Home Cerpen Cinta MALAM INI KITA BERPISAH
MALAM INI KITA BERPISAH
Alfian Mender
17/6/2017 11:54:10
3,355
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

Bulan penuh menghiasi langit pada malam itu. 


Betapa cantiknya, bisiknya dalam hati. 


Hujan baru sahaja turun membasahi bumi bila dia memulakan perjalanan menuju ke suatu destinasi, tempat yang sama dia melafazkan janji suatu ketika dulu. Semuanya berjalan seperti yang dirancang. Masih jelas dalam ingatannya akan mimpi yang bermain dalam tidurnya untuk 3 malam berturut-turut.

 

Mimpi pertama. Sekuntum bunga melati diletakkan di hadapan pintu pagar sebuah rumah usang. Dia mengambilnya, membelai-belai kelopaknya, lalu menghidu harum baunya sebelum dia terjaga dari tidur.

 

Mimpi kedua. Sesusuk tubuh perempuan datang menghampirinya dari kejauhan. Ada sesuatu dalam genggamannya diacung-acung yang membuatkan dirinya merasa gentar. Serta-merta dia terjaga dari lena bila perasaannya menjadi semakin tidak keruan.


Dan dalam mimpi ketiga, terdapat banyak kesan biru kehitam-hitaman pada tubuhnya serta beberapa garisan selari yang memanjang. Cakaran? Di bahagian leher dan tangannya pula, kelihatan titisan darah mengalir dari cebisan dagingnya yang luka. Gigitan? Kepedihan yang dirasainya cukup nyata sehingga memaksanya untuk bingkas bangun dari tidur.

 

Mungkin itu tandanya, dia mengagak. Tapi petanda apa? bisiknya lagi.


******************************

 

Keretanya diparkir di tepi sebuah taman permainan yang dikelilingi oleh beberapa buah rumah banglo kosong. Jam di tangan menunjukkan pukul 1.15 pagi. Suasana agak gelap di kawasan perumahan itu yang majoritinya didiami oleh masyarakat Cina. Senyap dan sunyi sempena cuti Tahun Baru Cina. Cengkerik seakan-akan ikut sama berkonspirasi untuk menjadikan malam itu lebih sunyi dari kebiasaan. Di situ, di atas buaian di taman permainan itu, sang kekasih sudah sedia menanti. 


Semakin dia menghampiri, semakin jelas kedengaran alunan suara mendayu-dayu yang memukau mindanya suatu masa dulu hingga berjaya tembus sampai ke kalbu. 


          Malam ini kita berpisah

          Rasa hati resah gelisah

          Pulanglah kanda wahai pujaan

          Tinggallah dinda keseorangan

          Selamat jalan

 

“Dah lama tunggu?” dia menyapa dari belakang, lantas menghentikan nyanyian sang kekasih.

 

“Tidak kanda, baru sebentar tadi dinda sampai,” jawab si dia membalas senyuman si jejaka, sambil menoleh ke arahnya.

 

Mata bertentang mata. Terubat sedikit rasa rindu si gadis bila bersua muka dengan cucu-cicit adam nan seorang ini yang menjadi sang pujaan hati. Hari ini, genap pertemuannya yang kedua sejak setahun yang lalu. 


Pertemuannya di situ, di taman permainan itu.

 

Si jejaka kemudian mengambil tempatnya, duduk di buaian bersebelahan dengan si gadis.

 

Kedua-duanya memandang jauh di hadapan. Diam seribu bahasa. Hanya bunyi gesekan buaian berkarat itu yang mengisi kekosongan malam. Terlalu banyak untuk diucapkan bila dua hati yang merindu akhirnya bertemu, sehingga minda terkaku dan mulut terkunci.

 

Akhirnya,

 

“Sampai bila....”


“... sampai bila kita harus begini...” si gadis memulakan bicara.

 

“Dinda sanggup tingggalkan kaum keluarga dan sanak saudara untuk tinggal di tempat kanda,”

 

“... dinda sanggup keluar bergaul dengan orang ramai.” sambungnya lagi.

 

Si jejaka memandang idaman hatinya itu.


"Betapa cantiknya..." bisiknya dalam hati.

 

Rambutnya panjang ikal mengurai melepasi paras pinggang, terbelah di tengah. Kulit wajahnya yang putih, tambah berseri bila dilimpahi cahaya terang bulan purnama. Mata hitamnya besar, menghiasi bujur sirih wajahnya yang tersembunyi seribu rahsia. Hidungnya mancung seludang. Mulutnya mungil, dengan dua ulas bibir yang pucat warnanya. Sesekali angin kencang bertiup menerbangkan rambutnya yang hitam pekat, memperlihatkan lehernya yang jinjang meneguk air berkaca. Dia memeluk erat tubuhnya. Gaun putih yang membaluti tubuhnya tidak cukup tebal untuk menghalang kedinginan malam itu.

 

Betapa besar ujian kerinduan ini, bisik si jejaka lagi.


Ujianmu bermula pada malam bulan mengambang...” demikian pesan Pak Tua, dukun yang berjasa mempertemukan dirinya dengan cinta hatinya yang pertama, suatu masa dulu.

 

“Bukan abang tidak mahu bersama dengan Tee, tapi ada syarat-syarat tertentu yang perlu abang patuhi,” balas si jejaka setelah sekian lama menyepi.

