang perempuan mengganggu tidurnya. Natasya membuka matanya. Suara perempuan itu berada di dalam biliknya. Dia mula cuak. Ada rakan serumah yang mahu menakutkan dia ke? Mereka gemar bercerita tentang hantu malam-malam. Terutamanya malam jumaat. Natasya tidak beberapa gemar mendengarnya.


“Pulangkan… pulangkan balik.” Merinding dia mendengar suara tersebut. Pintu biliknya tertutup rapat.

“Wei, korang jangan takut-takutkan aku!” Natasya merengus.

Busuk satu biliknya itu. Macam mana bau busuk itu masuk ke biliknya? Natasya menutup hidung.

“Pulangkan…”

Natasya menyelak kain selimutnya. Suara itu seperti berada berhampiran dengan katilnya. Dia menjenguk kepala ke lantai dari atas katilnya. Bola mata hitamnya membulat. Seorang perempuan tanpa kedua belah kaki dan berlumuran darah mengapai-gapai tangannya seperti meminta sesuatu. Sebelah mukanya yang terkopek itu menampakkan isi dagingnya yang berulat.

“Aaaaa!” Natasya menjerit ketakutan hingga mengejutkan seisi penghuni rumah sewa itu.

Pintu bilik terkuak. Suis lampu ditekan. Biliknya terang-benderang. Natasya kelihatan menggigil di atas katil.

“Kenapa ni?” Rakan serumahnya bertanya.

“Hantu. Ada hantu!” Natasya meloncat dari katil lalu memaut kedua-dua belah bahu

rakan serumahnya itu.

“Kau mengingaulah tu.” Desis rakan serumahnya itu.

Natasya meraup muka. Dia nampak jelas wajah perempuan yang menakutkan itu.


Tidak tahu apa silapnya, Andy Hakim mula dingin dengan dia. Bertegur sapa hanya melibatkan soal kerja. Natasya berkecil hati dengan tingkah lelaki itu. Dia cuba mendapatkan penjelasan dari lelaki itu.

Natasya semakin bosan untuk menunggu di lobi. Batang hidung Andy Hakim masih tidak kelihatan. Barangkali Andy Hakim ‘stayback’ di pejabat. Suasana bangunan itu semakin sunyi. Telinga Natasya menangkap bunyi tangisan perempuan itu berdekatan dengannya. Sayup-sayup.

Huuuu… Huuuu… Huuuuu…

Ada teman sepejabat yang masih tidak pulang lagikah? Natasya mencari-cari suara tangisan itu. Dia terlihat ada perempuan sedang terenjut-enjut di balik pasu pokok bunga. Dia amati perempuan itu.

Bau busuk menusuk hidung. Pengemiskah? Masakan pengemis boleh terlepas masuk? Apabila mata terpaku pada kedua belah kaki perempuan itu, Natasya tidak jadi itu menyapa.

“Pulangkan… aku tahu kau nampak aku… pulangkan barang aku…”

Tahu-tahu perempuan itu sudah berada di depan mata Natasya dengan wajah ngerinya. Natasya berlari keluar dari bangunan. Dia menyorok di belakang badan keretanya. Nafasnya tidak keruan.

Sebatang tangan menyentuhnya dari belakang. Natasya menjerit sekuat-kuat hatinya.

“Arghhhhh!”

“Tasya… Saya ni.”

Natasya berhenti menjerit sebaik mendengar suara serak-serak basah itu. Dia memalingkan tubuhnya.

“Andy…”

Nafas lega ditarik perlahan-lahan. Natasya memandang sekeliling tempat letak kereta itu. Tiada lagi perempuan tidak berkaki itu mengesot mengekori dia.

What’s wrong with you?” Tanya lelaki itu. Riak mukanya serius.

“Sa…sa… saya naa… nampakk… hantuuu… perempuann tuu… takdee kakii… saya takutt…” ujar Natasya tersekat-sekat. Jelas ketakutan terpamer pada wajahnya.

Andy Hakim mengalihkan lirikan matanya pada loket yang dipakai oleh Natasya.

“Awak dah ambil barang yang bukan hak awak. Awak patut pulangkan balik dan akui kesalahan awak. Tak susah kan?”

“Sa… sa… saya ambil apa?” Natasya buat-buat tidak mengerti.

“Saya kecewa dengan awak. Jangan menyesal bila semuanya sudah terlambat.” Andy Hakim memberikan peringatan.

Natasya mengetap bibir. Andy Hakim berlalu. Natasya tahu barang yang dimaksudkan oleh Andy Hakim adalah loket tersebut. Masakan hanya kerana dia mengambil loket ini dihantui hantu perempuan tu? Tak mungkin? Loket tu tak nampak barnag berharga pun. Pedulikan.


Gangguan tidak berhenti setakat itu. Natasya sering terasa dirinya diekori dan diperhatikan. Malahan wajah perempuan yang menakutkan itu seringkali muncul di depan matanya.

“Kamu okey?” tegur Kak Sof Lin. Selalu juga dia melihat Natasya berwajah pucat lesi. macam nampak sesuatu yang menakutkan.

“Sa… saya okey kak.” Natasya berdalih.

Kata-kata Andy Hakim sering berulang-ulang di telinganya. Natasya masih berkeras hati. Dia tidak mengendahkan amaran yang diberikan oleh Andy Hakim itu. Hatinya berat untuk memulangkan loket itu semula.

“Kau, kalau ada masalah cakap saja pada akak. Lama-lama kau pendam boleh buat kau jatuh sakit.” Kak Sof Lin merapati ketika melihat Natasya di pantri membancuh miuman.

“Saya okey kak.” Natasya lebih suka mendiamkan diri. Lebih baik tiada sesiapa yang tahu tentang masalahnya itu. Juga tentang loket tersebut yang diambil tanpa keizinan.

