Betapa kayanya Sang Pencipta
dicetuskan ilham itu tanpa diduga
bukan mimbar atau bacaan ilmiah jadi sumbernya
cuma suatu pertemuan singkat, jadi pemangkinnya
dan rentetan peristiwa
serta selingan drama perasaan, jadi latarnya.
Selama ini
hanya ditaati tanpa difahami
namun tatkala tabir itu disingkap ke sisi
baru disedari
bahawa episod selang-seli
yang menyakitkan perasaan
dan mencelarukan fikiran ini
perlu dialami, untuk cetusan ilham itu dirasai.
Seringkali diri menyalahkan diri sendiri
sering juga diri meminta untuk dimaafi
tanpa disedari
bahawa semuanya berasal dari asal yang sama
kembali kepada asal yang sama.
"Maafkanlah dirimu,
sebab selesai tuntutan itu kau lakukan,
kau adalah insan baru
yang telah menyerahkan segala-galanya
kepada yang asal."
"Maafkanlah dirimu,
walaupun kau seringkali terlupa
untuk tidak menyakitkan,
kerana sujudmu itu
adalah bukti keinsananmu."
"Maafkanlah dirimu,
walaupun mereka enggan untuk memaafkan,
sebab Yang Asal
sudah pun memaafkanmu,
saat kau bangkit
dari telingkuhmu."
[ Dapatkan antologi cerpen PenaWan SAKSIKU CARNATION terbitan CHERMIN BOOKS untuk membaca salah satu karya saya bertajuk "Di Sebalik Bayang Oedipus", bertemakan keganasan rumahtangga ]