Home Cerpen Komedi/Romantik Komedi ROMZIE & JURIAH A Go Go Cinta 67 Bahagian 1
ROMZIE & JURIAH A Go Go Cinta 67 Bahagian 1
Diq Na
7/12/2020 15:20:41
879
Kategori: Cerpen
Genre: Komedi/Romantik Komedi

            “Kita tidak punya pilihan lain lagi Romzie. Kau dan The Rhythm Night mesti masuk pertandingan kugiran itu. Mesti!”

            Cadangan dizahirkan. Maka runtuhlah tembok penjara kebuntuan yang memerangkap mereka. Juriah nekad untuk meluahkan apa yang terbuku di hati. Hendak diharapkan buah fikiran Romzie, entah bila masalah mereka akan selesai. Sejak dari mula mereka bertemu di rumpun bambu menghadap sawah padi kira-kira 15 minit yang lalu, Romzie terus-terusan membisu.

            Ke mana hilangnya suara jantan lagi lantang yang pernah melantunkan lagu-lagu cinta mereka dahulu? Tiba-tiba Romzie yang kelakar dan suka berseloroh berubah laku menjadi seorang yang pendiam. Tidak semena-mena tunangannya itu kebingungan dan sempit akal jauh sekali menokhtahkan sebarang keputusan. Sikapnya itu mempersulitkan lagi situasi yang tersedia rumit. Naik risau dia memikirkannya.

            “Romzie, kau dengar atau tidak?”

            Pertanyaan bak debu liar di udara. Bergentayangan di celahan desiran daun bambu yang disapa hembusan pawana sambil lalu. Lafaz sumpah setia bercagarkan janji yang terpateri, sudah lupakah engkau wahai Romzie. Ah! Kadang kala Juriah merasakan keterlanjuran mencintai lelaki ini sungguh menyeksakan.

            “Bukan aku tidak mahu masuk bertanding tetapi khabarnya The Famous juga mencuba nasib. Mereka memang hebat. Kugiran terbaik ketika ini. Peminat mereka ramai. Dengar cerita undangan menyanyi yang mereka terima juga banyak.”

            Akhirnya, bersuara juga Romzie Al Masaod ini. Setidak-tidaknya meminggirkan sedikit rasa rawan dan gelisah yang memberontak di penjuru jiwa Juriah.

            “The Rhythm Night pasti tewas. Mereka itu bukan sahaja berbakat, rupa paras juga boleh tahan. M Arip penyanyi utama kugiran itu, suaranya sangat bagus. Tidak termampu aku menyainginya. Kami pasti tewas.”

            Alasan! Lagi-lagi alasan. Seingat Juriah, semenjak diuar-uarkan kepada semua bahawa mereka pasangan kekasih sehinggalah mengikat tali pertunangan, Romzie memang suka beralasan. Entah mengapa dia masih setia berdampingan dengannya. Mungkin kerana sikap Romzie yang suka memujuknya dengan lagu-lagu cinta. Setiap kali mereka bertelingkah, Romzie akan menyanyi sambil memetik gitar. Ya, di situlah kelemahan Juriah.

            “Inilah penyakit yang paling aku tidak suka. Belum cuba sudah mengaku kalah. Masalah kita macam mana? Kalau kau mahu teruskan juga rancangan untuk meminjam wang sama Muthu si ceti, aku tidak setuju. Sama sekali tidak. Lebih baik jangan kahwin. Biar aku jadi anak dara tua daripada berhutang sampai ke tua.”

            Jelingan Juriah menajam. Idea Romzie itu memang gila. Sudah hilang pertimbangankah dia?Alam rumah tangga seharusnya berhiaskan bunga-bunga bahagia dan bukannya bunga-bunga hutang. Dipalingnya tubuh. Berpura-pura merajuk. Namun hati tetap menginginkan Romzie segera memujuk.

            “Aduh! Janganlah cakap begitu Juriah. Kalau kau jadi anak dara tua, aku ini bujang terlajaklah jawabnya. Bukankah kita sudah sepakat. Susah senang akan tetap diharungi bersama. Janji tetap janji dan aku takkan mengingkarinya.”

