Home Cerpen Seram/Misteri HARUM DURJANA
HARUM DURJANA
Illya Abdullah
23/7/2016 23:50:25
11,227
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

CINTA Nurain wanita cantik idaman lelaki itu telah dimiliki. Rasa kecewa menghambat hati Harith yang selama ini menyimpan perasaan pada wanita itu dalam diam. Harith hanya mampu memandang wanita idamannya bersanding di atas pelamin bersama jejaka pilihan wanita itu.

Ucapan ‘selamat pengantin baharu’ juga tidak terungkap di bibirnya. Senyumannya dalam tangisan. Juliana yang duduk di sisinya itu hanya mencebik. Hatinya dipaut rasa cemburu melihat Harith yang seakan masih mengharapkan cinta dari Cinta Nurain.

Apalah yang dipandang sangat pada Cinta Nurain itu. Kalau nak kata cantik tidaklah cantik mana. Dia lebih cantik cuma dari segi harta benda Cinta Nurain lebih darinya. Senyuman sinis terukir di hujung bibir Juliana. Rancangan yang diaturkan berjalan dengan lancar.

Syarul bijak memainkan peranan memikat hati Cinta Nurain. Dia mengupah Syarul untuk mendekati gadis itu tetapi tidak diduga yang Syarul akan mengahwini Cinta Nurain. Mungkin kerana harta milik Cinta Nurain? Apa yang penting Cinta Nurain tidak bersama Harith. Peluangnya lebih cerah.

“I nak balik.” Harith bingkas bangun. Dia tidak betah untuk berada lebih lama di situ lagi.

Juliana segera mengekori langkah panjang Harith.

“Harith.” Lengan sasa Harith dipaut.

“You tak perlu berpura-pura depan I. I tetap takkan menerima you. Sekali you curang pada I, I akan ingat sampai mati.”

Juliana mencebir bibir. Hatinya cukup panas dengan Harith yang masih tergila-gilakan Cinta Nurain.

“I dah berubah, Harith. Berikan peluang kedua untuk I. Untuk apa you terkejar-kejarkan perempuan yang tidak sudi pada you? I kan ada. I masih cintakan you.”

“You takkan dapat peluang kedua itu.” Harith menarik lengannya dari pautan jemari runcing Juliana. Hatinya tidak mungkin akan berpaling pada Juliana. Sekali dia dikhianati selamanya akan diingati.

Juliana mengetap bibir. Harith kembali mengaturkan langkahnya tanpa mempedulikan Juliana.

“Kalau I tidak dapat memiliki you, mana-mana gadis pun tidak akan memiliki you!” Jerit hati kecil Juliana.

Harith hanya boleh menjadi miliknya seorang. Juliana turut meninggalkan majlis tersebut.

*****

TIGA bulan yang lalu mereka cukup bahagia. Tiba-tiba saja, Syarul berubah laku. Lelaki itu sering marah-marah dan pulang lewat ke rumah. Cinta Nurain gelisah dengan perubahan Syarul yang mendadak. Syarul sudah menjadi orang lain. Mereka acapkali bertengkar kerana perkara yang remeh-temeh. Syarul juga sudah berani memukul tubuhnya. Kerana sayang, Cinta Nurain masih bersabar dengan sikap dan kerenah Syarul.

Cinta Nurain pening memikirkan masalah rumah tangganya. Tambahan pula dia sudah berbadan dua. Kesihatannya juga kian merosot. Demi anak yang dikandungnya, Cinta Nurain gagahkan juga dirinya untuk menempuhi liku kehidupan.

“Kalau akulah, aku sudah lama minta cerai.” Desis Natalia sahabat yang dikongsi cerita suka dan dukanya.

“Aku sayangkan Syarul.”

Natalia menggeleng perlahan.

“Kau sayang tapi dia buat kau macam hamba abadi. Lelaki macam Syarul tu tak layak buat kau. Kau ni tak pandai nilai kaca dengan permata.” Marah Natalia.

