Home Cerpen Komedi/Romantik Komedi ENCIK SUAMI MISTER IMAM
ENCIK SUAMI MISTER IMAM
Alfian Mender
3/6/2017 16:50:50
22,242
Kategori: Cerpen
Genre: Komedi/Romantik Komedi

Aku dalam persimpangan.


Keduanya-duanya aku sayang. Sukar untuk aku membuat pilihan bila kedua-duanya pun turut sama menaruh perasaan terhadapku. Sedang aku hanyalah seorang lelaki tabah yang menerima apa jua ujian hidupnya dengan penuh kepasrahan. Sejak diberhentikan kerja sebagai pengawal keselamatan sebulan yang lalu, angkara fitnah dan cemburu rakan-rakan sekerja, aku mula tercari-cari makna kehidupan.


Aku bersyukur dengan apa jua kelebihan yang ada padaku. Ku akui, aku memiliki wajah tampan dengan senyuman manis yang mampu menggugat iman setiap perempuan yang lalu lalang. Di kebun, di kedai runcit malah di pasar ikan, semua memandangku dengan rasa gelojak cinta asmara. Namun, hatiku hanya terpaut pada dua orang perempuan ini meski ku yakin ramai lagi di luar sana yang menangis-nangis memohon secebis cinta suci dari hatiku.


Kuasa senyuman seorang jejaka tampan.


****************************************


Salmah, gadis muda yang ku kenali secara tidak sengaja saat bahuku terlangggar bahunya lalu menjatuhkan longgokan ikan kering yang dijunjung di atas kepalanya. Baju kurung bunga-bunga paras lengan dengan kain batik lepas yang disarung di kepalanya adalah warisan anak dara kampung yang sudah tidak pernah ku lihat lagi sejak zaman 60’an.


“Hai...” bisikan menggoda suaraku mengeluarkan aroma keindahan yang membuatkan Salmah terkesima dan terhoyong-hayang seketika. Saat mataku saling bertentangan dengan matanya, seluruh jiwaku seolah-olah menjerit:


“Naluri hatiku berkata... pasti”


Kepastian bahawa si dara pujaan inilah yang bakal ku bimbing hingga ke Jannah.


“Daku di mana?” soal Salmah keliru bila dia mula keluar dari kepompong kepeningan melampau yang membadai deria hidungnya selepas ucapan pengenalan yang keluar dari mulutku tadi.


“Kau di hatiku sayang...” bisikku lagi penuh romantis, lantas menghantar Salmah terus ke alam luar sedar, rebah di pangkuanku.


Dan cinta pun mula bersemi.


****************************************


Memperkenalkan, Datin Fatimah Al-Quddus.


Walau sudah bercerai dengan Datuk S, namun masih tegar memakai gelaran datin. Dan sepertimana golongan berada yang lain, di mana ada insan bergelar datin, di situ ada insan bernama Mak Jah.


Mak Jah, bibik tua yang menjadi orang kanan merangkap bodyguard Datin Fatimah. Ibarat isi dengan kuku. Bercerai badan, berpisah tiada.


Namun aku lebih selesa memanggilnya Timah, janda anak 5 yang ku kenali sejak zaman aku masih bergelar suami kepada Midah lagi. Dia wanita sukses. Punya bisnes online menjual produk-produk pemutihan kulit yang diragui kandungan formulasinya. Timah berbeza dengan Midah, yang ada penyakit 3 serangkai ; darah tinggi, kencing manis dan kolesterol. Semuanya lantaran membiarkan dirinya hanyut dalam gelombang obesiti dek terjebak dengan pengaruh diet gaya barat. Terpaksa jua ku tinggalkan Midah sebab tak mampu rasanya kudratku mendukungnya ke Jannah dengan berat badannya yang berlebihan dan kakinya yang sering diserang gout.


Bukan kemahuan fikiran.


Timah pula, walau wajahnya seringkali mengingatkan aku akan Nek Nak saat mekapnya ditanggalkan, masih mampu mengekalkan bentuk badan yang ideal berkat istiqamahnya memakan 10 jenis produk pelangsingan badan.


