Home Cerpen Komedi/Romantik Komedi Jadi Isteri Saya?
Jadi Isteri Saya?
Nadirah Aliah
5/4/2014 09:42:34
6,437
Kategori: Cerpen
Genre: Komedi/Romantik Komedi

“Selamat pagi, bos!” Sapa Imelda ceria sebaik sahaja melihat Wafi melangkahkan kakinya masuk ke dalam pejabat. Wafi hanya menoleh tanpa sebarang senyuman seperti biasa. Dia dan wajah sombongnya setiap pagi. Imelda mencebik bosan.

“Huh, kekwat!” cemuh Imelda perlahan sebelum mengambil tempat lalu menyambung semula kerjanya.

“Imelda,” panggil Wafi tiba-tiba. Imelda yang baru sahaja ingin mengetuk papan kekunci terhenti lalu mengangkat muka memandang Wafi.

“Ya, Bos?” Imelda sudah berdiri memandang Wafi.

“Masuk bilik saya. Saya ada benda penting nak beritahu,” arah Wafi sambil memasuki biliknya. Imelda angguk lalu membuntuti Wafi ke biliknya.

“Ada apa bos?” tanya Imelda sebaik sahaja Wafi menghempaskan dirinya di atas kerusi. Wafi tidak menjawab. Lama dia memandang Imelda. Gamam Imelda apabila Wafi merenungnya sebegitu rupa. Tidak semena-mena Wafi tersenyum. Terjungkit kening Imelda memandang lelaki itu. Tidak sihatkah bosnya hari ini? Fikir Imelda sendirian.

“Kenapa bos senyum?” tanya Imelda ingin tahu walaupun jantungnya berdegup kencang waktu itu. Wafi tersengih.

“Awak ingat saya senyum sebab awak ke? Beranganlah. Saya senyum sebab proposal saya untuk dapatkan tender dari Syarikat Harmonium tu dah diterima!” Imelda menjungkit bibir sedikit mendengar jawapan Wafi yang padanya agak kejam itu.

“Aku pun tak berangan kau senyum kat aku,” gumam Imelda perlahan.

Excuse me, awak cakap dengan saya ke cik Imelda?” tanya Wafi melihatkan mulut Imelda terkumat-kamit seperti sedang mengatakan sesuatu. Imelda geleng lalu mengukir senyum tipis.

No, I’m talking to the moon!” bisik Imelda di dalam hatinya geram.

So, tujuan saya panggil awak ni. Saya nak awak siapkan pembentangan untuk meeting dengan Syarikat Harmonium tu esok. Saya akan bagi proposalnya pada awak dan awak siapkan power pointnya ya,” terang Wafi. Bulat mata Imelda memandang Wafi. Sekali lagi, kenapa dia? Wafi suka begitu. Memberi kerja-kerja penting kepadanya diwaktu-waktu akhir. Imelda mengeluh.

“Tapi, bos. Sekarang ni pun dah banyak kerja saya nak kena siapkan petang ni. Kenapa bos tak suruh orang lain je?” ujar Imelda teragak-agak. Wafi merenung Imelda tajam. Cuak Imelda dibuatnya. Wafi mulai bangun dari kerusi didudukinya lalu menghampiri Imelda. Dia berterusan merenung Imelda dengan pandangan yang tajam sambil berpeluk tubuh. Imelda tunduk.

“Imelda, who are the bos now?” duga Wafi. Imelda melepaskan keluhan perlahan.

“Bos,” pendek sahaja jawab Imelda.

“So, sebagai pekerja, awak kena jalankan semua arahan saya without any question! You have plenty of time at night right? So, jangan banyak songel. Finish it tonight!” Arah Wafi tegas dengan suara tinggi. Imelda tidak terkejut. Dia sudah biasa mendengar tengkingan ‘singa kekwat’ itu. Cuma, entah kenapa, setiap kali Wafi menengkingnya, perasaan wanitanya akan terluka. Hatinya sakit.

“Baiklah, saya akan habiskan malam ni juga. Kalau tak ada apa-apa lagi, saya keluar dulu ya bos,” jawab Imelda. Perlahan sahaja suaranya. Wafi hanya memerhati Imelda menyusun langkah. Wafi tahu, Imelda terluka. Namun, itu sahaja yang mampu dilakukannya untuk menyembunyikan perasaannya terhadap gadis itu.

