Home Cerpen Komedi/Romantik Komedi ROMZIE & JURIAH A Go Go Cinta 67 Bahagian 2
ROMZIE & JURIAH A Go Go Cinta 67 Bahagian 2
Diq Na
14/12/2020 12:44:58
2,946
Kategori: Cerpen
Genre: Komedi/Romantik Komedi

            Seminggu lamanya Hassan tidak bertamu ke Teratak Chenta, rumah pusaka peninggalan Haji Bakri. Menurut kata ibu Juriah, Hassan ke Kota Bharu menghadiri majlis pertunangan sepupunya.

            Malam menyingkap tirai, teruna kampung sebelah yang perasan dirinya paling kacak sudah terpacak di muka pintu rumah tepat jam 8.30 seperti biasa. Kali ini dia hadir bersama barang-barang yang dibeli dari Kota Bharu khusus buat Juriah dan Nyonya Maznah.

            Hampir setengah ruang tamu penuh dengan barangan seperti periuk belanga, set pinggan mangkuk yang cantik-cantik, kain pasang beraneka corak dan selendang pelbagai warna. Tidak ketinggalan set barang hiasan tembaga yang menjadi idaman Nyonya Maznah sekian lama. Naik gila janda berusia awal 40-an itu melihat lambakan hadiah di depan mata.

            Juriah langsung ke dapur menyediakan air kopi untuk tetamu mereka. Selalunya air itu disediakan oleh ibu sendiri tetapi mungkin kerana terlalu taasub melihat apa yang dibawa oleh Hassan, barangkali ibu terlupa.

            Elok juga. Lebih baik dia ke dapur daripada melihat perangai Hassan lebih-lebih lagi apabila dipuji ibunya. Menyampah sungguh memandang lagak mengada-adanya itu.

            Air yang dijerang di atas dapur sudah masak. Juriah capai teko tembikar di atas rak dapur. Dia ambil kopi dan gula yang tersusun rapi di atas para. Serbuk kopi sebanyak dua sudu diletakkan ke dalam teko lalu dibancuh dengan air panas.

            Juriah terdengar gelak ketawa Hassan dan ibunya di rumah tamu. Hati bertambah sakit. Dia hanya mampu bersabar. Kalau diturutkan perasaan marah, mahu sahaja diusung teko yang masih berasap ke ruang tamu lalu dicurahkan ke muka Hassan.

            Juriah membuka balang gula. Sewaktu mencedok gula dengan sudu, dia mendapat satu akal. Apa kata kalau dia mengenakan Hassan yang tidak sedar diri itu.

            Juriah menutup semula balang gula lalu mencapai bekas garam. Dia memasukkan tiga sudu garam ke dalam kopi. Mana cukup. Dia tambah dua sudu lagi.

            Padan muka kau Hassan! Minumlah air kopi yang masin ini.

            Selesai membancuh air, Juriah meletakkan teko ke dalam talam bersama dua cawan lengkap dengan alas walaupun ibunya tidak minum kopi. Kemudian dia senyum sendiri.

            Juriah menatang talam ke ruang tamu penuh sopan. Sambil meletakkan talam di atas meja, dia sempat melirik Hassan. Mata bertentangan. Lelaki itu terkerenyeh macam kerang busuk. Berbulu Juriah melihat tingkah lakunya.

            “Ya tak ya juga Hassan. Aku terlalu asyik membelek hadiah ini sampai terlupa untuk menghidangkan air. Mujurlah Juriah buatkan. Minumlah, air bujang saja. Maklumlah, semua orang di rumah ini juga masih belum berpunya.” Nyonya Maznah mempelawa Hassan menikmati kopi yang disediakan, ketawa manja sambil menutup mulut.

            “Sekarang masih belum berpunya. Sedikit masa lagi pasti ada tuannya. Sabar sajalah Nyonya Maznah ya,” sambut Hassan, menjeling sekali lagi ke arah Juriah.

            Hendak terjeluak segala isi perut Juriah sebaik mendengar kata-kata Hassan. Kalau tidak mengenangkan ibunya yang selalu menekankan adab memuliakan tetamu, ingin sekali dia lempar semua barang-barang yang ada. Perangai Hassan sudah melampau.

            “Jemputlah minum Bang Hassan. Kalau sejuk airnya, tidak sedap pula.” Giliran Juriah pula, suara penuh kelembutan tetapi hati membentak-bentak.

            “Terima kasih ya Juriah. Tentu sedap dan manis, semanis orangnya,” puji Hassan.

