Home Novelet Seram/Misteri PROJEK SERAM - HOSTEL : SYY...
PROJEK SERAM - HOSTEL : SYY...
Illya Abdullah
17/10/2016 13:11:49
15,506
Kategori: Novelet
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
Bab 3

LIMA orang gadis yang saling tidak mengenali berkumpul di tempat sama. Sebuah van yang penuh dengan peti-televisyen kecil kelihatan di situ bersama peralatan penggambaran yang lain. Syahsyamusa mengatakan mereka sudah meletakkan CCTV di setiap sudut dalam hostel berkenaan kecuali di dalam tandas dan bilik hostel yang bakal mereka tidur.

“Saya Syahsyamusa. Panggilan ringkasnya Syah. Yang sebelah kanan saya berbadan gemuk ohsem ni namaya Bob dan yang sebelah kiri saya pula Fandi,” ujar Syahsyamusa memperkenalkan diri dan rakan-rakannya.

Syahsyamusa kelihatan sedang berbisik dengan Bob yang berbadan gemuk itu. Kemudian dia berpaling semula ke arah ke lima-lima gadis itu. Rupa parasnya sudah cukup memikat perhatian mereka. Dia mengukir senyuman. Timbul lesung pipit pada kedua-dua belah pipinya.

Syahsyamusa memegang sekeping kertas bersaiz A4. Senarai nama pelakon yang bakal menjayakan telemovie seram mereka kali ini. Semuanya perempuan tiada lelaki langsung. Mereka tidak memerlukan pelakon yang ramai.

“Daliana…” panggil Syahsyamusa.

Dia menyebut nama gadis itu yang pertama.

“Saya,” ujar Daliana mengangkat tangannya.
Lelaki itu mengukirkan senyuman ke arah Daliana. Daliana membalas dengan senyuman nipis.

“Faeza…”

Faeza mengangkat tangan dengan senyuman terlukis di bibir. Matanya tidak lari dari menatap raut wajah lelaki kacak itu.

Nama seterusnya dibaca.

“Widelia… Amani…”

Kedua-dua gadis itu turut mengangkat tangan.

“Akhir sekali Rosmuna.”

Gadis yang khusyuk menghadap ke arah bangunan hostel itu memaling tubuhnya.

“Ya, saya.”

Mata mereka bersatu. Lelaki itu segera melarikan lirikan matanya.

“Bagus! Semua pelakon utama kita sudah ada di sini.”

Fandi merapati.

“Suri dan yang lain akan sampai malam esok,” beritahu Fandi.

Syahsyamusa sekadar mengangguk.

“Baiklah, saya rasa kamu berlima sudah maklum dengan cerita yang bakal kamu lakonkan. Kamu berlima akan berlakon dalam telemovie seram saya yang bertemakan game ‘MENCARI JALAN KELUAR’. Game yang memerlukan kemesraan kamu berlima dengan hantu-hantu di hostel ni nanti.

Saya tak perlukan kru yang ramai atau set penggambaran yang canggih untuk telemovie saya. Saya tak perlukan effectkhas yang dibuat-buat. Saya mahukan yang original. Saya inginkan kelainan. Dalam telemovie seram ni tiada skrip diperlukan untuk kamu hafal. Watak kamu perlu natural dengan dialog kamu sendiri.”

“Kamu berlima boleh menarik diri sekarang jika kamu tak sanggup tapi kamu perlu membayar ganti ruginya kerana kamu sudah menandatangan kontrak perjanjian dengan saya. So, kamu memang tak boleh menarik diri. Dan jangan rosakkan cerita saya dengan perkara remeh-temah jika ada sebarang masalah timbul selesai dengan cara profesional.” Panjang lebar penerangan dari Syahsyamusa.

“Kejam tetapi I like.” Rosmuna bersuara.

“I tiada masalah sebab I memang pernah berlakon sebelum ini,” ujar Faeza sambil mengerling

Rosmuna.

“Ada sebarang pertanyaan lain?”

Kelima-lima mereka menggeleng perlahan.

“Bob, kau bawa mereka masuk ke hostel tu. Kau terangkan apa yang patut nanti dan berikan mereka arahan untuk cerita kita,” arah Syahsyamusa kepada rakannya itu.

“Okey. Ikut saya girls.”

Mereka segera mengekori langkah Bob. Seorang gadis manis menghampiri Syahsyamusa bersama dua orang lelaki.

“Pelakon extra kita dah sampai!” pekik Fandi.

Gadis itu melirik senyuman nipis.

“Kata sampai esok?”

“I cuma nak hantar pakaian dulu. I kena balik semula ke KL.”

“Okey. Fandi kau teman Suri ke bilik hostel yang dia menginap nanti,” arah Syahsyamusa.

“Baik bos!” balas Fandi sambil memberikan isyarat seperti tabik hormat.


HOSTEL yang bakal mereka mereka diami untuk beberapa malam tersergam di depan mata lima gadis muda itu. Hostel yang dipilih untuk menjadi lokasi cerita seram Syahsyamusa. Mereka mengorak langkah ke hostel itu. Tiba-tiba dengupan jantung Widelia berombak laju. Seakan ada mata yang memerhatikan mereka. Bulu tengkuknya meriding. Widelia tidak berani untuk memandang ke kiri dan ke kanan. Langkahnya diayunkan mengikut rakan-rakan yang lain dari belakang.