Dan di kala ini aku berada dalam dilemma. Di antara Salmah, si gadis kampungan atau Timah, si wanita moderen. Fikiranku buntu.


“ABANG PILIH YANG MANA? PERAWAN ATAU JANDA? PERAWAN MEMANG MENAWAN, JANDA LEBIH MENGGODA”


Suara itu berbisik lagi. Aku beristighfar panjang. Teringat aku akan kata-kata seorang ustaz yang iblis akan datang mengganggu bila emosi seseorang itu terganggu. Aku menekup kedua-dua belah telingaku.


“Hentikan!”


Abang pilih yang mana?


****************************************


Aku mengajak Salmah berjumpa denganku di tempat yang sama seperti malam-malam sebelum ini. Di bawah sebatang pohon ara sebelah pondok usang tempat Wan Peah mati keseorangan menjadi suatu taman yang indah bila bulan mengambang menyimbahi daratan. Aku ingin meluahkan hasrat hatiku yang sudah terpendam sekian lama.


“Tapi aku tak punya apa-apa. Aku hanya anak tani. Aku suka jaipong, kau suka disko. Aku suka singkong, kau suka keju,” balas Salmah sebaik sahaja aku meluahkan hasratku itu.


“Itu semua tak penting, Mah. Yang penting kau dah berjaya mencuri hatiku. Semua yang ada ada pada dirimu membuat aku ku aku jatuh cinta. Come on baby, say you love me, love me say you love me...” jawabku tenang. 


Salmah diam, mungkin memikirkan ayat terbaik agar tidak melukakan hatiku.


“Kau bilang cinta padaku, aku bilang pikir dulu. Selera kita terlalu jauh berbeda.”


“Tapi sampai bila? Tak bisa ku sayang sayang selain dirimu. Penjara kamu mu kamu dalam hatiku. Come on baby, say you love me...” aku tak mahu mengalah.


Tik. Tok. Tik. Tok.


Aku menanti jawapan seterusnya. Jam di tangan terus berdetak.


Dub. Dab. Dub. Dab.


Hatiku makin semakin berdebar. Sehinggalah akhirnya Salmah bersuara.


Love me. Love me. Ohhhh...Ohhhh...


****************************************


OIUCM CONFESSIONS


“Assalamualaikum. Pertama sekali, nak ucapkan terima kasih sbb sudi siarkan confession sy ni. Takde apa-apa pun. Hanya nak berkongsi rasa kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T sbb akhirnya sy akan bergelar isteri pada 25 Jun ni. Insya Allah.


Ye lah, bila difikir-fikirkan, bila umur dah semakin meningkat, orang kata peluang tu makin hari makin tipis, ye dok? Tapi siapa kita nak melawan kehendak Allah, betul tak? Begitu jugalah dgn sy.


Bakal imam sy tu namanya Abg J. Abg J ni sebenarnya seorang duda tiada anak. Arwah isteri dia dah meninggal hampir 10 thn yang lalu sbb kanser payu dara. Kita org berkenalan pun secara tak sengaja. Bila dikenang-kenang kembali saat pertemuan itu, mmg sweet sesangat. Akhirnya slps berkenalan hampir 3 bulan, Abg J mengambil keputusan utk melamar sy. Ya Allah, masa tu tak tau nak gambarkan mcm mana. Romantis sgt. Abg J siap nyanyi-nyanyi lagi... hihihi... Kalau korang nak tau apa yg berlaku, tunggu part 2 cerita ni.


Abg J ni pulak walaupun mmg out dari segi rupa (hensem sikit dari Danny Devito...hihihi), tapi sgt menjaga batas-batas perhubungan. Sepanjang kami berkenalan, kita org tak pernah la nak dating-dating bagai. Sbb masing-masing nak menjaga ikhtilat. Solat 5 waktu dia tak pernah tinggal. Tak merokok. Rajin bersedekah walaupun kerjanya hanya sbg pak guard. Yg paling mengharukan, ucapan zikir tak pernah lekang dari mulutnya. Masya Allah, betapa aku bersyukur ke hadratMu, ya Allah.