            Sedarpun Romzie akan masalah yang sedang mengasak mereka. Mungkin nanti dia akan mengakui juga sikap acuh tidak acuh itu akan mengakibatkan dunia cinta mereka cacamarba. Juriah sudah jemu dan mahu semuanya berakhir dengan cepat.

            “Jadi fikirkan caranya dengan segera. Kalau kau terlupa, aku ingatkan semula. Sudah dua kali urusan penghantaran wang hantaran kahwin kita tertangguh. Emakku kasi amaran, kalau kali ini kau tangguhkan lagi, pertunangan kita putus. Titik!”

            Mata Juriah membuntang. Lagaknya tidak ubah seperti pemangsa yang ingin menelan mangsanya hidup-hidup. Dia tegas mengungkapkan kebenaran. Namun seperti biasa, Romzie buat selamba sahaja. Seolah-olah ugutan putus tunang itu bukanlah ancaman besar. Tidak ada sedikit pun rasa bersalah. Menggelegak darah si jelita. Romzie tetap Romzie. Tiada yang berubah atau berganjak barang seinci.

            “Sebenarnya Juriah, aku ada sebab lain mengapa tidak dapat menyertai pertandingan kugiran itu. Kami sudah berpecah. Daud, Salim dan Jaafar tidak mahu bermain muzik lagi. Tidak boleh cari makan jika bersama The Rhythm Night. Masing-masing sudah membawa diri. Sekarang hanya tinggal aku dan Jefry saja.”

            Romzie tunduk memandang dedaun bambu yang berselerakan. Walaupun hatinya pedih namun dia sama sekali tidak menyalahkan Daud, Salim dan Jaafar. Populariti The Rhythm Night memang sudah merosot. Mereka jarang menerima jemputan menyanyi lagi. Ketiga-tiganya akur dengan kehendak keluarga supaya mencari sumber pendapatan lain.

            “Jadi kau tidak berjaya memujuk mereka supaya kekal bersama The Rhythm Night?”

            “Maafkan aku Juriah. Semua usahaku gagal. Ibu bapa Daud, Salim dan Jaafar mahu anak-anak mereka melakukan kerja yang lebih menjamin masa depan.”

            Juriah mengeluh. Mata terpaku pada orang-orang di tengah sawah yang terbentang meluas. Kalaulah dia punya kuasa sakti, mahu sahaja ditukar orang-orang itu menjadi ahli muzik, selesai masalah mereka.

            “Kau sudah cuba cari pengganti mereka?”

            “Aku dan Jefry sudah berusaha tetapi masih belum berhasil. Bukan mudah mencari ahli muzik yang berbakat. Kalau pun ada, mereka menolak dengan alasan The Rhythm Night sudah tidak sepopular dahulu. Mereka kata susah mahu hidup kalau undangan menyanyi semakin kurang.”

            Nampaknya masalah yang mereka hadapi bertambah runcing. Patutlah Romzie diam seribu bahasa. Beban yang dipikul oleh tunangnya itu alang kepalang beratnya. Juriah perlu bantu Romzie tetapi di mana mahu mencari ahli muzik yang berkebolehan. Bakat itu anugerah. Bukan semua orang memilikinya.

            Juriah teringatkan sepupunya yang kini menetap di Pulau Pinang. Sharif pandai bermain gitar tetapi dia pasti ibu saudaranya Nyonya Kalsom tidak akan membenarkan anak teruna kesayangan menyertai The Rhythm Night. Ibu saudaranya itu amat menitik beratkan pelajaran dan mahu anak-anak masuk universiti. Tamat belajar boleh menyandang jawatan besar di pejabat kerajaan.

            “Wah! Tepat tilikanku. Memang di sinilah tempat Laila dan Majnun ini bercengkerama. Menghitung dedaun bambu sambil berharap ia gugur di telapak tangan lalu bertukar menjadi wang.”

            Romzie merengus. Juriah pula mencebik masam. Suara itu memang selalu sahaja mencelah walau di mana mereka bertemu janji. Pemiliknya akan muncul, berlagak seperti seorang mata-mata. Deruman skuter itu menjadi identiti kepada penunggangnya.