“Akak tak nampak kau okey.”

“Saya nak sambung buat kerja saya kak.” Natasya bingkas keluar dari pantri. Kak Sof Lin segera mengekori gadis itu dari belakang.

Kak Sof Lin membeliakkan mata apabila melihat bayang seorang perempuan mengesot di belakang Natasya. Dia menekup mulut.

“Tasya…” Kak Sof Lin memanggil.

Natasya memalingkan kepalanya.

“Apa lagi ni kak?”

“Tak ada apa-apa.”

Natasya mendengus lalu meneruskan langkahnya. Kak Sof Lin menelan liur berkali-kali.

“Siapkan hari ini juga. Esok bos nak tengok ada atas meja.” Satu fail projek diserahkan kepada Natasya. 


Natasya merengus kecil. Tidak berkenan betul jika dapat kerja saat-saat akhir. Kak Sof Lin ingin membantu tetapi dia keras menolak.

Rambut panjang menjalar keluar dari ruang lubang-lubang airconddengan lelehan darah. Natasya khusyuk menghadap skrin komputer. Dia hanya tinggal sendirian di pejabat itu. Rakan-rakannya yang lain sudah pulang.

“Kenapa panas pulak ni?” Natasya mula pelik. Tangan kanannya mengipas-ngipas muka. Dia bingkas bangun dari tempat duduk untuk memeriksa aircond berdekatannya itu.

Terbelalak mata Natasya melihat rambut yang menjalar panjang keluar dari lubang-lubang aircond dengan lelahan darah. Natasya menjerit. Pen terlepas dari tangan Natasya. Lampu seluruh pejabat itu terpadam sendiri. Natasya mula panik.

Dia teraba-raba mencari mejanya. Segala barang di atas meja itu jatuh ke lantai. Dia berjaya mencapai telefon bimbitnya. Lantas dia menyalakan lampu dari telefonnya itu.

“Pulangkan… pulangkan balik!”

Suara hantu perempuan itu lagi. Natasya menghalakan cahaya pada lantai. Perempuan itu berada kakinya. Ulat-ulat pada pipi perempuan yang terkopek itu mula jatuh ke atas kasutnya. Mata warna putih itu merenung ke arahnya.

“Apa kau nak dari aku? Kau nak loket ni? aku takkan bagi pada kau!” Natasya tak tahu mengapa dia boleh berkata sedemikian.

Natasya membuka langkah. Dia tidak menoleh ke belakang lagi.

“Pulangkan… pulangkan balik!!” Lembaga perempuan itu mengesot laju mengejar langkah Natasya. Merintih-rintih perempuan itu meminta Natasya memulangkan barangnya.

Natasya menyorok di dalam pantri. Natasya sudah takut separuh mati. Lembaga perempuan yang mengerikan itu asyik mengejarkan. Lembaga perempuan itu muncul di mana-mana.

“Jangan kacau aku! Jangan kacau aku!” Natasya menjerit. Dia menekup kedua-dua belah telinganya.

“Pulangkan… pulangkan…”

Perempuan itu muncul di muka pintu pantri. Natasya menjerit. Dia segera melangkah keluar dari pantri tersebut. Kakinya tersandung pada tubuh perempuan itu. Natasya tersungkur. Perempuan itu memaut kakinya.

“Pulangkan… pulangkan…” suaranya merayu-rayu. Suara tangisannya bergema.

“Lepaskan kaki aku! Lepaskan!” Natasya menendang-nendang muka perempuan itu. Perempuan menyeringai ke arahnya. Sebaik berjaya melepaskan kakinya dari pautan perempuan itu, Natasya segera berlari meninggalkan pantri. Dia cuba keluar dari bangunan tetapi perempuan yang menakutkan itu muncul di setiap pintu keluar. Natasya memanjat tangga kecemasan.


Natasya sudah berada di atas bumbung bangunan. Seluruhnya tubuhnya menggeletar. Mata tidak lepas pandang dari memerhati pintu yang terbuka. Perempuan itu mengesot laju sekali.

“Pulangkan… pulangkan balik hak aku!” Perempuan itu masih meminta.

Loket yang tergantung pada lehernya itu digenggam dengan erat. Dia masih enggan memulangkan loket itu.

“Loket ini aku takkan bagi pada kau! Aku takkan bagi kau!” Natasya seperti kerasukan. Dia ketawa lalu terjun dari bumbung bangunan itu. Tubuh Natasya melayang-layang lalu terhempas di atas jalan. Kepala Natasya pecah hingga menampakkan sebahagian otaknya. Mata Natasya terbelalak memandang ke atas.

Tap! Tap! Tap!

Seorang lelaki berdiri di samping Natasya yang sudah kaku tidak bernyawa itu. Kepalanya digelengkan perlahan. Lelaki itu menggeleng perlahan.

“Loket ni ibu saya punya. Awak ambil yang bukan hak awak. So, itu balasan yang harus awak terima kerana mengambilnya.” Andy Hakim merentap loket di leher Natasya.

Tubuh Natasya yang tidak bernyawa dipandang dengan wajah tanpa perasaan. Dia tertarik pada Natasya tetapi gadis itu mengambil barang berharga milik ibunya. Lembaga perempuan itu muncul lalu memaut pada kaki Andy Hakim.

Andy Hakim mengalihkan pandangan ke arah perempuan itu. Loket itu amat berharga buat ibunya. Natasya bukan orang pertama yang mencuri loket tersebut. Sesiapa yang melihat loket itu seakan terpukau dan mengambilnya.

“Ibu, mari kita pulang.” Andy Hakim melangkah pergi bersama loket di tangannya.


TAMAT

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.