Akhir kalam, semoga cerita sy dpt memberi sedikit pengajaran, jgn pernah berhenti mengharap dan doakan kami berkekalan hingga ke Jannah ye. Aamiin.”


Miss S.


Netizen A : Tahniah, sis. Perkongsian yg bermanfaat. Moga semuanya dipermudahkan. Aaminn.


Netizen B : Wow! Ku ingat muslimah akhir zaman dah pupus. Tahniah, bro.


Netizen C : Tak sabar nak baca part 2. Best sgt.


Netizen D : Baca ni. Masih ada peluang hahaha.... CCBenny


Netizen E : Manfaat kejadah nyer.


****************************************


Aku menelefon Timah untuk makan tengahari bersama hari itu. Aku bersedia untuk menerima apa jua kemungkinan yang berlaku kerana aku tahu benar akan sikap Timah. Setelah kami memesan makanan di Kedai Kopi Ah Leong aku menceritakan tujuan sebenar aku memanggilnya datang ke situ. Jelas perubahan pada air mukanya bila saja perkataan “imam”, “tulang rusuk” dan “Jannah” keluar dari mulutku.


“Tapi I ingat you dengan dia just main-main. You sendiri yang cakap macam itew.” Timah memprotes.


“Itu betul. Tapi itu bukan bermakna I tak pernah mencintai you. You si raja harta, I raja sengsara. You ibarat gajah, I hanya semut merah,” balasku.


You masih lagi menganggap I macam gajah, kan? Walau I dah berusaha macam-macam untuk kekal langsing bergaya..." suaranya bertukar sayu, berbaur sesal.


"I ingat lagi kata-kata you hari tu. Perawan memang cantik, tapi janda lebih menarik, lebih aduhai. Sampai hati you buat I macam ni...” sambungnya lagi.


“Tapi I juga pernah cakap, sebab musabab kalau I terpilih yang perawan. Masih muda masih segelan, belum disentuh orang, belum berpengalaman. You ingat tak?” pujukku memberi alasan.


“Jantan durjana! Tak sedar diuntung. Selama 5 tahun I tahan nafas bila duduk dekat-dekat dengan you dan ini balasan yang you bagi dekat I! 5 tahun!” Timah berdiri dan mula meninggikan suaranya.


“Selama ni I pejam mata je tengok you berswafoto dengan perempuan tu. You tahu tak sakitnya tu di mana?” sambung Timah sambil tangannya meramas-ramas kain di bahagian dada blouse rumba-rumba yang dipakainya.


“Sakitnya tuh di sini di dalam hatiku, sakitnya tuh di sini melihat kau selingkuh. Sakitnya tuh di sini pas kena hatiku, sakitnya di sini kau menduakan aku!” Timah separuh menjerit. Pelanggan-pelanggan kedai kopi itu mula merasa hairan dengan kehadiran tiga orang pengunjung berbangsa Melayu di kedai makan yang menyajikan bak kut teh sebagai hidangan istimewa. Apa kejadah? Bisik mereka sesama sendiri.


Mak Jah yang sejak dari tadi menahan amarah tiba-tiba bangkit dari bangku lantas menjerut leher kolar bajuku sambil tangan kanannya memulas telingaku.


"Sakit... sakit... sakitnya tuh di sini..." rayuku pada Mak Jah, sambil jari telunjukku menunjuk ke arah telingaku yang dipulasnya.


“Takpe, Mak Jah, takpe. Sesungguhnya orang-orang yang sabar itu disayangi Tuhan,” kata Timah yang mula tersedu-sedan. Dia kemudian berlalu pergi.


Sesampainya di hadapan pintu kedai makan itu, langkah kaki Timah terhenti seketika lalu dia menoleh ke arahku.


“Biarkan hati terluka, meski hati terluka, aku akan tetap tersenyum...” katanya, sebelum meneruskan langkah dan meninggalkan aku yang terpinga-pinga.