            “Memanglah kau itu ahli nujum negara Hassan. Asal saja aku dan Juriah berjumpa, kau pasti menempelkan muka. Aneh juga, jikalau aku bersama anak dara lain tidak pula kau datang mengganggu,” perli Romzie.

            Juriah menyenggol Romzie. Tidak cukup dengan itu, cubitan pula mendarat di lengan. Barangkali juga apa yang dituturkan Romzie tadi menjadi salah satu penyebab mengapa tunangannya itu suka bertangguh dan berdalih tentang perkahwinan mereka.

            “Jangan sentuh-sentuh atau pegang-pegang. Kalian belum bernikah lagi. Nanti aku bilang sama Nyonya Maznah kelakuan yang sumbang itu baru tahu.” Hassan mengeluarkan amaran keras.

            “Agaknya kau ini ada membela keramat tujuh perigi buta. Sebab itu kau tahu semua pergerakan dan tempat tujuan kami.” Juriah pula mencelah.

            “Hey Juriah, cakap jangan sebarangan ya. Walaupun rupaku di matamu seperti samseng tetapi aku tahu hukum-hakam agama. Aku masih waras, boleh membezakan yang mana halal, yang mana haram. Jangan main tuduh-tuduh tanpa bukti. Berdosa Juriah.” Hassan membela diri.

            “Jadi bagaimana kau boleh tahu kami ada di sini? Kau ada pasang kaki intip ya.” Romzie meneka.

            “Pekan Pohon Beringin ini di dalam genggaman aku semuanya. Kalian mahu tanya pasal siapa. Atau apa berita terbaru, aku ada jawapannya. Kucing siapa yang beranak, kambing siapa yang bunting di dalam pekan ini… semuanya aku tahu. Jangan main-main,” tegas Hassan lagi.

            Romzie dan Juriah sudah kehabisan modal untuk berlawan kata lagi. Kalau dengan Hassan, dia mana pernah mahu mengaku kalah. Sikapnya yang suka menjaga tepi kain orang lain itu membuatkan mereka meluat.

            “Sudahlah Romzie, berhenti bermimpi. Wang takkan jatuh berkoyan-koyan dari langit tanpa usaha. Kau pula Juriah, pulang lekas. Emakmu sudah lama menunggu di bawah pohon mangga. Bukan main risau lagi dia. Solekan di muka juga habis cair semuanya. Hari sudah tinggi, batang hidung kau entah di mana. Dia takut kau lari dengan Romzie. Ingat Juriah, jangan cuba-cuba buat begitu. Malu besar emakmu nanti,” sambung Hassan.

            Hassan menghidupkan semula enjin skuter. Baru beberapa meter skuter merah itu bergerak, dia berhenti semula. Lelaki yang sudah melewati usia 30-an tetapi masih belum berumah tangga itu berpaling ke arah Romzie dan Juriah. Masih ada perhitungan yang belum selesai lagi.

            “Oi Romzie, kalau kau tidak punya wang, tarik diri sajalah. Jangan biarkan Juriah ternanti-nanti. Aku juga masih bujang. Biar aku masuk meminang.”

            Sinis sungguh sindiran Hassan. Romzie terpukul. Panas jiwa raga, sepanas bahang mentari yang sedang terbakar terik ketika ini.

            Ikutkan hati, mahu sahaja dia menerkam Hassan dan melepaskan penumbuk sulung. Biar Hassan terjelepok bersama skuter kebanggaannya itu. Kalau jatuh tergolek ke dalam petak sawah pun bagus juga. Berani sungguh dia berkata begitu. Hero kampung sebelah yang perasan dia teruna paling kacak di Pekan Pohon Beringin semakin menunjukkan belang nampaknya.

            Bahu Hassan terenjut-enjut. Ketawanya masih boleh didengar biarpun skuter mengaum garang. Dia memecut laju. Entah ke mana pula destinasi lelaki itu. Anak dara siapa pula yang akan dikacaunya.