******

Jarum jam sudah menunjukkan 9:30 malam. Perut Imelda sudah mulai bernyanyi-nyanyi. Baru dia perasan, dari petang tadi dia leka menyiapkan pembentangan yang diarahkan Wafi. Dia merebahkan badannya seketika. Matanya dipejam rapat. Pembentangan itu sudah disiapkan. Dia mahu merehatkan dirinya sebentar. Mungkin sebentar lagi baru dia akan pulang ke rumah. Lagipun perutnya benar-benar lapar. Terasa tidak berdaya mahu berjalan. Kalaulah ada sesiapa yang datang dan membawakannya makanan. Indahnya dunia! Tiba-tiba bau wangi menerpa hidungnya. Seram sejuk dia dibuatnya. Dia tidak berani membuka mata. Semakin lama semakin dekat. Kecut perut Imelda. Siapa pula yang memakai wangian begitu kuat pada waktu malam-malam begini? Lagipun, dia bersendirian di pejabat.

“Takkanlah pak gad kot. Ish. Sejak bila pulak pak gad ronda sampai masuk office? Eh, sekejap. Kenapa macam bau minyak Dashing je?” Imelda berteka-teki sendiri. Matanya mulai dibuka. Namun dia tidak berani menoleh.

“Kerja dah siap?” sapa satu suara yang amat dikenali Imelda. Pantas Imelda menoleh. Wajah Wafi terjengul di belakangnya. Wafi tersenyum sambil meletakkan bungkusan KFC di atas meja Imelda. Imelda hanya memandang. Wafi duduk bertenggek di atas meja Imelda.

“Dah. Bos buat apa datang sini?” itu sahaja yang keluar dari mulut Imelda. Sebenarnya, itu bukan pertama kali Wafi datang ke pejabat dan memantau kerjanya apabila dia harus bekerja hingga lewat malam. Tapi, entahlah. Setiap kali Wafi datang, setiap kali itulah Imelda akan terkejut dan tertanya-tanya, kenapa Wafi hanya datang memantau apabila dia terpaksa bekerja hingga lewat malam? Pekerja lain Wafi tidak pernah pantau. Wafi hanya buat muka selamba memandang.

“Kebetulan lalu. Saya singgahlah. Dah, jangan banyak tanya. Makan ni,” ujar Wafi cuba berselindung. Disebabkan kelaparan, dia terus sahaja menerkam KFC yang dibawa Wafi tadi tanpa banyak bicara. Sedang leka menikmati juadah yang dibawa Wafi, sesekali dia mengerling ke arah lelaki itu. Dadanya bergetaran melihat Wafi memakai kemeja T yang melekap pada tubuh dan seluar pendek separas lutut.

“Dah habis makan? Kalau dah, kemas cepat. Dah malam ni. Saya hantar awak balik,” arah Wafi. Imelda angguk. Kebetulan hari itu dia memang tidak memandu ke tempat kerja kerana dia menaiki kereta Suria.

“Bos ambillah pendrive ni. Nanti esok senang,” ujar Imelda selepas berkemas sambil menghulurkan pendrive kepada Wafi. Wafi menggeleng.

Nope. Awak simpan. Esok bagi saya. Tepat pukul 9:00 pagi dah ada kat pejabat ya. Jangan lambat!” pesan Wafi. Imelda senyum lalu menyimpan pendrive itu ke dalam begnya. Tanpa Imelda sedari, segaris senyumannya tadi telah meragut sekeping hati Wafi!

******

Imelda sedar, hari itu satu musibah yang amat besar bakal menimpanya. Pada pagi yang sangat penting itu, tayar keretanya pancit di tengah jalan. Telefon bimbitnya kehabisan bateri. Malah, lebih teruk lagi, pendrive yang menyimpan maklumat penting pembentangan untuk mensyuarat pagi itu tertinggal di rumah. Selepas menukar tayar, Imelda terpaksa kembali semula ke rumah sewanya untuk mengambil pendrive tersebut. Dan selepas mengambil pendrivenya itu, jarum jam sudahpun menunjukkan jam 10:30 pagi! Dia benar-benar yakin musibah besar akan menimpanya sebaik sahaja dia sampai ke pejabat nanti. Dia sudah keluar dari rumah seawal jam 8:30 pagi dan dia benar-benar tidak menyangka semua perkara tadi berlaku kepadanya. Dia tetap cuba menggagahkan dirinya untuk ke pejabat.