Mulut Bob tidak berhenti bercakap tentang hostel itu. Hostel itu yang dikatakan siap dua bulan yang lalu dan dibiarkan kosong tanpa penghuninya. Ada sebab tertentu hostel itu tidak dihuni.

Krekkk!

Widelia menangkap bunyi pintu bilik berkeriut terbuka. Widelia memalingkan tubuhnya. Dia berhenti melangkah. Rakan-rakan yang lain sudah jauh di hadapan bersama Bob. Dia memesongkan ayunan langkah ke arah pintu bilik yang terbuka itu. Tindakannya itu tanpa dilakukan tanpa sedar.

Dalam bilik itu terdapat dua katil di sisi dinding kanan dan kiri. Widelia melihat seorang gadis berambut panjang melepasi paras bahu sedang berdiri menghadap ke arah jendela.

Widelia merapati gadis itu.

“Kamu datang mencari bala.” Suara gadis itu seperti berbisik.

Widelia memandang ke arah lantai. Kaki gadis itu tidak memijak lantai. Gadis itu memalingkan wajahnya ke arah Widelia tetapi wajah tidak kelihatan kerana ditutupi dengan rambutnya.

Hanya bibir pucatnya kelihatan sedang melirik senyuman. Tubuh gadis itu seperti melayang-layang keluar dari bilik itu. Lantas pintu bilik itu tertutup dengan sendiri. Widelia cuba membuka pintu bilik itu. Pintu itu tidak boleh dibuka.

Dia mengetuk-ngetuk pintu itu dari dalam.

“Tolong!” jerit Widelia memanggil rakan-rakannya.

Daliana berhenti dari melangkah. Telinganya menangkap suara seseorang meminta tolong. Dia memandang rakan-rakan yang lain. Widelia tidak kelihatan bersama mereka.

Daliana segera berpatah ke belakang. Tindakannya itu mengejutkan mereka yang lain.

“Kenapa tu?” soal Amani.

Faeza menjungkit bahu.

“Entah.”

Daliana mencari-cari arah suara jeritan itu.

“Widelia!” pekik Daliana memanggil nama Widelia.

“Daliana! Daliana! Aku kat sini!”

Dia bersyukur ada yang menyedari kehilangannya.

Sebaik sahaja mendengar suara Widelia, Daliana segera menuju ke arah sebuah bilik hostel yang berdekatannya. Dia memulas tombol pintu bilik berkenaan.

“Widelia…” panggil Daliana.

“Daliana!”

Pintu bilik itu terbuka. Widelia meluru dan memeluk Daliana. Esakan kecil kedengaran.

Daliana mengusap-usap belakang gadis itu. Dia tidak mahu bertanya. Mereka kembali menyertai rakan-rakan yang lain. Suara Widelia seakan tersekat apabila Bob bertanya apa yang berlaku. Sudahnya dia hanya mendiamkan diri menyimpan cerita yang berlaku ke atas dirinya itu.

Bob menyerahkan kunci mengikut nombor hanya kepada Rosmuna, Daliana dan Amani. Tiga-tiga bilik itu saling berdekatan.

“Disebabkan tuan pengarah kita tidak mahu ada anasir luar mengganggu, kamu kena serahkan telefon bimbit kamu kepada saya. Don’t worry saya tak usik telefon bimbit kamu. Lepas shooting selesai saya kasi balik.”

Mereka tiada pilihan. Masing-masing menyerahkan telefon bimbit mereka kepada Bob dalam keterpaksaan.

“Bagus… bagus… kau orang akan berteman tidur untuk malam ini jadi tak perlu takut. Kau orang tak akan keseorangan tanpa teman. Rosmuna akan sebilik dengan Faeza, Amani dengan Widelia dan Daliana… rakan kamu akan datang esok malam.” Sempat juga Bob berjenaka dalam ayatnya.

“Ada pelakon yang keenam?” tanya Rosmuna.

Bob tidak membalas. Dia hanya tersengih merenung wajah kelima-lima gadis itu. Kemudian, dia berlalu meninggalkan mereka tanpa membalas pertanyaan Rosmuna.

Mereka saling berpandangan.

“Ada sebarang masalah ke?” ujar satu suara gadis di belakang yang mengejutkan mereka berlima.

Serentak mereka memusingkan tubuh masing-masing.

“Kau ni siapa pulak. Kau ke yang pelakon keenam tu?” soal Rosmuna terus melenting.

Gadis itu dipandang atas dan bawah.

“Bukan. Nama aku Suri. Kita akan berkenalan nanti. Jangan lupa turun makan malam di kantin,” ujar gadis bernama Suri itu kemudian dia beredar.

Dia hanya mengerling kelima-lima gadis itu dengan ekor mata.

“Siapa Suri tu? Muka stone habis tu!” komen Amani.

“Mungkin salah seorang kru Syah tu… aku pun tak tahu. Tapi kenapa aku takut tengok muka dia? Mata dia kalau menjeling memang buat bulu roma aku ni meremang. Macam hantu,” sampuk Faeza.

Rosmuna hanya ketawa kecil.

“Aku tak nampak apa-apa yang pelik kat dia pun.”

“Itu kau. Aku rasa seram tengok mata tajam dia,” jawab Faeza spontan sambil memeluk tubuh.


Dapatkan PROJEK SERAM  HOSTEL sekarang di karangkrafmall.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.