Home Cerpen Cinta SUATU PERTEMUAN
SUATU PERTEMUAN
Alfian Mender
15/6/2017 11:27:24
2,245
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

Aku berjalan menghampiri kamar tidur kami. Dari celah-celah ruang sempit di antara daun pintu dan bingkainya, terpancar semacam cahaya yang sifat dan geraklakunya secara spontan mengingatkan aku akan api. Tapi tanpa asap atau bau terbakar yang biasa ikut mengiringi. Ternyata bunyi itu datang dari dalam kamar tidur ini. Bunyi yang seakan-akan objek logam saling bersentuhan, atau bergeseran, aku tak pasti. Aku memberanikan diri lalu menyentuh tombol pintu itu untuk membukanya. Sedikit panas. Mindaku ligat berfikir, cuba mengaitkan keanehan ini dengan pengalamanku bertemu dengan...


“Olbaid. Hajji Olbaid...” katanya memperkenalkan diri.


“Oh! Ya. Saya bukan jurujual...” sambungnya lagi, tersenyum.


“Maaf... suami saya tak ada di rumah,” balasku, dengan segera cuba menutup pintu hadapan rumah, bila jari-jemarinya tiba-tiba menyentuh tanganku dan membuatku sedikit tersentak.


Sejuk.


“Puan,” dengan nada lembut dia menyambung bicara.


“ada sesuatu yang ingin saya tawarkan untuk puan...

...untuk rumahtangga puan.”


Aku terpaku seketika. Perkataan itu berkait rapat dengan gambaran suami dalam kotak fikiranku. Dan wajah suami mengingatkan aku akan lengan tangan kananku yang masih berbalut.


“Boleh saya masuk?”


Aku membuka pintu dengan lebih luas. Tanpa kata, aku memberi isyarat untuk dia masuk. Rasa terpanggil untuk mengetahui ‘sesuatu’ yang ditawarkan oleh lelaki serba aneh itu.


Sesuatu pada sentuhan tangannya itu.


Dia masih berdiri di situ.


“Puan... 

...boleh saya masuk?" ulangnya.


Ku kira bahasa badanku tadi sudah cukup jelas maksudnya.


“Silakan,” pelawaku perlahan.


Aku menjemputnya duduk di ruang tamu. Di ruang yang suatu masa dulu adalah titik kebahagian dalam rumahtanggaku. Titik tempat suami bermadu kasih denganku. 


Membelai-belai rambutku. Mengucup dahiku. Mengucapkan I Love You.


Mematahkan lengan tangan kananku.


Dia duduk di atas sofa. Memerhatikan sekeliling, sebelum pandangannya beralih tumpuan padaku.


“Tawaran ini terhad. Hanya mereka yang terpilih sahaja yang saya kunjungi. Atau, mungkin puan tidak sedari bahawa puan sendiri sebenarnya yang telah menjemput saya masuk...

... masuk dalam hidup puan,” dia memulakan bicara. Tangannya diseluk ke dalam kocek jubahnya. 

 

Kata-katanya itu tidak dapat ku tafsir sebab fikiranku cuba mentafsir keganjilan lain yang tersedia di hadapan mata. Sukar untuk aku mengagak umur dan bangsa tetamuku ini. Rambutnya lebat beruban, dipotong kemas dan agak bergaya bagi seseorang yang ku kira sudah berusia. Caucasian? Tetapi lirik dan susun bahasanya begitu teratur. Malah bicaranya amat fasih. Sebangsa denganku? Mungkin. Struktur wajahnya memberi gambaran seseorang yang sudah lanjut usia, sangat berlawanan dengan tekstur kulitnya yang halus dengan tona warna putih kemerah-merahan. 


Atau mungkin tidak.


Misai dan janggutnya lebat menghitam dan dijaga rapi. Jubah warna perang yang dipakainya kelihatan diperbuat dari tenunan bulu haiwan yang kasar buatannya, lengkap dengan hoodie dan pintalan tali merah yang terikat kemas di pinggang. Agak kuno bagiku.


