Home Novel Seram/Misteri LANGSUIR
LANGSUIR
Illya Abdullah
20/4/2016 00:07:04
62,674
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
BAB 9

MEGAT Haider merempuh masuk ke pejabat wartawan itu. Matanya liar mencari seseorang. Benjy dan rakan-rakan yang lain terpaksa menghalang lelaki itu dari membuat kacau.

“Aku nak cari lelaki yang tulis cerita ni!” Surat khabar pada tangannya itu dilemparkan atas lantai.

Mata mereka mula terarah pada Benjy. Siapa lagi yang menulis cerita pembunuhan ngeri itu jika bukan Benjy.

“Aku yang tulis.” Benjy mengaku.

“Boleh kita bercakap di luar. Aku ada perkara ingin beritahu pada kau.” Megat Haider memperbetulkan kot yang dipakai. Dia merengus kecil.

“Em… okey!” Benjy bersetuju.

Mereka beriringan keluar. Encik Ali keluar dari bilik pejabatnya. Kekecohan sudah reda. Rakan-rakan sejawat Benjy hanya menjongket bahu apabila di soal oleh ketua mereka, Encik Ali.

Megat Haider mundar-mandir di hadapannya. Megat Haider seperti orang yang kegelisahan. Benjy berdiri bersandar pada dinding bangunan dengan menyeluk kedua belah tangan ke dalam saku.

“Apa masalah kau ni?” Benjy membuka bicara.

“Lelaki yang mati itu…” Kata-katanya tidak diteruskan. Dia mendesah.

“Kau ada kaitan dengan lelaki yang mati itu ke? Aku tak rasa kau yang bunuh dia. Tapi

kau macam tahu ‘apa’ yang membunuh dia?”

Megat Haider menggenggam kemas jari-jarinya.

“Ben... kau mesti tolong aku. Kau datang ke pejabat aku malam ini.” Megat Haider memaut kedua-dua bahu Benjy.

Lama Benjy merenung wajah Megat Haider. Akhirnya dia mengangguk perlahan.

Megat Haider segera beredar. Lelaki itu melolos masuk ke dalam kereta BMW nya. Terjongket kening kiri Benjy melihatnya. Megat Haider nampak tergesa-gesa.

“Pening aku dengan kau Haider.” keluh Benjy.

Kenapa Megat Haider mencari dia? Dia mula diasak dengan seribu persoalan. Dan jawapan itu akan dijawab jika dia menemui Megat Haider. Benjy mengaturkan langkah. Dia tidak boleh berlama-lama di luar. Apabila dia melangkah masuk semula ke pejabat, Encik Ali sudah sedia menunggu di mejanya. Dia tersengih seraya mengaru-garu kepalanya.

“Benjy… masuk ke bilik saya sekarang.” Arah Encik Ali.

“Baik.”

Dengan langkah malas dia mengekori Encik Ali.


PANGGILAN dari Arlissa sengaja Megat Haider tidak diendahkan. Dia menutup terus telefon bimbitnya itu. Megat Haider masih menunggu kedatangan seseorang. Dia berharap orang itu akan datang.

Bayang Benjy masih tidak kelihatan. Megat Haider tidak senang duduk di kerusi. Dia cuba menghubungi Benjy tetapi talian tidak dapat disambungkan. Barangkali Benjy sibuk dengan kerjanya. Megat Haider tidak boleh menunggu lama lagi. Megat Haider mengambil keputusan untuk pulang.

Sebaik Megat Haider angkat punggung bekalan elektrik di bilik pejabatnya itu terputus. Suasana dalam bilik itu menjadi gelap.

“Sayang… awak dah tak rindukan saya…” sayup-sayup tangisan itu kedengaran.

Megat Haider memandang sekelilingnya.

Megat Haider mengurut dadanya sendiri. Nafasnya sesak dan tercungap-cungap. Dia cuba menenangkan dirinya.

Perempuan berambut panjang berdiri di muka pintu itu menyerupai wajah Ayu Jasmin. Kaki Megat Haider seakan bergerak sendiri merapati perempuan itu.

“Kau siapa?”

“Sayang… awak dah lupakan saya ke?” Suara perempuan dengan esakan kecil. Perempuan itu mengangkat kepalanya.

“Jasmin dah mati.”

Perempuan itu terus memeluk tubuh Megat Haider.

“Haider!” Suara Benjy kedengaran di luar biliknya itu.

Bekalan elektrik yang terputus kembali pulih. Pintu pejabat itu terkuak. Benjy muncul di muka pintu dengan riak cemas.

Megat Haider kaget. Perempuan berwajah Ayu Jasmin sudah tiada bersamanya. Benjy mengawang-awangkan telapak tangan pada muka Megat Haider.

“Kau okey?” ujarnya.

“Jasmin…”

Benjy mengerut dahi. Dia tidak nampak sesiapa di situ. Megat Haider seperti tersedar dari mimpi. Dia meraup muka.

“Kau betul-betul nampak Jasmin ke?”

“Dia ada depan aku tadi, Ben. Aku boleh rasa sentuhan jari-jari dia pada wajah aku.” Matanya tidak menipu. Ayu Jasmin benar-benar berada di depan matanya.

“Haider… aku rasa lebih baik kita beredar dari sini.”

Benjy juga dapat merasai ada ‘orang lain’ bilik pejabat Megat Haider itu. Sesuatu yang memerhatikan mereka. Sesuatu yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Mereka melangkah keluar.

“Haider…”

Benjy menoleh. Dia mendengar suara perempuan sayup-sayup menyebut nama Megat Haider. Bayang-bayang perempuan kelihatan berdiri di ruang bilik pejabat Megat Haider. perempuan itu tersenyum memandangnya.

“Ben!” Megat Haider memanggil.

Pintu bilik pejabat tu segera ditutup. Benjy dan Megat Haider melangkah masuk ke perut lif. Ketika pintu lif ingin tertutup kelibat seorang perempuan lalu di hadapan pintu lif tersebut. Benjy segera menahan pintu lif dari tertutup. Tindakannya mengejutkan Megat Haider. Dia keluar dari perut lif. Matanya meliar sekeliling.

“Ben!” Megat Haider memanggil lagi.

Benjy menoleh ke arah Megat Haider. Kakinya menapak semula ke dalam lif. Pintu lif tertutup.

“Haider, kau ada gambar Ayu Jasmin.”

“Kau nak buat apa?”

“Tunjukkan pada aku.”

Megat Haider membuka telefon bimbitnya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.