            Tanpa lengah Hassan mencapai cawan. Sebelum minum, dia menghidu aromanya dahulu. Wangi, terbangkit selera. Sebaik diteguk, bersemburan air kopi. Dia tersedak-sedak sambil mengurut dada. Juriah menahan ketawa melihat gelagat Hassan. Rasakan!

            “Ya ampun. Kenapa Hassan? Rasanya tidak sedap ya. Air kopinya pahit kurang gula agaknya. Maaflah, tangan lain yang membuatnya malam ini. Biasalah, Juriah pun masih belum mahir ilmu rumah tangga. Buat air ada masanya tidak betul.” Nyonya Maznah mulai risau melihat keadaan Hassan.

            “Oh, tidak! Bukan salah tangan yang membuatnya. Kopi yang dihidang memang sedap. Rasanya juga sama macam selalu tetapi air ini masih panas. Aku pula tidak sabar-sabar untuk meminumnya,” jawab Hassan, wajah kelat menyembunyikan perkara sebenar.

            “Ah! Ada-ada sajalah kau Hassan. Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Kalau emaknya pandai, sudah tentulah anaknya pandai juga,” balas Nyonya Maznah, tersenyum bangga memandang Juriah.

“Ya, memang betul cakap Nyonya Maznah itu. Aku setuju benar. Terima kasih ya Juriah, sedap sungguh air kopinya. Hari pun sudah lewat. Sebaiknya aku pulang dulu. Berlama-lama di sini, tidak elok dipandang orang. Esok-esok datang lagi.” Hassan akhirnya meminta diri untuk pulang.

            Juriah sangat senang mendengarnya. Memang itulah tujuan sebenar ketika membancuh kopi dengan garam di dapur tadi. Dia mahu Hassan segera beredar dari Teratak Chenta. 

            Sebaik Hassan pulang Juriah terus masuk ke kamar beradunya. Dia sedikit pun tidak menunjukkan minat terhadap hadiah yang dibawa Hassan walaupun ibu beria-ia menyuruhnya memilih kain pasang dan selendang yang berkenan di hati. Dia hanya memikirkan Romzie. Berhasilkah rancangan mereka? Tidak sabar untuk mengetahuinya.

            “Ya ampun, masin rupanya kopi kau Juriah. Itulah, sudah banyak kali emak nasihatkan kau. Turun ke dapur sewaktu emak memasak supaya kau kenal yang mana satu garam, yang mana satu gula. Kalau begini caranya, tentu laki kau lari nanti.”

            Terdengar omelan di ruang tamu. Ibunya bukan penggemar kopi. Barangkali teringin untuk mencuba. Nasiblah. Juriah tergelak sampai berguling-guling di atas katil. Kalaulah ibu tahu yang dia memang sengaja meletakkan garam di dalam bancuhan kopi…

            Di sebuah lagi kediaman, Vila Kaseh diberi nama, lain pula kisahnya. Selepas seminggu berlatih, Romzie akur untuk bertemu dengan Tuan Mansor Al Hadad, seorang ahli muzik yang tersohor di Pekan Pohon Beringin. Khabarnya serata negeri juga.

            Juriah berpendapat, kugiran mereka masih ada kekurangan. Ujarnya hanya Tuan Mansor sahaja yang mampu menolong The Rhythm Night. Mereka perlu mencari kelainan serta memperbaiki mutu persembahan jika mahu memenangi pertandingan kugiran itu.

            Beberapa hari lepas, Romzie sempat melihat persembahan The Famous di majlis perkahwinan sepupu Juriah. Mereka semakin terkenal. Peminat juga bertambah ramai.

            Selesai sahaja persembahan M Arip terus dikerumuni tidak kira tua atau muda, lelaki mahupun perempuan. Mengalahkan bintang pujaan. Hal itu menimbulkan kegusaran The Rhythm Night, Juriah lebih-lebih lagi.

            Romzie ternyata kalut meskipun yang ingin ditemui itu bapanya sendiri. Dada berombak debar memikirkan reaksi orang tua itu. Badan berpeluh dingin, terasa kaku seluruh anggota.

            Kalau bukan kerana juriah, tidak kuasa dia tercegat di pintu pagar rumah yang jarang-jarang dilintasi melainkan hari raya atau ada adik-beradiknya pulang bercuti. Hubungan anak-beranak itu sudah lama dingin dan Romzie lebih selesa menyewa rumah lain bersama Jefry.