“Aku tak kisah aku hilang segala harta benda yang aku miliki asalkan Syarul tidak tinggalkan aku. Aku mahu hubungan kami macam dulu.” Cinta Nurain menyapu air mata yang berjuraian.

“Kau memang bodoh! Bodoh! Kalau kau bagi dia harta setinggi gunung pun dia tidak akan hargai kau. Cinta Syarul tidak ikhlas!” Bentak Natalia.

Cinta Nurain terdiam. Natalia mengusap-usap bahu Cinta Nurain. Dia mahu sahabatnya itu buka mata. Syarul tidak ikhlas.

Malam itu Cinta Nurain menerima panggilan dari seorang perempuan yang memintanya datang ke sebuah hotel mewah. Hati Cinta Nurain hancur berkecai apabila melihat adegan di depan matanya itu. Kini, dia telah melihat kecurangan Syarul.

Syarul tanpa rasa bersalah meninggalkan bilik hotel itu bersama kekasih gelapnya. Juliana yang mengintai di balik dinding tersenyum senang hati. Dia suka melihat kebahagiaan Cinta Nurain hancur di dalam tangannya.

“Macam mana? sakit hati tak?” Juliana keluar dari tempat persembunyiannya. Tangannya disilangkan.

Cinta Nurain memalingkan tubuhnya.

“Kau?”

“I rasa Harith tentu seronok tengok rumah tangga you musnah. Pastinya perempuan ber-

sama husband you tu diupah oleh Harith. Setahu I perempuan tu salah seorang staf pejabat Harith.”

Juliana berlalu dengan senyuman sinis yang terukir di hujung bibir. Juliana sengaja memburuk-burukkan Harith pada Cinta Nurain.

*****

CINTA Nurain termakan dengan kata-kata Juliana. Kebencian dan dendam bersatu di hati Cinta Nurain. Dia tidak menduga Harith akan merosakkan kebahagiaannya. Harith mencemburi cintanya bersama Syarul. Dia tidak menduga yang Harith berhati busuk. Dia menghormati lelaki itu selama ini.

Cinta Nurain bingkas bangun dari sofa sebaik melihat Syarul melangkah masuk. Dia menghalang laluan suaminya itu. Syarul mendengus kasar. Tidak senang tingkah isterinya itu.

“Kau nak apa lagi ni?”

“Siapa perempuan tu?” Cinta Nurain mahu Syarul berterus terang dengannya. Syarul tidak perlu berselindung lagi.

“Kau nak tahu siapa perempuan tu?”

Renungan tajam Syarul menggentarkan hati Cinta Nurain.”

“Siapa dia bang?”

“Dia itu bakal madu kau! Puas hati!”

“Sampai hati abang!”

“Aku boleh tinggalkan dia jika kau berikan semua harta kau pada aku. Aku mahu semua harta kau itu atas nama aku seorang. Boleh?”

Cinta Nurain mengetap bibir.

“Saya takkan berikan satu sen harta pun pada abang.”

Syarul mencekak rambut Cinta Nurain.

“Aku tak kisah tapi jangan kau haraplah aku akan lepaskan kau. Kalau aku nak kahwin dengan prempuan itu pun kau tak boleh halang aku.”

“Sekalipun abang bunuh saya, saya tidak akan serahkan harta saya pada abang.”

Syarul melepaskan rambut Cinta Nurain.

“Kali ini kau menang! Tapi lepas ini nasib kau dalam tangan aku, termasuk anak dalam kandungan kau itu!”

Syarul berlalu. Nafas Cinta Nurain turun naik.

*****

SYARUL meneguk airnya sehingga habis. Hatinya sedang membara dengan sikap keras kepala Cinta Nurain. Cinta Nurain masih berdegil. Puas dia menggunakan kekerasan pada isterinya itu. Cinta Nurain masih bertahan.

Juliana hanya tersenyum melihat tingkah Syarul. Syarul tentunya sedang bengang kerana gagal memiliki harta milik Cinta Nurain sepenuhnya.

“Aku kasihan dengan kau, perempuan lembik seperti itu pun kau tak reti mahu bereskan.”

Syarul mengalihkan pandangan ke arah Juliana.