Sebaik sahaja tiba dipejabat, Suria yang merupakan sahabat baiknya segera mendapatkannya.

“Mel, kau pergi mana? Kenapa aku telefon kau tak dapat?” tanya Suria gusar. Imelda menahan airmatanya. Perasaannya tatkala itu sudah bercampur baur.

“Nanti aku explain. Sekarang ni, mana bos? Meeting dengan Syarikat Harmonium tu macam mana?” tanya Imelda cemas. Wajah Suria tiba-tiba pucat.

Where have you been Imelda?” tengking Wafi yang sudah berdiri terpacak di belakang Imelda. Suria pantas berjalan ke arah mejanya semula. Gugur jantung Imelda mendengar suara tengkingan Wafi yang bagaikan petir itu. Imelda menoleh.

“Bos. Saya boleh jelaskan. Saya. Saya,” luah Imelda serba salah. Wajah Wafi sudah mencerut marah.

“Awak tahu kan, meeting pagi ni penting? Saya dah pesan kat awak supaya sampai tepat pukul 9:00 pagi! Tapi, ke mana awak pergi? Ke mana perginya telefon awak? I’ve lost a very important project because of your mistake! Awak tahu tak?” marah Wafi. Berkepul-kepul asap keluar dari telinganya. Imelda jadi serba salah. Airmatanya ditahan. Dia tidak sengaja melakukan kesilapan seperti itu. Jadi, saat itu dia benar-benar berharap Wafi akan memberinya peluang sekurang-kurangnya untuk menjelaskan apa yang telah terjadi.

“Bos. Saya tahu saya salah. Tapi, saya tak sengaja. Saya ada sebab. Please, let me explain,” rayu Imelda. Wafi sudah berpeluk tubuh. Wajahnya merah padam.

I don’t need your silly excuses. Mulai hari ni, awak bukan lagi pekerja Kamal Bakri Sdn Bhd. Imelda Sofea, you’re fired!” jerit Wafi membuatkan Imelda terkedu dan semua pekerja di situ terkedu. Airmata Imelda mengalir laju. Dia benar-benar tidak menyangka dia akan dipecat dengan cara yang begitu memalukan di hadapan semua orang hanya kesilapan yang tidak disengajakan.

“Kemas barang-barang awak dan pergi! Saya tak nak tengok muka awak lagi!” arah Wafi tegas lalu berlalu ke arah biliknya. Imelda gamam. Dia tidak tahu apa yang harus diperkatakannya. Dia benar-benar sedih dengan apa yang berlaku.

******

Sudah dua minggu Imelda menjadi penganggur terhormat. Dia benar-benar kecewa dengan apa yang terjadi sehingga terus membawa diri dan pulang ke kampung. Namun, sebelum pulang ke kampung, Imelda sempat berjumpa dengan Pengarah Syarikat Harmonium untuk meminta maaf bagi pihak Kamal Bakri Sdn Bhd dan memohon jasa baik syarikat tersebut untuk mempertimbangkan semula keputusan mereka terhadap projek yang ingin mereka tarik balik itu.

Bukan setakat membawa diri pulang ke kampung, Imelda juga turut menukar nombor telefon bimbitnya. Tujuannya, jika Wafi ingin memujuknya semula, lelaki itu tidak akan berjaya menghubunginya.

“Ceh! Berangan je lebih aku ni. Tak ada maknanya si singa kekwat tu nak pujuk aku. Huh!” rengus Imelda.

“Mel, Suria telefon ni!” jerit Salmah sambil terlari-lari ke arah Imelda yang sedang duduk berjuntai di buaian. Imelda segera mencapai telefon bimbit ibunya.

“Mak kenapa lari? Jatuh nanti,” sempat lagi Imelda menegur ibunya.

“Dah kamu tu berangan kat sini,” balas Salmah termengah-mengah. Imelda sengih lalu menjawab panggilan dari Suria itu.