Lebih baik kau dan aku berkawan biasa saja.


****************************************


Selesai mengerjakan solat Tahajjud, Salmah membuka Facebook. Dia memanjat kesyukuran ke hadrat ilahi bila berjaya mengumpul 58 ketikan like untuk status “Salam Tahajjud, Uolls!!” yang dimuatnaik setiap kali sebelum beribadah.


“Insya Allah, menjelang tengahari besok pasti akan mendapat lebih 100 like berkat keikhlasanku,” bisiknya.


Dan tambah menggembirakan lagi bila hajatnya untuk dipinang orang akhirnya menjadi kenyataan. Berkat komen-komen “Aamiin” para sahabatnya setiap kali dia berdoa di hadapan Facebook.


Thank you, Mark.” bisiknya lagi.


Ku bersyukur Alhamdulillah, ku beruntung Alhamdulillah, Waajiburni Alhamdulillah, selama-lamanya.


Hatinya berlagu riang.


Ting!


Bunyi notifikasi mesej masuk mengejutkannya. Segera Salmah membuka peti simpanan mesej tersebut.


Cik Puan Fattiey Jutawan Positif.


Hmmm...apa lagi yang dia nak ni? Bisik Salmah.


 Klik.


Cik Puan Fattiey Jutawan Positif : Hei perempuan desperate! Jangan semudah itu kau boleh merampas kekasih hatiku. Kau mungkin muda, memang bohai, tapi aku lebih dewasa, sudah bermain cinta dan banyak pengalamannya! Kau tunggu jer! Nanti ai tularkan nama u, perempuan perampas! Masa tu baru u tahu, sakitnya dikecam netizen!


Dengan tenang Salmah membalas balik kata-kata itu.


Cahaya Dhuha : Walau genggamannya kuat, tapi bukan milik kita akan terlepas jua. Tak ada yang lebih baik, tak ada yang lebih cantik, beroleh keredhaanNya. Jom, sis kita Tahajjud.


 Send.


Puas hati Salmah. Sengaja dia menyelitkan perkataan “tahajjud” itu untuk membuat Timah rasa terbakar.


****************************************


KESAH RUMAHTANGGA


“Assalamualaikum W.B.T. Terima kasih akak ucapkan kepada admin KRT kerana sudi menyiarkan kisah hidup akak untuk peminat setia page ini. Sesekali bukan niat akak untuk mengaibkan apatah lagi memalukan sape-sape. Akak cuma ingin meluahkan apa yang sudah lama terbuku dalam hati akak.


Panggil je akak ni Kak Tee. Kak Tee ni ibu tunggal anak 5. Umur akak dalam lingkungan 40-an. Anak yang paling bongsu umur 5 tahun, dan yang paling sulung umur 15 tahun. Suami akak dah meninggal 5 tahun yang lalu akibat eksiden. Masa tu akak tengah pregnant anak bongsu, 5 bulan. Bayangkan perasaan akak masa tu.


Selepas suami akak meninggal, akak berkenalan dengan seorang lelaki ni. Namanya Jusoh (bukan nama sebenar). Duda kematian isteri akibat kanser. Jusoh ni lah yang banyak membantu akak sehinggalah akak berjaya menjadi seorang usahawan pada hari ini. Jusoh sayang dekat anak-anak akak dan Alhamdulillah, anak-anak semua sayang dekat Jusoh.


Akak dah kenal Jusoh ni hampir 5 tahun. Bila dah kenal lama mcm ni, lama-kelamaan timbul rasa sayang dekat Jusoh. Akibat terlalu sayangkan Jusoh dan mengenangkan segala jasa budinya, akak korbankan banyak wang ringgit untuk membeli segala keperluan Jusoh. Makan minum, pakaian, tempat tinggal, duit poket semua akak tanggung. Tapi akak tak nak perhubungan yang macam ni. Akak nakkan perhubungan halal yang diredhai, cinta selepas nikah.