Dan matanya.


“Derita yang puan alami sekarang adalah pilihan puan sendiri. Yang bersalah cuma si hawa. Sedang istilah kecurangan tidak terpakai untuk si adam. Begitulah keadilan...

... keadilan versi mereka.” 


Bagaimana dia dapat membaca fikiranku, aku tak pasti. Apatah lagi mengetahui hal-ehwal rumahtanggaku. Aku hanya mengangguk. Kemudian merenung ke luar jendela, cuba mengingat kembali setiap detik pada petang nan durjana itu.


“Maaf.... suamiku tak ada di rumah.”


Please, Sarah. Ini kali terakhir kita akan berjumpa. Selepas ni aku akan pergi jauh dari sini. Izinkan aku berjumpa kau untuk kali yang terakhir.” katanya sambil memegang jari jemariku.


Betapa aku rindukan sentuhan lelaki itu.


“Tapi aku dah jadi isteri orang, Danny. Aku bukan milik kau lagi. Aku bahagia sekarang. Tolong jangan ganggu aku lagi,” rayuku.


“Sarah, please. I'm sorry.” Airmatanya mula bergenang.


Lalu pintu ku buka dan dia ku benarkan masuk.


“Kalau saya katakan yang puan boleh membalas balik segala keperitan yang puan alami sekarang ini, malah tanpa perlu bangkit dari kerusi ini sekalipun, bukankah itu suatu tawaran yang baik? Puan boleh memilih untuk meneruskan takdir yang telah ditetapkan ini atau... 

... atau memilih kebahagian sebagai alternatif.”


Aku meraba-raba wajahku. Masih ada sisa-sisa kesakitan pada dahi, pipi, dagu dan sekitar bebola mataku kesan pukulan bertubi-tubi tempoh hari. Rahang mulutku masih belum boleh dibuka seperti biasa. Masih ada sekelumit darah yang bercampur dengan ludah ketika aku memberus gigi siang tadi. Luka di bibir masih berjahit kemas.


Luka yang ketiga kali untuk tahun ini.


“Malah puan sendiri yang menentukan tahap penderitaan yang wajar diterimanya....

... Keadilan versi puan,” sambungnya lagi seraya memegang kedua-dua belah tanganku.


SejukJauh berbeza dengan kehangatan sentuhan tangan Danny.


“Kita lari. Ikut aku ke Eropah. Kita kelilingi dunia. Bukan itukah impian kita sejak dari dulu? Sia-sia saja kau habiskan sisa-sisa hidupmu dengan lelaki tak guna itu.“ kata Danny, menggenggam erat kedua-dua belah tanganku.


Aku tersentak bila mendengar Danny berkata sedemikian. Aku isteri orang, Danny. Kita bukan lagi pasangan kekasih. Aku dah jadi hak orang lain. Kisah kita berakhir saat kau memilih perempuan itu. Aku bahagia dengan rumahtanggaku sekarang.


Bahagiakah aku?


“Sarah... I still love you.


“Harganya cuma satu...”


Aku terpanggil ke dunia nyata.


“Jiwanya...” sambung lelaki aneh itu. Tangannya diseluk kembali ke dalam kocek. Ada sesuatu yang tersirat dalam leretan senyumannya.


No...please...


Tangannya menyentuh tubuhku yang terkulai kelemasan di atas sofa. Mulanya dia bermain-main dengan cincin di jari manisku, sebelum menanggalkannya. Lalu jari-jemarinya itu terus menjalar naik hingga ke pangkal leherku. Berhenti seketika di bahagian mulut. Mengusap-usap bibirku yang basah dengan gincu warna merah menyala. 


Danny... no...please...


Aku mendongak. Terasa hangat hembusan nafasnya. Terasa kuat debaran di dadanya. 


Rambutku dibelai. Dahiku dikucup. “Sarah... I love you.”


Sambil disaksikan sang suami dari celah-celah jendela.