“Kau ada cara?”

“Bunuh saja dia?”

Terjegil mata Syarul. Juliana begitu selamba dengan kata-katanya itu.

“Kau berani? kalau kau takut aku tak boleh buat apa-apa. Keputusan terletak dalam tangan kau. Itupun kalau kau anak jantan.” Juliana menyambung kata-katanya.

“Kau fikir aku takut?” Syarul mula tercabar.

*****

TUBUHnya diseret tanpa belas kasihan. kedua-dua lelaki itu ketawa melihat keadaan Cinta Nurain yang terseksa itu. Gadis angkuh yang sedang duduk menyilang kaki itu bingkas bangun. Dia menekan-nekan perut Cinta Nurain dengan kasut tumit tingginya itu. Cinta Nurain menjerit kesakitan. Kemudian dia memjijak jari-jemari Cinta Nurain.

Juliana ketawa halus. Dia bercangkung lalu mencekak rambut Cinta Nurain.

“Kau tiada pilihan. Kalau kau tak sain dokumen penyerahan harta ini maka aku bunuh anak dalam kandungan kau! Aku janji aku akan lepaskan kau jika sain dokumen tu.”

Syarul muncul bersama satu dokumen di tangan. Tiada riak belas kasihan di wajah Syarul. Tidak diduga selama ini dia ditipu. Juliana bersekutu dengan Syarul. Syarul hanya berpura-pura mencintainya.

Syarul menyerahkan dokumen perpindahan segala harta itu kepada Cinta Nurain. Terketar-ketar Cinta Nurain menyainnya. Air matanya mengalir laju. Dia terpaksa demi nyawa anak dalam kandungannya itu.

Juliana dan Syarul senyuman lebar sebaik melihat tandatangan di atas dokumen itu. Syarul sudah menjadi kaya-raya dan dan dia akan mendapat bahagiannya dari harta tersebut.

“Apa kamu berdua nak buat pada dia, terpulanglah pada kau.” Syarul memalingkan tubuhnya. Dia menghilang.

Juliana memandang Cinta Nurain dengan pandangan jengkel.

“Kau dengar tu. Dia tak kisah kau kalau aku bunuh kau dan anak kau itu.”

Cinta Nurain mengesot dan memeluk kedua belah kaki Juliana.

“Aku sudah buat apa yang kau suruh. Kau dah janji akan lepaskan aku.” Cinta Nurain merayu. Dia tidak kisah dia hidup melarat asalkan kandungannya selamat.

“Aku tak ingat bila aku berjanji akan lepaskan kau. Aku tak sabarlah nak tengok anak dia dengan Syarul tu.” Suara Juliana. Matanya dikalih pada perut Cinta Nurain yang sudah agak kelihatan itu.

“Tolongggg lepaskannn akuuu…” Cinta Nurain masih merayu.

“Tolong tarik perempuan sial ni jauh dari aku!” Pekik Juliana.

Orang upahan Juliana menarik kasar tubuh Cinta Nurain. Cinta Nurain terbaring di atas lantai. Perutnya semakin sakit. Lelaki berkumis nipis itu memecahkan botol kaca yang sudah berlumut itu. Rakannya pula menekan kedua-dua belah tangan Cinta Nurain.

“Jangannnnn!”

Botol kaca yang sudah berlumut itu dirodok ke dalam perut Cinta Nurain. Darah memercik membasahi tubuh Cinta Nurain.

Arghhhhhhhhh!

Jeritan tidak diendahkan. Tanpa belas perut Cinta Nurain dirobek. Cinta Nurain yang dalam keadaan nyawa-nyawa ikan hanya mampu melihat janinnya berusia dua bulan itu dikeluarkan dari perutnya. Air matanya berjuraian tanpa henti.

“Akuuuu… tidakkk… aaakkannn… melepasskannn kamu semuaaa….” nafasnya terhenti setelah mengungkap kata-kata terakhir. Matanya terpenjam rapat.

Juliana puas hati melihat Cinta Nurain yang sudah kaku tidak bernyawa itu. Perempuan kesayangan Harith itu sudah mati. Dia ketawa mengekek. Senang hati.