Berkali-kali akak ajak Jusoh berkahwin, berkali-kali jugak dia bersetuju, tapi banyak jugak alasan yang dia berikan minta ditangguhkan. Tapi akak faham dengan keadaannya. Akak tak nak paksa sebab mungkin dia masih belum bersedia. Sehinggalah pada suatu hari, Allah buka mata akak, akak ternampak dalam instagram aksi mesra Jusoh dengan seorang perempuan ni. Beristighfar panjang akak.


Nama perempuan tu SITTI SALMAH BINTI HJ MOHIDEEN (bukan nama sebenar). Mula-mula akak tak syak ape-ape, maybe just kawan macam tu je. Tapi Allah Maha Besar. Akhirnya tembelang mereka terbongkar bila akak terbaca momen-momen mereka dalam wechat. Jusoh yang tak pernah merokok, mula merokok bila bersama perempuan tu. Solat 5 waktu pun dia tinggalkan. Anak-anak akak, dia dah tak jenguk. Akak apatah lagi. Jenuh akak pujuk anak yang paling bongsu tu, nangis-nangis panggil Jusoh, “daddy, daddy”. Bayangkan hancurnya hati akak masa tu.


Salmah ni pulak dari luaran memang nampak baik. Dalam FB penuh dengan post-post islamik. Tapi bila akak dapat peluang bermesej dengan dia, tergamak dia katakan anak-anak akak ni anak haram sebab kulit anak-anak akak gelap dan berhidung pesek, tak serupa macam bekas suami akak. Hanya Tuhan sahaja yang tahu perasaan seorang ibu yang pernah bertarung nyawa selama 9 bulan untuk melahirkan zuriat. Akak tak kisah kalau dia kata akak ni babi atau akak ni muka pelihara jin, tapi anak-anak? Allahu...


Akak sebenarnya cuma ingin meminta pendapat pembaca KRT. Apa yang perlu akak lakukan. Akak dah buat solat ishtikharah tapi belum ada tanda. Setiap kali lepas solat, akak berdoa, 'Tuhan, tolong lembutkan hati dia, untuk terimaku seadanya'. Sungguh, dia yang akak mahu. Berdoa semoga dia akan berubah. Mendampingi akak selalu. Akak tak sanggup sebenarnya membiarkan Jusoh terus hanyut dalam godaan perempuan tu. Kesian dekat anak-anak. Jusoh lelaki baik dan bertanggungjawab. Akak tak sanggup kehilangannya.”


Netizen A : Pompuan mcm Salmah ni memang sampah. Aku dulu pun kena tinggal dengan laki sbb pompuan2 bajet muslimah mcm ni. Menyirap pulak aku... Puihh!! (1,765 likes)


Netizen B : Astagfirullahaladzim! Mulut mcm cibai. Anak tu anugerah Allah. Kenapa dia ckp mcm tu? Besok lusa dapat anak mcm tu, baru padan muka ko. Salmah, mohon meninggal. (732 likes)


Netizen C : Cuba akak try berubat dengan Ustaz Zaki. Hasben akak ni mcm terkena buatan org CCUstaz Zaki Ilham. (82 likes)


Netizen D : Aik! Mula-mula cakap suami meninggal, lps tu ckp bekas suami. Pas tu, mcm mana dia tahu Jusoh tu tak solat plak? Kalau nak membongak pun, agak-agaklah. Yg di atas ni pun sama bengapnya. Jusoh tu bukan hasben dia la #bengaptahapgaban (11 likes)


Netizen E : One-sided story (1 like)


****************************************


Sejak tinggal di kampung ini, aku merasa lebih tenteram. Makan minum dijaga. Pakai mandi diurus. Nafkah zahir batin diberi. Tak dapat ku nafikan Salmah adalah seorang isteri yang cemerlang.


Cuma bila aku merasa bosan dengan nasi goreng ikan masin, sambal tumis ikan masin dan ikan masin rebus yang menjadi masakan trademarknya hari-hari, aku akan ke pekan. Menjamu selera di restoran mamak dan sesekali singgah ke mesin ATM. Berbeza dengan bekas isteriku, Midah yang akan membawa pulang pizza, burger, french fries dan ayam KFC setiap kali pulang lewat dari pejabat, sehingga muak aku dibuatnya.