            “Masuklah, aku kan ada. Cuma tinggal dua minggu lagi. Kau tidak kasihankah sama Juriah. Kita sudah melangkah sejauh ini. Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan Romzie. Aku yakin Tuan Mansor akan tolong kita,” pujuk Jefry.

            “Benar Romzie. Kami sanggup tolong kau kerana semangat yang ditunjukkan oleh Cik Juriah. Janganlah menghampakan harapan dia,” kata Harun pula.

            Romzie tarik nafas dalam-dalam. Dia memandang Vila Kaseh, kediaman yang tersergam indah hasil titik peluh bapanya mengusahakan sebuah kedai muzik dan mengabdikan diri pada dunia muzik sejak dari remaja lagi. Vila yang menjadi lambang cinta, diabadikan dengan nama arwah ibunya Kaseh Raziah.

            Romzie perlu melakukannya demi Juriah. Lelaki mesti berani, begitu pesan Juriah. Sering diulangi tanpa rasa jemu. Perlahan-lahan dia menapak masuk bersama Jefry. Diiringi Harun, Kamil dan Tajul selaku anggota kugiran yang baharu.

            “Bapak tahu niat kau datang ke mari. Tempoh yang ditetapkan oleh Nyonya Maznah semakin hampir. Kau mesti mahu pinjam wang kan. Terus terang Romzie, wang simpanan yang ada bapak khaskan untuk kegunaan pengajian adikmu. Kau sendiri tahu, bukan sedikit belanjanya kalau mahu jadi seorang doktor. Selebihnya pula untuk belanja kahwin bapak dan Cik Rosnah tidak lama lagi. Apa kau ingat, kau seorang saja yang mahu kahwin. Bapak yang sudah lama menduda ini ingin berkahwin juga.”

            Tuan Mansor terus menyerang dengan kata-kata, meluncur laju bak air sungai yang menerjah lata. Dia seakan dapat membaca tujuan Romzie memunculkan diri di Vila Kaseh biarpun anak keduanya itu belum sempat bermukadimah.

            “Itulah, dahulu berbuih-buih mulut bapak kasi nasihat. Kalau mahu jadi penyanyi, menyanyilah betul-betul. Bukan setakat di pentas orang kahwin saja. Atau ditembok-tembok tepi jalan. Sekarang, apa sudah jadi.”

            “Bertenang bapak. Dengar dulu cakap saya. Tujuan saya datang ke mari bukan pasal wang. Saya sebenarnya mahu bapak ajar The Rhythm Night menyanyi dan bermain muzik dengan betul. Kami mahu menyertai pertandingan Kugiran Pop Yeh Yeh 67 dua minggu lagi. Jika The Rhythm Night menang, wang hadiah kemenangan itu boleh dijadikan wang belanja hantaran.”

            “Ooo... mahu belajar nyanyi dan main muzik dengan betul ya. Apa sudah jadi dengan prinsip yang kau pegang selama ini. Muzik perlukan perubahan, bukankah itu yang kau perjuangkan.”

            Romzie tunduk merenung lantai. Sudah diagak akan jadi begini rentetan perbincangan mereka. Dia sudah bersedia dibakar bara-bara amarah dan leteran bapanya sebaik melepasi ambang pintu Vila Kaseh.

            “Kau juga yang kata muzik dan caraku ketinggalan zaman. The Rhythm Night mahu mencuba sesuatu yang baru. Nah! Di manakah pembaharuannya? Yang bapak lihat hanyalah tiga orang ahli baru saja. Jadi, mengapa pula Mansor Al Hadad kolot ini yang dicari.”

            Romzie diam. Jefry dan ahli kugiran yang lain juga tidak berani mencelah. Ketika ini dia hanya terbayangkan Juriah. Semangat Juriah yang enggan mengalah dengan mudah terus meresap ke dalam tubuhnya. Ini baru bara yang menyala. Andai bom meledak dan memercikkan serpihannya hingga tubuh hancur sekalipun dia rela.

            Apa hendak jadi, jadilah. Pantang berundur selagi dia tidak berjaya meraih semula kepercayaan bapanya.

            “Kenapa The Rhythm Night dipinggirkan peminat. Bukan soal pembaharuan yang ingin dibawa tetapi sikap ahli kugiran yang tidak berdisiplin itu yang menjadi puncanya. Terutamanya kau Romzie. Kau sudah pilih untuk jadi seorang penyanyi, bapak tidak menentang. Abangmu seorang lawyer, bapak sangat suka. Adikmu pula minat bidang perubatan dan mahu bergelar doktor, bapak bertambah-tambah suka. Terpulanglah walau apapun kemahuan kalian. Cuma bersungguh-sungguh melakukannya. Di situlah kesilapan kau Romzie.”