“Kalau kau bangkit jadi hantu pun aku tidak takut pada kau! Berikan aku janin tu.”

Janin itu diserahkan kepada Juliana. Juliana campak janin itu ke tanah kemudian dia memijak janin itu tanpa perikemanusiaan.

“Cincang janin tu dan tanam bersama ibunya. Pastinya tiada sesiapa akan menemui mayat mereka.” Juliana memberikan amaran terakhirnya.

Tubuh kaku Cinta Nurain yang berlumuran darah itu diangkat. Tubuh itu dicampakkan ke dalam lubang yang telah tersedia. Janin yang sudah dicincang itu turut dicampakkan bersama.

Cinta Nurain bersama anaknya ditimbus.

*****

CINTA Nurain hilang tanpa dikesan. Orang yang paling sedih atas kehilangan Cinta Nurain adalah suaminya. Syarul bijak berlakon di hadapan semua orang. Syarul menunjukkan rasa kesalnya kerana banyak menyakiti dan mengabaikan isterinya itu.

Natalia hanya merenung Syarul tajam. Dia yakin Syarul terlibat dalam kes kehilangan sahabat baiknya itu tetapi dia tiada bukti untuk menuduh Syarul. Sehari sebelum kehilangan Cinta Nurain, sahabatnya itu ada bertemu dengan dia mengadu tentang Syarul.

Natalia menyampaikan berita sedih itu kepada Harith. Terlepas fail-fail dari pegangan Harith. Natalia kesal kerana gagal menghalang Cinta Nurain dari mendekati Syarul. Dari mula lagi dia tidak menyenangi Syarul. Lelaki itu pula bijak memenangi hati sahabatnya berbanding Harith. Jika Cinta Nurain berkahwin dengan Harith tentu sahaja sahabatnya itu sudah berbahagia sekarang.

“Kau tak tipu aku?”

“Untuk apa aku nak tipu kau.”

Harith terduduk pada kerusi ini. Dia sentiasa menyibukkan diri dengan urusan kerja agar tidak terfikir tentang Cinta Nurain. Cintanya pada wanita itu masih kukuh di hatinya. Dia mengambil peluang untuk menguruskan projek-projek yang memakan masa berbulan lamanya di luar negara.

“Aku tak sedap hatilah, Nat. Aku takut jika benda tak baik berlaku pada Cinta.”

“Kita sama-sama berdoa Cinta ditemui dalam keadaan selamat.” Natalia tahu harapannya itu mungkin tidak akan menjadi kenyataan. Segalanya adalah ketentuan Ilahi. Dia masih tidak berhenti untuk berdoa.

Harith mengangguk lemah.

*****

GURUH bergema dilangit. Kawasan banglo tinggal itu begitu gelap gelita. Pokok-pokok bergoyang ditiup angin. Lolongan anjing jelas bersahut-sahutan. Buaian pada sebatang pokok besar itu kelihatan berayun perlahan. Kelibat lembaga seorang wanita berambut panjang sedang duduk di atasnya. Wanita itu seperti sedang mendodoi bayi dalam pelukannya. Air mata berupa darah mengalir dari kelopak matanya. Sebaik rambut panjangnya ditiup angin jelas kelihatan belakang tubuhnya berlumuran darah.

Suara tangisan wanita itu mendayu-dayu berselang seli dengan suara lolongan anjing. Kemudian suara tangisan itu bertukar dengan hilaian tawa yang menyeramkan. Kelibatnya hilang dalam sekelip mata.

BIBIRnya bersiul-siul kecil sambil mengira sejumlah wang yang sudah berada di dalam tangan. Upah yang cukup lumayan. Zaim mencium wang habuannya. Rezekinya bekerja dengan orang kaya. Malam ini Zaim akan berseronok sepuas-puasnya. Dia tidak perlu fikirkan tentang hutang-piutang yang sentiasa membelenggu hidupnya itu. Dia sudah bebas dari segala hutang.