“Ya, cik Suria. Kenapa?” sapa Imelda riang.

“Imelda, ini saya. Wafi,” sapa suara itu. Terkejutnya Imelda waktu itu hanya Tuhan sahajalah yang tahu. Hampir sahaja dia terjatuh dari buaian.

“Salah nombor,” selamba sahaja jawab Imelda lalu pantas meletakkan panggilan itu. Salmah memandang hairan.

“Betullah itu Suria. Mak nampak nama dia tadi,” ujar Salmah. Imelda senyum.

“Suria mana entah ni yang mak simpan. Suria FM kot,” gurau Imelda. Salmah menampar bahu anaknya itu.

“Ada pulak. Tapi, tadi beria benar kamu jawab sebut nama Suria?” duga Salmah kembali. Imelda mengeluh.

“Yalah. Sebab mak kata Suria telefon. Tapi, orang tu kata dia nak cakap dengan Muthu,” dalih Imelda sambil menukar profil telefon itu kepada mod senyap. Berkerut dahi salmah.

“Muthu mana pulak?”

“Entah. Uncle Muthu yang dalam cerita Upin Ipin tu kot. Dah la mak, jom masak. Mel dah lapar ni,” gomel Imelda. Salmah hanya mampu menggeleng melihatkan keletah anaknya itu.

******

Petang itu, Imelda menerima kunjungan Suria. Namun, Suria datang dalam keadaan yang teramat cemas. Dia sendiri tidak tahu mengapa.

“Su, kau ni kenapa? Cemas je?” tanya Imelda gusar. Suria muram.

“Aku ada berita buruk nak beritahu ni,” ujar Suria perlahan. Hati Imelda mula merasa tidak sedap. Berita buruk apakah?

“Wafi accident. Teruk. Teruk sangat,” beritahu Suria. Bulat mata Imelda mendengar berita itu. Jantungnya berdegup kencang.

“Wafi? Ya Allah! Macam mana dia boleh accident pulak?” tanya Imelda. Airmatanya mengalir.

“Macam ni, aku pinjamkan nombor aku yang satu lagi tu kat dia. Sebab dia nak sangat jumpa kau. Lepas tu, kan tengahari tadi dia ada call kau guna nombor aku. Tapi, kau tak angkat. Lepas tu banyak kali dia cuba, tapi tak boleh. Masa dia call kau tu, dia tengah drive. Disebabkan leka, dia terbabas,” terang Suria bersungguh. Terduduk Imelda dibuatnya. Airmatanya turun mencurah bagaikan hujan.

“Kenapa dia nak jumpa aku?” Imelda sudah tergagap.

“Syarikat Harmonium dah tarik balik keputusan dia orang. Dia orang tak jadi nak tarik projek tu daripada syarikat kita. Pengarah tu jelaskan semuanya kat Wafi yang kau datang minta maaf kat dia. Wafi jadi serba salah. Jadi, dia nak minta maaf pada kau. Tak sangka pula jadi macam ni,” terang Suria lagi. Imelda dihentam rasa bersalah yang bertubi-tubi. Jiwanya dipalu kesedihan yang teramat sangat!

“Sekarang ni dia kat ICU. Jomlah kita pergi lawat dia. Lagipun dia nak sangat nak jumpa dengan kau. Aku takut tak sempat,” gesa Suria lagi. Imelda menurut dengan hati yang hancur.

******

Sebaik sahaja sampai di hospital, suasana begitu suram sekali. Kelihatan ibu dan bapa Wafi yang sugul di kerusi tempat menunggu. Imelda serba salah. Dia merasakan ini semua salahnya. Perlahan dia menghampiri ibu dan bapa Wafi dan menyalami mereka berdua. Puan Seri Zalina sempat mengukir senyum tipis begitu juga dengan Tan Sri Kamal Bakri.

“Awak Imelda ke?” tanya Puan Seri Zalina. Imelda senyum lalu angguk. Suria tidak bersama Imelda saat itu kerana dia ingin ke tandas.

“Ya. Saya,” jawab Imelda perlahan. Hatinya sayu melihat wajah kedua-dua ibu bapa Wafi.