            Benar, Romzie memang salah membuat percaturan. Seawal penubuhan The Rhythm Night, dia mengakui hanya  bersandarkan kemasyhuran Mansor Al Hadad sebagai seorang ahli muzik yang dikagumi. Ramai yang mengakui dia mewarisi bakat seni bapanya. Dia hanyut bersama pujian-pujian itu. Malahan angkuh pula. Menolak untuk dibimbing oleh bapanya kerana mahukan kebebasan berkarya.

            Sangkanya kedudukan sebagai anak ahli muzik ternama membolehkan dia menjadi bintang terkenal. Memanglah, jalan pintas itu menjadikannya sanjungan ramai tanpa perlu berpenat lelah.

            Namun kedudukan itu bukan jaminan. Tanpa bakat yang digilap dengan sempurna selain tiada kesungguhan, takkan ke mana sudahnya. Satu demi satu kugiran muncul, menenggelamkan populariti mereka. Jemputan menyanyi juga semakin berkurangan dek persaingan daripada kugiran yang jauh lebih bagus. Dia amat menyesali akan sikapnya itu namun meminjam kata-kata Juriah, masih belum terlambat untuk diperbetulkan semula.

            “Bapak, tolonglah. Kali ini saya berjanji akan berubah. Habis pertandingan itu, saya akan uruskan kedai muzik kita seperti mana amanat arwah emak. Saya mahu jadi anak yang baik dan suami yang bertanggung jawab. Bapak telah buktikan bahawa dengan muzik kita boleh hidup, saya akan teruskan,” ikrar Romzie, menjulang-julang api semangatnya.

            “Betul Tuan Mansor. Berilah kami peluang. Bantu kami dalam pertandingan kugiran itu nanti. Jika The Rhythm Night menang, wang hadiahnya milik Romzie. Kami sudah sepakat untuk membantu dia. Wang itu boleh digunakan sebagai belanja hantaran.” Jefry mencelah, menyuarakan persetujuan ahli The Rhythm Night yang sejak dari tadi hanya mematungkan diri.

            Vila Kaseh hening seketika. Suasana ruang tamu yang tegang sebentar tadi menjadi tenang semula. Tuan Mansor meminjam masa barang seminit dua untuk menimbal permintaan mereka. Dia memandang wajah anak-anak muda di hadapannya. Wajah mereka terpamer satu keazaman yang tinggi.

            Renungan jatuh ke raut tampan Romzie. Anak kedua itu memang persis benar arwah isterinya berbanding dua beradik yang lain. Sayang sekali Romzie tidak memiliki kesungguhan seperti si ibu. Sifat itu bagaimana pun diwarisi oleh abang dan adiknya.

            Pandangan terarah ke tampang Jefry. Ada satu sikap yang sangat dipuji tentang teman karib anaknya itu. Ikatan setia kawan yang semakin sukar ditemui dewasa ini. Persahabatan mereka terjalin semenjak dari kecil lagi. Romzie sudah menganggap Jefry seperti adik-beradik sendiri. Susah senang sentiasa bersama. Kesetiaan itu terbukti apabila Jefry tetap kekal bersama The Rhythm Night walaupun kugiran itu dibadai masalah.

            Tuan Mansor berkalih ke kiri Jefry. Tiga orang teruna itu merupakan ahli kugiran yang baharu, masih belum dikenalinya. Dia amati seorang demi seorang. Boleh tahan juga rupa mereka. Kalau diperhati dari sudut itu, memang lulus. Jika gaya penampilan mereka diubah sedikit tidak mustahil menjadi kegilaan anak dara.

            “Rasa-rasanya, aku pernah melihat kalian bertiga ini tetapi… di mana ya. Hmm…kalau tidak silap, kalianlah yang menyanyi sambil menjual ubat di pasar malam. Betul kan telahanku ini.” Tuan Mansor bertanya.

            “Benar pak cik… eh Tuan Mansor. Kamilah kumpulan Majun Sakti yang dimaksudkan itu.” Harun pantas menjawab tanpa berselindung.

            “Aku pernah mendengar kalian menyanyi berduet. Memang bagus. Jadi kalian tentu boleh bermain muzik juga.” Pak Mansor menyoal lagi.

            “Boleh Tuan Mansor. Saya pandai bermain bass gitar. Kamil pula rhythm gitar dan Tajul pemain dram.” Harun menyambung.