Zaim menanti teman wanita di sebuah kelab malam. Tangannya mengetuk meja berkali-kali. Dia tidak senang duduk. Dia sudah tidak sabar mahu memberikan ‘hadiah’ untuk teman wanitanya itu.

“Sayang…” bahunya disentuh dari belakang.

Seorang gadis genit melakar senyuman manis buatnya.

“Hana, kenapa lambat?” Zaim buat muka monyok.

“Maaflah sayang. I tunggu teksi tadi.”

“You naik teksi? kereta you mana?” Dahi Zaim berkerut.

“Masuk bengkellah sayang.”

Zaim mengusap-usap dagunya. Dia sedang merencana sesuatu.

“Apa kata malam ni you bermalam di rumah I?”

Hana mencubit lengan Zaim.

“Nakallah you ni.” Hana tersenyum manja.

Zaim ketawa kecil. Dia mula berbisik pada telinga Hana.

“I tak paksa.”

“I okay saja.”

Jinak pulak Hana malam ini. Zaim tersengih. Hana akan berada dalam pelukannya malam ini. Hana memaut lengan sasa Zaim. Mereka langkah keluar dari kelab tersebut.

“Cantik kereta you?” Hana bersuara sebaik berada di dalam kereta.

“Biasalah kereta baharu tentulah cantik.”

“Banyak duit you.”

Zaim mengeluarkan sebentuk cincin dari kocek seluarnya. Terbeliak bola mata Hana.

“Untuk you.” Zaim menyarungkan cincin pada jari manis Hana.

Thanks dear.” Hana membelek-belek cincin pada jari manisnya.

Zaim tercium bau haruman di tempat parkir kereta. Haruman itu seperti pernah menusuk hidungnya sebelum ini. Wajah Zaim berubah apabila melihat kelibat seorang perempuan yang sedang mendukung anak di pintu lif. Dia kenal dengan perempuan itu.

“Cinta Nurain…” Perempuan tu sudah mati. Dia segera menghidupkan enjin kereta. Kereta milik Zaim mula bergerak meninggalkan pengarangan tempat parkir itu.

Zaim memandu keretanya laju. Tiba-tiba kain putih lusuh melekat pada hadapan cermin kereta Zaim. Wajah Cinta Nurain yang menakutkan muncul di depan mata Zaim. Hana yang melihatnya juga menjerit kuat. Zaim hilang kawalan hingga keretanya melanggar sebuah lori muatan berat. Zaim mati di tempat kejadian. Hana cedera parah.

*****

DINN menelan liur. Dia tak sangka Zaim akan mati begitu tragis. Suara perempuan menangis mengganggu fikiran Dinn yang sedang sibuk menyiapkan kerjanya di komputer. Pelik. Setahu dia, staf-staf di syarikat itu sudah pulang. Siapa pula yang kerja lebih masa?

Dinn melangkah keluar dari bilik pejabatnya. Suara tangisan itu masih kedengaran. Ruang pejabat itu mula menjadi malap. Kemudian lampu kalimantan terpadam sendiri. Dinn merengus kecil.

Suara tangisan perempuan itu semakin sayup-sayup. Dinn kembali ke bilik pejabatnya. Seram pula dia mendengar suara tangisan itu hingga bulu romanya meremang. Dinn mencari-cari kunci keretanya. Dia ingin terus pulang. Tiada kerja yang boleh dibuat dalam keadaan gelap begini.

Bau haruman semerbak memenuhi ruang bilik pejabat Dinn. Haruman yang wangi itu bertukar dengan bau yang sangat busuk. Dinn menekup hidung. Bayang seorang perempuan muncul di belakangnya.

“Malam ini akan jadi malam terakhir kau!”

Suara perempuan di belakangnya mengejutkan Dinn. Dia memusingkan tubuhnya. Terbelalak mata Dinn melihat perempuan bermuka pucat dengan mata kemerahan merenungnya garang. Air mata darah mengalir dari kelopak mata perempuan itu.