Sejak terputus hubungan dengan Timah, duit dalam akaun bank ku semakin berkurang. Tidak ada lagi duit masuk bulanan seperti selalu. Kulitku juga semakin hilang serinya. Tompok-tompok jeragat semakin jelas kelihatan selepas aku berhenti menggunakan produk pemutihan kulit yang kandungan aktifnya dirahsiakan dari pengetahuan Kementerian Kesihatan Malaysia. Jenama TEEMAH, pemberian percuma.


Dan aku mula merindui Timah.


****************************************


Aku mula mengatur strategi. Selepas 5 bulan bergelar suami kepada Salmah, aku menghubungi semula Timah dan menjual kisah sedihku kepadanya. Betapa aku menjadi mangsa penderaan mental, fizikal dan seksual Salmah. Betapa aku telah dinasihatkan oleh seorang dukun cara untuk melepaskan sumpahan Salmah. Kesan cakaran kucing di lengan ku tunjukkan kepada Timah sebagai bukti kebuasan Salmah.


Dan Timah membelinya tanpa banyak soal.


“Itulah, dari dulu lagi I dah rasa lain macam je bila tengok si Salmah tu. Muka takde seri langsung. Bela jin rupanya,” kata Timah penuh yakin.


Aku mengiyakan saja kata-kata Timah itu. Aku terpaksa.


“Dukun tu cakap satu je cara untuk I lepaskan diri dari kangkangan Salmah...” sambungku lagi.


“Apa dia?”


I kena kahwin dengan janda anak 5. Itu je satu-satunya cara,” jawabku lagi dengan pandangan sayu. Mak Jah mula berdehem-dehem dan menjeling tajam ke arahku.


“Kalau janda anak 1?”


“Dukun cakap, kena yang ada anak 5 jugak,” beriya-iya aku, walau nampak sangat bohongnya.


Namun,


“Baguslah tu. I pun dah lama gersunk. Tapi ada syaratnya...”


“Syarat apa?”


You kena ceraikan Salmah!”


Aku terdiam seketika cuba mencari-cari akal. Tak sanggup rasanya aku menceraikan perempuan yang baik hati dan cantik macam Salmah. Kalau Midah tu lain cerita.


“Dukun tu cakap, I tak boleh buat macam tu, sebab nanti jin tu masuk dekat bini baru I pulak,” kataku cuba menyakinkan.


Giliran Timah pula yang terdiam.


“Baiklah...” akhirnya dia bersuara.


“Jom kahwin.” sambung Timah, tersenyum.


Semudah itu? Gersang sangat dia ni, bisikku dalam hati.


Kami akhirnya melestarikan hubungan yang terjalin sejak 5 tahun lalu dengan sekali akad. Kepada Salmah, ku katakan yang aku ingin mencari peluang pekerjaan di sempadan Thailand.


Demi secebis kehidupan abang terpaksa, Mah.


****************************************


Dan sekarang selepas 5 bulan bergelar suami kepada Timah, aku berada dalam persimpangan sekali lagi.


Kedua-duanya seksi. Sukar untuk aku membuat pilihan bila kedua-duanya pun turut sama menjolok mataku keluar.


Yuyu, gadis tingkatan 3 yang ku kenal melalui aplikasi WeChat menarik perhatianku. Bicaranya yang keanak-anakan sesuai dengan usia remajanya. Namun, perkembangan sosok tubuhnya yang jauh lebih ke hadapan berbanding Liza, anak tiriku yang paling sulung, memang agak luar biasa. Sekali pandang, Yuyu kelihatannya seperti seorang wanita matang yang sudah menginjak usia pertengahan 20-an. Mungkin ramai juga yang akan berangggapan sebegitu, kalau bukan kerana lirik bahasanya yang persis seperti *bocah yang baru mengenal huruf.