Aku mengangguk. Melepaskan hembusan nafas berat yang selama ini terpenjara dalam dadaku. Dari dalam kocek jubahnya, dia mengeluarkan sesuatu dan meletakkannya di atas meja.


“Terserah pada puan untuk menentukan jenis hukuman. Dari skala satu hingga sepuluh....

... semuanya di tangan puan."  


Aku merenung kembali wajahnya untuk kali yang kedua. Saiz mata hitamnya tidak seimbang dengan bahagian putihnya.


Seakan-akan membesar dari asal.


“Skala satu; kematian mengejut tanpa sebarang kesakitan. Heart attack. Stroke. Skala sepuluh; seperti dibakar hidup-hidup. Kulit tersiat dan melepuh. Daging berguguran satu persatu. Tulang belulang...

... hancur seribu,” jelas lelaki itu lagi.


Aku memandang foto perkahwinan kami yang terpampang pada dinding ruang tamu. Betapa bahagianya aku waktu itu. Dia menerimaku di saat orang sekeliling memandang hina pada perempuan-perempuan terlanjur seperti aku. Di saat aku memutuskan untuk menamatkan riwayat hidup, dia hadir menyelamatkan aku. Seiring dengan hadirnya Danny, kekasih lama yang merayu-rayu untuk aku menerimanya kembali, meski dialah punca segala tekanan perasaanku ketika itu.


Bahagiakah aku?


“Satu...” suaraku berbisik.


Dia kemudian mencapai objek di atas meja itu dan meletakkannya dalam genggaman tanganku.

 

“Bila puan sudah bersedia, lepaskan untaian benang pada patung ini dan perjanjian kita akan termeterai....

... tanpa tangguh."


Aku memandang objek itu. Figura berbentuk manusia yang diperbuat dari tenunan bulu haiwan yang kasar buatannya, siap dengan benang merah yang tersimpul pada bahagian pinggangnya.


Aku menghantarnya hingga ke muka pintu selepas dia mengucapkan selamat tinggal. Belum sempat aku menutup pintu, dia berpaling seketika lalu menghampiri celah-celah daun pintu itu.


“Oh! Ya. Saya dah jumpa suami puan siang tadi...

... Jangan tunggu lama-lama.” bisiknya, seraya menyarung semula hoodie jubahnya ke kepala. Mata putihnya sudah tidak kelihatan.


Mungkin terselindung di sebalik bayang.


Aku kembali duduk di sofa. Memikirkan maksud pertemuanku dengan lelaki misteri itu. Memicit-micit objek yang ada dalam genggaman tanganku itu. Mengusik-usik benang yang menjadi penghubung takdir suamiku dengan apa jua kesudahan hidupnya nanti.


Betulkah semua ini? 


Kemudian terbayang wajah suami yang datang silih berganti dengan wajah Danny.


Suami. Danny. Suami. Danny. Suami. Danny.


Dua lelaki. 


Dua sentuhan berbeza.


Keputusan akhirnya ku muktamadkan, lantas aku mencapai ganggang telefon dan mula mendail. Tersenyum sendiri.


Mengapa tidak?


“Hello! Danny...”


Aku menanti jawapan dari hujung talian sebelum tiba-tiba telingaku tertangkap suatu bunyi dari arah tingkat atas. Seakan-akan bunyi objek berat diseret di atas lantai. Kurang jelas, tapi aku pasti ada sesuatu. Ganggang telefon ku letak lantas aku menaiki anak tangga menuju ke tingkat atas. Suasana di ruangan itu suram. Figura berbentuk manusia itu masih di tangan.


Aku berjalan menghampiri kamar tidur kami.


SEKIAN

[ Dapatkan antologi cerpen PenaWan SAKSIKU CARNATION terbitan CHERMIN BOOKS untuk membaca salah satu karya saya bertajuk "Di Sebalik Bayang Oedipus", bertemakan keganasan rumahtangga ]

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

© Copyright Portal Ilham. Hakcipta terpelihara Portal Ilham