Dinn sudah kehilangan kata-kata. Dia seperti terpasung di situ. Wayar telefon menjalar dengan sendiri lalu membelit leher Dinn. Dinn mula seksa nafas. Dia cuba melawan tetapi tubuhnya seperti tidak mampu untuk digerakkan. Wajah Dinn mula membiru. Wayar telefon itu menjalar ke kipas lalu mengheret tubuh Dinn naik ke atas.

Cinta Nurain hanya melihat Dinn putus nafas tanpa rontaan. Mata Dinn terbeliak besar dan lidah terjelir keluar. Dia menghilang menembusi dinding dengan suara tangisan yang sayup-sayup.

SYARUL tidak senang duduk. Zaim dan Dinn mati dalam keadaan mengerikan. Siapa yang membunuh mereka? Tiada sesiapa yang tahu. Tidurnya tidak pernah lena. Mimpinya didatangi oleh Cinta Nuraian bersama anaknya. Suara tangisan yang mengganggu saban malam. Bayangan Cinta Nurain berada di mana-mana. Bau haruman yang dipakai isterinya sentiasa dicium dalam segenap ruang banglo itu.

Natalia ada menyerangnya dan menuduh dia menyorokkan Cinta Nurain. Malahan wanita itu dengan berani mengatakan yang Cinta Nurain mati dibunuh. Dia tidak membunuh isterinya itu. Orang-orang upahan Juliana yang membunuhnya.

Dan malam itu Cinta Nurain kelihatan sedang duduk dikerusi rehatnya sambil mendodoi bayi di dalam pangkuannya. Rambutnya yang panjang tidak terurus. Pakaiannya koyak rabak dengan warna yang lusuh. Suara Cinta Nurain sudah cukup buat Syarul merinding.

Syarul cuba berlari keluar dari banglo itu tetapi pintu yag tertutup tidak dapat dibuka. Dia terperangkap. Siapa pun tidak akan dapat membantunya melepaskan diri dari dendam isterinya itu.

Cinta Nurain bingkas bangun.Dia memusingkan tubuhnya. Wajahnya pucatnya berubah perlahan-lahan. Jelas kulit mukanya yang pucat itu tertanggal menampakkan isi dagingnya yang berulat. Bayi yang dalam pangkuannya sudah tiada.

Haruman wangi bertukar menjadi busuk.

“Heheheheee…” Hilaian tawanya semakin nyaring.

Syarul membuntangkan matanya. Cinta Nurain yang sudah berwajah hodoh itu melayang-layang merapati Syarul. Mereka saling bertentangan mata.

“Kenapa abang buat Cinta macam ni?” Sayu suara Cinta Nurain. Air mata darahya mengalir.

Syarul mengetap bibir.

“Aku kahwin dengan kau sebab harta. Aku tak mahu hidup merempat! Tapi kau tak mahu bagi harta kau pada aku. Aku tiada cara lain selain bunuh kau! Marilah bunuh aku! Aku ada depan mata kau sekarang! Bunuhlah aku! Aku tak takut!” Pekik Syarul sambil menepuk-nepuk dadanya.

“Kau kejam!”

“Kau yang bodoh! Kau yang cintakan aku! Kau fikir aku takut mati!” Lantang kata-kata Syarul.

“Betul, kau tak takut mati?” Cinta Nurain menyeringai. Leher Syarul dicekak dengan kemas.

“Bunuhlah aku!”

Cinta Nurain melepaskan jari-jemarinya dari leher Syarul. Syarul terbatuk-batuk kecil. Dia sudah takut separuh mati.

“Aku nak kau mati dalam terseksa.” Matanya masih tajam merenung wajah Syarul.

Syarul mengundur beberapa langkah ke belakang. Jantung berdengup kencang. Kuku runcing Cinta Nurain mencakar wajah tampan Syarul. Syarul menjerit kesakitan.

Darah membasahi wajahnya.

“Kau takkan sampai hati nak bunuh aku. Aku tahu kau sayangkan aku kan?”