            “Nah, kau dah dengar bukan. Bagaimana kalau Hassan mengotakan kata-katanya. Sekarang, dia bukan main baik lagi dengan emakku. Hari-hari dia bertandang ke rumah. Macam-macam hadiah yang dibawanya. Rantai emas, cincin, berlian, kain pasang, pinggan mangkuk… entah apa lagi. Emakku juga nampaknya berkenan benar dengan Hassan. Kalau emakku tiba-tiba berubah hati dan Hassan yang menjadi pilihan bagaimana. Kita juga yang melara nanti.”

            Rahsia pecah. Patutlah Nyonya Maznah semakin mendesak lewat ini. Padahal majlis perkahwinan hujung tahun nanti. Walaupun sudah tertangguh sebanyak dua kali tetapi tarikh itu mendapat persetujuan bersama. Masih berbaki beberapa bulan lagi tetapi Nyonya Maznah bertegas, menetapkan hujung bulan ini sebagai tarikh akhir penghantaran wang belanja.

            Ini pasti Hassan yang punya angkara. Dalam diam teruna kampung sebelah yang mewarisi perniagaan turun-temurun keluarga itu mengatur rancangan untuk menyingkirkan dia. Menyimpan niat untuk menyandang gelaran menantu, menggantikan tempatnya. Menggunakan taktik kotor, mengumpan Nyonya Maznah dengan harta kemewahan.

            Tidak boleh jadi! Hassan sudah mencabar kelakiannya. Berlagak mengalahkan orang kaya. Apa dia fikir harta peninggalan arwah datuknya yang dibelanjakan itu tidak luak. Hassan perlu disekat daripada terus memberi madu beracun kepada Nyonya Maznah. Romzie perlu melakukan sesuatu tetapi bagaimana caranya.

            Tidak semena-mena Romzie mendapat akal. Ya, dia teringat akan tiga orang pemuda yang selalu ditemui kala bertandang ke rumah Juriah. Mengapa dia tidak terfikir langsung tentang mereka.

            “Apa kata kalau kita minta pertolongan kumpulan Majun Sakti. Aku selalu melihat persembahan mereka sewaktu menjual ubat di pasar malam. Mereka bertiga pandai bermain muzik. Suara mereka juga boleh tahan.”

            “Betul kata kau itu Romzie. Aku setuju. Kita ajak Harun, Kamil dan Tajul menyertai The Rhythm Night. Rasa-rasanya mereka takkan menolak tawaran kita.”

            “Jadi kau pujuklah mereka. Dapatkan persetujuan. Selebihnya nanti, tahulah aku dan Jefry menguruskannya.”

            “Baiklah. Petang nanti aku akan ke rumah sewa mereka. Tentang persetujuan itu, serahkan saja padaku. Aku akan fikirkan caranya. Janganlah kau gusar.”

            “Kau tunggulah Hassan. Ini Romzie, pantang menyerah kalah. Tidak semudah itu kau boleh rampas kedudukanku sebagai menantu.”

            Romzie dan Juriah menemui sinar semula. Jika sebelumnya jalan yang lalui bersimpang siur dengan masalah, kali ini mereka bagaikan sudah berada di jalan lurus hingga ke penghujung. Besarlah harapan mereka untuk melihat usaha itu berhasil. Moga-moga Majun Sakti tidak keberatan untuk menolong mereka.

            Menjelang petang, Juriah ke rumah sewa peninggalan bapanya, Haji Bakri. Selain rumah sewa lima pintu, Haji Bakri juga meninggalkan harta yang banyak termasuklah dusun buah dan kebun kelapa untuk Juriah dua beradik. Kakak sulung Juriah sudah berkahwin dan kini menetap di utara tanah air. Sebab itulah Nyonya Maznah digelar orang janda kaya.

            Harun, Kamil dan Tajul terkejut besar apabila melihat anak tuan rumah terpacak di depan pintu rumah sewa mereka. Sangka mereka, Juriah datang untuk mengutip duit sewa. Maklumlah sudah tiga bulan bayaran tertunggak. Jika itulah tujuan kedatangan Juriah, mereka sepakat untuk menyerahkan bekalan ubat yang ada dan berjanji akan menyerahkan baki sewa pada penghujung bulan nanti.