Wajahnya yang semulajadi tanpa ditatarias sentiasa mengingatkan aku akan Salmah, yang sudah semakin jarang ku kunjungi di kampung. Sedang pakaiannya seringkali mengingatkan aku akan Timah, yang selalu tampil dengan gaya ranggi. Matanya yang kuyu ditambah dengan aksi-aksinya membuat isyarat “peace” di dahi dan mulut dengan lidah yang dijelirkan, sudah cukup untuk membuat aku tidak keruan.


Dan yang paling penting, perhubungan kami sudah pun mendapat restu ibunya, kata Yuyu menyakinkanku.


Aku seperti ayah angkat baginya. Bapanya sudah pergi menghadap Ilahi akibat kanser paru-paru. Sementara ibunya terlantar di rumah akibat penyakit gout kronik. Perbelanjaan sekolah termasuk belanja untuk membeli buku-buku teks dan rujukan untuk 20 subjek yang diambilnya, dan perbelanjaan hariannya semua ku tanggung beres. Apalah salahnya berkongsi rezeki hasil titik peluh Timah jika digunakan pada jalan kebaikan. Besar pahalanya menanggung hidup anak yatim yang kesepian.


Dan di kala ini, sekali lagi aku berada dalam dilemma dengan kehadiran orang kedua (atau keempat, entahlah). Kedua-duanya pun menuntut masa dan perhatian daripadaku.


****************************************


Sheila, gadis orang putih yang entah datang dari mana tiba-tiba menghantar friend request walau kami tidak punya mutual friends. Gambar profilnya beraksi di tepi pantai memakai bikini dengan shawl yang terikat sopan di pinggang mengingatkan aku akan Midah sewaktu zaman masih bergetah dulu. Dapat aku merasakan keikhlasan hati Sheila untuk berkawan denganku bila dia menghantar private message yang panjang tapi tidak berapa ku fahami ini :


Hello Dear,


I’m so happy to hear back from you. I want to get to know you better and also for you to get to know me better. My full name is Sheila Dexter. I am mixed, my father is Singaporean and my mother is from Honduras. I speak Spanish, English and very little Chinese and Malay.


I was born here and lived in Tegucipalca all my life. I am so looking forward to visit Asian continent, even Singapore very soon. I have never been there. I feel so happy I’m coming to my father's land. I want you to know me better.


I’m single, 25 years old. I live in El Lolo here in Tegucipalca. I’m a professional system consultant. I work with Qtech Oil and Gas Company, but you see I do a lot of contract works here in Tegucipalca. My parents are so rich. They are company shareholders here in El Lolo. They bought so many bank shares for me that pay me well.


But my problem now is that after the death of my father last three years my mother now marries to another man named Mr David Lopez and I was left alone. Now I’m living alone. Hope to hear from you. I’m happy you could explain more about yourself to me like these.


I hope we would be good friend and happy when I’m there in Asia. Until then hope to hear from you soon.


****************************************


Niatku cuma satu. Dalam usia yang menjangkau 50-an ini, aku hanya ingin mengumpul sebanyak mungkin makmum untuk ku pimpin tangan mereka menuju Jannah.


Tolak Midah. Sebab Midah perlu didukung.


Kepada Yuyu ku katakan; amau nakal-nakal k, jumpa daddy lepas PMR nanti yer, cyunk...


Dan kepada Sheila ku katakan; Ecuador! Here I come, bae...


SEKIAN


*bocah = budak


[ Dapatkan antologi cerpen PenaWan SAKSIKU CARNATION terbitan CHERMIN BOOKS untuk membaca salah satu karya saya bertajuk "Di Sebalik Bayang Oedipus", bertemakan keganasan rumahtangga ]


*Kredit lagu :

1. Pasti - Ning Baizura

2. Perawan Atau Janda - Cita Cicita

3. Aku Semut Merah - Meggy Z

4. Sakitnya Tuh Di Sini - Cita Cicita

5. Aku Anak Singkong/Tani - Bill Broad

6. Alhamdulillah - Wanie ft Justin

7. Pencuri Hati - Ayda Jebat

8. Ombak Rindu - Hafiz ft Adira

9. Warkah Untukku - Ara

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.