Cinta Nurain hilang dari pandangan mata Syarul. Syarul mengambil peluang itu melarikan diri naik ke tingkat atas. Syarul naik ke loteng. Tiba-tiba Cinta Nurai di depan matanya tanpa sempat dia menuju ke arah jendela. Bagaikan ada kuasa menerpa ke arahnya hingga tubuhnya merempuh ke jedenla loteng lalu tubuhnya melayang jatuh dan terhempas di atas bumbung kereta. Darah mengalir dari celahan bibir Syarul. Tubuh Syarul seakan tidak bergerak lagi.

******

JULIANA menjerit melihat Syarul yang seperti sudah keputusan nafas di atas bumbung kereta itu. Juliana mendongak ke atas. Harith yang berada di sebelah turut memberikan reaksi yang sama. Juliana mengajaknya ke rumah Syarul kerana risaukan lelaki itu. Harith tahu Juliana menjalinkan perhubungan dengan Syarul. Dalam pada yang sama Juliana masih memikat untuk memiliki cintanya.

“Cinta…” Dari jendela loteng itu mereka melihat Cinta Nurain. Juliana sudah memaut lengan baju Harith.

Betterkita pergi dari sini.”

Harith tidak mengendahkan Juliana. Dia meluru masuk ke dalam banglo tersebut.

“Cinta!” Dia berteriak memanggil perempuan itu.

Juliana turut menuruti langkah Harith. Dia berdiri di belakang Harith. Cinta Nurain sudah mati. Tapi perempuan yang berada di loteng itu adalah Cinta Nurain. Tak mungkin perempuan itu masih hidup.

“Kamu semua harus mati!” Suara Cinta Nurain kedengaran di telinga Juliana. Rambut Juliana direntap dari belakang.

“Aaaa!”

“Juliana?”

Juliana sudah tidak berada lagi di belakangnya.

“Tolong I, Harith.” Pekik Juliana.

Juliana diheret ke ruang dapur. Mata Harith hanya melihat samar-samar seorang perempuan mengheret Juliana.

Harith cuba menolong tetapi kakinya terpasung di lantai.

Sebilah pisau ditarik keluar dari dalam laci dengan sendiri. Juliana sudah terbaring di lantai dapur dengan kedua belah tangan yang bagaikan terikat di dada lantai. Harith membuntang matanya.

“Juliana!”

Cinta Nurain menjelma dengan wajah yang penuh amarah. Harith tersentak melihat Cinta Nurain. Cinta Nurain yang berada di depan matanya itu bukan manusia bernyawa sepertinya tetapi…

“Ampunkan aku Cinta! Ampunkan aku!”

“Kau tak lepaskan aku ketika aku meminta dari kau? Kau bunuh aku dan anak aku. Kau tak layak hidup!”

Pisau tercacak pada dada Juliana. Perlahan-lahan pisau itu bergerak membelah dari dadanya hingga ke perut. Darah membuak-buak keluar. Juliana menggeletik hingga nafasnya putus.

Harith terpaku melihat apa yang berlaku di matanya itu. Cinta Nurain menerpa ke arahnya. Tiada perasaan takut menyelubungi lelaki itu.

“Kau pun patut mati seperti mereka!” Tangannya mengusap-usap wajah Harith.

Harith memenjamkan matanya.

“Kenapa? Apa aku yang aku dah buat pada perempuan yang paling aku cintai?”

“Kau dengan mereka sama saja. Kau juga bersubahat musnahkan hidup aku!” Jerkah Cinta Nurain.

“Aku tak pernah ada niat memusnahkan kebahagiaan kau dengan Syarul. Aku tak tahu apa yang berlaku? Apa yang sudah jadi pada kau?”

Lama Cinta Nurain memandang wajah Harith. Harith berasa tubuhnya sudah boleh digerakkan semula. Dia ingin mendekati Cinta Nurain tetapi jelmaan Cinta Nurain itu menjauhinya. Kedua belah tangan diangkat. Bayi yang berlumura darah muncul dalam dakapan Cinta Nurain.

“Biar kuburku dan anakku tiada sesiapa yang tahu.”

Perlahan-lahan Cinta Nurain hilang dari pandangan Harith.

“Cinta…”

Jawapan yang diinginkan terus menjadi tanda soal.

TAMAT

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.