            “Kalian pergi ke sudut sana dan cuba mainkan alatan muzik yang ada di situ. Aku mahu lihat sejauh mana kebolehan yang ada,” pinta Pak Mansor.

            Tanpa banyak soal, ketiga-tiganya pun menunjukkan bakat yang dimiliki. Ternyata tidak menghampakan. Pak Mansor terangguk-angguk melayan lagu yang dimainkan.

            Selesai sebuah lagu, mereka diminta memainkan lagu yang lain pula. Selepas menghabiskan empat buah lagi, Pak Mansor bertepuk tangan dengan galak sekali.

            “Bagus, inilah yang dikatakan seorang pemuzik sejati. Kalian memang berbakat. Nah sekarang Romzie, kau menyanyi bersama mereka. Bapak mahu lihat keseragamannya.”

            Giliran Romzie pula menunjukkan kemampuan. Pak Mansor terangguk-angguk lagi. The Rhythm Night berjaya menambat hatinya dan dia mengakui terhibur dengan persembahan mereka.

            “Bagus, memang sangat bagus. Kalian berpotensi untuk diketengahkan.”

            Kali ini Pak Mansor bukan sekadar bertepuk tangan tetapi menepuk bahu kesemua ahli kugiran The Rhythm Night. Dia benar-benar berpuas hati.

            “Jadi bagaimana bapak. Setuju atau tidak membimbing kami?” Romzi bertanya.

            Keadaan semakin mendesak. Sabarnya melangkaui had. Dia tidak mahu berlengah-lengah dalam perbincangan malam ini. Wajah Hassan sudah mula mengacah-acah di fikiran, bersilih ganti dengan Juriah. Tanpa persetujuan bapanya, segalanya tidak keruan. Dia tidak sanggup Juriah jatuh ke tangan Hassan. Tidak sama sekali!

            Tolonglah bapak, setujulah. Saya berjanji akan berubah, percayalah. Hati Romzie merayu-rayu, sayu tanpa suara.

            “Baik, bapak setuju membimbing The Rhythm Night tetapi… ada syaratnya.” Akhirnya Pak Mansor menokhtahkan keputusannya.

            “Apa syaratnya bapak? Saya tidak kesah, walau apa pun syaratnya saya terima,” tegasRomzie.

            “Tidak kiralah menang atau kalah, The Rhythm Night akan menjadi pemuzik tetap di studio bapak. Andai bapak mendapat undangan menyanyi di mana-mana, kalian yang akan membuat persembahan. Bagaimana?” Pak Mansor membuat tawaran sambil menyelami wajah Romzie dan teman-teman seperjuangannya.

            “Eh! Bagaimana dengan The Smart Boy pimpinan bapak. Mereka juga bagus. Sungguh pun saya ini anak bapak tetapi tidak sesekali potong jalan orang lain. Itu tidak berkat namanya. Bukan pendirian kami begitu.” Romzie terkejut dengan tawaran bapanya.   

            “Hanya tinggal nama saja. Penyanyi utama mahu berkahwin tidak lama lagi. Keluarga bakal mentua mahu dia mengambil alih perniagaan mereka. Jadi ahli kugiran yang lain juga mahu membawa haluan masing-masing.” Tuan Mansor berterus-terang.

            “Kalau begitu ceritanya, saya setuju. The Rhythm Night, kalian bagaimana? Setuju atau tidak?” Romzie bertanya pula pendapat ahli kugiran yang lain.

            “Saya juga setuju. Harun, Kamil dan Tajul… apa pula kata putus?” Jefry tidak melambatkan jawapannya.

            “Setuju!” jawab ketiga-tiganya serentak.

            “Kalau sudah sepakat semuanya, esok datang ke studio untuk sain kontrak. Kemudian, Mansor Al Hadad ini akan membimbing The Rhythm Night menjadi juara. Jangan kata Kugiran Pop Yeh Yeh 67, segala pertandingan yang ada, kalianlah pemenangnya.” Tuan Mansor meluahkan keyakinan.

            Romzie dan ahli kugiran The Rhythm Night meloncat kegirangan. Wajah Juriah terus menerpa lubuk fikiran. Dia tidak sabar mahu menyampaikan berita gembira ini kepada tunangnya. Tentu Juriah kegirangan sebaik mendapat perkhabaran.

            “Ayuh The Rhythm Night. Kita raikan berita ini. Aku belanja kalian semua makan malam ini. Tetapi sebelum itu kita beritahu Juriah dahulu.”  

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.