            “Gila, aku mahu buat apa dengan ubat itu semua. Bukan itu maksud kedatanganku. Kalian janganlah sesak,” jelas Juriah tatkala terpandang wajah ketiga-tiganya pucat lesi.

            “Betulkah Cik Juriah. Kami fikir Cik Juriah mahu halau keluar dari rumah sewa. Jika bukan kerana sewa rumah, apa halnya yang penting sangat itu. Muka Cik Juriah pun masam semacam saja. Kami tengok pun susah hati,” kata Harun, mewakili teman-teman serumah yang lain.

            Lalu Juriah pun membuka cerita. Bermula daripada masalah yang membelenggu dia dan Romzie sekian lama sehinggalah masalah terkini yang menghimpit mereka.

            “Kalian tolonglah kami. Ini saja cara untuk mendapatkan wang belanja hantaran yang diminta oleh emakku. Kami tidak punya masa lagi. Hanya tinggal tiga minggu ke pertandingan itu. Tolong ya, aku merayu pada kalian bertiga. Kalian pandai menyanyi dan bermain muzik. Setujulah untuk jadi ahli kugiran The Rhythm Night.” Juriah bersuara sayu sambil memandang Harun, Kamil dan Tajul.

            “Kalau bab pertolongan tidak menjadi masalah. Akan tetapi tolong sajakah? Setidak-tidaknya ada sedikit upah untuk kami,” soal Kamil, sempat mengerling teman serumahnya.

            “Baiklah, kalau kalian setuju, bayaran yang tertunggak selama tiga bulan termasuklah sewa bulan ini, aku tolong bayarkan. Tetapi ingat, kalian berjanji tidak akan bercerita apa-apa pada emakku. Hal ini rahsia. Biar pecah di perut, jangan pecah di mulut. Bagaimana?” Juriah cuba memancing ketiga-tiganya.

            “Andai kata The Rhythm Night kalah macam mana?” Tajul pula mencelah, masih ragu-ragu untuk menyatakan persetujuan.

            “Kalian dan Romzie sama saja. Berfikiran sempit. Belum berjuang sudah menyerah kalah. Bukankah kalian itu lelaki. Orang lelaki sepatutnya berani. Kalau tidak mahu menolongku, tidak mengapalah. Aku cari orang lain saja.” Juriah hampir berputus asa.

            “Nanti dulu Cik Juriah. Alah, janganlah lekas merajuk. Kami sekadar bertanya. Hal ini perkara yang penting, setinggi harapan Cik Juriah dan Romzie. Kalau kami tidak melakukan seperti yang dikehendaki, nanti kami disalahkan pula,” jelas Harun, diiringi anggukan Kamil dan Tajul.

            “Kalau kalah, anggaplah aku dan Romzie tiada jodoh. Aku menerima takdir tuhan. Seandainya hubungan cinta kami setakat ini, maka aku reda.” Juriah menjawab.

            “Jadi bolehlah kami mencuba nasib, masuk meminang Cik Juriah pula,” pintas Kamil.

            “Ewah ewah… ada hati mahu meminang anak tuan rumah. Bayar sewa pun sangkut-sangkut. Makan di warung Pak Meon lebih banyak hutang berbanding bayar tunai, macam itu mahu tanggung anak orang,” sindir Juriah.

            “Kami bergurau saja Cik Juriah. Baiklah kami setuju dengan rancangan itu. Sebenarnya kami juga sudah jemu menyanyi sambil menjual ubat. Hanya dapat sakit tekak tetapi untungnya tidak seberapa. Jadi bila kami boleh berjumpa dengan Romzie. Tak sabar hendak bermain muzik,” sambung Kamil.

            “Sekarang juga aku kasi tahu sama Romzie. Terima kasih ya. Kalianlah penyewa terbaik yang pernah aku jumpa,” ucap Juriah senang hati.

            “Jadi bolehlah Cik Juriah bayarkan lagi sewa rumah kami. Alang-alang empat bulan, biar genap sampai enam bulan.” Tajul bergurau.     

            “Eh, banyak cantik muka kau! Empat bulan saja, muktamad,” Juriah menjegil biji mata, terus dia bergegas pulang untuk memberitahu Romzie berita gembira itu.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.