“Wafi ada kat dalam. Dia nak sangat jumpa awak. Pergilah,” ujar Puan Seri Zalina. Imelda menahan sebak lalu melangkah masuk ke dalam wad di mana Wafi ditempatkan. Dia lihat Wafi terbaring lesu, dengan kepala yang berbalut. Imelda menguatkan semangatnya lalu menghampiri Wafi.

“Imelda Sofea,” ujar Wafi seperti berbisik. Imelda menahan airmatanya.

“Ya, Wafi. Saya dah datang ni,” lembut sahaja Imelda menjawab. Dia lihat Wafi membuka matanya perlahan-lahan. Wafi menguntum senyuman manis. Imelda semakin sebak.

“Terima kasih sebab datang. Saya nak minta maaf dengan awak. Sebab dah marah awak. Sebab tak beri awak peluang untuk jelaskan apa yang terjadi,” luah Wafi. Imelda angguk.

“Ya, saya maafkan. Sudahlah. Saya tak marah lagi. Awak rehat. Jangan banyak bercakap,” pesan Imelda.

“Imelda, terima kasih juga sebab dah dapatkan tender tu balik,” ucap Wafi. Akhirnya airmata Imelda menitis juga. Namun cepat-cepat dia menyeka airmata itu.

“Tak apa, itu tanggungjawab saya,” balas Imelda. Wafi senyum.

“Imelda Sofea. Sebenarnya saya sukakan awak. I love you,” ujar Wafi tiba-tiba. Terkejut Imelda dibuatnya. Mungkinkah itu tandanya Wafi akan pergi meninggalkannya? Airmata Imelda menitis laju.

“Saya juga Wafi. Saya cintakan awak. Jangan pergi tinggalkan saya,” ucap Imelda tersedu-sedu.

Yes! Finally! Yahuu!” jerit Wafi tiba-tiba. Terkejut Imelda dibuatnya melihatkan Wafi tiba-tiba bangun dan melonjak riang. Wafi duduk menghadap Imelda yang tergamam.

“Sayang. Sebenarnya, saya tak accident pun. Saya saja je buat semua ni sebab kalau saya tak buat semua ni, awak tak nak jumpa saya dan tak nak maafkan saya. Saya dah tahu segalanya. Dan, saya tak sangka selama ni awak juga cintakan saya,” luah Wafi. Imelda bingkas bangun lalu memukul Wafi sekuat hatinya.

“Tipu. Tipu. Tipu! Penipu! Awak ni jahat!” ucap Imelda geram sambil terus memukul Wafi dengan bantal.

Okay. Okay. Saya minta maaf okay. Sayang!” jerit Wafi sambil mencuba untuk menangkap tangan Imelda daripada terus memukulnya dan akhirnya dia berjaya. Wafi memandang tepat ke arah Imelda yang sudah termengah-mengah. Imelda menjeling geram. Wafi tersengih.

“Awak. Tak sayang saya ke? Penat tau berlakon. Mama dengan papa saya pun tak pasal-pasal kena berlakon semata-mata sebab nak bermenantukan awak,” ujar Wafi sambil menggengam kemas kedua-dua belah tangan Imelda. Imelda muncung sambil menahan malu apabila Wafi berkata begitu. Wafi tertawa kecil.

“Awak, saya ada satu soalan nak tanya. Awak jawab jujur okay?” pinta Wafi. Imelda menjeling.

“Apa?”

“Jadi isteri saya?”

“Apa?” tanya Imelda terkejut. Wafi tersenyum penuh makna.

“Jadi isteri saya?” Wafi bertanya lagi. Imelda hilang kata-kata.

“Kenapa?” Imelda cuba menduga.

“Sebab saya cintakan awak. Saya nak hidup dengan awak. Jadi isteri saya? Okay?” balas Wafi. Imelda tersenyum.

“Okay,” jawab Imelda sambil tersipu-sipu malu. Wafi tersenyum gembira.

“Wafi,” panggil Imelda manja. Wafi memandang dengan sepenuh kasih sayang.

“I love you,” ucap Imelda romantis. Wafi sengih.

“I love you two, three, forever!” jawab Wafi bahagia.

~gadistulisofficial.blogspot.com~

~FB : Gadis Tulis - Nadirah Aliah~

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.