 

“Syarat?” tanya si gadis.

 

“Syarat apa?” sambungnya lagi.


Dia mengangkat tangannya, lalu menyentuh wajah yang ada di hadapannya itu. Kemudian rambut panjang si gadis diusap-usap, dibelai-belai, diangkat segenggam lalu dibawa menghampiri wajahnya. Dia menarik nafas panjang. Semerbak haruman bau bunga melati menusuk ke lubang hidung.

 

Mimpi pertama....” dia teringat akan kata-kata Pak Tua.

 

Dengan bantuan Pak Tua jugalah, dirinya terikat sehingga kini dengan syarat-syarat yang melestarikan hubungannya dengan si cinta pertama. Begitu ampuh mantera sang dukun sehingga dia merasakan bahawa hidupnya sudah tidak punya makna lagi, terpenjara dalam ikatan yang dulu dia damba-dambakan. Sehinggalah dia bertemu dengan dara pujaan yang memberinya kekuatan, secara kebetulan di taman itu, pada malam bulan mengambang setahun yang lalu.

 

Berhati-hati dengan mimpi kedua. Sebab bila mimpi itu sudah berlalu, maka mimpi ketiga akan menjadi bahana...

 

Dan seperti yang sudah termaktub, bila sahaja ada sepasang anak Adam duduk bersunyi-sunyian, pasti akan hadir makhluk ketiga yang merenyam-renyam.

 

******************************


“Amboi,amboi, amboi....


... di sini rupanya awak berasmaradana, ya. Dari tadi saya dok perhati pasangan uda dan dara ni bercengkerama di bawah bulan purnama!” suatu suara tiba-tiba muncul menghancurkan keheningan malam nan penuh romantis itu.

 

Terasa bagai luruh jantung si suami bila mendengar dentuman suara yang amat-amat ditakutinya itu. Dunia seakan-akan terhenti berputar seketika. Pandangannya berbalam-balam kegelapan.

 

“Siti Nurul Jannatul Elisha Balqis Binti Datuk Hj Mustapha Zainal! Eh! Apa ayang buat keluar rumah malam-malam buta macam ni,” sahut si suami cuba menyembunyikan rasa terkejutnya dengan kehadiran insan yang kini menjadi nombor dua dalam hatinya.

 

“Apa ayang buat dekat sini??!!” ulang Elisha seakan-akan tidak percaya dengan keberanian sang suami mencabar darah pahlawannya.


“Abang belum buat apa-apa yang terlarang lagi, Sha. Percayalah. Abang cuma menikmati keindahan bulan mengambang ciptaan Tuhan bersama-sama rakan Facebook abang. Tak lebih dari itu. Jauh sekali dari bermadu kasih.” pujuk si suami cuba menenangkan hati si isteri.

 

“Siapa ni, Aidil? You dah kahwin!?” Kini giliran sang kekasih pula bersuara.

 

“Kak, ampunkan saya dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Saya benar-benar tak tahu yang Aidil ni dah kahwin. Dalam Facebooknya tertulis status single. Kadang-kadang it’s complicated. Tipah tertipu, kak. Tipah tertipu....”

 

Tipah mula menitiskan airmata. Airmata ketakutan bila memandang susuk tubuh perkasa yang ada di hadapannya sedang menghayun-hayun kayu belian di awang-awangan. Seingatnya, kali terakhir airmatanya menitis laju sebegitu adalah apabila ustazah di sekolahnya dulu mengugut untuk menghambatnya dengan kayu semambu jika gagal memakai tudung.

 

“Aidil?? Hahaha....” Elisha tergelak besar.

 

“Untuk pengetahuan kau Tipah, nama sebenar jantan ni adalah Trisno. Pekerja kontraktor bapak aku!” sambungnya lagi.

 

“Sudah-sudahlah tu, ayang. Buang yang keruh, ambil yang jernih. Baru teguh peribadi.” Aidil menyampuk cuba meredakan keadaan.

 

“Ah! Sudah! Aku sudah tidak percaya padamu lagi. Lebih baik engkau segera angkat kaki. Masuk dalam kereta sekarang!!” bentak Elisha lagi, memberi arahan.

 

“Hmm... malam ini memang sah kita berpisah. Bercinta, dan putus pula. Kalau dah nasib, apa nak dikata.” bisik Tipah dalam hati, bila menyedari dirinya yang selama ini telah dipermainkan.

 

Elisha lantas memusingkan tangan kiri Trisno ke belakang sebelum menolaknya maju ke hadapan.

 

“Masuk!” jerkahnya sambil menghambat kaki insan malang itu dengan kayu yang dipegangnya.

 

Drive!” kini jari tangannya yang tidak berdosa pula menjadi bahan melepaskan geram.

 

Habislah aku, bisik hati Trisno. Di fikirannya terbayang wajah si isteri dengan gigi yang menyeringai dan kuku ala Wolverine, bakal mengganas lagi di rumah.

 

SEKIAN

[ Dapatkan antologi cerpen PenaWan SAKSIKU CARNATION terbitan CHERMIN BOOKS untuk membaca salah satu karya saya bertajuk "Di Sebalik Bayang Oedipus", bertemakan keganasan rumahtangga ]

*Kredit lagu - 

1. Angkat Kaki - Sheeda

2. Malam Ini Kita Berpisah - Habibah Yaakob


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.